DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 31 December 2015

MAAF, SAYA TAK SENGAJA - BAB 14

“KAU nak pergi mana ni Aina? Aku tak habis cakap lagilah,” rayu Suzy. Memegang lengan Aina Cempaka. Aina Cempaka yang kelihatan manis berbaju kurung itu menarik semula lengannya.
“Okey. Aku minta maaf sebab tengking kau pagi tadi. Aku stres sangat, banyak kerja. Tolonglah cakap dengan aku. Jangan macam ni, boleh tak?” rayu Suzy.
Aina Cempaka tersenyum. Tidak sangka taktiknya untuk mengenakan Suzy menjadi juga. Pagi tadi bukan main garang lagi. Macam mak singa. Sekarang, baru Suzy tahu. Betapa pentingnya Aina Cempaka dalam hidupnya. Tahu pun dia mahu memujuk.
“Tahu pun takut. Lain kali buat lagi!” Aina Cempaka mencubit pinggang Suzy.
“Oh! Kau pura-pura merajuklah tadi. Buat aku risau aje. Ingatkan kau dah tak nak kawan dengan aku lagi.”
“Taklah. Aku faham, kau stres dengan kerja. Tengok biji mata kau tu pun aku tahu.” Aina Cempaka tersengih.
Memang sengaja dia berpura-pura merajuk tadi. Biar Suzy sedar akan kesilapannya.
“Leganya aku.” Suzy memeluk rapat tubuh Aina Cempaka.
“Kau cantik-cantik ni nak pergi mana? Keluar dengan Mohsin lagi ke?”
“Bukanlah.”
“Dah tu?”
“Adalah. Nanti aku cerita.”
“Dengan aku pun nak berahsia ke?” Suzy menduga.
“Ya, nanti aku beritahu kau.”
Bunyi hon kereta kuat kedengaran dari luar rumah mereka.
“Itu ke dia?” soal Suzy.
Aina Cempaka hanya tersenyum. Berlari keluar dari pintu rumah dan segera menyarungkan kasut tumit tingginya lalu berjalan pantas menuju ke arah kereta Faiz Iqbal.
Mata Suzy terpandang ke arah meja.
“Aina! Handphone kau.” Jeritnya. Namun, tubuh Aina Cempaka sudah lesap. Kereta yang dipandu oleh Faiz Iqbal pun sudah meluncur laju meninggalkan kawasan rumah mereka.



FAIZ IQBAL menekan loceng. Rumah agam milik Tan Sri Berahim itu memukau mata Aina Cempaka. Hampir berpinar matanya melihat keindahan hiasan taman di luar rumah dengan pancaran cahaya lampu. Pasti hiasan di dalam rumah juga menarik. Fikir Aina Cempaka.
“Saya tak bawak apa-apa ni Encik Iqbal. Tak apa ke?” soal Aina Cempaka. Bimbang menziarahi orang sakit tanpa membawa apa-apa buah tangan.
“Tak apa. Tok wan tak kisah. Asalkan kau datang. Itu dah cukup.”
“Lega saya kalau macam tu.” Aina Cempaka tersenyum. Pintu terbuka perlahan.
“Iqbal? Aina pun ada sekali? Masuklah,” pelawa Datin Mariam. Suka betul wanita itu melihat kehadiran mereka.
“Kenapa datang tak beritahu awal-awal? Bolehlah mak ngah suruh mak teh masakkan yang sedap-sedap,” kata Datin Mariam.
“Kebetulan aje kita orang ni nak datang mak ngah. Tok wan mana?” soal Faiz Iqbal.
“Ada kat dalam bilik. Kejap lagi mak ngah panggil. Duduklah dulu,” suruh Datin Mariam.
Datin Mariam segera mendaki anak tangga ke tingkat atas. Faiz Iqbal mengambil tempat duduk di atas sofa bersebelahan dengan Aina Cempaka.
Tidak lama kemudian, muncul Datin Mariam membantu tok wan menuruni anak tangga. Lelaki bertongkat kayu itu tersenyum dari jauh memandang wajah Aina Cempaka. Nampak macam terubat rindunya.
“Bukan ke tadi Encik Iqbal cakap tok wan tak sihat? Tak boleh bangun,” bisik Aina Cempaka perlahan di telinga Faiz Iqbal.
“Errr... dah sihat kut. Mungkin bila dengar nama kau, dia jadi bersemangat balik. Semalam dia memang tak boleh bangun,” pertahan Faiz Iqbal.
“Aina! Datang jugak kat rumah tok wan.” Tok wan menghampiri.
Aina Cempaka segera mendapatkan tangan lelaki itu. Bersalaman. Orang tua itu tersenyum memanjang.
“Tok Wan sihat?” soal Aina Cempaka.
“Sihat. Aina?”
“Alhamdulillah, sihat. Encik Iqbal cakap yang tok wan tak sihat. Sebab itulah Aina datang.”
“Ya ke? Tak adalah. Sejak kebelakangan ni kesihatan tok wan dah bertambah baik. Jumpa Aina tempoh hari buatkan tok wan rasa nak hidup lagi lama lagi.” Tok wan ketawa lagi.
“Amboi! Dah mengalahkan cucu sendiri ni,” rungut Faiz Iqbal.
“Betullah. Kalau nak harapkan Iqbal datang jenguk tok wan... jangan haraplah. Boleh kira dengan jari,” jawab tok wan.
Terburai ketawa mereka.
“Aina, Iqbal... kita makan sama nanti ya? Mak teh dah masak banyak tu. Mak ngah ke dapur kejap. Korang berbuallah,” Datin Mariam bersuara.
Mereka hanya mengangguk.
“Kalau macam tu, Aina tolong sekalilah.” Aina Cempaka bingkas bangun. Menuju ke dapur bersama Datin Mariam. Tok wan memandang Aina Cempaka sehinggalah gadis itu lenyap dari pandangan mata.
“Ni kali pertama aku rasa suka dengan perempuan yang kau bawak.” Tok wan tersenyum lagi. Tidak pernah pula Faiz Iqbal melihat reaksi datuknya seperti itu.
“Tok wan suka?”
“Yalah! Kau tu aje yang kena ubah perangai. Ini tak, macam budak-budak. Marah sikit, merajuk yang lebih!” tambah tok wan.
Terasa juga Faiz Iqbal sebenarnya. Tapi hendak buat macam mana, mood tok wan tengah baik. Lebih baik jangan rosakkan. Faiz Iqbal tersenyum.
“Tok wan berkenan ke?” duga Faiz Iqbal.
“Berkenan... kalau jadi isteri cucu aku,” balas tok wan agak selamba.
“Untuk Iqbal?”
“Yalah. Aku ada cucu lain ke?” tok wan mula tersengih.
Fahamlah Faiz Iqbal. Nampaknya hubungannya dengan tok wan mula menunjukkan petanda baik. Tidak rugi kehadiran Aina Cempaka ke dalam hidupnya.
“Tan Sri, Encik Iqbal... makan malam dah siap,” panggil mak teh.
Mereka berdua segera ke dapur. Mengambil tempat di meja makan. Faiz Iqbal melabuhkan punggung bersebelahan Aina Cempaka. Semua makanan yang terhidang nampak sedap.
“Sikitnya makan. Bukan ke kau kuat makan?” bisik Faiz Iqbal di telinga Aina Cempaka sambil melihat nasi di dalam pinggan gadis itu.
“Siapa cakap saya kuat makan?”
“Marah pulak. Aku tanya aje...” Faiz Iqbal buat muka tidak bersalah.
Kaki Faiz Iqbal dipijak Aina Cempaka.
“Adoi!”
“Kenapa ni Iqbal?” soal Datin Mariam.
“Tak ada apa-apa. Kaki cramp. Lupa nak servis,” Faiz Iqbal tersengih, menggosok-gosok bahagian atas kakinya.
“Marilah kita makan,” pelawa tok wan.
Aina Cempaka menadah tangan.
“Eh, tak apa. Biar Iqbal baca doa dulu.” Faiz Iqbal tiba-tiba bersuara. Menadah tangannya.
Datin Mariam dan tok wan saling berpandangan. Bila masa pula Faiz Iqbal pandai makan baca doa? Jarang keluarga mereka berbuat demikian. Bukan budaya dalam rumah ini. Apa-apa pun, hati tetamu perlu dijaga.
“Yalah, Iqbal. Baca doa dulu,” tambah tok wan.
Datin Mariam hanya tersenyum. Doa makan dibaca Faiz Iqbal.
“Mmmm... lepas ni korang nak ke mana?” soal Datin Mariam sambil menyudu nasi ke dalam mulut. Faiz Iqbal berfikir-fikir.
“Errr... tak ke mana. Lepas ni nak hantar Aina terus ke rumah. Kenapa?”
“Baguslah. Tak baik bawak anak dara orang lama-lama. Nanti hilang entah ke mana-mana,” kata Datin Mariam.
Faiz Iqbal mengangguk.
“Aina... macam mana dengan bisnes kamu kat UK? Ada projek besar ke?” tok wan tiba-tiba menyoal.
“Aaaa... itu...” Aina Cempaka tergagap-gagap. Mengaru kepala. Ketiga-tiga mata merenung ke arahnya. Minta jawapan.
“Hurmm… ah! Ada. Projek dengan syarikat multinasional. Pengurus Aina yang uruskan semua tu. Tok wan tak payah risaulah. Pandailah diaorang buat kerja nanti. Kerja Aina cuma pantau dari jauh aje.” Aina Cempaka ketawa kecil, cuba menyelindungi wajah kelatnya. Biar gedik di wajah, asalkan rahsia mereka selamat.
Tok wan mengangguk. Tanda setuju.
“Kalau macam tu, baguslah. Mmmm... Iqbal, tambahkan lagi nasi Aina tu,” arah tok wan.
“Eh, tak apa. Dah cukup ni...” bidas Aina Cempaka.
“Tak apa. Makan banyak sikit. Nanti lapar pulak,” pantas Faiz Iqbal mencelah. Dia menyenduk masuk nasi ke dalam pinggan Aina Cempaka. Mahu tidak mahu, Aina Cempaka terpaksa turutkan. Sakit pulak hati dengan lelaki di sebelahnya itu.
Selesai makan, mereka meminta kebenaran pulang. Tok wan dan Datin Mariam mengiringi sehingga ke muka pintu. Suka betul Tan Sri Berahim dengan kehadiran Aina Cempaka. Tersenyum sampai ke telinga melihat kereta yang dinaiki oleh mereka hilang ditelan kepekatan malam.



DI dalam kereta, Faiz Iqbal hanya diam. Otaknya ligat berfikir. Betul ke tindakannya ini? Apa pun, janji dengan Datuk Mazlan mesti dipenuhi. Mungkir janji bermakna bermulanya kemusnahan Ibunda Corporation.
Apa salahnya dia menemukan Aina Cempaka dengan lelaki itu? Bukan buat apa-apa pun. Cuma berjumpa. Tidak salah, kan? Lagipun, sesuatu yang kecil perlu dikorbankan untuk mendapatkan ganjaran yang lebih besar. Itu prinsip Faiz Iqbal. Tiada siapa berhak menafikannya.
“Encik Iqbal nak bawak saya pergi mana ni?” soal Aina Cempaka. Memecahkan kesunyian. Aneh kerana Faiz Iqbal mengambil laluan bertentangan dengan jalan pulang ke rumahnya.
“Jumpa kawan kejap.” Ringkas kata Faiz Iqbal.
“Boleh tak kalau Encik Iqbal hantar saya balik dulu? Saya rasa tak sedap hatilah,” keluh Aina Cempaka.
“Kejap aje. Bukannya lama pun.”
Aina Cempaka terdiam. Terpaksa menurut. Apa boleh buat, dia hanya menumpang. Hendak cakap lebih sangat pun tidak boleh. Nanti tidak pasal-pasal kena tinggal kat tepi jalan. Jangan buat gila!
Faiz Iqbal memberhentikan kereta di hadapan sebuah bangunan kedai dua tingkat. Sebuah restoran mamak menjadi pilihannya. Mereka mengambil tempat di bahagian luar restoran. Agak tersorok dan tidak ramai pelanggan yang duduk di situ.
“Kau orderlah apa-apa.”
“Tapi, saya dah makan tadi Encik Iqbal.”
“Minum ajelah,” balas Faiz Iqbal. Tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Faiz Iqbal menjauhi Aina Cempaka. Segera menjawab telefon.
“Kau tunggu kejap ya. Kawan aku nak jumpa aku kat tingkat atas.” Kata Faiz Iqbal sebaik sahaja menghampiri Aina Cempaka.
“Lama ke?”
“Tak. Sekejap aje.”
“Yalah. Tapi cepat sikit ya Encik Iqbal.”
Faiz Iqbal hanya mengangguk. Pantas meluru hilang meninggalkan Aina Cempaka sendirian.
Lama menunggu membuatkan Aina Cempaka tertanya-tanya. Lambatnya! Hari semakin lewat. Hatinya sudah tidak keruan.
Sebuah van putih berhenti di hadapan meja Aina Cempaka. Dua orang lelaki bertopeng hitam meluru keluar. Tubuh Aina Cempaka ditarik kasar. Dia cuba meronta kuat, mahu menjerit tetapi sukar. Salah seorang lelaki pantas menekup hidungnya dengan sehelai kain putih. Matanya terasa berpinar-pinar. Kepalanya terasa sakit sehingga dia rebah tidak sedarkan diri.



PIPI Aina Cempaka terasa seperti diusap lembut. Sentuhan hangat itu kemudiannya terus menjalar hingga ke batang tengkuknya. Semakin hampir ke bahagian dada. Pantas mata Aina Cempaka terbuka. Seorang lelaki tua yang hanya berseluar pendek berbaring di sisinya sambil tersenyum sinis.
“Kau siapa?” jerkah Aina Cempaka, menolak tubuh lelaki itu lalu melarikan diri ke arah pintu. Namun, lengan Aina Cempaka direntap kasar. Tubuhnya ditolak menghadap ke dinding.
“You tak kenal I ke sayang...” bisik Datuk Mazlan di cuping telinga Aina Cempaka. Tubuh Aina Cempaka ditindihnya lebih kuat sampai melekat ke dinding.
“Kau... kau nak apa?” jerit Aina Cempaka. Dia baru perasan, lelaki ini sama dengan lelaki yang ditemuinya di hotel dahulu.
“Lepaskanlah aku, bodoh!” Aina Cempaka cuba meronta-ronta minta dilepaskan.
“Bodoh?” Datuk Mazlan ketawa suka. Menekan tubuh Aina Cempaka lebih kuat.
“Hari tu you simbah I dengan air, maki hamun. Buat I macam orang bodoh. Boleh pulak?” tengking Datuk Mazlan.
“Tolonglah... lepaskan saya,” rayu Aina Cempaka.
Datuk Mazlan ketawa lagi. Tubuh Aina Cempaka dipusingkannya ke hadapan, menghadapnya.
Tidak mahu sia-siakan kesempatan yang ada. Aina Cempaka pantas menendang celah kelengkang orang tua itu. Nah! Rasakan tendangan kupu-kupu!
Datuk Mazlan mengerang kesakitan. Aina Cempaka meluru ke arah pintu. Membuka tombol pintu. Kunci!
“You nak lari kat mana sayang?” Datuk Mazlan menghampiri. Langkahnya perlahan. Menahan sakit. Namun, tenaga lelakinya masih kuat. Dia merangkul tubuh Aina Cempaka kasar dan menghempaskannya ke katil.
Aina Cempaka cuba meronta melepaskan diri. Dia ditampar berkali-kali oleh Datuk Mazlan sehingga batang tubuhnya lemah dan tidak ada kudrat untuk melawan lagi.
“Akhirnya...” Datuk Mazlan mengucup bibir Aina Cempaka, pantas tangannya merentap baju yang dipakai Aina Cempaka.
Tiba-tiba pintu bilik ditendang kuat dari luar. Satu tumbukan padu hinggap tepat ke muka Datuk Mazlan.
“Kau???” Datuk Mazlan mengelap darah yang mengalir di bibirnya.
“Bangsat!” Faiz Iqbal menyepak perut buncit lelaki itu. Bertalu-talu tumbukan yang diberi, melepaskan amarah. Bengang. Datuk Mazlan mungkir janji. Dasar penipu! Habis lunyai tubuh orang tua itu dibelasahnya.
Datuk Mazlan tidak mampu bergerak lagi. Hanya bibirnya terketar-ketar menahan perit. Kemudian terbaring tidak sedarkan diri.
Tubuh Aina Cempaka dipimpin Faiz Iqbal masuk ke dalam kereta. Air mata Aina Cempaka menitis tidak henti-henti. Dia takut. Perasaannya bercelaru. Mengapa? Mengapa perasaan ini sama? Seperti dia pernah melaluinya. Tangannya menggigil-gigil ketakutan.
“Maaf...” bisik Faiz Iqbal perlahan. Enjin kereta dihidupkan.
Aina Cempaka masih menangis tersedu-sedan. Telinganya tidak mampu mendengar apa-apa lagi. Maruahnya terasa seperti di hujung tanduk. Ini benar-benar menyakitkan.



LANGKAH kaki Mohsin tidak keruan. Berlegar-legar di hadapan rumah sewa Aina Cempaka. Penat. Sudah puas dia mencari Aina Cempaka. Telefon berkali-kali, masih tidak diangkat. Hendak tanya Suzy? Tak mungkin! Mohsin sudah malas bertemu dengan perempuan itu lagi.
Sebuah kereta mewah berhenti di hadapannya. Faiz Iqbal keluar membuka pintu untuk Aina Cempaka. Aina Cempaka nampak tidak terurus.
“Aina! Kenapa ni?” Mohsin berlari mendapatkan Aina Cempaka. Tubuh Aina Cempaka digoncangkannya.
“Kau ni siapa?” soal Faiz Iqbal. Matanya merenung tajam Mohsin.
“Apa yang kau dah buat kat dia, hah?” Buku lima Mohsin tepat mengenai bibir Faiz Iqbal.
Faiz Iqbal jatuh tersungkur ke atas jalan. Mohsin menendang tubuh Faiz Iqbal. Faiz Iqbal tidak melawan. Hanya membiarkan lelaki itu melepaskan kemarahannya.
“Sudahlah Sin!” Aina Cempaka menghalang. Air matanya semakin laju.
“Apa yang kau dah buat kat dia?” jerit Mohsin lagi. Kolar baju Faiz Iqbal direntapnya.
Faiz Iqbal tetap diam. Tidak bersuara. Cuma matanya sahaja yang merenung tepat ke dalam mata Mohsin.
“Dia tak salah Mohsin. Dia yang selamatkan aku. Aku... aku nyaris kena rogol.”
“Apa???”
“Ya. Dia yang selamatkan aku tadi.” Aina Cempaka menangis teresak-esak.
Cengkaman Mohsin di leher Faiz Iqbal dileraikan perlahan. Mohsin terpanar. Bibirnya terkunci. Tidak percaya.
“Kenapa boleh jadi macam ni Aina? Kau tahu tak, aku risau...” bahu Aina Cempaka disentuhnya perlahan.
“Aku tak tahu. Semua berlaku dengan pantas. Dua lelaki culik aku. Tiba-tiba bila sedar... dah ada kat atas katil. Aku takut Sin...” adu Aina Cempaka.
“Tak apa. Nasib baik kau selamat. Jom kita buat police report.” Mohsin membawa Aina Cempaka ke dalam kereta, meninggalkan Faiz Iqbal terbaring di bahu jalan.
Faiz Iqbal bangun perlahan-lahan. Terketar-ketar tubuhnya menahan sakit. Sakit dipukul Mohsin tidak sama dengan sakit di hati.
“Kau memang bodoh, Iqbal! Bodoh!” jerit Faiz Iqbal. Otaknya mula mengimbas kejadian di restoran. Bukan sengaja dia meninggalkan Aina Cempaka menunggu seorang diri. Hampir setengah jam dia mengawasi gadis itu setelah mendapat panggilan daripada Datuk Mazlan, menunggu kelibat lelaki itu muncul.
Janjinya hanya mahu bertemu Aina Cempaka. Kononnya dengan cara tidak sengaja. Tapi, orang suruhannya pula yang melarikan Aina Cempaka. Tak guna! Terpaksa Faiz Iqbal mempertaruhkan nyawa mengejar van putih itu. Kalutnya Tuhan saja yang tahu.

MAAF, SAYA TAK SENGAJA - BAB 13

USAI solat subuh, Aina Cempaka mengemas tikar sejadahnya. Terasa lebih bersemangat pula pagi ini. Segera dia menuju ke dapur. Menyediakan sarapan untuk dirinya. Sebuku roti bersama coklat panas sudah lebih daripada cukup.
Terasa rindu pula dia dengan Suzy. Sudah dua hari berlalu. Bosan rasanya duduk di rumah tanpa teman berborak. Tapi, tak apa. Esok Suzy akan balik. Sekurang-kurangnya, dia tidak dilanda kebosanan lagi. Masih ada teman untuk diajak bergosip.
Roti bersama kaya disapunya cermat di atas permukaan roti. Menyuapnya perlahan ke dalam mulut. Kakinya digoyang-goyangkan di bawah meja makan. Menikmati setiap kunyahan dengan perasaan gembira. Senang hati kerana skuter kesayangan sudah sembuh. Tidak sabar rasanya dia mahu mengambil skuternya dan menunggang semula skuter comel itu ke pejabat pagi ini.
Seketika kemudian, loceng berbunyi. Tanda ada orang bertandang di luar rumah. Aina Cempaka bingkas bangun. Membuka pintu rumahnya.
“Suzy? Kenapa ni?” Aina Cempaka memegang bahu Suzy. Rambutnya agak serabai. Matanya kelihatan bengkak. Macam nenek kebayan pun ada.
“Aku mengantuklah,” jawab Suzy.
“Bukan ke seminar kau habis esok? Kenapa ni?” Aina Cempaka memimpin Suzy ke dalam rumah. Suzy menghempaskan tubuhnya ke sofa.
“Habis cepat. Aku baliklah,” balas Suzy.
“Oh...” Aina Cempaka mengerti.
“Mana baby kau? Tak nampak pun kat luar,” soal Suzy pula.
“Ada kat bengkel. Kelmarin dia buat hal pulak.”
“Bila siap?”
“Pagi ni. Aku ingat, sebelum pergi ofis aku nak ambil dulu. Takut nanti tak sempat. Lagipun aku rindulah kat baby aku tu.” Aina Cempaka tersenyum memandang wajah Suzy.
“Tak apa. Nanti aku teman ambilkan.”
“Betul ke ni? Tak menyusahkan?”
“Betul,” jawab Suzy.
Aina Cempaka menjerit girang. Memeluk erat tubuh Suzy. Tidak sabar mahu mengambil skuter kesayangannya. Alang-alang, boleh dia terus pergi ke pejabat selepas itu. Tidak perlu lagi hendak meminta Suzy menghantarnya.



SUZY memberhentikan kereta Kancilnya di hadapan sebuah bengkel. Mata Suzy masih kelihatan bengkak. Terasa bersalah pula Aina Cempaka melihat keadaan kawan baiknya itu.
“Betul ke ini bengkelnya?” tanya Suzy. Sudah hampir sepuluh kali mereka sesat jalan.
“Betullah ni. Sama dengan alamat yang dia bagi hari tu.” Aina Cempaka menyemak semula kad yang diberi oleh lelaki Cina bernama Lim kelmarin.
“Kau tak nak ikut sekali?” soal Aina Cempaka. Membuka tali pinggang keledarnya.
“Tak naklah, Aku mengantuk ni. Bagi aku tidur sekejap. Kau pergilah ambil baby kau tu. Jangan lupa kejutkan aku pulak nanti.” Suzy memejamkan matanya yang semakin kuyu sejak tadi.
“Yalah.” Aina Cempaka keluar dari kereta, melangkah masuk ke dalam bengkel tersebut.
Suasana bising dengan bunyi peralatan yang dikendalikan oleh pekerja di situ membuatkan Aina Cempaka leka melihat mereka yang begitu fokus dan cekap menyelenggarakan semua masalah kerosakan.
“Selamat pagi. Miss ada masalah apa, boleh I bantu?” Seorang wanita muda berketurunan Cina menyapa Aina Cempaka dari belakang.
“Kelmarin skuter saya rosak. Dah siap ke?”
“Ini Miss Aina Cempaka ke?”
“Ya, ya... saya.”
“Miss Aina masuk dalam ofis dulu. Mr. Lim mahu jumpa you.”
“Mr. Lim?”
“Ooo... itu bos kami.”
“Bos?” Aina Cempaka semakin pelik. Takkanlah bos dia pula yang angkut skuternya tempoh hari? Kalau ya, kenapa? Terasa macam ada perkara yang masih belum jelas di sini. Aneh pun ada. Pekerjanya begitu ramai. Mengapa Mr. Lim juga yang datang semalam? Arghhh! Lantaklah! Malas Aina Cempaka hendak fikir lagi. Janji baby kesayangannya kembali sihat.
Aina Cempaka mengekori wanita Cina itu masuk ke dalam pejabat. Sebaik mengetuk pintu, wanita itu membukakan pintu buat Aina Cempaka.
“Terima kasih,” ucap Aina Cempaka. Wanita itu hanya membalas dengan senyuman. Aina Cempaka melangkah masuk. Mr. Lim sudah pun duduk menunggu di meja kerjanya.
“Apa khabar Miss Aina? Duduklah.” Mr. Lim mempelawa. Sopan.
“Sihat. Mr. Lim?” soal Aina Cempaka lantas mengambil tempat duduk berhadapan Mr. Lim.
“I sihat. Mana boleh sakit-sakit... nanti kerja tarak jalan ma.” Mr. Lim cuba berceloteh.
“Skuter you dah siap baiki. Ada kat luar tu. I dah suruh orang I kasi cuci sekali.” Orang tua itu ketawa.
“Terima kasih. Berapa semuanya?” Aina Cempaka mengeluarkan dompet daripada dalam beg sandangnya.
“Tak payahlah...”
“Eh, kenapa tak payah pulak?”
“Encik Iqbal tu best friend I. Cincailah!”
“Mana boleh macam tu Mr. Lim. Best friend Mr. Lim itu Encik Iqbal… bukannya saya.”
“Kalau you punya bos kawan I, you pun kira macam kawan I jugak ma...”
“Saya tak selesa macam ni Mr. Lim.”
“Haiya! Saya tak kisah. Tak payah bayarlah.” Mr. Lim menolak beberapa keping wang kertas yang dihulurkan oleh Aina Cempaka.
“Kalau macam tu tak apalah. Terima kasih Mr. Lim.” Aina Cempaka tersenyum. Syukurlah! Selamat sikit duitnya untuk bulan ini. Rezeki jangan ditolak. Apabila ada orang yang sudi memberi, itu anugerah namanya.
“You dah lama kerja dengan Encik Iqbal?” soal Mr. Lim.
“Baru dua tiga minggu. Kenapa?” Mr. Lim ketawa suka hati mendengar jawapan Aina Cempaka.
“You tak mahu berhenti ka?” Aina Cempaka hanya menggelengkan kepalanya.
“Bagus! Jangan berhenti selagi dia tak berhentikan you.”
Aina Cempaka senyum. Apa sebenarnya yang dimaksudkan oleh Mr. Lim? Agak kabur di situ.
“I dah kenal lama itu orang. Manyak baik ma... pernah tolong I. Tapi, bukan semua orang suka sama dia. Dulu dia manyak gengster... semua orang takut sama dia.” Mr. Lim tergelak kecil.
“Gengster??? Maksud Mr. Lim?”
“Jahat punya oranglah. Dulu, I selalu panggil dia bos. Tapi, sekarang dia tarak suka orang panggil dia itu macam. Dia lagi suka orang panggil dia Encik Iqbal.”
“Apa yang Mr. Lim cakap ni? Saya kurang fahamlah.” Aina Cempaka semakin keliru. Tidak percaya dengan apa yang didengarinya.
“You tarak tau ka?”
Aina Cempaka menggeleng kepala dengan soalan Mr. Lim. Semangat ingin tahu Aina Cempaka semakin menebal. Entah kenapa, dia pun tidak pasti.
“Dia dulu kaki pukul, kaki perempuan. Banyak buat jahat sama orang. Sekarang sudah taubat ma... itu pasal dia kerja sama atuk dia.” Mr. Lim memandang wajah Aina Cempaka selamba.
“Saya tak tahu pun semua tu...” Aina Cempaka berfikir-fikir. Terasa pelik pula. Sepanjang mengenali lelaki yang bernama Faiz Iqbal, hatinya tiada sedikit pun ada keraguan. Walaupun ego lelaki itu agak tinggi, Aina Cempaka yakin Faiz Iqbal bukan orang seperti itu. Perwatakan dia sangat berbeza dengan apa yang selalu diperkatakan oleh orang lain.
“Memanglah. Dia takkan cerita sama you punya. Tapi, you jangan kasi tahu I cerita sama you pulak. Nanti habis I.” Mr. Lim ketawa lagi.
Aina Cempaka hanya tersenyum.
“Kalau semuanya dah beres, saya balik dululah Mr. Lim. Terima kasih ya.” Aina Cempaka mengangkat punggung.
“Okeylah. Sama-sama,” balas Mr. Lim.
“Nanti kalau rosak lagi... boleh kasi angkat sini.” Mr. Lim sempat berpesan sebelum Aina Cempaka melangkah keluar.
Aina Cempaka mengetuk cermin tingkap kereta. Suzy menggosok-gosokkan kedua-dua biji matanya.
“Dah siap?” soal Suzy sebaik sahaja membuka cermin kereta.
“Dah. Tu!” Aina Cempaka menjuihkan bibirnya ke arah skuter berwarna biru muda. Bersih dan berkilat.
“Kau boleh drive tak ni? Mengantuk semacam aje aku tengok.” Aina Cempaka mencubit pipi Suzy. Rasa kesian pun ada. Yalah! Suzy nampak sangat letih. Sepatutnya, Aina Cempaka naik teksi sahaja tadi.
“Adoi, bertuah punya kawan! Sakitlah...” rungut Suzy lemah.
“Boleh tak?”
“Ya, boleh sayang. Tak apa, kau jalan dulu. Kejap lagi aku balik. Nanti lambat pulak kau sampai ofis.”
“Tak apa ke ni? Kau tak nak aku temankan ke?”
“Tak payahlah. Kau pergi dulu. Aku mengantuk sangat dah ni.”
“Kau nak tidur kat sini ke?”
“Tolonglah! Aku mengantuk ni. Kenapa susah sangat kau nak faham!” Tiba-tiba Suzy menengking.
Air wajah Aina Cempaka pantas berubah.
“Kau ni dah kenapa? Marah-marah aku tak tentu pasal?”
“Memang aku marah. Sebab kau ni memang tak faham bahasa, kan? Aku cakap aku tak nak, aku tak naklah! Kau ingat aku ni apa? Drebar kau?” Suzy semakin menggila.
Pantas air mata Aina Cempaka menitis. Tanpa menoleh ke belakang lagi, dia mencapai topi keledar di sisi skuter. Menunggang skuter yang baru dibaiki itu, pantas bergerak meninggalkan Suzy. Sakit betul hatinya. Tak ada angin, tak ada ribut, tiba-tiba diherdik macam halilintar. Entah apalah hantu yang merasuk Suzy pagi ini. Hilang terus semangat Aina Cempaka hendak ke pejabat dibuatnya.



TELEFON Faiz Iqbal berdering kuat. Nama ‘Orang Tua Miang’ terpapar di skrin telefonnya. Pantas dia menjawab.
“Helo Datuk. Selamat petang.” Faiz Iqbal melembutkan suaranya. Entah apa mimpi pula Datuk Mazlan menelefonnya di pejabat hari ini.
“Iqbal, Iqbal, Iqbal...” Suara Datuk Mazlan sinis menyeru nama Faiz Iqbal.
“Ya, saya.”
“Jangan lupa janji Encik Faiz Iqbal.” Datuk Mazlan mengingatkan sesuatu.
“Janji?”
“Aina Cempaka,” balas Datuk Mazlan ringkas.
Faiz Iqbal mengetap bibir. Dahinya diusap sampai ke belakang kepala. Sakit hati pula apabila teringat janji lama. Ingat pulak orang tua ini!
“Tender I dah setuju. Projek pun tunggu masa nak approve. Iqbal... now it's your turn to accomplish your promise.”
“Bukan sekarang Datuk.”
“Bukan sekarang, bila lagi? Nak tunggu sampai I berjanggut?”
“Cukuplah misai yang Datuk ada. Tak perlu nak tambah janggut lagi.” Faiz Iqbal berceloteh. Ketawa geli hati.
“What? You jangan loyar buruk kat sini Iqbal. Jangan sampai I tarik balik tender I. Ingat! Majoriti pelabur Ibunda Corporation kebanyakannya orang I. Begitu jugak pemegang saham. Kalau I nak musnahkan Ibunda Corporation, sekelip mata aje semua benda boleh jadi,” ugut Datuk Mazlan.
“Relaks Datuk. Bawak bertenang. Aina Cempaka tak akan lari ke mana. Saya akan bawak dia kepada Datuk. Tapi, Datuk kena janji sesuatu.”
“Janji? Janji apa lagi?”
“Janji takkan sentuh dia.”
Datuk Mazlan ketawa terbahak-bahak dengan bicara Faiz Iqbal.
“Datuk setuju ke tak?” soal Faiz Iqbal agak tegas. Meluat pulak mendengar ketawa orang tua itu lama-lama.
“Boleh. Don't worry. I cuma nak berkenalan dengan dia aje. For sure... I nak di datang sorang-sorang. Tonight. But, I promise you. I takkan sentuh dia. Deal?” janji Datuk Mazlan.
“Okey, deal.” Faiz Iqbal bersetuju.
Pintu bilik pejabat diketuk.
“Masuk,” kata Faiz Iqbal. “Datuk, nanti saya call balik.” Faiz Iqbal segera memutuskan talian. Bimbang pula didengari oleh Aina Cempaka.
“Encik Iqbal, kopi dah siap.” Aina Cempaka meletakkan secawan kopi panas ke atas meja. Memusingkan tubuhnya untuk melangkah keluar.
“Aina,” panggil Faiz Iqbal. Aina Cempaka menoleh.
“Malam ni tok wan ajak singgah rumah.” Ringkas bicara Faiz Iqbal.
“Ajak saya?”
“Yalah. Takkanlah aku nak ajak Burn pulak.”
“Malam ni saya ada hal sikit, Encik Iqbal.” Sengaja Aina Cempaka mencari alasan. Tiba-tiba teringat kata-kata Mr. Lim pagi tadi. Rasa gerun juga dia.
“Hal apa?”
“Errr... ada janji temu dengan kawan.”
“Tak boleh cancel ke?”
“Tak bolehlah Encik Iqbal. Saya dah janji.”
“Aku tak kira. Ini sebahagian daripada kerja,” tegas Faiz Iqbal.
“Tapi...”
“Kau dah lupa ke? Aku aje yang boleh bagi arahan kat sini.”
Aina Cempaka mengeluh sakit hati.
“Okey. Tok wan tak sihat. Semalam dia kata nak jumpa kau,” pujuk Faiz Iqbal lagi.
Otak Aina Cempaka tiba-tiba teringatkan wajah orang tua itu. Betul ke? Mengapa dia rasa sedih mendengar berita itu?
“Tak sihat?” soal Aina Cempaka.
“Ya... tak sihat. Dia tak boleh bangun. Teringin nak jumpa kau katanya.” Aina Cempaka terdiam sekejap.
“Yalah. Malam nanti saya datang.”
“Okey. Malam nanti aku datang ambil.” Selamba sahaja wajah Faiz Iqbal.
“Tak apa. Saya boleh naik skuterlah.”
“Bahaya naik skuter buruk kau tu malam-malam buta. Jangan banyak bunyi! Nanti aku ambil,” tegas Faiz Iqbal.
Aina Cempaka hanya mampu mengeluh. Segera melangkah keluar. Faiz Iqbal menarik nafas lega. Berjumpa tok wan hanyalah satu alasan. Dia perlu merancang pertemuan Aina Cempaka dengan Datuk Mazlan. Biar nampak macam natural.

Wednesday 30 December 2015

MAAF, SAYA TAK SENGAJA - BAB 12

Mak Melor mengeluarkan kunci dari dalam beg kertasnya. Kunci pendua yang diberikan oleh Faiz Iqbal itu diacukan ke dalam lubang tombol pintu. Sebaik sahaja pintu dibuka, Mak Melor melangkah masuk. Biasanya awal pagi seperti ini pasti Faiz Iqbal sudah ke pejabat. Jadi, dia boleh meneruskan tugasan mengemas dengan mudah.
Mak Melor segera menuju ke dapur. Langkah kakinya tiba-tiba terhenti. Mak Melor beristighfar panjang. Terkejut melihat sekujur tubuh kaku terbaring bersama serpihan kaca yang bertaburan di atas lantai.
“Encik Iqbal dah kenapa ni?” Tubuh Faiz Iqbal digoncangnya kuat.
Mata Faiz Iqbal terbuka sedikit. Wajahnya pucat. Macam orang tidak cukup zat.
“Mmmm... Mak Melor. Mak Melor pergi mana? Penat Iqbal tunggu dari semalam,” soal Faiz Iqbal acuh tidak acuh. Kepalanya pening. Otaknya membeku. Gian alkoholnya masih belum reda.
“Encik Iqbal buat apa sampai jadi macam ni?” soal Mak Melor agak bimbang. Dia cuba membantu Faiz Iqbal bangun, namun kakinya tidak terdaya. Berdiri dan terus jatuh terduduk semula.
“Mana Mak Melor letak air saya, hah?” Faiz Iqbal menyoal lemah.
“Air?” soal Mak Melor.
Faiz Iqbal ketawa dengan soalan Mak Melor.
“Mak Melor, Mak Melor... janganlah main-main. Saya tak suka. Mana air saya?” tanya Faiz Iqbal lebih kuat.
“Mak Melor dah buang.”
“Kenapa buang? Mak Melor kan tahu, saya tak boleh hidup tanpa benda tu. Dah banyak kali saya cakap. Kenapa Mak Melor tak faham-faham lagi? Mak Melor memang nak tengok saya mati kering, kan?” herdik Faiz Iqbal kasar.
Tangan Mak Melor terketar-ketar. Pandangan mata Faiz Iqbal tepat memandang wajahnya. Macam mahu menelannya hidup-hidup.
“Itu benda haram Encik Iqbal. Mak Melor takkan benarkan Encik Iqbal sentuh lagi air tu.”
“Bukan sekali... dah banyak kali Mak Melor buat macam ni. Mak Melor tak kasihan kat saya ke? Saya terseksa, tahu tak? Hati saya tak tenang...” nada suara Faiz Iqbal mula mengendur. Air matanya mengalir perlahan. Kepala ditundukkannya ke bawah.
“Mak Melor sayangkan Encik Iqbal sama macam anak sendiri. Encik Iqbal tak boleh terusan hidup macam ni. Mak Melor tahu hati Encik Iqbal tak tenang. Tapi, ini bukan caranya. Banyak lagi cara lain yang Encik Iqbal boleh buat.”
“Cara apa lagi Mak Melor? Saya dah penat tau. Penat!” agak keras suara Faiz Iqbal.
“Solat. Berdoa pada Dia. Itu lebih baik. Hati Encik Iqbal akan lebih tenang.” Nasihat Mak Melor.
“Tenang?” Faiz Iqbal ketawa lagi. Bosan dia dengan perkataan itu. Tidak pernah wujud istilah tenang dalam kamus hidupnya. Itu semua mengarut! Penipu! Mak Melor penipu!
“Mak Melor susah hati tengok Encik Iqbal macam ni. Berubahlah Encik Iqbal...” rayu Mak Melor lagi.
“Mak Melor pergi baliklah. Hari ni saya bagi cuti. Besok, lusa, jangan datang lagi. Berhenti terus!” Faiz Iqbal merentap rambutnya sendiri. Terasa sakit kepalanya.
“Mak Melor tak...”
“Sebelum saya naik meroyan kat sini, lebih baik Mak Melor blah cepat! Saya tak nak jadi anak kurang ajar,” kata Faiz Iqbal. Pandangannya dihalakan ke arah lain. Jari telunjuknya kini mengarah ke pintu keluar.
Air mata Mak Melor serta-merta menitis. Hati kecilnya remuk. Namun dia tahu, Faiz Iqbal masih menghormatinya sebagai seorang ibu dan teman yang setia. Akhirnya Mak Melor akur. Pergi berlalu meninggalkan Faiz Iqbal bersendirian. Mungkin dengan cara ini Faiz Iqbal mampu mencari ruang buat dirinya sendiri.



AINA CEMPAKA mengerling jam di atas meja pejabat. Sudah hampir tengah hari tetapi bayangan Faiz Iqbal masih juga tidak muncul-muncul. Hampir kematu jari-jemarinya mendail nombor telefon lelaki itu menggunakan telefon pejabat. Hanya suara wanita sahaja yang kedengaran. Memberitahu bahawa si pemanggil tidak dapat dihubungi. Sakit betul hatinya.
“Kenapa ni Aina? Encik Iqbal tak angkat call lagi ke?” Kak Salmah menghampiri. Kak Tasnim juga turut menyibuk, meninggalkan tugasnya yang terbengkalai di atas meja dan pantas menuju ke meja kerja Aina Cempaka.
“Dah banyak kali saya call. Tapi tak angkat-angkat. Susah betullah macam ni. Hari ni terpaksa pulak kena hold banyak appointment,” rungut Aina Cempaka.
“Biasalah tu. Dia bos... kita ni siapa?” Kak Tasnim mula menyampuk.
“Bos apanya? Nanti kalau dia dengar macam mana?” Kak Salmah mula membantah.
“Aku tersilaplah. Janganlah marah pulak.”
“Tak marah pun. Cuma tak nak bagi kau terlajak cakap aje.” Kak Tasnim hanya tersengih-sengih dengan jawapan Kak Salmah itu.
“Aina dah lunch ke belum?” soal Kak Salmah.
“Belum.”
“Jom kita pergi lunch sama. Ada restoran baru buka tau. Kat hujung bangunan sana.” Telunjuk jari Kak Salmah.
“Tak kut.” Aina Cempaka menolak sopan.
“Jomlah Aina. Kau ni selalu tolak bila kita orang ajak tau. Tak bestlah macam ni. Aina, kau nak tahu tak... dahlah makanan dia sedap, waitress dia pun handsome gila!” Kak Tasnim cuba membakar.
“Bukannya apa kak... Aina dah beli makanan la.” Aina Cempaka mengangkat beg plastik berisi polistirena putih.
“Bosanlah macam ni. Bukannya ofis kita ni jauh dari tempat makan pun. Kenapalah Aina suka sangat beli makanan dari luar? Buat penat aje tau. Tak menyumbang ekonomi negara betul!” Kak Salmah menambah. Kak Tasnim juga mengangguk tanda setuju.
“Nasi goreng mak cik ni sedap tau kak? Aina beli kat tepi jalan sebelum pergi ofis pagi tadi. Fresh lagi tu.” Aina Cempaka membela diri.
“Apa-apa ajelah Aina. Kita orang dah lapar sangat ni. Pergi dululah. Babai,” kata Kak Salmah.
“Hei, aku tak sabarlah nak usyar Abang Pakistan hidung mancung tu!” bisik Kak Tasnim di telinga Kak Salmah sebelum berlalu meninggalkan Aina Cempaka. Mereka berdua terkinja-kinja berjalan laju keluar dari pejabat.
Aina Cempaka hanya menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Kenapa dengan dua ekor mak beruang tu? Gedik semacam aje I tengok.” Burn pula datang bertandang.
“Tak baiklah cakap macam tu Burn.” Aina Cempaka tergelak kecil.
“Eh! Betullah apa yang I cakap. Sakit pulak mata tengok budak berdua tu. Tak padan-padan. Dah ada suami kat rumah, nak lagi try Mat Bangla kat kedai mamak seberang sana tu. Apa kelas!” Burn meletakkan jarinya ke bahu. Meluat sungguh hatinya.
“Biarlah Burn. Asalkan diaorang rasa bahagia.” Aina Cempaka ketawa lagi.
“Itulah pasal. I pun dah malas nak ambil kisah. You makan kat ofis lagi ke hari ni?”
Aina Cempaka hanya mengangguk dengan soalan Burn.
“Kalau macam tu, I nak keluar makan dululah. Lapar sangat dah ni.”
“Okey.” Aina Cempaka tersenyum.
“I rasa mungkin kejap lagi Encik Iqbal sampai kut. Dia memang selalu ambil cuti half day,” bicara Burn sebelum keluar meninggalkan Aina Cempaka.
Semua pekerja dalam pejabat sudah keluar rehat. Hanya tinggal Aina Cempaka seorang.
“Masa untuk makan,” kata Aina Cempaka agak kuat. Bungkusan polistirena di atas meja dibuka. Doa dibaca dan nasi goreng kampung disudu dengan penuh nikmat. Lega rasa perutnya yang berkeroncong dari tadi.
Tiba-tiba satu kelibat susuk manusia berada di hadapannya sambil bercekak pinggang. Dengan satu dehaman, barulah Aina Cempaka perasan Faiz Iqbal sudah ada di hadapannya.
“Sekarang ni kau tak dibayar untuk makan!” tegas nada suara Faiz Iqbal.
“Maaf, Encik Iqbal. Sekarang ni waktu rehat.”
“Kalau waktu rehat, kau tak boleh makan kat luar ke? Semak betullah!” tengking Faiz Iqbal. Dia terus melangkah masuk ke dalam bilik pejabatnya. Pintu dihempasnya sekuat hati.
“Apa kena dengan mamat ni? Semalam okey aje. Hari ni naik hantu pulak. Isy, tak faham betullah!” rungut Aina Cempaka dan terus menyambung makan. Malas dipedulikan amarah Faiz Iqbal. Janji perutnya terisi.
Dari dalam bilik, Faiz Iqbal merenung tingkah laku Aina Cempaka.
“Makan lagi? Teruk betul minah ni.” Faiz Iqbal pula merungut sendiri. Hari ini perasaannya benar-benar terganggu. Panas hati dengan kejadian pagi tadi masih belum reda, tapi melihat perempuan ini pula hatinya sedikit terubat. Mengapa?
Mata Faiz Iqbal tidak sedikit pun beralih, melihat Aina Cempaka meneguk air mineral di dalam botol plastik setelah habis mengunyah. Gadis itu kemudiannya menadah tangan.
“Baca doa lagi?” Faiz Iqbal tertanya sendiri.
Kemudian, Aina Cempaka mengeluarkan sesuatu dari dalam laci mejanya. Sebuah bungkusan kain di tangan. Hati Faiz Iqbal semakin tertarik. Kain telekung? Itu dalam mindanya.
Aina Cempaka bangun. Matanya bertemu dengan mata Faiz Iqbal. Pantas Faiz Iqbal mengelak. Berpura-pura menyemak fail di atas meja. Beberapa seketika, pandangan Faiz Iqbal dialihkan semula ke meja kerja Aina Cempaka.
“Ke mana dia? Dah hilang! Surau!” terdetik kata-kata itu di bibir Faiz Iqbal. Tidak pernah pula dia menjejakkan kaki ke tempat itu. Pernah lalu sekejap, tapi tidak pernah menjenguk.
Faiz Iqbal mula rasa keliru. Hendak ikut atau tidak? Kalau tidak ikut, nanti dia tertanya-tanya pula. Itukah ketenangan yang diceritakan oleh Mak Melor pagi tadi? Hampir pecah kepala Faiz Iqbal berfikir.
‘Ah! Tak kira. Aku mesti tahu jugak.’ Punggungnya diangkat. Berjalan keluar dari biliknya menuju ke kawasan surau.
Sampai sahaja di surau, baru Faiz Iqbal tahu, rupa-rupanya ada dua bilik solat. Satu untuk lelaki dan satu lagi untuk wanita. Selama ini kenapalah dia tidak perasan? Dia menghampiri bilik solat wanita. Kasut tumit tinggi milik Aina Cempaka nampak tersidai di situ.
Pintu bilik solat dikuak perlahan. Susuk tubuh Aina Cempaka yang lengkap bertelekung putih kelihatan dari belakang. Gadis itu masih bersolat. Duduk sambil jari telunjuknya dihalakan ke hadapan. Inikah solat? Faiz Iqbal semakin ingin tahu. Sememangnya dia tidak pernah solat. Melihat Aina Cempaka dalam posisi itu hatinya sedikit tenang. Pintu dirapatkannya sedikit. Takut-takut kalau Aina Cempaka terperasan pulak. Mata Faiz Iqbal terus memerhati.
Selesai memberi salam, Aina Cempaka menadah tangan. Beberapa minit kemudian, wajahnya diraup. Ikatan telekung dibukanya perlahan. Kepala pantas menoleh ke belakang. Aneh! Mengapa pintu surau terbuka sedikit? Seingatnya, tadi sudah ditutup rapat. Malas mahu berfikir lagi, pantas Aina Cempaka menutupnya semula.
Faiz Iqbal yang memasang mata di luar terkejut.
‘Huh! Nasib baik minah ni tak menjengah ke luar. Kalau tak, tak tahu aku nak buat macam mana.’ Faiz Iqbal segera melangkah ke dalam bilik pejabatnya semula. Dalam otaknya ligat berfikir. Bermacam-macam persoalan yang terbuku.
“Tenang?” Itu soalan pertama yang terpacul di bibirnya. Langkahnya tidak tentu. Ke hulur dan ke hilir berjalan di kawasan yang sama. Kelibat Aina Cempaka muncul kembali. Langkahnya terhenti. Matanya merenung Aina Cempaka yang sedang duduk menyambung kerja.
Interkom di atas meja di angkat Faiz Iqbal. Memanggil Aina Cempaka masuk.
“Ya Encik Iqbal, ada apa?” soal Aina Cempaka sebaik sahaja mengetuk pintu bilik. Kini, dia berdiri di hadapan Faiz Iqbal.
“Appointment dengan kontraktor pagi tadi macam mana?”
“Saya terpaksa cancel sebab Encik Hasyim tak boleh tunda lagi. Dia ada hal petang ni. Tapi Encik Iqbal jangan risau, sebab saya dah aturkan appointment tu pagi esok,” balas Aina Cempaka. Segala urusan yang melibatkan kontraktor amat penting. Merekalah yang menentukan berjaya atau tidak sesuatu projek itu dijalankan. Semakin berkualiti kontraktor yang diupah, semakin baiklah prestasi kerja yang mereka tunjukkan.
“Okey,” balas Faiz Iqbal ringkas.
“Mmmm... boleh saya tahu, kenapa Encik Iqbal masuk ofis lewat hari ni?”
“Aku bangun lambat. Apasal kau sibuk?” Faiz Iqbal mengambil tempat duduk di atas kerusinya.
“Bukan apa, tadi saya dah call Encik Iqbal banyak kali. Tunggu Encik Iqbal jawab, tapi tak jawab pun. Sebab itulah saya tanya.” Aina Cempaka cuba menegakkan pendiriannya.
“Handphone aku silent. Tak dengar. Lain kali kalau aku datang lambat, tak payah tunggu. Cancelkan terus semua appointment. Aku laparlah. Kau teman aku makan.” Selamba Faiz Iqbal memberi arahan.
“Tapi, saya dah makan tadi.”
“Kat sini aku aje yang boleh bagi arahan. Kau lupa ek?”
“Saya tak rasa boleh makan lagi, Encik Iqbal.”
“Ah! Aku tak kira. Aku dah naik kebulur ni. Sebelum aku telan kau hidup-hidup, baik kau gerak cepat. Move on!” Faiz Iqbal segera keluar dari pejabat. Aina Cempaka tiada pilihan lain dan terpaksa mengekori lelaki itu. Beg tangannya dicapai dan cepat-cepat mengejar Faiz Iqbal dari belakang.
Mereka berdua berjalan kaki menuju ke restoran yang terletak berhampiran dengan bangunan pejabat. Aina Cempaka berjalan selang tiga langkah di belakang Faiz Iqbal. Faiz Iqbal tersenyum suka. Berjaya juga taktik kotornya.
Sampai di restoran itu, Faiz Iqbal mengambil tempat duduk di bahagian luar restoran. Aina Cempaka hanya menurut. Tangan Faiz Iqbal melambai ke arah seorang pelayan.
“Mau makan apa?” soal pelayan berbangsa Pakistan yang berdiri tercegat sambil memegang pen dan sekeping buku nota.
“Kasi mi goreng sama teh ais.” Faiz Iqbal membuat pesanan.
“You?” soal pelayan itu kepada Aina Cempaka.
“Ais kosong satu.”
“Ais kosong aje? Jimat ke apa kau ni?” kata Faiz Iqbal sebaik sahaja pelayan itu berlalu pergi.
“Kan saya dah cakap tadi, saya dah kenyang. Encik Iqbal tak faham ya?”
“Suka hati kaulah.” Faiz Iqbal menarik muka.
Aina Cempaka melihat jam di tangannya.
“Awal lagilah!” kata Faiz Iqbal.
“Saya tahu.”
“Yang kau usyar jam tu kenapa?”
“Tengok jam pun salah ke?”
“Tak salah. Cuma, sakit mata…” nada suara Faiz Iqbal perlahan.
Mereka diam sekejap. Pesanan yang diminta diletakkan di atas meja. Faiz Iqbal pantas menyudu mi goreng ke dalam mulut. Kemudian dia menghirup laju minuman pula. Aina Cempaka hanya memerhati. Sedar diri diperhatikan, Faiz Iqbal berhenti menyedut minumannya.
“Tengok apa?” soal Faiz Iqbal. Aneh.
“Errr... tak ada apa-apa.” Aina Cempaka kalut. Terleka sekejap otaknya melihat lelaki itu. Makan tidak baca bismillah? Kalaulah Mak Safiah nampak dia buat begitu, pasti sudah kena ketuk mulutnya dengan penyangkut baju.
“Kalau kau nak tengok muka aku, jangan curi-curi. Tengoklah! Tak kena bayar pun.”
Aina Cempaka hanya tersenyum dengan kata-kata Faiz Iqbal. Perasan!
“Mmmm... Encik Iqbal nak dengar satu cerita tak?” pancing Aina Cempaka.
“Ceritalah cepat. Aku dengar ni.” Faiz Iqbal menunjukkan minat.
“Dulu... masa saya kecik-kecik, mak saya selalu pesan. Sebelum dan selepas makan kita kena baca doa. Kalau tak, nanti setan duduk bertenggek makan sekali dengan kita.”
“Bertenggek?”
“Haah. Sebab tu kita kena baca doa sebelum makan.”
“Oh... ya ke?” Tangan Faiz Iqbal meletakkan semula sudunya ke dalam pinggan. Terbantut pula seleranya. Tidak sanggup duduk semeja dengan syaitan, makan dengan mereka walaupun hakikatnya, itu semua tidak boleh dibayangkan dengan mata akalnya sendiri. Ee… ngeri!
“Tapi, kalau terlupa tak apa. Encik Iqbal boleh baca doa lain.”
“Doa apa?” Faiz Iqbal ingin tahu.
“Doa terlupa baca bismillah.”
“Macam mana nak baca?”
“Mmmm... cuba Encik Iqbal ikut saya baca. Bismillaahi awwaalahu wa aakhirahu.” Aina Cempaka menadah tangan.
“Bismillaahi awwaalahu wa aakhirahu...” perlahan Faiz Iqbal menyebut sambil menadah tangan.
“Kan senang. Lain kali, kalau terlupa boleh baca doa tu,” balas Aina Cempaka.
Buat pertama kalinya Faiz Iqbal tersenyum. Kembali menyelesaikan makanannya. Habis licin satu pinggan.
“Encik Iqbal dah habis makan ke?” soal Aina Cempaka, melihat Faiz Iqbal masih menyedut sisa minumannya.
“Dah.”
“Kalau macam tu, kita baliklah. Dah lewat ni, takut lambat pulak masuk ofis nanti.”
Faiz Iqbal mengangguk dengan kata-kata Aina Cempaka. Mereka berjalan seiring pulang ke pejabat. Tidak ada sepatah perkataan pun. Masing-masing melayan perasaan sendiri.
Sebaik sahaja masuk ke pejabat, Aina Cempaka menyambung tugasnya semula. Tiba-tiba telefon bimbitnya tiba-tiba berbunyi. Nama Mohsin tertera di skrin telefon. Aina Cempaka tersenyum sendiri.
“Assalamualaikum.” Aina Cempaka memberi salam.
“Waalaikumussalam. Pukul berapa balik?” suara Mohsin jelas kedengaran.
“Bukan ke kau kat Penang sekarang ni?”
“Aku dah balik la. Kerja settle! Lagipun, aku rindulah dekat kau,” nada suara Mohsin bertukar manja.
“Ek eleh! Blah la…” Aina Cempaka tergelak. ‘Gurauan apalah petang-petang ni. Orang sibuk buat kerja, boleh pulak mamat ni main-main.’
“Pukul berapa balik?”
“Sikit lagi habislah. Kenapa?”
“Kejap lagi aku datang ambil.”
“Tak apalah nanti aku naik bas. Buat susahkan kau aje.”
“Tak apa. Lagipun aku memang dah on the way ni.”
“Tak apa ke?”
“Ya... tak apa. Tak menyusahkan pun. Okeylah, aku tengan drive ni. Jumpa nanti.”
“Oh, okey, okey... nanti kita jumpa kat bawah.” Aina Cempaka meletakkan telefon. Tersenyum lega dapat mendengar suara Mohsin.
Kak Tasnim dan Kak Salmah datang menghampiri.
“Amboi, amboi! Bila kita orang ajak, bukan main tak mah. Bila Encik Iqbal tu... boleh pulak!” usik Kak Tasnim, mengingatkan kejadian tengah hari tadi.
“Betul tu. Korang ni mesti ada apa-apa, kan?” Kak Salmah menambah.
“Apa ni kak? Tak adalah. Encik Iqbal cuma ajak temankan dia makan aje,” bidas Aina Cempaka.
“Ala... mata kita orang ni belum buta lagilah Cik Aina Cempaka oi! Mesra bukan main. Tersengih-sengih...” Kak Salmah mengusik lagi.
“Ya Allah! Betul... tak ada apa-apa.” Aina Cempaka meyakinkan.
“Yalah tu. Akak tak percaya!” kata Kak Tasnim pula. Mereka berdua ketawa terkekeh-kekeh.
“Apa hal mak-mak beruang ni suka sangat? I tak faham betullah. Asyik mengumpat aje kerjanya korang ni. Macam dah tak ada kerja!” terjah Burn.
“Mak-mak beruang pun, kita orang tetap hot tau!” bantah Kak Tasnim.
“Yalah tu. Ni apa kes? Cer cerita sikit,” korek Burn.
“Si Aina ni. Tadi kita orang nampak dia keluar makan dengan Encik Iqbal, tahu tak?” Kak Tasnim memanjangkan muncungnya ke arah bilik Faiz Iqbal.
“So?” soal Burn.
“So, ini satu keajaiban! Tak pernah you, Encik Iqbal ajak secretary dia keluar makan. Terbaru dalam sejarah!” Kak Salmah menjerit kecil.
“Ala... apa yang peliknya. I tengok Aina ni dengan Encik Iqbal sepadan aje. Macam pinang dibelah dua, tak gitu Aina?” Burn menepuk perlahan bahu Aina Cempaka.
“Ini lagi sorang. Berapa kali Aina nak cakap, tak ada apa-apalah. Okeylah, kerja Aina pun dah siap. Aina nak pergi solat dulu, lepas tu nak balik. Korang tak nak balik ke?” Aina Cempaka mengemas mejanya.
“Mestilah. Kita orang ni pun dah tak lalu nak duduk menghadap kat ofis ni lama-lama. Jom Tasnim, kita balik.” Kak Salmah menarik lengan Kak Tasnim.
“Tengok tu! Memang mak beruang betullah. Macam lalang,” rungut Burn.
Aina Cempaka hanya tersengih.
“Encik Iqbal tak balik lagi ke?” soal Burn sambil melihat susuk tubuh Faiz Iqbal yang tekun bekerja di dalam pejabatnya.
“Sikit lagi dia baliklah tu. Malas saya nak kacau. Nanti tak pasal-pasal kena marah pulak. Okeylah Burn, saya nak solat dulu. Jumpa esok.”
“Yalah. See you tomorrow darling!” Burn mengenyitkan matanya.
Aina Cempaka segera menuju ke surau untuk menunaikan solat asar. Selepas ini dia perlu menunggu Mohsin. Tidak mahu buat Mohsin tertunggu-tunggu.



LALUAN masuk Utama Ibunda Corporation terasa lengang. Maklumlah, semua kakitangan sudah pun selamat pulang. Hanya tinggal Aina Cempaka yang berdiri terpacak menanti di ruang legar. Matanya mencari-cari kereta milik Mohsin. Mana Mohsin ni? Sudah lenguh kakinya menunggu. Namun, bayang lelaki itu tetap tiada.
“Tunggu siapa?” sapa Faiz Iqbal dari belakang.
“Oh, Encik Iqbal! Terkejut saya. Saya tengah tunggu kawan. Lambat pulak dia hari ni.”
“Ya ke kawan?”
“Yalah.”
“Semalam kau balik dengan dia jugak ke?”
“Taklah. Semalam saya naik bas,” jawab Aina Cempaka. Aneh. Sejak bila pula lelaki bernama Faiz Iqbal ini bertukar menjadi penyibuk? Selalunya dia tidak suka jaga tepi kain orang.
“Kenapa tak cakap awal-awal. Aku boleh tumpangkan kau.” Faiz Iqbal menatap wajah Aina Cempaka. Tidak berkelip mata dengan wajah yang serius.
Aina Cempaka terdiam. Terkejut. Pelik.
“Kenapa diam?” soal Faiz Iqbal.
Mata mereka bertaut seketika.
“Err... tak ada apa-apa.”
“Bila skuter buruk kau boleh siap?” soal Faiz Iqbal lagi.
“Pagi esok. Bengkel motor yang Encik Iqbal rekomen semalam dah call saya pagi tadi. Mmmm… terlupa pulak saya nak ucap terima kasih.” Aina Cempaka tersenyum memandang wajah Faiz Iqbal.
Faiz Iqbal buat lagak biasa. Pura-pura tenang. Padahal jantungnya sudah berdenyut-denyut laju mengepam darah ke muka.
“Pukul berapa kawan kau tu sampai?”
“Alhamdulillah! Panjang umur dia… dah sampai pun. Saya pergi dulu ya, Encik Iqbal,” ucap Aina Cempaka sebaik sahaja melihat kereta milik Mohsin menyusur masuk. Segera dia meluru masuk ke dalam kereta Mohsin.
Faiz Iqbal hanya memandang dari jauh. Tidak sempat menjawab apa-apa.
“Siapa tu?” soal Mohsin sebaik sahaja Aina Cempaka duduk di sebelahnya.
“Bos akulah,” jawab Aina Cempaka. Memasang tali pinggang keledar.
“Faiz Iqbal?” soal Mohsin selamba. Segera dia meluncur laju meninggalkan Ibunda Corporation.
“Mana kau kenal?”
Mohsin hanya tersenyum dengan soalan Aina Cempaka.
“Aku tanya betul-betul ni. Dia boleh tersengih pulak!” rungut Aina Cempaka.
“Dia rakan kongsi syarikat aku. Buat projek pembinaan pusat membeli-belah kat Ampang. Hari tu pernah terserempak sekali,” kata Mohsin.
“Oh! Dah tu apa yang berlaku?”
“Tak ada apa-apa.” Mohsin mengangkat bahu.
“Aku tak pernah pun sembang dengan dia. Tapi, setakat yang aku tahu la kan... dia tu bukannya baik sangat,” tambah Mohsin lagi.
“Pandai-pandai aje kau ni. Mana kau tahu yang dia tu jahat?” Aina Cempaka cuba membela. Tiba-tiba rasa tidak senang duduk apabila Mohsin cakap begitu.
“Bukan aku yang cakaplah, itu orang lain yang cakap. Aku cuma sampaikan kat kau aje. Lebih baik kau berhati-hati,” ucap Mohsin.
Aina Cempaka hanya mengangguk tanda faham.
“Bukan semua orang suka kat dia. Dahlah berlagak, banyak bunyi pulak tu. Kau tahu tak? Hampir kecoh syarikat aku bila dia datang mengamuk sebab tender tak jadi.” Mohsin teringat peristiwa beberapa minggu yang lepas. Habis kalut satu pejabat Datuk Mazlan gara-gara amukkan Faiz Iqbal.
Kalau diikutkan hati, Mohsin juga mahu berhenti kerja dari situ. Yalah! Datuk Mazlan memang banyak buat aktiviti haram dalam perniagaannya. Rasuah? Penyelewengan? Semuanya ada. Tapi, apa boleh buat. Mohsin hanya makan gaji di syarikat itu. Terpaksa bekerja sebagai salah seorang arkitek mengikut perjanjian kontrak yang pernah ditandatanganinya dengan Datuk Mazlan. Nasib baik tempohnya cuma ada lebih kurang dua bulan lagi.
“Tender dengan Datuk Mazlan tu ke?” soal Aina Cempaka.
“Mana kau tahu ni?” Mohsin menatap wajah Aina Cempaka sekejap. Kemudian anak matanya dialihkan pula ke jalan raya.
“Orang tua miang tu aku kenallah. Tapi, aku tak pernah pun tengok muka dia. On call aje. Hari tu Encik Iqbal ada suruh aku jumpa dia. Tapi sekarang, senyap aje. Aku rasa tak jadi kut.”
“Aina. Aku rasa macam ada yang tak kenalah. Kenapa dia nak suruh kau jumpa Datuk Mazlan pulak. Entah-entah...”
“Entah-entah apa?”
“Entahlah aku pun tak tahu. Rasa macam tak sedap hati pulak. Lebih baik kau jangan jumpa dia. Kalau kau nak jumpa juga dengan orang tua miang tu, kau ajak aku sekali tau!” jelas Mohsin dengan wajah serius.
Semestinya Mohsin masak sangat dengan perangai orang tua itu. Bukanlah Datuk Mazlan namanya kalau tidak ada agenda tersembunyi. Tambah-tambah lagi dengan mereka yang bergelar kaum hawa.
“Yang kau emosi sangat ni apa hal?” Aina Cempaka mencuit pipi Mohsin.
“Bukan emosi. Aku ni kan dah macam abang kau. Kau yang cakap macam tu, kan?” kata Mohsin. Dalam maksudnya. Ada perli. Ada tidak puas hati. Marah? Mungkin.
“Okey, fine. Terima kasih abang,” usik Aina Cempaka.
“Abang?”
“Yalah! Habis tu apa?” Aina Cempaka menatap wajah Mohsin.
“Abang pun abanglah...” Mohsin ketawa suka. Mereka berdua tergelak bersama.
Sebaik sahaja sampai di hadapan rumah sewanya, Aina Cempaka ingin membuka pintu kereta. Pantas lengannya dipaut oleh Mohsin.
“Nanti. Bagi aku tengok muka kau kejap.”
“Kau ni dah kenapa?” Aina Cempaka membuat muka aneh.
“Kalau aku tak tengok muka kau, nanti aku tak lalu nak makan,” ucap Mohsin lembut.
“Apa? Ingat boleh kenyang ke tengok muka aku ni? Aku tak...” Belum sempat Aina Cempaka menghabiskan kata-katanya, jari Mohsin berada di bibir Aina Cempaka.
“Mak nenek! Kau jangan membebel boleh tak. Tolong diam seminit okey...” bisik Mohsin perlahan di telinga Aina Cempaka. Aina Cempaka teragak-agak. Duduk diam kaku di sisi Mohsin.
Beberapa minit kemudian baru Mohsin bersuara.
“Terima kasih,” ucap Mohsin dengan senyuman.
“Untuk apa?”
“Temankan aku naik kereta walaupun sekejap.” Mohsin tergelak sendiri.
Aina Cempaka turut tersenyum. Membuka pintu kereta dan melangkah keluar.
“Terima kasih jugak sebab hantar aku balik,” kata Aina Cempaka. Menutup semula pintu kereta.
“Sama-sama.” Mohsin senyum lagi. Menghidupkan enjin keretanya dan berlalu pergi. Terubat sedikit rindunya nanti.

Tuesday 29 December 2015

MAAF, SAYA TAK SENGAJA - BAB 11

SEPERTI pagi-pagi kebiasaannya, tepat jam 10 pagi Mak Melor sudah pun selesai mengemas kondominium milik Faiz Iqbal. Dari ruang tamu sehinggalah ke bahagian dapur, habis berkilat dicucinya. Mak Melor tersenyum puas hati.
Kini, tiba masanya untuk memasak. Petang nanti Faiz Iqbal akan pulang dari pejabat, mesti dia kelaparan. Kalau buat ikan sardin masak asam pedas, pasti sedap. Lagipun, lauk itu memang jarang dimasaknya. Pasti licin disental Faiz Iqbal nanti. Fikir wanita tua itu.
Mak Melor membuka kabinet dapur. Menjengketkan kakinya untuk mengapai tin sardin di dalam laci kabinet. Namun, ketinggiannya masih tidak mencukupi. Dia menarik sebuah kerusi dan memanjatnya.
“Ya Allah, apa ni?” Hampir tercabut jantung orang tua itu. Di belakang beberapa buah tin sardin tersembunyi berbotol-botol minuman keras. Dada Mak Melor berdegup laju. Takkanlah Faiz Iqbal minum lagi? Kalau tidak silap Mak Melor, sudah hampir bertahun-tahun lamanya Faiz Iqbal meninggalkan tabiat itu. Takkan selama ini lelaki itu hanya berpura-pura di hadapannya?
“Ini tak boleh jadi...” bisik Mak Melor sendiri. Dia memunggah semua botol-botol minuman keras itu ke bawah. Setiap botol dibuka perlahan dan dituangkan isinya masuk ke dalam singki. Biar cecair haram itu habis ditelan lubang singki. Kemudian, diisinya semula botol-botol arak itu dengan air masak. Menutupnya rapat dan menyusun semula botol-botol tersebut seperti sediakala.
Mak Melor menarik nafas panjang. Beristighfar beberapa kali. Lelah rasanya menasihati pemuda yang bernama Faiz Iqbal ini. Degil! Hanya mampu berdoa agar Faiz Iqbal mendapat hidayah dan segera meninggalkan amalan terkutuk itu. Mungkin dengan cara ini mampu mengurangkan tabiat ketagihan alkoholnya. Sesungguhnya, Mak Melor sudah bersedia dengan apa sahaja yang bakal diterimanya daripada Faiz Iqbal selepas ini.



JAM di dinding pejabat sudah menunjukkan angka 10.30 pagi. Faiz Iqbal sudah tidak keruan. Matanya tercari-cari kelibat Aina Cempaka. Takkanlah gadis itu benar-benar mahu berhenti kerja? Tidak mungkin hanya kerana kejadian semalam dia mahu bertindak sedemikian. Panas betul hati Faiz Iqbal memikirannya.
“Encik Iqbal cari siapa?” sapa Burn apabila melihat majikannya asyik mundar-mandir di hadapan meja kerja Aina Cempaka.
“Mana Aina? Kenapa lambat sangat masuk ofis?” soal Faiz Iqbal.
“Ooo... I lupa nak beritahu Encik Iqbal. Tadi Aina ada call I… mungkin dia masuk lambat sikit sebab skuter dia habis minyak kat tengah jalan.”
“Oh! Patutlah…”
“Apa yang patutnya Encik Iqbal,” soal Burn. Buang tabiat apa pula lelaki ini bertanyakan soal Aina Cempaka? Tak pernah-pernah pula Faiz Iqbal berkelakuan macam ini.
“Tak… maksud saya, dia macam mana sekarang?”
“Tengah tunggu bantuan katanya. Itu yang lambat sikit. Tadi dia ada minta tolong saya ambil. Tapi nak buat macam mana, kami semua busy. So, tak dapat nak tolong. Kenapa? Encik Iqbal nak tolong ambil dia ke?” duga Burn.
“Dia ada kat mana sekarang?”
Burn tersenyum penuh makna mendengar kata-kata Faiz Iqbal. Sah! Ada sesuatu yang tidak kena.
“Nanti saya call dia. Encik Iqbal tunggu sekejap ya.”
Faiz Iqbal mengangguk tanda faham.
Beberapa minit kemudian Burn muncul dengan sekeping nota.
“Ni nama jalan dan nombor telefon Aina Cempaka. Kalau tak jumpa dia nanti, Encik Iqbal boleh call dia terus,” saran Burn.
Tanpa banyak soal lagi, Faiz Iqbal segera melangkah keluar dari pejabatnya. Jika benar Aina Cempaka dalam kesusahan, Faiz Iqbal perlu bantu.



PELUH menitis laju di dahi Aina Cempaka. Habis basah baju kurung di bahagian belakang tubuhnya. Menyorong perlahan skuter yang mati kehabisan minyak. Kudratnya sudah habis digunakan untuk menahan kenderaan yang lalu-lalang. Namun, tiada sebiji kenderaan pun yang mahu berhenti menawarkan bantuan. Hatinya terpaksa bersabar.
Nasib baik Burn menelefonnya tadi. Kalau tidak, entah siapalah yang hendak datang menolongnya. Mana Burn ni? Kaki Aina Cempaka terasa lenguh. Dia duduk sebentar di bahu jalan. Topi keledar yang dipakainya dibuka pantas. Terasa lebih selesa. Matanya menyorot pada sebuah kereta bercermin gelap yang berhenti berhampirannya.
“Macam kenal,” bisik Aina Cempaka sendiri.
Faiz Iqbal melangkah keluar. Automatik tubuh Aina Cempaka berdiri tegak. Macam nyanyi lagu Negaraku.
‘Tak guna punya Burn! Penipu!’ jerit hati kecil Aina Cempaka. ‘Mengapa lelaki ni lagi? Sanggup kau tipu aku Burn!’ bentak hati Aina Cempaka. Teringat kata-kata manis Burn di dalam telefon tadi yang kononnya mahu datang menjemput.
“Kenapa ni?” soal Faiz Iqbal. Penuh prihatin. Menatap tepat ke wajah Aina Cempaka.
“Skuter saya habis minyak.”
“Kenapa tak isi awal-awal?”
“Manalah saya tahu minyak dah nak habis!”
“Marah?”
“Tak marah. Suka!”
Faiz Iqbal tergelak dengan jawapan Aina Cempaka.
“Kenapa Encik Iqbal gelak? Tak kelakarlah!”
“Tak. Rambut kau tu… cuba betulkan sikit. Dah macam orang baru bangun tidur.”
Pantas Aina Cempaka membetulkan semula rambutnya yang agak serabai. Wajahnya mula merona kemerahan. Malu pula ditegur begitu oleh Faiz Iqbal.
Faiz Iqbal menghampiri skuter Aina Cempaka. Kelihatan sisa-sisa minyak tertumpah membasahi jalan tar. Faiz Iqbal tersenyum sendiri.
“Patutlah minyak habis. Tangki kau bocorlah.” Faiz Iqbal membongkok melihat ke bawah skuter. Aina Cempaka turut menjenguk ke bawah. Membongkokkan diri.
“Yalah Encik Iqbal. Saya tak perasan pulak tadi. Nak buat macam mana ni?” Aina Cempaka menyoal.
“Tak apa. Nanti aku call orang suruh angkut motor buruk kau ni. Ermm… cuaca panas ni. Kau tunggu la dulu kat bawah pokok tu. Nanti demam, tak boleh buat kerja pulak,” arah Faiz Iqbal. Bibirnya dijuihkan ke arah beberapa biji batu-bata yang bertaburan di bawah sebatang pokok rendang berhampiran simpang jalan.
Selesai membuat panggilan, Faiz Iqbal kembali menghampiri Aina Cempaka. Menyusun dua tiga biji bata untuk membuat alas punggung, duduk bersebelahan Aina Cempaka. Matanya dihalakan ke arah jalan raya.
“Bila diaorang boleh sampai?” soal Aina Cempaka.
“Dalam setengah jam.” Ringkas jawapan Faiz Iqbal.
“Kalau macam tu, Encik Iqbal balik dululah. Nanti saya menyusul.”
“Kenapa pulak macam tu?”
“Yalah, takkanlah Encik Iqbal nak tunggu kat sini lama-lama,” bidas Aina Cempaka.
“Kau nak tahu sesuatu tak?” Faiz Iqbal merenung mata Aina Cempaka.
“Apa dia?”
“Kat sini aku sorang aje yang boleh bagi arahan.” Agak sinis nada Faiz Iqbal.
Aina Cempaka memalingkan mukanya ke belakang. Cuba mengajuk semula apa yang diperkatakan oleh Faiz Iqbal.
“Kau buat apa tu hah?”
“Eh! Tak ada apa-apa Encik Iqbal. Cuba tengok kalau-kalau orang yang angkut motor buruk saya ni dah sampai ke belum.” Aina Cempaka tersenyum kambing.
“Mmmm… sikit lagi sampailah tu.” Faiz Iqbal berbasa-basi. Faham dengan sindiran Aina Cempaka.
Nampaknya Aina Cempaka macam tidak marah. Mungkin dia sudah melupakan hal semalam. Tapi, tidak mungkin secepat ini. Faiz Iqbal patut menguji.
“Aku minta maaf pasal semalam. Aku cuma tak nak kau jumpa dengan tok wan. Sebab tu aku heret kau keluar dari hotel.” Selamba sahaja bicara Faiz Iqbal.
“Eh! Tak apa. Sepatutnya saya yang minta maaf. Yalah, saya yang bersangka buruk kat Encik Iqbal.”
“Bersangka buruk? Apa yang kau sangka?” Faiz Iqbal menaikkan keningnya.
“Ermm… bukan macam tu. Sebenarnya saya nak berterima kasih sangat kat Encik Iqbal sebab tumpangkan saya semalam. Terima kasih ya, Encik Iqbal.” Aina Cempaka merenung mata lelaki itu. Fuh! Selamat.
Faiz Iqbal menundukkan wajah. Hanya mengangguk. Entah mengapa hatinya rasa lega. Bergetar rusuk kirinya pun ada.
“Boleh tak kalau saya nak tanya Encik Iqbal sesuatu?”
“Tanya apa?”
“Tapi janji… Encik Iqbal jangan marah.”
“Kalau kau belum tanya aku, macam mana aku nak marah?” tegas Faiz Iqbal.
“Aik! Belum tanya lagi dah naik marah?” duga Aina Cempaka.
“Tanyalah cepat!” Tak tahan lagi Faiz Iqbal melayan kerenah gadis itu.
“Encik Iqbal anak tunggal ya? Bukannya apa… saya cuma tertanya-tanya aje.”Aina Cempaka menyoal.
Faiz Iqbal hanya mengangguk.
“Oh! Kalau macam tu… nasib kita samalah. Sebenarnya, saya pun anak tunggal jugak. Ayah saya dah lama meninggal, tinggal saya dengan mak saya aje. Encik Iqbal?” Aina Cempaka tersengih-sengih.
Faiz Iqbal tidak menunjukkan sebarang reaksi. Aina Cempaka terdiam sendiri. Mungkin dia tersilap tanya agaknya. Malunya dia sebab syok sendiri.
Beberapa saat mendiamkan diri, akhirnya Faiz Iqbal bersuara.
“Mak ayah aku dah meninggal. Tan Sri Berahim bukan datuk kandung aku. Aku cuma anak angkat aje.” Faiz Iqbal kembali merenung wajah Aina Cempaka.
“Maaf, saya tak tahu.” Aina Cempaka jadi serba salah lalu menundukkan pandangan mata. Bahaya renungan lelaki ini. Macam mahu masuk ke dalam hati. Kalau tidak ditangkis, boleh jadi barah cinta!
“Diaorang meninggal masa aku kecik, kemalangan jalan raya.” Faiz Iqbal mengalihkan pandangan.
Aina Cempaka rasa simpati. Tiada lagi kata selepas itu. Mereka hanya diam bersama bunyi hiruk-pikuk kenderaan yang lalu-lalang, menunggu bantuan tiba.
“Encik Iqbal, lori tunda dah sampai.” Kejut Aina Cempaka. Seorang lelaki Cina berusia lewat 50-an  bersama seorang pembantunya keluar dari perut lori.
“Haiya, Iqbal. Apa kes ni?” Lelaki itu menepuk mesra bahu Faiz Iqbal. Lagak macam sudah lama tidak jumpa.
“Lim. Lu angkat ini motor. Kasi servis.” Faiz Iqbal memberikan arahan.
“Baik bos.” Lelaki yang digelar Lim itu tersenyum.
“Bos?” Faiz Iqbal merenung tajam muka Lim.
“Manyak sorrylah… wa lupalah Encik Iqbal. Sudah biasa ma.” Lim berdolak-dalik. Tersilap cakap pula dia.
“Tak apa. Lagipun memang dah lama kita tak jumpa. Lu angkutlah motor buruk ni naik,” kata Faiz Iqbal.
“Nampak baru lor. Mana ada buruk…” Lim membelek-belek skuter milik Aina Cempaka. “Ini skuter lu punya ka? Sudah losak apa?” soal Lim kepada Aina Cempaka.
“Ya, saya punya. Tak tahu kenapa tiba-tiba dia buat hal pulak hari ni.” Aina Cempaka tersenyum manis.
“Ini kad wa. Bila sudah siap lu boleh angkat. Tak pun, nanti wa call beritahu.” Lim menghulurkan kad perniagaannya kepada Aina Cempaka.
“Okey. Ini kad saya.” Aina Cempaka mengeluarkan kadnya pula.
“Wah, ini amoi lu punya secretary ka Encik Iqbal? Manyak lawa,” kata Lim sebaik sahaja membaca isi kad.
Aina Cempaka hanya tersenyum.
“Kalau macam itu, wa pergi dululah. Nanti apa-apa hal wa call you Miss Aina Cempaka.” Lim tersenyum mesra lalu menaiki semula lori setelah pembantunya selesai memasukkan skuter Aina Cempaka ke dalam bahagian belakang lori.
“Tunggu apa lagi? Kerja kat ofis tu berlambak-lambak lagi nak kena buat.” Kejut Faiz Iqbal. Tidak mahu membuang masa, Aina Cempaka menurut.



BURN tersengih-sengih sebaik sahaja kelibat Aina Cempaka dan Faiz Iqbal muncul di hadapan pintu pejabat. Aina Cempaka mengetap bibir. Geram dengan penipuan Burn.
“Aina, nanti hantar kopi O kat dalam,” arah Faiz Iqbal sebelum melangkah masuk ke dalam bilik pejabatnya.
“Tak guna kau Burn!” Aina Cempaka mencubit halus perut gendut lelaki itu.
“Apa ni? Sakitlah!” Burn mengurut kesan cubitan Aina Cempaka.
“Kau cakap nak ambil aku. Kenapa Encik Iqbal pulak yang datang tadi?” Aina Cempaka tidak puas hati.
“Manalah I tahu. Dia yang tanya-tanya pasal you tadi. I ikut aje…” Burn membuat alasan.
“Apa-apalah Encik Bakar. Suka sangat menipu, tak baik tau. Nanti dapat balasan, baru tahu!”
“Ala… Aina, I minta maaflah. Tak sengaja.” Goda Burn agak manja.
“Okey, tak apa. Tahulah awak nanti.” Aina Cempaka mengugut.
“Janganlah marah. Nanti I belanja you makan, nak tak?”
“Janji ni?”
“Yes. I promise.”
Mereka tergelak bersama. Lupa sekejap apa yang sudah berlaku. Mereka kembali melakukan tugas masing-masing seperti biasa. Hari ini semua tugas mesti diselesaikan dengan cepat dan berkualiti. Aina Cempaka mahu segalanya berjalan dengan lancar.



FAIZ IQBAL menyelongkar kabinet dapur. Penat bekerja pada waktu siang tadi membuatkan Faiz Iqbal rasa tertekan. Malam ini terasa panas. Begitu juga hatinya. Dia membuka satu per satu botol arak dari almari kabinet dapur. Meneguknya rakus.
‘Semuanya air masak!’ Botol-botol itu dihempasnya ke lantai. Tubuhnya menggigil bersama air mata yang mengalir. Kepalanya terasa mahu pecah. ‘Tak guna punya Mak Melor! Sampai hati dia buat aku macam ini!’
Tubuhnya disandarkan ke dinding. Kepalanya diketuk bertalu-talu biar rasa lebih lega. Namun, semua itu tidak dapat membantu. Dia memang tidak mampu untuk menahan ketagihannya lagi. Serpihan-serpihan kaca yang bertaburan di atas lantai mula dicari. Takungan air masak dalam serpihan kaca itu dihirupnya kasar. Walaupun tiada rasa, baunya tetap ada. Itu pun sudah memadai baginya.
Oleh kerana tersilap cara, serpihan kaca terbenam sedikit ke bibir bawahnya. Habis menitis darah hingga ke baju. Faiz Iqbal menekup bibir lalu bangun menuju ke singki. Paip air dibuka. Mukanya dibasuh dengan air yang mengalir laju, mencuci darah merahnya sekali. Pedih. Dia mengeluh menahan kesakitan. Sisa darah masih kelihatan di bibirnya.
Meja dihentak dengan kuat. Hatinya sakit dan fikirannya runsing. Tidak tenteram. Semuanya ada. Ketagihan ini memang sudah tidak dapat diubati lagi.
Akhirnya, dia duduk mencangkung. Memeluk tubuhnya yang kepanasan. Air mata mengalir lagi. Teresak-esak macam budak kecil. Apa yang difikirkan sekarang? Dia pun tidak tahu. Hatinya benar-benar keliru. Berkecamuk. Kosong!

MAAF, SAYA TAK SENGAJA - BAB 10

HARI ini Aina Cempaka melangkah masuk ke dalam pejabat agak lewat daripada biasa. Nasib baik hanya beberapa orang sahaja staf yang kelihatan. Nampaknya, dia tidaklah begitu lambat.
Aina Cempaka cuba membetulkan kain baju kebaya labuhnya yang singkat sebelah akibat ditiup angin semasa menunggang skuter tadi. Mana tidaknya, dia terpaksa membuat aksi perlumbaan Formula One. Memecut laju mengalahkan Michael Schumacher!
Pandangan mata Aina Cempaka terpaku seketika. Seorang wanita berbaju kebaya ketat dan kelihatan sangat bergaya berada di dalam bilik Faiz Iqbal. Hati Aina Cempaka mula tertanya-tanya. Perasan akan kewujudan Aina Cempaka, wanita berusia dalam lingkungan 50-an itu keluar dari bilik pejabat dan menghampirinya.
“Cik Aina Cempaka, kan?” soal wanita itu agak mesra. Dia tersenyum manis merenung wajah Aina Cempaka.
“Ya, saya. Boleh saya tahu… Puan ni siapa?”
“Saya Datin Mariam. Mak saudara Iqbal. Anak perempuan kepada Tan Sri Berahim. Hurmm… macam mana kerja awak sekarang, okey tak?” Agak aneh sedikit soalan yang dirasakan oleh Aina Cempaka.
“Errrr... okey.”
“Ada tak dia marah-marah?”
“Sikit...”
“Sikit macam mana tu?”
“Biasalah... kalau saya ada apa-apa tersilap, mesti kena betulkan.”
“Ada dia cakap nak pecat awak?”
“Tak. Errmm… kenapa ya?” soal Aina Cempaka. Tidak selesa apabila disoal bertubi-tubi. Sudah macam wartawan majalah hiburan pula.
“Tak ada apa-apa. Pukul berapa dia selalu masuk ofis?”
“Aaaaa... Datin, sekarang ni waktu pejabat belum mula lagi. Sekarang baru pukul 7.50.” Aina Cempaka menunjukkan jam tangan yang dipakainya. Kalau boleh dia mahu mengelak soalan tersebut. Malas merumitkan keadaan. Nanti tidak pasal-pasal kena marah dengan Faiz Iqbal. Dicap sebagai ‘tukang report’ pula. Oh, simpang malaikat 44!
“Ooo… ya ke? Maaf, saya tak perasan. Awak nak breakfast dulu ke ni?” soal Datin Mariam, mencuri pandangan pada bungkusan polistirena di atas meja Aina Cempaka.
“Ya... nasi lemak sambal sotong. Datin nak join sekali?” agak kekok Aina Cempaka menjemput. Bukan niat hendak ajak betul-betul, buat manis mulut aje. Ajak-ajak ayamlah katakan.
Datin Mariam menelan air liur. Teringin juga dia sebenarnya.
“Tak apalah. Saya tak makan nasi lemak. It’s contain too much fat. Lebih baik awak jangan makan tiap-tiap hari. Nanti obesiti,” bisik Datin Mariam perlahan.
Aina Cempaka mengangguk. Rasa macam kelakar pun ada.
Hakikatnya, Datin Mariam hanya mahu menduga. Ingin melihat reaksi yang ditunjukkan oleh Aina Cempaka. Berkenan pula dia dengan setiausaha yang baru ini. Berbeza dengan yang lain-lain. Harap muka aje cantik, tapi kalau tidak ada budi bahasa, tidak guna juga. Berbeza dengan gadis muda di hadapannya ini. Nampak jujur dan berpenampilan biasa-biasa saja. Mungkin sedikit dandanan mampu mengubah rupa luarannya. Fikir Datin Mariam dalam hati.
“Datin nak jumpa Encik Iqbal sekarang ke? Selalunya 15 minit sebelum ofis hour dia dah ada. Mungkin kejap lagi ada kut. Nak saya buatkan kopi?” kejut Aina Cempaka. Baru Datin Mariam tersedar daripada lamunannya.
“No... no... bagi saya air suam aje,” pinta Datin Mariam.
Aina Cempaka melangkah masuk ke dalam pantri. Memenuhkan gelas kaca daripada alat penapis air. Sebaik sahaja minuman diserahkan kepada Datin Mariam, Faiz Iqbal muncul di hadapan mereka. Panjang umur betul lelaki ini.
“Mak ngah buat apa datang ofis pagi-pagi buta ni?” soal Faiz Iqbal. Pelik pula melihat Datin Mariam. Jarang wanita ini datang bertandang kecuali kalau ada hal-hal penting.
“Nak jumpa anak saudara sendiri pun salah ke? Betul ke salah, Aina?” Datin Mariam merenung wajah Aina Cempaka yang kelihatan makin serba salah, tidak berani bersuara. Hanya mampu tersengih-sengih macam kerang busuk.
“Tak salah... mak ngah. Masuklah,” kata Faiz Iqbal. Membuka pintu pejabatnya dan masuk.
Datin Mariam melangkah masuk dengan lagak biasa. Aina Cempaka sudah menghembuskan nafas lega. Tidak tahu hendak layan macam mana lagi. Dia terus kembali ke meja kerja.
“Apa sebenarnya hajat mak ngah datang ni? Nak buat spot check ke apa?” Faiz Iqbal menyorongkan kerusi kepada wanita itu.
Datin Mariam duduk tersenyum di hadapan Faiz Iqbal.
“Bukan spot check, cuma nak pastikan yang secretary ni okey ke tak. Itu aje.”
“Sekarang macam mana? Okey?” soal Faiz Iqbal tidak puas hati.
“Mmmm... okey sangat. Lebih baik daripada yang sebelum ni. Low profile... taklah berlagak diva sangat,” komen Datin Mariam.
Datin Mariam cukup meluat dengan setiausaha Faiz Iqbal sebelum ini. Kebanyakan mereka terlalu menjaga penampilan. 24 jam asyik menghadap cermin. Sampai tetamu lain yang datang pun tidak perasan. Pernah juga Datin Mariam dimarahi oleh setiausaha Faiz Iqbal. Alasannya? Sebab Datin Mariam memandai-mandai masuk ke dalam bilik Faiz Iqbal tanpa kebenaran. Apibila sudah tahu identiti sebenar Datin Mariam, barulah dia tergagap-gagap. Cuba membodek. Itu semua menjengkelkan!
“Tapi, ingat... Iqbal takkan bertanggungjawab kalau dia yang nak berhenti sendiri.”
“Yup, janji tetap janji. Mak ngah tahu tu. Tak payahlah Iqbal nak ingatkan mak ngah banyak-banyak kali. Mak ngah ni memang setia pada janji. Iqbal tu... entah ya, entahkan tidak.”
“Of course yes. 30 percent always in my dream. But, I don’t want it just in my dream...”
“Yes. Itu semua akan jadi realiti. Itu pun kalau Iqbal tetap pendirian. Anyway, dengar cerita semalam hari terakhir Encik Latif bekerja kat sini. Tak beritahu mak ngah pun. Kata bulan depan nak resign. Macam mana Iqbal boleh approved ni?” soal Datin Mariam.
“Dia cakap nak buat umrah dengan anak isteri dia. Iqbal terpaksalah lepaskan dia. Nak buat macam mana lagi?”
“Okey... alasan diterima. Lagipun mak ngah tengok budak Aina tu macam boleh buat kerja aje.”
“Memang boleh buat kerja pun...” bisik Faiz Iqbal perlahan tapi penuh makna.
“Apa?”
“Tak. Mmmm... tok wan sihat?” alih Faiz Iqbal.
“Tok wan... biasalah. Tak nak makan ubat. Bila dipaksa sikit, mulalah. Maki hamun orang sana sini. Mak ngah pun tak tahu nak buat macam mana lagi. Nasib baiklah sekarang ni dia dah boleh duduk atas kerusi roda. Tak adalah mak ngah risau sangat. Hurmm… malam ni Iqbal nak pergi dengan siapa?”
“Pergi mana pulak ni, mak ngah?” Faiz Iqbal menaikkan keningnya. Tak faham. Apalah yang Datin Mariam merepek ni?
“Eh, lupa ke sengaja buat-buat lupa ni? Malam ni kan ada anniversary dinner kat Hotel Grand Sapphire Diamond. Iqbal kena datang tau. Kita mesti tonjolkan penglibatan syarikat kita,” jelas Datin Mariam.
Faiz Iqbal menepuk dahi. Hampir terlupa dia mengenai majlis ulang tahun ke-15 hotel terkemuka itu. Hotel yang merupakan sebahagian daripada pelaburan saham Ibunda Corporation. Mahu atau tidak, Faiz Iqbal mesti membuat keputusan cepat. Selain tok wan, Datin Mariam juga antara individu yang boleh dikategorikan sebagai ‘ahli kumpulan pendesak’ yang berpengaruh. Setiap kata mereka mesti dipenuhi. Tiada jalan keluar.
“Ingat sikit ke modal yang kita dah laburkan kat situ?” tekan Datin Mariam lagi.
“Ya... Iqbal tahu. Malam nanti mak ngah temankan Iqbal ya?” pancing Faiz Iqbal. Sudah dapat meneka apa yang bermain dalam fikiran Datin Mariam.
“Ini majlis berprotokol, sayang… Apa pulak mak ngah yang nak kena temankan? Ex-girlfriend Iqbal kan berlambak-lambak kat luar tu. Ajaklah diaorang. Takkanlah sorang pun tak lekat.” Sinis Datin Mariam.
Faiz Iqbal terus terdiam. Kumpul suara untuk bercakap.
“Itu dulu. Mak ngah pun tahu Iqbal macam mana sekarang ni, kan? Iqbal benci dengan semua perempuan tu. Tak ada kualiti langsung. Semua kaki cukur,” bidas Faiz Iqbal membuat alasan.
Kalau dulu, sebut saja pasal perempuan, Faiz Iqballah orang pertama yang akan mara ke depan. Tidak kisahlah kaki cukur ke apa, asalkan mereka dapat penuhi keinginan Faiz Iqbal sebagai seorang lelaki. Itu sudah cukup! Tapi, sekarang semuanya sudah lain. Sejak Faiz Iqbal terlibat dalam kemalangan jalan raya, dia terus jadi trauma. Tambahan lagi kalau mimpi ngerinya bertandang. Hendak pandang perempuan cantik lebih-lebih sangat pun dia jadi menggeletar. Macam orang terkena sawan. Faiz Iqbal lebih rela tidak kahwin sampai mati.
“Tak pun, ajaklah minah cun yang kat luar sana tu,” kata Datin Mariam, menjuihkan bibirnya ke arah luar sambil tersengih-sengih.
“Tasnim?” soal Faiz Iqbal, melihat Tasnim yang sedang berbual-bual bersama Aina Cempaka di luar.
“Bukanlah… yang itu isteri orang. Nak buat apanya? Maksud mak ngah yang pakai baju kebaya tu. Tu, tu, tu…” Datin Mariam main tunjuk-tunjuk pula.
“Apa-apa ajelah, mak ngah. Mmmm… mak ngah tak nak balik ke? Iqbal banyak kerja nak kena settle ni,” alih Faiz Iqbal. Malas mahu layan.
“Aik, belum panas punggung lagi dah menghalau?”
“Bukan menghalau, cuma risau tok wan kat rumah tu. Takkan nak harapkan nurse aje. Sekali-sekala nak kena ada orang lain jugak yang jenguk.” Faiz Iqbal membuat alasan.
“Risaulah sangat! Dahlah tu... mak ngah pun nak keluar ni. Nak shopping sikit. Bila senang nanti, datanglah rumah. Jenguk tok wan.”
“Itu pun kalau dia suka Iqbal datang. Iqbal ni kan anak angkat aje.”
“Dia sukalah Iqbal datang. Cuma dia malas aje nak tunjukkan.” Jawab Datin Mariam.
Faiz Iqbal mencebik bibir. Tanda meluat.
“Mmmm… kalau macam tu, mak ngah balik dululah. Penatlah bercakap dengan Iqbal ni!” rungut Datin Mariam. Bosan dengan perangai Faiz Iqbal yang suka mengungkit tentang status dirinya. Sebelum Datin Mariam berlalu, sempat juga dia melemparkan senyuman manis kepada Aina Cempaka.
Beberapa minit kemudian, interkom di atas meja berbunyi. Pantas Aina Cempaka menekan butang menjawab.
“Aina, masuk kejap.” Suara garau Faiz Iqbal terlebih dahulu kedengaran. Tidak sempat pun Aina Cempaka mahu bertanya apa-apa.
“Okey.” Aina Cempaka meletakkan gagang. Bangun dan mengetuk beberapa kali sebelum membuka pintu bilik Faiz Iqbal.
“Kau tak ada baju lain ke nak pakai?” soalnya sinis sebaik sahaja Aina Cempaka melangkah masuk.
“Kenapa pulak?”
“Kejap lagi ikut aku pergi beli baju.”
“Baju kebaya ni okeylah, Encik Iqbal. Apa masalahnya?”
“Kuno. Macam orang tua. Malam nanti teman aku pergi hotel.”
“Errrr... Encik Iqbal dah gila ke? Ingat saya ni perempuan apa? Saya tak semurah itulah!” marah Aina Cempaka, bercekak pinggang. Pantang betul dengan lelaki yang suka mengambil kesempatan. Dasar tidak tahu malu. Buaya tembaga!
Faiz Iqbal mengeluh sakit hati. Banyak songeh pula perempuan ini. Kena cium nanti, baru tahu. Dia ingat Faiz Iqbal tidak mampu hendak buat itu semua?
“Aku nak kau temankan aku pergi dinner malam ni. Syarikat akan sambut anniversary kat Hotel Grand Sapphire Diamond. Anyway, kau memang selalu dressing macam ni ek?” Faiz Iqbal memandang Aina Cempaka dari atas ke bawah.
Aina Cempaka terpaksa menahan sabar. Kalau ikutkan hati, hendak saja dipulas-pulas muncung lelaki itu. Mulut minta dicabai!
“Saya tak suka dengan cara Encik Iqbal bercakap tu. Saya ada baju sendiri. Terima kasih ajelah,” balas Aina Cempaka melepaskan geram.
Faiz Iqbal mencebik bibir, tanda mengejek.
“Well... see you tonight.” Nada suara Faiz Iqbal berubah agak lembut. Namun, masih dalam mood mengejek.
Aina Cempaka meninggalkan Faiz Iqbal. Tidak ingin dia memberi sebarang reaksi. Dalam mindanya kini ligat berfikir. Entah apalah baju yang hendak dipakai malam ini. Sudahlah beritahu last minit. Menyusahkan orang betul!



“SURPRISE!” jerit Suzy sebaik sahaja Aina Cempaka membuka pintu rumah.
Penat baru pulang dari pejabat pun belum habis, tiba-tiba disergah dengan hantu berambut kerinting. Nasib baik dia tidak terbagi penampar Jepun. Kalau tidak, jadi bisulah Suzy seumur hidup.
“Terkejut aku. Kau ni dah kenapa?” Aina Cempaka mengurut dada. Kalaulah dia lemah semangat tadi, mesti sudah jatuh pengsan dia dibuatnya.
“Tadaa!” Suzy mengeluarkan sesuatu dari belakang pinggulnya. Di tangan kanannya terdapat sebuah beg plastik berisi kotak nipis dan agak lebar.
“Apa ni?” soal Aina Cempaka.
“Dress.”
“Dress?”
“Sorry... aku terbuka tadi. Tak tahan. Lagipun tak ada pembalut. Tapi jangan risau, aku tak sentuh pun kad ni.” Suzy mula mengedik. Menghulurkan sekeping sampul kecil berwarna merah jambu.
“Siapa yang bagi ni?”
“Driver dia aje yang keluar. Aku tak perasan pulak siapa yang duduk kat dalam kereta tu tadi. Dia cakap, ini untuk kau,” jelas Suzy sambil mengingati kembali kereta mewah bercermin gelap yang singgah di hadapan rumah mereka. Hanya pemandunya sahaja yang keluar memberikan bungkusan itu.
Aina Cempaka membuka isi kad.
“Ini mesti daripada bos aku ni...” ucap Aina Cempaka kerana hanya ada kesan cap syarikat yang kelihatan.
“Apalah bos kau ni, nak mengurat pun tak pandai. Ada ke guna cap syarikat nak bagi hadiah. Tak romantik langsung,” rungut Suzy.
“Baju ni untuk dinner malam nantilah. Aku pun tak pasti nak pergi ke tak.”
“Dinner? Best tu... kat mana?”
“Hotel Grand Sapphire Diamond.”
“Aku pernah dengar nama hotel tu. Itu hotel five stars, kan?”
Aina Cempaka hanya mengangguk dengan soalan Suzy.
“Pergilah. Bukan senang nak bergaul dengan VIP ni tau. Kebetulan, esok aku ada seminar kat Penang. Bolehlah aku tolong hantarkan kau malam ni,” tambah Suzy penuh teruja.
“Seminar apa? Kau tak pernah cakap pun yang kau ada seminar esok,” soal Aina Cempaka. Agak aneh. Selalunya Aina Cempakalah orang pertama yang mengetahui segala perkembangan dan tindak-tanduk Suzy.
“Errr… sorrylah beb. Sebenarnya, aku pun baru dapat tahu hari ni. Sebab itulah aku tak cakap kat kau.” Suzy tersengih-sengih sambil menggaru-garukan kepalanya.
“Berapa lama kau pergi?”
“Ala… tak lama pun. Tiga hari aje. Kenapa? Nanti kau rindu kat aku ek?”
“Eeee… tolonglah. Kau ingat, kau siapa? Aku cuma rindu kat masakan kau ajelah!” Aina Cempaka mengusik. Mencuit pipi Suzy.
“Eh, cubalah tengok dress ni cepat. Mesti kau yang paling cantik nanti. Tambah-tambah kalau aku yang make-over kau.” Teruja betul Suzy, mengalahkan tuan punya badan.
Aina Cempaka membuka kotak nipis itu. Sehelai gaun berwarna putih dan agak labuh dikeluarkan.
“Cantik, kan? Siap berlabuci-labuci lagi. Ni barulah meletop.” Suzy memuji.
Aina Cempaka tersenyum lemah. Sebenarnya, hati dia berat hendak pergi. Apabila sudah disokong Suzy, mungkin dia lebih bersemangat. Mungkin inilah masanya untuk dia kembali menyerlah. Dia mesti buktikan kemampuannya kepada Faiz Iqbal. Eleh! Setakat dinner aje pun. Bukannya teruk sangat. Pergi... makan... kemudian balik ke rumah. Settle!



FAIZ IQBAL mengerling jam di tangan. Segak mengenakan tuksedo yang baru dibelikan oleh Datin Mariam ketika membeli-belah petang tadi. Majlisnya sebentar lagi akan bermula, namun bayang Aina Cempaka masih belum muncul-muncul. Hampir patah rasa kakinya duduk terpacak di hadapan pintu masuk lobi hotel.
Beberapa minit kemudian, sebuah kereta Kancil berwarna hitam memasuki pekarangan pintu masuk. Seorang wanita yang mengenakan gaun putih melangkah keluar dari perut kereta. Kelihatan cantik dengan rambut hitamnya yang mengurai panjang. Jarang sekali dia melihat Aina Cempaka melepaskan ikatan rambutnya begitu. Selalunya gadis itu lebih gemar bertocang kuda.
Mata Faiz Iqbal jadi terpaku. Jantungnya berdegup laju. Dia menyentuh dadanya sendiri. Aneh! Mengapa tubuhnya tidak menggeletar? Kenapa dia tidak rasa takut? Perasaan ini benar-benar aneh! Langkah Aina Cempaka semakin menghampirinya. Air liur ditelan. Bagaikan dirasuk tidak boleh bergerak, hanya bibir terketar-ketar, tidak bersuara.
“Encik Iqbal?” Aina Cempaka mengipas tangannya pada muka Faiz Iqbal.
“Errrr... lambatnya! Kau ingat aku ni tunggul kayu ke apa? Nak tunggu kau kat sini lama-lama!” jerit Faiz Iqbal. Membetulkan kolar lehernya.
“Maaflah, saya lambat sikit. Tadi jalan sesak.”
“Mana dapat baju ni? Macam tak kena aje.”
“Kan Encik Iqbal hantar petang tadi.”
Faiz Iqbal terdiam.
‘Ini mesti kerja mak ngah. Hesy! Macam mana dia boleh agak aku nak bawak Aina Cempaka pulak ni? Isy, buat membazir duit aje!’ bentak hati Faiz Iqbal.
“Dah. Jom masuk.” Faiz Iqbal menghalakan lengannya kepada Aina Cempaka. Minta dikepit. Aina Cempaka mula teragak-agak.
“Hari ni aje kau boleh pinjam lengan aku. Esok dah tak ada. Cepat!” arah Faiz Iqbal.
Aina Cempaka terpaksa juga menurut. Berjalan seiring menuju ke dewan makan hotel. Suasana mewah dengan lampu malap yang agak romantik membangkitkan lagi perasaan berdebar-debar. Hiasan meja makan eksklusif dengan seni kulinari yang sangat kreatif membuatkan Aina Cempaka berasa lebih cuak. Bukannya dia tidak pernah makan di hotel. Tapi, jujur! Sepanjang hidupnya, inilah kali pertama dia menjejakkan kaki ke hotel mewah.
Faiz Iqbal menghulurkan pinggan putih kepada Aina Cempaka.
“Makan cepat sampai kenyang. Ini sebahagian daripada tugas.” Bisiknya perlahan ke telinga Aina Cempaka. Faiz Iqbal berlalu pergi meninggalkan Aina Cempaka di tempat bufet untuk menyapa tetamu lain yang hadir.
“Lantaklah.” Aina Cempaka memenuhkan pinggannya dengan bermacam juadah. Kuih-muih dan makanan ringan semua jadi pilihannya. Walaupun ini hanyalah hidangan pembuka selera, peduli apa? Biar bertimbun macam Gunung Everest. Bukannya selalu dapat makan macam ini. Alang-alang sudah datang, lebih baik penuhkan sahaja pinggan.
“Hai.” Datuk Mazlan menyapa dari belakang.
Aina Cempaka menoleh. Hanya senyum sekilas dan menyambung semula memasukkan beberapa biji pai nanas comel ke dalam pinggan. Lelaki tua kerepot berkot hitam yang tidak dikenalinya itu asyik memerhatikan Aina Cempaka dari atas hingga ke bawah. Aina Cempaka sudah rasa tidak selesa. Dia mesti cepat meninggalkan kawasan ini.
Belum pun sempat Aina Cempaka melangkah pergi, Datuk Mazlan sudah menghalang.
“Air?” Datuk Mazlan menghulurkan segelas jus oren. Aina Cempaka memandang wajah lelaki berkumis itu. Hairan. Kenal pun tidak, tiba-tiba sahaja datang menyibuk.
“Orange juice for you,” sambung Datuk Mazlan lagi. Lembut.
“Thanks.” Gelas bertukar tangan. Aina Cempaka mengambil tempat duduk di sebuah meja bulat berdekatan. Orang tua yang tidak dikenalinya itu tetap mengekori. Mengambil tempat di sebelah Aina Cempaka. Aina Cempaka terpaksa berlagak biasa walaupun dalam hatinya tidak keruan. Kurang selesa.
“I tak pernah tengok you kat sini pun. You ni anak Datuk mana? Ke... kerabat?” Datuk Mazlan ketawa. Menjengkelkan betul mimik mukanya.
“Saya secretary biasa aje.” Ringkas. Tidak kuasa Aina Cempaka hendak melayan.
“Company mana?”
“Ibunda Corporation.” Jawab Aina Cempaka sambil  melemparkan pandangan ke arah lain. Perlahan-lahan pai nanas disuap ke dalam mulut.
“Mmmm... you mesti kenal Faiz Iqbal, kan?”
Aina Cempaka mengangguk sambil anak matanya mencari-cari kelibat Faiz Iqbal yang hilang entah ke mana.
“You tahu tak? You ni cantiklah... macam anak patung. Comel!” Datuk Mazlan ketawa lagi.
Aina Cempaka berhenti mengunyah, menjeling lelaki tua itu tajam. Nasib baik dia berkain hari ini. Kalau tidak, pasti diayunnya kaki kanan ke celah kelengkang orang tua ini. Biar mandul seumur hidup!
“Kenapa you tengok I macam tu? Tak apa, kalau you nak tengok, tengoklah puas-puas.” Datuk Mazlan mendongakkan wajahnya ke arah muka Aina Cempaka. Kelopak mata dikerdip-kerdipkan.
“Maaf encik, saya tak suka buat kacau kat dalam majlis orang. Kalau encik rasa nak makan penampar Jepun, saya boleh bagi. Kita tengok, siapa yang tengok siapa nanti?” gertak Aina Cempaka. Agak tegas nada suaranya.
Datuk Mazlan hanya tersengih. Macam kerang busuk. Suka betul dia dengan perempuan sensitif macam Aina Cempaka ini. Lagi garang, lagi dia suka.
“Okey, I’m sorry. I bergurau aje. Takkan itu pun you nak ambil hati.” Datuk Mazlan cuba memujuk. Namun, tiada respons yang ditunjukkan oleh Aina Cempaka. Dia hanya menumpukan sepenuh perhatian terhadap hidangan di atas meja.
Datuk Mazlan mengusap lembut lengan Aina Cempaka. Pantas Aina Cempaka menepis.
“Dah gila ke?” Segelas jus oren disimbah tepat ke muka Datuk Mazlan. Habis basah lencun orang tua itu. Mata Aina Cempaka menjeling tajam. Rasakan! Baru dia puas hati. Itu baru jurus simbahan air. Belum lagi teknik tendangan kupu-kupu.
Datuk Mazlan tetap tersengih. Menjilat bibirnya. Buat gaya menggoda.
Seorang pelayan hotel menghampiri meja makan. Menghulurkan sekeping nota kecil kepada Datuk Mazlan dengan sopan. Pantas Datuk Mazlan menyambutnya. Matanya tidak lekang memandang wajah Aina Cempaka.

Perjanjian kita bukan malam ni. Harap maklum.

Nota bertulis tangan itu direnyukkan oleh Datuk Mazlan. Sakit hati betul dia dengan mesej yang diterima. Mata galaknya melilau mencari kelibat Faiz Iqbal. Sah! Memang si keparat itulah pengirimnya.
Faiz Iqbal hanya melambaikan-lambaikan tangannya dari selang beberapa buah meja yang tidak jauh daripada mereka. Datuk Mazlan bengang. Tapi hendak buat macam mana lagi? Janji tetap janji. Dia perlu bersabar. Ikan yang diimpi, ikan yang susah hendak dapat. Jadi, dia perlu mengalah kali ini.
Datuk Mazlan bingkas bangun. Segera meninggalkan Aina Cempaka di situ. Aina Cempaka sempat menjeling dari sisi ekor matanya. Menarik nafas lega kerana si tua kutuk itu sudah beredar. Mungkin lelaki itu sudah berputus asa, fikir Aina Cempaka. Dia menyambung makan. Perut yang lapar perlu segera diisi.
“Banyaknya kau makan. Boleh habis ke satu malam macam ni?” tegur Faiz Iqbal, menarik semula kerusi yang menjadi tempat duduk Datuk Mazlan sebentar tadi.
“Dah Encik Iqbal suruh saya makan sampai kenyang, saya makanlah. Takkan nak membazir pulak,” ucap Aina Cempaka dengan mulut yang masih penuh.
“Aku suruh kau makan, bukannya mencekik.”
“Makan cepat sampai kenyang. Ini sebahagian daripada tugas... bukan ke Encik Iqbal yang cakap macam tu tadi?” pintas Aina Cempaka. Cuba mengajuk semula kata-kata Faiz Iqbal dengan gaya-gaya matanya sekali.
“Ah, whateverlah! Cepat sikit. Aku hantar kau balik.” Faiz Iqbal bosan menunggu wanita itu menghabiskan sisa makanannya. Makan pun macam siput. Lembab!
Sebenarnya, ada perkara lain yang membuatkan Faiz Iqbal lebih bimbang. Dia baru sahaja mendapat panggilan daripada Datin Mariam bahawa tok wan akan datang juga malam ini. Sudah ditegah Datin Mariam, tapi tok wan masih berdegil. Dia tetap mahu datang. Kononnya hendak bagi sokongan.
‘Poodah! Menyibuk betullah orang tua ini. Dah sakit-sakit macam tu pun ada hati nak meraikan majlis. Taasub sangat dengan share saham gamaknya!’ fikir Faiz Iqbal.
Faiz Iqbal pantas menarik lengan Aina Cempaka.
“Apa ni Encik Iqbal?” Belum pun sempat Aina Cempaka menjamah sebiji lagi pai nanas di tangan kanannya, dia diheret oleh Faiz Iqbal keluar dari dewan makan menuju ke lobi hotel.
“Lepaslah!” Aina Cempaka merentap tangan kirinya. Cuba melarikan diri. Manalah tahu kut-kut ini satu perangkap. Entah-entah Faiz Iqbal sudah naik gila. Mahu mengapa-apakannya. Aina Cempaka masih ada maruah. Dia bukan perempuan murahan. Ah! Tak semudah itu. Jangan harap kau Faiz Iqbal!
Faiz Iqbal cuba mengejar dari belakang. Langkahnya terlalu pantas sehingga dia terpijak kaki gaun Aina Cempaka yang menyapu lantai. Aina Cempaka hilang pertimbangan dan jatuh tertiarap. Habis terpelanting dan bertaburan pai nanas yang dipegangnya ke atas lantai. Aina Cempaka mengaduh kesakitan.
Ketulan pai nanas yang pecah itu bertaburan betul-betul di hadapan seorang lelaki tua berkerusi roda. Datin Mariam yang mengiringi juga turut sama terkejut melihat aksi badut pasangan tidak sebulu itu. Ini bukannya rancangan hiburan Just For Laugh!
“Apa hal ni Iqbal?” Datin Mariam menghampiri, lalu memapah Aina Cempaka untuk bangun.
Wajah Aina Cempaka terkulat-kulat menahan malu dengan rambutnya yang serabai. Faiz Iqbal pula menekup muka. Keliru. Tidak tahu hendak jelaskan apa kepada Datin Mariam.
“Awak okey tak, Aina?” Datin Mariam mengemaskan rambut Aina Cempaka.
“Saya okey.”
“Macam mana boleh jatuh? Iqbal tolak ke?”
“Errrr... tak. Saya tergelincir tadi. Kasut ni tinggi sangat.” Aina Cempaka cuba berbasa-basi.
“Nasib baik tak cedera teruk. Lain kali jalan hati-hati sikit,” balas Datin Mariam sambil membuat isyarat supaya Faiz Iqbal membantunya menolak kerusi roda tok wan di belakangnya.
Faiz Iqbal menurut. Menolak kerusi roda tok wan mengekori Datin Mariam dan Aina Cempaka menuju ke dewan makan semula.
“Perempuan mana pulak ni?” soal tok wan perlahan.
Faiz Iqbal serba salah. Hilang akal hendak bercerita. Nanti apa pulak yang tok wan fikir.
“Dia kawan Iqbal... baru balik dari overseas.”
“Aku ingatkan perempuan simpanan kau tadi. Tak nampak macan taste kau pun.” Perli tok wan.
“Maksud tok wan?”
“Dulu kau kan suka angkut perempuan liar. Entah berapa banyak, aku pun tak tahu.”
“Sudahlah tok wan. Iqbal malas nak cari gaduh kat sini. Jangan sampai orang lain nampak kita bermasam muka.”
“Biarlah! Biar satu Malaysia ni tahu yang kau tu cuma anak angkat aje. Bukan waris halal keturunan aku!” cemuh tok wan.
Faiz Iqbal diam. Diam lebih baik. Kalau dilayan, memang tidak akan habis kata-kata kesat orang tua itu.
Sebaik sahaja sampai ke dalam dewan makan, mereka mengambil tempat di sebuah meja bulat berhadapan pentas utama sambil menikmati persembahan nyanyian artis jemputan. Aina Cempaka terpaksa duduk diapiti Faiz Iqbal dan Datin Mariam sebagaimana yang telah diarahkan.
“Macam mana, cantik tak baju yang saya pilih ni?”
“Cantik. Saya suka. Datin ke yang bagi?” soal Aina Cempaka.
Datin Mariam mengangguk.
“Ingatkan... errr… tak apalah. Baju Datin pun nampak cantik,” puji Aina Cempaka ikhlas. Patutlah! Ingatkan semua ini daripada Faiz Iqbal.
“Lupa pulak saya nak kenalkan. Ini Tan Sri Berahim, CEO dan pengasas Ibunda Corporation. Ayah saya... datuk kepada Iqbal,” perkenal Datin Mariam kepada Aina Cempaka.
“Saya Aina... Aina Cempaka. Apa khabar Tan Sri, sihat?” sapa Aina Cempaka. Tok wan menganggukkan kepala tanda menjawab.
“Dengar cerita, kamu baru balik dari luar negara. Kat mana tu?” soal tok wan.
Mata Aina Cempaka terkebil-kebil. Bila masa pulak dia pergi overseas?
Faiz Iqbal menendang kaki Aina Cempaka. Pantas Aina Cempaka menoleh ke arahnya. Faiz Iqbal membuat mimik muka, suruh menjawab pertanyaan tok wan. Aina Cempaka keliru. Tidak faham apa maksud yang cuba disampaikan.
“Dia baru balik dari UK. Dulu menetap kat sana, sekarang dah pindah kat KL,” jawab Faiz Iqbal.
“Aku tanya orang lain, orang yang lain pulak menjawab,” rungut tok wan.
Datin Mariam tersenyum. Faham akan tembelang Faiz Iqbal. Memang dia sudah mengagak. Faiz Iqbal memang tidak salah memilih Aina Cempaka sebagai peneman. Jarang sekali tok wan ingin bertegur sapa dengan mana-mana perempuan yang dibawa pulang oleh Faiz Iqbal sebelum ini. Aina Cempakalah orang pertama yang berjaya membuatkan tok wan tertanya-tanya.
“Keluarga kamu buat bisnes apa?” soal tok wan lagi.
“Errr...” Aina Cempaka semakin kalut.
“Apalah ayah ni... bagi soalan yang macam tu. Aina dah tak ada siapa-siapa lagi kat dalam dunia ni. Dia sebatang kara. Dia ni memang suka merantau kat luar negara. Nasib baik dulu arwah ayah dia ada tinggalkan beberapa aset dan sebuah syarikat perkapalan kat UK. Tapi, semua tu pengurus mereka yang uruskan,” tambah Datin Mariam, membuat cerita.
“Kenapa Aina tak uruskan sendiri aje?” soal tok wan. Ketiga-tiga mata merenung wajah Aina Cempaka. Minta jawapan dari bibir yang terkunci rapat itu.
“Errrr... saya lebih suka hidup berdikari. Mula dari bawah. Takkanlah nak harapkan usaha yang sedia ada pulak. Kita mesti cuba sesuatu yang baru, kan?” Aina Cempaka mengatur kata. Menipu sunat dan menunggu reaksi tok wan.
“Bagus! Tok wan suka dengan orang muda macam Aina ni. Bijak berdiri atas kaki sendiri. Taklah nak harapkan business family aje.” Lelaki tua itu ketawa besar.
Tergamam mereka dengan reaksinya lalu turut ketawa bersama.
“Tak payahlah panggil Tan Sri. Panggil tok wan aje. Lagi selesa. Lagipun kamu berdua dah kenal lama.”
“Yalah, tok wan.” Agak kekok Aina Cempaka membahasakan orang tua itu.
“Nampak? Kan senang kalau panggil macam tu. Lain kali, ajaklah Iqbal datang rumah tok wan. Kita boleh borak lebih sikit.” Agak mesra nada tok wan.
Aina Cempaka mengangguk perlahan dengan senyuman. Tidak sangka, taktik penipunya menjadi pula.
Mereka menikmati hidangan makan malam di meja bulat itu sambil menyaksikan persembahan untuk satu jam dan diserikan lagi dengan dua orang pengacara majlis lelaki yang sangat menghiburkan.
Selepas tamat majlis, Faiz Iqbal dan Aina Cempaka mengiringi tok wan bersama Datin Mariam keluar dari hotel.
“Bila ada masa lapang nanti, Aina jangan lupa pulak datang rumah tok wan. Kita boleh berborak panjang sikit. Ajak Iqbal sekali.” Tok Wan tersenyum lebar, menampakkan gigi palsunya yang berwarna keemasan.
“Insya-Allah... tok wan.” Aina Cempaka menyambutnya sopan.
Faiz Iqbal membantu datuknya masuk ke dalam kereta. Sempat juga Datin Mariam melambaikan tangannya kepada Aina Cempaka sebelum pemandu mereka menghidupkan enjin dan meninggalkan pekarangan hotel.
“Nak aku hantarkan kau balik ke?” soal Faiz Iqbal.
“Tak apalah Encik Iqbal. Nanti kawan saya datang ambil.”
“Pukul berapa?” Aina Cempaka mengangkatkan bahunya. Tanda tidak pasti bila Suzy akan datang menjemputnya.
Faiz Iqbal mengeluh bosan.
“Kalau tak tahu, calllah. Itu pun susah ke? Dahlah, jom aku hantar kau balik.”
“Tak payahlah. Saya boleh balik sendiri,” bantah Aina Cempaka. Cuba mempertahankan egonya. Sebenarnya hatinya masih sakit. Yalah, bengang betul dia dengan tindakan Faiz Iqbal tadi. Dia bukannya barang mainan hendak main tarik-tarik. Sakit jatuh tertonggeng, boleh lagi ditahan. Tapi, muka dia ini hendak letak kat mana?
“Kalau kau nak sangat tidur kat sini, go ahead... I don’t care,” tegas Faiz Iqbal. Dia meninggalkan Aina Cempaka sendiri dan terus melangkah masuk ke dalam keretanya.




AINA CEMPAKA berjalan lemah longlai di bahu jalan. Gaun putih yang meleret dan menyapu jalan itu dibiarkannya sahaja ditiup angin malam. Bunyi bingit dan silauan lampu-lampu kenderaan yang lalu-lalang tidak dihiraukannya lagi. Dia sudah nekad tidak akan berpatah balik ke hotel itu lagi. Moga-moga ada teksi atau orang yang nampak jujur untuk dia tumpang.
Telefon bimbit di tangannya digenggam erat. Kalau hendak telefon Suzy pun sudah tidak guna masa ini. Bukannya dia ada kat sini pun. Baru dia teringat yang Suzy ada seminar di Penang selama tiga hari mulai esok.
‘Sekarang ini sudah pukul berapa ya? Sudah hampir pukul dua pagi? Siapa lagi aku nak minta tolong ni? Mohsin! Ya, Mohsin!’
Langkah kaki Aina Cempaka berhenti seketika. Telefon bimbit dicari dan laju jari-jemarinya mencari nama Mohsin dalam senarai buku telefonnya. Tersenyum lebar dia sebaik sahaja menemui nama lelaki itu.
“Helo Sin. Kau kat mana sekarang?” pantas sahaja Aina Cempaka bersuara.
“Ermm… sekarang? Sekarang aku ada kat luar.”
“Luar kat mana tu? Aku nak minta tolong ni…” rayu Aina Cempaka.
“Tolong? Tapi, sekarang ni aku ada kat Penang Airport.”
“Penang? Apa kau buat kat sana? Tak beritahu aku pun.”
“Aaa… sebenarnya aku aku kena pergi tengok tapak. Kerja last minit. Biasalah. Ermm… kau nak minta tolong apa ni?” tanya Mohsin.
Jadi serba salah pula Aina Cempaka dibuatnya. Kalau beritahu mengenai situasinya sekarang, pasti Mohsin risau. Dia masak sangat dengan perangai lelaki itu.
“Eh, tak ada apa. Tak penting pun. Tak apalah. Aku letak telefon dulu.” Aina Cempaka mematikan talian lalu satu keluhan dilepaskan. Saat genting macam ini pulalah, Mohsin ada hal. Malang betul!
‘Hendak telefon siapalah lagi ni? Burn? Ya, Burn!’ Pantas sahaja Aina Cempaka mencari nama lelaki itu. Yalah! Kalau di pejabat, dengan Burn sahaja yang Aina Cempaka ngam. Burn bukanlah orang yang kedekut jasa, pasti dia boleh tolong.
Belum pun sempat Aina Cempaka menekan butang mendail, satu cahaya dari belakang menyuluh terang. Suluhan lampu kereta itu menyilaukan pandangan matanya. Pintu kereta dikuak perlahan. Terkebil-kebil mata Aina Cempaka ingin melihat siapakah gerangan manusia yang baik hati itu.
“Kau ni memang dah gila, kan? Nasib baik aku jumpa. Kalau perogol ke, pembunuh ke culik kau, baru tahu!” jerit Faiz Iqbal lantang.
“Yang Encik Iqbal ni suka sangat menyibuk apasal? Biarlah! Encik Iqbal peduli apa? Go ahead... I don’t care!” balas Aina Cempaka. Memulangkan paku buah keras.
Faiz Iqbal mengetap bibir. Geram pula dengan perempuan kepala batu ini.
“Kenapa degil sangat ni? Jangan jadi bodoh, boleh tak?”
“Bodoh? Siapa yang bertindak bodoh? Saya ke, encik Iqbal?” jerkah Aina Cempaka.
Faiz Iqbal menghembuskan nafas panjang. Semakin sakit pula hatinya.
“Ingat! Tugas kau tak selesai lagi. Jangan nak banyak dalih sangat. Cepat!” Faiz Iqbal merentap lengan Aina Cempaka. Memaksanya masuk ke dalam perut kereta. Aina Cempaka terpaksa menurut. Dia sudah tiada pilihan lain.
Sepanjang perjalanan, mereka hanya diam. Masing-masing membawa perasaan sendiri. Tiada mood untuk bertekak lagi.
“Mana rumah kau?” soal Faiz Iqbal setelah kereta yang dinaiki mereka menyusuri kawasan perumahan kos sederhana.
“Masuk kanan, rumah warna putih tu,” balas Aina Cempaka perlahan.
Faiz Iqbal memberhentikan keretanya di hadapan rumah Aina Cempaka. Aina Cempaka membuka pintu kereta. Lemah.
“Nanti kejap.” Halang Faiz Iqbal. Hanya kaki kiri Aina Cempaka sahaja yang sempat keluar. Pandangannya menghala keluar kereta. Tidak mahu bertentangan mata dengan Faiz Iqbal.
“Aku harap apa yang berlaku hari ni bukan alasan untuk kau berhenti kerja. Kalau kau tetap nak berhenti, aku tak boleh buat apa-apa.” Buat pertama kalinya nada suara Faiz Iqbal bertukar lembut.
Aina Cempaka diam. Tidak menjawab sepatah pun. Melangkah keluar lalu menutup pintu kereta Faiz Iqbal. Dia membuka pagar dan terus masuk ke dalam rumah.
‘Apa yang kau merepek ni, hah? Kalau dia nak resign, biarlah! Yang kau sibuk sangat ni, apa hal?’ Faiz Iqbal memukul kecil kepalanya. ‘Aku dah gila gamaknya!’ bentak hati kecilnya lalu berlalu pergi meninggalkan kawasan perumahan itu.