DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 21 December 2015

TANYA DIA TENTANG CINTA - BAB 3

BAB 3

DOKTOR,” panggil Yani perlahan. Tangannya digerakkan di hadapan Doktor muda itu. Pelik. Tak pernah-pernah Doktor Ziyad berkelakuan aneh begini, tetapi kenapa pagi ini boleh termenung sampai begitu sekali.
“Doktor!” panggil Yani agak keras.
Ziyad tersentak. Jururawat di hadapannya itu dipandang tidak berkelip.
“Doktor okey ke?” soal Yani lagi semakin hairan.
Ziyad berdeham. Kepalanya dianggukkan.
Err… okey… saya okey aje,” balas Ziyad teragak-agak sambil beristigfar dalam hati.
“Macam tak okey aje ni, doktor,” tegur Yani lagi dengan dahi berkerut seribu.
Ziyad tersenyum nipis. “Saya okey. Ada apa awak panggil saya?”
Patient doktor dah sampai. Nak saya panggilkan dia?”
Ziyad mengangguk. Duduknya dibetulkan. Macam manalah dia boleh termenung panjang sedari tadi. Nampaknya pertemuan dengan Puteri Chempaka Emelyn bukan sesuatu yang baik kerana sejak pertemuan mereka beberapa hari lepas, hidupnya berantakan memikirkan gadis itu. Tidak mungkin masih ada perasaan yang masih bersisa kerana bencinya kepada Puteri Chempaka Emelyn melebihi segalanya.
“Assalamualaikum doktor,” sapa seorang lelaki yang baru muncul itu ramah.
Ziyad tersenyum. “Waalaikumussalam, silakan Encik Mahmud,” balas Ziyad lembut sambil mempelawa lelaki itu duduk.
“Encik Mahmud macam mana sekarang?” soal Ziyad pula.
“Alhamdulillah doktor. Lepas pembedahan hari tu, tangan saya dah boleh digerakkan,” ujar Encik Mahmud sambil tersenyum.
Ziyad turut pamer senyum. X-Ray di atas meja diteliti. Kemudian tangan lelaki itu diraih dan kesan pembedahan yang masih berbekas di tangan lelaki itu diperiksa. Tangan lelaki itu digerak-gerakkan pula.
“Ada rasa sakit tak?”
Encik Mahmud menggeleng. Ziyad tersenyum lagi. Tangan lelaki itu diletakkan semula di atas meja.
“Daripada apa yang saya lihat dan dari X-Ray ni, nampaknya keadaan tangan Encik Mahmud dah okey, tapi Encik Mahmud masih kena berhati-hati. Jangan angkat benda-benda berat sebab pembedahan ni masih baru lagi. Kerap gerak-gerakkan jari-jemari tu untuk senaman, supaya urat-urat dan perjalanan darah berjalan dengan lancar.”
Encik Mahmud mengangguk.
So, lepas ni Encik Mahmud dah tak perlu datang untuk pemeriksaan susulan lagi. Kalau ada apa-apa masalah barulah jumpa saya semula,” sambungnya lagi.
Sekali lagi Encik Mahmud mengangguk sebelum meminta diri untuk beredar. Sebaik lelaki itu keluar, Yani menjengah masuk semula.
“Ada patient lagi ke?” soal Ziyad perlahan sambil jam di pergelangan tangannya dikerling. Sudah hampir jam 5.30 petang. Diam tak diam, masa untuk hari itu sudah hampir berlalu pergi.
Yani tersenyum, kemudian menggeleng.
“Kalau tak ada, saya nak melawat patient di wad dulu sebelum saya balik.”
“Eh! Doktor tak pergi jamuan malam ni ke?”
Ziyad memandang Yani lama, kemudian dahinya ditepuk perlahan.
Astaghfirullahal'azim… Macam manalah saya boleh lupa,” keluh Ziyad perlahan.
“Doktor asyik berangan aje dari pagi tadi, macam mana nak ingat,” usik Yani selamba.
Ziyad memandang pembantunya itu dengan sengih di bibir. “Mana ada berangan. Dari pagi tadi kan ramai patient,” nafinya bersungguh. Malu pula kerana gadis itu perasan apa yang berlaku.
Yani tersengih. Makin handsome pula doktor di hadapannya itu apabila buat muka malu-malu begitu. Nasib baiklah dia sudah ada yang punya, kalau tidak memang dia tak lepaskan peluang untuk mengurat. Sudahlah kacak, baik pula. Siapa yang tak mengidam untuk menjadi pasangan lelaki itu. Tapi, yang peliknya, sehingga kini lelaki itu masih lagi bersendiri. Kalau diikutkan, sekali petik jari, ramai doktor atau jururawat di hospital itu yang rela menjadi pendamping, tetapi nampaknya tidak ada seorang pun yang berjaya mengetuk pintu hati Doktor Ziyad.
“Dah tu, doktor nak lawat patient dulu ke?”
Ziyad mengangguk. “Kalau awak nak balik, awak baliklah. Rasanya tak ada apa-apa lagi ni.”
Yani mengangguk. “Doktor jangan tak datang pulak malam ni. Doktor Zurina ada tau,” usik Yani seraya mengingatkan.
Ziyad tersengih. Kenapa pula nama Doktor Zurina yang disebut. Hubungan mereka memanglah baik, tapi sekadar teman sekerja sahaja.
“Doktor Zurina tu baik, doktor. Kalau doktor lambat, nanti orang lain rembat,” usik Yani lagi mula nak masuk jarum.
“Sudahlah Yani, awak pergilah balik, nanti awak yang lambat ke jamuan tu.” Malas hendak melayan usikan pembantunya itu, Ziyad terus bersuara dan dengan senyum yang masih terukir di bibir.
Yani tergelak kecil dan terus keluar dari situ. Ziyad hanya menggeleng sahaja mendengar tawa dari bibir gadis itu.


YANI, MANA doktor kesayangan kau tu?” soal Kak Zue sambil membuang pandang ke sekeliling apabila doktor yang dinanti masih tidak muncul-muncul lagi.
Yani menggeleng. “Tadi saya dah ingatkan suruh dia datang, tapi tak tahulah. Kak Zue bukan tak tahu Doktor Ziyad tu macam mana. Kalau ada majlis macam ni, bukannya dia suka nak datang.”
Kak Zue mendengus. Dia berpaling memandang Zana di sebelah. “Kalau Doktor Ziyad tak datang, macam mana dengan rancangan kita nak kenenkan dia dengan Doktor Zurina?” bisik Kak Zue perlahan.
Zana memandang Yani semula. “Doktor Ziyad ada cakap apa-apa tak tadi?”
Yani menggeleng lagi. “Doktor Ziyad kata dia akan datang. Dia lewat sikit kut sebab tadi sebelum balik dia melawat patient dulu.”
“Cuba Kak Zue call dia. Mana boleh dia tak datang. Kita dah pelan baik punya malam ni,” suruh Zana bersungguh.
“Kau nak suruh aku call Doktor Ziyad, Doktor Zurina dah datang belum?” soal Kak Zue dengan suara yang sudah naik senada.
“Doktor Zurina dah on the way. Saya dah call dia dah,” balas Zana lagi.
Kak Zue mengangguk. Telefon bimbitnya terus dikeluarkan. Nombor Ziyad didail. Setelah beberapa ketika, panggilannya bersambut. Selesai berbual dengan lelaki itu, telefonnya dimatikan semula.
“Macam mana Kak Zue?” soal Zana beria.
“Doktor Ziyad pun tengah on the way,” balas Kak Zue dengan senyum meleret.
Zana dan Yani turut tersenyum.
“Zana, kau jangan tersalah bagi nombor tu nanti. Kita kena pastikan Doktor Ziyad dan Doktor Zurina dalam grup yang sama.” Beria-ia Kak Zue mengingatkan.
“Beres Kak Zue. Jangan risau, misi kita pasti berjaya,” balas Zana yakin.



ZIYAD,” PANGGIL Doktor Zurina lembut. Tisu dihulurkan.
Ziyad yang sedang menyapu mukanya yang kotor terkena tepung, mendongak.
“Ambil ni. Banyak tepung dekat muka you tu.” Doktor Zurina simpan senyum. Kasihan melihat Ziyad ketika itu. Sepatutnya aktiviti mencari coklat di dalam tepung itu dilakukan mereka berdua, tetapi Ziyad yang beria-ia ingin melakukannya seorang.
Tisu yang dihulurkan Doktor Zurina disambut dan mukanya disapu.
“Rambut you,” ucap Doktor Zurina lagi sambil tangannya ditunjukkan ke arah kepala.
Ziyad tersenyum. Rambutnya digosokkan pula.
“Tak sangka permainan macam ni yang mereka aturkan.” Doktor Zurina bersuara lagi. Ziyad yang sedang membersihkan rambutnya itu dipandang.
Ziyad lepaskan tawa kecil. “Sesekali main macam budak-budak macam ni pun seronok jugak,” ucap Ziyad.
Bersetuju dengan kata-kata Ziyad, Doktor Zurina mengangguk.
“Tapi, kesian dengan you, sebab you yang teruk kena.” Tisu di dalam beg diambil lagi dan tepung yang masih berbaki di dahi Ziyad terus disapu.
Terkedu dengan apa yang dilakukan gadis itu, Ziyad terus terkaku. Doktor Zurina dipandang dengan mata terkebil-kebil.
Perasan dengan riak Ziyad ketika itu, Doktor Zurina sudah tersipu-sipu di situ. Ya Allah, macam manalah dia boleh bertindak selamba begitu.
Kak Zue, Yani dan Zana yang memerhati dari jauh sudah tersenyum lebar. Yes, misi mereka berjaya! ucap ketiga-tiganya teruja.

No comments:

Post a Comment