DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 16 December 2015

MAAF SAYA TAK SENGAJA - BAB 1




AWAL pagi lagi Aina Cempaka sudah ‘menempah tiket’ di dalam tandas. Mukanya berpeluh-peluh menahan sakit. Macam mahu terkeluar semua isi perutnya. Pedihnya hanya Tuhan sahaja yang tahu. Kalaulah Suzy boleh faham kan bagus!
            “Aina, Aina... apa kau buat dalam toilet tu lama sangat? Cepatlah, aku pun nak guna toilet jugak ni!” tempiak Suzy dari luar muka pintu tandas. Perutnya ditekan beberapa kali. Menahan pedih yang teramat.
            “Nanti la kejap...sikit lagi ni. Kenapa? Kau dah nak terkeluar sangat ke?!” jerit Aina Cempaka dari dalam.
            “Cepatlah!” Suzy tidak mampu bersabar lagi. Perutnya semakin memulas-mulas. Rasa macam mahu terberanak pun ada. Tunggu masa saja mahu terkeluar.
            “Gunalah toilet kat bilik kau kalau dah tak tahan sangat.”
            “Tak naklah aku. Toilet kau best, selesa sikit.”
            “Iyalah, dah nak selesai dah ni.” Aina Cempaka membuka pintu tandas.
            “Apa yang kau bagi aku makan semalam, hah?!” soal Suzy sebaik sahaja wajah manis seorang gadis yang berparut didahi terpacul dimuka pintu.
            “Entahlah. Aku pun tak tahu. Dahlah pagi ni first day aku masuk kerja. Kau tak apalah boleh ambik MC. Arhh, tension lah macam ni!” rungut Aina Cempaka dengan rambutnya yang kusut-masai. Teringatkan penangan kari yang dibelinya dari kedai mamak semalam. Sedap memang sedap. Sampai tiga pinggan dia kerjakan. Bila pagi tiba, rasalah azabnya!
            “Dah lah tu. Jangan membebel lagi. Sekarang giliran aku. Cepat keluar!” bantah Suzy. Mengheret lengan Aina Cempaka keluar dari tandas. Tak sanggup lagi menunggu lama-lama. Hajat yang tersimpan perlu diluahkan. Takut berterabur. Jenuh mencuci nanti.
            Lemah longlai Aina Cempaka melangkah. Menghempaskan tubuhnya keatas katil. Mencapai botol minyak panas di atas meja sisi. Hampir penuh minyak panas yang dituangkan ketapak tangannya. Terasa lega dan berangin apabila perutnya diusap lembut. Baring terlentang sambil menghadap siling. Beberapa minit kemudian, Suzy keluar dari tandas. Menekan perut. Sakitnya masih terasa bersisa.
            “Aku rasa kau tak payah masuk kerjalah hari ni lah. Temankan aku cuti kat rumah,” cadang Suzy. Tersenyum simpul.
            “Eh, tak bolehlah macam tu! Hari ni kali pertama kot. Kalau aku tak datang, habislah reputasi aku sebagai seorang secretary yang berkaliber.” Aina Cempaka melarikan jari telunjuknya ke kiri dan ke kanan. Tak mahu mengalah.
            Sudah lama dia menunggu saat-saat ini. Status penganggur perlu dipadamkan segera dari kamus hidupnya. Lagipun, sakit perut bukannya boleh dibuat alasan. Alasan itu hanya untuk orang pemalas yang suka berdalih. Aina Cempaka bukan orang macam itu!
            “Dah tu, kau ingat kau boleh jadi secretary yang berkaliberlah kalau dah tercirit-birit dalam office tu?!” ajuk Suzy. Cuba mengejek. Membayangkan apa yang bakal terjadi.
            “Aku dah okeylah...lepas sapu minyak ni terus sihat. Kau tryla,confirm berkesan,”saran Aina Cempaka. Suzy membetulkan rambut kerintingnya yang agak berserabut. Kepalanya digarukan beberapa kali. Rasa was-was pun ada.
            “Betul ke berkesan? Bagi sini aku cuba,” pinta Suzy. Minyak angin bertukar tangan.
            “Lepas ni kita bolehlah pergi kerja sama-sama. Aku tumpang kereta kau ek?” pancing Aina Cempaka.
            “Bertuah punya kawan! Mmmm… patutlah beriya-iya suruh aku pakai minyak angin ni. Rupanya ada udang disebalik mee. Isk, isk, tak patut, tak patut.” Suzy melarikan jari telunjuknya ke kiri dan ke kanan pula. Mengajuk cara.
            “Bukan macam itulah. Aku ikhlas ni. Sementara aku nak beli motor baru, apa kata kalau kau tumpangkan aku. Jimat sikit duit minyak kereta kau. Kan, kan?” Aina Cempaka mencuba nasib.
            Sebelum ini Aina Cempaka memang ada menyatakan hasratnya mahu membeli motorsikal baru. Tapi, dibantah oleh Suzy. Kata Suzy, daripada dia beli motorsikal lebih baik beli sebuah kereta. Sekurang-kurangnya ada juga tempat berteduh daripada hujan dan panas matahari. Namun, bukan Aina Cempakalah kalau tak membantah. Dia lebih selesa dengan motorsikal. Lebih rare katanya.
            “Aku tak ada hal nak tumpangkan kau. Tapi hari ni perut aku betul-betul sakit la. Dahtak larat dah nak tanggung. Aku rasa aku nak ambik MC la hari ni. Sorry...”
            “Nampaknya terpaksalah aku datingdengan Pak cik teksi lagi hari ni.” Aina Cempaka memuncungkan bibir.Agak kecewa. Kali ini gaya pancingannya tidak mengena.
            “Alahai, merajuk la pulak minah ni! Iyalah, lain kali aku janji. Aku tumpangkan. Cuma hari ni je aku nak rehat. Boleh?” pujuk Suzy. Aina Cempaka tersengih.
            “Alamak! Dia datang lagi?” kejut Suzy.
            “Siapa?” Terbeliak biji mata Aina Cempaka.
            “Toilet!” jerit Suzy. Terus berlari ke tandas.
            “Tak senonoh punya kawan!” Aina Cempaka mengeleng-gelengkan kepala.
            “Dah pukul berapa ni?! Nanti lambat pulak kau masuk office,” teriak Suzy dari dalam tandas. Bergema kuat suaranya,
            “Alamak, macam mana ni?!” Aina Cempaka jadi kalut. Mengerling jam yang sudah menunjukkan angka 7.50 pagi. Baru dia teringat. Dia perlu bertemu dengan Encik Latif sebelum jam 8 pagi. Habislah! Kelam-kabut dibuatnya.
            “Jangan lupa baca bismillah tau. Nanti tolong kirim salam kat bos kau tu. Okeylah, selamat bekerja setiausahaku,” usik Suzy. Melambai-lambaikan tangan di muka pintu. Aina Cempaka tak ada masa mahu melayan. Dia benar-benar sudah lewat. Menahan teksi ke pejabat.

NAFASAina Cempaka turun naik. Bergegas pantas menuju ke perkarangan pintu masuk Ibunda Cooperation. Memeriksa tas tangannya. Mencari-cari pas pekerja yang bercampur aduk dengan alat solek. Menarik nafas lega sebaik sahaja pas pekerja berada didalam gengamannya. Langkah diaturnya berhati-hati. Maklumlah,dah lama tak memakai kasut tumit tinggi, jadi agak kekok sedikit. Selalunya, dia lebih selesa memakai sneaker. Nasib baik dia masih mampu mengawal susun atur langkahnya. Barulah nampak macam natural.
            Sebaik sahaja mengimbas pas pekerja, dia menekan butang lif. Pantas melangkah masuk kedalam kotak lif sebaik sahaja pintunya terbuka. Menekan butang lif menuju ke aras 15 kerana teringat pesanan Encik Latif yang ingin berjumpanya terlebih dahulu di aras tersebut. Rambut panjang ikalnya dibetulkan agar kelihatan lebih kemas dan sepadan dengan baju kurung yang baru dibelinya semalam. Tiba-tiba perutnya kembali memulas.
            “Alahai, perut! Tolonglah jangan buat hal lagi, aku nak cari rezekilah hari ni.” Aina Cempaka memicit-micit perutnya. Tangannya dipautkan pada besi pemegang. Menahan perit. Rasa lega sebaik sahaja satu letusan angin berjaya dilepaskan. Dia menarik nafas lega. Penuh nikmat. Mengibas-gibas belakang punggung. Semoga angin lalu mampu membawa dan menyedut bau-bauan semulajadi yang tidak diingini itu.
            Tiba-tiba pintu lif terbuka.
            Seorang lelaki tinggi lampai berkemeja kuning cair melangkah masuk. Aina Cempaka sudah tidak keruan. Peluh seram sejuk membasahi dahinya. Bimbang jika lelaki di sebelahannya itu terhidu haruman yang dilepaskan.
            Lelaki muda berkulit sawo matang itu merenungnya. Mereka saling berpandangan. Aina Cempaka pantas mengukirkan satu senyuman manis kepadanya. Dia hanya melihat sekilas wajah Aina Cempaka dan terus menghalakan pandangan ke pintu lif. Aksinya nampak biasa dan selamba. Mungkin bauan yang dilepaskan sudah hilang atau sememangnya tak berbau. Hati Aina Cempaka mengorak kelegaan.
            ‘Muka dah handsome. Tapi, sayang… macam asam keping. Harap-harap kau bukan teman sepejabat aku!’ bisik Aina Cempaka perlahan. Hanya mampu ketawa dalam hati.
            Sampai sahaja di tingkat berikutnya, pintu lif terbuka lagi. Kali ini dua orang wanita berumur dalam lingkungan lewat 30-an pula melangkah masuk. Mereka mengukirkan senyuman kepada lelaki di sebelah Aina Cempaka.Tanpa memberikan sebarang reaksi, lelaki itu terus bergegas keluar dari kotak lif. Tak tahan duduk lama-lama. Terasa kembang kempis lubang hidungnya.Menahan kebal.
            “Uwek… busuknya bau. Macam bau bangkai cicak je. Takkanlah cicak boleh mati tersepit kat dalam lif ni kut?” soal wanita bertudung litup dan bertubuh agak gempal  kepada kawannya yang berambut pendek dihadapan Aina Cempaka.
            “Iyalah Tasnim… busuk gila. Macam bau kentut je.” Wanita berambut pendek itu tergelak besar. Aina Cempaka hanya membatukan diri dibelakang mereka. Tak sanggup membuka mulut. Biar mereka membuat spekulasi sendiri. Berpura-pura macam dia tak bersalah.
            “Entah-entah Encik Iqbal punya kerja kut? Patutlah dia tergesa-gesa keluar tadi. Tak senonoh betul,” balas wanita yang dipanggil Tasnim itu. Mereka ketawa bersama.
            Perasaan dengan kewujudan Aina Cempaka, baru mereka menoleh ke belakang. Mengukirkan senyuman.
            “Orang baru ke?” soal wanita berambut pendek.
            “Aaaaa...ya,” jawap Aina Cempaka tergagap-gagap.
            “Ni mesti secretary baru kan?” soalnya lagi.
            “Ya. Saya Aina.” Aina Cempaka menghulurkan tangan.
            “Saya Salmah. Nama glamour Sal. Boleh panggil Kak Sal je. Si gebu manis ni pulaknamanya Kak Tasnim,” perkenal Kak Salmah.Menyambut mesra tangan Aina Cempaka, diikuti oleh Kak Tasnim.
            “Ni nak jumpa siapa ni?” soal Kak Tasnim sambil membetulkan kedudukan tudung bawalnya yang agak ke depan.
            “Saya nak jumpa Encik Latif sekejap. Boleh saya tahu kat mana bilik mesyuarat?”
            “Nanti keluar je aras 15, masuk kanan dan jalan straight, mesti jumpa,” beritahu Kak Tasnim.
            “Terima kasih.” Aina Cempaka mengukirkan senyuman. Menampakan lesung pipitnya.
            “Hati-hati sikit dengan bos kita. Dia tu banyak songeh sikit.” Pesan Kak Tasnim sebelum mereka melangkah keluar ke aras 14 dengan ketawa yang masih bersisa.
            “Adoi, malunya! Mana aku nak letak muka ni? Nasib baik si asam keping tu je yang terkena. Kalau dua orang perempuan tu… memang parahlah aku kena bahan.” Bebel Aina Cempaka sebelum melangkah keluar menuju ke bilik mesyuarat. Tak sanggup jadi bahan kutukkan dua orang mulut murai tu!

FAIZ IQBALberjalan mundar-mandir di dalam bilik pejabatnya. Hatinya sakit dan geram dengan berita yang diterima daripada mulut Encik Latif. Setiausaha?! Sudah muak dia mendengar perkataan itu. Entah berapa ramai setiausahanya yang telah dipecat sebelum ini. Tapi,kenapa masih ada lagi jawatan itu?
            Selama ini semua tugasan yang diberikan tidak ada yang gagal. Projek-projek besar bernilai jutaan ringgit berjaya dirampas daripada syarikat pembinaan lain. Dia sudah selesa berkerja mengikut caranya sendiri. Apa yang tak cukup lagi? Faiz Iqbal cuba mengimbas kembali kata-kata Datin Mariam. Rupa-rupanya keputusan ibu saudaranya itu bukan satu mainan. Dia benar-benar maksudkanya!
            Encik Latif memandang wajah majikannya. Lelaki berusia lewat 40-an itu sebenarnya gentar untuk menyambung kata-katanya. Dia menarik nafas panjang, mengumpul tenaga untuk bersuara.
            “Saya ikut arahan Datin je. Datin yang mintak macam tu. Saya tak ada kuasa nak membantah.” Encik Latif bersuara tersekat-sekat. Dalam hati punyalah berdebar.
            “Lagi, apa yang dia mintak?” Nada Faiz Iqbal tegas.
            “Dia arahkan supaya Encik Iqbal jangan pecat lagi secretary yang syarikat pilih. Kalau tak...”
            “Kalau tak apa?!” tengking Faiz Iqbal. Hampir tercabut jantung orang tua itu dibuatnya.
            “Kalau tak dia takkan serahkan separuh syer syarikat pada Encik Iqbal,”balas Encik Latif.
            Satu keluhan besar dilepaskan oleh Faiz Iqbal. Tangannya pantas mencapai telefon bimbit diatas meja. Membuat panggilan telefon. Ini memangsudah melampau. Kenapa susah sangat Datin Mariam nak faham?!
            “Mak Ngah tak boleh buat Iqbal macam ni. Mak Ngah kan tahu yang Iqbal ni...”
            “Tak suka perempuan?! Iqbal...sampai bila Iqbal nak buat perangai macam ni. Satu hari nanti Iqbal kena kahwin jugak. Ada bini, ada anak-anak.Iqbal tak teringin ke nak ada semua tu? Lagipun takkan Iqbal nak harapkan Encik Latif je tolong Iqbal. Kesian orang tua tu.”
            Faiz Iqbal menjauhkan telefon bimbit dari telinganya. Cuba mengajuk dan mengejek semula apa yang dikatakan oleh Datin Mariam. Sebenarnya dia sudah bosan dan lali dengan apa yang selalu diperkatakan oleh ibu saudaranya itu.
            “Hello, hello...” panggil Datin Mariam dalam talian.
            “Iyalah Mak Ngah...tapi bukan hari ni. Iqbal tak ready lagi,” jawab Iqbal agak lembut.
            “Kalau bukan hari ni, bila lagi? Iqbal jangan risau, Mak Ngah dah check resume dia. Tak cantik mana pun, biasa-biasa je. Tak sama dengan bekas-bekas secretary Iqbal yang dulu,” pujuk Datin Mariam.
            Faiz Iqbal diam. Tidak menjawap sepatah perkataan pun.
            “Okey, fine. Kalau Iqbal tak ready lagi... tak apa. Nanti suruh Encik Latif tangguhkan secretary tu minggu depan. Next week, baru suruh dia masuk kerja, okey?” tambah Datin Mariam lagi.
            “Boleh tak jangan paksa. Stress betullah kalau macam gini” Faiz Iqbal mengeluh lagi.
            “Iqbal...dulu Iqbal reject semua calon isteri yang Mak Ngah kenalkan. Takkanlah, secretary baru yang Mak Ngah nak lantik ni pun Iqbal nak pecat? Come on dear...be mature sikit. Ini semua untuk kebaikan Iqbal jugak.”
            “Tak payahlah Mak Ngah. Kenapa? Mak Ngah tak percaya kat Iqbal ke? Iqbal mampulah handle syarikat kita. Selama ni Iqbal yang bertungkus-lumus majukan syarikat. Okey je. Tak ada hal pun.”
            “Mak Ngah tau. Iqbal memang dah expert dalam hal syarikat. Tapi, Iqbal masih perlukan pembantu kan?”
            “Encik Latif kan ada.” Faiz Iqbal memandang wajah Encik Latif dengan senyuman. Encik Latifsenyum terpaksa. Kelat.
            “Encik Latif kan nak berhenti awal bulan depan. Dia dah hantar surat perletakan jawatan kat Iqbal bulan lepas. Iqbal dah lupa ke?” Datin Mariam cuba mengingatkan Faiz Iqbal mengenai surat perletakan jawatan yang telah dipersetujui oleh mereka bersama sejak beberapa bulan yang lepas.
            “Ke...Iqbal nak Mak Ngah tarik balik syer 30% tu?” Datin Mariam menggunakan teknik ugutan pula.
            “Susah betullah macam ni! Iyalah, iyalah...okey, nanti Iqbal tangguhkan dia.”
            “Ingat, jangan suka-suka nak pecat lagi.”
            “Okey. Iqbal takkan buat lagi. Tapi, Mak Ngah jangan salahkan Iqbal kalau dia berhenti kerja sendiri.” balas Faiz Iqbal sebelum memutuskan talian telefon.
            “Macam mana Encik Iqbal? Apa kata Datin?” Encik Latif ingin tahu. Tidak sabar mahu berehat sepenuhnya. Punya majikan seperti Faiz Iqbal bukanlah sesuatu yang membebankan. Cuma, dia perlukan ruang untuk menghabiskan sisa-sisa masa dengan anak dan isterinya.
            Lagipun, sudah tiba masanya untuk Faiz Iqbal belajar berdikari. Belajar untuk hormati orang tua sepertinya. Takkanlah seumur hidup dia mahu menjadi orang suruhan lelaki yang berumur 31 tahun itu.
            “Saya nak awak tangguhkan dulu kemasukan secretary baru tu. Suruh dia datang minggu depan,” kata Faiz Iqbal. Ringkas. Encik Latif hanya mengangguk tanda faham. Sedia menyampaikan arahan.
            “Tapi… dia dah tunggu lama kat bilik dalam mesyuarat. Apa kata kalau Encik Iqbal yang cakap kat dia. Saya rasa serbasalah pulak nak bagi tau ni,” keluh Encik Latif. Tiba-tiba baru dia teringatkan Aina Cempaka yang sudah menunggu berjam-jam di dalam bilik mesyuarat.
            “Ini arahan Datin!” tegas Faiz Iqbal. Buat muka bongkak.
            “Baiklah...” Encik Latif terpaksa akur juga dengan arahan yang diberikan oleh majikannya. Melepaskan keluhan panjang.
            “Inilah nasib jadi budak bos. Bilalah aku nak tinggalkan tempat ni?!” Rungut Encik Latif setelah menutup pintu bilik pejabat. Sudah bosan bekerja ikut telunjuk orang. Bila tiba masanya nanti, pasti dia akan tinggalkan Ibunda Corporation. Itu matlamat terakhirnya.

AINA CEMPAKA asyik mengerling jam tangannya. Sudah hampir dua jam dia menunggu. Namun, kelibat Encik Latif tidak juga muncul-muncul. Tubuhnya yang halus itu sudah rasa kesejukan. Mungkin kerana alat pendingin hawa yang terlalu rendah suhunya. Atau mungkin dia sendiri yang rasa terlebih gementar?
            Maklumlah, hari pertama bekerja pasti banyak perkara yang mesti dipelajarinya. Aina Cempaka mesti memastikan bahawa dia mendapat rakan sekerja yang baik dan mudah bekerjasama. Taubat dia kali ini! Tak mahu dipecat lagi gara-gara rakan sekerja yang suka mencari pasal. Pernah juga dia menendang celah kelengkang bosnya.
            Iyalah! Orang tua gatal macam tu patut dapat balasannya. Sudah berbini dua masih lagi gatal nak merababetis anak dara orang. Dasar tua kutuk tak sedar diri! Aina Cempaka tersenyum sendiri memikirkan nasibnya dulu. Biarpun dia dipecat oleh bosnya sendiri, tak apalah.Janji maruah dirinya tidak tercemar.
             Pintu bilik mesyuarat dikuak perlahan. Akhirnya susuk tubuh Encik Latif yang dinantikan muncul. Aina Cempaka berusaha melemparkan satu senyuman manis.Namun, tiada respon. Encik Latif mengambil tempat duduk berhadapan Aina Cempaka dengan raut wajah yang serius.
            “Dah lama awak tunggu?” soal Encik Latif. Merenung tepat ke mata Aina Cempaka.
            “Taklah lama sangat. Baru beberapa minit je,” jawap Aina Cempaka. Sedangkan dalam hatinya tadi mendidih-didih. Menunggu kelibat orang tua ini menerjah masuk ke bilik mesyuarat.
            “Sebelum tu saya nak minta maaf dulu sebab pihak kami terpaksa tangguhkan dulu kemasukkan awak. Mmmm... Cik...”
            “Cik Aina.” Aina Cempaka membahasakan dirinya.
            “Nanti! Apa yang Encik Latif cakap tadi? Tangguhkan? Kenapa pulak?” Aina Cempaka kurang jelas dengan apa yang dibincangkan.
            “Kami terpaksa tangguhkan khimat Cik Aina sampai minggu depan. Mulai minggu depan baru Cik Aina boleh masuk kerja.” jawab Encik Latif tenang.
            “Pulak dah. Kan Encik Latif dah janji yang hari ni saya boleh masuk kerja? Kenapa nak tunda sampai minggu depan pulak?” Aina Cempaka masih tidak berpuas hati. Watak kasarnya mula terkeluar. Bersusah-payah dia bergegas mencari teksi pagi tadi untuk sampai awal, sekarang terpaksa tangguh pula. Ini mampu membangkitkan kemarahan!
            “Bukan maksud saya nak mungkir janji, tapi ini arahan daripada pihak atasan. Nak tak nak, awak kena akur. Kalau tak berminat...awak boleh tarik diri daripada bekerja dengan syarikat kami. Kalau dah gitu, setakat ini je perbincangan kita. Saya ada banyak tugas lain nak dibuat ni.” Encik Latif mengangkat punggungnya dari kerusi. Buat taktik jual mahal.
            “Eh, nanti! Nanti Encik Latif. Kalau suruh saya tangguh dua minggu pun boleh. Tak ada masalah. Minggu depan saya mula kerja.” Pujuk Aina Cempaka dengan senyuman. Takut pula kehilangan peluang yang ada.
            “Kalau macam tu baguslah...saya mintak pergi dulu. Jumpa awak minggu depan. Lagi satu...jangan make-up lebih-lebih sangat, bos tak suka!”Tegas Encik Latif selamba lalu meninggalkan Aina Cempaka sendirian.
            “Over sangat ke make-up aku ni,” omel Aina Cempaka. Mengeluarkan cermin dari dalam tas tangannya.
            “Tak adalah teruk sangat. Apa? Kau ingat aku suka sangat ke nak bermekap bagai macam ni? Ni pun sebab aku nak cover parut kat dahi aku ni. Mmmm...taklah nampak ketara sangat kan?” rungutnya lagi. Membelek kesan parut yang tidak berapa kelihatan pada dahi kanan yang berhampiran dengan ubun rambutnya.

            Apapun, Aina Cempaka tetap bersyukur kerana masih diterima untuk bekerja di Ibunda Corporation. Bukan senang dia mahu mohon kerja. Lagipun, Ibunda Corporation merupakan sebuah syarikat pemaju perumahan yang sangat popular dan selalu mendapat projek-projek besar daripada syarikat swasta mahupun projek kerajaan. Jadi, tidak hairanlah jika dia sanggup menunggu selama tujuh hari lagi. Ditambah pula dengan kadar gaji yang cukup lumayan, siapa mampu menolaknya?!

No comments:

Post a Comment