DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 20 December 2015

MAAF, SAYA TAK SENGAJA - BAB 7

TERKETAR-KETAR tangan Aina Cempaka meletakkan secawan kopi di atas meja Faiz Iqbal. Lelaki di hadapannya itu tidak memberikan sebarang respons yang positif. Hanya duduk di atas kerusi empuk sambil menyemak kertas-kertas yang bertaburan di atas mejanya.
Aina Cempaka menatap wajah Faiz Iqbal. Terdapat lingkaran hitam pada bawah kelopak mata lelaki itu. Kelihatan juga ada kesan bengkak pada bahagian pipi kanannya. Mungkin salah tidur agaknya.
“Mmmm... Encik Iqbal. Hari ni Encik Iqbal ada meeting dengan Encik Taufik pada pukul 11 pagi dan tadi Datuk Mazlan ada call. Katanya, nak jumpa Encik Iqbal petang ni pukul lima kat tempat biasa. Saya tak pasti kat mana sebab dia tak beritahu pun.” Aina Cempaka membuka kata.
“Okey. Kau boleh keluar sekarang,” balas Faiz Iqbal tanpa menatap wajah Aina Cempaka.
Aina Cempaka memalingkan tubuhnya. Melangkah kaki membuka pintu bilik pejabat.
“Wait.”
Langkah kaki Aina Cempaka terhenti.
“Apa kau cakap tadi? Datuk Mazlan?”
“Errr... ya. Dia cakap nak jumpa Encik Iqbal petang ni kat tempat biasa. Pukul lima.” Balas Aina Cempaka.
“Itu aje?” soal Faiz Iqbal.
Aina Cempaka cuba mengingati kembali perbualannya dengan orang tua miang itu. Meluat pula rasanya apabila mendengar suara Datuk Mazlan tadi. Merengek-rengek manja macam budak kecil berumur enam tahun. Ada hati pula nak ajak dia keluar dinner. Kenal pun tak.
“Rasanya itu aje kut,” jawab Aina Cempaka.
“Dia ada sebut apa-apa pasal tender tak?” Faiz Iqbal semakin ingin tahu. Berharap agar Datuk Mazlan akan tukar fikiran.
“Seingat saya, itu aje. Tak ada apa-apa lagi yang penting,” balas Aina Cempaka. Ringkas.
“Dah, sekarang pergi sambung kerja. Jangan lupa siapkan report yang aku suruh tu. Hantar sebelum petang ni.”
“Tapi...” kata-kata Aina Cempaka terbantut. Renungan tajam mata Faiz Iqbal sudah cukup menyatakan pendiriannya. Jangan dibantah!
“Aaaa... yalah, nanti saya siapkan.” Aina Cempaka mengalah juga. Pintu bilik Faiz Iqbal ditutup rapat.
“Ingat aku ni robot ke? Sabar Aina. Ini baru permulaan. Kau takkan mengalah,” bisik Aina Cempaka sendiri, mengambil tempat duduk di meja kerjanya. Matanya menjeling tajam Faiz Iqbal di sebalik dinding kaca.
“Kenapa moody aje ni Aina? Tension ke apa?” sapa Kak Tasnim. Menghampiri meja kerja Aina Cempaka.
“Tensionlah Kak Tasnim. Ada ke fail yang dia bagi Aina petang semalam nak kena hantar reportnya hari ni jugak. Tak menang tangan la macam ni,” rungut Aina Cempaka. Jari-jemarinya kini aktif menaip di papan kekunci komputer.
“Ini baru tension sikit aje. Nanti, percayalah... Aina akan lebih stres lagi. Bukan setakat tak cukup tangan, kalau Aina guna dua-dua belah kaki pun belum tentu siapnya.” Kak Tasnim tergelak kecil.
Jari-jemari Aina Cempaka berhenti seketika.
“Kenapa pulak?”
“Bagus soalan Aina tu!” Kak Tasnim menepuk kuat bahu Aina Cempaka. Mahu mulakan gosip kencanglah tu!
“Adoi! Sakitlah kak,” jerit Aina Cempaka.
“Sorry, sorry... tindakan refleks. Selalunya kan la... kebanyakan secretary yang kerja kat bawah Encik Iqbal ni kerja tak sampai sebulan. Paling lama boleh tahan pun dua tiga bulan aje tau.”
“Kenapa pulak macam tu?”
“Bagus soaaa...” Cepat-cepat lengan tembam Kak Tasnim ditepis Aina Cempaka. Tidak mahu bahunya menjadi mangsa lagi.
“Sorry...”
“Tindakan refleks, kan?” pintas Aina Cempaka. Mereka berdua tergelak bersama.
“Amboi, bergosip tak ajak aku pun. Apa cerita yang hot ni?” soal Kak Salmah. Dia berjalan tergedik-gedik merapati mereka.
“Bukan bergosiplah. Aku cuma nak bercerita sikit aje pada si Aina ni,” jawab Kak Tasnim.
“Ala... boring la. Mmmm... korang cerita apa aje?” soal Kak Salmah lagi. Telinga dirapatkan.
“Pasal Encik Iqbal la.” Balas Kak Tasnim.
“Dia tu kan... aaaaa... Kak Sal rasa la kan, Encik Iqbal tu gaylah,” ucap Kak Salmah sambil memandang wajah Aina Cempaka dan Kak Tasnim silih berganti. Mereka terdiam sekejap. Bimbang didengari oleh Faiz Iqbal pula nanti.
“Betul tu. Aku pun rasa macam tu. Buktinya, bila dia nampak perempuan cantik macam aku ni aje, terus menggeletar. Tambah-tambah kalau kau duduk seinci depan muka dia. Macam ayam berak kapur aje muka dia nanti.” Kak Tasnim tergelak kecil.
Aina Cempaka hanya tersenyum.
“Banyaklah kau! Kau ingat kau tu siapa? Diva? Antara kau dengan Burn, cantik lagi si Burn tu, tahu tak?” celoteh Kak Salmah pula.
“Apalah Kak ni... tak baik tau cakap macam tu,” bingkas Aina Cempaka.
“Aina... kita orang ni bukannya nak mengumpat sangat. Mmmm... Tasnim, kau ingat tak dengan si Tina? Ala...secretary yang entah ke berapa, aku pun tak pasti,” soal Kak Salmah kepada Kak Tasnim.
“Ingat, ingat. Gila kau, aku tak ingat,” balas Kak Tasnim. Nampak beria-ia.
“Kalau Aina nak tahu la kan... si Tina ni pernah try tackle Encik Iqbal. Cer teka apa yang berlaku lepas tu?” soal Kak Salmah.
“Apa yang berlaku?” Aina Cempaka mula tertarik. Ingin tahu selanjutnya.
“Itulah soalan yang Kak Sal nak dengar dari tadi. Okey, sekarang nak dijadikan cerita, si Tina ni memang tergila-gilakan Encik Iqbal. Sampai ke katil kut…”
“Eh! Cakap tu pelan-pelanlah sikit,” bisik Kak Tasnim kepada Kak Salmah.
“Tahulah aku,” bisik Kak Salmah pula.
“Kita sambung balik ya. Tapi sayang... belum sempat buat apa-apa, badan Encik Iqbal menggeletar macam orang kena rasuk hantu. Dia punya mengamuk, sampai berdarah tau kepala Tina kena ketuk dengan pasu bunga. Nasib baik budak tu tak apa-apa. Kalaulah Kak Sal jadi si Tina tu, Kak Sal saman aje Encik Iqbal tu. Biar padan muka dia. Suka-suka hati aje nak tibai kepala anak orang dengan pasu bunga. Ingat dia tu siapa?” Kak Salmah berbisik perlahan.
Aina Cempaka tersenyum lagi dengan cerita yang didengarinya.
“Merepeklah Kak Sal ni. Aina tak rasa pun dia tu gay.” Aina Cempaka cuba menafikan.
“Aina... come onlah. Cuba fikir. Mana ada kucing yang nak tolak ikan. Lagi-lagi dah depan mata. Kalau bukan gay... apa lagi?” sambung Kak Salmah.
“Betul tu. Kak Tasnim pun rasa macam tu. Lagipun, Encik Iqbal tu memang tak suka perempuan muda. Kalau dekat dengan dia, habislah kena terajang.” Kak Tasnim ketawa lagi.
“Sudahlah tu. Buat pecah perut Aina aje nanti layan akak berdua ni. Sampai esok pun belum tentu habisnya.”  Aina Cempaka turut ketawa. Tidak tahan.
“Yalah. Akak pun banyak kerja yang tak siap lagi ni. Nanti kita sambung lagi, ya.” Bicara Kak Tasnim.
Aina Cempaka hanya mengangguk dengan senyuman.
“Jangan lupa siapkan kerja tu. Nanti, tak pasal-pasal kena baling dengan pasu bunga pulak,” usik Kak Salmah.




URAT leher Aina Cempaka terasa hampir putus. Cuba meregangkan kepalanya ke kiri dan ke kanan. Hampir berjam-jam menghadap komputer tanpa henti, akhirnya siap juga laporan itu. Matanya mengerling jam di tangan kanan. Hampir menunjukkan pukul 4.45 petang. Aina Cempaka segera bangun dari kerusi. Mengeluarkan beg berisi telekung yang diletakkannya di dalam laci meja. Bimbang jika tidak sempat menunaikan solat asar sebelum sampai ke rumah.
Faiz Iqbal keluar daripada bilik pejabat. Matanya aneh memandang Aina Cempaka.
“Nak pergi mana ni? Report yang aku suruh siapkan tu dah settle ke belum?”
“Dah. Saya dah siapkan,” jawab Aina Cempaka tenang.
“Mana dia?” soal Faiz Iqbal. Angkuh.
“Ni. Kalau tak puas hati Encik Iqbal boleh check sendiri.” Aina Cempaka menghulurkan sekeping fail nipis kepadanya.
Faiz Iqbal merampas kasar. Menyelak satu per satu isi kandungannya.
“Aku tak suruh kau buat report pasal projek ni. Kan semalam aku dah cakap, aku nak report projek perumahan Indah Permai. Bukannya report perumahan kos rendah ni! Tak faham Bahasa Melayu ke?” jerit Faiz Iqbal. Matanya membulat merenung wajah Aina Cempaka. Hampir satu pejabat memandang mereka.
“Tapi, semalam Encik Iqbal bagi saya fail projek ni. Bukannya fail projek perumahan Indah Permai. Encik Iqbal dah lupa ke?” jawab Aina Cempaka tegas.
Faiz Iqbal mengeluh tidak puas hati.
“Pandai kau menjawab, kan?”
“Aku tak kira, aku nak kau siapkan jugak report ni. Esok pagi mesti dah siap ada kat atas meja aku. Faham!” arah Faiz Iqbal. Fail dihempaskan ke atas meja dan berlalu pergi keluar dari pejabat tanpa memandang ke belakang.
Aina Cempaka masih terkejut dengan tindakan gila lelaki itu. Bukan saja setakat sakit hati, tapi juga malu. Malu kerana satu pejabat memandangnya. Burn segera menghampiri Aina Cempaka.
“Aina, you ni dah kenapa? Sampai mengamuk bapak singa tu you buat.”
“Entah. Tiba-tiba aje nak mengamuk tak tentu pasal. Semalam dia suruh saya buat report yang ni. Hari ni, nak report lain pulak. Tak faham betullah.”
“You ni... dia memang macam tu. Lain kali jangan lawan cakap dia. You follow aje apa yang dia cakap. Betul ke salah, you ikutkan aje.”
“Memanglah saya ikut apa yang dia cakap. Dia suruh saya buat report pasal perumahan kos rendah. Saya buat. Apa lagi yang tak kenanya?” amuk Aina Cempaka. Kalau diikutkan hati, mahu saja dia hadiahkan Faiz Iqbal tendangan kupu-kupu. Biar Faiz Iqbal tahu langit itu rendah ataupun tidak.
“Mungkin mood dia tak baik hari ni kut. Chilllah... jangan ambil hati sangat. Anggap aje Encik Iqbal tu tengah meroyan,” pujuk Burn dengan ketawa.
Aina Cempaka diam sekejap. Rasa marah masih belum lupus.
“Kalau you dah lama kat sini, nanti biasalah. Hurmmm… okeylah, dah lewat sangat ni. I pun nak balik jugak. Jumpa esok ya,” kata Burn lalu berjalan  lenggang-lenggok meninggalkan Aina Cempaka.
Aina Cempaka mengemas barang-barangnya di atas meja. Masih tidak puas hati dengan kejadian tadi. Namun, tanggungjawab sebagai seorang hamba perlu dipenuhi. Dia bersiap sedia untuk ke surau berdekatan bagi menunaikan solat asar dan seterusnya ingin segera pulang ke rumah.



DATUK MAZLAN menggoyang-goyangkan kakinya di bawah meja. Sabar menanti janji temunya bersama Faiz Iqbal di sebuah restoran mewah. Mindanya kini hanya membayangkan wajah wanita yang menyambut panggilan telefonnya pagi tadi.
‘Lunaknya suara, mesti muka pun cantik.’ Bisik nafsu miangnya.
“Jauh mengelamun, Datuk?” kejut Faiz Iqbal sambil mengambil tempat duduk berhadapan dengan Datuk Mazlan. Datuk Mazlan yang tersedar hanya mengukirkan senyuman seribu makna.
“Maaflah, lambat sikit. Jalan jam.”
“It’s okay.”
“Sebelum tu saya nak minta maaf pasal hari tu. Datang ofis Datuk, mengamuk tak tentu pasal macam orang gila,” Faiz Iqbal cuma berbasi-basi. Dia pun tahu, orang tua itu pasti ada agendanya tersendiri.
“Kalau I jadi you pun I mesti mengamuk punya. Tak apa… I faham.” Datuk Mazlan tersenyum simpul. Walaupun tindakan Faiz Iqbal tempoh hari masih berbekas, Datuk Mazlan harus tenang. Jangan bertindak gelojoh.
“Ada apa Datuk nak jumpa saya ni?” agak mesra nada suara Faiz Iqbal. Pasti Datuk Mazlan sudah berubah fikiran.
“Pasal projek mega tu... I rasa I nak ubah fikiranlah,” kata Datuk Mazlan sambil mengurut-urut kumisnya.
“Maksud Datuk?”
“Mmmm... I nak share projek ni dengan Ibunda Corporation. You setuju?” soal Datuk Mazlan serius.
“Wait. Saya salah dengar ke?” Faiz Iqbal mula teruja.
Datuk Mazlan hanya menggeleng-gelengkan kepalanya dengan senyuman.
“Tapi, kenapa pulak Datuk ubah fikiran? Ni mesti ada apa-apa ni, kan?”
“Mmmm... well... I was thinking it deeply and decide to cooperate with your company. Come on Iqbal...let’s make it simple. Bila I dah bagi you... you mestilah kena bayar something pada I. Macam biasa.” Datuk Mazlan cuba berbasa-basi.
Faiz Iqbal ketawa.
“Apa yang Datuk nak? Duit? Datuk... please trust me. Kalau kita dah untung juta-juta nanti, kita bahagikanlah sama rata,” balas Faiz Iqbal.
Giliran Datuk Mazlan pula ketawa besar.
“Iqbal, Iqbal. I rasa you ni masih tak faham-faham lagilah. Okey, biar I terus terang aje. Semalam I dapat tahu yang you dah hired seorang secretary baru. I rasa berkenan pulak dengan secretary baru you tu. Walaupun I tak pernah tengok muka dia, tapi I yakin dia mesti cantik orangnya. Macam suaranya.”
“What??? No! Saya bukan bapak ayamlah. Kalau Datuk nak cari perempuan, bukan dengan saya. Ada faham?” nada suara Faiz Iqbal mula meninggi.
“Then... I rasa kita patut lupakan aje perbincangan kita hari ni,” balas Datuk Mazlan. Kecewa.
Faiz Iqbal berfikir sejenak. Projek sebesar ini sangat sukar dilepaskan. Peluangnya hanya sekali. Kejayaan memperoleh projek ini mungkin mampu mengubah pandangan tok wan terhadap dirinya. Pencapaian dan nama baik Ibunda Corporation juga akan meningkat. Apalah salahnya mengorbankan sesuatu yang kecil, demi kepentingan yang lebih besar? Faiz Iqbal membuat andaian.
“Sorry Datuk. Itu bukan maksud saya. Errr… sebenarnya saya dah pun buat keputusan. Jangan risau, semuanya settle.” Faiz Iqbal kembali memujuk.
“Great. Itulah, yang I nak dengar. Bila saya boleh jumpa dia?” Datuk Mazlan sudah tidak sabar. Kedua-dua belah tapak tangannya digosok-gosokkan.
“Someday. Nanti saya aturkan. Datuk tunggu aje. Bila tiba masa yang sesuai nanti, saya beritahu.” Faiz Iqbal tersenyum lebar. Dia sudah nekad. Kepentingan Ibunda Corporation perlu didahulukan. Sudah gatal tangannya untuk mengendalikan projek  pembinaan pusat membeli-belah itu. Kali ini Faiz Iqbal pasti berjaya.

3 comments:

  1. Mungkin Iqbal jahat masa itu je. Tapi harap sangatlah Allah ubah fikiran si Iqbal dan tolong Aina terhindar daripada musibah ni.

    ReplyDelete