DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 16 December 2015

MAAF SAYA TAK SENGAJA - PROLOG

GADIS kecil belasan tahun itu tercungap-cungap keletihan. Menyembunyikan tubuhnya yang halus disebalik sebatang pokok besar. Peluh didahi disapunya pantas. Matanya liar memandang ke kiri dan kanan penuh berjaga-jaga. Beberapa minit menunggu dia mula berasa bosan. Senapang kayu yang berpelurukan biji getah itu dihumbankan ke tanah. Peperangan antara negara yang tercetus beberapa jam yang lalu kini sudah berakhir. Rasa tidak puas hati membuatkan permainan pada petang itu tidak seperti selalu.
            “Ini semua salah Along. Buat penat je aku menapak kat sini!” cemuhnya sendiri. Selipar jepun yang hampir tertanggal disarungnya semula.
            “Cempaka, hoi Cempaka!” Kedengaran suara memanggil dari jauh.
            “Peduli apa?! Penat aku menyorok macam orang gila. Sekarang baru kau nak cari!” rungut Aina Cempaka. Letih melayani karenah Alongnya. Setiap kali permainan perang bermula pasti dia kena mendengar arahan Along. Bosan! Salahkah kalau perempuan pula yang jadi kapten?
            Panggilan suara yang baru mencecah akil baligh itu dihiraukan. Langkah Aina Cempaka kini pantas menuju kearah sungai yang terletak di hujung kampung. Jika Along mencari, biarkanlah dia mencari. Rasakanlah sakit hati aku yang menunggu dari tadi! Biar gengAdik dengan Mohsin yang menang. Gomelnya dalam hati.
            Bunyi deras arus sungai menenangkan hati Aina Cempaka yang bergelojak. Batu-batu kecil ditebing sungai itu disepaknya perlahan masuk ke dalam air. Alur-alur halus terbentuk sebaik sahaja batu-batu kecil terdampar masuk ke dasar sungai yang jernih. Matanya tertangkap pada sesuatu benda bulat yang berbulu dan berwarna kemerah-merahan didasar sungai.
            Aina Cempaka mendonggak keatas. Rimbunan dahan pokok rambutan yang dipenuhi buah yang masak meranum itu mengecurkan airliurnya. Perutnya tiba-tiba terasa lapar. Tidak suka membuang masa, kaki dan tangannya mula memanjat pokok rambutan yang rendang. Habis satu persatu buah rambutan itu dipetiknya. Makan macam orang yang tak pernah makan setahun!
            Penuh senyuman dia melemparkan kulit rambutan ke dalam sungai. Gembira melihat kulit-kulit tersebut dibawa arus sungai yang bergerak perlahan. Kakinya digoyang-goyangkan. Lagak senang hati.
            Dari jauh muncul satu kelibat budak lelaki yang berbadan gemuk dan berpakaian kemas. Agak mewah pada pandangan mata Aina Cempaka walaupun dia hanya mengenakan t-shirt biasa.
            Budak lelaki itu mengambil tempat diatas batu besar. Membaling batu-batu kecil ke arah sungai. Airmatanya mengalir perlahan. Aina Cempaka tersenyum geli hati. Kalaulah Along yang nangis, mesti lagi dahsyat. Sebab Along suka menangis sambil guling-guling. Meronta-ronta macam orang kena gigit pacat. Lepas kena rotan dengan mak, baru reti diam!
            Mulut Aina Cempaka mengopek keluar isi rambutan. Digenggamnya yakin. Membuat sasaran dengan mulut yang penuh. Satu balingan tepat mengenai belakang kepala budak lelaki itu. Pantas dia berpaling. Buat muka bengang.
            “Hoi beruk, kau buat apa hah?!” tengkingnya kasar. Pantas menyapu airmata dipipi.
            'Beruk?! Aku manusialah. Kaulah yang beruk,” jerit Aina Cempaka. Pantang dicabar.
            “Hei, beruk! Kau turun sekarang. Sakit pulak hati aku.” Budak lelaki berbadan gemuk itu semakin marah. Aina Cempaka hanya ketawa. Lucu melihat mimik mukanya.
            “Macamlah kau boleh belasah aku... dah la boyot. Nak panjat tangga pun kau belum tentu lepas.” Aina Cempaka ketawa lagi. Memang sengaja mahu mencari nahas.
            “Mulut beruk tak ada insurans. Kau turun sekarang!” pekiknya lantang. Aina Cempaka membuat isyarat mengejek. Merah padam muka budak lelaki itu dibuatnya. Macam udang kena bakar.
            Sakit hati tak dapat dikawal, habis batang pokok rambutan itu digoncang-goncangkan. Tapi sia-sia, batang pokok rambutan terlalu keras hendak dilembutkan. Sedar diri diperlekehkan oleh beruk tomboi, dahan pokok yang menjadi tempat bertenggek ditariknya berkali-kali.
            Kedudukan Aina Cempaka sudah tidak stabil. Muka nakalnya kini bertukar pucat. Dahan halus terlalu rapuh menahan beban beratnya. Sekujur tubuh terhempas ke atas tanah. Aina Cempaka meraung kepedihan dengan darah yang meleleh dihidung.
            “Errrrr... kau okey ke? Aku tak…”
            “Hoi setan! Apa kau buat dengan adik aku tu?!” pekik Along dari jauh. Mohsin dan Helmi mengekorinya dari belakang. Aina Cempaka dirangkul kemas oleh Along. Helmi yang tidak berbaju pantas merentap kolar t-shirt budak lelaki gemuk.
            “Apa kau dah buat dengan kakak sepupu aku, hah?!” tengking Helmi. Walaupun Helmi bertubuh kecil namun, semangatnya sangat besar. Mohsin cuba menenangkan.
            “Jangan Helmi. Budak ni cucu Pak Berahim. Lunyai nanti kita kena belasah,” tenang Mohsin.
            Helmi meleraikan tangannya. Merenung tajam wajah si gemuk yang jatuh terduduk diatas tanah. Budak lelaki berbadan gemuk itu pantas bangun. Melarikan diri. Terus lesap entah ke mana meninggalkan mereka.
            “Kau okey tak Cempaka?” soal Mohsin. Memegang lengan Aina Cempaka.
            “Tak ada apa-apalah, aku jatuh sikit je,” jawab Aina Cempaka sambil memegang dahinya yang berbenjol kemerahan.
            “Ni dah bertelur kat dahi pun cakap tak ada apa-apa. Mai sini Along tengok,” kata Along. Meniup lembut benjolan yang timbul didahi Aina Cempaka.
            “Itulah, tadi Along kau suruh tunggu tak nak. Degil sangat… kan dah dapat balasan,” kata Mohsin. Pulangkan paku buah keras.
            “Nak tunggu apanya?! Dahlah korang main perang-perang tiga orang aje. Aku kau biarkan tunggu kat pokok tu dengan kerengga. Aku dah malaslah nak gengdengan kau lagi, Mohsin!” marah Aina Cempaka. Mohsin hanya tersengih-sengih. Mengarukan kepalanya yang tak gatal.
            “Dahlah tu. Jomlah kita balik. Perut aku dah lapar ni. Esok kita main lagi ye?” celah Helmi. Mengusap perutnya. Mereka menuruti cadangan Helmi. Membawa perut yang lapar pulang menuju kerumah masing-masing.

“APA nak jadi dengan kamu ni Cempaka?! Kamu tu perempuan. Buatlah cara macam budak perempuan. Ni tak, memanjat ke sana ke mari. Dah macam budak jantan je mak tengok,” bebel Mak Cik Safiah. Duduk bersila di atas tangga kayu. Menyapu minyak gamat pada dahi anak perempuannya. Itulah rutin harian Mak Safiah apabila anak-anaknya pulang ke rumah. Kalau tak berbenjol di dahi, mesti luka di atas kepala lutut. Lasak betul!
            “Ala mak...hero mestilah kuat. Mana boleh kalah. Macam cerita Superman. Mana ada Superman yang lemah dan senang ditewaskan,” balas Aina Cempaka selamba. Mendabik dada.Ala-ala King Kong.
            “Eleh! Kuat apanya...tadi monyet mana yang meraung-raung sakit. Jatuh sikit menangis je lebih,” sampuk Along dimuka pintu.
            “Along...tak baik cakap adik macam tu. Jangan pernah samakan orang dengan binatang. Allah dah jadikan kita ni sebaik-baik makhluk. Jadi, kita kena bersyukur dengan apa yang Dia bagi,” nasihat Mak Safiah.
            “Kalau macam tu...budak gemuk tadi berdosalah kan, mak? Sebab dia panggil Cempaka ni beruk,” tanya Aina Cempaka. Penuh perasaan. Mak Cik Safiah hanya tersenyum memandang kedua-dua orang anaknya. Rasa lucu pun ada.
            Bunyi enjin motorsikal yang sangat kuat kedengaran. Menghampiri kawasan halaman rumah mereka. Seorang lelaki lewat 30-an dan berkopiah putih turun daripada motorsikal kapcainya.
            “Assalamualaikum, Kak Piah. Ni dah kenapa ni?” soalnya melihat benjol sebesar telur ayam didahi Aina Cempaka.
            “Waalaikumusalam. Budak nakal biasalah...Dia jatuh masa main kat sungai tengah hari tadi.”
            “Itulah. Orang tua saya selalu jugak pesan. Jangan main tengah-tengah hari buta. Banyak setan merayap. Tapi, nasib baiklah dia tak apa-apa. Kalau jatuh ke dalam sungai mau parah lagi rasanya.”Malik tergelak. Cuba menyembunyikan perasaan kalutnya. Sememangnya Malik sudah biasa dengan keluarga Mak Safiah. Rajin menjenguk dan bertanya khabar kakak sepupunya itu.
            “Betullah apa yang kamu cakap tu Malik. Tapi, Alhamdulillah… semuanya selamat. Nasib baik hari ni tak ada luka. Ada apa kamu datang ni?” soal Mak Safiah. Agak aneh. Selalunya, Malik akan datang pagi-pagi buta.
            Malik diam sekejap. Menarik nafas dalam. Muka lelaki itu jadi serba salah. Apa boleh buat? Walaupun dengan cara sembunyi, dia perlu beritahu juga. Mak Safiah ada hak. Bukannya Malik tak takut. Bila teringatkan muka Pak Berahim lagilah kecut perutnya!
            “Tengahari tadi saya baru dapat berita yang Abang Rizalmanaccident masa nak balik KL. Mereka suami isteri meninggal kat tempat kejadian. Tak sempat diselamatkan,” jelas Malik perlahan. Merenung wajah Mak Safiah.
            Mata Mak Safiah mula berpinar-pinar. Tangannya terketar-ketar mengalihkan kepala Aina Cempaka yang berbaring diatas peha.
            “Be...betul ke apa yang kamu cakap ni Malik?” soal Mak Safiah seolah-olah tidak percaya. Malik mengangguk.
            “Nasib baik anak lelaki mereka selamat sebab dia tak ikut ayahnya balik ke Kuala Lumpur. Lepas asar ni mungkin jenazah sampai dari hospital dan dikebumikan. Kak Piah sabar ya...ini semua dugaan Allah kepada kita,” nasihat Malik.
            Mak Safiah hanya mengangguk. Fikirannya melayang entah ke mana. Macam-macam perkara yang bermain dalam otak.
            “Kalau tak ada apa-apa lagi… saya beransur dululah.” Malik meminta diri. Dia mesti pulang cepat.Lagipun, Malik tak boleh berlama-lama di sini.Takut diketahui oleh Pak Berahim. Buat aniaya diri sendiri saja nanti! Maliktergesa-gesa menghidupkan motorsikalnya lalumeninggalkan perkarangan rumah Mak Safiah.
            “Mak, kenapa mak nangis?” soal Along. Aneh melihat ibunya tiba-tiba menangis teresak-esak.
            “Tak ada apa-apa Along,” alih Mak Safiah.
            “Tapi...” kata-kata Along terhenti seketika.Mula berfikir-fikir.
            “Mak nak pergi ke? Pak Berahim kan tak sukakan keluarga kita. Takkanlah kita nak pergi jugak?” sambung Along lagi. Buat muka pelik. Aneh. Dah tahu orang tak suka, kenapa nak pergi juga. Along dah dewasa. Dia faham bahasa.
            “Mak nak ke tanah perkuburan kejap lagi. Along cepat siap!” arah Mak Safiah. Bergegas masuk ke dalam rumah. Pertanyaan Along dibiarkan tergantung tanpa jawapan. Dia mesti cepat. Jangan sampai tertinggal.

MAK SAFIAHberjalan pantas sambil memimpin kedua-dua tangan anaknya ke kawasan tanah perkuburan Islam dihujung kampung. Peluh yang membasahi baju kurung lusuhnya itu tidak dipedulikan. Dia mesti cepat sebelum jenazah disemadikan. Ingin menatap wajah bekas suaminya itu buat terakhir kali.
            Sebaik sahaja kaki menjejaki kawasan perkuburan, semuanya sudah selesai. Jenazah sudah selamat dikuburkan. Talqin sudah pun dibaca oleh Tok Imam. Cuma yang tinggal hanyalah ahli keluarga yang terdekat sahaja.
            Kehadiran mereka tanpa diundang itu melahirkan rasa jelik pada yang memandang. Lebih-lebih lagi Pak Berahim yang merenung wajah Mak Safiah dengan penuh perasaan benci. Kalau diikutkan hati, mahu saja dihadiahkan perempuan itu penampar jepun. Biar dia tahu diri. Menyesal punya menantumacam hantu!
            “Apa kau nak lagi, hah?! Tak cukup lagi ke sial yang kau bawak dalam keluarga aku?!” jerkahnya dengan mata yang merah menyala.
            Mak Safiah hanya menundukkan wajahnya dengan tangan yang terketar-ketar. Tak berani melawan. Apatah lagi bertentang mata. Hitam kata Pak Berahim, hitam juga keputusannya. Jangan ada yang berani membangkang.
            “Lepas bini aku kau bunuh, anak aku pun kau nak rampas! Perempuan jenis apa kau ni? Tak tahu malu!” pekik Pak Berahim seperti orang kerasukan hantu. Wanita mudadisebelahnya cuba menenangkan. Bahu Pak Berahim dipegangnya lembut.
            “Sabar Ayah. Jenazah Abang Rizal baru je dikebumikan. Tak baik macam ni. Malu kat orang…” pujuk wanita berselendang hitam itu.
            “Kau diam, Mariam! Hei perempuan, Kalau kau aku tak suka, dengan keturunan-keturunan kau pun aku tak terima tau! Sampai bila pun aku takkan terima. Baik kau berhambus, bawak anak-anak kau sekali. Aku tak hinggin nak tengok muka korang anak-beranak kat sini!” herdik Pak Berahim lagi. Tangannya dihayunkan keatas. Nafsu amarahnya sudah tidak dapat ditahan-tahan lagi. Bila-bila masa sahaja satu tambaran mungkin hinggap ke pipi Mak Safiah.
            “Sudah la tu Ayah. Malu kat orang. Piah, baik kau pergi dari sini sekarang sebelum benda tak baik berlaku,” arah wanita yang digelar Mariam itu.
            Sesungguhnya dia lebih mengerti tahap panas baran Pak Berahim. Bagaikan gunung berapi yang boleh meletus pada bila-bila masa sahaja. Tak kenal tempat dan masa.
            “Aku cuma nak tengok dia buat kali terakhir...”rayu Mak Safiah.
            “Dahlah mak. Jom kita balik. Tak guna tunggu kat sini lagi. Jangan dilayan orang tua ni, buat sakit hati je.” Along menarik lengan Mak Safiah. Ekor matanya menjeling tajam Pak Berahim.Penuh rasa jengkel.
            “Eloklah tu! Anak dengan mak sama je kurang ajar. Bawaklah mak kau berhambus dari sini. Aku haramkan korang anak beranak jejak kaki kat kubur anak aku. Pergi!” tempik Pak Berahim. Semakin menggila. Sifat panas baran memang sudah sebati dengan Pak Berahim. Pantang disembur dengan minyak. Dialah api yang akan menjilat manusia itu terlebih dahulu.
            Mak Safiah hanya terpana dengan kata-kata yang dihamburkan kepadanya. Tiada apa yang boleh dilakukan lagi. Mereka anak-beranak segera berlalu meninggalkan kawasan tanah perkuburan. Hatinya terasa seperti dicarik-carik.

            Begitu bencikah lelaki itu kepadanya? Sampai sanggup menabur fitnah yang bukan-bukan. Demi Allah! Kedua-dua orang anak ini anak yang sah taraf. Bukan hasil pelacuran. Ini hasil cintanya yang setia bersama bekas suaminya. Salahkah dia mahu menatap wajah lelaki itu buat kali terakhir?

No comments:

Post a Comment