DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 27 December 2015

MAAF, AKU TAK SENGAJA - BAB 9

Usai solat subuh, Aina Cempaka membaringkan tubuhnya di atas katil. Kain telekung yang dipakainya dibiarkan membaluti tubuh. Dia memandang ke siling. Terasa rindu pula kepada Mak Safiah. Kalaulah dia boleh pulang ke kampung sekarang, kan bagus!
Telefon bimbit di atas meja berdering. Aina Cempaka mula tersenyum sebaik sahaja nama ibunya terpapar pada skrin telefon bimbit sebagai pemanggil. Panjang umur betul. Baru sahaja terkenang, tiba-tiba muncul. Hatinya mula berbunga-bunga.
“Mak! Cempaka rindu kat mak,” kejut Aina Cempaka.
“Assalamualaikum.”
“Eh! Waalaikumussalam.” Aina Cempaka mengaru-garukan kepala. Terlampau teruja sampai lupa memberi salam.
“Aina rindu kat mak…” rengek Aina Cempaka. Macam budak kecil berumur lima tahun.
Kalaulah Aina Cempaka ada kawan baik sebaik Doraemon, mahu sahaja dia menyuruh Doraemon keluarkan pintu sesuka hati. Boleh dia balik ke kampung. Tidur di bawah celah ketiak Mak Safiah. Peluk cium lepaskan rindu. Itu angan Aina Cempaka.
“Ya… mak pun rindu kat Cempaka. Ni mak nak beritahu ni... adik sepupu kamu nak balik hari ni.”
“Adik? Helmi ke?”
“Yalah, Helmi. Siapa lagi?”
“Ya ke? Macam tak percaya aje. Dah lama Cempaka tak jumpa dia mak. Kenapa tiba-tiba dia nak balik. Tak beritahu pun.”
“Semalam dia ada telefon mak. Katanya dia balik mengejut sebab nak buat surprise kat abah dia. Dia nak terus tinggal kat kampung. Nak jaga orang tua tu.”
“Bagus jugak tu. Sekurang-kurangnya ada jugak orang yang jaga Pak Malik. Taklah dia bosan duduk sorang-sorang kat rumah,” balas Aina Cempaka. Rasa bangga dengan keputusan yang diambil oleh Helmi.
Sudah hampir tujuh tahun Helmi meninggalkan tanah air semata-mata untuk bekerja sebagai seorang tukang masak di Brunei. Atas sebab apa, Aina Cempaka juga tidak pasti. Entah mengapa, apabila memikirkan perkara ini kepalanya bertambah sakit. Jadi, biarlah! Malas mahu bertanya lebih. Apa yang penting sekarang, Helmi mahu pulang. Dia perlu segera telefon Mohsin. Menyampaikan berita gembira ini.



MOHSIN dan Aina Cempaka berlegar-legar di ruang ketibaan lapangan terbang KLIA. Hampir setengah jam mereka menunggu. Sejak dari pukul 9 pagi tadi, kelibat Helmi masih tidak muncul-muncul.  Seingat Aina Cempaka, sudah hampir tujuh tahun mereka tidak bersua muka. Entah bagaimanalah rupa sepupunya itu sekarang.
Aina Cempaka cuba membayangkan kembali raut wajah Helmi, anak angkat seorang imam kampung yang dulunya berambut panjang paras bahu dan agak brutal. Pantang diajak bergaduh, dialah orang pertama yang akan mara ke hadapan. Siapa yang berani melawan pasti hancur mukanya, kena makan penumbuk! Mengingatkan tingkah Helmi buat Aina Cempaka tersenyum sendiri. Rasa rindu pun ada.
Dari kesesakan sekumpulan penumpang yang selamat tiba, mata Aina Cempaka tertangkap pada satu kelibat manusia. Seorang lelaki yang mukanya seakan-akan seiras Helmi. Apa yang menjadi pertanyaannya, adakah lelaki berjubah dan berserban putih itu Helmi? Adik sepupunya dahulu? Fuh, berbeza sungguh!
Lelaki berwajah manis dengan lesung pipit di pipi itu semakin mendekat. Mengukirkan senyuman kepada mereka. Menyambut mesra tangan Mohsin dan memberikan satu pelukan. Dia memandang wajah Aina Cempaka dengan mata yang bersinar.
“Helmi? Ustaz Helmi dah sampai.” Mohsin mengusik. Mencuit bahu tahfiz muda berusia 27 tahun itu.
“Ustaz?” Aina Cempaka agak terkejut dengan panggilan itu. Bila masa pula si brutal ini jadi Pak Ustaz. Aina Cempaka merenung muka Mohsin. Pelik. Memang pelik!
“Lambatnya kau ni Aina. Kan Helmi belajar agama kat Brunei. Kau lupa ek?” soal Mohsin, tergelak.
“Tapi, kenapa aku tak ingat? Setahu aku... kau kerja kat sana. Kerja tukang masak, kan?” Perasaan Aina Cempaka semakin keliru.
Mohsin dan Helmi terdiam. Memandang antara satu sama lain. Mimik wajah mereka berubah cuak.
“Taklah kak. Helmi kerja sambil belajar. Kerja tukang masak kat restoran Arab.” Helmi cuba beraksi spontan. Mohsin cepat-cepat menganggukkan kepala. Setuju dengan jawapan Helmi.
“Yalah... mungkin aku dah nyanyuk kut.” Balas Aina Cempaka sambil ketawa. Mungkin dia sendiri yang kurang peka dengan ‘isu semasa’. Sampai perkara penting macam ini pun boleh jadi lupa.
“Jomlah. Lepas ni kita nak terus ke Kedah. Takut tak sempat pulak,” kata Mohsin sambil mencapai bagasi besar pada tangan Helmi. Masa yang ada jangan dibazirkan. Perjalanan mereka ke kampung agak jauh. Tidak boleh ditunda lama.
“Boleh tak korang tunggu sekejap? Aku nak pergi toilet kejap. Sekejap aje…” rayu Aina Cempaka. Tiba-tiba perutnya memulas. Minta ke tandas.
“Hesy... tak senonoh betul. Dah, pergilah cepat. Kita orang tunggu,” balas Mohsin.
Aina Cempaka berjalan pantas. Terus lenyap dari pandangan mata mereka. Hajat yang tersimpan perlu diselesaikan.
“Nasib baik tak terlepas cakap tadi,” keluh Mohsin, menarik nafas lega.
“Kak Cempaka tak tahu ke yang Helmi sambung belajar agama kat Brunei?” soal Helmi.
“Tak.”
“Kenapa tak beritahu?”
“Mak Piah dah cuba beritahu... tapi lain pulak jadinya. Dia tak boleh ingat banyak sangat. Nanti penyakitnya datang lagi,” balas Mohsin perlahan.
“Tak tahu pulak penyakit dia teruk sangat sampai macam ni. Ingatkan dah sembuh.”
“Lima tahun tak cukup nak ubatkan semua tu. Doktor cakap, mungkin dia akan ingat balik. Tapi perlahan-lahanlah,” jelas Mohsin.
Helmi menarik nafas panjang.
“Mungkin ini ujian Allah kepada kita hamba-Nya. Tapi kalau dia ingat balik, nanti macam mana pulak?”
Mohsin hanya mengangkatkan bahunya tanda tidak pasti dengan soalan Helmi.
“Menyesal pulak Helmi tak balik masa tu.”
“Dahlah... benda dah jadi. Kita tak boleh buat apa-apa,” pujuk Mohsin.
Helmi diam sejenak. Otaknya ligat berfikir. Selepas apa yang terjadi kepada Aina Cempaka, semuanya berubah. Kalaulah ingatan Aina Cempaka sudah pulih sepenuhnya, pasti sukar dia menerima kenyataan sebenar. Dirogol bergilir-gilir dengan tiga orang lelaki. Setelah puas melepaskan nafsu, tubuh itu dicampakkan ke tepi jalan. Dibiarkan tanpa seurat benang. Kejam! Bila iblis menguasai hati, manusia akan bertindak lebih keji daripada binatang.
Seingat Helmi, beberapa bulan selepas peristiwa itu Aina Cempaka didapati hamil. Dia yang masih menuntut di Brunei memang mahu pulang. Tapi, dihalang oleh Mak Safiah. Kata Mak Safiah, pengajian Helmi lebih penting. Lagipun, pada masa itu Helmi sedang menduduki peperiksaan akhir. Mak Safiah tidak mahu pelajaran Helmi terganggu.
Paling menyedihkan buat Helmi apabila dia mendapat berita mengenai kehilangan Aina Cempaka. Aina Cempaka nekad terjun sungai dengan niat membunuh diri. Begitu lemah iman gadis itu sampai sanggup buat perkara yang dibenci Allah!
Masa itu hati Helmi memang hancur. Bercampur baur perasaannya. Apabila teringatkan tindakan along, lagilah buat dia naik hantu. Lelaki tidak guna itu sanggup melarikan diri ke sempadan. Jual dadah dan akhirnya masuk lokap. Walaupun marah, tapi Helmi tidak pernah salahkan along sepenuhnya. Mungkin ini salah satu cara Allah untuk menguji keluarga mereka. Dia berharap along dapat pengajaran daripada apa yang dia buat. Semoga hidayah Allah mampu menyuluh hidup lelaki itu menjadi lebih baik.
“Bila hukuman along tamat?” soal Helmi setelah beberapa minit dia mengelamun.
“Itu... errr… kenapa Helmi tanya?” Mohsin jadi teragak-agak. Dia tidak tahu! Sudah bertahun-tahun dia tidak bertemu lelaki itu. Mak Safiah pun tidak pernah menyebut mengenai Rasyid, apatah lagi mengambil tahu mengenai anak lelakinya itu.
“Tak... Helmi cuma nak tahu. Tak apalah Abang Sin.” Helmi tersenyum.
“Sorry lambat. Jomlah cepat,” kejut Aina Cempaka, menghampiri mereka dengan nafas tercungap-cungap. Penat berlari anak.
“Kenapa diam ni?” soal Aina Cempaka. Aneh melihat dua lelaki itu hanya menundukkan wajah mereka. Tiada sebarang reaksi. Rasa macam cakap dengan angin pun ada.
“Tak ada apa-apa. Bincang hal lelaki. Kau mak nenek apa tahu?” celoteh Mohsin dengan ketawa.
Aina Cempaka mencebik bibir. Hal orang lelaki konon. Tidak ada benda lain. Mengumpatlah tu! Itu dalam fikiran Aina Cempaka.
Mereka beredar meninggalkan kawasan lapangan terbang, perlu segera pulang ke kampung. Perjalanan selama tujuh jam dari Bandaraya Kuala Lumpur ke Kedah bukannya singkat. Hampir patah tulang belakang Aina Cempaka dibuatnya. Punyalah jauh! Walaupun bukan dia yang memandu, tapi terasa jugalah penatnya.
Nasib baik Mohsin nampak bersemangat. Walaupun penat memandu, dia sentiasa tersenyum. Bergelak ketawa, bercerita mengenai zaman kanak-kanak mereka. Tidaklah terasa sangat masa berjalan.



“ASSALAMUALAIKUM mak, mak!” jerit Aina Cempaka  dari atas tangga batu rumah ibunya.
Mohsin dan Helmi menyusul di belakang. Mereka mengambil keputusan untuk singgah sebentar ke rumah Mak Safiah sebelum menghantar Helmi pulang ke rumah Pak Malik. Ini semua atas permintaan Aina Cempaka. Punyalah tidak sabar hendak berjumpa Mak Safiah. Lagipun, mereka mahu membuat kejutan kepada Pak Malik selepas ini.
Beberapa saat kemudian, pintu rumah dikuak perlahan.
“Waalaikumussalam.” Wajah Mak Safiah berskarf putih di kepala terpacul di muka pintu. Melemparkan senyuman gembira tatkala wajah anak kesayangannya muncul di depan mata. Tubuh Aina Cempaka dipeluknya erat. Melepaskan kerinduan.
Suasana rumah kampung yang agak sederhana dan kemas itu sudah cukup mengembalikan memori zaman kanak-kanak mereka. Ingat dulu. Hampir bergegar rumah atas Mak Safiah angkara mereka yang bermain kejar-kejar di dalam rumah. Namun, semua itu sudah menjadi sejarah. Apabila sudah dewasa, mereka membawa haluan masing-masing.
“Alhamdulillah, balik juga Helmi. Dah besar panjang rupanya,” kata Mak Safiah. Matanya memandang Helmi dari atas sampai ke bawah.
“Alhamdulillah mak. Dah lama Helmi tak jejak kaki kat tanah kampung ni. Rindu dengan bau tanah bendang kita,” jawab Helmi dengan senyuman.
“Ni ada buah tangan sikit dari Brunei. Lupa pulak nak bagi.” Helmi menghulurkan beberapa bungkusan plastik kepada Mak Safiah.
“Terima kasih. Buat susah-susah aje.”
“Tak menyusahkan pun. Walaupun Helmi ni cuma anak saudara mak, Helmi dah anggap mak ni macam mak Helmi sendiri. Helmi dah tak ada siapa-siapa lagi kat dalam dunia ni kecuali mak, Pak Malik, Abang Sin dan Kak Cempaka.” Jelas Helmi.
Mak Safiah jadi terkesan. Sejak kematian kedua-dua ibu bapanya, Helmi dibesarkan oleh Pak Malik. Mereka hidup seperti satu keluarga. Mak Safiah pun sudah menganggap Helmi tidak ubah macam anaknya sendiri.
“Kalau macam tu, kamu duduklah dulu. Nanti mak buatkan air.” Mak Safiah meluru ke dapur diikuti oleh Aina Cempaka. Ingin membantu.
“Dah lama tak rasa suasana kampung macam ni, kan?” ucap Helmi. Dia berjalan ke muka pintu. Rasa nikmat dapat menghirup udara segar.
“Apa rancangan Helmi lepas ni?” soal Mohsin.
“Lepas ni Helmi rasa nak usahakan tanah bendang arwah ayah. Sambil tu bolehlah ajar budak-budak kat kampung ni mengaji Al-Quran. Macam mana dengan kerja Abang Sin? Ada buat projek baru ke?” soal Helmi.
“Adalah sikit. Banyak sangat benda nak kena fikir. Sampai naik pecah dah kepala ni.”
“Susah jugak jadi arkitek macam Abang Sin ni ya? Banyak benda nak kena fikir. Tapi, bagus jugaklah... sekurang-kurangnya Abang Sin ada masa untuk diri sendiri. Taklah duduk menghadap kerja dalam bilik aje.”
“Yalah. Takkan Abang Sin nak kena kerja macam robot pulak. Bila tiba masa kita rehat, kenalah rehat. Abang Sin nak tanya ni, Helmi pasti ke nak duduk kat kampung ni?”
“Ya. Kenapa tanya?”
“Tak adalah... kalau Helmi ikut Abang Sin tinggal kat KL, kan senang dapat kerja. Tambah-tambah lagi dengan kelulusan dan pengalaman yang Helmi ada tu. Boleh jadi peguam syariah tau.” Agak sayang jika kelulusan Ijazah dalam bidang undang-undang syariah yang dimiliki oleh Helmi itu tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Lagipun, Helmi boleh cari pekerjaan yang lebih baik di ibu kota.
“Terima kasihlah, Abang Sin. Tak apa. Lagipun Helmi memang dah berniat nak berjasa kat kampung ni. Kalau ada rezeki lebih, ingat nak tubuhkan maahad tahfiz kat sini.”
“Ya ke?” soal Mohsin. Macam tidak percaya.
Helmi mengangguk.
“Baguslah macam tu. Abang Sin pun setuju dengan niat Helmi tu. Jarang ada orang muda macam ni. Nanti kalau nak bantuan apa-apa, beritahu aje Abang Sin. Insya-Allah, selagi mampu Abang Sin tolong.” Mohsin ketawa. Rasa bangga pun ada.
“Bila Abang Sin nak kahwin dengan Kak Cempaka?” soal Helmi tiba-tiba.
Mohsin terus senyap. Mengerutkan wajah.
“Entahlah...” Mohsin menggelengkan kepala.
“Bukannya apa... Helmi cuma risau. Lagipun, Helmi tengok Kak Cempaka dengan Abang Sin dah lama kenal. Rapat lagi tu. Takkan nak berdua tanpa apa-apa ikatan. Tak manis kalau orang tengok,” nasihat Helmi penuh berhemah.
“Abang Sin dah cuba. Tapi dah kena reject kaw-kaw. Mungkin lain kali kut. Pintu hati dia belum terbuka lagi.” Mohsin ketawa terbahak-bahak.
Helmi tersenyum.
“Sukanya dia!” sergah Aina Cempaka dari belakang.   Mohsin terkejut. Dada diurut. Nasib baik dia tidak ada penyakit jantung. Kalau tidak, mesti sudah pengsan. Putus nyawa dari badan.
“Apalah, sergah orang macam hantu!” marah Mohsin.
“Aik... terkejut ke? Takkanlah macam tu pun nak terkejut. Mengumpat ke apa ni? Dari airport tadi tak henti-henti mengumpat. Tak habis-habis lagi ke?”
“Apalah Kak Cempaka ni. Tak adalah.” Helmi ketawa. Rasa lucu dengan reaksi mereka berdua.
“Dah. Sudah. Sekarang jom kita pergi makan dulu. Kak Cempaka dah lapar sangat ni. Mak pun dah siap masak dah tu,” arah Aina Cempaka. Jari telunjuknya ditudingkan ke ceruk dapur.
Mereka menurut. Melangkah ke dapur mengambil tempat duduk di meja makan.
“Sedapnya bau... mak masak apa ni?” soal Mohsin. Membuka tudung saji.
“Macam biasalah. Asam pedas ikan tongkol,” jawab Mak Safiah, mengambil kerusi bersebelahan Aina Cempaka.
Aina Cempaka membantu menyenduk nasi ke dalam pinggan mereka. Doa dibaca oleh Helmi sebelum mereka makan bersama. Selepas makan, mereka berpakat untuk ke rumah Pak Malik. Sengaja Helmi tidak memberitahu bapanya terlebih dahulu. Kononnya mahu buat kejutan. Biar Pak Malik rasa terharu.




PAK MALIK membetulkan cermin mata tebalnya. Memastikan apa yang dilihatnya sekarang ini benar atau tidak. Dia meletakkan semula cangkul yang tadinya digunakan untuk menggemburkan tanah.
Sebuah kereta BMW 7 Series berwarna hitam kelihatan menyusuri jalan sempit petak sawah di hadapan rumahnya. Semakin hampir dan terus berhenti tepat di hadapan mata. Kain pelikat yang dipakainya dinaikkan sedikit. Teruja ingin tahu siapa gerangan tetamu yang bertandang.
“Anak aku dah balik!” jerit lelaki tua itu.
Helmi memeluk rapat tubuh lelaki itu sebaik sahaja melangkah keluar dari kereta. Mohsin dan Aina Cempaka menghampiri mereka dengan senyuman yang terukir di bibir.
“Abah sihat?” sapa Helmi. Meleraikan pelukan.
“Alhamdulillah... sihat. Naiklah. Mohsin, Cempaka... marilah naik sekali,” pelawa Pak Malik setelah bersalaman dengan Mohsin.
“Terima kasihlah, Pak Malik. Kami rasa macam dah lewat sangat ni. Takut gelap sampai KL nanti. Lagipun esok saya ada kerja sikit nak buat,” jelas Mohsin sopan.
“Kalau macam tu tak apalah. Lain kali kalau senang datanglah jenguk-jenguk. Jaga-jaga sikit, awak tu bawak anak dara orang. Jangan ke lain sudahlah.”
“Tak beranilah saya Pak Malik. Nanti tak pasal-pasal kena smack down pulak.” Ketawa Mohsin.
“Dah tu, kenapa tak halalkan aje terus?” soal Pak Malik sambil ketawa.
Mata Mohsin merenung Aina Cempaka, minta jawapan. Aina Cempaka menjeling tajam. Fahamlah Mohsin. Dia pun tidak berani hendak kata apa lagi. Takut dibaham singa betina.
“Errrr... kami balik dululah ya.” Mohsin menyalami tangan Pak Malik dan Helmi. Mereka hanya tersenyum-senyum melihat reaksi spontan Mohsin. Malulah tu!
“Terima kasih ya Abang Sin, Kak Cempaka. Assalamualaikum,” ucap Helmi sebaik sahaja Mohsin menghidupkan enjin keretanya.
“Waalaikumussalam. Sama-sama... nanti senang datanglah KL,” jawab Mohsin.
Aina Cempaka yang duduk di sebelahnya melambaikan tangan. Mengucapkan selamat tinggal kepada mereka berdua sebelum Mohsin memecut laju meninggalkan rumah di tepi sawah itu.



JAM sudah menunjukkan hampir pukul 1 pagi. Kereta yang dipandu Mohsin selamat tiba di hadapan rumah sewa Aina Cempaka. Tidak sampai hati pula ingin mengejutkan Aina Cempaka yang sedang tidur nyenyak.
Mohsin menatap wajah ayu kecil molek itu. Mengusap lembut helaian rambut yang menutupi dahinya. Terserlah parut yang agak dalam pada dahi kanan wanita itu. Tangan Mohsin beralih ke pipi pula, kemudian menyentuh bibir merah Aina Cempaka. Perasaan sayang tidak mampu diungkapkan lagi. Hatinya diruntun pilu. Mengapa susah sangat gadis itu menerima cintanya? Mohsin mula terbawa-bawa dengan perasaannya sendiri.
Tiba-tiba kepala Aina Cempaka beralih sedikit. Mohsin pantas menarik tangannya semula. Mengurut dada.
“Astaghfirullah... apa yang aku dah buat ni?” Beristighfar panjang Mohsin, memulihkan semula perasaannya yang terbawa-bawa tadi. Dia menarik nafas dalam. Cuba berdeham beberapa kali. Aina Cempaka tetap lena dibuai mimpi. Tiada reaksi.
Mohsin cuba berpura-pura batuk dengan kuat pula. Namun, masih tidak berkesan. Sekarang, dia kehabisan akal. Aina Cempaka tidur mati. Orang lain yang memandu, dia pula yang terlebih penatnya.
“Hoi bangunlah! Kau ingat kereta aku ni tempat lap air liur basi ke apa?” tengking Mohsin kuat. Menginjak-injak tempat duduknya.
Aina Cempaka tersedar. Mengesat kelopak matanya beberapa kali. Dia memandang wajah Mohsin. Antara nampak tidak nampak.
“Bangunlah! Aku yang drive, kau pulak yang terlebih penat. Poodah!” perli Mohsin.
Aina Cempaka apa lagi, mulalah naik hantu.
“Aku tahulah! Aku bukannya pekak. Tak payahlah kau nak terjerit-jerit macam pontianak,” rengusnya lalu membuka pintu kereta.
“Aik! Dah menumpang kereta orang, terima kasih pun tak?” perli Mohsin lagi.
“Terima kasih Encik Mohsin!” jerit Aina Cempaka. Dia terus melangkah ke pintu pagar. Menyembunyikan senyumannya. Rasa kelakar pun ada. Mohsin oh Mohsin! Dia tahu. Mohsin rajin berseloroh dan Aina Cempaka sudah lali sangat dengan perangai lelaki itu.
Mohsin masih setia menunggu. Terus menghidupkan enjin kereta sebaik sahaja kelibat tubuh Aina Cempaka menghilang di sebalik pintu rumahnya. Mohsin tersenyum simpul mengenangkan reaksi wajah Aina Cempaka. Alangkah bagusnya kalau mereka boleh hidup bersama. Sesekali bergaduh manja, apa salahnya?
“Amboi Sin! Tak boleh jadi ni... nampaknya kau dah kena kahwin cepat-cepat ni.” Omelnya sendiri sambil tersenyum-senyum macam orang angau. Mabuk bercinta!

3 comments: