DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Google+ Followers

Monday, 21 August 2017

Mahkota Kertas - Bab 8

LAMPU kecil di tangan disuluh ke arah pintu lif.
Suasana sekeliling gelap-gelita. Dari selepas habis kelas tadi
dia menunggu masa untuk memulakan ‘operasi’. Kali ini,
walau apa pun dia tetap akan dapat jumpa apa yang dia ‘buru’
sejak sekian lama.
Belum sempat dia menekan punat di tepi pintu lif,
dia terdengar bunyi derap tapak kasut. Dalam keadaan sunyi
begitu, bunyi yang perlahan pun terasa kuat di telinga.
Maissa pantas menyembunyikan diri di tepi dinding.
Dadanya berdebar-debar, risau kalau-kalau tertangkap
dengan guard. Itu pun kalau betullah guard. Dibuatnya
ada ‘makhluk’ lain yang sedang mengintai, macam mana?
Memanglah dia nak cari ‘makhluk’ tu, tapi biarlah dia dalam
keadaan bersedia, bukan tiba-tiba macam ni.
Maissa mengira-ngira dalam hati. Dia cuba
memerhati dari sebalik dinding. Yang dia nampak cuma
bayang seseorang. Apabila yakin yang ‘makhluk’ itu kian
mendekat, dia pantas melompat dan menyuluh lampunya ke
depan.
Shad terjerit, terkejut dek kerana silau panahan
lampu suluh Maissa. “Hoi, apa ni?!”
Maissa menjatuhkan lampunya. Wajahnya jelas
menahan bengang. “Syhhh!”
Shad menggosok-gosok mata. ‘Buta’ sekejap
dibuatnya.
“Tak boleh ke bagi salam?” rungut Maissa geram.
Petang tadi Shad juga yang hantar pesanan ringkas
kepadanya bertanyakan apa aktivitinya malam ini dan dia
cuma menjawab dengan jujur. Tak sangka pula Shad akan
datang. Hesy, menyemak betul mamat ni!
“Manalah saya tahu awak menyorok kat dinding tu,”
balas Shad membela diri. Mulalah dia rasa menyesal sebab
datang juga ke situ malam itu. Baiklah balik rumah dan tidur.
Sudahlah malam semalam pun tak cukup tidur, ini sanggup
lagi buat kerja gila macam ni.
Maissa merengus sebelum terus berjalan ke arah
lif semula. Shad mengikut dari belakang. Maissa menekan
punat, menunggu pintu lif terbuka.
“Awak nak cari apa sebenarnya ni?” tanya Shad.
“Hantu lif,” jawab Maissa. Pintu terbuka, dia terus
masuk.
Shad mengikut gadis itu. “Hantu lif?”
“Awak tak tahu ke kisah legend lif fakulti ni?”
“Tak.”
Maissa berdeham, bersedia untuk bercerita. “Sejak
lima belas tahun lepas, lif ni dikatakan ada ‘penunggu’ pada
waktu malam, terutama sekali selepas pukul 12 malam. Sebab
itulah tak ada pelajar yang akan gunakan lif ni waktu malam,
walaupun ada kelas biasa atau kelas ganti. Diaorang semua
lagi rela guna tangga.”
“Kalau naik jugak jadi apa?”
“Lif ni akan berhenti di tingkat tiga dan pintunya
akan terbuka walaupun tak ada orang yang tekan butang
apa-apa. Dia akan berhenti kat situ beberapa minit dan...”
Maissa merendahkan suara. “Ramai pelajar yang dah terkena
cakap diaorang nampak... pocong.”
Shad tertelan liur. Untuk seseorang yang tak takut
hantu sangat, dengar cerita macam itu ketika berada dalam
lif dan di tempat kejadian, boleh kecut perut jugalah. Hari tu
dia cuma nampak satu jalur putih melintas, tapi cerita Maissa
kali ni lebih menyeramkan.
Maissa tersenyum kecil apabila perasan reaksi pada
wajah Shad. Tahu takut...
“Jadi sekarang ni awak nak pergi cari pocong itulah?”
teka Shad.
Maissa mengangguk penuh yakin.
Lif itu berhenti tiba-tiba. Lampu terpadam. Shad dan
Maissa saling berpandangan, terkejut.
“O... kay... Please tell me that this isn’t the pocong’s
doing,” kata Shad mula panik.
Maissa menekan-nekan butang di tepi pintu lif.
Semua butang ditekannya tapi tiada satu pun yang berfungsi.
Dia berdecit, menyumpah perlahan.
“May, apa yang berlaku sekarang ni?” Shad bertanya
risau, peluh mula basah di sekitar dahinya.
Maissa menyuluh lampunya ke sekitar lif. Tiada apa
yang boleh dijadikan alat untuk keluar dari situ.
Shad mara ke depan untuk menekan butang
kecemasan tapi Maissa pantas menahan. “Kenapa?”
“Awak nak guard tahu kita ada kat sini?”
“Saya lagi rela kena denda dengan pihak fakulti
daripada mati kelemasan dalam lif ni. Itu the best case
scenario tau? The worst case scenario, tiba-tiba hantu pocong
awak tu masuk dalam lif ni dan bunuh kita.”
“Awak pernah dengar cerita hantu pocong bunuh
orang ke? Atau ada baca kat mana-mana? Komik? Novel?”
“Sekarang bukan masa nak buat lawak okey.” Geram
pula Shad dibuatnya. Sepatah dia cakap, sepuluh patah Maissa
jawab balik. Kalau jawab biasa-biasa tak apa, ini macam
sengaja nak cabar kesabaran.
“Whatever! Sekarang fikir macam mana nak keluar
dari...” Belum sempat Shad sudahkan ayat, lif itu seolah-olah
dihempap sesuatu. Kedua-duanya hilang imbangan badan.
Nasib baik Shad sempat berpegang pada dinding. Cuma
tubuh Maissa yang berlaga dengan tubuhnya, membuatkan
dia hampir putus nafas untuk seketika.
Apabila sedar situasi ketika itu, Maissa pantas
menjarakkan tubuhnya daripada Shad. Lampu suluh yang
terlepas jatuh diambil semula. Tangannya terasa menggigil
tidak semena-mena.
Shad tarik nafas panjang. Bulu roma menegak,
jantung berdegup lebih laju daripada biasa. “Okey, May.
Tolonglah, tekan butang kecemasan tu sebelum keadaan jadi
lebih buruk.”
Lif itu bergerak semula menuju ke tingkat atas
sebelum sempat Maissa buat apa-apa.
“What?” Shad terpinga-pinga, tak faham apa yang
sedang berlaku. Pocong tengah bergurau ke apa ni?
Lif berhenti di aras tiga. Pintu terbuka luas. Maissa
dan Shad saling berpandangan. Shad dengan debaran di
dada, Maissa pula masih dengan muka selambanya. Selamba,
selamba jugak... satu badan pun dah berpeluh sebenarnya.
“May, kita kena turun sekarang,” kata Shad tanpa
pedulikan apa-apa lagi. Dia menekan butang untuk menutup
pintu lif itu tapi tidak berjaya. Pintu itu seolah-olah terbeku
dengan sendirinya. Shad mencuba lagi dan lagi, tetap gagal.
Maissa jongket bahu ke arah Shad dengan isyarat
mata ‘don’t blame me!’.
“Jom,” ajak Maissa dan terus keluar.
“Tunggu kejap!” Shad menarik lengan Maissa
membuatkan gadis itu berpaling.
“Apa lagi?” Maissa menjegilkan matanya. Buang
masa betullah berdebat dengan mamat ni.
Shad cuba untuk bersuara tapi kata-katanya tersekat
di kerongkong apabila dia terpandangkan sesuatu di luar lif,
sedang berdiri tegak merenung ke arahnya, seluruh badan
dibaluti kain putih dari atas sehingga bawah. Shad tertelan
liur. Peluh terasa mengalir menuruni badannya. Wajahnya
bertukar pucat lesi. Jantung seolah-olah sudah luruh ke
lantai lif.
Maissa mengerutkan dahi melihat reaksi Shad.
Macam nampak hantu.
Hantu? Spontan Maissa berpaling. Sama seperti
Shad, dia juga terpanar melihat ‘makhluk’ itu. Cuma bezanya,
Shad terkejut sampai nak terkencing, dia pula rasa teruja.
Akhirnya...
Sehinggalah ‘makhluk’ itu mula bergerak
menghampiri mereka.
Shad menekan butang untuk menutup pintu
beberapa kali. Masih tidak berfungsi. “May! Apa nak buat ni?”
Daripada teruja, Maissa sudah mula rasa jantungnya
hampir melompat keluar. Dia menekan-nekan semua butang
di tepi pintu lif itu, termasuklah butang kecemasan. ‘Makhluk’
itu semakin lama semakin mendekat, Shad sudah bersedia
untuk menjerit kuat, namun pintu akhirnya tertutup rapat.
“Fuh!” Shad tersandar pada dinding, tangan
mengesat peluh di dahi. Wajah yang pucat sudah mula dapat
warna. Jantung yang jatuh tadi sudah masuk semula ke
dalam badan dan kembali berfungsi dengan baik. Ini semua
memang kerja gila. Sumpah, malam ni dia tak akan dapat
tidur sampai pagi. Namun dia terkejut apabila terdengar tawa
Maissa. “Seriously?”
“What?” tanya Maissa dengan muka tak bersalah.
“How can you laugh?” Shad tak puas hati. Dia dah
hampir nak lari terjun bangunan, tapi boleh pula Maissa
gelak macam baru lepas tonton filem komedi.
Maissa jongket bahu, masih dengan muka tak
bersalah. Baginya, apa yang baru berlaku merupakan satu
pengalaman yang sangat berharga. Sudah lama dia menunggu
masa untuk melihat pocong sebutan ramai pelajar itu,
akhirnya impian menjadi kenyataan juga.
Lif bergerak turun. Maissa dan Shad menoleh ke tepi.
Huruf G menyala. Kemudian masing-masing berpandangan.
“Guard!” jerit Shad. Satu lagi ‘bala’!
Maissa pantas menekan butang nombor 1. Lif itu
berhenti mengejut, pintu terbuka. Maissa berlari keluar,
diekori Shad dengan laju dari belakang. Apabila membelok
untuk ke arah tangga, mereka terdengar pula derap tapak
kaki bersama bunyi kunci. Memang betul-betul ‘bala’!
“Ikut sini!” Maissa berlari ke arah sebuah bilik kuliah
yang tidak berkunci.
Shad tiada pilihan melainkan mengikut saja. Dia
masuk ke bilik itu. Maissa merapatkan pintu semula dalam
gerakan perlahan, tidak mahu ada pengawal yang perasan
bilik itu tidak berkunci. Kalau ada pengawal yang ‘tolong’
kuncikan, bermalam di situlah nampaknya mereka.
“Syhh...” Maissa memberi isyarat supaya Shad diam.
Dia duduk mencangkung di tepi pintu, Shad pula duduk di
sebelahnya.
Shad menarik nafas dalam-dalam. Seumur hidup,
inilah kerja paling gila yang dia pernah buat. Lagipun sejak
kenal Maissa, apa aje perkara normal yang dia buat?
Seorang pengawal berjalan melepasi pintu bilik kuliah
itu. Maissa memandang jam tangannya, mencongak-congak
sendiri dalam kepala.
“Macam mana kalau po... Miss P tu panggil
kawan-kawan dia dan cekup kita kat sini?” tanya Shad
dalam nada berbisik. Takut juga kalau sebut ‘pocong’ karang
tiba-tiba dia muncul depan mata, mana lagi nak lari?
“Right now I’m more concerned about the guards
outside,” balas Maissa.
Shad mengeluh. “Sampai bila nak duduk sini?”
Maissa mengangkat tangan, meminta supaya Shad
diam. Satu... dua... tiga...
“Jom,” ajak Maissa.
Shad turutkan saja.
Maissa mengintai dari pintu. Line clear. Kemudian
perlahan-lahan dia keluar sambil memberi isyarat kepada
Shad supaya mengikutnya. “Kita guna tangga,” arah Maissa,
masih berbisik.
Shad ikut saja tanpa suara. Kalau dia keluarkan
suara lagi, tentu mereka akan bergaduh lagi dan tentu
pengawal-pengawal yang meronda akan dengar. Mereka
menyusup keluar dari pagar belakang, terus ke arah kereta
Shad yang terparkir di situ.
“Tolonglah berhenti buat kerja-kerja gila ni. Kalau
jadi apa-apa tadi macam mana? Kalau pintu lif tu tak dapat
tutup sampailah Miss P tu masuk lif, awak nak buat apa?”
“Dia tak masuk, kan? Itu yang penting.” Maissa
tayang muka selamba. Rimas betul dengar mamat tu
membebel. “Pergilah balik sana. Penakut betul awak ni.”
Terjentik amarah Shad dengar baris ayat terakhir
itu. “I’m sorry, I was just trying to save both of our lives.”
“I don’t need saving!” Nada suara Maissa meninggi.
Renungan Shad dibalas berani. Wajahnya bukan saja serius,
tapi juga tegang. Tapi di sebalik ketegangan itu, ada satu jalur
perasaan terbias dari sepasang matanya, yang tidak dapat
diungkapkan dengan kata-kata.
“So what? You got a death wish?” Shad kekalkan
nada suara rendahnya.
“Don’t talk to me about death,” balas Maissa perlahan
lalu terus berpusing dan melangkah pergi.
Shad mengeluh berat. Dia tak faham apa masalah
Maissa. Dia cuba untuk faham, tapi Maissa terus-terusan
membina dinding yang tinggi dan konkrit antara mereka
sampaikan dia tak boleh tembus masuk langsung.
Satu yang dia pasti, Maissa memang ada menyimpan
satu kisah pahit yang pernah berlaku dalam hidupnya.
Renungan dalam sepasang matanya penuh duka. Mungkin
kisah pahit dan kedukaan itu juga yang menjadikan siapa diri
dia sekarang; memberontak, tapi sebenar-benarnya, broken
dan lost.

Mahkota Kertas - Bab 7

KELAM-kabut dibuatnya pagi itu. Bermula
dengan terbangun lambat, bergegas pergi mandi, sarungkan
pakaian (nasib baik umi dah siap gosok malam tadi),
bersiap-siap mencapai apa saja yang diperlukan untuk ke
tempat kerja.
Amar menjenguk di pintu. Matanya meliar, terkejut
melihat keadaan dalam bilik itu. “Mak aii... Ni bilik manusia
ke alien?”
“Kau pernah tengok alien?” tanya Shad dari mejanya.
“Tak, dalam TV pernahlah,” jawab Amar.
“Sebelum aku hantar kau pergi space, baik diam,”
kata Shad tegas.
Amar tersengih. Angin pula mamat ni pagi-pagi
macam ni. “Kau tu dahlah malam tadi balik lambat. Kau pergi
mana?”
Shad menyikat rambutnya. “Cari hantu.”
“Hah?” Amar terkebil-kebil.
Shad berdecit. “Nantilah aku cerita.” Begnya dicapai.
“Weh, aku baru ingat nak minta tolong kau ni.”
Amar menahan di depan pintu.
“Tolong apa? Aku dah lambat ni nak pergi kerja.”
Shad tahan bengang. Waktu-waktu macam nilah nak minta
tolong bagai. Amar tu tak apa, masuk kerja pun pukul 9 pagi.
Masih ada masa nak bersenang-lenang dulu.
“Ni...” Amar tunjukkan telefon pintar di tangannya.
“Rafanda dah text aku, tapi dia ingat aku kau. Macam mana
aku nak beritahu dia yang aku bukan kau? Yang kau cuma
tolong aku untuk tackle dia?”
Shad tergeleng-geleng. Telefon Amar dicapai lalu
menaip sesuatu di atas skrin.
“Kau buat apa?” Amar kalut.
“Done.” Telefon itu diberikan semula kepada Amar
lalu dia terus melangkah keluar.
Amar tidak berkelip merenung skrin.
Sebenarnya yang pergi rumah
awak hari tu bukan saya, itu abang
kembar tak seiras saya. Dia cuma
tolong saya untuk kenal dengan
awak. Nama saya Amar. :)
Amar terus tepuk dahi.

TUGAS SEBAGAI seorang ahli farmasi di hospital swasta
bukanlah satu tugas yang mudah. Shad sedar dia perlu fokus
dalam menyediakan dos setiap ubat dan perlukan perhatian
yang penuh untuk menerangkan fungsi ubat yang perlu
diambil dan kadar pengambilan kepada pesakit. Tapi apa yang
membuatkan dia terganggu pagi itu adalah seraut wajah
seorang gadis.
Maissa.
‘Hai... dah kenapa pulak aku asyik teringat minah tu
aje ni?’ bisik Shad sendirian.
“Shad... you okey?” Mazwin, ketua ahli farmasi di
hospital itu menegur.
Shad menoleh. Bubar khayalan tentang Maissa,
cuma tinggal sisa-sisa saja. “Okey.”
“You seem...”
“Distracted?” Shad menyudahkan ayat itu.
Mazwin mengangguk.
“Trust me, you’re not the first person to say that,”
keluh Shad. Sebelah tangan menguak rambut ke belakang.
Biasanya sebelum mula kerja, secawan kopi sudah cukup
untuk menghilangkan rasa serabut di kepala. Tapi kali ini,
kopi langsung tak jalan.
Mazwin ketawa kecil. “Masalah study ke?”
Shad menggeleng.
“Hmm... Mesti girl problem ni,” teka Mazwin. Shad
itu sudah dianggap macam adik sendiri, jadi nak bercerita
tentang hal peribadi dia langsung tidak kisah.
Shad tersenyum segan. Senang betul Mazwin teka.
“Kak Win, tanya sikit boleh?”
“Apa dia, Shad?” Mazwin mencapai bekas berisi ubat
dari bahagian atas sebuah rak.
“Kak Win kahwin umur berapa?”
Mazwin tergelak mendengar soalan itu. Mulanya dia
ingat Shad nak tanya soal ubat, atau paling tidak pun soal
tugasan mereka seterusnya untuk hari itu yang mungkin di
luar jadual harian, tapi lain pula yang didengar. “Kenapa?
Shad nak kahwin? Dah jumpa ke calonnya?”
“Tak adalah, Kak Win. Cuma... saya ada kenal seorang
perempuan ni... tapi...” Hesy, susahnya nak explain.
“Shad tak pernah bercinta ke sebelum ni?”
“Pernah tu memanglah pernah, Kak Win. Tapi dia
ni... lain sikit...”
Mazwin tersenyum penuh makna. “Shad,
sebenarnya... bila kita sendiri sedar yang seseorang yang
sedang kita kenali tu lain daripada yang lain, tanpa kita sedar,
we’re giving ourselves a chance to believe that he or she is
the one.”
Shad tersenyum kecil dengan kepala yang tunduk.
Ada sesuatu menari-nari dalam hatinya. Sesuatu yang tidak
dapat dipastikan apa. “Tak adalah, Kak Win. Saya baru lagi
kenal dia.”
“Baru kenal? Tapi dah tahu yang dia lain dari yang
lain?” usik Mazwin.
Shad terdiam. Hah, kena sebiji.
Mazwin menepuk-nepuk bahu Shad.
“Tepuk dada, tanya hati.” Kemudian dia berlalu
keluar dari bilik itu.
Shad terdiam sendiri. Tepuk dada, tanya hati. Tapi
kalau hati sendiri tak boleh bagi jawapan, apa lagi yang boleh
dia ketuk?

MAISSA RIMAS dengan kiriman pesanan ringkas bertalu-talu
daripada papa bertanyakan di mana dia berada, pukul berapa
nak balik dan macam-macam lagi. Dia cuma membalas
seringkas yang mungkin; kampus, nanti sikit, yalah, K.
Entah sejak bila papa jadi prihatin macam itu pun
tak tahulah.
Jam sudah menunjukkan hampir pukul 9 malam.
Maissa kemas semua barang, galas beg dan jalan keluar dari
perpustakaan itu. Bas ada lagi waktu-waktu macam ni, jadi
dia tidak perlu risau macam mana nak balik. Cuma yang
menjadi persoalannya, nak ke dia balik?
Maissa berhenti di luar pintu utama perpustakaan
apabila terpandangkan Shad di depan matanya. Keluhan berat
dilepaskan bersama riak muka bosan. Tak ada orang lain ke?
“Wow... that reaction really hurts,” kata Shad sambil
mendekati Maissa.
“Awak buat apa kat sini?” tanya Maissa rimas.
Serabut dengan papa tak hilang lagi. Sekarang muncul pula
Shad depan mata, lagi tambah serabut.
“Nak pergi library,” jawab Shad. Maissa masih
merenung ke arahnya macam harimau kelaparan. “Simmer
down, girl. I’m not stalking you. This is my campus too,
remember?”
“Really? Then you must know that the library will
close soon,” balas Maissa.
“Oh...” Shad terdiam.
‘Nampak sangat jarang pergi library,’ tempelak
hatinya sendiri.
Maissa terus melangkah melepasi Shad.
“Malam ni awak ada plan apa?” Shad cepat-cepat
menahan. Memang pun dia datang sebab Maissa, tapi bukan
reaksi beku itu yang dia harapkan. Entahlah apa kena dengan
dia. Penat-penat balik kerja, bukannya terus balik ke rumah.
Sanggup pula datang cari Maissa di situ. Mujurlah dia tak
pergi rumah gadis itu tadi.
Maissa berpusing semula. “Entah, bunuh orang
mungkin?”
Shad tergeleng-geleng. Senyuman nipis bermain
di bibir. “How can you say that with such a brittle face?”
Kalaulah betul ada orang mati malam ini, tentu Maissa boleh
jadi suspek utama.
Maissa jongket bahu. “I guess smiling isn’t really my
thing.”
“So you have a thing, huh?” Shad buat muka,
mengusik.
Maissa tak jawab apa-apa.
Shad berdeham. “Balik pada soalan asal saya. Apa
plan awak malam ni? Saya tahu awak tak nak balik rumah
lagi, kan?”
Maissa diam seketika. Apa yang perlu dia buat supaya
mamat ni tak kacau dia lagi?
“Come on, I’m up to anything,” kata Shad
meyakinkan. “Killing someone? Easy. With a knife? Sword?
Grenade? Just name it.” Sengaja dia bergurau untuk
menceriakan suasana, tapi sudahnya muka ketat Maissa juga
yang dia dapat.
“Apa hobi awak?” tanya Maissa tiba-tiba. Dia tahu apa
dia nak buat malam itu, cuma dia tak tahu sama ada ‘masuk’
ke tak dengan Shad.
“Hobi saya?” Shad diam berfikir-fikir. “I used to
drum. Tapi sejak dah mula kerja ni, saya dah kurang jamming
dengan kawan-kawan.”
“Awak ada band sendiri?” Ternyata jawapan Shad
menarik minat Maissa untuk terus bertanyakan soalan.
Shad mengangguk. “Tapi macam yang saya cakap,
lepas masing-masing dah kerja, masa dah kurang. Lagipun,
band untuk suka-suka aje.”
“Awak main apa? Vokalis?” teka Maissa.
Shad tersenyum. “Drum, babe. Drum.” Dengan
muka bangga dia memberitahu.
Maissa tersenyum nipis. Idea yang ‘bernas’ mengetuk
fikiran. “Okey, saya tahu apa plan saya malam ni. Hmm, one
slight problem.”
“Apa dia?”
“You need to drive.”
Shad ketawa kecil. “Piece of cake. Jom.”
Maissa simpan senyum, mengikut Shad dari
belakang untuk ke keretanya.

SESUDAH MEMBELI enam batang drumsticks dari kedai Mr.
D.I.Y, Maissa masuk semula ke kereta. Tiga batang dihulurkan
kepada Shad.
“Awak nak belajar main drum ke?” Shad berkerut
muka, drumsticks itu diambil juga.
“Nope.” Maissa tersenyum. “Kita bagi hadiah kat
orang.”
Makin berkerut muka Shad. Bagi drumsticks kat
orang? Nak buat apa? Bukannya semua orang main drum.
Betul ke tak minah ni?
Maissa keluarkan marker pen dari begnya. Dia
menulis sesuatu di atas setiap drumstick, kemudian
menghulurkan marker pen itu kepada Shad. “Come on, tulis
nama siapa saja yang awak nak bagi benda ni.”
“Saya tak boleh fikir nama sesiapa pun.”
“Come on, siapa-siapa aje. Musuh lama ke,
ex-girlfriends ke...”
“Ex-girlfriends?” Shad menekan ‘s’ di belakang
perkataan itu.
“Salah ke?” tanya Maissa dengan muka selamba.
Shad tergeleng kepala. Sabar sajalah dengan minah
ni. Dia turutkan saja.
“Okey, destinasi pertama. Rumah boyfriend Kak
Fira.” Maissa tersengih ke arah Shad.
“Kak Fira?”
“Kakak tiri saya.”
“Awak tahu mana rumah boyfriend dia?”
Maissa mengangguk.
Shad terdiam tanpa kelip.
“What?” Maissa hairan. “Diakan bakal jadi abang ipar
tiri saya jugak nanti. Apa salahnya pergi tengok rumah dia
sekali-sekala.”
Shad tergelak halus. “You are one creepy girl,”
katanya sambil mengundurkan kereta dari kotak parkir.
Maissa memberi arah laluan untuk ke rumah
Luqman. Shad berhentikan kereta tidak jauh dari rumah lelaki
itu. Maissa turun dari kereta, berlari sambil membongkokkan
badan ke rumah lelaki itu. Drumstick di tangan diselitkan
pada bahagian atas pagar utama. Loceng dibunyikan tiga kali
lalu dia berlari masuk ke kereta Shad.
“Go! Go! Go!”
Kalut Shad menekan pedal minyak untuk pergi dari
situ.
“Okey, destinasi kedua!” Maissa mengangkat
drumstick yang tertulis nama Fitri.
“Siapa tu?” tanya Shad.
“Crush lama.”
“Oh, orang macam awak pun tahu ada crush ya?”
gurau Shad.
“Sebab orang macam saya pun ada perasaan,” jawab
Maissa, membuatkan Shad terdiam.
Sama seperti tadi, Maissa berlari laju ke arah pintu
pagar rumah. Drumstick itu digolekkan ke bawah pagar.
Tanpa disangka, anjing di rumah sebelah tiba-tiba menyalak.
Maissa terperanjat. Cepat-cepat dia lari masuk ke kereta Shad
dan Shad pula memecut pergi.
Maissa ketawa. “Fuh, that was close!”
Shad tergeleng-geleng, ikut sama ketawa dengan
kerja gila yang sedang mereka lakukan. “Next?”
“Pensyarah favourite saya, Puan Irni.”
“Seriously?”
Maissa hanya mengangguk.
Sampai di depan rumah Puan Irni, Maissa menyusup
masuk ke dalam pagar yang tidak berkunci. Drumstick itu
diselitkan di celahan tingkap lalu segera berlari keluar. Masuk
ke kereta, Shad sudah pun ketawa, bersedia untuk memandu
pergi.
“Okey, sekarang giliran awak. Destinasi pertama?”
“Ex-girlfriend masa saya degree dulu,” jawab Shad.
“Ouch, you must have loved her so much,” perli
Maissa.
Shad ketawa.
Sampai di depan rumah Farah, dia menyelitkan
drumstick di dalam peti surat. Selepas membunyikan loceng,
dia terus lari masuk semula ke dalam kereta, dengan Maissa
di tempat pemandu, bersedia untuk memecut pergi.
Destinasi kedua, ex-girlfriend ketika Shad di tahun
kedua pengajian ijazahnya.
Sampai yang ketiga, Shad mengambil alih semula
pemanduan.
“Siapa yang ketiga?”
“No one.” Shad diam memandu.
Tak puas hati, Maissa mengambil drumstick dari atas
dashboard. Pada batang itu cuma tertulis ‘abang & kakak’.
Dia menoleh ke arah Shad dengan kerut di dahi. “Abang dan
kakak awak? Diaorang duduk mana?”
“Itulah masalahnya. Saya tak tahu,” balas Shad
perlahan. Dia pun tidak tahu kenapa dia perlu meletakkan
nama mereka berdua di situ. Yang pastinya, dia tidak mampu
memikirkan nama orang lain lagi. Hanya wajah abang dan
kakaknya yang melintas di kepala.
Maissa meletakkan semula drumstick itu di
tempatnya. Dia menyandar di kerusi, mendiamkan diri.
“See? You’re not the only person with family issues,”
ujar Shad sepi.
Maissa masih diam. Dia tak tahu kisah Shad dan
dia tak mahu ambil tahu. Dia takut kalau dia ambil tahu, dia
akan mula ambil peduli. Apabila dia sudah mula peduli, akan
wujud pula perasaan lain. Dia tidak mahu itu berlaku.
“Okey, the fun’s over. Hantar saya balik please,”
pinta Maissa selamba tanpa memandang Shad.
Shad tersenyum kecil. Permintaan itu diturutkan
saja.
Maissa menolak daun pintu kereta.
“May,” panggil Shad tiba-tiba.
Maissa menoleh semula. Hilang senyuman dan tawa
riangnya tadi. Muka kerasnya kembali mengambil tempat
pada wajah itu.
“Boleh saya minta nombor telefon awak?” tanya
Shad.
“Nak buat apa?” Jantung Maissa mula berdegup lain
dari rentak normal. Apa pulak mamat ni nak buat?
“Orang minta nombor telefon buat apa eh?” Shad
buat-buat berfikir. “Haa, untuk telefon dan hantar mesej.
Kalau tak silap sayalah.”
Maissa menjeling geram. Kalau ikutkan dia malas
bagi, tapi tak ada alasan pula untuk menolak. Dia mengoyak
sehelai kertas dari buku notanya. Nombor telefonnya ditulis
di atas kertas itu lalu menghulurkan kertas itu kepada Shad.
Shad tersenyum. “Thanks. Good night.”
Maissa tidak membalas sebaliknya terus turun.
Shad memerhatikan kelibat gadis itu menghilang
ke dalam kawasan rumah. Kemudian barulah dia memandu
pulang, sambil dalam hati mengira jumlah jam yang dia
boleh habiskan untuk tidur sebelum mula kerja semula awal
pagi esok.

Mahkota Kertas - Bab 6

“KAU nak pergi mana?”
Langkah Maissa mati di depan pintu. Bersama
keluhan bosan dan rimas, dia menoleh semula ke arah
tangga. Kakak tirinya, Safira bercekak pinggang di situ,
merenung ke mukanya. Kalau ikutkan, dia boleh saja terus
keluar dari rumah dan abaikan soalan itu. Tapi dia tahu apa
saja tindakannya akan berakhir dengan aduan kepada papa
yang kononnya dialah anak perempuan paling kurang ajar di
dunia.
“Mana-mana ajelah. Yang Kak Fira sibuk kenapa?”
Safira laju menuruni tangga. “Aku sibuk sebab nanti
kalau papa balik dan tanya kau pergi mana, aku jugak yang
kena jawab. Kau tu senanglah... keluar masuk sesuka hati
macam rumah ni hotel kau yang punya!”
Maissa tayang muka bosan, gigit bahagian dalam
pipinya sendiri. “Are you done?” Matanya diredupkan,
memprovoke kemarahan Safira ke paras yang lebih tinggi.
Safira jadi makin berapi. “Kau ni memang kurang
ajar, kan? Aku cakap apa-apa bukannya kau nak dengar!”
“Ada saya minta ke Kak Fira cakap apa-apa? Tak ada,
kan? Jadi tak payahlah nak bazirkan air liur,” getus Maissa
selamba. “Dahlah, ciao dulu.” Pintu ditarik lalu dia terus
keluar.
“May! Aku tak habis cakap lagilah! Hoi, perempuan!”
Maissa malas pedulikan Safira yang masih
terjerit-jerit dari muka pintu rumah. Hoodie ditarik untuk
menutup kepalanya. Bersama dengan sling bag dan lampu
suluh di tangan, dia berjalan selamba keluar dari kawasan
rumah. Ke mana dia nak pergi? Itu tiada kaitan dengan Safira.
Lantaklah Safira nak jawab apa pun dengan papa nanti. Itu
bukan urusannya. Lagipun bukan ke papa sekarang lebih
senang menjadi seorang ayah kepada Safira, berbanding dia;
anak kandung yang sudah dianaktirikan?
Maissa terkejut dengar bunyi hon kereta dari
belakang. Dia berhenti melangkah, mengecilkan mata dek
kerana silau lampu kereta itu. Tanpa mematikan enjin,
pemandunya keluar bersama senyuman lebar. Maissa
mengeluh berat. Tak ada muka lain ke atas dunia ni?
“Nak pergi mana? Cari hantu lagi?” Shad mendekati
Maissa. Dari tadi dia perhatikan rumah gadis itu (sebab
terpengaruh dengan Amar). Nampak saja Maissa keluar
dengan muka ketat, dia terus ikut, walaupun kemungkinan
untuk kena ‘sembur’ dengan Maissa itu sentiasa ada.
Maissa palsukan senyuman. “Hey, vamp. Guess
what? I was listening to a band called The Vamps this
morning and the first thing that crossed my mind was your
face.” Sambil menjulingkan mata, dia terus berpaling dan
sambung berjalan.
Shad tergeleng-geleng dengan senyuman lucu di
bibir. “Does that mean you miss me?”
Maissa berhenti mengejut lalu berpaling semula.
Benci betul bila Shad suka-suka buat kesimpulan sendiri
macam tu. “Awak nak apa?”
“Gambar.”
“Gambar apa?”
“Gambar hantu yang awak ambik hari tu.” Shad
mengingatkan.
“Gambar-gambar tu bukan awak yang punya,” balas
Maissa.
“Saya tahu, saya cuma nak tengok. Come on,
takkanlah tengok gambar pun tak boleh?” Shad melembutkan
suara. Senyuman penuh charmnya diberikan untuk Maissa.
Biasanya perempuan lain akan kalah, namun wajah
Maissa tetap kayu macam tadi. Cuma dia bergerak semula
merapati Shad sambil mengeluarkan beberapa keping gambar
dari begnya.
“Wow... dah siap cuci,” komen Shad.
“Shut up or I’ll change my mind,” kata Maissa tegas.
Shad terus buat aksi zip mulut. Garang...
Maissa menghulurkan sekeping gambar kepada
Shad. Shad mengambil gambar itu. Gelap, yang dia nampak
cuma satu jalur putih. Nasib baiklah ada lampu di tepi jalan,
jadi bolehlah dia tengok betul-betul jalur putih itu. Semakin
dia tengok, semakin dia nampak wajah seorang perempuan
berambut panjang di situ. Liur ditelan. Bulu roma menegak.
“Awak dah percaya sekarang?” Maissa mengambil
semula gambar itu dari tangan Shad. Tengok reaksi Shad,
mungkin dia boleh letak gambar itu dalam frame dan
kemudian gantung dekat depan pintu biliknya. Mungkin
dengan cara itu Safira tidak akan lagi mengganggu hidupnya
sampai bila-bila.
Shad buat muka. Dia sudah percaya hantu itu wujud.
Kalau pun bukan hantu, dia percaya ada ‘makhluk lain’ yang
juga menumpang hidup di bumi Allah ini. Apa-apa pun tidak
mustahil. “Habis awak nak buat apa sekarang? Nak pergi
bunuh hantu tu?”
“Hantu ni lagi baik daripada sesetengah orang yang
saya kenal dan mungkin satu-satunya makhluk yang sudi
berkawan dengan saya. Jadi, tak, saya takkan bunuh dia.”
Gambar itu dimasukkan semula ke dalam beg.
“Sesetengah orang?” Shad angkat kening. “Oh, by
the way, tadi saya nampak awak bergaduh dengan siapa entah
kat depan pintu rumah tu. Saya nampak dia macam jerit-jerit
aje kat awak. Siapa tu?”
“Kenapa awak sibuk nak tahu?” Muka Maissa tak
ada perasaan. Jadi Shad dah lama perhatikan dia sejak tadi?
Creepy stalker.
“Saya ingat kita kawan. Friends know a thing or two
about each other.”
“Oh, like I know your name?”
Nadanya sinis, tapi muka Maissa masih selamba.
Shad tersenyum. Konon nak kenakan Maissa, ambik kau
balik. Tepat atas muka.
“Saya Shad. Shad Fakhiri,” beritahu Shad akhirnya.
“Nama penuh awak apa?”
Maissa diam merenung wajah lelaki itu sebelum
berpusing untuk melangkah pergi.
Shad mengeluh kecil. Susah betul perempuan ni.
“Awak nak pergi mana?”
“Cari ‘kawan baik’.”
Shad tahu maksud ‘kawan baik’ itu hantu, kepalanya
tergeleng-geleng lagi. “Saya nak ikut boleh?”
Maissa berhenti melangkah lagi.
“Saya ada kereta, much faster,” pancing Shad.
Maissa berpaling. Tawaran yang menarik. “I’m not
paying for the gas.”
Shad jongket bahu sambil buat muka. “Fine.”
Maissa terus berjalan ke kereta Shad dan masuk ke
tempat sebelah pemandu.
Shad tersenyum sebelum ikut masuk.

LAMPU DIPADAMKAN, enjin dimatikan. “Okey, sekarang
apa kita buat kat sini? Ada ‘kawan baik’ awak ke kat sini?”
“Tak, saya tukar fikiran.” Maissa tunduk mengambil
beg yang diletakkan di tempat letak kaki.
“Pulak dah? Habis tu kita buat apa kat sini?” Shad
melilaukan matanya ke sekitar kawasan perumahan itu.
Jam pada dashboard dipandang. Sudah pukul 12.34 malam.
Sudahlah esok dia kerja awal pagi, tapi waktu-waktu macam
ni masih lagi segar ‘bermain’ di luar. Mesti umi risau
menunggu kat rumah. Nampaknya, khidmat Amar terpaksa
digunakan sekali lagi.
Maissa mengeluarkan sesuatu dari begnya.
“Apa tu?” Shad berkerut muka, sebelum terus
terbuntang luas apabila perasan ular getah mainan di tangan
Maissa. “Apa awak nak buat sebenarnya ni?”
“Balas dendam.” Maissa tolak pintu kereta dan terus
keluar.
“Tunggu kejap!” Shad buru-buru turun dari kereta
untuk mengejar Maissa. “Balas dendam? Balas dendam apa
ni?”
“Syhh!” Maissa memberi amaran supaya Shad diam.
“Jangan bising-bising. Waktu-waktu macam ni bukan semua
orang dah tidur tau?”
“Ya, saya tahu. Tapi...”
“Tunggu aje kat sini, biar saya pergi sorang.”
“Pergi mana?”
Maissa berjalan ke arah pagar sebuah rumah. Dia
memastikan tiada sesiapa yang nampak dia di situ, lalu terus
memanjat naik.
Shad terbuntang biji mata. Nak halang, takut dia
makin buat bising pula. Lalu dia terus masuk ke kereta
semula. Risaunya hanya Tuhan yang tahu. Kalau Maissa buat
sesuatu yang melanggar undang-undang negara macam
mana?
Maissa melompat turun dari pagar. Langkahnya
penuh hati-hati menuju ke pintu belakang rumah itu. Dia
mendongak ke atas. Kelihatan satu tingkap bilik masih
terbuka. Dia tahu itu bilik siapa.
Milla.
Sudah lama dia memerhati bilik gadis itu. Dia
tahu pukul berapa Milla padamkan lampu dan dia tahu
pukul berapa Milla tidur. Memandangkan esok kelas mereka
bermula seawal 8 pagi, maka malam ini Milla tidur lebih awal
daripada biasa. Kalau Shad dikategorikan sebagai creepy
stalker tadi, dirinya sendiri pula boleh dikategorikan sebagai
creepier stalker.
Maissa memanjat naik menggunakan jeriji pada
tingkap, dari bawah sehinggalah tangannya dapat menyentuh
jeriji besi di balkoni.
Shad yang menunggu di dalam kereta sudah rasa
berpeluh satu badan. Biar betul perempuan ni? Ini bukan
takat cari hantu. Ini lebih bahaya dan menyeramkan daripada
hantu. Apa benda yang dia nak buat sebenarnya ni?
Maissa berjalan penuh hati-hati di tepi balkoni
sambil berpaut pada jeriji, perlahan-lahan sampailah sebelah
tangannya dapat memegang hujung tingkap bilik Milla.
Dalam kiraan tiga, dia melompat tinggi dan berjaya masuk
ke dalam bilik itu.
Milla sedang nyenyak tidur sambil memeluk patung
beruangnya. Maissa mengeluarkan ular getah mainannya
lalu meletakkan ular itu di atas badan Milla yang ditutupi
selimut. Kemudian dia beralih pula ke arah meja solek Milla.
Menggunakan lampu suluh kecilnya, dia dapat lihat dengan
jelas susunan alat solek Milla di situ.
Gincu dicapai. Penutupnya dibuka lalu dengan
selamba dia menconteng gincu itu pada cermin. Tiada
tulisan, cuma corak-corak yang dia sendiri tak tahu apa. Tak
cukup dengan gincu, disepahkan pula maskara yang cair
itu di atas meja. Krim foundation dilumur pada kaki meja.
Eyeliner pula diconteng di atas kerusi meja solek itu. Puas
dengan hasil ‘kreativiti’nya, dia beralih pula ke arah almari.
Pintu almari dibuka. Dia mencapai sehelai blaus
berwarna putih yang tergantung di situ, yang dipakai Milla
minggu lepas dan menayangkannya kepada semua rakan
sekelas yang itulah blaus kegemarannya, yang dibeli dari luar
negara kononnya. Padahal pasport pun tak ada.
Maissa menarik keluar gunting kecil dari poket
hoodienya. Selamba dia menggunting blaus itu, membuat
jalur zigzag di bahagian depannya. Kemudian blaus itu
digantung semula, pintu almari ditutup.
Barulah dia keluar semula melalui tingkap yang
sama.
Shad sudah hampir putus nafas apabila Maissa
kembali semula ke keretanya. Tanpa menunggu walau sesaat,
dia terus memecut laju meninggalkan kawasan rumah itu.
“What the hell did you do?” Tanpa sedar Shad
meninggikan suara.
“What?” Maissa balas dengan muka tak bersalah.
“Kalau awak kena tangkap tadi macam mana?” Muka
Shad memerah, berpeluh-peluh macam dia pula yang panjat
naik ke rumah Milla tadi.
Maissa masih tayang muka selamba, membuang
pandang ke luar cermin tingkap.
“Kalau dia report polis macam mana?” Shad masih
bimbang. Otaknya tak dapat berfikir dengan lurus. Apa saja
kemungkinan buruk yang mungkin Maissa hadapi terbentang
satu per satu di depan matanya.
“Relax. I’m not that stupid to touch the snake and
her stuff my with bare hands.” Maissa tunjukkan tangannya
yang tertutup dengan sarung kepada Shad. “I know how to
cover my tracks. Lagipun, tak ada siapa nampak kita.”
Shad menghela nafas panjang, mula dapat bertenang
sedikit. Kelajuan keretanya pun sudah berkurang. “Rule
breaker, huh?”
Maissa jongket kening. “Awak yang offer nak ikut
tadi, so jangan kompelin.”
Shad menoleh sekilas ke arah Maissa. Kepalanya
tergeleng-geleng. Dia cuba untuk terus tegas, sudahnya
bibirnya yang mengukir senyuman. Seumur hidup, ini kali
pertama dia berdepan dengan gadis seselamba dan seberani
Maissa. Dari planet mana agaknya perempuan ni datang?
“Kenapa balas dendam? Apa yang... whoever he or
she was... dah buat kat awak?”
“Milla, classmate saya,” jelas Maissa.
“Oh...” Milla? Yang dia jumpa di kafe hari itu?
“Dia tu selalu nak cari pasal dengan saya. Saya hidup
dekat dunia ni tak kacau orang pun tau. Saya pergi kelas
sorang-sorang, dalam kelas sorang-sorang, buat assignment
sorang-sorang, sampaikan assignment berkumpulan pun
pernah saya buat sorang. Jadi kenapa dia nak kena sibuk-sibuk
hal saya?”
Shad terangguk-angguk. Mula faham kenapa Milla
pun macam tak suka apabila dia bertanyakan soal Maissa
kepada gadis itu tempoh hari. Rupa-rupanya, memang dah
lama tak sebulu. “Jadinya, saya pun tak boleh masuk campur
urusan awaklah? Kalau saya masuk campur jugak, I might
wake up the next morning with a real snake on my bed.”
Maissa ketawa kecil. Shad terangkat kening. Menjadi
juga dia buat lawak kali ini.
“Just don’t try to get on my nerves,” pesan Maissa
berbaur amaran.
“Oh, I thought I did already,” balas Shad selamba
sambil mengenyit sebelah mata.
Maissa hanya menjeling. Shad tersengih.
“So sekarang? Awak nak balik?”
“Belum. Awak boleh turunkan saya kat sini kalau
awak nak balik. Pandai-pandailah saya cari jalan nanti.”
“Maissa...”
“Call me May, please.”
“Okey, May. May, bahaya tau awak jalan sorang-sorang
waktu malam macam ni. Jalan Shah Alam ni bukannya
selamat sangat.”
“Dah cukuplah saya dengar kakak tiri saya membebel
hari-hari, itu belum campur dengan papa saya lagi, awak pun
nak membebel jugak?”
“Oh jadi yang tadi tu kakak tiri awaklah? Cantik.”
Sengaja Shad nak tambahkan minyak ke dalam api.
Maissa rasa nak termuntah kat situ juga. “Go hit on
her then. Need some tips? She loves roses.”
Shad tergelak. “Awak tak baik ke dengan kakak tiri
awak? Kut ya pun tak baik, janganlah sampai tahap kurang
ajar...”
“Excuse me? Dia tu cuma tua setahun aje daripada
saya tau? Saya panggil dia kakak pun sebab nak hormatkan
dia atas permintaan papa. Lebih daripada tu, sorry,” balas
Maissa.
“Dah cukup dah sebab untuk awak respect dia...”
“Respect goes both ways.”
Shad buat muka. Tak guna berlawan kata. Maissa
tetap akan pastikan yang dia menang. “Saya hantar awak balik
rumah.”
“Saya tak nak balik rumah,” tekan Maissa.
“Awak tak ada kelas ke esok?”
“Ada, dan saya tak perlukan awak untuk ingatkan
saya.” Maissa rimas.
“Kalau macam tu, awak sepatutnya balik, tidur, baru
esok tak mengantuk bangun pergi kelas. Kelas pukul berapa?”
Maissa tidak menjawab. Sibuk betul mamat ni.
Suka hati dialah nak bangun, mengantuk ke, tersembam
dalam bilik mandi sekali pun. Tak ada kaitan dengan Shad.
Selama ini pun mana ada orang ambil berat tentangnya dan
mengingatkannya tentang itu ini. Dan dia tak perlukan Shad
untuk buat semua itu.
“Lagipun...” Shad membelok masuk ke kawasan
rumah Maissa. “Esok saya kerja awal pagi. I don’t want to go
to work worrying about you.” Kereta diberhentikan.
“I didn’t ask you to, did I?” Maissa menolak pintu
kereta dengan kasar dan keluar. Pintu ditutup semula dengan
kuat.
Shad memerhatikan Maissa masuk ke kawasan
rumahnya. Semakin gadis itu menolak keprihatinannya,
semakin dia rasa seperti mahu melindungi gadis itu. Dia tahu
Maissa ada memendam sesuatu jauh di sudut hatinya dan dia
berharap gadis itu sudi membuka ruang untuk dia masuk dan
berkongsi dengannya satu hari nanti. Sesudah kelibat Maissa
hilang dalam kegelapan, dia memandu pulang ke rumahnya.
Yakin yang kereta Shad tiada lagi di luar rumah,
Maissa keluar semula dari sebalik tiang garaj kereta. Hoodie
dinaikkan menutup kepala dan terus berjalan meninggalkan
kawasan itu.

Mahkota Kertas - Bab 5

“FOR the last time, Izza, I’m telling you, aku
dengan Hanif tak ada apa-apa. Kita orang kawan aje.” Syazani
menekan suaranya, geram dengan Izza yang tak habis-habis
mengasak. Walaupun cuma bercakap di telefon, dia dapat
bayangkan senyuman mengusik gadis itu di matanya.
“Ya ke? Tapi malam tadi kau dengan dia tak nampak
macam kawan pun tau? Mesra semacam,” usik Izza lagi
sebelum ketawa.
Syazani tergeleng-geleng. Tudungnya dikemaskan
di depan cermin. “Suka hati kaulah, aku malas nak nafikan
apa-apa lagi. Bukannya kau dengar pun.” Suaranya dikuatkan
ke arah telefon di atas katil yang sudah diaktifkan dengan
pembesar suara.
Izza tergelak-gelak. “Okey, okey. Kalau betul kau
cuma anggap dia kawan, tak salah kalau kau dengan dia
mulakan sekali lagi, kan? Kau dengan dia ada sejarah.”
“Kau tahu tak kenapa kita panggil sesuatu peristiwa
tu sebagai sejarah?” balas Syazani. Gincu nipis dicalitkan
pada bibirnya.
“Kenapa, doktor?”
“Sebab, peristiwa tu berlaku di masa lepas dan
kita mestilah ambil iktibar dan belajar supaya benda tu tak
berulang lagi. Faham?” Syazani mengemaskan begnya,
memastikan segala barang yang perlu dibawa tidak tertinggal.
Izza mengeluh dalam, faham yang dia akan selalu
kalah berbahas dengan Syazani.
“Okey, aku ada kerja dekat zoo. Apa-apa nanti kau
text aje, nanti aku call balik.” Talian dimatikan. Telefon
dimasukkan ke dalam beg lalu terus keluar dari bilik.
Turun ke bawah, dia terkejut melihat kakak
angkatnya, Kak Faiqa baru tiba bersama anak kecilnya dalam
dukungan. Suaminya pula mengikut di belakang.
“Akak!” Syazani meluru mendapatkan kakaknya ke
dalam pelukan.
Faiqa ketawa melihat tingkah Syazani.
“Akak tak cakap pun nak datang?” Syazani meleraikan
pelukan. Pandangannya jatuh pada Qaiser, bayi berusia empat
bulan dalam dukungan Faiqa. Tangannya mencubit perlahan
pipi Qaiser sebelum mengucupnya.
“Saja nak bagi surprise. Qaiser pun suka surprise,”
balas Faiqa, tersenyum gembira. Qaiser dalam dukungannya
bertepuk-tepuk tangan.
Syazani ketawa.
“Ibu mana?” Muaz pula menyampuk dari belakang.
“Kat atas. Ibu! Kak Faiqa datang!” Syazani melaung
kuat. “Aja nak keluar ni, ada kerja sikit.”
“Aja ni memang 24 jam sibuk aje,” rungut Faiqa.
Syazani tersengih. “Akak stay lama sikit tau. Nanti
ada cerita nak share dengan akak.” Syazani tunduk menyalami
tangan Faiqa, mencium pipi Qaiser sekali lagi, bertukar
senyuman dengan Muaz lalu terus keluar dari rumah.

PESAKIT TERAKHIR untuk pagi itu baru saja pulang. Pintu
biliknya dibuka dari luar, wajah pembantunya terjengul.
Syakiran mendongak.
“Doktor, tadi anak doktor ada call tapi saya beritahu
dia doktor sibuk. Nanti doktor akan call balik,” maklum Nissa.
Syakiran mengangguk sebagai isyarat mesej sudah
diterima. Pintu ditutup semula. Gagang telefon di atas meja
diangkat, jarinya mendail nombor telefon rumah.
“Helo.” Suara kecil anaknya, Luthfia muncul di
talian.
Syakiran tersenyum. “Fia telefon daddy ke tadi?
Kenapa, sayang?”
“Tadi Fia bangun tidur daddy dah tak ada. Nenek
cakap daddy pergi kerja,” beritahu Luthfia.
Anaknya itu demam sejak tiga hari lepas dan dia
sudah mengambil cuti untuk menjaga Luthfia, cuma baru
hari ini dia masuk bekerja semula. Tak sampai berapa jam,
Luthfia sudah mengigau mencarinya. Barangkali duduk
bersama nannynya di rumah rasa berbeza dibandingkan
dengan daddy sendiri.
“Betullah nenek cakap tu, sayang. Daddy kerja hari
ni,” ujar Syakiran lembut.
“Fia dah demam baliklah, daddy. Macam mana ni?”
Suara polos itu buatkan Syakiran tersenyum. Dia
tahu itu cuma taktik Luthfia untuk terus ‘simpan’ dia di
rumah. “Kesiannya anak daddy demam lagi...”
“Daddy baliklah. Nanti kalau daddy balik tentu Fia
tak demam dah,” ujar Luthfia, beria-ia meyakinkan yang dia
memang demam.
“Okey, macam ni. Malam ni daddy balik, kita pergi
makan dekat luar. Okey tak?” pujuk Syakiran.
“Hmm... Okey. Daddy balik pukul berapa?” tanya
Luthfia, takut kalau-kalau daddy tipu dan mungkir janji.
Sebab itu memang bukan kali pertama.
“Pukul 9 daddy balik. Cakap dekat nenek tau? Fia
pakai baju cantik-cantik, lepas tu kita terus pergi.”
“Okey, daddy!” Terus suara Luthfia jadi ceria. Janji
daddy untuk mereka keluar makan bersama malam ini sudah
cukup menjadi penawar kepada demamnya.
“Bye, sayang.”
“Bye-bye.”
Syakiran tersenyum meletakkan gagang, tidak
sedar Daus sedang memerhati dari pintu bilik. Rakan sekerja
merangkap rakan kongsi klinik giginya itu tak lain tak bukan,
ada saja hal yang nak disibukkan. “Hah, kau nak apa?”
Daus tersengih sambil melangkah masuk. “Aku rasa
dah sampai masa kau cari mak baru untuk Fia tu,” ujarnya
selamba sambil duduk di atas sebuah kerusi.
Syakiran tersenyum pahit. “Kau cari seseorang yang
boleh sayang Fia macam mana aku sayang Fia, baru aku
kahwin.”
“Kau cabar aku ke ni?” Daus mengecilkan mata.
Syakiran ketawa rendah. “Tak ada maknanyalah. Aku
lagi senang macam ni. Lagipun hati aku ni tak terbuka lagi
nak menikah baru.”
“Memanglah hati kau tak terbuka lagi. Tapi kau kena
fikir jugak pasal anak kau tu...”
“Anak aku bahagia dengan aku.”
“Itu kata kau. Dalam hati dia kau tak tahu, kan?”
“Dia kecik lagilah, tak ada apa pun dalam hati dia tu.”
Senang Syakiran membalas. “Dahlah, aku nak rehat kejap.
Kejap lagi ada appointment patient lagi.” Dia menyandar
tenang di kerusi empuknya lalu memejam mata.
Daus jongket bahu sebagai isyarat ‘suka hati kaulah,
labu’ sebelum terus bangun dan keluar dari bilik itu.
Syakiran membuka semula matanya. Empat tahun
hidup menduda, tanpa isteri yang memutuskan untuk pergi
dari hidup dia dan Luthfia, dia masih belum terfikir untuk
mencari yang baru. Biarlah dulu. Selagi Luthfia sendiri tak
pernah mengatakan secara terang yang dia mahukan seorang
ibu, selagi itulah dia akan menganggap semuanya okey.
Lagipun, ada hal lain yang lebih memenuhi
kepalanya sejak kebelakangan ini. Perkara yang lebih penting
berbanding mencari isteri baru. Iaitu, mencari di mana
adik-adiknya berada.

KETUKAN DI pintu membuatkan Syazani berpaling.
Laptopnya ditinggalkan di atas meja untuk mendapatkan
pintu. Faiqa sedang berdiri di luar, tersenyum.
“Akak tak tidur lagi?” Syazani melebarkan pintunya
lalu berlalu ke arah katil.
“Aja pun belum akak tengok.” Faiqa duduk di sebelah
Syazani selepas menutup pintu.
“Belum ngantuk lagi,” jawab Syazani.
“Akak tunggu Aja cakap ada benda nak cerita tadi,”
kata Faiqa.
Syazani tertawa halus sambil menundukkan wajah.
“Akak ingat tak Aja pernah cerita pasal... Hanif?”
Muka Faiqa berkerut sedikit, cuba mengingati
semula sepotong nama itu. “Oh, yang... masa sekolah dulu?”
Syazani mengangguk-angguk.
“Kenapa dengan dia?”
“Aja jumpa dia masa reunion sekolah hari tu.”
“Wow...” Faiqa ketawa. “Habis tu macam mana? Aja
ada cakap dengan dia?”
“Adalah jugak...” Syazani tergaru-garu belakang
kepala. “Semuanya dah settle, kak. Dia dah minta maaf dan
Aja pun dah maafkan dia...”
“Siapa tahu, mungkin tu permulaan kepada sesuatu
yang baru,” usik Faiqa.
Syazani tersenyum nipis. Mungkin orang lain fikir
macam itu, tapi baginya tidak. Sejak pertemuan semula
dengan Hanif beberapa hari yang lepas, dia langsung tidak
rasa apa-apa. Mungkin hatinya sendiri belum bersedia untuk
menerima cinta dalam hidupnya, tidak selagi apa yang
sebenar-benarnya yang hatinya mahukan belum tercapai.
Duduk berbual begitu dengan Faiqa, dia jadi rindu
kepada abang dan adik kandungnya. Di mana mereka sekarang
agaknya? Sihat ke? Hidup bahagia ke? Kalau mengikut
kiraannya, abang sulungnya sudah pun berumur 32 tahun
dan adik lelakinya berumur 26 tahun. Masih ingatkah mereka
kepadanya? Atau pun adakah masa yang telah lama berlalu
memisahkan mereka sudah merenggut ingatan mereka
terhadap dirinya?
“Kenapa ni? Macam ada masalah aje,” tegur Faiqa.
Sejak kecil cuma mereka dua beradik yang tinggal di situ
bersama ibu dan ayah, hubungan pun sangat rapat. Jadi
mestilah dia tahu kalau adiknya itu ada masalah. Dan dia tak
rasa masalah itu ada kaitannya dengan Hanif.
Syazani menoleh ke arah bingkai gambar di tepi
katilnya. Bingkai itu dicapai. Sayu terasa di hati. “Aja rindu
abang dengan adik.”
Faiqa tersenyum kecil, bersimpati dengan nasib tiga
beradik yang telah lama terpisah itu.
“Kat mana diaorang sekarang agaknya? Bahagia ke...
Ada masalah ke...” Sebak tiba-tiba datang entah dari mana.
Faiqa menggenggam erat tangan Syazani, mengerti.
Kisah tiga beradik yang menyayat hati itu sentiasa segar
dalam fikirannya dan dia tahu betapa tinggi harapan Syazani
untuk bersatu dengan abang dan adiknya semula.
“Akak tahu Aja rindu diaorang. Percayalah, satu
hari nanti, Allah akan temukan jugak kamu tiga beradik. Doa
jangan putus, minta pada Dia. Ingat tu, okey?”
Syazani mengangguk. Kata-kata Faiqa tidak boleh
disangkal. Dalam situasi sekarang, itulah satu-satunya
tindakan yang boleh dilakukan. Kolam mata yang basah
dikesat dengan hujung jari.
“Kak, Aja ingat nak ambik cuti dalam seminggu. Nak
pergi bercuti.”
“Ke mana?”
“Tak tahu lagi.”
“Dengan Izza?”
Syazani menggeleng. “Tak, sorang.”
Faiqa tersenyum, faham yang Syazani memang
suka bersendiri sejak dulu lagi. Cuma sejak dia mula aktif
terlibat dalam banyak program yang memerlukannya untuk
berinteraksi dengan orang lain, barulah dia mula berubah
sedikit demi sedikit.
“Okeylah kalau macam tu. Akak pun dah ngantuk
ni.” Faiqa bangun. “Good night.”
“Night, kak,” balas Syazani. Sebaik saja pintu
ditutup, renungannya jatuh pada bingkai gambar itu semula.
Bibirnya mengukir senyuman nipis. “Abang, adik, suatu hari
nanti kita akan bertemu semula juga,” bisiknya perlahan
penuh harapan.

Mahkota Kertas - Bab 4

SHAD melilaukan mata ke sekitar kafe yang
terletak di antara dua fakulti, mencari seraut wajah. Tiada di
mana-mana. Dia tiada apa-apa maklumat yang jelas tentang
Maissa kecuali namanya. Itu pun cuma sepotong nama, bukan
nama penuh dan tanpa nama ayahnya. Dia tidak tahu gadis
itu belajar kursus apa, umur berapa, siapa rakan-rakannya.
Jadi, macam mana nak cari?
Tidak ramai pelajar yang ada di kampus hari Ahad
begitu, mungkin ada beberapa antara mereka yang perlu
menyiapkan tugasan di perpustakaan. Shad menegur salah
seorang gadis yang sedang melangkah mendapatkan pintu
kafe. Gadis itu nampak lebih kurang sebaya Maissa, jadi
mungkin dia tahu apa-apa tentang Maissa. Kalau pun gadis
itu tak kenal siapa Maissa, mungkin dia boleh tolong Shad
untuk bagi maklumat tentang sesiapa saja yang mungkin
kenal Maissa.
“Hai,” tegur Shad dengan senyuman manisnya. Nak
minta tolong muka kenalah manis.
Gadis itu menjongket kening ke arah Shad.
Langkahnya terhenti di depan pintu. “Hai...” Dia membalas
dengan senyuman manisnya juga. Teruja apabila ada lelaki
sekacak itu tiba-tiba menegur.
“Saya Shad.” Shad memperkenalkan diri.
“Milla,” balas gadis itu. Sempat hujung mata
memerhatikan lelaki itu dari atas hingga ke bawah. Baunya
wangi tak usah cakap, boleh tergugat jantung dibuatnya.
“Hmm... saya nak tanya sikit boleh?” Shad
memulakan, cuba memainkan charmnya di depan gadis itu.
Yakin dengan cara itu dia akan dapat jawapan dengan lebih
mudah.
“Tanya apa?” Milla berpeluk tubuh dengan gaya
manja.
Shad senyum dalam hati. “Awak kenal... Maissa?”
tanya Shad. “Saya tak pasti dia belajar kursus apa...”
“Maissa the ghostbuster?” teka Milla. Sepanjang dia
belajar di kampus itu, cuma ada seorang perempuan bernama
Maissa yang dia kenal.
Shad terdiam, keningnya terjongket tinggi. “Ghost...
ghostbuster?”
Milla mengeluh, bosan mendengar nama itu. Hilang
senyuman manis dan gaya manjanya tadi, digantikan dengan
riak wajah yang jengkel dan menyakitkan hati. “Don’t tell me
you’re on her ghost team.”
Shad tahan gelak. Jadi Maissa memang dikenali
dengan kisah-kisah hantunya? Patutlah gadis itu nampak
yakin aje beritahu yang dia sedang cari hantu semalam. “Tak,
saya cuma ada hal nak tanyakan dia. Ghost business.” Shad
mengawal riak wajahnya, walaupun sumpah dia rasa nak
gelak kuat-kuat.
Milla menepis rambut panjangnya ke belakang. “Dia
biasanya ada kat bawah tangga dia tu.”
“Bawah tangga?” Berapa banyak sifat pelik
perempuan tu ada sebenarnya? Makin membuatkan Shad rasa
nak kenal betul dengan Maissa.
“Bawah tangga fakulti akaun, paling hujung sebelah
kanan. Awak boleh cari dia kat situ,” jawab Milla. “Okeylah,
bye.” Dia terus keluar dari kafe tanpa mempedulikan Shad
lagi. Tak kiralah hensem tahap mana pun, kalau orang itu ada
kaitan dengan Maissa, dia memang langsung tidak berminat.
Shad memerhati langkah Milla dengan mata
terkelip-kelip. Tingkah gadis itu seolah-olah antara dia dan
Maissa, ada satu kisah yang terkumpul dan menjadi kudis.
Bad blood, kata orang putih.
Shad menuju ke arah tangga Fakulti Perakaunan
sebelah kanan, seperti yang diberitahu Milla. Sampai di
bawah, dia menjenguk ke bawah tangga. Jelas Maissa sedang
duduk di situ, bersila di atas bangku, laptop di atas ribanya.
Shad tersenyum kecil. Gadis itu didekati.
“Assalamualaikum,” ucap Shad sambil duduk di
sebelah Maissa.
Maissa mengangkat muka ke sisinya. Salam itu
dijawab perlahan. Mamat ni lagi. Apa pulak dia buat kat sini?
“Janganlah pandang saya macam tu. Saya bukan
hantulah...” gurau Shad. Sama seperti Maissa, dia ikut bersila.
“What do you think you’re doing?” tanya Maissa
serius. Lagak lelaki itu macam mereka sudah lama kenal
dan berkawan. Padahal dia langsung tak kenal mamat ini
siapa. Nama pun dia tak tahu dan tak ingin nak ambil tahu.
Penyibuk betul.
“Sitting,” jawab Shad dengan muka selamba.
Maissa menjeling. ‘Nak meloyar buruk pulak...’
Shad simpan senyum, mata melirik ke arah skrin
laptop Maissa. Satu artikel terpampang di skrin dengan tajuk
besar ‘HOW TO KILL A GHOST’.
“Saya ada hantu kalau awak nak bunuh,” kata Shad.
Maissa menoleh ke arahnya.
“Semalam, saya tengok dalam filem Insidious. Boleh
tahanlah,” cerita Shad, masih selamba.
Maissa rasa macam nak hempuk kepala mamat itu
dengan laptopnya. “Ingat kelakar ke?”
Shad ketawa akhirnya. “Kenapa awak ni serius
sangat eh? Cuba relaks-relaks aje, enjoy life macam saya ni.”
“Tak minat.” Maissa kembali fokus ke skrin.
Shad tersenyum-senyum. “Okey, kalau macam tu
apa yang awak minat?”
Maissa tidak menjawab. Soalan Shad dianggap
macam angin lalu saja. Pasangan bercinta yang sedang
berjalan melintasi mereka pula dianggap sebagai daun yang
terbang ditiup angin yang sama.
“Hantu?” teka Shad. “Do you want to hunt?”
Maissa berpaling semula ke arah Shad. “Kalau
awak nak buat lawak bodoh lagi sekali, sorry, saya lagi tak
berminat.”
“Tak, tak. Ini bukan lawak bodoh. Betul ni, kalau
awak nak buru hantu, saya nak ikut,” ujar Shad. Dia teringin
sangat nak tengok wajah serius itu dihiasi senyuman, mesti
lagi comel. Walaupun itu bermaksud dia perlu ikut Maissa
the ghostbuster pergi memburu hantu, macam yang selalu
ditonton dalam filem Inggeris.
Maissa menutup laptopnya. Memang dia pantang
kalau ada orang cuba mencabar apa yang ditegakkan dalam
hidupnya dan andai dengan menunjukkan kepada lelaki itu
sendiri bahawa dia tidak bergurau akan mengubah pandangan
lelaki itu, dia sanggup lakukan apa saja.
“Fine. Awak rasa benda ni bodoh, kan? Saya boleh
buktikan yang benda ni tak bodoh.”
“Fine.” Shad membalas tenang, bahu diangkat
sedikit. “Bila?”
“Malam ni, kat sini, pukul 12,” balas Maissa.
Shad tersenyum kecil. Maissa betul-betul serius.
“Okay, I’ll see you tonight,” jawabnya tanpa berfikir panjang.
Maissa menyimpan laptop ke dalam beg lalu terus
bingkas untuk beredar dari situ.
“Maissa!” panggil Shad sebelum gadis itu menjauh.
Maissa menoleh.
“Saya nak kena bawa apa-apa tak? EMF ke? Garam
ke? Pistol, senapang?”
Maissa menjeling tajam dan terus berjalan laju.
Shad tergelak sendiri. Kalau itu yang perlu dilakukan
untuk lebih mengenali gadis itu, dia sanggup. Cari hantu?
Apa ada hal.

HAMPIR TERLEPAS lampu suluh dari tangan dek kerana
terkejut dengan cuitan di bahu. Shad mengurut-urut
dadanya, nafas terasa semput. Kalaulah bukan sebab dia tak
berapa percaya dengan kewujudan hantu di kawasan fakulti
itu, memang dah lama dia lari lintang-pukang.
Maissa menahan gelak. Nasib baiklah keadaan di situ
gelap, jadi lelaki itu tidak nampak reaksi wajahnya. Hilang
terus macho Shad bila terkejut.
“Awak ni tak reti bagi salam ke? Saya tahulah kita ni
nak cari hantu, tapi janganlah perangai pun nak jadi macam
hantu,” bebel Shad, tangan masih mengurut-urut dada.
Mengenangkan kawasan di situ gelap-gelita dan sunyi tanpa
satu bunyi pun, dadanya jadi kecut tidak semena-mena.
“Jangan bising boleh? Nanti hantu lari,” kata Maissa
lalu mula melangkah menjauhi Shad.
“Hantu lari? Hantu tu ada kaki ya?” Sengaja Shad
buat lawak bodoh sambil mengikut langkah Maissa.
Maissa meletakkan jarinya di atas bibir. “Diam, nanti
guard dengar.”
“First, kita ni dah buat kerja luar alam dengan cari
hantu. Kedua, kita dah melanggar peraturan sebab ada kat
fakulti selepas pukul 11 malam.”
“Rule adherer, huh?” Maissa menyuluh lampunya ke
muka Shad dengan wajah selamba, jelas-jelas memerli.
Shad tayang muka kayu. Matanya pula dikecilkan
menahan silau lampu Maissa. ‘Yes, rule breaker!’ Hatinya
menjawab geram.
“Let me tell you a secret about living a joyful life,”
kata Maissa dengan nada berbisik. “First, break the rules
when it’s needed.” Kemudian dia berpusing ke depan semula.
“Joyful, huh? I’ve never seen you smile even once.
That’s what you call joyful?” balas Shad selamba. Apabila
kena masanya, dia boleh jadi lelaki paling sweet yang Maissa
pernah kenal. Tapi kalau dah kerja Maissa asyik nak menyindir
dan memerli, dia pun boleh jadi sinis.
Maissa berhenti berjalan. Liurnya ditelan, cuba
menyabarkan hati. Lelaki itu tak kenal siapa dirinya yang
sebenar, tapi sudah memandai-mandai menilai sendiri.
Apa, kalau tak senyum, maksudnya tak gembira ke? Kalau
tak ketawa, maksudnya tak bahagia? Siapa yang tetapkan
undang-undang macam itu dalam hidup ini?
“So what’s the second rule?” tanya Shad, sedar
yang dia sudah menjentik sesuatu yang tidak sepatutnya dia
jentik. Sekarang kan dia dalam proses mengenali Maissa.
Karang belum sempat kenal betul, Maissa dah lari seribu batu
jauhnya.
Gadis itu bukannya tipikal gadis biasa, yang apabila
berkata; “pergilah, jangan datang lagi,”; sebenarnya membawa
maksud; “datanglah balik, pujuk aku semula.” Maissa ini
jenis yang apabila dia kata; “pergilah, jangan ganggu aku,”;
membawa maksud; “pergilah, jangan ganggu aku,” yang
sebenar-benarnya.
Maissa menjeling ke wajah lelaki itu. “Kill a ghost.”
Kemudian dia terus berjalan.
Shad tersenyum senget. Langkah Maissa dituruti.
Dari aras bawah, mereka memanjat tangga untuk ke aras
tiga menggunakan tangga paling hujung di sebelah kanan.
Lampu suluh masing-masing mengiringi langkah mereka.
Kalau Maissa guna lampu suluh supaya dia dapat lihat dengan
jelas dalam kegelapan itu, Shad pula guna lampu suluh
untuk pastikan tiada ‘benda’ lain yang mengikut mereka dari
belakang.
“Boleh saya tanya soalan?” Shad memecah sunyi
selepas beberapa minit tanpa suara antara mereka.
“Awak dah tanya pun tu,” jawab Maissa. Sampai di
aras tiga, lampu suluhnya dihalakan ke setiap penjuru.
Shad tersengih kecil. “Mana awak tahu kat sini ada
han... Miss H?” Walaupun dia masih skeptikal tentang subjek
‘hantu’, menyebut perkataan itu di mulut sendiri terasa
seram pula.
“Saya selalu dengar pelajar kat sini bercerita. Itu
belum kira ada yang nampak lagi.” Maissa mengeluarkan
kameranya dari beg.
“Kamera awak tu boleh tangkap Miss H eh?” tanya
Shad lagi. Panjang leher mengintai ke arah skrin kamera itu.
Maissa malas layan. Dia berjalan di tengah-tengah
laluan bilik-bilik kuliah dengan kamera terhala ke depan.
Butang kecil di atas kameranya ditekan beberapa kali sambil
menghalakan kamera itu secara rawak di sekitarnya. Shad
hanya mengikut di belakang dengan kerut di dahi, masih tak
yakin yang mereka akan jumpa hantu di situ.
Namun langkahnya terhenti apabila perasan ada
satu kelibat putih melintas dengan laju di depan mereka.
Sepasang matanya membulat luas, air liur yang cuba ditelan
seakan-akan tersekat separuh jalan di kerongkong, tapak
kakinya bagaikan dipaku di lantai.
“Mai... Maissa...” Suaranya perlahan, berbisik.
Bibirnya pucat. Seluruh wajah dah rupa zombie ketagihan
otak. Jantung berdegup laju mengepam darah, tapi dia rasa
macam darah tu langsung tidak masuk dalam setiap salur
darahnya.
Maissa menoleh. Asalnya dia ingat Shad nak buat
lawak bodoh lagi, tapi apabila melihat wajah lelaki itu berubah
pucat dengan dahi yang basah dengan peluh, dia jadi hairan.
“Kenapa?”
“Awak... tak nampak ke... tadi?” Shad tertelan liur.
Mungkin keputusan untuk ikut Maissa ke situ merupakan
satu keputusan yang silap. Mulalah dia rasa macam nak
tampar mulut yang celopar sangat bergurau tadi. Kan dah
nampak betul. Walaupun dia masih tak pasti sama ada betul
atau tak itu hantu, dia tak boleh pandang remeh apa yang
baru melintasi ruangan matanya tadi.
“Nampak apa?” tanya Maissa sambil mendekati Shad.
Mata Shad masih terpaku ke depan, sekali pun tidak berkelip.
Maissa menggawang-gawangkan tangannya di depan mata
Shad. Dah bertukar jadi patung ke apa ni?
“Tadi... ada kelibat putih...”
Maissa menegakkan badan dan kepala memandang
Shad. “Awak nampak? Kenapa tak panggil saya awal-awal?”
“Awak gila ke apa? Nak sangat nampak hantu?” Shad
sudah mula menggelabah. Ketar kepala lutut dibuatnya.
Matanya dipejamkan, sebelah tangan mengurut dahi.
Maissa tahan senyum. Kamera dihalakan ke
belakang dan dengan pantas menekan punat kameranya.
Klik! Kemudian dia berpaling ke arah Shad semula. “Kalau
betul ada hantu, kita akan nampak.”
“Kita?” Shad mengesat peluh di dahi. “No way. Saya
nak balik.” Baru nampak kelibat putih sekali dia dah rasa
macam kena sampuk. Nak duduk lagi lama-lama kat situ
memang taklah.
Maissa tersenyum lucu melihat Shad yang kalut
melangkah ke arah tangga. Dia mengikut dari belakang. “Tadi
macam hebat sangat, rupanya penakut.”
Shad buat-buat tidak dengar. Biarlah Maissa nak kata
apa pun, dia lebih mementingkan keselamatan diri sendiri
dan juga gadis itu. Jadi lebih baik mereka pulang sebelum
terjadi perkara yang tidak sepatutnya. Sampai di aras paling
bawah, dia terus berjalan laju untuk ke tapak parkir.
Maissa mengikut dari belakang bersama senyuman
kecil di bibir. Mukanya mencemik, mengajuk cara lelaki itu
tadi. Kelakar betul mamat ni. Konon macho sangat. Nampak
hantu sekali, terus nak terkencing.
Sampai di kereta, Shad menoleh semula. Pucat pada
wajahnya sudah berkurang, tapi itu bukan gerenti yang dia
boleh tidur dengan tenang malam ni. “Awak tak nak balik ke?”
Maissa jongket bahu. “Nak tidur kat sini. Manalah
tahu ada hantu yang tiba-tiba decide nak join saya.”
“Haha, funny,” balas Shad sarkastik. Wajahnya
menegang.
Maissa ketawa akhirnya. Gelak terlepas tanpa dia
sedar, padahal itulah yang paling dia cuba untuk elak. Perkara
terakhir yang dia mahu berlaku; Shad menangkapnya secara
off guard. Tapi ternyata dia gagal belum pun sampai sejam
mereka habiskan masa bersama.
Shad terdiam. Kali pertama melihat wajah yang selalu
serius itu dihiasi senyuman. Mungkin itulah satu-satunya
perkara yang berikan Maissa kegembiraan; hantu.
Perasan renungan mata Shad, Maissa pantas
mengalihkan pandangan, berdeham untuk membuang sisa
tawanya. Hujung jemari kanannya menyelak rambut yang
menutup dahi.
“Awak duduk hostel ke?” tanya Shad, mengubah
topik. Risau juga kalau-kalau apa yang ada di hati terus
terbias pada wajah.
Maissa menggeleng. ‘Topeng’ seriusnya ditampal
semula pada muka.
“Kalau awak nak balik, come, saya hantarkan,”
pelawa Shad. Tak sedap pula membiarkan Maissa balik sendiri
malam-malam begitu.
Maissa menggeleng lagi. Lepas apa yang berlaku
seminit yang lepas, dia tak rasa dia boleh duduk berdua dalam
kereta dengan Shad. Itu namanya satu ‘penyeksaan’.
“Tak apa, saya tahu jalan balik sendiri.” Maissa sudah
bersedia untuk melangkah pergi apabila Shad menghalang
laluannya.
“Dah lewat ni, awak tak takut ke?”
“Nak takut apa? Hantu? Jangan risau. Diaorang
semua kawan baik saya,” jawab Maissa selamba.
“Saya serius,” balas Shad, menekan suaranya.
Bergurau, bergurau juga. Tapi waktu-waktu macam ni tak
elok bergurau, apatah lagi selepas apa yang dia nampak
dengan matanya sendiri tadi. “Jom, saya hantarkan.” Shad
mencuba lagi.
Maissa diam. Selama 23 tahun dia hidup, dia sudah
terbiasa buat semua benda sendiri. Dia ada seorang ayah,
tapi dia tiada ayah yang menasihati anaknya, “Don’t talk
to strangers”, atau “Jangan pernah terima pelawaan lelaki
untuk naik kereta”. Jadi kalau pun dia terima pelawaan Shad,
dia tahu ayahnya tidak akan peduli.
Dua, tiga saat berdiri di situ, dia akhirnya mengalah
juga.
Perjalanan ke rumah Maissa hanya ditemani dengan
lagu-lagu dari radio. Cuma sesekali Shad bersuara apabila
perlu bertanyakan arah mana yang perlu dilalui. Maissa pula
hanya menjawab dengan isyarat tangan.
“Ni rumah awak?” Shad berhenti di depan sebuah
rumah banglo. Warnanya tak dapat dipastikan sebab keadaan
sekeliling yang gelap. Liar matanya memerhatikan apa-apa
saja yang boleh dijadikan tanda supaya kalau dia datang
lagi lain kali, dia boleh cari rumah yang sama tanpa sesat di
tempat lain. Dia nampak pokok-pokok bunga yang menghiasi
laman rumah di sebelah rumah Maissa. Itu pun sudah cukup.
“Yup.” Maissa menolak daun pintu.
“Muka tak happy aje balik rumah,” gumam Shad
perlahan. Dia perasan ada satu garis duka di sebalik ‘topeng’
serius yang dipakai gadis itu.
Maissa menjeling tajam. Sekali lagi Shad menilai
tanpa tahu hujung pangkal. “Kalau awak nak tahu, dalam
rumah saya ni pun ada hantu tau? Lagi scary daripada yang
kat kampus tu.”
Shad tergelak. Jawapan Maissa selalu selamba,
buatkan dia rasa tak kering gusi berbalas cakap dengan gadis
itu. “Hantu tu ada jantina tak?”
“Ada, perempuan. Perangai dia annoying, sama
macam awak. Awak ada kembar hantu yang terpisah ke masa
kecik-kecik dulu?” Muka Maissa masih selamba.
Makin kuat Shad gelak.
Sebelah kaki sudah mencecah jalan tar apabila
Maissa menoleh semula. “Nama awak apa?”
“Eh, hantu ada nama ya?” Shad masih tak puas
mengusik.
“Fine. I’ll just call you... vampire.”
“Probably the most handsome vampire you’ve ever
met,” balas Shad tenang.
Maissa keluar dan terus menutup pintu kereta.
Tanpa memandang ke arah Shad lagi, apatah lagi ucapkan
terima kasih, dia terus masuk ke dalam kawasan rumah.
Semakin dekat dengan pintu utama rumah, semakin
perlahan langkahnya. Kalaulah ada tempat lain yang boleh
dituju dan boleh untuk dia menumpang tidur malam itu, dia
sanggup pusing semula. Tapi dia tiada pilihan, terpaksa juga
melangkah masuk dengan hati yang berat.
Shad masih di situ, tersenyum tidak sudah-sudah.

Mahkota Kertas - Bab 3

“26 years-old and still don’t know how to hit
on a girl,” bebel Shad sambil mengikut Amar dari belakang.
Sanggup pula tu masuk ke dalam semak sebab nak mengintai
seorang perempuan.
“Syhhh!” Amar meletakkan jari telunjuknya di atas
bibir, amaran supaya Shad diam.
Shad buat muka. “Kita nak buat apa kat sini
sebenarnya?” Suaranya direndahkan.
“Tu...” Amar menuding jari ke arah sebuah rumah
dua tingkat berwarna putih. “Itulah rumah Rafanda.”
“Rafanda?” Oh, jadi itulah nama perempuan yang
diminati Amar sangat. Apa ke bagusnya menghendap rumah
anak dara orang dalam semak macam ni? Kalau tertangkap
macam mana?
“Yup.”
“Habis tu kita buat apa dalam gelap macam ni?”
“Kau diam ajelah, tunggu aje.” Amar fokuskan mata
ke arah rumah itu. “Satu... dua... tiga...”
Shad kerutkan muka. Pipi ditepuk kuat apabila
terasa seekor nyamuk hinggap di situ.
“Empat... lima...”
Pintu rumah dibuka dan seorang gadis melangkah
keluar. Sebuah buku kemas dalam pegangannya. Dia berjalan
ke arah gazebo di tepi rumah dan duduk di situ. Lampu
dinyalakan lalu dia mula membaca sambil menyandar tenang.
“Comelkan dia?” Amar tersenyum sendiri, terasa
macam ada bunga api berdentum-dentum dalam dadanya.
Shad tergeleng-geleng sambil menahan gelak.
“Patutlah kau selalu hilang malam-malam kebelakangan
ni. Ini kerja kau rupanya? Kalau bapak perempuan tu tahu,
mahu tercabut hidung kau dikerjakannya.”
“Sebab tulah aku nak minta pertolongan kau,”
sangkal Amar.
“Tolong apa?”
“Tolong tegur dia.” Amar tersengih.
Jari telunjuk Shad terhala ke muka sendiri dengan
riak wajah tidak percaya.
Amar mengangguk-angguk laju.
“Apasal aku pulak? Kau yang nak mengurat dia.”
Shad tak puas hati. Memanglah tegur perempuan bukan satu
masalah besar untuknya, tapi nak tegur untuk orang lain itu
yang jadi masalah. Kalau perempuan tu tersuka kat dia, tak ke
naya jadinya? ‘Heh, sempat lagi perasan kau, Shad.’
“Alah pleaselah... Kau kan pandai ayat perempuan.
Bukan macam aku ni, depan perempuan aje terus bertukar
jadi kayu. Please... Please...” Amar menggosok-gosok
kedua-dua tapak tangannya, merayu.
Shad mengeluh berat. Ini yang lemah kalau orang
dah merayu ni.
“Kau ingat lagi tak dua bulan lepas masa kau keluar
dating sampai lewat malam, lepas tu kau takut kena marah
dengan umi, kau minta aku tolong coverkan untuk kau. Kau
cakap kau hutang aku satu. Sekarang nilah masanya untuk
balas balik,” tekan Amar bersungguh-sungguh.
Apa saja dia sanggup lakukan asalkan Shad setuju
tolong dia. Kalau dia perlu ungkit benda yang terjadi masa
mereka berdua berhingus lagi pun dia sanggup.
Shad merengus. Tiada jalan lain, terpaksalah dia
buat juga. “Aku nak kena buat apa?”
“Senang aje. Kau pergi dekat pagar rumah dia, lepas
tu kau tegur dia. Kau buat-buatlah tanya arah rumah ke apa.”
“Lepas tu?”
“Kau ucap thank you, lepas tu minta nombor phone.
Senang aje, kan?”
“Kalau senang apasal kau tak buat sendiri aje?” bebel
Shad tak puas hati. Buat rancangan pandai, nak laksanakan
rancangan memang tak boleh harap.
“Please... please...” Amar merayu lagi. Dia tahu Shad
memang selalu kalah dengan rayuannya. ‘Bromance’ antara
mereka lebih penting daripada segala-galanya.
Shad berdecit. “Yalah, yalah. Kau hutang aku satu.”
“Aik?” Amar tak puas hati.
“Ah, aku tak kira.”
“Fine!” Amar mengalah.
“Tapi kalau aku kena cekup, aku heret kau sekali,”
ugut Shad.
“Tak ada hal, bro,” balas Amar bersama peluh di dahi.
Hati berdoa moga janganlah Shad tertangkap.
Shad melangkah keluar dari semak itu terus ke arah
pagar rumah Rafanda. Bukan tiada debar di dada, tapi dia
cuba berlagak tenang. Dia berhenti di depan pagar, mengintai
terus ke arah Rafanda. Ini kalau dia yang kena tangkap,
siaplah Amar. Dia berdeham sekali sebelum mengetuk pagar
kayu itu. Karang kalau bunyikan loceng, satu rumah pula
yang sedar.
“Assalamualaikum.”
Rafanda mengangkat muka dari bukunya. Dahinya
berkerut melihat seorang lelaki di luar pagar. Seliparnya
disarung lalu mendekati pagar. “Waalaikumussalam. Ya?”
Shad berdeham lagi. “Saya sebenarnya sesat ni. Nak
tanya arah jalan, boleh?”
Rafanda mengangguk tanpa syak. “Awak nak ke
mana?”
“Ke mana? Hmm...” Alamak, lupa pula nak tanya
kat Amar tadi. Amar pun satu, bagi arahan tak jelas. “Rumah
nombor... 143?” Belasah sajalah.
Faham maksud nombor itu, Rafanda hanya
tersenyum. 143 yang membawa maksud ‘I love you’?
“Maaflah, saya tak pernah nampak pulak rumah
nombor macam tu.”
“Not even 1433?” Shad mencuba lagi.
‘I love you too?’
Rafanda menahan gelak lalu menggeleng. “Nope.”
“What about... 012-2772720?” Selamba Shad
menyebut nombor telefon Amar. Wajahnya dikerutkan,
berlakon tetap berlakon.
Kali ini Rafanda memang betul-betul gelak.
Amar yang menghendap dari arah semak mula rasa
tidak senang duduk. Risau juga kalau-kalau Rafanda tersyok
kat Shad. Mulalah dia rasa menyesal.
“Hmm... Apa tadi ya? Tak dapat tangkap,” balas
Rafanda.
“012-2772720,” ulang Shad selamba.
Rafanda tersenyum-senyum. “Nanti kejap ya, saya
tanyakan dekat papa saya...”
“Eh, tak apa, tak apa.” Cepat-cepat Shad menahan.
Bala. “Saya pakai GPS aje nanti. Okey, bye. Assalamualaikum.”
Dia melambai kecil lalu terus meninggalkan pagar rumah itu.
Rafanda tergelak kecil, terhibur pula hatinya dengan
tingkah lelaki itu. 012-2772720. Nombor itu diulang semula
dalam hati sebelum kembali ke gazebonya.
Shad masuk semula ke dalam semak tempat Amar
menunggu.
“Amacam? Dapat tak?” tanya Amar tak sabar-sabar.
“Tak. Tapi aku bagi nombor kau kat dia,” balas Shad.
Mata Amar terbuntang luas. “Kau bagi apa?”
Shad tersengih. “Kau boleh ucap terima kasih kat
aku nanti. Dah, jom blah.”
Amar terkebil-kebil melihat Shad menjauh, terasa
macam dalam mimpi.

SENYUMAN MANIS menghiasi bibir masing-masing ketika
bersalaman dan saling berpelukan. Syazani juga terpaksa
memaniskan roman wajahnya, walau dia tahu antara mereka
semua tiada yang betul-betul gembira berjumpa dengannya.
Jantungnya tidak dapat bertenang, risau memikirkan seraut
wajah yang bakal ditatap dalam masa beberapa minit saja lagi.
Tidak semena-mena, muncul satu harapan supaya lelaki itu
tidak datang malam itu.
Namun harapan tidak menjadi kenyataan apabila
kelibat Hanif menyapa ruang matanya. Lelaki itu tersenyum
manis sambil menghulur salam kepada yang lain-lain. Saat
mata mereka bersatu, Syazani rasa macam nak luruh jantung.
Apatah lagi apabila Hanif semakin melebarkan senyuman.
Senyuman itu nampak ikhlas. Ternyata, ibu betul.
Hanif berjalan mendekati Syazani. Syazani cuba
mencari Izza, namun gadis itu sudah hilang entah ke mana,
bergelak ketawa dengan rakan-rakan perempuan yang lain.
“Hai,” tegur Hanif. Senyuman masih tidak lekang
dari bibirnya.
“Hai,” balas Syazani, cuba untuk tersenyum juga.
Tapak tangannya berpeluh, tapi jemari rasa sejuk.
“Saya ingat awak tak datang malam ni,” kata Hanif.
Renungannya lembut ke wajah Syazani.
“Saya pun ingat saya tak datang,” gurau Syazani
spontan. Kamus dalam kepalanya seolah-olah tidak berfungsi
secara tiba-tiba, sampaikan dia tidak tahu apa yang perlu
dikatakan.
Hanif ketawa kecil.
Syazani tersenyum nipis. Lelaki inilah yang dulu
pernah mencipta kisah dongeng dalam hidupnya, yang
kononnya suatu hari nanti mereka akan membina istana
bersama dan mewarnainya dengan cinta yang tidak akan
pudar sampai bila-bila. Tapi, itu sebelum dia tahu yang
Hanif cuma mempermainkannya. Hatinya terluka dan
luka yang disangka sudah sembuh itu seolah-olah terasa
semula kini. Namun senyuman dan tawa Hanif seakan-akan
memberi penawar. Mungkin sudah sampai masanya untuk
dia meletakkan semuanya di belakang dan cuba membina
hubungan persahabatan dengan lelaki itu, tanpa melibatkan
perasaan apa-apa lagi.
“Awak sihat? Saya dengar sekarang dah jadi vet yang
berjaya,” kata Hanif.
“Eh, tak adalah berjaya pun. Biasa-biasa aje,” balas
Syazani.
“Come on, don’t sell yourself short. Saya tahu awak
selalu buat kerja-kerja amal, jadi volunteer dekat zoo, selalu
sertai kempen-kempen untuk bagi kesedaran kepada orang
ramai tentang pentingnya haiwan kat dunia ni,” ujar Hanif.
Dia selalu membaca kisah-kisah sebegitu di surat khabar atau
majalah dan nama Doktor Nurul Syazani antara yang selalu
menjadi sebutan.
Syazani tersenyum segan. Tak sangka, Hanif ikuti
juga perkembangan hidupnya. Atau mungkin juga lelaki itu
suka membaca dan kebetulan bahan bacaan itu ada menyebut
tentang dirinya. “Awak pulak? Buat apa sekarang?”
“Adalah, berniaga sikit-sikit.”
“Now, who’s selling himself short?” balas Syazani.
Dia perasan anak mata Izza yang mencuri pandang ke
arahnya sambil mengangkat ibu jarinya. Dia cuma buat-buat
tidak nampak.
Hanif ketawa kecil. Terkena. “Awak dah makan?”
“Belum.”
“Kenapa tak makan lagi? Jom, kita makan sekali.”
“Err... Sebenarnya, saya tak makan daging,” jawab
Syazani. “I’m a vegetarian.”
“Oh, right.” Hanif terangguk-angguk faham. Syazani
yang dia kenal di sekolah dulu bukan seorang vegetarian.
Mungkin gadis itu sudah berubah sejak mendalami dunia
haiwan. “So, minum?”
Syazani mengangguk. “That’d be great.”
“Okey.” Hanif mempersilakan gadis itu untuk
berjalan dahulu di depannya.

Mahkota Kertas - Bab 2

BUNYI kucing mengiau menyambutnya saat dia
menolak pintu dan melangkah masuk. Bibirnya membiaskan
senyuman manis untuk kucing-kucing itu, seolah-olah
ngiauan mereka merupakan satu bunyi yang paling
menyenangkan hatinya sepanjang minggu ini.
Dia membuka salah sebuah sangkar lalu membawa
keluar seekor kucing berbaka Ragdoll. Kucing itu
mengiau-ngiau halus dalam dukungannya, menjilat-jilat
kakinya sendiri.
“Aww... comelnya dia...” Syazani membelai-belai
bulu lembut kucing itu. Dia tunduk mencium kepala kucing
itu. Bersama kucing itu dalam dukungannya, dia mencapai
kotak yang berisi makanan kucing lalu menuangkannya ke
dalam setiap bekas dan menyusun bekas-bekas itu di depan
semua sangkar yang ada.
Pintu-pintu sangkar dibuka, membiarkan semua
kucing yang ada untuk keluar menikmati hidangan. Dia
meletakkan kucing dalam dukungannya di depan sangkarnya
semula, sebelum duduk di tepi memerhati mereka semua
dengan senyuman.
Pintu bilik itu dibuka dari luar. Syazani mendongak
untuk melihat siapa yang masuk. Siapa lagi kalau bukan
Diyana, penjaga merangkap pemilik rumah perlindungan
kucing itu.
“Eh, Doktor Syazani! Saya tak tahu doktor nak
datang hari ni,” kata Diyana sebaik saja terpandangkan
Syazani sedang duduk di penjuru bilik.
Syazani bangun berdiri, tersenyum ke arah Diyana.
“Kenapa awak fikir macam tu? Kan saya selalu datang sini hari
Sabtu?” Menjadi seorang doktor haiwan, dia juga merupakan
sukarelawan yang bertugas di situ untuk memastikan semua
kucing yang dijaga berada dalam keadaan kesihatan yang
baik. Walaupun dia tidak mendapat apa-apa pendapatan dari
rumah penjagaan itu, dapat berkhidmat untuk kucing-kucing
tidak bertuan itu sudah cukup bermakna untuknya.
“Yalah, bukan ke doktor cakap hari ni ada reunion
dengan budak-budak sekolah?” Diyana berlutut di tepi seekor
kucing. Tangannya membelai-belai bulu kucing itu.
“Oh, pasal tu...” Seekor kucing sudah pun
selesai makan. Syazani mengangkat kucing itu ke dalam
dukungannya. “Reunion tu malam ni. Saya pun tak pasti
lagi sama ada nak pergi ke tak.” Jemarinya bermain-main
di kepala kucing itu. Semua kucing di situ sihat dan aktif,
walaupun ada yang pada mulanya dihantar penuh dengan
luka dan parut.
Ramai pencinta kucing yang datang untuk
mengambil kucing itu sebagai haiwan peliharaan. Duit tidak
diminta, cuma janji yang mereka akan menjaga kucing itu
dengan sebaiknya. Pun begitu, masih banyak juga kucing
yang dihantar semula. Ada yang dijumpai di tepi-tepi jalan
dan ada yang dibuang pemilik. Tapi Syazani tak kisah. Buruk
atau comel, berparut atau berkurap, dia tetap sayangkan
mereka semua.
“Kenapa pulak? Bukan ke semua orang suka pergi
reunion?” tanya Diyana hairan sambil mula membersihkan
lantai bilik itu. Semua kucing dibenarkan untuk bermain di
luar, masih selamat dalam kawasan rumah perlindungan itu.
“Bukan semua orang kut.” Syazani mengeluh kecil.
Mengingati reunion yang sepatutnya dihadiri malam ini, dia
jadi berat hati.
“Maksudnya?”
“Diaorang semua suka pergi reunion sebab tak
sabar-sabar nak jumpa seseorang. Saya tak ada nak jumpa
siapa-siapa,” jelasnya sambil meletakkan kucing dalam
dukungan ke lantai. Telefon pintarnya bergetar dari poket
seluar. Dia terus menjawab panggilan dari Izza.
“Yes?” jawab Syazani dengan nada suara seorang
profesional.
“Kau kat mana?” Kuat suara Izza menembusi talian,
serupa macam orang sedang menjerit.
“Syurga,” jawab Syazani pendek, yakin yang Izza
faham apa yang dia maksudkan.
“Kau tak siap lagi ke?” Dan sekarang Izza betul-betul
menjerit.
Syazani menjauhkan telefon dari telinganya sedikit.
“Siap untuk apa?”
“Reunion malam nilah!”
Syazani pandang jam tangan. “Lambat lagilah, mak
cik. Yang kau kecoh sangat ni kenapa?”
Izza ketawa. “Aku dah tak sabar-sabar ni tau!”
Syazani tergeleng-geleng sendiri. Kan bagus kalau
dia pun teruja macam Izza. Ini tak, jauh sangat bezanya
keadaan mereka berdua.
“Aku pergi rumah kau nanti eh? Nak siap-siap kat
sana,” beritahu Izza.
“Yalah, ikut suka kau. Jumpa nanti.” Syazani
mematikan talian.
“Kenapa doktor macam tak nak pergi aje reunion
tu?” Suara Diyana mematikan khayalan Syazani yang baru
nak bermula.
Syazani mengeluh berat. Kalau Diyana pun perasan,
dia tak boleh bayang apa yang rakan-rakannya akan fikir
malam ini apabila nampak yang dia langsung tak gembira
untuk menyertai majlis itu. “Sebab ada seseorang yang saya
harap saya tak akan jumpa sampai bila-bila.”
“Siapa? Kekasih lama?” teka Diyana dengan nada
mengusik.
Syazani buat-buat ketawa. Mukanya terasa memerah
tidak semena-mena. “Tak adalah. Saya balik dulu. Take care
of the cats for me, will you?”
“Always will,” balas Diyana sambil tersenyum manis.
Syazani mengucapkan salam lalu terus keluar
mendapatkan keretanya. Reunion? Apa gunanya reunion
kalau dia langsung tiada rakan rapat, selain Izza, yang
membuatkan dia rasa teruja untuk dia jumpa?
JESSE DAN Cartney mengerumuni kakinya ketika
dia melangkah menuruni tangga. Tersenyum, Syazani
mengangkat kedua-duanya ke dalam dukungan. Dia turun ke
dapur. Ibu sedang membersihkan ruang itu. Terpandangkan
dirinya di muka pintu dapur, terus muka ibu berkerut.
“Tak siap lagi?” tegur Zulaini hairan. Dia dapat
dengar bunyi siulan Izza dari tingkat atas. Ingatkan Syazani
pun dah bersiap sekali, rupa-rupanya masih dalam pakaian
yang sama sejak pagi tadi.
Syazani meletakkan Cartney ke lantai sementara
Jesse masih dalam dukungannya. Minatnya terhadap penyanyi
Jesse McCartney yang mendorongnya untuk memberikan
kucing-kucingnya nama-nama itu. “Aja rasa malaslah
nak pergi, bu...” Dia bersandar di meja dengan wajah yang
monyok.
“Lah... kenapa pulak? Izza tu bukan main semangat
lagi ibu tengok.” Zulaini mendekati Syazani di meja.
“Izza ramai kawan, Aja tak ada kawan.” Sedih pula
apabila teringatkan kisah zaman persekolahannya dulu.
Dia yang dulunya tersangat pasif, langsung tidak pandai
berkawan. Izzalah satu-satunya insan yang sudi menjadi
sahabat baiknya sejak itu. “Bukan tu aje. Ibu pun tahukan
yang Aja tak nak jumpa...” Kata-katanya mati di situ. Keluhan
berat dilepaskan.
Zulaini mengusap-usap lengan Syazani. “Hari tu Aja
cakap dengan ibu yang Aja dah move on?”
“Memanglah dah move on, tapi nak jumpa dia
depan-depan tu entahlah macam mana...” luah Syazani lagi.
Izza pun tak faham, jadi dia tak harapkan yang ibu akan
faham.
“Sudahlah tu, hal yang lama tak payahlah fikir lagi.
Masing-masing dah besar, dah boleh fikir mana baik mana
buruk. Mungkin sekarang dia dah berubah, dah bina hidup
sendiri. Mana tahu mungkin dia tunggu masa untuk jumpa
Aja dan minta maaf?” Zulaini tersenyum, cuba untuk kekal
positif. Sejak dia bersetuju untuk mengambil Syazani tinggal
dengannya, dia sudah berjanji untuk membesarkan anak itu
menjadi insan yang berhati mulia. Walaupun dia sudah ada
seorang lagi anak yang sudah pun berkahwin dan memulakan
hidup berkeluarga, kasih sayang untuk kedua-duanya tetap
sama. Begitu juga dengan arwah suaminya.
Syazani mengangguk, membalas senyuman ibu.
Sedikit sebanyak, kata-kata itu mampu melegakan resah di
hatinya.
“Dah, pergi naik siap-siap. Karang Izza dah siap
mekap semua, kamu baru nak gosok baju,” suruh Zulaini.
Syazani ketawa kecil. Dia meletakkan Jesse ke
lantai lalu keluar dari dapur untuk naik ke biliknya. Izza
sedang duduk di depan meja soleknya, menyapu mekap pada
wajahnya. “Amboi kau... mekap lima inci eh,” guraunya.
Izza tersengih. “Almaklumlah, nak jumpa kawan
lama. Aku mestilah nampak lebih cantik daripada diaorang
semua.” Rambutnya ditepis dengan penuh gaya.
Syazani tergelak.
“Kau nak masuk toilet ke? Kejap ya, aku nak
terkencing pulak.” Izza meletakkan lipstick di tangan di
atas meja sebelum bangun. “Alahai... masa-masa nilah nak
kencing pulaknya,” bebelnya sendiri sambil masuk ke dalam
bilik mandi.
Mata Syazani jatuh pada bingkai gambar di tepi
katilnya. Senyumannya memudar. Bingkai gambar itu dicapai.
Perlahan jemarinya menyentuh wajah dua orang budak lelaki,
masing-masing berumur 11 dan 5 tahun. Dia pula duduk di
tengah-tengah, berumur 7 tahun ketika gambar itu diambil,
juga ketika mereka tiga beradik dipisahkan.
“Okey, dah! Pergilah masuk.”
Suara kuat Izza mematikan imbauan kenangan
dalam fikiran Syazani. Cepat-cepat dia mengesat mata yang
basah sebelum mencapai tuala dan masuk ke dalam bilik
mandi.

Mahkota Kertas - Bab 1

LAGU nyanyian Good Charlotte kuat melantun
antara empat dinding di dalam bilik itu. Shad menari dengan
gaya yang dicipta sendiri sambil jari mencalit gel rambut dari
atas meja. Gel itu disapu pada rambutnya di depan cermin,
bibir bersiul-siul mengikut alunan lagu yang sama. Selesai
mengemaskan rambut dan juga baju yang dipakai, dia
menyumbat buku yang diperlukan ke dalam beg, mencapai
kunci kereta dan mematikan lagu dari pemain MP3nya lalu
terus keluar dari bilik.
Ruang tingkat atas rumah teres dua tingkat itu
kosong dan sunyi. Shad berhenti di depan sebuah bilik.
Pintu diketuk kuat mengikut alunan lagu yang didengar
tadi. Apabila tiada jawapan, dia terus memulas tombol. Amar
masih lena di atas katil dengan selimut membalut hampir
seluruh tubuh. Shad masuk ke dalam.
“Amar!” panggilnya sambil memukul-mukul lengan
adik ‘kembar’ angkatnya itu.
Amar bergerak-gerak tapi masih belum membuka
matanya. “Apa?” Masih mamai, suara pun serak.
“Weh, aku ada kelas pagi ni. Malam ni jadi ke tak plan
kau tu?” tanya Shad. Maklumlah, bergelar seorang pelajar
master separuh masa, pada hari minggu begitu sajalah dia
akan ke kelas, hari-hari lain sibuk dengan urusan kerja pula.
Amar mengangguk-angguk dengan mata yang masih
terpejam rapat. Masih tak mahu lepaskan mimpi indah yang
menemaninya sejak lepas subuh tadi. “Jadi, jadi.”
“Okey, tunggu aku balik. Jangan pergi sorang,”
pesan Shad.
Amar mengangkat tiga jarinya sebagai isyarat ‘okey’.
Shad mencapai sebiji bantal lalu menekup muka
Amar dengan selamba. Amar terjerit terkejut. Sebelum
sempat bantal itu terkena mukanya pula, Shad cepat-cepat
lari keluar bersama tawa panjangnya.
Dia turun ke bawah. Umi sedang menghidangkan
sarapan di atas meja.
“Good morning, umi!” tegur Shad ceria.
Robiah tersenyum ke arah anak terunanya yang
seorang itu. “Wangi bukan main, Shad. Berapa botol minyak
wangi pakai ni?”
Shad tersengih, menarik kerusi lalu duduk di depan
umi. “Mana ada, umi. Memang Shad selalu wangi apa?” Meliar
matanya memerhatikan hidangan di atas meja. Seringkas
mana pun makanan yang umi masak, dia tetap akan rasa
teruja dan tidak sabar-sabar untuk menikmati setiap satunya.
Baunya pun dah menyelerakan, belum lagi jamah.
“Yalah tu...” Robiah menjeling. Nasi Goreng Tomyam
disenduk untuk Shad. “Nah, makan ni. Nanti dalam kelas
lapar pulak.”
“Yes, ma’am,” balas Shad lalu menyuap nasi itu ke
mulut.
Robiah menuangkan secawan kopi kepada Shad.
Macam biasa, seperti hari-hari yang lain, Shad wajib ambil
juga sekurang-kurangnya secawan kopi. Bukan tidak pernah
dia menasihati Shad supaya kurangkan pengambilan kopi,
tapi kata Shad, tanpa kopi, otaknya tidak akan mampu
berfungsi dengan baik. Segala-galanya akan jadi lebih baik
dan ceria dengan kopi.
Bak kata Shad, “But first, coffee.”
“Amar tidur lagi?” tanya Robiah. Amar dan Shad
sebaya, jadi kerana itulah hubungan mereka rapat bagaikan
adik-beradik kembar, walau hakikatnya Shad bukanlah anak
yang lahir dari rahimnya. Dia mengambil Shad dari sebuah
rumah anak-anak yatim ketika anak itu berumur lima tahun.
Shad mengangguk. “Malam ni Shad dengan Amar
ada hal tau, umi.” Sempat lagi menjawab dengan mulut
penuh.
“Hal apa pulak ni? Ada-ada ajelah kamu berdua ni.”
Shad tersengih. Sebelah matanya dikenyitkan.
“Adalah...” Kopi dihirup sehingga habis. Dia bangun
menggalas begnya. Pinggan diangkat untuk dibawa ke dapur.
“Tinggal ajelah kat situ, nanti umi cucikan,” tahan
Robiah.
Shad tersenyum, segera tunduk menyalami tangan
umi lalu meminta diri.
“Bawak kereta elok-elok,” pesan Robiah, tidak
pernah jemu.
Shad melambai dari belakangnya. Dia masuk ke
kereta, mengundurkan kereta itu untuk keluar dari kawasan
rumah dan terus memecut untuk ke kampus.

SEMPAT LAGI Amar hantar pesanan ringkas kepadanya
mengingatkan apa yang telah mereka rancangkan malam ini.
Agaknya tadi mamai lagi kut masa dia tanya. Ini tiba-tiba siap
hantar mesej lagi. Kepala Shad tergeleng-geleng. Dia turun
dari kereta sesudah mematikan enjin. Pintu kereta ditutup.
Ketika mendongak, anak matanya menangkap
kelibat seorang gadis sedang berjalan melepasi pintu
pagar fakulti. Penampilan gadis itu ringkas dengan T-shirt
lengan panjang dan jean hitam bersama sling bag, tapi
seolah-olah ada sesuatu yang menarik perhatiannya. Gadis
itu tertoleh-toleh ke belakang, seolah-olah memastikan tiada
sesiapa yang mengekorinya.
Shad memerhati penuh minat. Sepanjang dia belajar
di situ, tak pernah sekali pun dia nampak wajah gadis itu di
mana-mana. Pelajar juga ke? Tapi tengok dari gaya macam
penceroboh ada juga. Nak menceroboh apa matahari tegak
atas kepala macam ni?
Kelibat gadis itu hilang di sebalik dinding fakulti
yang membawa laluannya ke arah bilik-bilik pensyarah.
Shad pantas menggeleng-gelengkan kepala, membuang
bayang gadis itu dari fikirannya. Alarm kereta ditekan lalu dia
membawa langkah untuk ke kelas.
Kelas berjalan macam biasa. Doktor Razlan
menjelaskan apa yang patut secara ringkas, kemudian
diteruskan dengan perbincangan dan pembentangan
pendek. Namun bayang gadis yang Shad nampak awal pagi
tadi masih melekat kemas dalam kepala. Dia cuba untuk
tidak hiraukannya, tapi ternyata otaknya sendiri lebih cepat
menyimpan data tentang gadis itu berbanding apa yang
sedang dipelajari dalam kelas.
Tamat kelas, Shad mengikut Doktor Razlan ke
biliknya. Ada hal yang perlu ditanyakan berkenaan tesis yang
sedang ditulis. Rakan sekelasnya Rashid juga ikut sekali.
Sambil mendengar penerangan Doktor Razlan, ekor mata
Shad menangkap kelibat seorang gadis melintas di depan
bilik. ‘Eh, itu bukan ke gadis tadi?’
Disebabkan dia berdiri di depan pintu, Shad
memanjangkan leher untuk mengintai apa yang gadis itu
lakukan. Gadis itu berhenti di depan sebuah bilik pensyarah,
berlutut dan cuba mengintai melalui cermin kaca di tepi.
Memandangkan cermin itu ditutupi tirai, dia tidak dapat
melihat dengan jelas. Shad dapat melihat gerak bibir gadis
itu berdecit. Tersungging senyuman kecil di bibirnya.
Comel.
“Any more questions?” Doktor Razlan bertanya,
memanggil Shad untuk berpaling ke arahnya semula.
Rashid menggeleng sebelum menoleh ke arah Shad
pula. Shad ikut sama menggeleng. Matilah tak faham, lepas ni
terpaksa tanya Rashid semula. Itulah, ralit sangat perhatikan
anak dara orang.
“Thank you, sir,” ucap Rashid.
“Thank you, sir,” ulang Shad sambil menghulurkan
tangan untuk bersalam dengan Doktor Razlan lalu mereka
sama-sama keluar, kemudian menutup pintu.
“Kau okey ke tak? Distracted aje aku tengok,” tegur
Rashid dengan dahi berlapis. Tadi dalam kelas bukan main
semangat nak jumpa Doktor Razlan secara private, sekarang
lain pula reaksinya.
Shad menggaru-garu kepala sambil ketawa kecil.
“Aku? Distracted? Itu rutin harian aku, bro.” Bahu Rashid
ditepuk bersama isyarat ‘setakat distracted tu, no big deallah’.
Rashid ketawa. Dia kenal Shad sejak mereka
sama-sama belajar di kampus itu dalam ijazah sarjana muda
lagi. Setiap kali Shad ‘distracted’, tak lain tak bukan tentu
melibatkan hal orang perempuan. Walaupun Shad sentiasa
kekal dengan imej ‘lelaki baik’ atau ‘decent guy’, tapi dia
tetap terkenal dengan sifat yang suka berkawan dengan
mana-mana saja perempuan yang berjaya menangkap
pandangan matanya.
“Okeylah, aku blah dulu. Apa-apa nanti kau textlah,”
kata Rashid meminta diri. Dan seperti selalunya juga, dia tak
lokek membantu apabila melibatkan hal belajar.
“Okey.” Shad mengangkat ibu jarinya. Sebaik saja
kelibat Rashid menghilang, matanya liar mencari gadis tadi
semula. Masih di tempat yang sama, masih cuba mengintai
ke dalam bilik pensyarah itu. Shad memerhati sekeliling.
Kosong. Dia terus mendekat.
“Ehem.” Dia berdeham sekali.
Terkejut, gadis itu spontan bangun berdiri
menghadap Shad. Matanya membulat, reaksi mukanya
dikawal agar tidak terlalu jelas pucatnya, seolah-olah dia baru
saja ditangkap cuba memecah masuk ke dalam sebuah rumah
banglo yang besar.
Shad menahan senyumannya. “Awak buat apa kat
sini?”
“Tak... tak ada apa.” Gadis itu segera berpaling dan
melangkah pergi. Shad dapat lihat mata gadis itu melirik ke
arah pintu bilik pensyarah yang ‘dihendap’ tadi untuk kali
terakhir sebelum berjalan laju, seolah-olah cuba merakam
apa yang dia nampak supaya dapat dijadikan rujukan apabila
dia datang lagi lain kali.
Tak puas hati, Shad mengikut dari belakang. “Awak
student kat sini? Degree? Tapi buat apa hari minggu macam
ni kat kampus? Takkan ada kelas tambahan kut? Atau kelas
ganti?”
Gadis itu cuma buat tidak dengar dan terus berjalan
laju. Rambut separas bahu yang ditocang satu menjadi
tatapan mata Shad, tanpa suara walau sepatah pun dari bibir
halusnya.
Shad rasa tercabar. Biasanya kalau dia tegur orang
perempuan, belum pun dia cakap sepatah, orang perempuan
yang terlebih dahulu tanya dia macam-macam. Sekarang
terbalik pula. Apa, dia tak cukup hensem ke di mata gadis itu?
“Or should I report you to the Dean for peeping into
a lecturer’s room?”
Dan soalan itu berjaya membuatkan gadis itu
berhenti mendadak. Dia menoleh ke arah Shad dengan
renungan tajam.
Shad membalas dengan senyuman manis. “Care to
speak now?”
Gadis itu menegakkan kepalanya ke arah Shad.
Wajahnya masih serius, malah lebih serius berbanding tadi.
Dia cuma berharap supaya tiada sesiapa yang melalui kawasan
itu sehinggalah dia selesaikan ‘masalah’nya dengan lelaki
yang dia langsung tak pernah nampak seumur hidupnya itu.
“Apa yang saya buat tadi tak ada kena-mengena
dengan awak,” kata gadis itu tegas.
Shad jongket kening, sebelum tergelak kecil.
“Come on, apa yang awak buat kat situ tadi? Cuba nak curi
something?” Sengaja dia memprovoke. Bukan apa sangat
pun, dia cuma nak cari peluang untuk bercakap dengan
gadis itu. Kalau betul pun gadis itu cuba mencuri, dia tak
rasa dia akan laporkan kepada pihak berkuasa macam yang
dikatakannya tadi. Paling tidak pun dia cuma berpura-pura
yang dia tidak nampak apa-apa dan terus pulang ke rumah,
jalani kehidupan macam biasa.
Gadis itu berdecit, rimas dengan tuduhan tidak
semena-mena daripada orang yang dia tidak kenal. “Saya tak
cuba nak curi apa-apa pun.”
“Habis tu apa? Menghendap? Cuba nak tukar carry
mark? Lambat hantar assignment?”
“Awak ni siapa? Pensyarah kat sini ke?”
“Tak, cuma seorang pelajar.”
Gadis itu memandang Shad dari atas ke bawah,
seolah-olah mencari bukti tertulis yang lelaki itu merupakan
pelajar di situ.
“Your super senior,” tekan Shad. Itu pun kalau gadis
itu juga belajar di fakulti yang sama dengannya. Kalau tak
sama, gadis itu tak mungkin ada di fakultinya. Atau mungkin
juga, ada urusan lain yang mahu diselesaikannya. Skandal
dengan pensyarah?
Gadis itu julingkan mata ke atas. Malas melayan, dia
berpaling semula dan melangkah laju.
Shad mengikut lagi. “Nama awak apa?”
“Tak penting untuk awak tahu.”
“Nama aje kut, bukannya minta alamat rumah ke,
nombor plat kereta ke, nombor tiang api rumah ke...”
“Tak kelakar.”
“Eh, saya tak ada buat kelakar pun.”
Gadis itu berhenti lagi dan berpaling merenung
ke arah Shad. Geram dengan tingkah selamba lelaki itu.
Biasanya kalau dia beri jelingan tajam kepada lelaki, memang
lelaki itu tidak akan berani dekat dengannya lagi. Mungkin
yang ini spesies lain. Spesies yang orang tak pernah jumpa.
Mata Shad jatuh ke arah kad pelajar yang tergantung
pada beg gadis itu. “Kan... Maissa?”
Maissa pantas mencabut kad pelajarnya dari beg lalu
menyumbat terus ke dalam beg yang sama. “Look, awak tak
kenal saya, saya tak kenal awak. So please, just go away.”
Shad berpeluk tubuh dengan muka selamba. “Kalau
saya tak nak?”
Maissa mengetap bibir. “Fine. Cuma... tolong, jangan
beritahu sesiapa...”
“Pasal apa?” potong Shad walaupun dia tahu apa
yang Maissa maksudkan.
“Apa yang awak nampak tadi tu, tak sama dengan apa
yang awak fikirkan.”
“Okey, kalau macam tu cuba awak beritahu elok-elok
apa yang awak buat sebenarnya tadi,” pinta Shad masih tidak
mahu mengalah. Kalau ikutkan, dia boleh saja angkat kaki
dan mereka tidak perlu berjumpa lagi. Andai terserempak
di mana-mana, masing-masing boleh buat-buat tidak kenal.
Tapi dia masih belum puas bercakap dengan gadis itu, walau
hakikatnya perbualan itu lebih kepada pertengkaran yang
tiada hujung pangkal.
Maissa berdecit lagi, mula geram dengan mamat
poyo ini. “I was trying to find a ghost.”
Sebaris ayat itu buatkan Shad ketawa berdekah-dekah.
Maissa mengetap bibir, buku limanya dikepal. Ini yang
malasnya nak bercerita dengan orang, apatah lagi orang yang
dia langsung tak kenal. Asyik kena gelak aje.
Malas menunggu lagi, Maissa segera berpusing
untuk pergi. Cepat-cepat Shad menahan dengan berdiri di
depan gadis itu.
“Okey, sorry.” Kedua-dua tangannya diangkat tinggi.
Sisa tawanya masih ada. “Awak bergurau, kan?”
“Apa yang buatkan awak fikir yang saya bergurau?”
tanya Maissa.
“Okey. Pertama, tak ada orang cari hantu waktu
siang, apatah lagi waktu tengah hari macam ni. Kedua, hantu
dalam bilik pensyarah? Seriously?”
“I heard stories. Dah ramai pelajar kat sini yang
ternampak hantu tu.” Maissa mempertahankan dirinya.
“Hantu apa? Pocong? Toyol? Puntianak?”
“Saya tak payah cari puntianak, sebab makhluk tu
dah ada kat depan mata saya sekarang,” balas Maissa berani.
Shad terdiam, namun bibir masih mengukir
senyuman. Ouch.
Maissa menjeling. “Tepilah!” Lengan Shad dilanggar
dengan bahunya lalu melangkah laju menjauhi lelaki itu.
Dia berhenti di depan lif, menekan butang, sempat menoleh
sekilas ke arah Shad sebelum melangkah masuk ke dalam lif
itu. Renungannya penuh amaran ‘jangan cuba-cuba dekat
dengan aku lagi’, kemudian pintu lif terkatup rapat.
Shad hanya membiarkan kali ini, berjanji untuk
mencari gadis itu lagi lain kali. Hari ini tak dapat, esok lusa
ada lagi.