DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 12 December 2017

Mazrik's Signorina - Bab 3

HHH... hach... haaccchuuuum!
Sreeeeettt!
Mazrik yang memerhati hanya menggeleng kepala.
Rasa-rasanya jenis yang macam ini hanya boleh jumpa
seorang dalam seribu. Tak ada inisiatif nak kontrol ayu
langsung! Kalau depan lelaki lain buat macam ni, confirm
pihak lelaki yang ada ura-ura nak berkenalan terus tak jadi
nak mendekat.
“Dah makan ubat belum?” soalnya prihatin.
“Ubat pahit, tak sedap.”’
“Mana ada ubat yang sedap?”
Sindirannya tak berjawab.
“Kalau tak makan ubat macam mana nak sembuh?
Melarat nanti lagi susah. Sakit ni, perlu dirawat. Jangan ambil
mudah. Jadi apa-apa, mak ayah jauh. Kalau dekat tak apalah,
ni adik sekarang...”
“Tapi bebelan abang pun tak boleh bagi adik sihat...”
Mazrik terkedu sesaat sebelum ketawanya pecah.
Nada Tia yang selamba menutur dengan raut muka tak
bersalah menggeletek hati.
“Abang ni memang suka membebel eh? Tumpang
simpati kat tunang abang, Kak Suria tu.”
Tawa Mazrik bertukar sengih. Tahu si gadis hanya
mengusik.
“Terkejut tak bila abang cakap abang dah tunang
hari tu?” Santai dia bertanya.
Tia mengesat hidung sebelum menjawab.
“Sikitlah. Tapi sekarang ni rasa logik aje sebab umur
abang pun memang dah sesuai untuk settle down, kan?”
“Adik pula macam mana?”
“Maksud abang?”
“Bila keluar dengan pakwe, minum air kongsi segelas
dan makan sepinggan? Ataupun macam kita sekarang ni, adik
gelas adik, abang gelas abang.”
Tia geleng kecil.
“Tak adalah, kita orang tak buat macam tu. Setakat
ni, belum terlajak lagilah untuk hal-hal macam tu.”
“Kenapa abang senyum?” soal Tia apabila menyedari
senyuman Mazrik sedikit berbeza.
“Betul jangkaan abang, adik dah ada someone
special.”
“Eh?”
“Nak tahu seseorang tu dah dimiliki ke belum,
banyak caranya. Kalau abang tanya terus terang adik dah ada
pakwe ke belum, mesti adik tak nak mengaku, kan?”
Tia imbas semula soalan yang diajukan kepadanya
sekejap tadi.
“Pandai eh perangkap orang!”
Mazrik angkat kening bersama senyuman.
“So, who’s that guy?”
“Nama dia ke?”
“Nama... panggilan... apa-apalah pasal dia yang adik
tak kisah untuk bercerita.”
“Adik panggil dia Am.”
Sreeeeettt!
“Am?”
“Am.”
“Kenapa Am?”
“Sebab dia bukan khusus.”
“Loyar buruk.” Pensel diketuk perlahan ke lengan si
gadis.
“Dah abang pun tanya soalan yang genius sangat!
Ada ke tanya kenapa Am? Dah nama dia macam tu, nak buat
macam mana?”
“So berapa lama dah kawan dengan Am ni?”
Tia menekap hidung dengan tisu. Sebelah tangan
sibuk mengira jari.
“4 nak masuk 5.”
“Bulan?”
“Tahun.”
“Sebaya?”
“Tak. Dia 31 tahun.”
“Dua tahun tua daripada abang.”
“Haah.”
“Kerja dah ke? Ke master atau PhD kat sini?”
“Dia kat KL. Doktor. Baru aje balik dari overseas.”
“Macam mana boleh kenal?”
“Kat FB. Dia cakap adik cute.”
“Jadi, sebab tu adik jatuh hati dengan dia?”
“Not really. Adik tertarik dengan dia sebab perangai
dia. Dia baik, sangat penyayang dengan budak-budak, ada
sifat kebapaan yang sangat tinggi. Budak-budak mudah mesra
dengan dia sebab dia pandai melayan. Sampaikan atas meja
kerja dia pun dia letak balang gula-gula, khas untuk pesakit
kanak-kanak yang datang dapatkan rawatan.”
“So, abang teka dia jenis lelaki yang ada pakej
lengkap untuk digilai perempuan.”
“Puji atau perli ni?”
“Terpulang pada penerimaan adik, nak anggap tu
satu pujian ataupun sebaliknya.”
Tia tarik nafas dalam-dalam, sambil membayangkan
figura jejaka yang bernama Amir Hamzah dalam fikirannya.
Tanpa sedar, dia tersenyum sendiri.
“Angau.”
“Mana ada!”
“Convince me.”
“Kejap.”
Sroooot!
Sreeeeettt!
“Abang.” Bertambah jelas level sengau suara yang
menyeru.
“Ya?”
“Sorry.”
“Untuk apa?”
“Sebab buang hingus depan-depan abang.”
Mazrik mahu gelak tapi dipendamkannya. Wajah
sengaja ditayang serius.
“Dah sekotak tisu habis, baru nak minta maaf? Tadi
sebelum buat, tak fikir?”
Dahi Tia berkerut dua saat.
“Mana sempat nak fikir. Hingus ni nak leleh mana
boleh tunggu-tunggu. Time dia nak keluar tu, dia keluar
juga.”
Mazrik bantai gelak.
“Depan Am buat macam ni juga?”
Tia bulat mata.
“Nak mampus? Depan Am mana boleh lepas laku.
He’s very particular bab-bab etiket sosial ni.”
Sreeeeett!
Mazrik sambung sengih. Nampak Tia
bersungguh-sungguh menadah helaian tisu terakhir ke
hidung. Muka gadis itu juga telah mula bertukar merah.
“Boleh ke makan nasi ni? Tekak tak perit? Nak abang
carikan bubur?”
“Tak usah. Bubur tu makanan sepital. Selagi tak
masuk wad, tak nak makan bubur.”
Mazrik geleng. Kedegilan seorang Tia Clarissa.
“Abang makan apa tu?”
“Bekal bawa dari rumah.”
“Wah, mesti sedap! Nak sikit, boleh?”
Mazrik tidak menyahut, sebaliknya hanya menatap
wajah Tia lama.
“Kenapa pandang adik macam tu?”
“Ni demam, otak pun weng eh?”
“La... siapa cakap otak adik tak okey?”
“Sebab adik baru aje minta bekal abang.”
Tia jongket bahu.
“So, apa salahnya? Dulu masa duduk rumah,
hari-hari pergi sekolah bawa bekal, sampai habis form 5.”
Mazrik terkejut.
“Anak orang kaya pun layan bekal ke?”
“Helo, pembetulan! Mana ada famili adik kaya?
Kita orang biasa-biasa ajelah! Tak kaya berada, tak daif juga,
tengah-tengah. Baklah rasa sikit, abang...”
Mazrik serba salah.
“Ni tak sesuai untuk adiklah.” Dia tahu, makanannya
ini bukan selera gadis itu.
“Alaaa, rasalah sikit. Kedekutlah abang ni.”
Sreeeeett!
“Abang bukan tak nak bagi, tapi abang tahu ni bukan
taste adik.”
“Try me. Meh sini adik rasa dulu, baru tahu kena
dengan taste adik ke tak.”
Dipagut perasaan ragu, Mazrik menolak bekas
mangkuk tingkat yang dibawanya ke depan Tia.
Tanpa membuang masa, Tia mengambil sesudu kuah
yang berwarna kuning itu dan merasanya.
“Rasa apa?” Mazrik menyoal dalam resah.
“Sedap! First time rasa lauk macam ni.”
Tidak menunggu balas kata Mazrik, Tia selamba
menyudu kuah untuk kali kedua lalu dituang ke atas nasinya.
“Ambillah ikan tu.”
“Tak nak.” Tia menggeleng. “Adik nak kuah aje, tak
nak ikan. Lauk dalam pinggan adik ni dah banyak.”
Selama beberapa minit, kedua-duanya senyap
menghabiskan baki makanan di atas pinggan. Selesai makan,
pinggan yang tinggal sisa diletak ke dalam besen yang
disediakan pihak kafeteria. Mangkuk tingkat milik Mazrik
kemudian Tia ambil lalu dibawa ke singki dan dicuci tanpa
sempat jejaka itu melarang.
“Upah sebab bagi adik jamah bekal abang,” jelas Tia
mudah.
Sementara menunggu makanan hadam, punggung
diletak kembali ke atas kerusi.
“Suka lauk tadi tu?” Mazrik meminta kepastian.
“Suka!”
“Tak sangka.”
“Kenapa? Abang ingat adik tak layan masakan
kampung ke?”
“Bukan pasal tu.”
“Then?”
“Yang adik makan tadi tu gulai tempoyak.”
“Erkk!” Raut muka Tia berubah.
“Ikan patin masak gulai tempoyak. Kalau tak silap
abang, hari tu adik ada cakap yang adik tak makan tempoyak
dan suku-sakat durian, kan?”
Tia kaku.
“Adik???”
“Kk... kenapa tak rasa durian pun gulai tempoyak
tu?”
“Mungkin sebab adik tengah selesema.”
Tekak Tia mula terasa mual. Muka Mazrik di
depannya dipandang dengan rasa serba salah.
“Abang...” serunya perlahan.
“Ya?”
“Adik rasa... adik... adik... nak muntah!” Berlari-lari
anak Mazrik ditinggalkan tanpa bertangguh.
20 minit menanti, Tia masih tidak muncul. Mazrik
memanjangkan leher ke arah blok asrama perempuan
namun matanya tidak dapat mengesan bayang Tia di koridor
mahupun di tangga. Lalu dikeluarkan telefon pintar miliknya
dan dihantar pesanan menggunakan WhatsApp.
Adik, jangan lupa makan ubat.
Abang balik dulu. Kalau melarat,
call abang. Abang hantar pergi
klinik.
Sampai di tempat parkir motor, dia menaip satu lagi
pesanan kepada Alan, Wana dan Swee Lin.
Perjumpaan esok dibatalkan. Group
discussion will be continued next
week.
Untuk sementara, dia tidak mahu Tia diganggu.
Tunggu sehingga adiknya itu benar-benar sihat dahulu, baru
dia akan buat group discussion semula.
TIA MENGATUR langkah dengan penuh semangat. Seminggu
rebah akibat demam, kini dia benar-benar rasa sihat semula.
Maklumlah, ada doktor tak bertauliah yang memantau.
Mazrik. Sepanjang dirinya jatuh sakit, setiap 4
jam lelaki itu akan menelefon, memastikan dia tidak culas
mengambil ubat ataupun skip makan. Bila moodnya okey, dia
jawablah. Bila dia rasa rimas atau datang angin tak betulnya,
dia buat bodoh sahaja sampai telefon tu senyap sendiri. Tetapi
yang peliknya, sedikit pun Mazrik tidak marah apabila dia
mengabaikan panggilan telefon lelaki itu. Memang jenis
penyabar betul!
Membaca bismillah, tangannya membuka pintu
dewan kuliah.
“Babe! Sihat dah?”
Laju Wana angkat beg mengosongkan kerusi di
sebelahnya. Tia digamit supaya melabuhkan punggung di
situ.
“Okey dah. Alhamdulillah... yang tak okeynya banyak
yang aku dah tertinggal.”
“Tak apa, tak apa... nota kuliah semua aku ada
simpan untuk kau. So tak perlu risau, kau boleh catch up
later perlahan-lahan.”
“Assignment?”
“Kenapa dengan assignment?”
“Mesti banyak aku dah tertinggal.”
“Nope.” Wana geleng. “Tak ada dapat assignment
baru pun.”
“Maksud aku untuk yang dah sedia ada.”
“Enterpreneurship Business Plan? No progress.
Sebab discussion is off.”
“Off?”
Wana angguk.
“Mazrik kata minggu ni baru sambung discussion
balik.”
“Kenapa?” Pelik merajai hati. Mazrik hanya cakap
tak usah risau tentang group discussion, dia akan uruskan.
Mazrik tak cakap discussion dibatalkan.
“Manalah aku tahu. Busy kut? Dia kan pegang
macam-macam jawatan, bukan takat Presiden CNRE tu aje.”
“Urmm... yalah kut...”
“Yang kau tiba-tiba macam mengeluh ni kenapa?”
“Eh, tak adalah.” Buku depan mata pura-pura diselak.
“Tapi lama giler kau demam kali ni, kan?”
“Agaknya sebab aku jarang kena. Tu yang sekali
kena, terus seminggu.”
“Kalau aku, aku dah cabut balik rumah dah. Balik
rumah ada famili jaga, boleh manja-manja. Seminggu tu
Tuhan bagi demam! Macam mana kau boleh survive, tak
homesick eh?”
“Entah...”
Fikiran Tia terarah kepada Mazrik. Pada kebajikan
yang lelaki itu telah buat untuknya selama seminggu ini.
Sebab itukah dia tak rasa homesick langsung?
“Eh, tiba-tiba aku terfikir, takkan kau tak tahu
discussion batal?
“Tak. Mazrik tak cakap pun.”
“Maknanya Mazrik tahulah kau demam?”
“Err...”
“Hah, aku dah tahu!!!”
Lengan si sahabat, Wana tarik. Mata gadis itu tampak
bersinar-sinar.
“Entah-entah, Mazrik batalkan discussion sebab dia
tahu kau demam kut?”
“Class cancelled!!!”
Keadaan menjadi senyap secara tiba-tiba.
Masing-masing berpandangan sesama sendiri.
“Class cancelled... meaning boleh baliklah, kan?”
Suara salah seorang pelajar.
“Yahoooooooo!!!”
“Boleh balik!!!”
“Alaaaaaa...”
“Kenapa???”
Serentak masing-masing memberikan reaksi.
Keadaan dewan kuliah menjadi kecoh kembali.
“Jomlah, aku nak ambil nota-nota kuliah yang kau
simpan untuk aku.” Tia cuit lengan Wana.
Seiringan, mereka keluar ikut pintu belakang. Malas
mahu bersesak-sesak dengan pelajar lain yang meluru ke
pintu depan.
“Kau tak jawab lagi soalan aku babe.”
“Yang mana?”
“Mazrik tahu kau demam, kan?”
“Aku...”
Telefon dalam beg Tia berbunyi.
“Kejap.”
Pantas Tia selongkar isi beg. Melihat nama yang naik
pada skrin, laju dia menjawab.
“Assalamualaikum, Am?”

MAZRIK PERHATIKAN Tia yang sedang berdiri dan
mengemas barang-barang di atas meja. Dengan susunan yang
berterabur sampai langsung hilang ketelitian dan kekemasan
dalam menyusun. Nampak sangat bukan the real Tia Clarissa.
“Adik, duduk kejap.” Perlahan dia mengarah.
“Ada apa?”
“Duduklah, abang nak tanya khabar.”
Tanpa rasa Tia menurut. Duduk berhadapan namun
matanya dilarikan daripada membalas pandang.
“Dah sihat betul dah?”
Tia hanya mengangguk.
“Kenapa ni?”
“Tak ada apa-apalah.”
“Apa yang tak kena?”
“Kan dah cakap tak ada apa-apa!” Ton suara naik
sedikit.
Mazrik tegakkan badan. Dagu disangga dengan
kedua-dua tangan.
“Bibir yang tak biasa berbohong ni, tak cantik bila
dia berbohong. Good try, but I know you more.”
Tia menghela nafas panjang. Tak sampai sebulan,
lelaki di hadapannya ini telah pandai menelah segala-galanya
tentang dirinya?
“Abang, kita jumpa pun seminggu sekali aje tau.
Paling banyak pun dua kali seminggu. Abang ingat tempoh
yang singkat tu abang boleh faham segala-galanya tentang
adik?”
“Kalau untuk memahami seseorang, seumur hidup
pun belum tentu cukup. Yang penting adalah bertoleransi,
bertolak ansur... give and take, seada dan seikhlasnya.”
Tia diam.
“Adik tahu adik boleh cerita apa aje dengan abang,
kan? Tell me. Apa yang dah jadi sampai adik nak hangin
dengan budak-budak group ni tadi?”
“Nothing. Adik kan tak suka orang tak punctual
dan main-main dalam tugasan ni. Deadline dah dekat.
Masing-masing buat sambil lewa aje!”
“Punctual?” Mazrik membetulkan duduknya. “Ni
bukan kali pertama diaorang datang lewat. Sebelum ni
adik okey aje, tak ada nak mengamuk pun? Dan kalau nak
kata deadline dah dekat, kita ada masa sebulan lebih lagi.
Discussion tadi, abang tak nampak pun sambil lewa diaorang
tu. Semua fokus, keluarkan idea-idea yang bernas dan...”
“Adik nak balik.”
“You look stressed.”
Maklum balas yang Mazrik dapat, keluhan Tia yang
panjang.
“Tak ada masalah yang tak dapat diselesaikan,” ujar
Mazrik tenang.
“Am, abang.” Akhirnya Tia mengalah.
“Kenapa dengan Am?”
“Dia accident.”
“Bila?”
“Petang semalam. Masa dia call tu, adik dengan
Wana dalam dewan kuliah.”
“Teruk ke?”
“Tak tahu. Lepas dia cakap dia accident, terus
panggilan terputus. Adik try telefon dia sebelum tidur malam
tadi, tapi tak berjawab. Call pagi tadi pun sama. Adik risau
giler ni.”
Mazrik angguk. Mula memahami keadaan.
“Relaks okey, fikir positif. Mungkin dia tak jawab
sebab dia tengah rest.” Tia cuba dipujuk.
“Tapi sekurang-kurangnya dia boleh hantar
WhatsApp beritahu dia okey, kan?”
“Mungkin doktor bagi dia ubat tidur untuk dia rehat?
Jadi dia lena tak dengar apa-apa.”
“Tapi adik risau...”
“Relaks okey, doakan aje yang terbaik. Insya-Allah,
okey tu. Dia sendiri kan doktor?”
“Mana ada tukang gunting rambut yang potong
rambut sendiri? Same goes to doctors, tetap perlukan doktor
lain untuk merawat.”
Tangan Mazrik menggapai barang-barang di atas
meja. Bekas pensel dan buku nota Tia ditolak ke depan gadis
itu manakala buku-buku rujukan bersaiz tebal ditarik ke
arahnya sendiri.
“Adik letih ni. Pergi naik atas, masuk bilik, rehat.
Tidur pun tak apa. Sekarang ni, tak payah fikir apa-apa.
Buku-buku ni biar abang yang pulangkan ke perpustakaan
nanti.”
“Am?”
“Bagi dia masa sikit lagi. Anggap aje dia tengah
perlukan ruang untuk pulihkan diri dia. Jangan risau, adik
tetap dalam hati dia.” Mazrik pujuk Tia dan hatinya sendiri.
‘Pelik lelaki yang bernama Am ni. Kalau aku, aku suka kut
buah hati ambil berat,’ detik hatinya.

No comments:

Post a Comment