DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 11 December 2017

Kunci Hati Hanim - Bab 3

SELESAI membersihkan diri dan bersolat, Hanim
berbaring di atas katil dengan mata yang terkelip-kelip
memandang siling. Mengingat kembali apa yang terjadi
hari ini, hati kecilnya kembali dicengkam rasa sakit. Sakit
dan kecewa. Baru 6 bulan mereka berpisah, Meor Afif sudah
menemui pengganti yang mungkin sudah diangkat statusnya
menjadi isteri.
‘Semudah itu. Semudah itu, Meor? Sampai hati awak
buat saya macam ni kan. Selama dalam idah, saya tunggu
awak datang untuk bawa saya kembali semula ke rumah kita.
Tapi awak langsung tak datang. Saya cari awak tapi awak lari
dari saya. Kenapa awak buat saya macam ni Meor? Sampai
hati awak kan...’ Dada mula sebak tanpa sedar juring mata
mula basah.
Sedang Hanim tenggelam dalam rasa sedih dan
sepi yang tidak berkesudahan, pintu biliknya diketuk dari
luar. Dengan malas Hanim bangun membuka pintu biliknya
itu. Sempat dicuit hujung mata bagi menghilangkan kesan
tangisan tanpa sedarnya itu tadi.
“Pergi mana tadi?”
Hasif yang berdiri dengan bercekak pinggang terus
menyoal sebaik saja melihat wajah Hanim di balik pintu. Raut
wajah abangnya tak payah cakaplah, macam singa menunggu
masa mahu menerkam si mangsa.
“Pergi mana lagi abang, pergi kerjalah.”
“Kau jangan nak bohong aku Hanim, lebih baik kau
berterus terang.” Marah Hasif mula meletus apabila Hanim
cuba berdolak-dalik dengannya.
“Bohong apanya? Hari ni kan hari Selasa, mestilah
Hanim pergi kerja.”
“Kau ingat abang bodoh?”
“Habis tu tanya soalan yang abang dah ada
jawapannya, siapa yang bodohkan siapa?”
Renungan tajam abangnya turut dibalas. Penat kerja
belum hilang ditambah pula dengan penat melayan kerenah
abangnya. Sungguh, dia lelah!
“Kau!” Jari telunjuk naik menegak di hadapan wajah
Hanim. Bercakap dengan Hanim memang sangat menguji
kesabarannya sebagai seorang abang. Ah, dia sendiri pun
bukan seorang yang penyabar sebenarnya. Panas barannya
itu makin menjadi-jadi pula sekarang.
“Apa?”
“Kau jangan nak memalukan abang ya, Hanim.”
“Memalukan apa maksud abang?”
“Pura-pura tak tahu pula. Sudah-sudahlah kau kejar
si Meor tu, dia dah hidup bahagia dah sekarang.”
Dahi Hanim berkerut seribu.
“Kau jangan ingat aku tak tahu Hanim. Kau masih
terkejarkan si Meor tu kan. Kau masih tergilakan bekas suami
kau tu, kan. Kau tak malu ke ha? Kalau kau tak tahu malu
sekali pun tolonglah ingat yang aku ni malu. Aku malu, kau
tahu tak!” Berapi-api Hasif memarahi Hanim.
“Abang mengarut apa ni? Bila masa pula Hanim
terkejarkan si Meor tu?”
“Abang tak mengarut Hanim. Meor sendiri yang call
aku pagi tadi cakap yang kau ekori dia sampai ke tempat dia
bersarapan.”
“Apa?” Otak Hanim mula memproses segala kata-kata
Hasif. “Jadi, ini semua tentang apa yang jadi pagi tadi?”
“Yalah! Kau jangan buat-buat lupa pula. Tolonglah
jaga maruah kau tu, Hanim. Tak malu ke terkejar-kejarkan
orang yang dah tak nak dekat kau?”
Bagai ditusuk sembilu rasanya hati Hanim saat
mendengar kata-kata hinaan abangnya itu. Jaga maruah? Tak
malu? Sebegitu terukkah dia di mata abangnya?
“Sekejap! Abang dah salah faham ni. Meor pun
dah salah faham. Hanim tak ikut dialah. Kebetulan Hanim
sarapan dekat situ dan terserempak dengan dia, itu aje.”
“Jangan cuba nak nafikan pula. Meor dah ceritakan
semuanya dekat abang.”
“Jadi, abang lebih percayakan orang luar daripada
adik abang sendiri?”
“Kalau apa yang Meor katakan tu tak betul, kenapa
kau lari bila dia nampak kau tadi?”
Soalan Hasif membuatkan Hanim tersentak. Ya,
kenapa dia lari? Seharusnya dia duduk saja di situ supaya
segala salah faham ini tidak terjadi. Ah, manalah dia tahu
yang semuanya akan jadi rumit seperti ini. Tak sangka pula
yang Meor sanggup mengadu dekat abangnya.
“Ha, kenapa diam? Sebab betulkan apa yang Meor
cakapkan tu?”
Hanim menggeleng. “Tak, semuanya tak betul.”
“Tak payah nak meni...”
“Hanim cakap yang betul!” potong Hanim. Hasif
tidak habis-habis nak menuduh, langsung tak nak terima
penjelasannya.
“Apa yang betulnya kalau dah Meor sendiri yang
cakap dekat abang yang Hanim selalu ikut dia.”
“Selalu?”
“Dah tak payah nak buat keliru macam tu. Mulai hari
ini abang nak Hanim jauhkan diri daripada Meor dan mulai
hari ini juga abang akan cari calon suami untuk Hanim. All
this following him around has to stop.” Usai berkata, Hasif
terus berpaling meninggalkan Hanim.
“Wait, what?”
Pantas dia bergerak menahan Hasif daripada terus
berlalu. Belum sempat abangnya masuk ke dalam bilik, pintu
bilik itu terlebih dahulu ditutup oleh Hanim.
“I’m not ready to get married again.”
“Bersedia atau tidak, Hanim tetap kena kahwin!”
“Abang siapa nak tentukan nikah kahwin Hanim?”
bentak Hanim dengan nada tidak puas hati. Ya, dia sangat
tidak berpuas hati dengan abangnya sekarang!
“I’m your brother! Your wali! Puas hati???”
Berdentum ruang itu dengan suara tengkingan Hasif.
Hanim tersenyum sinis. “Abang wali Hanim?”
Rahang Hasif bergerak menahan marah. Tahu yang
Hanim akan meluahkan kata-kata yang akan membuatkan
dia hilang kuasa, namun tetap juga dia ingin mendengar
patah kata yang keluar dari bibir adiknya itu.
“Ayah masih hidup. Abang dah lupa ke?” soal Hanim
sinis.
“Tak.” Muka Hasif bertambah merah dan pandangan
matanya semakin tajam membalas renungan mata Hanim.
“Tapi ada dia kisah tentang kau? Ada dia ambil berat tentang
kau? Yang kau bercerai ni pun ada dia ambil peduli?”
Tersentak Hanim seketika. Memang ayahnya
langsung tidak mempedulikan mereka setelah beristeri baru.
Apa yang terjadi dalam hidup mereka pun ayahnya langsung
tidak ambil tahu. Malah mahu dirampas lagi apa yang menjadi
milik mereka adik-beradik. Satu kenyataan yang perit untuk
Hanim terima namun realitinya tetap begitu.
“Hanim di bawah tanggungjawab abang sekarang
dan abang berhak untuk menentukan hidup Hanim. As I said,
abang nak Hanim kahwin secepat mungkin. No objection!”
Hasif tetap bertegas dengan keputusannya.
“Abang tak adil!”
“Tak ada yang adil dalam dunia ni, Hanim.”
Hasif terus berlalu meninggalkan Hanim sendirian.
Kelopak mata memberat kembali.
‘Ya Allah, kenapa harus begini takdir hidup aku? Apa
lagi yang harus aku hadap selepas ini?’

ALAT KAWALAN jauh ditekan-tekan mencari siaran yang
menarik untuk ditonton. Selesai tugasnya di bilik kerja, Izzat
keluar ke ruang tamu melepaskan lelahnya di situ. Sudah
hampir ke tengah malam, rancangan apa saja yang best.
Semua tidak berjaya menarik minatnya untuk terus melekat
menonton rancangan yang disiarkan.
“Tak tidur lagi Izzat?”
Izzat mendongak mencari wajah kakaknya yang
muncul dari belakang.
“Kakak kenapa tak tidur lagi?”
“Tak boleh tidur. Entah, macam panas pula malam
ni.” Duduk dilabuhkan di sebelah adiknya.
Izzat memandang Kak Irma dengan hujung mata
sebelum kembali menekan alat kawalan jauh di tangannya.
‘Panas? Bukan ada air-cond ke dekat dalam bilik tu.
Panas apanya? Ke panas dalam?’
“Isy, janganlah tukar-tukar channel macam tu.
Peninglah kakak tengok.” Alat kawalan jauh dirampas dan
Irma terus menekan siaran yang paling digemarinya, Star
World.
Malas bergaduh, Izzat membiarkan saja perlakuan
kakaknya itu. Lama mereka diam sebelum Izzat bersuara.
“Tak nak balik rumah sendiri ke?”
Irma menoleh. “Menghalau ke?” Tipulah kalau dia
tidak terusik dengan soalan adiknya itu.
Izzat diam. Menghalau? Entahlah. Dia cuma
bertanya. Lagipun sudah hampir sebulan kakaknya di sini,
takkanlah tidak teringin langsung balik ke rumah sendiri.
“Tanya aje.” Tangan dibawa membelit badan sendiri.
Irma mendengus. “Izzat kalau tak suka kakak tinggal
dekat sini, cakap. Tak payah nak tanya soalan macam tu.”
“Izzat cuma tanya...”
“Tanya tapi macam nak menghalau.”
Izzat diam. Kalau diteruskan, bergaduh pula.
Malaslah. Malas hendak layan perkara remeh ini.
“Benci sungguh Izzat dengan kakak ya?” Irma
bersuara perlahan dengan mata yang memandang lurus ke
skrin televisyen. Tiada balasan daripada Izzat, Irma kembali
menoleh ke sisi.
“Kenapa diam? Betulkan Izzat bencikan kakak.”
“I don’t want to talk about this.”
“Kenapa? Once and for all, kita kena selesaikan
semuanya Izzat. Sampai bila nak macam ni?”
“It’s not the time yet, kak.”
“Habis tu bila? Bila masa yang sesuai untuk leraikan
semua ini? Bila kita dah tua? Bila kakak dah nak mati? Macam
tu?”
Izzat menjegilkan mata ke arah Kak Irma. “Jangan
disebut soal mati.” Keras kedengaran suara Izzat ketika itu.
“Kenapa tak boleh pula? Memang kita semua akan
mati macam mak dengan ayah...”
“Kakak! I said enough is enough. I don’t want to talk
about this shit anymore!!!”
Terhinggut bahu Irma kerana terkejut mendengar
jerkahan Izzat. Sarang lebah jangan dijolok Irma. Mata
mula memberat. Nampaknya pergaduhan di antara dia
dengan Izzat sampai bila-bila pun takkan habis. Dengan
hati yang membengkak, Irma mengangkat kaki dan berlalu
meninggalkan Izzat sendirian.
Kedua-dua tangan naik mengusap wajah yang sedikit
tegang. Kepala mula berdenyut, mungkin tekanan darahnya
sedikit tinggi apabila menjerkah kakaknya tadi.
‘Izzat, sampai bila nak macam ni? Sampai bila nak
disimpan marah tu?’
Tangan naik mengusap wajah. Hilang bayang
kakaknya, muncul pula bayang wanita yang ditemuinya siang
tadi. Nafas dihela berat. Kenapa seraut wajah itu pula yang
muncul? Kenapa raut wajah itu pula yang melekat dalam
mindanya sekarang ini? Mata dipejam celik bagi mengusir
bayangan wanita itu. Namun usahanya sia-sia. Wajah yang
kelat tanpa senyuman itu tetap juga menghiasi mindanya.
Hanim... Wajah yang kelat tanpa senyuman.
Percakapannya yang tenang namun serius. Bercakap apabila
perlu dan lebih suka mendiamkan diri dari berbicara tentang
perkara lain selain daripada perihal kerjanya. Matanya tajam
namun jelas kelihatan mendung di sebalik pandangan
matanya itu. Seperti dia sedang melindungi rasa hati yang
terluka. Sungguh, langsung tiada bayang keceriaan dalam
mata milik wanita itu.
Hati Izzat mula meronta mahu mengetahui
segalanya tentang wanita yang bernama Hanim. Kenapa dia
begitu? Apakah yang menyebabkan dia jadi begitu? Kenapa
dia harus begitu?

No comments:

Post a Comment