DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 11 December 2017

Kunci Hati Hanim - Bab 9

HAZRUL melabuhkan duduk di sebelah
abangnya, Hasif yang sedang sibuk dengan kertas kerja.
Hampir separuh meja kopi di ruang tamu dipenuhi dengan
kertas kerja Hasif. Jarang-jarang sekali Hasif membawa
pulang kerja pejabat ke rumah. Nampaknya kalah juga abang
dia dengan tuntutan kerja yang maha hebat itu.
Sejak emak mereka meninggal dunia, Hasif mula
berubah menjadi seorang yang gila kerja. Hidupnya hanyalah
tentang kerja semata, langsung tiada hati ingin bersosial
atau mencari teman hidup. Tengok pada luaran, sepertinya
dia yang paling terkesan dengan pemergian Puan Humairah
kerana karakternya berubah seratus peratus. Abangnya yang
dulu seorang yang tenang dan sabar mula menjadi seorang
yang serius dan panas baran. Mereka lupa, ada yang lebih
terkesan dengan pemergian Puan Humairah hinggakan
hidup dengan makan hati berulam jantung sepanjang masa.
“Banyak lagi ke bang?”
“Yes.”
Hazrul diam mendengar jawapan Hasif. Yang
sebenarnya ada sesuatu yang dia ingin bicarakan dengan
abangnya itu. Tetapi melihat pada keadaan Hasif yang sibuk,
langsung terbantut persoalan yang ingin diutarakan.
Perasan yang Hazrul kembali diam, Hasif menoleh.
“Kenapa? Rul ada sesuatu nak bincang dengan abang ke?”
Raut wajah adiknya yang sedikit mendung dipandang lama.
Ada sesuatu yang tidak kena dengan Hazrul nampaknya kalau
sudah begitu raut wajah adiknya itu.
“Tentang ayah.”
Pantas wajahnya bertukar riak apabila perkataan
ayah disebut Hazrul. “Kenapa dengan dia?”
“Kes tuntutan ayah ke atas rumah ni macam mana
bang?”
Hasif mendengus. Bila bercakap saja tentang Tuan
Yazid, pasti moodnya berubah. Hanya perasaan marah yang
tersimpan untuk ayahnya itu.
“Abang dah bercakap dengan peguam tentang hal
ini. Kalau kes tuntutan tu dibawa ke mahkamah, buang masa
kita saja Rul. Buang masa dia juga. Malahan kos perbicaraan
itu nanti dia juga yang kena tanggung semuanya.”
“Kenapa?”
Hasif bersandar ke belakang. “Buatlah macam mana
sekali pun walau dengan apa cara sekali pun, rumah ni takkan
jadi hak milik dia.”
“Maksud abang?”
“Rumah ni nama mak dan sebelum mak meninggal
rumah ni masih atas nama mak, tak tukar kepada nama sesiapa
pun. Jadi automatik rumah ni dapat dekat anak-anak, which
is abang, kakak dan Rul. Nanti kemudian akan dibahagi ikut
faraid. Okey yang faraid tu kita letak tepi dulu. Yang penting
sekarang, dia tak akan dapat rumah ni sampai bila-bila. Itu
yang pasti.”
“Rumah ni bukan harta sepencarian ke abang?”
Hasif menggeleng. “Bukan. Abang dah semak dekat
LHDN, memang tak ada dalam rekod harta sepencarian ke
apa. Jadi, rumah ni memang hak milik kita bertiga Rul.”
“Kalau bukan harta sepencarian maknanya ayah
memang tak boleh nak tuntut rumah ni langsunglah kan?”
“Ya!”
“Takkan ayah tak tahu pasal tu?”
“Exactly! Itu yang abang geram dengan orang tua tu.
Tak pernah cukup dengan apa yang ada. Dahlah duit pencen
mak semua dia sapu sedangkan dia langsung tak ada hak ke
atas duit tu semua. Soal duit, abang malas nak kecoh Rul.
Duit kita boleh cari, tapi rumah yang mak dah beli hasil titik
peluh dia ni tak akan sesekali abang lepaskan kepada orang
tua tak guna tu. Bukan abang tak tahu yang dia nak sangat
rumah ni sebab dia nak jual. Dan duit hasil jualan rumah ni
nanti pasti dia akan serahkan pada keluarga baru dia tu.”
Hazrul angguk faham. “Rul pun rasa macam tu
juga abang. Yang sebenarnya, beberapa hari lepas Rul ada
ternampak ayah dengan makcik bergaduh dekat luar bank.
Rul terus tak jadi nak masuk bank.”
“Huh! Gaduh pasal duitlah tu. Padanlah muka, nak
sangat kan kahwin dengan perempuan muda.” Cemuh Hasif.
“Tengok ayah waktu tu, Rul rasa ayah tengah
susahlah sekarang ni, abang.”
“Macam yang abang cakap tadilah... Sebab tu dia nak
sangat dengan rumah kita ni, dia nak dapatkan duit dengan
jual rumah kita ni.” Wajah Hasif berubah merah. Rasa amarah
terhadap Tuan Yazid menekan-nekan dadanya. Entah apa lagi
yang perlu dia katakan supaya ayahnya itu sedar yang tidak
semudah itu untuk mendapatkan rumah peninggalan arwah
emaknya ini.
“Jadi, apa jalan penyelesaiannya sekarang bang?
Abang tetap akan bawa kes ni ke mahkamah ke?”
“Peguam tu cakap seeloknya kes macam ni bincang
di luar mahkamah aje. Bila dah naik mahkamah, banyak lagi
kos kerugian yang kena tanggung nanti.”
“Jadi, abang akan bincang tentang hal ini dengan
ayah?” Bukan dia tidak tahu yang abangnya itu nak tengok
wajah ayah mereka pun tak boleh. Apatah lagi nak bincang
elok-elok. Sebelum ni pun kalau ayah mereka ajak berbincang,
pantas Hasif menolak sekeras-kerasnya.
Hasif mendengus. “Sejujurnya, abang tak ada hati
langsung nak berbincang dengan dia...”
‘Kan dah cakap...’ bisik Hazrul dalam diam.
“Bila pandang wajah dia abang asyik terbayangkan
apa yang dia dah buat pada mak, pada kita adik-beradik. Dia
pergi saat mak sangat perlukan dia. Sanggup dia ceraikan
mak saat mak sakit bertarung dengan kanser. Sanggup dia
buat macam tu. Nonsense, tahu tak!” Makin berapi marah
Hasif.
Asal diungkit saja cerita lama, marahnya memang
sangat sukar dibendung. Siapa yang sanggup tengok emak
sendiri menderita dengan perangai suami yang menggatal
di luar ketika sedang berperang dengan penyakit yang
sukar diubati. Dia sendiri hampir menitis air mata melihat
kesengsaraan arwah emaknya waktu itu. Kerana dia anak
lelaki, dia harus kuat. Kuat demi emak dan adik-adiknya.
Hazrul memandang lama wajah bengis Hasif
sebelum menunduk menekur jari sendiri. Memang takkan
selesai masalah keluarga mereka agaknya.
“Rul sedih abang. Kalaulah arwah mak tahu kita
bertelingkah dengan ayah macam ni Rul yakin yang mak juga
akan turut sedih. Abang tak boleh ke kalau bincang elok-elok
dengan ayah. Cuba fahamkan ayah. After all, he’s still our
father. Pertalian darah di antara kita dengan ayah tak akan
putus sampai bila-bila abang.”
Hasif menoleh ke arah Hazrul dengan wajah yang
garang. Hampir saja dia membalas kata-kata adiknya itu
namun cuba ditahan. Bimbang jika kata-kata yang lahir dari
rasa amarahnya bisa membuatkan Hazrul pula yang tergores.
Nafas ditarik dalam dan mata dipejam buat seketika.
“Kakak mana?” Soalan pertamanya setelah kembali
membuka mata. Perihal ayahnya dibiarkan tidak berjawab.
Lama Hazrul diam kerana sedikit kecewa dengan
abangnya yang cuba mengelak untuk berbaik dengan si ayah.
Dia juga marah dengan apa yang telah ayahnya lakukan.
Malah dia juga pernah menyatakan bahawa rasa hormat
terhadap ayahnya telah tiada lagi setelah pergaduhan mereka
di rumah ini dulu. Tetapi apabila melihat wajah tua ayahnya
yang diherdik oleh isteri baru ayahnya tempoh hari, rasa
kasihan mula berputik kembali. Sungguh dia sedih melihat
keadaan ayahnya tika itu.
“Ada dekat atas.”
“Buat apa?”
Hazrul angkat bahu tanda tidak tahu. “Betul ke
abang suruh kakak kahwin?”
“Kakak beritahu?”
Hazrul angguk. Satu lagi masalah di dalam keluarga
mereka, tetapi kali ini melibatkan kakaknya pula. Kadangkala
rasa serabut juga dengan segala permasalahan yang timbul
dalam keluarga mereka. Sejak dari dulu hinggalah sekarang,
sekejap saja rasa gembira yang menjengah. Selebihnya
hanyalah tekanan, kekecewaan dan kesedihan yang
menyelubungi hidup mereka sekeluarga.
“Apa lagi yang kakak beritahu Rul?”
“Itu aje. Betul ke abang nak kakak kahwin lagi?”
Giliran Hasif pula angguk mengiakan persoalan
Hazrul.
“Tapi kenapa? Kenapa dalam waktu terdekat ni?”
“Abang serabut Rul. Dengan masalah orang tua tu
lagi, dengan masalah kakak kau lagi. Kepala abang ni dah
berserabut sangat dah rasanya.”
“Jadi, dengan kahwinkan kakak segala masalah akan
selesai? Macam tu?”
Hasif dan Hazrul saling berpandangan. Langsung
tiada kata yang terluah dari bibir masing-masing.
“Abang nak lepaskan tanggungjawab abang untuk
jaga kakak kepada orang lain ke?”
Hasif tetap diam, memilih untuk tidak menjawab
soalan adiknya itu.
Hazrul membuang pandang ke hadapan. “Kalau itu
alasan abang, Rul kecewa abang. Kecewa sangat. Kita sebagai
adik dan abang kepada kakak seharusnya melindungi dia.
Bukan mengahwinkan kakak bagi melepaskan tanggungjawab
kita.”
“Kau tak faham Rul.”
“Jadi cuba fahamkan Rul. Walaupun Rul seperti
tidak peduli tentang kakak, tapi Rul sayangkan kakak dan Rul
tak nak kakak kecewa lagi.”
“Kalau kau sayangkan kakak, kau akan peduli
tentang dia. Kau akan luangkan masa dengan dia dan kau
akan cuba bahagiakan dia. Bukan menjauhkan diri kau dari
dia macam ni. Kau ingat abang tak kecewa dengan perangai
kau yang seperti mementingkan diri sendiri tu?” bidas Hasif.
Geram juga bila hanya dirinya yang dipersalahkan.
Terus Hazrul terdiam. Ya, itulah silapnya. Silap
yang dibuat tanpa sedar. Bagi menenangkan fikirannya yang
kusut, dia jauhkan diri dia daripada semua penghuni di
dalam rumah itu termasuklah Hanim. Sedangkan kakaknya
itu bertimpa-timpa episod sedih yang terpaksa dia tempuhi.
Namun tegar benar dia membiarkan Hanim bersendirian
dalam menghadapi kelukaan hidup.

BADAN YANG tersedia lemah melorot jatuh ke lantai.
Dengan bersandar pada dinding di tepi tangga, air mata bisu
Hanim mula membanjiri kedua-dua belah pipinya. Soal jawab
di antara abang dan adiknya seketika tadi membuatkan dia
sedar tentang satu kenyataan. Kenyataan yang sangat perit
untuk ditelan namun harus juga dia terima dengan berlapang
dada. Dia tidak diperlukan di dalam keluarga ini lagi.
Sakit. Pedih. Kecewa.
Dengan kudrat yang ada, Hanim bangun dan
melangkah ke atas semula. Niat untuk duduk bersembang
dengan abang dan adiknya di ruang tamu dilempar jauh.
Lemah kaki melangkah namun dikuatkan hatinya untuk
kembali ke bilik dan berkurung di situ. Bilik itu dunianya.
Bilik yang kosong tanpa suara, kosong tanpa rasa cinta dan
kosong tanpa kasih dan sayang. Badan direbahkan ke atas
katil dan dia menyambung tangisnya di situ. Esakan halus
mula berubah menjadi tangisan yang tidak berpenghujung.
‘Ya Allah, kenapa begini nasib hidup aku? Hilang
kasih dan sayang keluarga. Hilang cinta sang suami.
Mengapakah begini takdir hidup aku, ya Allah?’ Hatinya mula
merintih yang tidak-tidak. Terus lupa tentang qadak dan
qadar Tuhan. Yang bermain dalam minda hanyalah tentang
malangnya hidup seorang Hanim.
Penat menangis akhirnya Hanim terlena dengan
mata yang basah. Tidur dalam membawa kesedihan
yang menggunung, Hanim mula meracau. Tangannya
terkapai-kapai cuba memaut batang tubuh yang semakin
menjauh. Semakin dia mendekat, semakin laju batang
tubuh itu menjauh. Hanim kembali menangis lagi. Nama
yang disebut kurang jelas, namun terasa tidak asing pada
pendengarannya. Semakin laju dia mendapatkan batang
tubuh itu apabila rasa kehilangan mula menjentik tangkai
hatinya. Tidak! Dia tidak mahu kehilangan lagi. Lengan
sempat dicapai dan dengan rakus dia membalikkan batang
tubuh itu agar berhadapan dengannya.
Hanim tersedar. Terasa sesak nafasnya saat mata
dicelikkan semula. Wajah itu... raut wajah pemilik batang
tubuh itu seperti pernah dilihat. Namun mindanya gagal
memproses siapa gerangan pemilik wajah yang penuh dengan
rasa cinta itu. Terkebil-kebil mata Hanim memandang siling.
Sedaya upaya dikerah ingatan namun tiada satu nama pun
yang melintas kotak fikirannya ketika ini.
Sedang Hanim leka mencari jawapan pada mimpinya
itu, dia dikejutkan dengan telefon yang berdering di sebelah
bantal. Sempat dia menjeling ke arah jam yang tergantung
di dinding. Baru pukul 11 malam. Dengan rasa malas dia
menjawab panggilan tersebut.
“Siapa yang pukul Khai?” Soalan pertama Maira
setelah Hanim menjawab salamnya.
“Kau call aku malam-malam macam ni sebab nak
tanya pasal dia aje ke?”
Tipulah kalau dia cakap dia tidak terasa dengan Maira.
Kawannya itu bukan nak tanya keadaan dia atau apa yang
telah terjadi siang tadi. Sudahlah dia masih bersedih dengan
apa yang didengarinya sewaktu di bawah tadi. Sekarang
rasa sedih semakin bertambah kerana ketidakprihatinan
sahabatnya itu. Apa yang malang sangat hidup dia ni. Rasa
sebak kembali lagi namun cuba ditahan.
“Khai dah ceritakan semuanya dekat suami aku
Hanim. Siapa lelaki tu? Kenapa dia nak sibuk tentang soal
hidup kau?” Jelas nada tidak puas hati pada suara Maira.
“Apa yang dah Khai ceritakan pada suami kau?”
Dengan malas Hanim menyoal. Hilang rasa sebak diganti
pula dengan rasa menyampah. Tidak syak lagi, mesti lelaki itu
sudah mereka cerita kepada suami Maira. Sebab itulah Maira
tidak puas hati sangat sekarang.
“Lelaki tu tiba-tiba datang pukul dia dan semuanya
Hanim. Dari awal sampai akhir. Dua kali dia kena tibai dengan
lelaki tu tanpa apa-apa sebab dan kau pula selamba aje ikut
lelaki tu, tinggalkan dia macam tu aje.”
Hanim menarik nafas dalam. Sah! Memang betul
lelaki tak guna itu sudah reka cerita yang bukan-bukan.
“Kuat betul imaginasi kawan suami kau tu. Aku
harap kalau kau nak kenalkan aku dengan seseorang, cari
lelaki yang berpijak pada bumi yang nyata Maira. Aku tak
suka orang yang banyak drama ni.”
“Apa maksud kau?”
“Kalau kau nak tahu, Khai tak sesuai jadi suami aku.
Sebab apa? Sebab dia langsung tak ada rasa hormat kepada
orang perempuan. Kalau baru kenal pun rasa hormat tu dah
tak ada, kau rasa apa lagi yang dia mampu buat lepas ni?”
“Kau cakap apa ni Hanim? Berbelit-belitlah. Cakap
terus terang aje boleh tak?”
Hanim pejam mata buat seketika. “Aku kecewa
dengan kau, Maira. Kau hubungi aku semata-mata untuk
tanya apa yang terjadi pada Khai sedangkan mangsa yang
sebenarnya adalah aku. Lelaki yang Khai ceritakan dekat
suami kau tu client aku. Yes, memang dia tumbuk Khai tapi
aku tak salahkan dia. Memang sepatutnya pun lelaki tak guna
macam Khai tu kena tumbuk dengan dia. Baru kenal, baru
jumpa, dah sibuk nak ambil kesempatan dekat aku. Dah sibuk
nak raba aku sana sini. Lelaki tak guna yang Khai cakapkan
tulah yang selamatkan maruah aku daripada dipijak oleh
Khai, kau tahu tak!”
“Hanim...”
“Kau dah kenal aku lama Maira. Sepatutnya kau
tanya aku dulu apa yang terjadi siang tadi, bukan terus
percaya dengan semua kata-kata Khai dan soal aku macam
Khai pula mangsa keadaan.” Potong Hanim.
“Hanim... aku minta maaf.”
“Kau tahu tak yang aku ni dah cukup tertekan
dengan hidup aku dan sekarang kau nak tambah lagi tekanan
pada hidup aku. Sampai hati kau kan...”
“I’m sorry Hanim...” Perlahan saja Maira bersuara.
Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.
Bukan dia tidak tahu keadaan Hanim macam mana. Bukan
dia tidak sedar Hanim seorang yang mudah terluka. Tetapi dia
tegar menambahkan luka pada hati sahabatnya itu.
“Sudahlah Maira, banyak sangat perkara yang terjadi
dalam hidup aku hari ni. I need a rest. Aku nak tidur.”
Kedengaran Maira mengeluh lemah. “Okey Hanim.
Selamat malam dan sekali lagi aku minta maaf dengan kau.”
“Aku maafkan. Assalamualaikum...” Malas mahu
memanjangkan perselisihan faham antara mereka, Hanim
terus memutuskan panggilan.
Badan direbahkan semula dan kepala kembali
berbaring selesa pada bantal. Mata dipejam celik. Lintasan
wajah di dalam mimpinya seketika tadi menjelma semula.
‘Siapa awak?’ soal Hanim dalam bisu dengan mata
yang terkebil-kebil memandang sekeliling.

No comments:

Post a Comment