DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 11 December 2017

Kunci Hati Hanim - Bab 10

HANIM berdiri tegak di hadapan kereta yang
masih berbungkus plastik di bahagian dalam. Segala urusan
jual beli kereta Izzat akhirnya selesai juga dan hari ini
merupakan hari penyerahan kunci kereta tersebut kepada
pemilik baru iaitu Izzat. Jam di pergelangan tangan dijeling.
10 minit menghampiri ke pukul 12 tengah hari namun
bayangan clientnya masih belum kelihatan.
Penat berdiri tegak, Hanim menyandarkan
badannya ke kereta baru Izzat. Hari ini perjumpaan mereka
di showroom kereta milik syarikat tempat dia bekerja saja.
Izzat yang akan datang ke tempatnya, jadi tidak perlulah
dia berkejar untuk tiba lebih awal daripada Izzat. Boleh saja
dia menunggu di ruang pejabat tetapi dia memilih untuk
menunggu di showroom terus.
Orang yang ditunggu akhirnya tiba juga. Kelihatan
Izzat turun dari kereta yang dipandu oleh seseorang dan
kemudiannya kereta itu berlalu pergi. Mata Hanim langsung
tidak lepas memandang ke arah lelaki yang sedang berjalan
masuk ke dalam showroom tersebut. Dengan langkah yang
tersusun dan penampilan yang kemas, kehadiran Izzat telah
mencuri perhatian para wanita yang turut berada di situ.
Semua yang memandang kelihatan kagum memandang
ke arah Izzat, namun tidak bagi Hanim. Hanya pandangan
kosong yang Hanim lemparkan.
“Hai... Am I late?” soal Izzat seraya mendekati
Hanim yang sudah kembali berdiri tegak. Rasanya dia keluar
awal dari ofisnya tadi. Jalan pun tak sesak mana, takkanlah
dia dah terlambat pula.
“Nope. Just in time.”
Izzat melirik ke arah Hanim dengan riak serius. “So,
this is my car?”
Hanim angguk. “It’s yours.” Kunci kereta diserahkan
kepada Izzat dan Hanim berundur ke belakang, memberi
ruang kepada Izzat untuk melihat keretanya.
Luar dan dalam diteliti dan Izzat sangat berpuas hati
dengan kereta barunya itu. Memang tidak salah dia memilih
model ini sebagai kereta keduanya. Yang dah ada sekarang ini
bolehlah dibawa ke site. Manakala yang baru untuk kegunaan
rasmi dan untuk dibawa berjalan saja. Nak bawa masuk site?
Memang taklah!
“Terima kasih Hanim.” Sudah terbiasa dengan nama
Hanim, terus dibuang panggilan cik di pangkal nama Hanim.
“Sama-sama. Terima kasih juga kepada Encik Izzat
kerana sudi berurusan dengan saya.” Hanim tunduk hormat
sebelum mula mengorak langkah untuk kembali ke ofisnya.
“Hanim...”
Hanim menoleh seraya mengangkat kening ke arah
Izzat. “Ya?”
Izzat bergerak mendekati Hanim. “Can we talk?”
bisiknya dengan mata yang menikam ke dalam mata Hanim.
Terkaku Hanim yang turut membalas pandangan
mata Izzat. Hatinya tiba-tiba bergetar apabila direnung
begitu. Pandangan mata Izzat menceritakan seribu satu
rahsia hatinya namun tiada satu pun yang Hanim faham.
Malah Hanim tidak cuba untuk faham.
“Tentang?”
Izzat memandang sekeliling. “Lets talk somewhere
else.”
Hanim turut melemparkan pandangannya ke
sekeliling ruang showroom tersebut. Memang bukan tempat
yang sesuai untuk bercakap selain daripada soal kerja dan
dia tahu yang Izzat ingin berbincang tentang hal peribadi
dengannya. Tetapi rasa berat sungguh hati untuk mengikut
Izzat ke tempat lain.
“Please Hanim... For once and this gonna be my
last.”
Akhirnya dengan rasa berat hati Hanim angguk
setuju. Walau hanya seketika, tetap juga Izzat merasa lega
dengan persetujuan Hanim itu. Hari ini dia nekad. Nekad
untuk mendapatkan persetujuan Hanim. Rasa serba salah
atau keliru yang selalu bermain dalam mindanya telah
dibuang jauh. Malam tadi lama dia berdiskusi dengan Arham
tentang rasa hati dan hajatnya itu. Segala baik dan buruk
tindakannya juga telah Arham jelaskan. Dan selepas dia
menghadap Ilahi pada waktu subuh tadi, hatinya bertambah
nekad untuk meluahkan segalanya kepada Hanim.
Kereta barunya itu dipandu laju membelah jalan
raya yang mulai sibuk. Sudah hampir ke waktu tengah hari,
semua yang bekerja mula keluar untuk mencari makanan
sebagai alas perut. Izzat yang fokus pada pemanduan serius
memandang jalan raya di hadapan. Hanim di sebelah seperti
biasa hanya diam membatu. Tiada sepatah kata pun yang
keluar dari mulutnya sejak mereka masuk ke dalam kereta.
Sambil memandu Izzat tenggelam di dalam dunianya
sendiri. Terngiang-ngiang suara Arham memberi nasihat dan
panduan kepadanya malam tadi. Bila dihubungi, dengan
senang hati Arham meluangkan masa untuk mendengar
keluh-kesah hatinya. Sungguhlah, Arham memang seorang
sahabat yang sejati.
“Apa yang kau nak buat ni Zat, ada baik dan buruknya.
Kau dah fikir habis ke?”
“Dah Arham. Lepas kejadian hari tu, hati aku
makin tekad nak jaga dia. Naluri aku untuk melindungi dia
bertambah kuat.”
Arham angguk faham. “Aku setuju tindakan kau
untuk menghalalkan hubungan kau dengan dia. Elok sangat
dah tu. Dalam Islam pun tidak digalakkan untuk lelaki dan
perempuan bersama dan bermesra tanpa sebarang ikatan.
Niat kau untuk melindungi dia itu satu sifat yang terpuji
Izzat. Jujur, aku bangga dengan kau. Cuma...”
“Cuma?”
“Seperti yang aku katakan tadi, apa yang bakal kau
lakukan ini ada baik dan buruknya. Aku risau kalau selepas
kau kahwin nanti segala niat dan hala tuju perkahwinan
kau mula terpesong. Kau pun tahu kan, antara perkara yang
syaitan tak suka adalah perkahwinan. Bila dah kahwin nanti
kalau tak banyak, sikit pasti ada permasalahan di antara
suami isteri yang akan timbul.”
“Kau risau kalau aku tak mampu nak uruskan
semua tu dengan baik? Kau risau kalau aku putus asa dengan
perkahwinan aku sendiri? Kau risau kalau aku menyesal
dengan perkahwinan aku nanti?”
Dengan separuh hati Arham mengangguk.
“Ustaz, kau ingat tak beberapa minggu sudah, kau
pernah ceramah dekat aku tentang tanggungjawab dan
amanah seorang suami?”
Arham angguk lagi.
“Yakin betul kau ceramahkan aku waktu tu.”
“Itu sebelum aku tahu yang kau nak kahwin dengan
dia tanpa cinta. Itu sebelum aku tahu kau nak kahwin
semata-mata kerana naluri melindungi kau tu Izzat.” Sedikit
keras suara Arham saat itu. Entah kenapa risau betul rasanya
apabila Izzat sekali lagi meluahkan niat untuk berkahwin.
Mungkin kerana dia terlalu memandang tinggi darjat
sesebuah perkahwinan walaupun perkahwinan itu tanpa rasa
cinta.
Bahu Arham ditepuk perlahan. “Aku masih ingat
segala pesanan kau ustaz. Ni...” Izzat menekan dada kiri.
“Semuanya masih kemas tersemat di sini. Aku harap sangat
ustaz... Aku harap sangat doa dari kau selain daripada doa aku
sendiri.” Ucap Izzat penuh pengharapan.
Lama Arham memandang wajah sahabatnya itu
sebelum kepalanya tertunduk memandang bumi yang dipijak.

DUDUK SALING berhadapan, namun dua pasang mata
itu tunak memandang gelas yang masih penuh dengan
minuman yang dipesan. Pintu hati mula diketuk dengan
pelbagai persoalan. Tetapi tiada satu pun yang terluah.
Serentak mereka mengangkat pandangan dan dua pasang
mata itu mula bertaut. Sepasang mata Hanim hanya kosong
memandang manakala sepasang mata Izzat pula sarat dengan
pelbagai rasa.
“Beri saya peluang Hanim.” Izzat memulakan bicara
terus pada niat utamanya.
“Peluang apa?”
“Peluang untuk jaga awak.”
Hanim mendengus perlahan seraya membuang
pandang ke luar restoran. Lagi-lagi itu yang Izzat mahukan.
Kalau ikutkan hati mahu saja dia berlalu pergi. Tetapi dia
juga yang bersetuju mengikut Izzat ke sini tadi. Nafas ditarik
dalam, cuba mencipta ayat yang sesuai untuk diluahkan
kepada Izzat.
“Macam mana saya nak beri awak peluang sedangkan
peluang itu tidak pernah wujud pun.”
“Hanim...”
Hanim menggeleng. “Saya tak faham. Kenapa mesti
saya? Dalam ramai-ramai perempuan di luar sana, kenapa
mesti saya Encik Izzat. Saya percaya, di luar sana lebih
ramai perempuan yang memerlukan perlindungan lebih
daripada yang saya perlu. Saya dengan awak, kita berdua tak
ada apa-apa hubungan pun Encik Izzat. Kenapa mesti Encik
Izzat buang masa mencari peluang untuk masuk ke dalam
hidup saya macam ni?” Tidak tahu bagaimana lagi harus dia
terangkan supaya Izzat faham. Lelaki ini sepertinya langsung
tidak mahu memahami apa yang dia katakan seketika tadi.
“We’re connected Hanim. Not physically but
emotionally.”
Hanim terdiam. Menunggu penjelasan daripada
Izzat.
“Dunia kita berbeza. Perjalanan hidup kita juga
berbeza. Tetapi satu yang sama, kesedihan.”
Jeda.
Izzat bersandar ke belakang. “Kesedihan dalam mata
awak, kesedihan dalam diri awak, saya nampak semua itu
Hanim.”
Hanim tersenyum sinis. “Baru sekali awak dengar
saya dituduh macam-macam, awak fikir awak sudah kenal
siapa saya?” Sekali lagi Hanim tersenyum sinis. “Jangan cuba
buat lawak Encik Izzat. Tak kelakar.”
Hatinya langsung tidak terusik dengan senyuman
sinis Hanim itu tadi. Malah hatinya lebih kuat mengatakan
yang Hanim berpura-pura kuat di hadapannya.
“Awak fikir saya tak tahu apa yang sedang awak
fikirkan? Awak fikir saya tidak tahu apa yang ada di dalam
hati awak?” balas Izzat tanpa teragak-agak.
Hanim terdiam. Tajam matanya membalas
pandangan mata Izzat saat itu.
“Nope, I’m not a psychic. Tapi mata awak
menceritakan segalanya Hanim. Perilaku awak... they speak
louder than you. Masih nak nafikan lagi?”
Hanim tunduk. Akhirnya kalah juga dia dengan Izzat
walaupun hujah lelaki itu langsung tidak kukuh. “Awak tak
faham Encik Izzat.”
“Jadi, cuba fahamkan saya.”
“My life is complicated. Very complicated. Saya tak
mahu merumitkan lagi hidup saya dengan berkahwin dengan
awak. Soal nikah kahwin ni berat Encik Izzat. Bukan boleh
dibuat main. Cukuplah sekali, saya tak nak pisang berbuah
dua kali.”
“Cukuplah sekali? Apa maksud awak?”
Wajah diangkat. Lama direnung wajah Izzat yang
meminta penjelasan itu. Kalau hanya ini caranya untuk
membuatkan Izzat berhenti berharap, dia akan berterus
terang tentang semuanya. Biar jelas mengapa dia berkeras
menolak lamaran lelaki itu.
“Saya pernah berkahwin. Lelaki yang Encik Izzat
nampak tempoh hari adalah bekas suami saya.”
Terhenyak di tempat duduk sendiri, bahu Izzat
mengendur jatuh. Matanya tidak lepas daripada memandang
wajah Hanim. Mencari kebenaran di sebalik kata-kata wanita
itu. Melihat riak Hanim yang serius dan sedikit pun tidak
mengalihkan pandangan daripada renungannya, tahulah
Izzat bahawa kata-kata wanita itu benar belaka. Dunia sekitar
bagaikan berpusing. Suara-suara di sekelilingnya juga hilang
daripada pendengaran. Buat seketika dia bagaikan hanyut di
dalam dunianya sendiri. Hanim pernah berkahwin, dalam
kata lainnya status Hanim sekarang adalah janda. Dia tidak
sangka wanita semuda ini memegang status janda.
“Terkejut?” Tiada niat untuk menyindir. Namun pada
pandangan matanya itulah apa yang Izzat rasakan sekarang.
Lelaki itu langsung tidak bersuara setelah mendengar
pengakuannya yang maha besar itu tadi.
“Hanim... saya...”
“Saya yakin, niat Encik Izzat untuk memperisterikan
saya sudah mula tersasar bukan?”
Angguk tidak, geleng pun tidak. Ternyata dia sedang
keliru sekarang. Namun apa yang pasti, berita ini sedikit
menggugat keputusan yang telah dibuat. “If you don’t mind,
may I know how and why?”
Hanim menelan air liur yang terasa kelat. “Macam
mana saya boleh berkahwin dan kenapa saya bercerai?” soal
Hanim menginginkan kepastian dan Izzat hanya mengangguk
sebagai jawapan.
Hanim tunduk bermain dengan jari sendiri. “Kita
baru kenal, itu pun atas dasar kerja. Tapi awak terus ajak
saya kahwin. Saya dengan dia dulu macam inilah. Kami baru
kenal tak sampai setahun dan bila dia ajak saya kahwin terus
saya setuju walaupun waktu tu kami hanya berkawan bukan
bercinta.”
Izzat hanya diam mendengar.
“Setelah kami berkahwin, layanan dia terhadap
saya tidak berubah. Tetap juga dia layan saya seperti seorang
kawan. Sama macam saya, saya layan dia seperti seorang
kawan bukan sebagai suami. Sama ada di hadapan keluarga
atau tidak, layanan kami tetap sama. Saya tahu, mentua saya
kurang senang dengan perhubungan kami yang sebegitu.
Tapi bagi saya asalkan kami selesa dengan keadaan macam
tu untuk apa kami berubah. Pendek akal juga saya waktu.”
Hanim tersenyum mengenangkan kebodohan sendiri.
“Hampir 3 bulan kami berkahwin, dia mula berubah.
Secara perlahan-lahan dia mula menjauhkan diri dari saya
dan karakter dia juga mula berubah. Kurang bercakap
dan apa yang saya katakan dia mengiakan aje. Two way
communication between us didn’t exist at all. Semua saya
yang uruskan sendiri. Segala keputusan saya buat sendiri. Dia
bagaikan patung di dalam rumah kami.”
Kemudian mata Hanim mula berkaca. “3 bulan
kemudian kami bercerai atas alasan kami tidak sehaluan lagi.
Dia terima penceraian kami dengan hati yang lapang tapi tidak
bagi saya sebab waktu tu saya dah mula sayangkan dia sebagai
suami. Tapi semuanya sudah terlambat, jodoh kami memang
hanya setakat itu saja.” Hanim menghela nafas lega setelah
dia menyudahkan ceritanya. Mata dipejam, cuba diusir cecair
jernih yang mula terbit dan menuruni pipi mulusnya itu.
Dalam diam Izzat membuat kesimpulan. Cinta yang
tidak kesampaian adalah punca kepada duka yang terlahir
dari sinar mata yang bundar itu. Hanim kecundang dalam
kisah cintanya. Hanim kecewa dalam kisah rumah tangganya.
Hanim menderita dalam kisah penceraiannya. Dan yang pasti,
Hanim masih terluka.
“Kegagalan dalam perkahwinan yang terdahulu
membuatkan saya takut untuk berkahwin lagi. Saya memang
tidak ditakdirkan untuk menjadi seorang isteri, Encik Izzat.
Ilmu rumah tangga saya sangat cetek dan saya tidak yakin
yang saya mampu menggalas tanggungjawab sebagai seorang
isteri dengan baik. Saya juga tidak yakin yang saya mampu
memberi sepenuh komitmen pada rumah tangga saya.”
Matanya yang bersinar duka mula membalas renungan mata
Izzat.
“Perkahwinan kami gagal berpunca daripada kami
sendiri. Membuat keputusan untuk berkahwin dengan
orang yang saya kenal dalam waktu yang singkat adalah satu
kesilapan yang tak akan pernah saya lupa sampai bila-bila.
Untuk melalui kegagalan yang sama, saya tidak mampu Encik
Izzat. Saya tak mampu...” Lemah Hanim menggeleng dan air
mata yang ditahan akhirnya tumpah juga.
“Hanim...”
“Saya harap Encik Izzat faham kenapa saya berkeras
menolak encik dalam hidup saya.” Potong Hanim sebelum dia
bangun dan berlalu meninggalkan Izzat yang hanya terdiam
di tempat duduknya.
Izzat menutup wajahnya dengan kedua-dua belah
tangan. ‘Itulah wanita yang kau cuba bantu Izzat, itulah
wanita yang kau mahu lindungi. Dia pernah terluka dan
masih terluka. Mampukah kau mengubah hidupnya yang
kelam menjadi ceria? Sanggupkah kau berkahwin dengan
seorang janda?’


*** AKAN BERADA DIPASARAN UNTUK KELUARAN DISEMBER 2017*** 

No comments:

Post a Comment