“DINA, biarlah dulu kerusi-kerusi tu. Kejap
lagi kita kemas sama-sama dewan ni. Marilah bergambar dulu
dengan peserta-peserta.” Husna memanggil.
“Tak apa. Kau layanlah diaorang dulu. Kejap lagi aku
datang.” Dina menolak pelawaan Husna.
Semasa orang lain sibuk bergambar kenangan
dengan para peserta, Dina menyibukkan diri mengemas
dewan. Cepat berkemas, cepat dia boleh balik. Beg pakaian
sudah dimasukkan siap-siap ke dalam kereta Izan.
“Amboi! Cepatnya buat laporan. Macam tak boleh
tunggu esok,” usik Yati bila melihat Dina tekun menaip
laporan aktiviti yang berlangsung selama dua hari itu. Mereka
masih menunggu bas para peserta berlepas pulang.
“Sementara tengah rajin ni baik aku buat. Kau
macam tak kenal bos kita tu. Nanti mesti dia mengacau
aku kat office. Bila masanya nak siap laporan ni kalau asyik
keluar aje dengan dia?” Sambil mengomel tangan Dina laju
menekan papan kekunci komputer ribanya.
“Esok ajelah kita buat post-mortem. Aku ada hal
sikit,” kata Izan.
Terhenti Dina menaip. Hatinya bersorak riang.
Cerahlah peluangnya untuk pecut pulang ke kampung
sekejap hari ini.
“Kita pergi makan dulu nak?” Husna mempelawa.
Memang mereka semua belum makan tengah
hari. Tapi di saat itu Dina berharap sangat-sangat agar Izan
menolak pelawaan Husna. Cepat Izan hantar dia pulang ke
rumah sewa, lebih awal dia akan tiba di kampung nanti.
“Kau pergi dengan Yati ajelah. Aku dah lambat ni.
Nanti serahkan kunci chalet pada Azmi.” Izan meletakkan
kunci biliknya di atas meja. Dia pandang Dina sekejap
sebelum menyeluk kunci kereta di dalam poket seluar.
“Pergi panaskan enjin kejap. Aku nak pergi buang
air,” arahnya sebelum membaling kunci kenderaan pacuan
empat rodanya kepada Dina.
“Dina. Kau jadi ke balik kampung?” tanya Yati.
“Insya-Allah jadi. Eh, siapa cakap dengan kau, aku
nak balik kampung?” Seingat Dina, dia tak beritahu sesiapa
pun tentang programnya selepas ini.
“Abang Izan cakap tadi. Sebab itulah dia tunda
post-mortem kita.” Yati menyambung lagi.
Sekali lagi Dina tergamam. Dari mana pula Izan
tahu? Dina yang ingin bertanya lagi terbantut bila ternampak
kelibat Izan dari jauh, kelam-kabut dia bersalam dengan
Husna dan Yati.
“Bawa kereta elok-elok Dina. Jalan licin lepas hujan
ni,” pesan Husna.
“Bawa baliklah apa-apa yang patut dari kampung,”
teriak Yati pula.
Dina mengangkat tangan tanda faham sambil
berkejar ke tempat letak kereta. Dia perlu ambil hati Izan.
Kalau boleh dia nak ambil cuti kecemasan esok. Alang-alang
dah balik kampung. Macam tak seronok pula kalau tak
bermalam di rumah mak nanti.
“Mana Abang Izan tahu saya nak balik kampung hari
ini?” Dina terus menyoal sebaik sahaja Izan menutup pintu
kenderaan pacuan empat roda. Belum sempat dia mendengar
balasan lelaki itu, tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Terus
dia tersenyum lebar.
“Dina, kamu jadi balik tak?” tanya Pak Rahim.
“Insya-Allah jadi. Suruh mak masak sedap-sedap
tau.” Dina bersuara riang. Hilang penat membayangkan
lauk-pauk yang enak bakal tersaji di depan mata.
“Dina, kamu tahu kan Kak Fida pun ada nanti?”
“Tahu. Dia kata nak kenalkan Dina dengan seseorang.
Bakal abang iparlah tu, kan?”
Tak ada balasan dari abah. Dina mula tak sedap
hati. Tak pernah pula abahnya jadi macam ni. Kenapa tak
kedengaran langsung suara ceria abah kali ini? Adakah
sesuatu yang buruk telah berlaku pada Fida?
“Dina. Kami dah tengok gambar bakal suami Fida.
Kalau tak ada apa-apa hal, malam ni dia akan datang ke
rumah. Tapi...”
“Tapi apa abah?” Dina tak sedap hati. Dia pandang
Izan sebentar kemudian melihat jam di tangan. Rasa macam
lambat sangat dia nak memulakan perjalanan pulang ke
kampung.
“Kalau kamu tak dapat balik pun tak apa Dina...” ujar
Pak Rahim perlahan.
“Eh, kenapa pula ni?” Suara Dina ternaik satu oktaf.
Pak Rahim diam lagi.
Berkali-kali Dina memanggil tapi masih tiada
sahutan dari abahnya. Sudahnya talian termati sendiri.
“Kenapa diaorang ni?” Dina mengomel sendiri. Mata
merenung jalan raya tapi fikirannya jauh memikirkan keadaan
abah dan maknya di rumah. Apa yang terjadi sebenarnya?
“Ada masalah ke?” tanya Izan, namun pertanyaannya
langsung tidak diendahkan gadis itu.
Seketika kemudian Dina mendail nombor Fida.
Rasa-rasanya mungkin Fida mampu merungkai semua
persoalan yang memenuhi benaknya.
“Kak Fida, jadi ke akak bawa bakal abang ipar Dina
malam ni?” Dina cuba memancing Fida. Tak boleh terus pada
tujuan utama. Takut Fida syak yang bukan-bukan pula nanti.
“Kalau kau balik, insya-Allah dapatlah kau berkenalan
dengan bakal abang ipar kau tu.” Fida menjawab laju.
Dari nada suara Fida itu Dina tahu yang kakaknya
sedang bahagia.
“Okey, Dina akan balik. Tapi dengan satu syarat. Dina
nak tengok dulu gambar lelaki malang tu.” Dina mengekek
ketawa. Harap-harap usikannya menjadi.
“Weh! Cakap ada baik sikit tau. Kau tu yang malang
sebab tak kenal dia. Tunggu kejap. Nanti Kak Fida WhatsApp
gambar dia. Balik tau.” Fida mengingatkan sekali lagi.
“Tak tunjuk gambar, Dina tak nak balik. Bye.”
Meleret suara Dina menamatkan perbualan.
Tak lama selepas itu isyarat mesej masuk di
WhatsApp berbunyi. Tepat mata Dina melihat skrin. Di saat
gambar yang dikirim oleh Fida semakin jelas, ketika itulah
Dina rasa jantungnya bagai direnggut keluar.
“Ya Allah! Kebetulan apakah ini?” Barulah Dina
faham kenapa suara abahnya kedengaran pelik tadi. Spontan
dia mengetuk-ngetuk dahinya dengan telefon bimbit yang
masih terpegang di tangan.
“Kau okey tak ni?” soal Izan. Dari tadi soalannya
tidak berjawab.
Dina menoleh. Tiada jawapan yang keluar dari
mulutnya. Matanya juga tidak berkelip merenung Izan.
Semakin lama matanya yang merah semakin penuh dengan
takungan air mata.
Izan jongket kening. Hairan melihat Dina.
“Kenapa?”
“Temankan saya balik kampung. Boleh tak Abang
Izan?” Bergetar suara Dina. Pipinya sudah basah dengan air
mata. Kalau Izan tak mahu, dia takkan balik. Dia tak kuat
untuk berhadapan dengan Fida sorang-sorang.
“Okey.” Tanpa banyak soal Izan terus bersetuju. Pasti
ada sebab mengapa tiba-tiba gadis itu berubah murung dan
memerlukan pertolongannya.
Dina tersandar lemah tatkala mendengar jawapan
Izan. Sudah sampai masanya dia berhadapan dengan Nazri.
‘Maaf Abang Izan. Tak pasal-pasal kau terheret sekali
dalam konflik ini.’
“AMBOI! DINA lagi laju daripada Fidalah mak. Ingatkan
dia balik sorang-sorang. Rupa-rupanya ada bodyguard ikut
sekali.”
Dina tersenyum kelat mendengar usikan Fida.
Dibiarkan sahaja Izan berbual-bual dengan abah di luar. Ada
hal lain yang lebih penting perlu dia selesaikan sekarang.
“Jangan fikir yang bukan-bukan tau. Itu bos Dina.
Kebetulan kereta Dina rosak pagi tadi. Tumpang kereta dia
masa buat kerja kat Tiram Indah. Kalau Kak Fida tak gesa Dina
balik, dia tak ada kat sini.” Lancar mulut Dina berbohong.
“Alololo... janganlah marah. Tak kisahlah dia tu bos
atau cik abang sayang. Yang penting kau dah ada kat sini. Eh,
cepatlah mandi. Bakal abang ipar kau dah nak sampai.” Fida
menepuk-nepuk pipi Dina. Bukan main ceria lagi wajahnya
nak memperkenalkan bakal suaminya pada semua orang.
Cikgu Faridah menarik Dina masuk ke bilik sejurus
saja Fida meninggalkan mereka berdua di dapur.
Dina terus memeluk tubuh maknya erat. Air mata
yang puas ditahan sepanjang perjalanan tadi mencurah-curah
turun membasahi pipi. Begitu lama dia membawa diri untuk
mengubat hatinya yang berkecai, kini Nazri muncul lagi.
“Macam mana boleh jadi macam ni mak? Nazri tu
memang sengaja nak huru-harakan hidup Dina, kan?” Dina
bersuara lirih.
Apa salah Dina? Bukan dia yang meleraikan ikatan
percintaan yang dipupuk bersama Nazri dulu. Lelaki itu
sendiri yang berubah pendirian. Hanya kerana tidak sanggup
menunggu Dina menghabiskan pengajian, Nazri pergi begitu
saja. Alasannya sangat mudah. Tidak percaya dengan kesetiaan
Dina bila berjauhan nanti. Sekarang siapa yang tidak setia?
Begitu mudah Nazri mencari pengganti sedangkan Dina
masih berusaha menampal hatinya yang masih berkecai.
“Mak rasa Kak Fida tak tahu hal kamu dengan Nazri
dulu. Dia kan jarang balik ke sini. Kamu pernah cerita pasal
Nazri tak pada Kak Fida?” tanya Cikgu Faridah.
“Tak pernah. Mak pun tahu Dina tak berapa rapat
dengan Kak Fida. Kalau dah jadi macam ni, mesti hubungan
kami akan bertambah renggang.” Dina teresak-esak.
Kemesraan mereka berdua baru saja bermula. Itu pun sejak
beberapa bulan kebelakangan ini. Dina tak mahu hubungan
adik-beradik yang baru saja mengharum ini berantakan
kembali hanya kerana gara-gara seorang lelaki.
“Mak, jangan beritahu Kak Fida pasal ni. Tolong mak.
Kak Fida baru nak rapat dengan Dina. Dina tak ada kakak
lain. Dina cuma ada Kak Fida aje mak...” Pelukan terlerai.
Dina memegang kedua-dua tangan mak sambil merayu. Apa
jadi sekalipun dia tak mahu Fida tahu Nazri pernah bertakhta
di hatinya sebelum ini.
“Yalah. Mak janji. Tapi sampai bila? Lambat-laun
rahsia ni akan terbongkar juga. Nazri tu kan satu kampung
dengan kita. Anak kawan baik mak pula tu. Mustahillah orang
kampung tak berbunyi nanti.” Cikgu Faridah menyuarakan
kebimbangannya.
Makin laju air mata yang membasahi pipi Dina. Dia
tiada jawapan buat masa ini. Segala-galanya berlaku secara
mengejut. Kenapalah perlu wujud manusia bernama Nazri
ini?
“Dina! Dah siap ke belum?” Pintu bilik diketuk
berkali-kali.
Kelam-kabut Dina mengeringkan pipi. Tuala yang
tergantung di belakang pintu diambil dan terus masuk ke
bilik mandi.
“Mak keluar dulu ya. Dah siap nanti Dina keluar.”
“Dina...”
Tak jadi Dina menutup pintu bilik mandi. Pandangan
sayu mak, Dina balas dengan senyuman.
“Jangan risau mak. Tahulah Dina nak buat macam
mana nanti.” Dina menabur janji. Entah apa yang akan
dilakukan, dia sendiri pun belum pasti.
“BERCINTA KAT KL. Alih-alih dapat orang sini juga?” Agak
sinis pertanyaan Dina.
“Kak Fida pun tak tahu yang dia orang kampung ni.
Selama ni Kak Fida ingatkan Nazri tu orang KL.”
“Habis tu, macam mana boleh kantoi?” soal Dina
lagi. Konon-konon nak tahu lebih lanjut mengenai latar
belakang bakal abang ipar. Walhal mengorek rahsia sejarah
perkenalan Nazri dan Fida.
“Errr... selama ni dia tak tahu pun yang Kak Fida ni
cuma anak angkat. Tapi bila dia kata nak masuk meminang,
Ayah Man suruh kenalkan dengan keluarga kandung.”
“Oh, maknanya kalau Ayah Man tak suruh, memang
sampai sudahlah kami tak tahu pasal dia. Hmmm... lupa ke?
Wali Kak Fida yang sah Ayah Man ke, abah?”
Fida senyum sumbing. Panas juga telinga disindir
Dina. Bukan mahu berahsia. Tapi dia lebih selesa dengan
keluarga angkat daripada keluarga sendiri.
“So, macam mana reaksi dia?” Dina menyambung
perbualan.
“Terperanjat juga mula-mula tu. Tapi dia tak marah.
Cuma dia ada cakap...”
“Cakap apa?” Laju Dina memintas. Jantungnya mula
berdegup laju. Janganlah Nazri buka semula kisah lama
mereka. Haru dia mahu beri penjelasan pada Fida nanti.
“Dia cakap dia kenal mak dan abah. Mak tu bekas
cikgu sekolah dia.”
“Oh...” Dina hembus nafas lega. Tak berani nak
bertanya lanjut. Bimbang Fida mengesyaki sesuatu pula
nanti.
Fida tinggalkan Dina di dapur. Sudah beberapa kali
dia masuk ke bilik untuk menatap wajah sendiri. Pantang
berpeluh sedikit, berlarilah Fida ke dalam bilik untuk
membetulkan mekap.
“Nazri dah sampai,” ujar Izan.
Dina menoleh. Tak perasan pula sudah berapa lama
Izan berada di situ. Dia hanya mengangguk. Dipandangnya
potongan kek pisang yang tersusun cantik di dalam pinggan.
Nafas ditarik dalam-dalam untuk meredakan hati yang sedang
kacau.
“Jadi semua ni ada kaitan dengan Nazri ke?” tanya
Izan perlahan.
“Cerita lama Abang Izan. Saya dah tak suka pun kat
dia.” Dina belum sempat bercerita apa-apa kepada Izan. Tentu
sebagai seorang lelaki, Izan sudah boleh mengagak.
“Kalau dah tak suka, buat apa menyorok kat dapur
ni?”
“Bila masa pula saya menyorok? Tak eloklah kalau
saya duduk kat depan.”
“Eleh! Dia bukannya masuk meminang kau. Tak
salah kut kalau duduk sekali kat situ. Berkenal-kenalan
dengan bakal abang ipar.” Izan sengaja menekan suara pada
sebutan abang ipar.
Dina menjeling. Ikutkan hati mahu saja
diramas-ramas mulut lelaki itu. Bercakap tak fikir perasaan
orang lain. Menyampah!
Izan ketawa perlahan. Tahu Dina panas hati dengan
sindirannya. Disenggolnya lengan Dina supaya beralih sedikit
dari singki. Ingin mencuci tangan. Lambat-lambat saja dia
menyabun lengannya yang berbulu lebat. Saja nak tengok
reaksi Dina yang masih marah.
“Bersihnya muka. Bila ‘menebas’?” Baru Dina
perasan yang wajah lelaki itu bersih daripada misai dan
jambang. Nampaknya dia dah buat persiapan untuk watak
teman lelaki tanpa upahan.
“Kau ni memang banyak berfikir, kan? Misai dan
jambang ni dah tak ada dari siang tadi tau. Malam ni baru
kau nak tanya?” Spontan hujung telunjuk Izan menunjal dahi
Dina.
Sumpah! Memang Dina tak perasan. Agaknya
betullah kata Izan yang dia memang terlampau banyak
berfikir.
“Abang Izan. Kita balik malam ni ya.” Suara Dina
kembali lemah. Memang dia berharap sangat agar dapat
pulang semula ke Johor dengan segera. Tak sanggup matanya
melihat kemesraan Fida dan Nazri. Dan yang paling dia takut
kalau-kalau mulutnya terlepas cakap nanti.
“Abah kau dah pelawa tidur sini. Lagipun tak elok
bawa anak dara orang jalan jauh malam-malam buta ni.
Kiri kanan hutan. Sejuk pula tu.” Izan menceceh sambil
menyabun tangan. Sampai ke siku buih sabun disapunya.
“Ala... balik malam inilah. Saya boleh drive kalau
Abang Izan mengantuk nanti. Lagipun esok kita kerja, kan?”
Dina cuba memujuk.
“Siapa bos sekarang ni?” tanya Izan. Tajam kerlingan
matanya pada Dina.
“Abang Izanlah...” Dina menjawab. Antara dengar
dengan tidak sahaja suaranya.
“Yang kau tumpang tu kereta siapa?”
“Abang Izan.”
“Aku ni kalau dah tidur memang tak ingat apa-apa
dah. Kau sanggup ke tahan kalau kaki dan tangan aku
terlanding atas paha masa kau tengah drive nanti?”
Buntang mata Dina. Hanya dengusan kasar yang
mampu dihelanya.
“Kalau dah menumpang tu buat cara menumpang.
Balik esok! Ambil pinggan tu cepat. Aku temankan kau keluar
jumpa bakal abang ipar.” Izan keringkan tangan dengan kain
lap yang tersangkut di tepi singki.
Ketika Dina dan Izan beriringan keluar, Fida pun
turut keluar dari bilik. Lebar senyumnya melihat mereka
berdua.
“Izan. Apa kata kalau kau pun hantar rombongan
meminang lepas ni? Boleh kami naik pelamin sama-sama
nanti. Nak tak Dina?”
Izan ketawa kuat. Dina kemam bibir. Lebih-lebih
pula kakaknya ini.
“Kalau saya nak, tak payah tunang-tunang dah.
Nikah aje terus. Betul tak sayang?”
“Hah? Tunang?”
Melihatkan pinggan yang berada di tangan Dina
nyaris terlepas, pantas Izan menahannya. Diambilnya
pinggan itu dan berjalan keluar bersama Fida meninggalkan
Dina yang masih terpempan di dapur.
Dina pegang dada sendiri. Kenapa ada rasa yang agak
aneh bila Izan panggil sayang tadi?
NAZRI MEMANDANG semua orang yang sedang leka
menikmati makan malam. Matanya terhenti pada Dina.
Sudah agak lama dia tidak melihat gadis itu. Dina masih
seperti dulu. Tidak banyak yang berubah melainkan rupa
parasnya yang semakin cantik dan nampak matang.
Semenjak dia tahu yang Dina bakal menjadi
adik iparnya, dia tidak dapat tidur lena. Kalaulah dapat
diputarkan masa, tak ingin dia berkawan dengan Fida. Tapi
perancangan Tuhan pasti ada sebabnya. Walaupun gerun
untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal
berlaku, Nazri tiada pilihan. Hati sudah terlajak sayang pada
Fida. Kalau dia memutuskan hubungannya dengan gadis itu,
pasti keadaan akan lebih teruk. Nak tak nak, harungi sajalah.
“Abang nak nasi lagi?” tanya Fida.
Nazri tersentak.
“Cukuplah ni. Dah banyak nasi yang Fida letak
tadi.” Nazri menolak sebelum menyambung suapannya.
Kunyahannya agak perlahan kerana matanya masih mahu
melihat Dina.
Gadis itu terlalu tenang. Melihat pada gaya Dina
melayan Izan, Nazri tahu gadis itu sudah tidak menyimpan
apa-apa rasa lagi padanya. Tapi kenapa dia pula yang sakit
mata melihat kemesraan Dina dan Izan? Adakah sayangnya
pada Dina masih bersisa?
“Fida tolong tukarkan air basuh tangan dalam bekas
ni,” arah Cikgu Faridah. Sengaja dia menyuruh Fida kerana
ada sesuatu yang ingin dia perkatakan pada Nazri. “Nanti
tolong potong sekali buah tembikai tu ya.”
“Biar Dina tolong.”
“Eh, tak apa. Biar Kak Fida buat. Kau temankan Izan
makan.” Laju Fida bangun. Bekas air basuh tangan di depan
abahnya diambil.
“Abang makan tau. Jangan malu-malu. Buat macam
rumah sendiri,” pesan Fida pada Nazri sebelum meninggalkan
meja makan.
Nazri senyum kelat. Tiba-tiba dia panas punggung.
Macam dah tahu apa yang bakal keluar dari mulut Pak Rahim
dan Cikgu Faridah.
“Apa rancangan kamu sebenarnya Nazri?” Soalan
pertama keluar dari mulut Cikgu Faridah. Sebaik mungkin
dia cuba mengawal nada suaranya. Sambil-sambil itu mata
mengawasi lorong ke dapur. Takut kalau-kalau Fida tiba-tiba
muncul.
“Mak cik. Demi Allah saya tak tahu Fida tu anak mak
cik. Dulu masa berkawan dengan Dina pun dia tak pernah
beritahu yang dia ada kakak.”
Dina ketap bibir. Betul kata Nazri. Mungkin silap
dia juga. Entah kenapa dia langsung tak tergerak hati untuk
bercerita tentang Fida ketika bercinta dengan lelaki itu dulu.
Mungkin kerana hubungan mereka yang renggang ketika itu
membuatkan dia ambil mudah.
“Habis tu sekarang ni macam mana?” Pak Rahim
pula bertanya.
Nazri pandang Pak Rahim dan Cikgu Faridah.
Kemudian perlahan-lahan matanya tersorot pada Dina. Izan
yang tunduk menghadap pinggan pun ditenungnya. Ada
sekelumit rasa cemburu tatkala melihat wajah tenang Izan.
“Saya datang dengan cara baik. Saya memang nak
jadikan Fida isteri saya. Tapi kalau mak cik dan pak cik fikir
saya ada niat lain, terpulanglah. Saya akan beritahu Fida
perkara sebenarnya nanti.”
“Jangan!” Dina pantas bangun. Dia menoleh ke
arah dapur sekejap sebelum duduk semula. Matanya tepat
memandang Nazri yang tergamam. “Kak Fida tak perlu tahu
sejarah lama kita. Tolong janji dengan Dina. Jaga Kak Fida
macam abang jaga nyawa abang sendiri. Kami baru aje nak
rapat. Jangan pisahkan kami dengan cara begini.”
Nazri teguk air liur yang terasa kesat. Ketenangan
Dina menuturkan kata buat dia yakin hati gadis itu
sudah terisi. Sebab itulah Dina nampak tak kisah dengan
kehadirannya.
“Betul kata Dina. Pak cik tak mahu pisang berbuah
dua kali. Cukuplah apa yang kamu buat pada Dina dulu. Dah
lama sangat dia bawa diri.”
“Mujur jumpa saya, kan pak cik?” Izan yang senyap
dari tadi tiba-tiba menyampuk.
Pak Rahim hanya ketawa kuat. Dina pula terus
menyepak kaki Izan di bawah meja. Tapi lelaki itu buat
bodoh saja. Perbincangan tengah serius, boleh pula lelaki itu
menyampuk dengan ayat begitu.
Izan menoleh kepada Dina dan kenyit mata. Spontan
Cikgu Faridah melepuk tangan Dina. Seronok melihat
tingkah lelaki itu.
Nazri hanya mampu mengemam bibir. Rasa
terpinggir. Makin cemburu apabila Izan lebih mendapat
perhatian daripada dirinya.
“Amboi! Meriahnya ketawa. Apa yang kelakar sangat
ni?” Fida muncul semula dengan sepinggan tembikai dan
bekas air basuh tangan.
“Abah tengah bincang dengan Nazri. Majlis korang
berdua nanti, kalau nak buat kat rumah Ayah Man pun okey
juga. Buat kat KL. Kawan-kawan Fida kan ramai kat sana.
Meriah sikit.” Sehabis daya Pak Rahim mengubah topik.
“Tak naklah buat kat KL. Ayah Man bukannya sihat
sangat. Fida nak buat majlis kat sini. Senang sikit keluarga
abang nak datang. Betul tak?” Fida pandang Nazri bersama
senyum manja.
“Errr... betul juga tu pak cik. Lagipun kat sana
keluarga angkat Fida. Yang kat sini keluarga kandung. Lebih
elok buat kat sini.” Nazri meneguk habis air di dalam gelas.
Dalam kepalanya sudah terbayangkan seseorang.
Bagaimanakah reaksi ibunya apabila mengetahui hal ini nanti?
Dulu, berbulan-bulan ibunya merajuk apabila dikhabarkan
hubungannya terkandas dengan Dina. Kalau diberitahu Fida
tu kakak Dina, adakah ibu akan merestui hubungan mereka?
“DAH BERAPA lama kawan dengan Dina?” Sementara Fida
dan Dina sibuk mengemas meja makan, Nazri menggunakan
kesempatan yang ada untuk mengorek rahsia sebanyak
mungkin mengenai Dina. Pak Rahim pula sibuk membantu
Cikgu Faridah menyiapkan tempat tidur Izan.
“3 tahun.” Spontan jawapan bohong itu keluar dari
mulut Izan.
Terjongket kening Nazri mendengar jawapan Izan.
Ini bermakna sangat cepat Dina mencari penggantinya. Dia
sendiri baru setahun berkawan dengan Fida. Beberapa bulan
ini sahaja hubungan mereka bertukar serius.
“Dia pernah cerita tentang aku tak?”
“Masa mula-mula kenal dia dulu, dia ada cerita yang
dia baru frust dengan lelaki tak guna. Lelaki tu minta putus
tanpa sebab. Tapi tak sangka pula kau orangnya,” ujar Izan
mereka cerita. Namun bila melihat Nazri terdiam, dia pasti
temberangnya mengena.
Nazri memang lelaki tak guna. Lelaki yang hanya
mementingkan ego sendiri. Alasan yang digunakan untuk
memutuskan hubungannya dengan Dina langsung tidak
masuk dek akal. Hanya kerana dia tidak sanggup menunggu
Dina menghabiskan pengajian. Kesetiaan gadis itu juga turut
diragukan. Ternyata dia telah melakukan silap besar. Kini dia
hanya mampu gigit jari apabila melihat Dina langsung tak
terkesan dengan perpisahan ini. Malah dengan bangganya
menayangkan Izan di depan Nazri.
“Tolong jaga dia baik-baik,” ucap Nazri perlahan.
“Kau tu yang kena jaga hati sendiri baik-baik. Dulu
adik, sekarang kakak. Kalau kau buat perangai kali ni gerenti
bapak diaorang akan tembak kau dengan senapang gajah.”
Nazri ketawa kecil. Tersiat hatinya disindir Izan.
Pedas sungguh kata-kata lelaki itu. Dalam diam Nazri dapat
rasakan Izan mampu menjaga Dina lebih baik dari dirinya.
“Bertuah kau dapat Dina. Aku harap hubungan
korang akan sampai ke jenjang pelamin.” Nazri menepuk
bahu Izan. Tak sanggup nak berbual lama dengan lelaki itu.
Takut makin nipis cuping telinganya kena sindir.
“Sampai ke tidak itu urusan Tuhan. Lepas ni balik
rumah buat solat hajat. Minta Tuhan tutup pintu hati kau
untuk perempuan lain. Cabaran lepas ni lebih besar sebab kau
kena jaga banyak hati yang kau dah lukakan. Terutama sekali
Dina,” ujar Izan lantas meninggalkan Nazri sendirian.
Nazri hanya mengangguk faham.
“Mak cik, boleh pinjam tuala? Saya nak mandi.
Badan dah melekit-lekit,” pinta Izan. Niat awal nak mencari
Dina. Tapi, terserempak pula dengan Cikgu Faridah di ruang
tengah. Dilihat tempat tidurnya sudah terhampar kemas di
situ.
“Izan tak mandi lagi ke sejak tadi?”
“Mana sempat. Sampai-sampai aje terus borak
dengan pak cik. Lepas tu bakal menantu mak cik pula
sampai...” Izan hanya tersengih lebar.
“Hmmm... tak tahulah mak cik, Nazri tu bakal
menantu ke bakal hantu.” Ujar Cikgu Faridah selamba
sebelum mengeluh perlahan.
“Tak baik cakap macam tu mak cik. Kalau dia hantu,
kering darah anak mak cik dia sedut nanti.”
Hilang wajah sugul Cikgu Faridah dengan jenaka
Izan. Mengekek dia ketawa. Dia mula menyenangi lelaki itu.
Tanpa sedar Dina sedang menelinga perbualan
mereka berdua. Hatinya mula resah. Satu masalah lagi akan
timbul kalau mak sudah berkenan dengan Izan. Izan tu pun
satu. Kenapa berlebih-lebihan sangat?
No comments:
Post a Comment