DINA paling benci menunggu. Sebab itulah dia
malas nak pergi temu duga. Resume sudah diberi seminggu
lebih awal. Kenapa sekarang baru nak baca? Kalau bukan
sebab dia minat dengan kerja ini memang dah lama dia keluar.
Terkurung lama-lama dalam bilik itu buat dia rasa tak selesa.
“Kenapa tak cari kerja di tempat sendiri?”
“Saya belajar di sini. Rasa-rasanya tak salah kalau saya
cari rezeki di sini. Baru ada rasa suasana balik kampung bila
raya nanti,” ujar Dina sambil mengukir senyuman. Namun,
senyumannya terus pudar bila tiada respons yang diberi
oleh si penemu duga. Lelaki yang tak tahu nak dipanggil apa
itu masih menyelak helaian resumenya. Entah apalah yang
dibacanya sampaikan macam nak tercantum bulu kening kiri
dan kanan.
Gambar yang terkepil di sudut kiri borang ditatap
lama. ‘Cantik’. Detik hati lelakinya sebelum borang
permohonan kerja itu diletakkan di atas meja. Dia berpeluk
tubuh. Tak berkerlip merenung Dina. “Dah ada teman lelaki?”
“Soalan tu memang ada dalam sesi temu duga ke?”
Dina senyum sinis. Tak gentar dengan suara tegas lelaki itu.
Bukan niatnya nak menyindir, tapi rasanya dia tak perlu
menjawab soalan yang tak ada kena-mengena dengan bidang
kerja yang dipohon.
“Kalau kat tempat lain memang tak ada soalan tu.
Tapi di sini, memang aku tanya. Bukan nak menggatal tapi
aku tak nak nanti bila dah mula bekerja mulalah buat hal.
Datang lambat sebab malam-malam keluar datinglah. Tak
boleh fokus sebab boyfriend merajuklah. Aku tak suka ada
pekerja macam tu.”
Dina terangguk-angguk. Dia senyum lagi. Tak
terasa pun dengan kata-kata lelaki itu walaupun kedengaran
agak kasar. Dia tak ada teman lelaki. Malah, hatinya belum
bersedia untuk menerima mana-mana cinta. Tak kuasa nak
pening-pening kepala melayan hal yang tak berfaedah itu.
“Ada ke tak?”
Dina menjongket kening. Hilang fokus sekejap. “Ada
apa?”
“Boyfriend. Ada tak?”
“Tak ada. Jangan risau. Kalau ada yang cuba tackle
saya, encik orang pertama yang akan saya beritahu.”
“Abang Izan.”
“Maaf?”
“Aku tak suka orang berencik-encik dengan aku.
Panggil Abang Izan aje.”
Sekarang baru Dina faham. Di sini tak ada
panggilan-panggilan rasmi. Semuanya menggunakan
panggilan biasa. Baguslah macam ni. Semuanya dilayan sama
rata.
“Kau bagi fail ni pada Husna. Nanti dia tahu apa nak
buat. Selamat bertugas.” Izan bangun.
Terlopong Dina melihat lelaki itu berjalan ke pintu.
Dilihat lelaki itu membuka pintu dan mempersilakan dia
keluar. “Saya dah boleh mula hari ni ke?”
Macam tak percaya begitu mudah ketuanya itu
menjalankan sesi temu duga. Penat-penat dia siapkan
resume. Tak ada satu pun soalan mengenai skop kerja yang
keluar dari mulut lelaki itu.
“Kau datang temu duga ni sebab nak kerja, kan? Kalau
tak hari ni bila kau nak mula? Tak payah buat apa-apa lagi
hari ni. Sesi suai kenal aje,” ujar Izan sebelum meninggalkan
Dina yang masih terpinga-pinga di dalam pejabat.
“Dina, kejap lagi tolong aku angkat meja kat dalam
stor. Kau share bilik dengan Abang Izan tau,” ujar Husna
yang muncul di pintu bilik.
“Share?” Dina pamer muka terperanjat. Tiba-tiba
dia rasa seram sejuk. Kenapa dia harus berkongsi ruang kerja
dengan majikan yang tak pandai senyum tu? “Husna. Tak ada
tempat lain ke selain dari bilik ni? Aku seganlah...”
“Maaflah. Kita belum betul-betul set-up pejabat
kita ni. Buat masa ni memang kat situ tempat yang paling
layak untuk kau. Assistant Event Management. Kiranya kau
nombor dua selepas Abang Izan.”
Dina terkemam. Kenapalah lelaki itu tak cakap tadi
yang mereka berdua akan duduk satu pejabat? Mana selesa
macam ni.
“Jangan risau. Abang Izan jarang ada dalam pejabat.
Kalau ada pun dia lebih suka lepak kat meja mesyuarat.”
Husna menuding pada sebuah meja bulat yang terletak di
tengah-tengah pejabat.
“Prinsip bekerja Abang Izan tu senang aje. Jangan
ambil kesempatan,” ujar Husna sambil beriringan dengan
Dina ke bilik stor.
“Maksudnya?”
“Kerja kat sini nampak macam ketat sangat
peraturannya. Tapi, kau sendiri yang akan rasa nanti, inilah
tempat kerja yang paling santai.” Husna buka pintu bilik stor.
Dia pandang Dina sekejap sebelum menuding pada sebuah
meja yang sama reka bentuknya dengan meja Izan. “Larat tak
angkat meja tu?”
Dina mengangguk. Setakat meja yang boleh muat
dua buah komputer tu apalah sangat. Kalau tak larat nanti
dia tinggalkan saja di situ.
“Kau tak terikat untuk pakai baju-baju yang
formal kalau bekerja kat sini. Janji kemas dan tak menjolok
mata.” Sambil membantu Dina mengangkat meja, Husna
menyambung ocehan. “Abang Izan tu bujang trang tang
tang lagi tau. Kalau ada niat nak mengurat dia, baik buang
jauh-jauh sekarang. Dia tak suka semua tu.”
Kali ini Dina tersengih lebar. Husna pun sama.
“Macam ada orang rasa tergugat dengan kehadiran
aku aje ni...” Dina cuba serkap jarang.
“Eee, tolonglah! Aku dah bertunang. Aku cuma
bagi amaran awal. Takut nanti kau gigit jari dengan bos hati
kering tu.”
Melihat pada riak wajah Husna memang tidak
nampak rona cemburu. Mungkin betul teman sekerjanya itu
cuma ingin mengingatkan.
“Kalau kau rasa nak hias bilik ni, hiaslah. Jangan
nampak bersepah sudahlah. Aku keluar dulu. Kerusi kau
ambil sendiri kat stor ya.” Ujar Husna setelah meletakkan
meja Dina di dalam pejabat sebelum keluar meninggalkan
Dina yang sedang memerhatikan sekeliling ruang bilik itu.
Melihat gaya santai pejabat itu Dina sukakannya.
Harap-harap dia dapat cepat menyesuaikan diri dengan
keadaan sekeliling. Setakat ini rakan-rakan sepejabat
memberi respons yang positif dengan kehadirannya. Itu yang
dia mahu. Selain bekerja keselesaan juga penting baginya.
“TAK HABIS berkemas lagi?” Husna menjenguk setelah
meninggalkan Dina selama dua jam di dalam pejabat Izan.
“Sikit lagi. Dah berapa lama bilik bos ni tak berkemas?
Banyak betul sampah bawah meja dia.” Dina menunjukkan
dua plastik beg sampah yang sudah diletakkan di tepi pintu.
Husna pantas menerpa masuk. Diambilnya
plastik-plastik sampah itu sebelum diletakkan semula di
tepi meja Izan. “Aduh! Aku lupa nak pesan tadi. Jangan usik
barang-barang Abang Izan.”
“Itu sampahlah.”
“Ya, aku tahu. Tapi, sampah-sampah tu semua
Abang Izan punya, kan? Mati kita kalau dia tahu kita usik
barang-barang dia. Lebih baik kau letak balik ke tempat
asal. Dia tak suka kita sentuh barang-barang dia. Kalau ada
sampah pun dia akan buang sendiri.” Cemas wajah Husna.
Lincah tangannya mengeluarkan semula kertas-kertas di
dalam plastik sampah.
Dina menjuih bibir. Pelik dan bagus juga ada bos
macam ini. Pelik sebab suka kumpul sampah. Bagus sebab
tak perlu susah-susah nak berkemas. Lepas ni dia cuma perlu
bersihkan tempat sendiri sahaja.
“Selalunya aku tengok dalam TV aje orang yang ada
hobi-hobi pelik ni. Tak sangka pula hari ni dapat jumpa secara
live. Cuba bayangkan macam manalah keadaan rumah dia,
kan?”
Husna tersengih mendengar bebelan Dina.
“Ini baru sehari. Banyak lagi perangai pelik
Abang Izan tu yang kau tak tahu. Tunggu dan lihat sajalah
nanti.” Husna menambah. Seronok pula bila dah ada rakan
mengumpat.
“Jom makan.” Izan muncul di pintu. Penuh
kedua-dua tangannya dengan bungkusan makanan dan
plastik air ikat tepi.
Terus tegak badan Husna dan Dina. Dengan
menggunakan kaki, Husna menolak sebuah lagi beg plastik
ke bawah meja Izan. Tak sempat nak keluarkan semula isinya
bila tiba-tiba lelaki itu muncul.
“Kau buat apa kat meja aku tu?” Izan menyoal Husna.
“Errr... tak ada apa-apa. Saya tengah cari fail majlis
makan malam dengan anak-anak yatim Jalan Mahmoodiah.”
Lancar mulut Husna mereka cerita.
“Oh, fail tu ada kat meja depan. Dina jom makan.
Husna, panggil yang lain-lain sekali.” Izan beredar dari situ.
“Fuh! Nyaris-nyaris aje tadi.” Husna mengurut dada.
Tak dapat dia bayangkan kalau Izan tiba lebih awal tadi.
“Husna, cuba kau tengok jam. Baru pukul sebelas.
Abang Izan ajak kita sarapan ke, makan tengah hari?” tanya
Dina dengan suara perlahan.
Sebelum menjawab, Husna menarik tangan Dina
untuk keluar dari bilik itu. Dari jauh sudah kelihatan
rakan-rakan sekerja yang lain mengerumuni meja mesyuarat.
Izan menggamit mereka berdua dari jauh sebelum
memulakan suapan.
“Di sini, tak ada lunch hour. Kau boleh makan bilabila
masa sahaja dengan syarat kerja kau beres,” ujar Husna.
Sekali lagi wajah Husna menjadi mangsa tenungan
Dina. Longgarnya peraturan kerja di sini. Ini sudah cukup
bagus.
“Kalau kau nak makan sambil buat kerja pun, tak
menjadi masalah bagi Abang Izan. Yang penting kerja kau...”
Husna berhenti sekejap dan naikkan sebelah kening.
“Beres...” Dina menyambung bersama sengihan
lebar.
“Pandai!” Husna ketawa.
Dina menekup mulut. Betullah kata Husna. Memang
di sini adalah tempat kerja yang paling santai pernah dia
tahu. Bos dan pekerja boleh duduk satu meja. Makan-makan
sambil berbincang. Tak ada jurang antara mereka. Bahasa
yang digunakan pun seperti bercakap dengan kawan-kawan.
Nampaknya ada kemungkinan untuk dia bertahan lama di
sini.
Hari ini Dina dibenarkan pulang awal. Hari
pertamalah kononnya. Hari suai kenal kata Izan. Baik betul
hati lelaki itu. Makin seronok dia rasakan. Memang tidak
ada sebarang tekanan. Sebaik sahaja tiba di rumah dia
pantas menghubungi orang tuanya. Tak sabar nak bercerita
keseronokan hari pertama bekerja dengan bos yang sempoi!
“Tempat kerja Dina tu adalah tempat kerja yang
paling best tau mak. Bos dia pun sporting habis. Kalau mak
tengok muka dia, nampak macam nak telan orang. Tapi bila
bekerja dengan dia, Dina rasa macam tak nak balik rumah
pulak. Seronok betul,” cerita Dina dengan sungguh-sungguh.
“Alhamdulillah. Senang hati mak bila kamu dah
dapat kerja. Macam mana dengan gaji? Okey tak?”
“Gaji okey. Kerja pun santai aje. Mak nak tahu tak?
Dina duduk satu pejabat dengan bos!” Dina gelak besar.
Teringat insiden mengemas meja Izan siang tadi. Hari
pertama dia mula bekerja sudah ada peristiwa yang di luar
jangkaan. Tak sabar nak tunggu esok. Entah apa lagilah
perkara di luar jangkaan yang bakal berlaku.
“Amboi suka sangatlah tu. Kerja elok-elok. Jangan
garang sangat dengan bos tau. Sambil-sambil tu bolehlah
mula ‘mencari’. Mana tahu kalau-kalau ada yang berkenan di
hati.” Pak Rahim menyampuk.
Dina terdiam. Tak tahu pula abah pun turut
mendengar perbualan dia dan mak. Bila masa pulak mak
buka loudspeaker?
“Abah ni. Dina malas nak fikir lagilah hal-hal macam
tu. Belum puas jadi anak dara. Susah-susah sangat abah
ajelah yang carikan. Dina terima aje...” Kegembiraan Dina
mengendur. Paling tidak suka bila abah buka topik yang
boleh buat perut dia sebu.
“Terima aje? Ada tu. Benggali jual roti yang bawa
basikal petang-petang keliling kampung ni. Dia ada juga
bertanya pasal kamu.” Kuat Pak Rahim ketawa.
Mendengarkan tawa yang kuat itu, Dina menjarakkan
telefon bimbit dari telinganya. Tak kelakar pun.
“Dina dah beritahu Kak Fida?” Terdengar pula suara
Cikgu Faridah.
“Belum. Dina cadang hujung minggu ni nak pergi
KL. Kawan kahwin. Nanti Dina jumpa dia kat sana.”
“Eh, kalau macam tu baliklah sekejap. Tak jauh
mana pun, kan?” sampuk Pak Rahim lagi.
“Hmmm... balik sana? Tengoklah nanti ya. Dina tak
berani janji.”
“Ala, baliklah sekejap. Abah dah lama tak berebut
makan dengan Dina. Meja makan tu dah lama tak riuh.”
Dina menggaru kening. Lemah betul bila mendengar
luahan hati abahnya. Bukan dia tak nak balik. Dia pun dah
rindu sangat dengan masakan mak. Dah lama juga dia tak
pergi memancing dengan abah. Tapi hatinya masih belum
bersedia.
“Dia dah lama tak balik ke sini Dina,” ujar Cikgu
Faridah.
“Betul tu. Entah hidup ke tidak budak Nazri tu.” Pak
Rahim mencelah lagi.
“Jangan cerita apa-apa lagi tentang dia mak. Dina tak
nak tahu dan tak nak ambil tahu.”
“Tapi sampai bila? Takkanlah disebabkan dia Dina
nak pulaukan keluarga sendiri?” Suara Cikgu Faridah
berubah serak.
“Dina tak pernah pulaukan siapa-siapa. Mak, abah.
Bagi Dina masa ya. Dina akan balik juga ke sana. Tapi bukan
sekarang.”
“Habis tu bila? Tunggu mak dan abah ni dah
berbungkus dengan kain kapan baru Dina nak balik ke?”
“Abah!” Dina terduduk di hujung katil. Paha diramas
kuat. Bibir dikemam serapat mungkin. Cuba menahan sebak
di dadanya.
“Abah dengan mak ni dah tua Dina. Sampai bila Dina
nak merajuk?”
Dina diam. Air mata sudah mengalir di pipinya.
Soalan itu dibiarkan sepi.
“Mak, abah. Doakan yang baik-baik untuk Dina ya.
Dina sayang mak dan abah tau.” Tertahan-tahan suara Dina
menyusun kata.
“Kami pun sayang Dina.” Ucap Pak Rahim dengan
suara yang kedengaran sebak. Masing-masing sedang
berusaha mengawal perasaan.
“Okeylah. Kredit dah nak habis ni. Nanti Dina call
lagi. Assalamualaikum...” Laju Dina menamatkan perbualan.
Telinganya sudah tidak sanggup mendengar pujukan kedua
orang tuanya lagi. Antara sakit hati dan rasa bersalah, dia
tidak tahu yang mana perlu diutamakan. Apa yang dia tahu
hatinya masih terluka. Terluka sangat-sangat.
No comments:
Post a Comment