DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 12 December 2017

Mazrik's Signorina - Bab 5

NASI disuap penuh selera. Sesekali berlaukkan
sambal sardin, di hadapan air sungai yang tenang mengalir
dan dikelilingi pohon-pohon yang menghijau, terasa nikmat
makan yang tak terhingga.
“Wana, Rissa mana?”
Wana toleh kiri kanan.
“Entah, tadi ada.”
Ya, dia di sini. Di dalam hutan yang entah apa
namanya ini, menyertai aktiviti camping yang dikelolakan
oleh Mazrik. Semuanya gara-gara lelaki itu memujuknya
supaya menemani si teman, yang sekarang menghilang entah
ke mana.
“Dia dah makan belum?”
“Rasanya belum.” Seingat Wana, kelibat Tia hanya
menyapa matanya ketika mereka memasak hidangan untuk
makan malam.
“Tadi macam nampak dia ke arah sana,” celah Haifa,
salah seorang peserta yang turut serta. Tika ini, semua sedang
duduk beramai-ramai di tepi sungai sambil menghadap
pinggan masing-masing.
Tanpa bertangguh, Mazrik mula mengatur langkah.
Jam di pergelangan tangan kiri dikerling sekilas. Pukul 6.31
petang. Waktu senja akan masuk sekejap lagi. Dia perlu
bergegas sebelum petang bertukar gelap.
Tidak sampai 10 minit mencari, tubuh Tia menyapa
matanya. Lega dirasakan apabila melihat gadis itu sedang
elok duduk berlutut di pintu khemah. Jauh merenung seperti
sedang memikirkan sesuatu yang serius.
“Adik...” Dia menegur seraya mendekati.
“Kenapa tak makan?”
“Tak lapar.”
“Tak lapar... atau tak ada selera?”
Tia mengalihkan matanya dari kaki langit yang
berwarna merah jingga. Wajah Mazrik dipandang seketika
sebelum pandangannya beralih pada kasut Nike di kaki.
Dalam diam dia mengeluh sendiri. Lelaki ini, kadangkala
terlalu memberikan perhatian kepadanya. Beginikah sikap
setiap abang di dunia ini terhadap adik-adiknya?
“Adik?” Sekali lagi Mazrik menagih jawapan. Ruang
kosong di atas tanah di sebelah Tia diisi. Sama-sama duduk
berlutut.
“Sardin tu... adik fobia. Sejak terjumpa ulat dalam
tin sardin tahun lepas, memang tak lalu nak makan dah.”
Lemah Tia berterus terang. Malu pun ada. Mesti Mazrik ingat
dia mengada-ada. Dalam hutan pun banyak demand.
“I’m sorry, abang.” Kesal dia meluahkan.
“Sorry untuk apa?”
“Urmm... little bit banyak songeh...”
Mazrik ingin ketawa mendengar patah ayat tersebut
namun dipendam demi melihatkan raut Tia yang kelat. Dia
tahu, gadis itu bukan sengaja bertingkah yang tidak-tidak.
“Tak pernah cuba untuk makan balik?” Dia menyoal
lembut.
Tia sentuh kepala sendiri yang mengenakan tudung
bawal putih.
“Pernah juga, tapi bila terbayang ulat yang
menggeletik dalam tin sardin tu, terus muntah. Masih jelas
gambaran tu kat dalam kepala ni.”
“Habis tu, ni tak makan tak apa ke? Sakit perut nanti
macam mana?”
Tia tersenyum memandang Mazrik.
“Insya-Allah tak ada apa-apa. Tadi kan dah makan
energy bar. Lagipun esok pagi kita dah nak balik.”
Mazrik hela nafas panjang. Beberapa minit
kemudian, dia bangun.
“Adik tunggu sini, nanti abang datang balik,”
pesannya sebelum berlalu.
TIA MELIHAT pemandangan di depan matanya dengan rasa
tidak percaya.
“Abang?”
Mazrik hanya tersenyum sambil menjongket kening.
“Mana dapat ni?”
“Magic.”
“Betul-betullah.”
“Rezeki Tuhan nak bagi. Nah. Sementara tu, makan
ni dulu buat alas perut.” Tangan kanan dihulur.
“Apa ni?”
“Rasalah.”
“Rasa dia macam mana?”
“Rasa dulu. Tak rasa tak tahu.”
“Selamat ke makan buah hutan ni? Tak beracun?”
“Mana datangnya buah hutan? Ni namanya buah
kundang.”
“Oh...”
“Tahu?”
“Pernah dengar, cuma tak pernah makan. Tak pernah
jumpa pun kat rumah.”
“Kampung tak ada dusun?”
“Ada. Tapi yang ada pokok manggis, durian,
cempedak, rambutan... semua yang biasa-biasa.”
“Nah, cuba rasa. Kundang yang hidup dalam hutan
ni manis-manis masam. Sedap.”
Gugusan buah kundang bertukar tangan.
“Abang basuh dah tadi tu. Boleh terus makan.”
Perlahan Tia sua sebiji kundang ke mulut. Mata
tunak memerhati Mazrik yang sedang sibuk menghidupkan
api. Nampak macam mudah sahaja Mazrik buat kerana tidak
sampai 5 minit, api sudah elok menyala.
Tanpa sepatah kata, dia terus menjadi pemerhati.
Langsung tidak kekok tingkah Mazrik, itu yang dapat dia
simpulkan. Tenang sahaja lelaki itu menguruskan semuanya,
langkah demi langkah. Dan sekarang, ikan yang telah
dibersihkan, dibungkus dengan daun pisang satu demi satu.
Selesai semuanya, Mazrik capai pula buluh pemanggang lalu
ikan yang telah siap berbungkus disepitkan di celah buluh.
Kemas.
Tepat-tepat saat buluh pemanggang dicacakkan
berhampiran api, lampu kalimantang yang terdapat di
sekeliling tapak khemah menyala menerangi kawasan.
“Mana abang dapat ikan?”
“Dalam sungai.”
“Pancing?”
“Tangkap guna tangan.”
“Terrornya!”
“Abang doa minta Allah permudahkan.”
Hati Tia rasa bercampur baur. Terharu dan serba
salah pada masa yang sama.
“Daun pisang tu pula?”
“Tanam pokok pisang.”
“Oh...”
Tawa Mazrik pecah.
“Abang terjumpa tadi masa on the way nak balik ke
sini. Rezeki adiklah. Kalau tak, makan ikan bakar bogellah
jawabnya.”
Spontan bibir Tia merekah dengan senyuman.
“Okey tak buah kundang tu? Boleh telan?”
Anggukan diberi sebagai jawapan.
“Thanks, abang.”
“Sama-sama. Kejap ya, dalam 10 ke 15 minit
masaklah ikan ni.”
Buah kundang yang ketiga dimasukkan ke dalam
mulut.
“Abang tak nak ke?” Ikhlas dia menyua sebiji
kundang yang belum berusik.
“Abang dah makan tadi dengan Wana.”
Tangan spontan menepuk dahi.
“Haahlah, mana yang lain? Senyap aje? Tak habis
dinner lagi eh?”
“Diaorang dah gerak ke surau, siap sedia nak solat
maghrib.”
Bingkas punggung diangkat.
“Nak ke mana?” soal Mazrik.
“Suraulah.”
“Duduk dulu. Lepas makan ikan ni baru pergi solat.”
“Tapi dah...”
“Sempat, jangan risau.”
“Tapi nanti...”
“Nak abang ikat adik kat khemah ni ke?”
“Okey, okey... adik tak gerak.” Punggung mencecah
tanah semula. Naya saja kalau kena ikat.
“Good girl. Tunggu kejap okey. Lepas ikan ni masak,
makan. Then kita sama-sama ke surau.”
“Diaorang tak tercari-cari abang ke nanti?”
“Abang dah suruh Mat ambil alih.” Mat, salah
seorang ahli jawatankuasa untuk perkhemahan mereka ini.
Yang menjadi imam setiap kali solat fardu berjemaah.
“Abang...”
“Hmm?”
“Abang tak pernah cerita pun pasal diri abang, kan?
Adik aje yang banyak cerita pasal adik.”
“Apa yang adik nak tahu?”
“Anything. Selain daripada abang ada 5 orang adik.”
Mazrik memeriksa api. Buluh pemanggang yang
menyepit ikan dipusingkan 180 darjah sebelum mengambil
tempat di sebelah Tia.
“Ayah abang dah meninggal masa abang ambil
STPM. Jadi sekarang abang hanya ada mak dan adik-adik.”
“Dan tunang abang,” tambah Tia.
“Ya... dan tunang abang, Suria.”
“Lagi?”
“Abang orang kampung, orang susah.”
“Abang nak cakap yang adik ni orang senanglah?
Sama ajelah kita ni abang.”
“Tak.” Mazrik geleng. “Nak bagi contoh susahnya
kami, tak pernah sekali pun kami sekeluarga sambut birthday.
Makan, pakai kami, seadanya sahaja. Rumah kampung,
bilik air masih di luar rumah. Bila motor rosak, jalan kaki
dari rumah ke bandar. Arwah ayah memang ada tinggalkan
sejumlah wang untuk kami guna, tapi abang dan mak dah
sepakat yang duit tu hanya akan digunakan untuk perkara
yang betul-betul penting. Contohnya macam membiayai
pengajian kami adik-beradik.”
“Mak abang kerja?”
“Mak bekas cikgu sekolah kerajaan, mengajar sastera.
Sekarang ni mak berniaga kerepek dan kuih tradisional untuk
tampung perbelanjaan selain daripada duit pencen bulanan.”
Tia mengangguk.
“Jadi kalau ikutkan, famili abang taklah susah
mana... cuma abang adik-beradik dah dididik oleh mak abang
untuk hidup serba cukup. Kan?”
“Tapi orang keliling selalu labelkan kami ni sebagai
orang miskin, orang susah.”
Tia tarik nafas panjang. Dipandang wajah Mazrik
bersama senyuman.
“Manusia, abang. Manusia ni macam-macam
perangai. Abaikan aje kata-kata orang sekeliling. Tak ada
kesan pun kata-kata diaorang tu pada hidup abang sekeluarga.
Bahagia tu subjektif. Jika jiwa kita dah tenang dan rasa cukup
dengan apa yang ada, tak perlu ambil kira pendapat orang.
Sesiapa boleh cakap apa-apa pun, yang merasa dan faham...
diri sendiri.”
“Adik tak malu ada abang yang miskin macam
Mazrik Hakimuddin?”
“Merepek! Dah, lupakan pasal tu. Ikan bakar spesial
abang tu dah masak ke belum? Kalau rentung adik tak nak
tau, abang makan sorang-sorang.”
Mazrik bergerak mendekati unggun api. Bungkusan
daun yang layu dilayur api dibelek-belek.
“Dah masak ni.”
Dengan cermat, ditanggalkan bungkusan dari celah
buluh pemanggang. Berhati-hati, bungkusan daun dibuka
sedikit dan diletak ke atas Nesting sebelum dihulur kepada
Tia.
“Elok-elok, panas ni.”
Membaca bismillah, Tia menyentuh sedikit isi
ikan. Berhati-hati dia mengunyah dan menelan, dan ketika
masuk suapan ketiga, dia perasan yang Mazrik sedang
memandangnya tidak berkedip.
“Err... kenapa abang pandang adik macam tu?”
“Comel.”
“Hah?”
Mazrik gelak. Pandangan dilarikan ke arah selain Tia.
“Eh, abang tak makan sekali ke?” Mata Tia menghala
pada unggun api yang tinggal bara. Masih ada dua bungkusan
ikan di celah buluh pemanggang.
“Abang kenyang lagi.”
“Macam segan pula nak mengunyah sorang-sorang.”
“Laa... nak segan apa?”
Mazrik angkat punggung, dan beralih semula ke
sebelah Tia. Wajah bujur itu dipandang sekilas sebelum
pandangannya dipaku lurus ke depan.
“Menyesal tak, ikut abang camping kat sini?” soalnya
perlahan.
“Tak.”
“Suka?”
“Suka!”
“Walaupun dalam hutan ni tak selesa?”
“Adik selesa aje.”
Mazrik senyum.
“Abang!”
“Hmm?”
“Abang suka hutan? Or nature?”
“Abang suka apa-apa sahaja yang boleh mendatangkan
ketenangan.”
“Mendatangkan ketenangan? Contoh?”
“Kejap.”
Mazrik bergerak ke arah khemahnya dan kembali
semula beberapa saat kemudian.
“Abang, seruling?”
Tanpa sepatah kata, Mazrik melabuh duduk dan
mula bermain seruling di tangannya.
Tia turut diam, belajar menikmati alunan tiupan
seruling yang dirasakan begitu indah di telinganya. Merdu,
meresap jauh ke dalam hati. Cuba menyelami jiwa si pemain
seruling yang tampaknya sedang hanyut dalam dunianya
sendiri.
Beberapa minit berlalu, tiupan seruling akhirnya
berhenti.
“Arwah ayah abang selalu main seruling ni semasa
duduk di pangkin depan rumah.”
Hening. Entah kenapa, Tia rasa hatinya tercarik
mendengar ayat tersebut.
“Dulu, abang selalu tertanya-tanya kenapa arwah
ayah suka sangat main seruling ni. Kalau tak waktu pagi, dia
akan main waktu petang. Setiap hari, tanpa gagal. Dan bila
dia tiba-tiba tinggalkan kami untuk selama-lamanya, perkara
pertama yang abang rindu pasal dia ialah bunyi seruling dia
ni.”
Wajah Tia dipandang sekilas.
“Sebab rindu, abang mula belajar cara bermain
seruling ni. Abang cuba dapatkan melodi yang sama macam
arwah ayah mainkan. Masa tu baru abang faham kenapa
arwah ayah suka sangat tiup seruling.”
“Mendamaikan...” sahut Tia sepatah.
Kali ini pandangan mata Mazrik berbalas. Lama.
Tanpa bibir yang berbicara.

MAZRIK MENARIK nafas lega. Benarlah tekaan hatinya, gadis
itu di sini. Sambil terus mara melangkah, mata memandang
sekeliling. Suasana redup, dengan matahari sedang
menyembunyikan diri. Tasik yang terbentang luas kelihatan
tenang, dengan buih-buih kecil muncul di serata permukaan,
petanda ada ikan-ikan yang sedang riang berenang, mungkin
menunggu rezeki makanan daripada orang yang datang
berkunjung.
“Adik?” Dia menyapa lembut. Langkah dipakukan
betul-betul di sebelah kerusi. “Adik...”
“Go away,” sahut Tia perlahan. Posisinya masih
sama seperti tadi, duduk berlutut di atas bangku dengan
kepala yang disembamkan pada kedua lutut.
“Adik tak nak cakap dengan abang,” tukas Tia lagi
apabila menyedari Mazrik melabuh duduk di sebelahnya.
“Tak nak tak payahlah cakap.”
“Baliklah!”
“Abang akan balik bila abang rasa nak balik.”
“I don’t want you to see me crying.”
“Anggap aje abang tak ada kat sebelah ni. So, adik
nak nangis ke, nak melalak ke, nak meraung sampai hingus
meleleh ke, silakan.”
Mendengar kata-kata tersebut, laju Tia menyambung
tangis. Langsung tidak dipedulikan kehadiran Mazrik yang
mungkin sedang memerhatikan tingkahnya. Lama dia begitu.
Bersungguh-sungguh dia menghampar sendu sehinggalah
dia keletihan.
“Puas dah? Jom, abang hantar balik kolej.”
Pantas Tia angkat kepala. Wajah Mazrik yang tenang
tanpa riak dipandang lama.
“Am... dia ada affair dengan perempuan lain.” Perit
dia menuturkan kata.
Mazrik yang tadinya dah berdiri duduk semula.
“So this is the reason?”
Tia ketap bibirnya kuat.
“Perempuan tu... pernah jadi kawan rapat adik,
abang. Erin, antara kawan yang paling memahami adik
selama ni.
“Dan adik bazirkan air mata untuk ‘kawan’ yang adik
tak fahami tu?”
Tia bungkam. Cuma memahami kata-kata yang baru
terucap dari bibir lelaki di sebelahnya.
“Dia ambil kesempatan, because she knows you very
well. Adik tak memahami dia, sebab itulah dia boleh ambil
kesempatan.”
“Adik kenal dia, I know her!” pangkas Tia lirih.
“Dah, lupakan.”
“Tapi...” Tangisan Tia pecah kembali.
Mazrik tarik beg sandang milik Tia dan mula
menyelongkar. Compact powder dikeluarkan, dibuka, dan
bahagian cermin dihalakan ke arah gadis itu.
“Adik tahu tak mata yang paling cantik adalah mata
yang paling banyak menangis?”
Tia tengok cermin. Mata mencerun memandang
Mazrik.
“Gila. Mata bengkak macam panda ni abang kata
cantik? Sah power specs mata tu ke laut.”
Mazrik beralih tempat dari sebelah ke depan Tia.
“Abang pernah tipu adik ke selama ni?”
Tia geleng. Kalau lelaki di hadapannya ini jenis
menipu, tak ada maknanya dia nak beritahu yang dia tunang
orang pada hari pertama mereka jumpa.
“Percaya cakap abang, adik cantik bila menangis.
You are naturally beautiful when you’re crying. But for this
case, it’s not worth it.”
Tanpa membalas, Tia masukkan semula compact
powder ke dalam beg sandang. Muka yang basah, dilap dengan
hujung tudungnya.
“Jom ikut abang.”
“Ke mana?”
“Somewhere.”
TIA KETAP bibir. Figura lelaki di hadapannya dipandang
sebal.
“Bola keranjang, kan?”
Mazrik kerdip mata dan mengangguk. Mengiakan.
“Nak buat apa dengan bola tu?”
“Main bolalah. Jom!”
Dalam masa tidak sampai 2 minit, mereka dah
berdiri di tepi gelanggang bola keranjang.
“Tak ada orang pun?”
Mazrik pandang Tia.
“Abang dan adik bukan orang?”
“Adik tak pandai main bola keranjang.”
“Tak ada peraturan, main bebas.”
Dahi Tia berkerut, tidak memahami.
“Abang lawan adik. Tak ada peraturan macam selalu.
Mainlah macam mana pun, asalkan bola tu masuk jaring,”
jelas Mazrik sambil melambung bola.
Pantas Tia menggeleng.
“Maaf, adik balik dulu. Abang mainlah dengan orang
lain. Rasanya kejap lagi mesti ada budak-budak lain datang.”
Baru sahaja berpaling, Tia terasa kakinya terkena
bola. Tidak sakit, namun dia terperanjat. Ditoleh ke arah
Mazrik dengan rasa geram.
“Abang kenapa ni?”
“3 jaringan aje. Cukup 3 kali adik jaringkan bola, kita
berhenti.”
“Adik nak balik kolejlah! Kalau abang gian sangat
nak main, tunggulah budak-budak lain datang sekejap lagi.
Tak lama lagi ramailah orang kat gelanggang ni.” Tia atur
langkah semula.
“Loser. Lawan bola pun takut.”
Sekali lagi langkah Tia terhenti.
“Abang ni dah kenapa? Berapa kali adik nak cakap
yang adik tak nak, adik tak nak main, adik tak ada mood!
Susah sangat ke nak faham?” Suara Tia naik sedikit. Tangan
dicekak ke pinggang.
“3 goals and I'll send you back to your college.”
“Orang tak nak mainlah!”
“Takut kalahlah tu...”
Telinga Tia yang mendengar terasa panas. Tidak
pernah-pernah Mazrik sinis begini sejak mereka berkenalan.
Apa agaknya yang tak kena dengan jejaka itu? Laju dia
melangkah ke arah Mazrik dan menghulur tangan.
“Bak bola tu.”
Bola bertukar tangan.
“No rules, and 3 goals only.” Diulang semula
kata-kata Mazrik untuk mengingatkan.
“Oleh adik, bukan abang. Jaringan abang tak dikira.”
“Whatever.” Tia mula berlari membawa bola.
Namun tidak sampai 5 saat, bola tersebut dirampas
Mazrik.
“Maaf, dik.”
Dan dalam sekelip mata, bola berwarna jingga itu
tepat masuk ke dalam jaring.
“Abang!”
“Kenapa tak halang?” sahut Mazrik sambil terus
berlari. Sekejap bola itu dipegang, sekejap dilantun ke lantai,
berselang-seli.
Tia yang memandang bertambah geram. Tanpa
perasaan dia mula mengejar dan cuba merampas bola tetapi
gagal. Dengan mudahnya Mazrik melakukan jaringan kedua
betul-betul di depan matanya.
“Giliran adik.” Bola Mazrik lontar kepada Tia.
“Don't touch me.” Tia memberi amaran. Dia tidak
mahu disebabkan mereka berebut bola, mereka saling
bersentuhan. 2 round tadi pun dah nyaris-nyaris.
“I won’t.” Mazrik memberikan jaminan.
Menarik nafas, Tia mula melantun bola. Namun
dalam sibuk mengekalkan keseimbangan, dia terasa yang
Mazrik begitu dekat.
“No! Jauh-jauh sikit.” Dia mengingatkan.
Mazrik kembali menjarakkan diri.
“Adik.”
“Apa?”
“Tali kasut lerai.”
Spontan dia menunduk. Dan sekelip mata, bola
dalam pegangannya dirampas.
“Abang main tipu!”
“Tak ada peraturan. Kan?”
Tia ketap bibir menahan perasaan. Dibiarkan sahaja
Mazrik menjaringkan bola tanpa sebarang halangan. Dia
hanya melihat dengan berpeluk tubuh.
“Haih, lagi lambat 3 jaringan, lagi lambatlah balik...”
Mazrik memancing. Bola di tangan dipusing-pusing, dengan
hujung ekor mata sesekali memerhatikan tingkah si gadis.
Sedikit menghentak kaki, Tia mendekati. Bola cuba
dirampas tapi Mazrik lebih cekap mempertahankan hak
miliknya.
“Apasal abang terror sangat?” Tia merungut tak
puas hati. Kaki dijulur dengan niat mahu menjatuhkan pihak
lawan tetapi nampaknya Mazrik dapat membaca fikirannya.
Laju lelaki itu melarikan diri.
Bum!
Kuat bola melantun pada papan penghadang
sebelum masuk cantik ke lubang jaring.
“Your turn bawa bola.”
Bola yang beratnya tidak sampai sekilogram itu Tia
pegang kemas. Mata Mazrik dipandang tepat tanpa ada rasa
untuk bergerak.
“Nak tahu kenapa abang terror?” soal Mazrik.
Tia angguk.
“Sebab abang bayangkan bola tu muka Am.”
“Abang!”
Mazrik ketawa.
“Kalau tak percaya cubalah,” ujarnya selamba.
Tia menjeling sakit hati. Ada ke patut Am yang
handsome tu disamakan dengan bola keranjang?
“Cepatlah cik adik! Tak nak balik kolej ke?”
Tia merengus perlahan. Lengan baju yang melorot
melebihi tapak tangan ditarik hingga ke siku. Bucu bawah
bahagian depan tudung bawal disimpul kemas dan ikatan
tali kasut dibetulkan. Sesudah itu baru dia mula berlari
membawa bola.
“Haip!” Ditepis tangan Mazrik yang cuba mencelah
dengan sikunya.
“No, no, no!” Digoyang jari telunjuk apabila Mazrik
ingin merampas bola.
“Jangan cakap adik tak bagi warning.” Dipijak kaki
Mazrik apabila lelaki itu mengacah-acah untuk memeluknya.
Dan...
Satu jaringan.
Dua jaringan.
Tiga jaringan.
Empat. Lima. Enam. Sehinggalah yang ke 11 tanpa
sedar.
“Pandai pun main. Kata tak reti?”
Tia mengatur nafas yang termengah-mengah.
Punggung selamba mencium lantai tanpa alas. Kaki
dilunjurkan ke depan, dan kedua tapak tangan tegak ke lantai
mengampu tubuh.
“Memang tak pun.” Dalam mengah soalan Mazrik
dijawab.
“Habis yang tadi tu?”
“Sebab bayangkan bola tu muka Am.”
Jeda.
“Dan Erin.” Tanpa sedar bibir menguntum senyum
pahit.
“Thank you, abang...” Suaranya seminit kemudian.
“Untuk?”
“Bawa adik ke sini. Adik betul-betul rasa lega
sekarang. Abang saja ajak adik main untuk lepaskan tekanan,
kan? Thank you.”
Mazrik senyum. ‘You are welcome,’ dia menjawab
dalam hati.

No comments:

Post a Comment