DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 11 December 2017

Mama Ekspres - Bab 3

MATA tunak memandang televisyen. Tapi
sesekali ternampak pula sepasang mata kecil tu merenung tak
berkelip. Kenapa? Bulu ketiak dia lebat sangat ke? Perlahan
tangan yang menampung belakang kepala diturunkan. Tak
pun kain pelekat dia koyak? Hesy! Dini terus duduk dari
berbaring. Tapi mata kecil Dafi masih lagi tertumpu pada dia.
Macam dah tersampuk.
“Dafi!” tegur Dini sambil memetik jarinya.
Daripada merenung, Dafi terus tersenyum meleret.
Nampak gigi susu dia. Tak nampak langsung terkejut atau
terpinga-pinga.
Sah, anaknya ni dah tersampuk. Patutlah balik tadi
tak ada bunyi langsung. Kalau tidak, ada saja celoteh dia.
“Papa handsome.”
Adess... anaknya tersampuk apa pula ni tiba-tiba
memuji? Duduknya dibetulkan. Nasib baik kain tak koyak
kena puji dengan anak sendiri.
“Tapi kenapa papa tak carikan mama untuk Dafi?
Dafi ni anak yatim bertatu ke pa?”
Dini hampir tergelak mendengar soalan Dafi. “Hesy...
jangan cakap macam tu. Papa kan ada lagi. Dafi cuma tak ada
mama aje. Anak yatim piatu ni, orang yang tak ada ibu bapa.
Tapi Dafi masih ada papa lagi.”
“Yalah, asyik-asyik tengok muka papa aje dekat
rumah ni. Balik sekolah muka papa, balik tuisyen muka
papa, makan muka papa, nak tidur pun kena tengok muka
papa. Habis, muka mama mana?” Selamba Dafi melontarkan
pertanyaan.
“Nasib baik dapat tengok muka papa. Kalau muka
beruk?” balas Dini juga dengan soalan. Mengalahkan dia ni
anak pula.
“Dafi suruh Abang Li tembak. Lepas tu sembelih.
Boleh jual dekat pasar.” Lagi selamba jawapan tak masuk akal
Dafi berikan pada Dini.
Dini tepuk dahi. Ada-ada saja anaknya ni. Kalau bab
merapu, serah saja pada mulut kecil dia tu.
“Bolehlah pa?” Dafi goncang-goncang tangan Dini.
Muka merayu dengan mata terkelip-kelip.
“Boleh apa?”
“Carikan mama untuk Dafi. Nanti papa ada kawan
gaduh-gaduh bila Dafi pergi tuisyen.”
Amboi! Mulut Dafi, boleh tahan. Lebih hebat pula
daripada orang dewasa. Dia pun tak ada fikir nak cari kawan
gaduh-gaduh. Mana saja anaknya belajar cakap macam ni?
“Kenapa pula kawan gaduh? Kalau nak gaduh, baik
tak payah ada kawan. Baik tinggal sorang-sorang. Peninglah.”
“Risya selalu cakap. Dia kata Aunty Ryya suka
tumbuk perut Uncle Ryzal macam punching bag kalau
rumah sepah-sepah. Kalau lambat buat sarapan pun Uncle
Ryzal kena tumbuk juga. Hebat, kan Aunty Ryya tu pa. Dafi
nak mama macam itulah.”
Muka Dini berubah kecut sesaat. Biar betul si Ryzal
ni. Dia dapat bayangkan muka Ryzal bila kena tumbuk
dengan isteri sendiri. Adilkah itu? Banding pula dengan diri
dia. Mata laju mengerling setiap sudut di dalam rumah dia
sendiri. ‘Bagus’! Cukup bersepah! Macam duduk di dalam
gudang dobi. Atas meja, kosong. Memang dia jarang ke dapur
untuk memasak. Argh! Tak sanggup nak hadap kalau ada
isteri segarang itu. Dia lebih rela menduda sampai bila-bila
kalau terpaksa terima habuan begitu.
“Hmm... hebat sangat,” jawab Dini perlahan.
“Papa kenapa? Papa tak suka ya?” duga Dafi.
“Suka... suka sangat.” Dini mengangguk-angguk
gaya belatuk. Tapi... muka berkedut. Nahas dia kalau ada
isteri macam isteri Ryzal. Lemak dekat perut dia ni seminggu
saja boleh hilang.
“Papa. Kalau ada mama mesti best, kan? Risya kata,
mama dia selalu masak sedap-sedap. Sebab itulah dia selalu
bawa bekal pergi sekolah. Bukan macam Dafi, asyik bawa roti
dengan jem aje.”
“Biarlah. Itu mama dia. Ini papa Dafi. Buat apa kita
nak ikut-ikut orang?”
“Yalah, Mirza selalu ejek Dafi. Dia cakap, Dafi ni anak
yatim bertatu.” Muncung Dafi mula panjang.
“Yatim piatu.” Dini membetulkan sebutan Dafi.
“Haa... yatim piatu. Dia cakap, siapa yang tak ada
mama tu... dia budak jahat. Sebab itulah mama dia mati.”
Petah mulut Dafi bercakap.
“Bukan mati, meninggal.” Dini betulkan lagi sebutan
Dafi. Hesy, anaknya seorang ni. Suka sangat dengar cakap
kawan.
“Haa... meninggal. Betul ke pa?” Dafi peluk dada.
Mata Dini ditenung, tunggu jawapan.
“Sayang, dengar sini papa cakap. Mama meninggal
bukan sebab anak papa ni jahat. Tapi, Allah lebih sayangkan
mama. Dan Dafi kena jadi anak yang baik, anak yang soleh,
dan doa yang baik-baik untuk mama dekat sana.”
“Sana mana?”
“Syurga.”
Dafi mengangguk.
Entah faham entah tidak anaknya ini. Dini merenung
lama anak mata Dafi. Dalam anak mata itu dia nampak
sebuah kasih sayang yang tidak pernah hilang, walaupun Dafi
tak pernah sekali pun lihat dan kenal wajah sebenar ibunya.
“Dah. Esok Dafi sekolah, kan?”
Dafi mengangguk lagi.
Dini nampak mata Dafi sudah mula kuyu. Sekali dua
tangan kecil itu naik menutup mulut yang menguap panjang.
“Come, time for your bedtime story.” Dini mengusap
kepala kecil itu. ‘Sayang anak papa.’
Dafi senyum senget. Dia memang suka babak
terakhir sebelum masuk tidur. Cerita papa selalu buat dia
cepat lelap. Kalau ada mama lagi best. Tak payah cerita pun
dia rasa dia boleh tidur.
Serentak bangun, Dini terus mencapai alat kawalan
jauh lalu mematikan televisyen. Satu per satu lampu ditutup
sebelum naik ke tingkat atas.
Di atas katil, Dafi sudah siap-siap berbaring.
Comforter ditarik, tutup separuh badan.
“Dafi dah sedia ni. Lama lagi ke nak tunggu papa
cerita ni?” Dafi bermain-main dengan jari sementara
menunggu.
“Kejap, papa tengah cari ni,” jawab Dini.
Ke mana saja dia letak buku semalam? Rasanya ada
di atas meja. Tak ada. Di dalam laci pun tak ada. Mana pula
dia simpan?
“Alah... Dafi tak naklah cerita dalam buku. Asyik
sama aje.”
“Sama? Takpelah, untuk malam ni aje. Esok papa
beli buku baru.” Dini garu kepala. Pening dia cari buku tu
tapi, tak jumpa.
Dafi masih berbaring sambil bermain dengan
sepuluh jari kecil dia. Satu-satu dibelek.
“Tak nak. Dafi nak dengar cerita papa sendiri. Cerita
pasal papa dengan mama,” kata Dafi. Ada senyum di bibir
kecilnya.
“La... kan ke tu dah banyak kali cerita. Takkan nak
cerita lagi kut?”
“Alah, cepatlah pa. Nanti mata Dafi tak boleh lelap,”
rengek Dafi sambil buat muncung panjang. Tangan papa dia
ditarik-tarik.
Alahai... dugaan. Jadi penyair separuh masa pula dia
tiap-tiap malam.
“Yalah, yalah.” Dini mengalah.
Dia duduk berdepan dengan Dafi. Kalau permintaan
anak yang seorang ni memang tak boleh nak ditepis. Merengek
manja saja. Buat hati dia terikat.
Nafas ditarik sedalam mungkin. Menghayati watak
itu penting. Jadi, dia perlu sampaikan dengan cara yang
bersungguh-sungguh. Wajah isteri dia ditatap pada frame
yang tergantung di dinding.
“Indah bunga seindahnya namanya, itulah dia...”
“Iris Arwina,” sampuk Dafi sambil tersenyum.
Dini memandang Dafi. Comel dia tengok muka anak
sendiri. Ada mirip wajah isteri dia. Mata kembali merenung
pada gambar. “Cantik manis, semanis tutur bicara. Bak...”
“Wangian seindah lestari.” Mulut kecil Dafi mencelah
lagi.
Berkerut dahi Dini memandang Dafi. Kepala anak
itu diusap manja.
Dafi tiba-tiba menguap.
“Hilang di mata namun terpahat ja...”
“Jauh di sudut hati.” Suara Dafi bertukar perlahan.
Matanya mula nampak layu.
Dah kalau Dafi saja yang menyebut hujungnya, bila
pula puisi yang dia baca ni nak habis? Anaknya ni memang
pantas kalau bab menyampuk. Mana tidaknya, lebih sepuluh
kali puisi yang sama dia bacakan untuk Dafi. Sah-sah otak
kecil si Dafi semakin cekap mengingat.
“Akan menjadi kenangan...” Dini diam. Wajah
Dafi dipandang. Aik, dah lelap? Patutlah tak dengar Dafi
menyampuk lagi. Dini senyum.
“Tiap detik, tiap masa yang berlalu hanya kau di
hatiku,” ucap Dini perlahan.
Cukuplah rasanya dia baca puisi setakat itu. Anaknya
pun dah tidur. Tangan mengusap lembut wajah comel Dafi.
Anaknya memang cepat lelap kalau dengar puisi leleh ciptaan
dia. Entah apa yang sedap dia pun tak tahu.
“Selamat malam sayang. Papa doakan Dafi jadi
anak yang baik dan hebat untuk papa dengan mama.” Dini
mengucup dahi kecil Dafi. Comforter ditarik kemas ke badan
Dafi. Lampu tidur di sisi katil ditekan.
“Papa...” panggil Dafi tiba-tiba.
Dini terhenti melangkah. Dia menoleh dalam
samar-samar cahaya dari hujung pintu. Dah tidur kenapa
bangun balik? Puisi yang dia baca tadi dah tak mujarab lagi
ke? “Ya, sayang. Dafi nak susu ke?”
Dafi menggeleng. Nak cakap, mata mengantuk
sangat. Mulut pun rasa berat. Dafi mencanguk sambil duduk.
“Dafi nak apa sayang?”
“Dafi nak mama. Dafi rindu mama. Nanti papa tolong
carikan mama ya.” Dafi terus berbaring semula.
Itu saja? Dini menggeleng perlahan. Macam
dibuat-buat gaya orang sedang mengigau. Mata lelap mulut
bercakap. Dafi... Dafi. Dini tersenyum lebar.

No comments:

Post a Comment