DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 11 December 2017

Kunci Hati Hanim - Bab 7

TANGAN yang memegang pensel dijadikan
tongkat di kepala. Matanya tajam merenung pelan yang
terlakar di atas kertas, hasil kerja tangannya sendiri. Nampak
sempurna tetapi seperti ada yang tidak kena pada lukisannya
itu. Izzat langsung tidak berpuas hati dengan hasil kerjanya
hari ini. Lama dia merenung, kemudian tangannya mula
bergerak kembali. Mencuit sana sini supaya tiada yang silap
nanti.
Kerja sebagai seorang arkitek bukanlah satu kerja
yang mudah. Semuanya digalas di bahunya. Salah design
mahu roboh sesebuah bangunan. Tak kena pelan, bising pula
segala jenis jurutera yang terlibat sama. Pening!
Hampir sejam setengah dia membaiki semula pelan
lukisan di atas meja, akhirnya selesai juga. Lega, nafas dihela
perlahan. Lengan baju yang sudah tersedia berlipat ditarik
hingga ke siku. Pensel pula sempat diselitkan di belakang
telinga sebelum dia menyandarkan badan ke belakang. Tabiat
sewaktu zaman belajar terbawa hingga sekarang. Seperti
pelukis cabuk pula gayanya. Tapi langsung dia tidak kisah.
Jam dikerling. Sudah melepasi waktu kerja. Patutlah
ofisnya sunyi saja walaupun pintu bilik pejabatnya terbuka
luas. Sedang dia berkhayal, pintu biliknya diketuk. Bagai
nak terkeluar jantung akibat terkejut. Itulah, berkhayal lagi
petang-petang macam ni.
“Buat apa bro tak balik lagi?” Arham melangkah
masuk ke dalam bilik yang dihuni Izzat.
“Buat aku terkejut ajelah kau ni ustaz. Nasib baik
aku tak ada sakit jantung.” Izzat kembali duduk tegak.
Arham ketawa kecil. Panggilan ustaz memang tidak
pernah lekang dari bibir Izzat ketika bercakap dengannya.
Panggilan yang melekat sejak zaman universiti lagi. Ini semua
bermula apabila dia selalu mengimamkan solat dan memberi
tazkirah kepada rakan-rakan yang lain, terus panggilan itu
melekat padanya.
“Berkhayal lagi kau petang-petang macam ni. Buat
apa tak balik lagi?” Arham menyoal lagi walaupun sudah jelas
kelihatan pelan yang terbuka luas di hadapan Izzat.
“Aku buat correction sikit dekat pelan bangunan
KaeReka. Kau kenapa tak balik lagi?” Pelan yang terbentang
di atas meja digulung cermat sebelum diletakkan di atas
kabinet di sebelah meja kerjanya itu.
“Aku kena selesaikan beberapa dokumen penting.
Esok ada mesyuarat dekat Putrajaya. Okeylah Zat, aku balik
dulu. Kau jangan rajin sangat nak sambung buat kerja pula.”
Arham ketawa kecil sebelum berpaling untuk berlalu.
“Ustaz!”
Langkah terhenti dan Arham menoleh.
“Aku ada sesuatu nak cakap dengan kau.”
“Apa dia?”
Izzat menjeling ke arah kerusi di hadapannya,
sebagai isyarat kepada Arham.

“ALHAMDULILLAH...”
Arham meraup wajah dengan kedua-dua belah
tangan. “Dah lama aku nantikan berita gembira ni daripada
kau Zat.” Melebar senyuman di bibir Arham saat mendengar
berita yang disampaikan oleh Izzat tadi.
Izzat tersenyum seketika sebelum kembali serius.
“Tapi ustaz...”
“Tapi apa?”
“Aku belum yakin sepenuhnya dengan diri aku ni.”
“Pula dah. Kenapa?”
Badan disandarkan ke belakang kerusi. “Kau pun
tahu macam mana aku dulu kan.”
Arham angguk. Bukan dia tidak kenal siapa Izzat.
Tahun pertama perkenalan mereka di universiti elok lagi
perangai sahabatnya itu. Tapi bila satu tragedi telah menimpa
keluarga Izzat, perilaku dan perangai sahabatnya itu terus
berubah sehinggalah beberapa tahun kebelakangan ni.
Nampaknya Izzat mula kembali kepada asal. Kembali menjadi
Izzat yang dulu. Cuma satu yang tidak berubah, riak wajah
yang tidak berperasaan. Entah ke mana disoroknya segala
perasaan yang ada dalam diri sehingga menjadikan dia
sedingin ini.
“Past is past, Izzat. Kau pun dah berubah kan
sekarang. Solat kau pun dah terjaga.”
“Tapi aku rasa semua itu belum cukup ustaz. Mampu
ke aku nak galas tanggungjawab tu nanti.”
“Kalau kau rasa tak mampu, kenapa kau buat
keputusan macam ni?”
“Sebab aku suka dia dan aku nak dia dalam hidup
aku.” Tanpa rasa Izzat menjawab.
Lama Arham merenung ke arah sahabatnya itu.
Bercakap macam orang tak ada perasaan. Betul ke tidak
kawan dia ini dah hendak berumah tangga?
Nafas ditarik dalam. “Yang sebenarnya Izzat, lepas
kahwin pun kau masih boleh terus tambah ilmu agama kau.
Aku kira pasti akan lebih seronok bila kau ada partner untuk
belajar bersama dengan kau nanti. Soal mampu ke tidak kau
galas semua tanggungjawab itu, nanti kau serahkan saja
kepada Tuhan. Biar dia uruskan semuanya tetapi dalam masa
yang sama kau pun kena usaha juga. Berusaha melaksanakan
tanggungjawab itu dengan sebaiknya.”
Lama Izzat diam. Cuba menghadam kata-kata
Arham.
“Ramai yang beranggapan bahawa perkahwinan itu
menyusahkan. Tetapi yang sebenarnya perkahwinan itu juga
adalah sumber rezeki kita sama ada dalam bentuk harta benda
atau anak isteri yang solehah. Jangan pernah menganggap
perkahwinan itu adalah satu bebanan kerana perkahwinan
juga dikira sebagai ibadah. When you marry a girl, you will
complete half of her deen. Untung kan? Ups and downs in
a marriage is a norm. Siapa aje yang tak bergaduh setelah
berkahwin? Siapa aje yang tak terasa hati atau kecewa dengan
pasangan masing-masing? Tapi jangan jadikan perkara itu
sebagai penghalang untuk kau berkahwin pula.”
Izzat masih diam mendengar butir bicara Arham.
Semua yang sahabatnya katakan itu sememangnya benar
belaka.
Arham senyum. Riak risau mula terbit pada
wajah Izzat. “Tapi Izzat, satu yang kita kena ingat tentang
perkahwinan, tak boleh diambil ringan semua perkara. Kalau
ada masalah cuba bawa berbincang dan buatlah keputusan
dengan rasional. Bila kita berkahwin, bermakna kita dah
ambil alih tugas ahli keluarga isteri kita untuk menjaga dia.
Amanah... Isteri adalah amanah Allah dan keluarganya kepada
kita. Sebut saja tentang amanah sudah semestinya harus
dijaga dengan elok. Bila kita sentiasa ingat tentang perkara
ni, insya-Allah kehidupan suami isteri akan dipermudahkan.”
“Kau rasa aku mampu ke?”
“Kau kena yakin dengan diri kau sendiri Izzat dan
aku sangat yakin yang kau mampu menggalas tanggungjawab
itu.”
Hampir saja bibir Izzat tercuit dengan senyuman,
namun pantas saja ia terpadam.
“Jadi, siapa bakal isteri kau tu? Aku kenal ke?” Arham
mula sengih mengusik. Izzat yang beku nak kahwin, siapa aje
yang tak teruja!
“Tak. Kau tak kenal pun.”
“Family arrangment ke?”
“Tak juga.”
“Habis tu siapa?”
Izzat merapatkan badannya ke meja. “Yang
sebenarnya, aku baru aje kenal dengan dia dan aku tak pasti
yang dia akan terima lamaran aku atau tidak.”
“Baru kenal? Tak pasti? Siapa sebenarnya bakal isteri
kau ni?”
“Car dealer yang uruskan pembelian kereta aku.”
Arham terdiam sejenak. Terkejut? Sikitlah. “Dia tahu
tak yang kau suka dia? Yang kau nak lamar dia?”
Izzat menggeleng. “In fact, aku dengan dia tak
berkawan pun. Dia sangat strict ustaz, hanya berbincang
tentang kereta saja apabila kami jumpa. Kalau bercakap soal
lain jangan harap dia nak buka mulut.”
Spontan tangan Arham naik menepuk dahi sendiri.
“Habis tu yang kau beria bercakap soal nikah kahwin ni
kenapa? Siap dengan tanggungjawab bagai.”
“Sebab aku serius nak nikah dengan dia,” jawab
Izzat tanpa teragak-agak dan sekali lagi tangan Arham naik
menepuk dahi sendiri.

SET BATH and Body Works yang baru dibeli siang tadi
disusun di atas dressing table dengan rapi. Pulang dari kerja,
sempat dia singgah merayap di mall sambil mencuci mata.
Akhirnya beg duit milik dia ikut cuci sama. Wajah dibelek
di hadapan cermin. Masih seperti dulu cuma yang berbeza,
wajahnya semakin hari semakin hilang sinar. Sinar keceriaan
langsung tidak kelihatan.
Nafas dihela perlahan. Hanim memandang ke
sekeliling ruang bilik tidurnya yang luas. Sunyi. Itu yang dia
rasakan kini. Usahkan bilik, rumahnya yang besar ini juga
dari tadi sunyi bagai tidak berpenghuni. Hasif masih belum
pulang dari tempat kerja walaupun jam sudah menginjak ke
pukul 9 malam. Hazrul pula bermalam di rumah kawan, ada
study group katanya. Yang tinggal cuma dia. Sendirian tiada
peneman. Sunyi dan bosan.
Malas mahu melayan perasaan, Hanim bangun dan
bergerak ke arah almari pakaian. Ingin memilih pakaian untuk
dipakai esok hari. Lebih baik dia menyibukkan diri daripada
terus membiarkan dirinya tenggelam dalam kebosanan.
Belum sempat pintu almari dibuka, telefon yang diletakkan di
atas dressing table itu tadi menjerit minta dijawab. Bergegas
Hanim mendapatkan telefonnya.
“Buat apa Nim?” soal Maira setelah Hanim menjawab
salamnya.
“Nak gosok baju untuk esok. Kau bila nak masuk
kerja semula ni? Seronok eh kau bercuti. Bosan aku tak ada
kawan dekat ofis.”
Kedengaran Maira ketawa. “Kasi chancelah aku
bercuti dengan suami aku ni. Bukan selalu pun.”
Hanim tersenyum mendengar jawapan Maira. Ya,
dia dengan Maira memang jarang bercuti. Walaupun tak
adalah sibuk macam golongan atasan yang lain, tapi mereka
memang jarang bercuti. Cuti bila ada hal penting atau cuti
hari raya. Entah kenapa, dia sendiri pun tidak tahu.
“Yalah, bercutilah puas-puas. Nanti jangan lupa
belikan aku souvenir tau.”
“Alah, aku bercuti dekat Langkawi aje Nim. Souvenir
apa sangatlah yang kau nak.” Maira tergelak lagi. Haih,
bahagia sungguh!
“Chocolate of course. Kalau dah dekat Langkawi tu
kau faham-faham ajelah.”
“Baiklah Cik Hanim, nanti aku belikan. Hmm
Hanim, aku ada sesuatu nak cakap dengan kau ni.”
“Kau nak cakap apa sampaikan tak sempat nak
tunggu masuk kerja.”
“Something serious. Rasa macam dah tak boleh nak
tunggu, kena cakap hari ni juga.”
“Apa dia?”
“Hmm, yang sebenarnya macam ni. Semalam masa
kami tengah jalan-jalan dekat pantai, kami terserempak
dengan kawan suami aku.”
“So?”
“Nim, aku suka sangat tengok dia Nim. Manly
sangat. Cakap pun lembut aje.”
Kening mula bercantum di tengah. Rasa tidak sedap
hati tiba-tiba. “Jangan cakap yang kau jatuh cinta dengan
kawan suami kau pula Mai.”
“Hesy kau ni, ke situ pula. Bukanlah...”
“Habis tu? Bukan main puji, risau pula aku dengar.”
“Nim, aku dah bincang dengan suami aku.”
Mata Hanim mula membulat. Maira ni kenapa?
Macam pelik saja butir bicara kawannya malam ni.
“Aku nak kenalkan kau dengan kawan suami aku tu.
Kau nak tak?”
Hanim terdiam. Namun seketika kemudian dia
mengeluh lemah. “Mai...”
“Hanim please... Aku nak tolong kau ni.”
“Nak tolong apa?”
“Nak tolong kau lepaskan diri kau daripada memori
silam. Nak tolong kau bina hidup baru.”
“Tapi...”
“Sampai bila kau nak macam ni Hanim? Sampai
bila kau nak bersendirian dan terus tenggelam dalam
kekecewaan?”
Tangan kiri naik memicit pelipis. Lenguh berdiri,
Hanim membawa kaki dan melabuhkan duduk di pinggir
katil. “Aku sedang cuba ni kan. Bukan kau tak tahu.” Nada
suara perlahan namun sedikit tegas.
“Ya, aku tahu. Tapi aku rasa akan lebih mudah kalau
kau berkenalan dengan orang baru. Kau faham kan maksud
aku?”
Berkenalan dengan orang baru? Mata dipejam buat
seketika. “What if it didn’t work just like before?”
“Hanim, dengar sini. Aku nak kenalkan kau dengan
dia supaya kau dengan dia dapat berkawan Hanim, bukan
kahwin terus. Kau kawan dulu dengan dia, tengok macam
mana. Korang boleh in ke tidak. Kau selesa ke tidak dengan
dia. Kalau kau rasa kau serasi dengan dia, boleh proceed ke
langkah yang seterusnya. Tapi kalau sebaliknya, just stay
friends.”
Hanim menggeleng kepala tidak percaya. Senang
sungguh Maira bercakap. Tapi yang nak kena hadapnya nanti
dia juga. “Kalau aku tak nak?”
“Hanim, janganlah macam tu. Aku betul-betul nak
tolong kau. Just give it a try, okay?”
“Aku belum bersedialah nak kenal dengan orang
baru...”
“Habis tu bila baru kau nak bersedia? Semakin kau
biarkan semakin susah untuk kau lupakan. Anggap ajelah ini
salah satu ubat untuk sembuhkan penyakit kau.”
Aduh, semakin pening pula dia rasa. “Kau bagi aku
masa untuk fikir tentang hal ni.”
“Okey. Tapi bila aku masuk ofis nanti aku nak
jawapan dari kau. Boleh?”
Hanim mula mencongak. Kalau ikutkan hari Rabu
baru Maira masuk kerja dan ini bermakna yang dia cuma ada
2 hari untuk fikirkan tentang rancangan Maira ni. “Aku bagi
jawapan minggu depanlah.”
“Nope, aku nak jawapan bila aku masuk kerja nanti.”
Hanim menjulingkan mata ke atas. Bertuahlah kalau
Maira mahu dengar kata dia sekarang. “Yalah, nanti aku bagi
kau jawapan.”
“Good girl. Jangan risau Hanim, aku gerenti yang
lelaki ni sangat sesuai untuk kau. Suami aku pun cakap
macam tu juga.”
“Hmm, whatever...”
Maira hanya ketawa mendengar jawapan Hanim.
Dengan nada suara menyampah macam itu, tahu sangat yang
Hanim tengah bengang dengannya. Tapi dia tidak kisah. Yang
penting dia nak tengok Hanim bahagia semula dan dia yakin
yang kawan suaminya itu mampu membahagiakan Hanim.
Selesai bersembang dengan Maira, Hanim
mencampakkan telefonnya ke tengah katil. Berkenalan
dengan orang baru? Berkenalan dengan lelaki lain?
Bersediakah dia untuk semua itu? Untuk melalui pengalaman
yang sama dengan orang baru. Bersediakah dia?

No comments:

Post a Comment