DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 12 December 2017

Mazrik's Signorina - Bab 8

TIA rasa ingin meraung. Puas dia mencari
sekeliling rumah, namun masih gagal menjejak bayang
Bobby. Padan dengan mukanya, merengek lagi dekat ayah
supaya tinggalkan Bobby di rumah opah walaupun ayah jelas
keberatan. Seboleh mungkin dia memujuk Haji Alis dengan
alasan Bobby jadi peneman apabila sunyi. Sudahnya, kini
Bobby hilang. Hukuman untuknya sebab tak nak dengar
cakap orang tua.
Sibuk mencari Bobby di celah-celah pokok pisang,
telefon dalam genggamannya berbunyi. Lagu Lelaki oleh
Dato’ Siti Nurhaliza; nada dering yang diletakkan untuk ayah
tercinta. Terus dijawab tanpa melihat nama pemanggil.
“Ayah, orang tak jumpa Bobby lagi.” Tia mengadu
sambil tahan air mata yang mahu keluar. Namun dia hairan
apabila Haji Alis masih tidak bersuara.
“Ayah, dengar tak? Bobby tak jumpa lagi. Dah cari kat
semua tempat tapi tak ada,” ulangnya sedikit kuat, kut-kutlah
Haji Alis tak dapat dengar dengan jelas masa pertama kali dia
beritahu tadi.
“Bobby tu siapa, adik?”
Oo mak kau pocot! Tia terperanjat. Suara Mazrik!
Tapi... untuk lelaki itu dia letakkan default ringtone. Bila
masa pula bertukar?
“Abang... ingatkan ayah adik tadi. Sorry.” Tia cuba
buat macam biasa. Suara mahu menangis dilenyapkan.
“Bobby tu siapa?” soal Mazrik lagi.
“Kucing kesayangan kami.”
“Hilang?”
“Haah. Entah semak mana dia masuk. Nanti kita
cakap lagi okey, bye!”
Tia terus menamatkan perbualan. Tangan diletakkan
ke dada. Dapat dirasakan jantungnya berdegup kencang.
Tiba-tiba, telefon berbunyi lagi. Ada WhatsApp
masuk. Apabila dibuka, ternyata daripada Mazrik.
Abang jauh. Kalau abang dekat,
abang nak sangat tolong carikan
kucing adik yang hilang tu supaya
adik tak menangis.
Sungguh Mazrik sangat sweet di mata perempuannya.
Tetapi jejaka itu salah tempat, salah orang dan salah masa.
Lalu diabaikan sahaja mesej tersebut tanpa balasan.
Sedang dia menyambung aktiviti pencarian,
telefonnya berbunyi lagi.
If you had a chance of stealing one
thing from me, what would it be?
Terus Tia mendail nombor si penghantar.
“Yes, Cik Tia Clarissa!” Julia menyapa di hujung
talian.
“Soalan apa tu Ju?” soal Tia terus pada perkara pokok.
“Soalan saja-saja. Kat sini tengah mabuk benda
tu, semua orang duk sibuk forward soalan tu pada kenalan
masing-masing. Kadang-kadang, ada jawapan yang unik dan
tak terjangka. Aku saja forward tu. Try it. Have fun!” Terus
Julia memutuskan talian sebelum sempat Tia menjawab.
Julia, rezekinya sampai dahulu. Tamat sahaja
pengajian, dia terus mendapat tawaran kerja dari tempat
lamanya tanpa perlu bersusah payah mencari.
‘Sabar Rissa, sabar... rezeki kau akan tiba nanti,’
sempat Tia pujuk diri sendiri.
Soalan yang dihantar Julia dibaca beberapa kali.
Sedikit sebanyak, Tia turut terpengaruh dengan kata-kata
gadis itu. Ah, hantar dekat Amlah!
Tapi entah apa yang merasuk fikiran, dia akhirnya
memanjangkan WhatsApp tersebut kepada Am dan juga
Mazrik. Sekadar ingin tahu apa jawapan yang mereka berdua
akan berikan.
“Meow!”
Bobby tiba-tiba muncul dari celah-celah semak.
Melenggang-lenggok dengan membawa tubuhnya yang
gemuk gebu. Telefon diletakkan ke dalam kocek, Bobby diraih
mesra. Dipeluk sayang dan digomol sepuas hati.
“By, pergi mana? Puas akak cari tau.”
“Meow...”
“Jom balik. Sini tak best, banyak nyamuk.”
Masuk sahaja ke dalam rumah, Bobby dibawa
ke dalam bilik. Diletakkan ke atas katil dan dibelai mesra
melepaskan rindu.
Seolah-olah memahami, Bobby turut meliuk
lentokkan badannya pada si tuan, membuatkan Tia semakin
geram. Dicium bertalu-talu sehinggalah mukanya mula
dijilat Bobby.
“Oh, lapar ya? Jom pergi dapur, makan.”
Bobby didukung ke ruang dapur yang sunyi. Hajah
Zainab pergi ke majlis berzanji di kampung sebelah dan Tia
pula malas mahu mengikut.
Selesai memberi Bobby makan, Tia melangkah
ke bilik semula. Perut yang turut kenyang menggamit
rasa kantuk tanpa dipinta. Dengan malas, dia merebahkan
tubuh ke atas katil. Dan ketika itu juga, telefonnya berbunyi
menandakan ada pesanan WhatsApp masuk.
Auramu yang menyebabkan
insan-insan di sekeliling mudah
mesra dan menyayangimu.
WhatsApp daripada Am. Manis bergula, tetapi entah
mengapa dia tidak mampu tersenyum. Sungguh. Dia masih
terbayang kes kecurangan Am dengan Erin.
Sekali lagi telefonnya berbunyi.
Kalau abang dapat peluang curi
sesuatu daripada adik, abang
akan curi hati adik sebab adik
seorang yang setia dan jujur dalam
perhubungan. Bila abang dapat hati
adik, abang akan dapat memiliki
adik.
Darah Tia menderu laju. Bukan, bukan ini jawapan
yang diharapkannya.
‘Ya Tuhan... dugaan apakah ini?’
Serta-merta kata-kata Hajah Zainab baru-baru ini
kembali terngiang-ngiang di telinganya. Tanpa bertangguh,
nombor telefon Wana segera didail.
“Kan dari dulu aku dah cakap, dia suka kat kau tapi
kau tak nak dengar!” omel Wana.
“Kau jangan nak gilalah, babe. Mazrik tu tunang
oranglah. Marah budak-budak kuliah kalau dengar kau cakap
macam ni. Lagipun Am aku nak campak mana?”
“Marah apanya? Budak-budak lain pun nampaklah
Mazrik tu sukakan kau. Puas diaorang bergosip, tapi kau aje
yang tak sedar,” bidas Wana lagi.
“Tak, tak. Yang aku tahu sekarang ni, aku rasa
bersalah sangat kat tunang dia, tahu tak? Aku tak sangka
Mazrik boleh cakap macam ni. Entah apa masalah dia dengan
Kak Suria tu.”
“Dia tak ada masalah langsung dengan tunang dia
tu. Masalah dia cuma... dia sayangkan kau lebih daripada dia
sayang tunang dia.”
Tia senyap. Terkelu. Terkedu. Hilang segala kosa
katanya.
“Kau dengar tak aku cakap ni, Rissa?”
“Tak.”
“Rissa!”
Tia mengeluh lemah.
“Habis tu apa patut aku buat sekarang?” Disoal Wana
yang masih di hujung talian.
Tawa Wana meledak. Lama.
“Kau tanya aku? Bagi aku, Mazrik tu lagi menghargai
kau daripada Am. Kalau kau tanya aku, aku suka Mazrik. Aku
nak kau sambut huluran tangan Mazrik tapi aku kenal kau
macam mana. Kau takkan sesekali terima Mazrik, kan?”
Tia diam. Kata-kata Wana tepat belaka. Menerima
Mazrik bermakna dia melanggar prinsipnya selama ni.
“Apa pun keputusan kau, apa pun kau nak buat
selepas ni, aku akan sokong kau, Rissa. Pilihan kau selalu
yang terbaik. Aku yakin tu,” sambung Wana apabila Tia masih
tidak menjawab pertanyaannya.
“Salah aku ke, Wana? Salah aku ke sebab layan dia
atas nama abang selama ni?”
“Yang terjatuh landasan hubungan dan tak boleh
mengawalnya tu Mazrik, bukan kau. Aku tahu kau setia pada
Am, walaupun Mazrik 100 kali lebih baik daripada Am.”
Tia hanya membisu. ‘Kalaulah kau tahu apa yang
sedang aku rasa, Wana...’

MAZRIK MERENUNG telefon di tangannya. Hati lelakinya
merasakan yang Tia seperti sengaja menjarakkan diri.
Berbelas-belas kali dia membuat panggilan, satu pun tidak
berjawab. Beberapa pesanan WhatsApp yang dihantar, satu
pun tidak dibaca oleh gadis itu. Langsung tidak ada blue tick!
Nun di Johor sana, Tia berperang dengan perasaan
sendiri. Siang bawa ke malam, Mazrik tetap tidak henti-henti
menghubunginya. Sengaja dia tidak menjawab tetapi lelaki
itu berulang kali menelefon sehingga skrinnya mencatat 17
missed call! Sehinggakan Hajah Zainab datang mengetuk
pintu bilik, memintanya supaya tidak membiarkan telefonnya
berdering tidak berjawab. Tak baik, kata Hajah Zainab. Apa
pun masalah, selesaikan secara baik, pesan opahnya itu lagi.
Lalu apabila Mazrik menelefon untuk kali yang ke-18, dia
menjawab dengan berat hati.
“Nak apa?” Dia bertanya datar.
“Kucing dah jumpa?” Soalannya dibalas dengan
soalan juga.
“Dah.”
“Dah makan malam?”
“Dah.”
“Sihat tak?”
“Sihat.”
“Dah lama kita tak borak, kan?”
Tia mencongak-congak sendiri. Baru 44 hari.
“Lama eh? Ya kut..” jawabnya tanpa perasaan.
“Tak nak tanya pasal abang ke?”
Kepala digaru. Lelaki itu yang menelefonnya dan
lepas tu suruh dia yang tanya soalan?
“Nak tanya apa?” Dengan malas dia menyahut.
“Apa-apalah. Tia Clarissa yang abang kenal sentiasa
tak kering idea untuk bercakap.”
“Bila abang nak kahwin dengan Kak Suria?” Hambek!
Nama yang dia tidak pernah sebut lagi di hadapan lelaki itu
sejak tamat pengajian di UMP kini dibangkitkan.
“Entah.” Sepatah Mazrik menjawab.
“Entah? Biar betul, abang. Takkan majlis sendiri pun
tak tahu?” Mata Tia juling sesaat. Hal besar macam ni Mazrik
ambil mudah?
“Boleh tak adik jangan sebut nama Kak Suria antara
kita? Abang tak suka.”
“Kak Suria adalah hakikat, abang.” Tegas Tia
memangkas.
“Hakikat yang boleh berubah. Kalau Dia mahu, tak
ada sesiapa yang boleh menghalang.”
Tia mengeluh. Kenapa semakin hari semakin pelik
dirasakan tingkah Mazrik?
“Tapi kita ni manusia, abang. Apa yang Dia mahu,
bukan dalam pengetahuan kita.” Kali ini dia lembutkan suara.
“Yang adik pula, kenapa beria-ia nak tahu bila abang
kahwin? Penting ke?”
“Mestilah penting! Senang nak sediakan hadiah.
Lagi awal abang beritahu tarikh, lagi banyak duit adik boleh
kumpul untuk beli hadiah abang.”
Terdengar Mazrik mendengus.
“Adik serius ke ni?” soalnya.
“Deadly serious. Memang nak bagi abang hadiah
istimewa, khas untuk abang dan Kak Suria.”
“Adik memang nak sangat abang kahwin dengan Kak
Suria?”
“Siapa yang tak nak tengok abang kesayangan
mendirikan rumah tangga dan hidup bahagia?”
Lancar sekali bibir Tia berkata-kata. Entah dari mana
kekuatan itu datang, dia sendiri tidak tahu.
“Adik bahagia ke bila abang kahwin dengan Kak
Suria?”
“Bahagia. Happy sangat-sangat!” jawab Tia seceria
mungkin walaupun hatinya mula sedikit goyah.
“Adik tak bahagia kalau hidup dengan abang?”
“Abang cakap apa ni?”
“Answer me. Adik tak bahagia kalau hidup dengan
abang?”
Tia diam. Nafas ditarik sedalam-dalamnya.
“Abang, Kak Suria tu... setitik dosa pun tak ada
dengan adik. Jadi tak ada alasan untuk adik menganiaya dia.”

TIA MULA mengubah strategi. Setiap kali Mazrik menelefon,
dia pasti akan menjawab. Setiap kali lelaki itu menghantar
WhatsApp, dia pasti akan membalas. Namun dalam setiap
‘perbualan’, pasti dia akan menyelitkan nama dan perihal Kak
Suria.
‘Kirim salam pada Kak Suria.’
‘Abang bila nak kahwin ni?’
‘Cepatlah sikit, tak sabar nak rasa nasi
minyak abang dan Kak Suria.’
Antara baris kata yang dia lontarkan setiap kali
berbicara. Dan dia hanya tergelak besar setiap kali Mazrik
menyelarnya kejam tanpa lelaki itu tahu pedih hati yang dia
sedang alami seiring dengan ketawanya yang terlontar.
“Adik...”
Panggilan telefon yang pertama daripada Mazrik
untuk hari ini. Selalunya dalam sehari beberapa kali lelaki
itu menghubunginya tetapi hari ini, sudah malam begini
baru lelaki itu muncul.
“Adik, abang akan nikah dengan Kak Suria.”
Air liur ditelan payah. Akhirnya!
“Tahniah, abang!” Tia meriangkan suara.
“Are you happy now?”
Tia gelak lembut. Gembirakah dia?
“Of course I’m happy, abang kesayangan nak kahwin
kut!”
Tawa Mazrik kedengaran hambar di hujung talian.
“Abang lupa, memang ni yang adik nak. Kan? Adik
nak abang kahwin dengan Kak Suria, jadi abang buat. Demi
adik, abang akan buat. Tapi... abang ada syarat yang adik perlu
tunaikan.”
Tia rasa seperti kerongkongnya tersekat. Beberapa
detik dia terdiam, tidak mampu untuk bersuara.
“Syarat apa?” Akhirnya dia menyoal perlahan.
Hatinya mula merusuh tanpa dipinta.
“Mulai saat ini, abang tak nak dengar langsung adik
sebut nama Kak Suria setiap kali adik bercakap dengan abang.
Same goes to WhatsApp, no more mentioning her name.”
“Kalau adik tersebut?”
Suara Mazrik yang berubah serius langsung tidak
membuat Tia takut. Dia kenal Mazrik. Lelaki itu tidak pernah
pandai untuk memarahinya.
“Kalau adik tersebut nama dia...” Mazrik jeda
sambil menarik nafas dalam-dalam. “Pernikahan kami akan
dibatalkan tanpa fikir dua kali dan adik akan bertanggungjawab
untuk semuanya.”
“Abang!”
“Takut?”
Tia bungkam. Hilang segala patah kata. Dia tidak
takut, cuma dia risau dengan mulutnya yang telah terbiasa
menyelitkan nama Kak Suria dalam setiap perbualan mereka.
Perkara yang telah menjadi habit, bukan mudah untuk
ditolak tepi sekelip mata.
“Sebulan, adik. Kami nikah lagi sebulan. No Kak
Suria at all between us selama sebulan ni or else...”

“BABE...”
Mata Tia meliar ke sekeliling ruang restoran Kenny
Rogers. Masih ramai pelanggan yang belum menerima
makanan. Masa ni sesuai kut!
“Aku nak pergi toilet sekejap. Kau tunggu sini eh?”
Cepat-cepat ditinggalkan Wana sebelum gadis itu banyak
tanya.
Tia melangkah masuk ke dalam MPH di tingkat 3.
Waktu tengah hari begini pun ramai pengunjung di dalam
kedai buku ini. Jadi, siapa cakap rakyat Malaysia malas
membaca? Waktu bekerja pun ramai yang berkunjung
mencari bahan bacaan, bukan hanya tunggu masa Pesta
Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di PWTC tu aje.
Tia terus ke bahagian ‘Agama’ yang terletak
bersebelahan dengan rak ‘Motivasi’. Baris demi baris
mata membaca sehinggalah sampai di barisan al-Quran
dan terjemahan. Ada bermacam-macam saiz, warna dan
layout yang berbeza. Tangannya akhirnya menarik sebuah
terjemahan al-Quran bersaiz sederhana besar yang kulitnya
berwarna hitam bertulisan emas.
Terjemahan al-Quran tersebut dibuka dan Tia
membelek ciri-ciri yang ada sebelum mula membaca
terjemahan di tiga muka surat pertama. Berpuas hati kerana
terjemahan bahasa Melayu tulen sepenuhnya, dia membawa
kitab al-Quran yang lengkap dengan terjemahan itu ke
kaunter pembayaran. Sempat dia mencapai beberapa keping
kertas minyak dan pembalut hadiah yang bersusun di tepi
kaunter.
Usai membuat pembayaran, Tia kembali kepada Wana
yang menanti di Kenny Rogers. Bila gadis itu mengangkat
kening menyoal lanjut, dia hanya menggeleng, enggan
bercerita. Barang-barang yang dibeli tadi juga semuanya
telah selamat dia sumbat ke dalam beg galas di belakangnya,
jadi Wana tidak nampak dan tiada modal untuk menyoal.
Sampai di rumah Hajah Zainab, Tia mengeluarkan
terjemahan al-Quran yang dibeli di MPH tadi dan diletakkan
ke atas meja. Pen hitam berdakwat cair dalam bekas pen
dicapai dan dia mula menulis di muka surat depan yang
kosong.
Khas untuk Abang Mazrik & Kak
Suria,
Selamat Pengantin Baru. May Allah
bless both of you.
Selesai menulis, Tia letak perkataan ‘Adik’ dan
tandatangannya. Semoga perkataan ‘Adik’ itu tidak
membuatkan Kak Suria salah faham dan memikirkan yang
bukan-bukan tentang hubungannya dengan Mazrik.
Setelah itu, dengan penuh hati-hati, Tia membalut
naskhah terjemahan al-Quran tersebut dengan kertas
pembalut hadiah sebelum membalutnya dengan kertas
minyak beberapa lapis. Berpuas hati dengan ketebalan
balutan, Tia menulis nama penerima dan alamat di salah satu
bahagian sebelum bungkusan itu dimasukkan kembali ke
dalam beg galasnya.
Siap.
Esok dia akan ke pekan dan singgah di pejabat Pos
Laju untuk mengeposkan bungkusan istimewa tersebut.

TELEFON TIA berbunyi. Dia yang baru sahaja berbaring
di atas katil jadi tersentak. Siapa pula yang menelefon
lewat-lewat malam begini? Dengan malas Tia bangun menuju
ke meja solek. Sempat dia mengeluh sebelum jari menyentuh
ikon hijau.
“Assalamualaikum.” Tia menghulur salam sambil
membawa tubuh kembali berbaring di atas katil.
“Waalaikumussalam. Adik dah tidur ke? Sorry
kacau.” Suara Mazrik perlahan tetapi masih jelas di telinga
Tia.
“Dah tahu adik mungkin dah tidur, kenapa telefon
juga?” bidas Tia dengan suara yang perlahan. Bimbang Hajah
Zainab yang tidur di bilik sebelah terjaga kalau dia kuat
bersuara.
“Sorry...” ucap Mazrik di hujung talian. Kemudian
senyap.
Tia menunggu untuk Mazrik bersuara, tetapi selepas
5 minit, lelaki itu masih senyap.
“Abang, kenapa ni? Kalau tak ada apa nak cakap,
baik letak.” Akhirnya Tia terpaksa mengalah. Takkan hendak
senyap begini sampai ke pagi?
“I miss you.”
“Abang, adik dah cakap kan, adik tak nak dengar
apa-apa berkaitan hati dan perasaan?” tegas Tia membalas.
“Please, adik. Bagi abang peluang, sekali aje... Malam
ni aje masa yang abang ada sebelum abang nikah esok,” rayu
Mazrik.
Tia ketap bibir sekuat hati demi cuba menahan
sebak. ‘Ya Allah, kuatkan hatiku...’
“Abang dah ready nak pegang tangan tok kadi esok?
Jangan lupa berlatih, nanti tak pasal-pasal 10 kali lafaz akad.”
Tia cuba mengubah suasana supaya menjadi ceria.
“Abang akan ready kalau bakal isteri abang tu adik.”
“Abang cakap apa ni!” Tia tidak dapat menahan
marah.
“I really miss you,” ulang Mazrik lagi.
“Adik tahu...”
“Adik tak rindu abang ke?”
“Tak.” Tia menjawab datar.
“Abang tak percaya yang abang hanya bertepuk
sebelah tangan,” balas Mazrik tidak puas hati. Dia yakin, si
gadis yang dirindui mempunyai rasa yang sama sepertinya.
“Abang... abang sedar tak yang esok abang nak
nikah? Abang bakal bergelar suami pada Kak Suria, bukan
adik. Berdosa kalau abang masih fikirkan adik yang memang
takkan jadi milik abang. Abang lelaki, abang kena kuat tentang
hasutan syaitan pada abang sekarang ni. Abang faham tak?”
“Habis kalau abang kahwin nanti, adik macam
mana?”
“Macam mana apa? Hidup macam biasalah.”
“Siapa nak jaga adik?”
Tia gelak.
“Abang ni lawaklah. Adik ada ayah dan ma untuk
jaga adik. Am pun ada.” Sengaja Tia menyelitkan nama Am.
“Sampai bila-bila pun adik memang akan pilih Am,
kan?” tuduh Mazrik.
“Good night, abang. Dah lewat ni. Bakal pengantin
tak boleh tidur lewat, tak elok. Assalamualaikum.” Tia
menamatkan perbualan sebelum Mazrik membawa perbualan
mereka ke tahap yang dia tak suka.
Putus sahaja talian, selimut ditarik ke paras
dada dan Tia menekup muka dengan bantal, menangis
semahu-mahunya. Sungguh, dia juga rindukan Mazrik.
Terlalu rindu. Tetapi dia tidak sanggup untuk merampas
kebahagiaan Kak Suria yang langsung tidak bersalah. Dia
harus menerima takdir yang telah Allah tentukan untuk
mereka bertiga. Dia mungkin kehilangan Mazrik, namun
dia masih ada keluarga untuk menjaga, melindungi dan
menyayanginya.

“NAK KE mana tu, Rissa?” Hajah Zainab menegur Tia yang
sedang menyarung selipar.
“Nak pergi rumah Wana sekejap, opah.”
“Tengah-tengah hari buta ni?”
“Sekejap aje opah. Wana cakap ada barang dia nak
bagi,” balas Tia sopan.
Setelah Hajah Zainab tidak lagi menyoal, Tia berjalan
kaki menuju ke kawasan bawah yang terletaknya rumah
Wana. Namun bukan rumah Wana yang dia tuju, sebaliknya
kakinya melangkah ke arah sungai. Memang ini tujuannya,
membawa diri ke sungai ini. Rumah Wana hanya sebagai
alasan.
How I wish you were here...
WhatsApp yang diterimanya sebaik sahaja usai solat
subuh, yang mengganggu perasaan dan menyebabkannya
membawa diri ke tempat tersorok ini.
Tia mengambil tempat di atas sebiji batu besar yang
terletak di bawah sebuah pokok rendang di tebing sungai.
Waktu matahari tengah mencanak naik begini, dia yakin tidak
akan ada sesiapa yang mahu menjengah sungai ini. Sebab tu
dia berani membawa diri ke sini. Cuba mencari kekuatan
saat hati sedang gundah-gulana. Cuba mengekalkan benteng
iman yang sedang hebat diasak oleh hasutan perasaan.
Jam di skrin telefon pintar menunjukkan pukul
12.20 tengah hari. Entah pukul berapa Mazrik akan melafaz
akad hari ini, dia tidak tahu. Lelaki itu tak pernah cakap, dan
dia pun tak pernah tanya.
Bagaikan diseru-seru, telefonnya yang berwarna
putih itu berbunyi dan nama Mazrik naik di skrin. Walaupun
hati perempuannya teringin untuk mendengar suara lelaki
itu untuk kali terakhir, akalnya tidak mengizinkannya sama
sekali. Tak, tak boleh! Sudah tiba masanya untuk dia menjaga
emosi sendiri.
Seminit kemudian, ada WhatsApp baru masuk.
Daripada Mazrik!
Adik, abang tahu adik sengaja tak
angkat telefon. Abang tahu yang
malam tadi adalah kali terakhir
abang dapat cakap dengan adik.
Lepas zohor nanti, majlis akad nikah
abang. Adik jaga diri baik-baik, take
care.
Buat kesekian kalinya, air mata Tia gugur lagi.
Pesanan itu... mungkin jua pesanan itu adalah kata-kata
terakhir yang dia akan terima daripada Mazrik.
Dengan jari yang terketar-ketar, dia menaip kata-kata
balasan.
Tahniah, abang. I’m happy for you
Hadiah adik dah pos. Mungkin akan
sampai rumah abang dalam 2-3
hari. Adik doakan rumah tangga
abang & Kak Suria kekal bahagia
hingga ke syurga.
Tia tekan butang ‘send’ lalu telefon tersebut ditutup.
Biarlah. Untuk sementara waktu, dia benar-benar tidak mahu
diganggu. Dia mahu melepaskan semua rasa yang terbuku
tika ini.
Sedang lebat dengan air mata, terdengar derapan
kaki dari arah belakang. Laju dia menyeka pipi yang basah,
tidak mahu menimbulkan sebarang pertanyaan kepada insan
tersebut.
“Babe, kat sini pun kau!”
Wana muncul di sebelahnya dengan muka yang
tersengih-sengih.
“Aku pergi rumah opah tadi, tapi opah cakap kau
beritahu dia kau datang rumah aku.”
“Haah, aku memang nak ke rumah kau tapi aku
singgah sini kejap.” Dilayangkan senyuman untuk Wana yang
dia sedar terlalu tawar.
“Kau singgah sini, buat apa tengah-tengah hari buta
ni?”
“Saja, lepak-le...”
“Kejap, kau nangis eh?” Wana cerunkan pandangan.
“Tak adalah.”
“Babe...”
“Tak, mana ada aku nangis! Tak ada sebablah aku nak
nangis! Jom, kita balik rumah kau.”
Punggung diangkat dari batu besar dan kaki mula
mengatur langkah.
“Babe...”
Tia mengeluh.
“Apa lagi Cik Wana oii?”
“Hari ni Mazrik kahwin, kan?”
Langkah terus jadi kaku.
“Kau dah wish dia?”
Tia pandang wajah Wana sambil cuba menahan air
mata yang ingin gugur.
“Dia ada call aku tadi, tanya kau. Pelik aku. Dia tak
call kau ke?”
Mata dipejam rapat. Perit.
“Babe?”
Wana terkedu. Tanpa sepatah kata, dalam keadaan
berdiri, dengan mata yang terpejam, pipi Tia basah dengan
manik-manik mutiara.
“Babe, kau okey tak ni?” Wana panik. Sejak kecil, dia
memang tak pandai nak pujuk orang.
“Eeeiiii, janganlah nangis! Aku tak boleh tengok
orang nangis-nangis ni, langsung kering darah putih dalam
badan aku!”
Esakan Tia menjadi semakin jelas. Nyaris terjelepok
jika tidak disambut oleh Wana.
“Wana, aku... aku...”
“Okey, okey. Aku tahu kau tak okey. Nangislah kalau
kau rasa lega, aku temankan kau kat sini.” Wana tarik Tia
ke dalam pelukannya. Sungguh dia tidak tahu nak buat apa.
Hanya ini yang dia terfikir.
Lama kedua-duanya sunyi tanpa sebarang bicara.
“Babe...” seru Tia dengan suara yang serak. “Tolong
aku boleh?”
Wana angguk.
“Kau nak aku tolong apa?”
“Jangan cerita kat sesiapa pasal aku nangis ni, please.
Not even a single person.”
“Err...”
“Please. Kau dah janji nak tolong aku, kan?”
Perlahan-lahan Wana angguk.
“Thanks, Cik Nur Iwana.”
“Tapi aku ada satu syarat.”
“Apa dia?”
“Jangan nangis lagi. Cukup sekali ni. Aku tak nak
tengok kau nangis lagi.”
“A’ai, madam!” Tia ukir senyum nipis.
“Dah, jom balik. Aku laparlah,” ajak Wana. “Makan
kat rumah kau ya, tadi opah cakap dia buat laksa.”
“Kau ni kalau laksa...”
Wana sengih.
“Aku kan ratu laksa. Lagipun laksa opah is the best,
tak ada orang boleh lawan.”
“Hesy, kecil hati mak kau kalau dia dengar.”
“Masalahnya mak aku pun cakap benda yang sama.”
Tawa kedua-duanya bergabung.
“Jom, jom.”
Kedua-duanya menapak seiringan meninggalkan
kawasan sungai. Matahari yang sedang terik, membakar kulit
mereka tanpa sebarang belas kasihan.
“Kalau perut aku dah kenyang, memang aku terjun
dalam sungai tu tadi. Panas-panas ni berendam dalam sungai,
maksyuk!”
“Mana ada orang terjun sungai tengah-tengah hari
buta?” tempelak Tia.
“Tak sepelik orang bawa diri ke tepi sungai
tengah-tengah hari buta, kan?”
Tia jelir lidah. Langsung tidak berkecil hati dengan
sindiran yang diterima.
Masuk ke simpang rumah Hajah Zainab,
pemandangan depan mata buat Tia tertanya-tanya. Laman
rumah Hajah Zainab yang menghijau tersadai kereta Exora
ayahnya dan Fortuner hitam. Apa Am buat di sini?
Ditoleh Wana di sebelah, gadis itu hanya menjongket
bahu.
“Tak tahu. Tadi masa aku datang diaorang tak ada
lagi.”
Meneruskan langkah, tubuh Hajah Ruhani muncul
di celah pintu yang terbuka. Tanpa diduga, wanita itu
berlari mendapatkannya, membuatkan hati Tia bertambah
tertanya-tanya. Dan belum sempat dia melontar soalan,
tubuhnya ditarik ke dalam pelukan.
“Am datang merisik. Kami sangat happy tapi apa-apa
pun adik yang buat keputusan okey?”
Penjelasan Hajah Ruhani menyebabkannya segera
mencari wajah Wana dan ternyata, gadis itu juga terkejut.
“Jom masuk, Am tunggu adik daripada tadi.” Suara
Hajah Ruhani kedengaran sungguh gembira.
Dan seperti dipukau, kaki Tia hanya mengikut.
“Hai, darling.”
Tubuh Am berdiri segak di hadapannya. Dan
seolah-olah memberi ruang, Hajah Ruhani meninggalkan
Am berdua dengannya di tangga, dengan tubuh Wana diheret
sama supaya masuk ke dalam rumah.
“Tia Clarrisa binti Haji Alis, will you marry me?”
“Kenapa tiba-tiba?” Entah kenapa, itu yang terbit
dari bibir perempuannya.
“Sebagai tanda mohon maaf. Sebagai bukti yang
hanya Tia Clarissa dalam hati Amir Hamzah, bukan gadis
lain.”
“Habis tu, Erin?”
Am senyum.
“My silly mistake, I guess.”

No comments:

Post a Comment