DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 11 December 2017

Mama Ekspres - Bab 4

TANGAN ligat menyapu jem di atas roti
sementara si anak masih terkial-kial di depan tangga dengan
muncung flamingo.
“Dafi... cepat minum.”
“Ya...” Lemah saja Dafi mendekat ke arah meja.
“Mari sini papa tolong.” Dini bersuara. Tangan
menepuk-nepuk habuk roti sebaik sahaja menyapu jem.
“Hesy, susah betullah. Papa, boleh tak Dafi tak pakai
benda ni? Lecehlah.” Naik juling mata Dafi pandang objek di
tangannya.
“Tie.”
“Yalah tie ni. Boleh tak?” Dafi kerut muka menunggu
reaksi Dini.
Sesekali senyum Dini muncul bila tengok muncung
si anak makin panjang. Dah budak kecil namanya, mana tahu
nak sabar. Tahu dah pakai nak cepat siap. Itu saja. Dan dialah
yang kena beri bantuan.
“Tak boleh Dafi. Ini peraturan sekolah. Dafi kena
ikut, barulah anak papa ni nampak handsome dan kemas,”
pujuk Dini sambil memuji. Kolar baju Dafi dikemaskan.
“Owh, siapa yang pakai tie ni handsome ya pa?
Maknanya papa tak handsomelah, sebab papa selalu pergi
kerja tak pakai tie?”
Aduh! Rasa macam muka kena tampar bila
mendengar soalan si anak. Terkena pula dia pagi-pagi ni.
Tie siap diikat.
“Dafi, handsome tu bukan sebab pakai tie. Tapi sebab
semula jadi, macam papa ni. Tak pakai tie pun dah lebih dari
handsome. Kalau pakai lagi hebat handsomenya. Cuma beza
pakai tie ni kemas dan ada gaya. Barulah ada keyakinan diri.
Dafi kata nak jadi pelajar cemerlang. Kenalah ikut peraturan
sekolah dan ada disiplin diri. Okey baby?” jelas Dini.
“Dafi dah faham. Papa pun disiplin juga, kan? Sebab
itulah baju papa putih bersih macam Dafi. Tapi... disiplin tu
apa papa?”
Dini senyum lebar. Sungguh! Anaknya ni tak pernah
terlepas bertanya dan terus bertanya.
“Disiplin tu maksudnya, sikap atau perangai
seseorang yang berpengaruh besar dalam semua hal. Tak
kiralah hal peribadi atau hal-hal lain. Jadi, untuk ada disiplin
diri, setiap orang kenalah ada kesedaran diri untuk semua
perkara yang dia buat. Walaupun tengah makan macam ni.
Tak boleh main korek-korek aje hidung. Kalau termasuk
dalam jem, siapa pun tak nak makan.”
Dafi tersengih. Cepat-cepat dia mencapai sehelai
tisu. Bukan salah dia. Dia tak sengaja. Hidung tu sendiri yang
gatal minta digaru.
Dini bangun dan pantas mencapai beg sekolah
anaknya di tepi tangga. “Okay, time’s up! Nanti-nanti papa
cerita lagi. Sekarang minum dulu. Nanti lewat sampai ke
sekolah. Tentu kawan-kawan Dafi dah sampai. Cepat minum.”
Cawan disorong ke depan Dafi. Roti yang bersapu
dengan jem dihulur depan si anak.
Lambat saja tangan Dafi nak pegang cawan. Rupanya
baru dia sedar, jari yang korek hidung tadi belum dicuci lagi.

DI DALAM kereta, Dafi membelek-belek buku cerita.
Sempatlah sehelai dua muka surat dibaca.
“Papa ada kawan baik?” tanya Dafi tiba-tiba.
“Ada.”
“Kawan jahat?”
Dini toleh pada si anak yang sedang memandang.
Soalan itu kedengaran pelik. Baki roti yang masih dipegang,
disua ke dalam mulut. “Ada juga. Kenapa Dafi tanya kawan
baik dengan kawan jahat ni?”
“Dafi tak sukalah kawan dengan Mirza. Dia selalu
kacau Dafi dekat sekolah. Lepas tu dia tak bagi Dafi kawan
dengan Risya. Geramlah pa. Kalau Dafi ada kuasa, sekarang
juga Dafi tukar dia jadi kereta lembu.” Tangan yang memegang
buku dihala ke depan. Dafi angkat kening.
Hampir tercekik roti yang Dini kunyah tadi. Apa ke
hal anaknya fikir sampai nak tukar orang jadi kereta lembu?
Pelik betul. Dah muak sangat ke naik Nissan dia yang berkilat
ni?
“Takpelah, Dafi kawan dengan orang yang nak kawan
dengan Dafi. Biarkan dia. Nanti-nanti dia naklah kawan
dengan Dafi, okey?” Dini senyum.
“Tapi kan pa... dia selalu ejek Dafi. Dia kata Dafi
ni penyibuk dekat sekolah tu, budak berlagak, anak yatim
bertatu. Sebab itulah Dafi geram. Dafi kawan aje dengan
semua orang, tapi dia tu yang saja nak dengki,” luah Dafi siap
dengan pakej muncung sedepa.
Tapi bila pandang muka papanya, Dafi tersenyum
manis. Saja nak lakonkan watak waktu dia tengah marah.
Biar papanya faham keadaan dia masa tu.
Dini faham benar cara anaknya memandang tu.
Sebelum menjawab dia menggeleng.
“Anak papa ni, kan budak baik. Mungkin sebab itulah
dia saja nak tarik perhatian Dafi. Dia malu nak cakap agaknya
sebab anak papa ni garang sangat kut.”
“Biarlah. Dafi tak suka dia, sebab dia selalu marah.
Dafi tak buat salah pun, dia ejek-ejek Dafi. Dafi cuma nak
kawan dengan semua orang, bukan nak gaduh. Ustaz kata,
kalau kita selalu ejek-ejek orang nanti Allah tak sayang. Dia
dapat dosa, Dafi dapat kelapa.”
Kelapa? Terburai ketawa Dini. Penuh yakin dia
tengok muka si anak bercakap. Tapi rupanya salah. Pagi-pagi
lagi Dafi dah buat lemak dekat perut dia geli-geli.
“Bukan kelapa sayang, pahala. Kelapa tu buah.
Airnya boleh diminum, isinya boleh dimakan. Itu kelapa,”
terang Dini. Dia mengeluh perlahan. Sebagai papa, dia kena
faham apa yang anaknya selalu suarakan. Lebih-lebih lagi
anak yang terlebih bijak macam anaknya ini.

DINI SENYUM bila tiba di depan pintu pagar. Rutin seorang
Dini Al-Farid setiap hari, memang dia tak pernah lupa. Pintu
kereta dibuka, memberi laluan untuk si anak keluar.
“Ingat pesan papa ta...”
“Kawan dengan semua orang. Tak payah nak
gaduh-gaduh,” pintas Dafi terlebih dulu.
“Aik? Papa cakap macam tu ke tadi?” Dini peluk dada.
“Tak. Lain. Dafi tak ingat,” jawab Dafi, mudah. Kepala
digaru sambil tersengih.
Dini menggeleng perlahan. Anaknya yang satu ini
memang terlalu manja. Manja sampai dia sendiri khuatir
jika perasaan anaknya boleh terganggu dengan perkara yang
remeh.
“Dengar papa cakap.” Dini berlutut. Tangan naik
memegang wajah comel Dafi.
“Papa nak Dafi belajar elok-elok, jadi budak baik
yang paling bijak dan kawan dengan semua orang. Dafi
datang ke sekolah untuk belajar dan dapat ramai kawan. Ada
apa-apa masalah, Dafi beritahu dengan cikgu. Jangan takut.
Papa sentiasa ada untuk Dafi, okey.” Kata-kata semangat Dini
untuk anak lelaki dia.
“Okey.” Lambat-lambat Dafi menjawab.
“Kalau okey, senyumlah. Kenapa buat muncung
itik?” Dini angkat kening memberi isyarat.
Dafi terus tersenyum lebar bila dengar ayat papa dia.
Melayang terus rasa nak mengeluh. Ingatkan nak berselfie
depan telefon saja dipanggil muncung itik. Rupanya merajuk
pun papa panggil muncung itik. Suka pula dia dengar ayat
papa tu.
“Haa... macam itulah anak papa. Anak bijak...” Dini
angkat tangan.
“Anak papa,” sambung Dafi pantas menepuk tapak
tangan Dini.
Ayat biasa bila setiap kali nak memujuk. Ayat yang
cuba mengembalikan wajah ceria si anak dan dalam masa
yang sama akan terlihat wajah comel Dafi kembali beraksi
seperti biasa.
“Good boy.” Dini mencium dahi Dafi. Kemudian pipi
sebelah kiri, diikuti pipi sebelah kanan.
“Papa!” Dafi kerut kening.
“Ya.”
“Papa nak malukan Dafi ke?” bisik Dafi sambil
bersahaja menarik telinga papa dia.
Dini buat muka tak faham. Bila masa pula dia
malukan anak sendiri?
“Malulah kalau kawan-kawan Dafi tengok nanti.
Salam aje cukuplah, tak payah cium-cium lagi. Dafi dah
besar.” Petah Dafi memberitahu.
Dini tersengih. Pasal tu? Pandai pula anaknya buat
peraturan sekarang.
“Okay baby.”
“Papa!”
“Apa lagi?” Kali ini Dini berkerut dahi pula.
“Bukan baby, a... bang!”
Itu memang lucu. Rasa nak ketawa ditahan-tahan.
“Bila masa pula anak papa jadi abang? Dafi bukannya
ada adik.”
“Yalah, baby... kan kecik. Berak pun dalam Pampers.
Mana sama dengan Dafi. Dafi dah besar, dah pandai cakap, dah
sekolah pun. Jadi, papa kenalah panggil abang. Malulah kalau
kawan-kawan dengar.” Dekat rumah dia baby, tapi dekat
sekolah dia abang. Dia nak juga bergaya macam papanya. Bila
orang jumpa panggil Encik DAF, bukan panggil papa macam
gelaran dekat rumah.
“Okeylah Abang Dafi. Pergi masuk kelas cepat, nanti
lambat. Ingat pesan papa tadi.”
Dafi senyum. Nasib baik kawan-kawan dia jeling
aje tapi tak dengar. Kaki laju berjalan memasuki kawasan
sekolah.
Dini angkat tangan, melambai wajah ceria si
anak walaupun semakin jauh. Sambil mengundur gerak
langkahnya diatur menuju ke arah kereta. Jam tangan
dipandang sekilas. Isy, dah lambat!
Masuk saja ke dalam badan kereta, enjin kereta
dihidupkan. Sedang Dini mengundurkan kereta ke belakang...
Banggg..!
Cermin pandang belakang dipandang. Aduh! Kereta
siapa pula tiba-tiba parkir di belakangnya? Tadi tak ada. Dini
cepat-cepat turun. Sudahlah lambat, bertambah lambat lagi
dia pagi ni.
“Mm... ma... maafkan saya cik. Sa... saya tak sengaja,”
ucap Dini.
“Takpelah, dah nak kena. Lagipun salah saya masuk
tak bagi signal tadi,” balas si gadis. Kaca mata yang bertenggek
pada batang hidung diangkat ke atas kepala.
‘A... la... mak! Mencakar hati menggegar jantung.’
Hati Dini berbisik.
“Kereta encik tak apa-apa, kan?”
“Ta... tak. Sa... saya okey. Ha... hati sa... saya pun
okey.” Tiba-tiba Dini jadi gagap. Ditanya lain, dia jawab lain.
Tersenyum-senyum, entah sedar atau tidak apa yang mulut
sendiri tengah bercakap.
“Apa encik cakap?”
“Ma... maksud saya, kereta ni cantik macam
tuannya.” Dini senyum nipis.
Cepat-cepat muka dia paling ke tepi. Mulut
ditepuk-tepuk perlahan. Jawapan entah apa-apa! Memang
sengaja mulut dia ni nak buat hal. Nampak perempuan cantik
sikit, dah menggedik.
Ya ke cantik? Dia tengok biasa aje. Lelaki ni rabun
agaknya. Dalam pelik-pelik, si gadis mengangguklah juga.
“Alah... patah.” Si gadis berdecit.
“Hah! Patah?” Telinga Dini memang pantang dengar
perkataan tu.
“Cik ada patah mana-mana ke? Nak saya bawakan
ke klinik? Saya minta maaflah sebab betul-betul tak sengaja
langgar kereta cik tadi. Salah saya, sebab nak reverse tak
pandang cermin belakang. Cik okey ke? Kalau perlu, saya
hantar ke klinik.” Dini gelabah.
Tak tentu arah tangan dia nak memegang. Sekejap
pegang dahi, sekejap bercekak pinggang, mundar-mandir tak
tentu hala. Haru-biru dia bila terdengar perkataan patah tu
di telinganya.
“Encik, saya tak apa-apa. Yang patah tu cuma
bumper kereta saya ni. Bukan saya.”
Mata Dini beralih pada telunjuk si gadis. Memang dia
nampak perempuan ni cukup sifat. Tak ada apa yang cacat,
luka atau tersenget di mana-mana. Betullah tu. Barangkali
dia yang gelabah melebih-lebih. Dini tarik nafas lega.
“Saya minta maaf. Disebabkan saya kereta encik
calar. Tunggu kejap ya, saya ambil beg duit kat dalam kereta.”
“Eh, tak payahlah cik. Saya nak cepat. Ini kad saya.
Kalau ada apa-apa, cik boleh datang ke alamat ni.” Dini
menghulurkan sekeping kad yang dikeluarkan dari dalam
wallet.
“Okey... hmm... saya Felisy.” Felisy menghulurkan
tangannya dengan senyuman.
Dini tersenyum nipis. Tangan halus Felisy dipandang
lama. ‘Bahaya ni! Rasanya luka tak tangan perempuan cantik
ni kalau dia pegang? Tangan dia bukan menentu. Bila terlebih
aura miang, boleh bertukar jadi duri. Tak payah kut nak
salam-salam.’ Hati Dini sempat bercakap. Sudahnya...
“Panggil saya Dini aje.”
Felisy termalu sendiri. Perlahan tangan ditarik
dan disembunyikan di belakang badan. Belum pernah lagi
dia berjumpa lelaki menolak bersalam dengan perempuan.
Ini pertama kali. Malu agaknya. Tak pun dia memang tak
bersalam dengan perempuan yang bukan mahram. Rasa tebal
muka Felisy sekejap. Baru berundur selangkah, masa itu
jugalah kaki dia mengada-ada nak terkehel.
“Auww!” jerit Felisy sebelum terjelepok di tepi badan
kereta sendiri.
“Eh! Cik okey ke?” Dini berani tanya, tapi nak
menolong memang dia tak berani nak usik.
Felisy mengangguk dengan senyum. Memang dia tak
okey. Tapi kalau berdiri macam pak pacak, tak menolong...
buat apa!
“Boleh senyum? Eh, tak. Mak... maksud saya, boleh
bangun?”
“Rasanya boleh.” Felisy terkemut-kemut senyum
sambil menahan sakit. Masa inilah kasut tumitnya nak
malukan tuan sendiri.
Dini mendekat sambil membongkok. “Hmm... kalau
macam tu cik...”
“Felisy,” sebut Felisy dengan jelas sekali.
“Haa... Cik Felisy bangun sendirilah ya. Saya dah
lambat ni.” Dini hala jam tangan di depan Felisy. Dengan
selamba dia melangkah ke keretanya. Pintu kereta dibuka.
Felisy kerut muka. Sedihnya dia! Kurang asam
punya mamat! Dia rasa nak mengaum saja macam harimau
biar lelaki tu patah balik dan tengokkan dia.
“Pandu hati-hati ya cik. Jalan depan tu banyak
simpang. Bagi signal sebelum nak masuk.” Dini tersengih.
Pintu kereta laju ditutup.
Felisy jatuh bahu. Dia punyalah susah payah buat
muka kesian nak minta tolong. Tapi lelaki tu boleh buat muka
tak faham. Macam ni punya lelaki pun ada? Hmm... dia tak
pelik pun. Perlahan kaki dikuatkan untuk bangun. Cuma dia
geram. Kenapalah tumit kasut dia sengaja buat hal kat depan
lelaki berlagak cool tu tadi? Hesy!

No comments:

Post a Comment