DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 11 December 2017

Kunci Hati Hanim - Bab 5

KEPALA ditongkat pada stereng kereta dan
mata dipejam rapat. Apa yang terjadi hari ini cuba diusir dari
ingatan. Tetapi, seorang Hanim bukanlah semudah itu untuk
melupakan. Semuanya bagaikan filem yang diulang tayang
tanpa sebarang gangguan. Mengeluh lagi. Itu saja yang
mampu Hanim lakukan sejak tadi. Mengeluh, mengeluh dan
terus mengeluh.
Sedang dia hanyut melayan perasaannya sendiri,
cermin kereta diketuk dari luar. Pantas Hanim menoleh.
Kelihatan Tuan Yazid sedang berdiri tegak sambil bercekak
pinggang di sebelah keretanya. Tanpa berlengah, Hanim terus
keluar.
“Ayah dah lama sampai?” Tangan dihulur untuk
bersalam.
“Baru aje. Hanim baru balik ke?” Tuan Yazid
menjeling ke arah pintu utama rumah, mencari bayang
anak-anaknya yang lain.
“Ya ayah. Jom masuk.”
Pintu kereta ditutup rapat sebelum dia menarik
tangan ayahnya untuk ikut masuk ke dalam rumah yang
dihuni bersama abang dan adiknya.
“Tak payah, dekat sini aje.”
Sekali lagi Tuan Yazid menjeling ke arah pintu
utama yang tertutup rapat. Faham dengan pandangan mata
ayahnya, Hanim berdeham.
“Abang belum balik, Rul pun tak ada. Jomlah masuk
ayah.” Sekali lagi tangan ayahnya ditarik supaya mengikutnya
ke dalam.
Tetapi sekali lagi Tuan Yazid menolak. “Tak apalah
Hanim, dekat sini aje.” Pegangan Hanim dileraikan dan Tuan
Yazid bergerak ke arah kerusi batu yang terdapat di laman
rumah.
“Hanim ada masalah ke?” soal Tuan Yazid setelah
melabuhkan duduk di kerusi batu itu.
Hanim bergerak mendekati ayahnya dan turut
melabuhkan duduk berhadapan dengan Tuan Yazid. “Kenapa
ayah tanya macam tu?”
“You look awful. Dengan menongkat kepala pada
stereng kereta macam tu, apa lagi kalau bukan sebab ada
masalah.”
Hanim memandang ke dalam mata Tuan Yazid.
Tanpa sedar matanya mula berkaca.
‘Ayah peduli, ayah peduli tentang semuanya.
Siapa cakap ayah tak peduli tentang anak-anak dia?’
Berdentam-dentum suara hati Hanim berbicara.
“Ayah...”
Setitis air mata jatuh membasahi pipi Hanim.
“Hanim kenapa? Ada masalah dekat tempat kerja
ke?” soal Tuan Yazid lagi sambil tangan naik mengusap pipi
Hanim yang basah.
Gelengan diberikan sebagai jawapan. “Tak, bukan
masalah kat tempat kerja.”
“Habis tu?”
Bibir Hanim kemas terkunci. Entah kenapa apabila
tiba soal Meor, mulutnya terasa berat untuk berbicara.
“Atau... ini semua tentang Meor?”
Mata Hanim membulat. “Macam mana...”
“Ada dua yang paling penting dalam hidup Hanim
yang ayah tahu. Satu, keluarga Hanim. Dua, Meor. Jadi,
kalau bukan masalah dekat tempat kerja mestilah masalah
berkaitan dengan apa ayah nyatakan tadi, kan?”
Tanpa teragak-agak Hanim angguk mengiakan. “It’s
about Meor.”
“Kenapa dengan Meor?”
Nafas ditarik dalam. “Meor dah move on ayah, dia
dah kahwin semula.”
Tuan Yazid diam mendengar.
“Dia dah bahagia dengan hidup dia sekarang.”
Mata Hanim memandang lurus ke hadapan.
Kenangan antara dia dengan Meor masih berselirat dalam
kepala. Sungguh, mahu melupakan itu bukan senang.
Namun apa lagi jalan yang dia ada. Melihat kebahagiaan Meor
membuatkan hatinya robek. Kenapa Meor bahagia sekarang?
Kenapa tidak dulu, sewaktu dengannya? Apa yang tidak kena
dalam pernikahan mereka dulu? Pelbagai persoalan menerjah
minda Hanim, namun tiada satu pun yang terjawab. Semuanya
bagaikan satu simpulan yang tidak mampu dirungkaikan.
“Habis tu, Hanim macam mana? Bahagia dengan
hidup Hanim sekarang?”
Hanim menoleh ke sisi. “Rasanya Hanim tak perlu
jawab, ayah dah nampak semuanya.”
“Lupakan Meor. Hanim pun berhak untuk hidup
bahagia juga.”
“Macam mana?”
“Kahwin.”
Hanim terdiam. Kahwin? Memang itu sajakah cara
untuk dia lupakan Meor? “Hanim memang sedang cuba
lupakan Meor ayah, walaupun payah. Tapi kebelakangan ni
selalu sangat kami terserempak. Meor tu pula, tak habis-habis
tuduh Hanim intip dia sampaikan abang pun percaya yang
Hanim masih terhegeh-hegeh dekat Meor tu.”
“Petanda dah tu.”
“Petanda apa?”
“Petanda untuk Hanim cari pengganti. Ayah rasa
kalau Hanim kahwin lebih mudah untuk Hanim lupakan
Meor dan Meor juga tak akan tuduh Hanim macam-macam
lagi.”
Hanim mendengus geram. Mudah betul ayah dia
cakap. Ingat senang ke nak kahwin, nak lupakan semuanya
macam tu saja. “Mungkin sebab itulah kut mudah sangat ayah
lupakan arwah mak ya. Mudah sangat untuk ayah lukakan
arwah mak.” Tanpa sedar Hanim meluahkan kata-kata yang
menyentap tangkai hati Tuan Yazid.
Spontan Tuan Yazid bangun berdiri. “Ayah datang ni
nak minta Hanim sampaikan pesanan dekat Hasif. Ayah nak
rumah ni dan ayah nak Hasif serahkan rumah ni kepada ayah
dengan kadar yang segera.”
Hanim mendongak, mencari wajah Tuan Yazid. Baru
tadi dia rasa terharu dengan perhatian yang ayahnya berikan,
namun sekarang dia dilukai lagi hanya kerana dia meluahkan
satu kenyataan. Sanggup ayahnya buat dia begini.
“Jadi ayah datang ni bersebablah ya? Bukan kerana
rasa tanggungjawab sebagai seorang ayah? Bukan kerana
mahu mengambil berat tentang anak-anak? Hanya kerana
harta semata?”
“Itu saja yang ayah nak cakap. Ayah harap Hanim
dapat sampaikan pesanan ayah tu.” Tuan Yazid mula
mengorak langkah untuk berlalu.
“Kenapa ayah tak nak cakap sendiri dekat abang?”
Hanim ikut berdiri.
“Abang kamu tu bukan boleh dibawa berbincang.
Ayah balik dulu, nanti ayah datang lagi.” Tuan Yazid terus
berlalu meninggalkan Hanim sendirian.
Hanim terduduk semula. Kenapalah hidup dia
serumit ini. Tentang ayah yang tidak habis-habis menuntut
hak yang bukan-bukan. Tentang Meor yang tidak habis-habis
menuduhnya yang bukan-bukan. Her life is a mess. Total
mess!

HASIF MELABUHKAN duduk di sisi Hanim yang sedang
menonton drama Korea di TV. Surat khabar di atas meja
dicapai dan diselak satu per satu. Siang sibuk dengan kerja,
malam baru ada berkesempatan nak baca. Sejak semalam
hanya tinggal dia dua beradik saja kerana Hazrul mengikut
kawan sekuliahnya bercuti di Pulau Perhentian. Sunyi pula
rumah apabila tinggal mereka berdua saja.
“Abang...”
“Hmm...”
“Tadi ayah datang.” Hanim menoleh ke kanan,
menanti reaksi daripada Hasif.
“Orang tua tu nak apa?” Hasif bersuara tanpa nada.
“You know what he wants, abang.”
Surat khabar dilipat dan dilempar ke atas meja
semula. Macam itulah Hasif, baran tidak pernah habis. Lebih
lagi apabila bercakap tentang Tuan Yazid.
“Orang tua tu memang tak sedar diri.”
“Tak baiklah cakap macam tu abang.”
“Tak baik apa?” Mata Hasif mencerlung ke arah
Hanim.
“Dia ayah kita, abang.”
“Saat dia dan arwah mak berpisah, he is no longer
our father, Hanim. Abang tak nak dengar lagi perkataan ayah
keluar dari mulut kau.”
“Tapi...”
“No buts!” potong Hasif. “Soal tuntutan merapu dia
tu, nanti abang selesaikan. Kalau sampai kena naik mahkamah
sekali pun abang sanggup. Abang tak akan lepaskan hak kita
kepada dia.”
“Perlu ke sampai naik mahkamah abang?”
“Perlu! Itu saja cara untuk ajar orang tak sedar diri!”
“Tapi dia tetap ayah kita abang. Tergamak seorang
anak buat macam tu dekat ayahnya sendiri.”
“Tak pula Hanim cakap dekat dia, tergamak buat
anak-anak sendiri macam ni,” tempelak Hasif.
“Dah cakap, tapi ayah buat tak dengar.”
“See, untuk apa lagi kita berlembut dengan orang
macam tu! Hanim nampak tak, ayah langsung tak berusaha
untuk pulihkan hubungan dia dengan kita. Memburukkan
lagi ada. Tahap kesabaran abang ada hadnya, Hanim.” Hasif
semakin tegas.
Sejujurnya dia sudah penat untuk menghadap
masalah dengan ayahnya itu. Sejak dari arwah emaknya
masih hidup hingga sekarang, masalah dengan ayah mereka
tidak pernah selesai. Persoalan yang tidak pernah terungkai,
kenapa ayahnya sanggup buat keluarga mereka sebegini?
Kenapa? Bila ditanya, kemas terkunci mulut Tuan Yazid.
Apakah sudah hilang rasa kasih dan sayang seorang ayah
terhadap anak-anaknya?
“Kali ini keputusan abang muktamad. Kalau dia
masih berkeras mahu menuntut hak milik rumah ini, abang
akan bawa kes ini ke mahkamah dan abang yakin yang kita
akan menang.”
Hanim mengeluh lemah. Kalau kes ini dibawa ke
mahkamah bermakna semuanya akan bertambah rumit. Dan
yang paling dia risaukan, perhubungan mereka sekeluarga
yang tersedia renggang akan putus begitu saja. Itu yang dia
tidak mahu.
“Abang tak kisah ke kalau kita putus hubungan
dengan ayah nanti?”
Laju Hasif menggeleng. “Tak.”
“Sanggup abang kan.” Hanim bersuara dengan nada
kecewa.
Wajah adiknya dipandang dari sisi. “Sekarang pun
hubungan kita dengan orang tua tu seperti berada di hujung
tanduk Hanim. Abang tak rasa semuanya akan pulih seperti
sediakala. Biarlah apa nak jadi pun abang tak kisah. Biar dia
hidup bahagia dengan keluarga baru dia. Walau apa pun,
abang akan tetap pertahankan semua hak kita. Abang pasti,
dia buat semua ini untuk keluarga baru dia tu. Dasar manusia
tak sedar diri!” cemuh Hasif dengan penuh benci.
Hanim tertunduk. Kedengaran kasar benar kata-kata
Hasif di telinganya. Kecewa? Ya! Tapi itulah hakikat yang
tidak dapat disangkal lagi. Mereka sememangnya anak yang
terbuang. Mujur saja terbuang pada usia dewasa begini. Jika
dari sekecil kanak-kanak, pasti lebih perit hidup mereka
bertiga.
“Abang...”
“Apa? Nak pertahankan orang tua tu lagi?” Kening
Hasif sudah bercantum di tengah. Aura marah mula kelihatan.
“Tak...”
“Habis tu?”
Hanim menoleh ke arah Hasif. Perihal ayahnya
dilupakan sekejap. Ada perkara yang lebih penting yang harus
dia jelaskan kepada Hasif. “Hanim tak stalk Meor. Dah lama
Hanim tak buat benda tu semua.”
Hasif berpusing menghadap Hanim supaya lebih
selesa untuk dia berbicara dengan adiknya itu. “Habis tu yang
hari tu?”
“Meor saja buat cerita dan Hanim tak tahu kenapa
dia cakap macam tu dekat abang. Yang Hanim tahu, Hanim
terserempak dengan dia sewaktu bersarapan. Itu saja.”
“Tapi Meor cakap...”
“Abang lebih percayakan Meor daripada adik abang
sendiri?” Potong Hanim.
Hasif menjongket kedua-dua bahunya. “Your
previous record wasn’t so good Hanim.”
“Ya, Hanim tahu dulu Hanim teruk. Selalu
terkejarkan dia. Tapi sekarang tak lagi abang. In fact, Hanim
sedang cuba untuk lupakan Meor.”
“Baguslah kalau macam tu.”
“Sekarang Hanim nak minta tolong dengan abang.”
“Minta tolong apa?”
Hanim menarik nafas dalam. Apa yang terjadi siang
tadi diceritakan kepada Hasif. Semuanya. Tiada satu pun
yang tertinggal. “Abang cakap dekat Meor yang Hanim dah
move on dah. Tadi tu Hanim jumpa client Hanim, bukan
mengendap dia dengan isteri baru dia tu.”
Kening Hasif berkerut semula. “Kenapa tak cakap
tadi masa dia tengah bambu Hanim?”
“Tak sempat nak cakap dia dah blah.”
Tangan disilangkan ke dada. “Tengoklah macam
mana.”
“Please... tolong jelaskan semuanya dekat Meor dan
satu lagi...”
Hasif menjongket kening.
“Hanim tak nak kahwin. Bukan dalam waktu
terdekat ni.”
Hasif menggeleng tidak setuju. “Nope. Hanim tetap
kena kahwin! Nanti abang carikan calon.”
Membulat mata Hanim. Yang gigih sangat nak
carikan dia calon ini dah kenapa? Kenapa abang dia beria
sangat nak dia kahwin? Nak lepas tanggungjawab ke apa?
“Hanim tak nak kahwin!”
“Kau tetap kena kahwin.” Hasif masih bernada tegas.
“Kenapa?”
“Untuk mengelakkan fitnah.”
“Fitnah apa?”
“Macam apa yang terjadi antara kau dengan Meor
sekarang.”
“Sebab tuduhan Meor yang tak berasas tu Hanim
kena kahwin? Nonsense!”
“Nonsense atau tidak, kau tetap kena kahwin.
Keputusan abang muktamad!” balas Hasif tanpa memandang
ke arah Hanim.
“Abang bencikan Hanim ke apa? Beria sangat nak
Hanim bernikah nampaknya. Hanim perasan yang sejak
Hanim bercerai dan sejak mak meninggal, abang macam nak
buang Hanim aje. Tak pedulikan Hanim dan sekarang paksa
Hanim kahwin pula. Abang memang bencikan Hanim ke
apa?” Suara Hanim mula serak.
Hasif diam tidak menjawab dan pandangan matanya
dialihkan daripada memandang wajah duka adiknya itu.
“Kalau macam ni lebih baik Hanim ikut tinggal
dengan ayah.”
Hasif mencerlung ke arah Hanim. “Pergilah! Pergi
ikut orang tua tu dan jangan balik sini lagi!” Hasif bangun
dan terus berlalu meninggalkan Hanim sendirian.
Hanim tunduk menekup wajah dan tangisannya
mula pecah. Selalu begini. Perbincangan yang bermula
dengan baik akan berakhir dengan pertelingkahan. Sampai
bilakah dia harus hadap semua ini? Sampai bila?

No comments:

Post a Comment