DAHI dipicit sambil menyandar pada badan
kereta. Penat menyandar, dia mundar-mandir sambil
bercekak pinggang. Kepala digaru. Hesy... tak tahu di mana
dia nak mulakan dulu. Mendengar saja bunyi loceng, hati
bertambah gelisah. Mata mula membelingas mencari wajah
yang ditunggu-tunggu sedari tadi. Jumpa! Ada senyum di
hujung bibirnya.
“Tired?” tanya Dini sambil memandang tepat mata
Dafi.
“No, I’m not.” Bersahaja Dafi menjawab. Kaki
melangkah penuh semangat.
“Okay, good. Jom.” Beg galas diambil dari belakang
badan si anak, terus diletak ke tempat duduk belakang. Pintu
sebelah pemandu dibuka.
“Yeah... waterfall!” Dafi menjerit girang, tapi riak
wajah Dini terus berubah.
“No, kita balik klinik.”
“Hah? Bukan waterfall?” tanya Dafi. Berkerut
mukanya.
Dini menggeleng.
“Hmm...” Dafi jatuh bahu dengan muka yang masam.
Macam tak ada tempat lain nak pergi. Papa dah janji,
tapi papa selalu mungkir janji. Bosan! Bawalah dia pergi
tengok singa ke, ikan paus ke, barulah mata dia jadi segar,
badan jadi bugar. Ini, tidak. Balik-balik kena kurung di dalam
bilik ubat. Rimas dia. Dia rasa macam dah jadi peti ubat pula.
“Papa janji ini untuk sementara waktu. Lepas ni Dafi
ada kawan.” Dini senyum. Kenalah pandai ambil hati anak
sendiri.
“Siapa?”
“Anak Uncle Ryzal.”
Dafi buat muka sebelum memeluk dada. Dengan
Risya dia boleh kawan lagi. Tapi dengan Mirza... memang dia
tak boleh kawan. Budak tu jahat! Selalu marah-marah dia.
Mana boleh berkompromi.
TIBA DI depan pintu masuk, muncung panjang ‘mata pensel’
itu disimpan. Kalau tunjuk, nanti papa juga yang malu.
Nanti orang cakap papa tak bagi dia makan. Terkemut-kemut
senyum ditayangkan sementara nak sampai ke bilik papa dia.
“Papa nak suruh Dafi buat apa ni?” tanya Dafi sambil
duduk. Bosan dia hari-hari menghadap benda yang sama.
“Tak ada apa. Duduk, baca buku. Kalau lapar, pergi
makan. Dah letih, pergi tidur. Papa nak sambung kerja ya,”
jawab Dini sambil mengusap lembut kepala Dafi.
Baru saja kaki bergerak selangkah...
“Eh, kejap.” Dafi menarik lengan Dini.
“Uncle Ryzal ada kat sebelah?” Dafi berbisik perlahan.
Dah mula dah. Mulalah akal tu ligat berfikir.
“Hmm... ada. Kenapa?”
Dafi tersengih.
Dini mengerutkan dahinya. Dah faham dah. Jangan
anaknya buat macam hari tu, sudah. Nyaris dia tertukar
bekas ujian air kencing orang mengandung dengan orang tak
mengandung. Kalau tidak... tak pasal-pasal dia kena sembur.
Telunjuk diangkat lalu digoyang ke kiri dan ke kanan seiring
dengan gelengan.
“No means no, okay.”
Dafi mengeluh panjang. Langkah Dini dipandang
hingga menghilang. Dalam mengeluh ada senyumnya. Dalam
senyum mulalah muncul idea nakalnya. ‘Yihaa... jom sergah
Uncle Ryzal.’
“Hai Uncle Ryzal!” tegur Dafi di pintu sebelah bilik
papanya.
“Hai Dafi. Dah makan?” balas Ryzal. Terhenti
seketika dia menulis.
Dafi menggeleng. Dengan selamba dia
menghempaskan badannya di atas sofa berdekatan. Kaki
bersilang di atas pemegang sofa.
“Kenapa tak makan lagi?” tanya Ryzal sambil
mendekati Dafi. Ada stail budak kecil seorang ni. Berbaring
pun nak silang kaki bagai.
“Tak ada orang nak teman. Papa kan sibuk dekat
sebelah. Bosanlah makan sorang-sorang.” Jawapan mudah
Dafi. Besar sangatlah cara dia bercakap tu.
Ryzal menggeleng perlahan. Banyak akal betul budak
sorang ni. Makan pun nak berteman. Mengalahkan Dini pula.
“Makan pun bosan? Mana boleh macam tu. Dafi
kenalah faham kerja papa Dafi.” Lembut Ryzal memberitahu.
Kepala Dafi diusap. Anak Dini macam anaknya juga. Tak ada
bezanya.
“Makan tak bosan, tapi... papa tu.” Dafi memuncung.
Panjang berjela muncungnya itu.
“Kenapa dengan papa Dafi?”
Berkerut dahi Ryzal sekejap. Kena juga ambil tahu.
Si Dini tu kadang-kadang terlupa yang dia tu ada anak versi
bijak macam Jimmy Neutron. Karang tak pasal-pasal semput
dia nak melayan.
“Dafi nak mama baru. Tapi, papa tak carikan lagi.
Asyik-asyik kena duduk dekat klinik aje. Bosanlah. Dafi nak
juga ada mama macam orang lain. Uncle Ryzal boleh tolong
carikan?”
Meledak ketawa Ryzal mendengar permintaan Dafi.
‘Anak jenis apalah anak kau ni Dini oi? Itulah... dulu dah
suruh kahwin. Tapi, suka sangat bertangguh. Sudahnya anak
sendiri merungut suruh kawan sejati kau ni carikan mama
baru. Adesss...’
“Boleh. Tapi ada syarat.” Telunjuk Ryzal lurus di
depan mata Dafi.
“Syarat apa?” Dafi tersengih-sengih sambil
merapatkan dirinya pada Ryzal.
Memang itulah yang dia nak dengar. Bersyarat pun
dia tak kisah. Janji Uncle Ryzal nak tolong dia.
DAFI PEGANG perut, tapi mata sebelah kanan sempat lagi
mengenyit pada Ryzal. Agenda pertama kena tonjolkan watak
dengan penuh perasaan. Dafi kerut muka konon menahan
sakit bila Dini memandangnya.
“Dafi tak makan ya dekat sekolah tadi?”
Dafi menggeleng perlahan.
“Kan betul papa cakap, Dafi tak makan.”
Dafi mengangguk.
“Makan ke tak makan?”
Dafi mengangguk semula.
“Eh, mana satu betul ni? Makan ke tidak?” Dini kerut
dahi. Jawapan apa anaknya bagi ni?
“Dafi makanlah pa.” Perlahan Dafi menjawab.
“Haa... cakap macam tu, kan senang. Tak payahlah
kejap angguk kejap geleng. Pening papa.” Dini menggeleng.
Kemudian dia berlalu untuk membasuh tangan di singki.
“Biasalah tu Dini... anak nak minta manja-manja.
Kau tu beranak sorang aje, bukannya beranak lima.
Angguk-angguk geleng-gelenglah dia. Tapi, aku rasa kalau
dia ada mama lagi manja. Tak adalah perut dia sakit macam
sekarang.” Ryzal tersengih lebar.
Dini berkerut dahi. Lain macam aje bunyi hujung
ayat Ryzal tu. Nak buka cerita bab kahwinlah tu!
“Salah makan agaknya Dafi ni. Takpe, kejap lagi
okey. Dah, bangun. Anak papa kan hebat. Jadi orang lelaki
kena kuat, tak bolehlah lembik-lembik macam ni.” Dini
menggosok kepala Dafi. Kemudian dia membantu si anak
bangun dari berbaring.
“Kuat-kuat juga, tapi kalau dah sakit tak ada orang
nak jaga macam mana? Nasib baik sakit dekat sini. Kalau dekat
sekolah tadi? Aku tak kisah dekat klinik ni sorang-sorang.
Tapi kau tu, kelam-kabut ke sana sini. Kalau ada isteri, kan
senang. Adalah orang tolong jagakan.”
“Kahwin tu komitmen untuk masa depan, Zal.
Bukan setakat main pondok-pondok aje,” balas Dini.
Memang dia dah agak Ryzal sengaja nak buka topik
kahwin. Sama macam perangai umi dia. Kepala dia ni asyik
diburu soal nikah kahwin saja. Bukan dia tak suka, tapi belum
ada yang melekat.
“Sebab itulah kau kena fikirkan masa depan anak
kau juga. Mana tahu lepas kau kahwin ni hidup kau lebih
teratur dan lebih baik daripada sekarang.”
“Aku dah cukup selesa macam ni, Zal. Apa yang ada
sekarang dah cukup baik.”
“Tapi anak kau?” duga Ryzal. Keningnya diangkat
memandang Dini.
“Dafi tak kisah tinggal dengan papa, kan?” tanya Dini
sambil buat muka yakin. Dia tahu Dafi akan jawab ya.
Tapi si anak...
“Dafi kisah sebab nenek cakap Dafi tak boleh
sorang-sorang, Dafi mesti kena ada adik lain. Nanti bila Dafi
dah sekolah jauh-jauh, tak ada orang nak jaga papa.”
“Dafi!”
“Nenek yang cakap. Dafi cuma beritahu papa aje.”
Dafi buat muka sedih campur kesian. Bibir tahan senyum,
jangan sampai papa dia nampak.
“Kau dengar sendiri, kan?” Ryzal senyum senget,
tapi Dini dah bulat mata di depan Dafi.
“Anak kau rindu isteri kau, mama dia. Itu tandanya
dia perlukan kasih sayang seorang ibu. Kesian anak kau, Dini.
Dafi tu kecil lagi, dia tak tahu apa-apa. Aku nasihatkan, ada
baiknya kau kahwin.”
Mata bertemu mata, senyum berbalas sengih, tapi dia
masih dengan muka serba salah. Dafi minta dia carikan mama
baru untuk Dafi. Dengan erti kata lain, isteri baru untuk dia.
Ini permintaan si anak atau cadangan kawan sendiri. Tak
pernah sebelum ini Dafi buat permintaan yang buat jantung
dia tersentap. Tengok dari gaya... memang sangat pelik.
“Tapi aku tak ada calon.” Mendatar suara Dini.
Sebenarnya dia malu nak cakap. Lebih-lebih lagi dengan si
Ryzal ni.
“Haa... cakap macam tu, kan senang. Serahkan pada
aku.”
“Kau... nak cari dekat mana?”
“Pasar raya kan banyak...” sampuk Dafi dengan
selamba.
Buntang mata Dini mendengar kata-kata Dafi. Loyar
buruk punya anak!
Ryzal tekup mulut, tahan gelak. Tak tahan dia dengar
ayat Dafi. Ingat cari isteri tu macam nak beli setin sardin kat
kedai ke?
“Bukan dekat pasar raya. Dekat padang sekolah
depan tu pun banyak. Lagi cantik-cantik.” Ryzal ketawa kecil.
Cepat-cepat dia angkat tangan tanda mengalah bila mata
Dini tunak memandangnya tajam. Tapi, sempat pula dia
melagakan ibu jarinya dengan ibu jari Dafi.
“Nanti dah jumpa aku beritahu.” Ryzal tersengih
lebar.
No comments:
Post a Comment