DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 29 June 2022

Bodyguard Hati Anne Dalisa - Bab 10


BARU sahaja Anne mahu keluar dari pintu tandas lapangan terbang KLIA, tubuhnya ditolak masuk semula oleh Sara.

“Kau apa hal?” Anne bertanya kepada Sara yang kelihatan kelam-kabut itu.

“Andy dan Helmi ada dekat sini dengan Markonah Kepoh sekali.” Termengah-mengah Sara memberitahu.

“What? Macam mana diaorang boleh ada kat sini?” Terbeliak mata Anne. Macam mana pula dua orang lelaki itu boleh ada di sini?

“Siapa yang cerdik sibuk buat live beritahu dia balik hari ni? Hello you alls. Esok jam bla bla bla I balik Malaysia.” Sara ejek gaya Anne yang sibuk berIG story sebelum mereka balik ke Malaysia. Tentu-tentu saja Helmi mahupun Andy tahu dari situ.

“Ya eh?” Anne menggigit bibir bawah.

“Habis tu nak buat macam mana ni? Yang Markonah tu kenapa? Zaman sekarang mana ada wartawan terjah artis macam ni lagilah!” Geram pula Anne rasa bila asyik diganggu Markonah. Apa masalah perempuan itu pun dia tak tahu. Macam tak ada artis lain. Pergilah kejar artis-artis lelaki yang buat perangai curang dengan bini tu. Tang artis lain tahu pula cedok daripada blogger.

“Dah. Biar aku alih perhatian diaorang. Aku dah oder Grab untuk kau. Aku dah send nombor kereta dia kat kau. Sekarang pergi cepat.” Sara kemudiannya menarik tangan Anne. Berhati-hati keluar dari pintu tandas.

“Okey. Aku pergi alihkan perhatian diaorang. Driver tu aku suruh tunggu hujung jalan sana. Pergi cepat.” Sara menolak Anne supaya pergi dari situ dengan pantas. Dia pula melangkah menuju ke arah Markonah Kepoh yang sedang menanti bersama dua orang lelaki yang tak tentu arah itu.

 

WABIL JENGAH ke luar tingkap. Mana pula penumpang yang tempah Grab tadi? Dia keluar dari kereta. Kalau tak muncul juga memang dia pergi saja dari sini. Rugi masa menunggu lama-lama sebegini.

Baru saja Wabil buka pintu kereta untuk masuk semula, tiba-tiba pintu kereta sebelah penumpang dibuka. Seorang gadis masuk ke dalam keretanya. Dia macam kenal gadis itu.

“Cik Dalisa? Apa awak buat kat sini?” Wabil memandang gadis yang memakai tali pinggang keledar itu.

“Eh, Wabil! Thank God. Cepat. Hantar I balik,” arah Anne. Patutlah macam kenal kereta dan plat nombornya. Si jejaka kacak rupanya.

Wabil menarik nafas. Perempuan ni tak boleh buat sesuka hati kepadanya. Kakinya bergerak ke arah pintu tempat duduk penumpang. Wabil buka pintu kereta bahagian penumpang.

“Hei! You buat apa ni? Cepatlah!” terbeliak mata Anne.

Wabil kemam bibir tanda geram. “Cik, saya tengah tunggu passenger saya. Boleh tak cik keluar? Jangan nak buat ikut suka hati cik.” Luas-luas Wabil tolong bukakan pintu.

“I nilah passenger you. Please Wabil... cepat hantar I balik.” Anne sudah gelisah. Bimbang Markonah and the gang masih ada di situ. Matanya meliar melihat sekeliling. Paling dia risau jika Andy yang menemuinya.

Wabil gelak sinis. “Cik. Jangan ingat cik pelakon terkenal, cik boleh nak bodohkan saya. Saya belum minta penjelasan lagi yang cik suka-suka up gambar saya dalam IG!” Wabil memandang Anne tajam.

Tertelan air liurnya bila lelaki ini bersuara garang sebegitu. “You... you tahu?” Anne menggigit bibir bawah.

Wabil senyum sinis. Badan dibongkokkan sedikit. Merapat ke wajah gadis ini.

“Kenapa? Cik ingat saya ni lelaki yang senang diguna-gunakan ke? Cik, saya tahulah saya ni kacak dan baik.” Wabil mendecit perlahan. Sempat lagi dia memuji diri sendiri.

“But you’re wrong, miss. I am very dangerous. Jangan buat main dengan saya. Sekali cik gunakan saya, cik takkan boleh lari daripada saya.” Wabil bersuara perlahan.  Sengaja tayang wajah menakutkan. Biar Anne Dalisa ini tahu dia bukan lelaki sembarangan.

Anne menelan liur. Dekat-dekat begini dia rasa aura Wabil terlalu kuat. Rasa nak peluk lagi pun ada. Dia menggeleng laju. Segera dibuang bayangan nakalnya.

“Tak mahu keluar? Okey. Jangan salahkan saya.” Wabil terus tunduk merapat ke arah si gadis.

“Hei! You buat apa ni? Malulah orang nampak!” Anne yang gelabah cuba menolak tubuh sasa lelaki ini.

Klik!

Anne tergamam. Lelaki ini sedang membukakan tali pinggang keledar yang dipakainya tadi.

Wabil tegakkan badan semula. “Oh malu? Tahu malu rupanya. Peluk anak bujang orang tak tahu malu pulak! tempelak Wabil dengan kening terangkat.

Anne mula geram. Orang nak cepat, banyak cekadak pula lelaki ini. Dibawa tubuh keluar dari kereta.

“Hei you! Jangan nak berlagak suci pula ya. Ingat I tak tahu you pun suka I peluk you. Jangan nak perasan lebih ya. I terpeluk you sebab I terpaksa. Sama juga sebab I upload gambar you. I terpaksa.” Anne mendada dekat pada tubuh Wabil hingga lelaki itu terpaksa berundur ke belakang.

Fuh, tahu takut! Anne kibas rambut beralunnya ke belakang.

Wabil meraup muka. Makin melayan, makin menjadi-jadi pula perangai perempuan ni.

“Terpaksa? Okey terpaksa ya. So, tepi sikit. Saya terpaksa pergi. Sebab cik, saya dah hilang satu trip. Terima kasih. Bye!” Wabil bergerak ke arah pintu kereta. Tak mahu bertekak lagi dengan gadis itu.

“Hei! Kan I dah cakap I passenger you!” Anne betu-lbetul rasa nak cepuk kepala Wabil. Degil betul!

“Ya? Habis kenapa dalam oder nama orang lain? Bukan Cik Delicious.” Wabil depang tangan lalu membuat gaya pembuka kata.

“Itu PA I lah! You ni. I tak kira, hantar I balik!” Anne hentak kaki geram. Ah, dia tak peduli. Terus dia buka semula pintu tempat duduk penumpang itu. Langsung dilabuhkan duduk dan mematungkan badannya di situ.

Wabil buka topi yang dipakainya. Rambutnya diraup ke belakang sebelum topi dipakai semula. Semak betullah perempuan ni!

Baru Wabil mahu masuk ke dalam kereta, dia rasa ada cahaya kilat muncul dari cermin kereta sebelah tempat duduk penumpang. Terus Wabil menarik topi menutupi separuh mukanya.

“Anne. So, betullah you dah ada boyfriend baharu?”

Aduh! Wartawan mana pula ni? Cepat Wabil hidupkan enjin kereta. Silap dia juga tadi turunkan cermin kereta waktu menunggu.

Anne menjeling lelaki di sebelahnya. 'I’m sorry Wabil,' detik hatinya.

Yes! Ini boyfriend baharu I. So, hentikan fitnah you all tentang I.” Anne jawab pertanyaan Markonah itu. Entah bila perempuan kepoh itu boleh berada di sini.

Tersentak Wabil mendengar jawapan gadis ini. Stereng kereta digenggam kuat. Enjin kereta juga dikuatkan.

Sorry, we all nak cepat. Bye!” Anne terus naikkan cermin kereta. Anak matanya mengarah ke arah Wabil supaya mereka bergerak pergi dari situ.

“Awak kena terangkan kepada saya apa semua ni.” Wabil menjeling tajam kepada Anne sebelum melajukan pemanduannya.

 

WABIL MASIH berdiam diri hingga mereka tiba di hadapan kondominium tempat gadis ini tinggal. Marah benar nampaknya.

“Terima kasih hantar I balik.” Anne pamer senyum manis biarpun wajah Wabil dari tadi tegang tak surut-surut.

Wabil senyum sinis. Dia ingat dia boleh lepas begitu saja?

Anne baru mahu membuka tali pinggang keledarnya sebelum dahinya berkerut bila Wabil hidupkan enjin kereta semula. Makin terbeliak matanya bila lelaki ini memandu kereta itu keluar dari kawasan kondonya.

“Wabil! You nak bawa I ke mana ni?” Mustahil Wabil mahu menculiknya. Wajah lelaki ini langsung tak ada rupa penculik.

“Awak ingat lepas apa yang awak buat, saya nak lepaskan awak begitu saja?” Wabil menjeling tajam gadis seksi itu. Dia mahukan penjelasan. Mana boleh Anne Dalisa suka-suka umumkan mereka berkasih sedangkan mereka baru 2 kali bertemu!

Kecut perut Anne melihat jelingan tajam lelaki di sisinya.

Look Wabil. I minta maaf okey. I terpaksa. I Cuma nak alihkan tumpuan mereka daripada gosip liar I dengan Helmi.” Anne cuba memujuk. Mata hazelnya yang bersinar dikedipkan kepada Wabil. Harap-harap lelaki ini cair dengan wajah comel dia.

Terjongket hujung bibirnya. Dasar anak wayang. Dia ingat semua lelaki akan cair ke dengan aksi sebegitu? Okey. Cairlah juga tapi jangan harap Wabil berlembut begitu saja.

“Tak payah tayang muka macam tu. Tak laku dengan saya. Tunggu kita sampai. Saya nak tahu A sampai Z kenapa awak gunakan saya.” Wabil berwajah serius.

Anne menarik senyumannya semula. Mencebik bila aksi comelnya tidak berjaya memujuk Wabil.

'Eleh... ingat orang nak jual sangat ke muka dekat dia? Helo! Ini Anne Dalisa okey. Kalau you tak nak, berderet lelaki tunggu I tau.' Sakit pula hati Anne.

Kereta lelaki ini menghala ke arah deretan kedai. Wabil mahu bawa dia ke mana sebenarnya?

Bila kereta Wabil berhenti berhampiran restoran hipster, senyum Anne kembali merekah. Dia tahu restoran itu milik anak Dato’ Reza, Haraz. Pernah sekali dia ke sini waktu pembukaan restoran itu.

Anne memandang lelaki di sebelahnya yang baru mematikan enjin kereta.

“Okey. I tahu I salah. Apa kata I belanja you makan. You tahu kat Haraz Corner tu steak dia paling terkenal tau. Sedap!” Rasa lapar terus bila terbayangkan steak daging  lembu dengan siraman sos black pepper. Terukir senyum di bibirnya.

Wabil membalas pandangan si gadis dengan kening terjongket. “Siapa kata kita nak makan di Haraz Corner?”

Wah! Memang sahlah orang kata Anne Dalisa high maintenance. Makan mahu tempat lawa-lawa saja.

Senyum Anne termati. “Habis tu you berhenti sini buat apa?”

 

**BERMINAT? Boleh hubungi/WhatsApp no ini : 011-40049752 (Admin Nina) /

: 019-3729676 (Admin Shida)

 

Bodyguard Hati Anne Dalisa - Bab 9


ANNE menghirup udara segar di balkoni hotel tempat mereka menginap di bumi Istanbul itu. Sejak bergelar artis ternama, serata tempat sudah dia jejaki. Kadang-kadang rasa bertuah walaupun banyak pengorbanan yang terpaksa dia lalui untuk berada di tahap ini.

Fikiran Anne melayang saat dia bersama pemuda Grab yang kacak itu. Bibir mengukir senyum sendiri.

Entah mengapa dia terasa satu perasaan aneh yang menapak di hatinya ketika mata mereka bertentang. Dia masih terbayang pula pelukan Wabil kepadanya. Eh, silap. Pelukan dia kepada Wabil. Sasa betul!

“Hellooo... I’m here!”

Jeritan dari muka pintu buat Anne terkejut. Pantas pandangan dipalingkan ke arah pintu.

“Hoi... dah 2 hari baru sampai! Kau tau tak aku terkial-kial urus diri sendiri.” Anne hentak kaki ke arah gadis yang baru muncul itu. Siapa lagi jika bukan pengurusnya, Sara. Gadis ini baru saja menyusulnya ke bumi Istanbul.

“Alah... sorrylah babe. Kau pun tahu kan bapak aku masuk hospital.” Sara tayang muka sedih. Bagasi ditarik masuk ke dalam bilik hotel lalu disandar di tepi katil. Langsung dia berbaring keletihan kerana perjalanan yang panjang.

Anne ikut melangkah ke arah katil. Turut ikut berbaring.

“Jadi, sekarang beritahu aku apa yang berlaku. Siapa lelaki misteri yang kau post dekat IG tu?” Sara pusing badan menghadap Anne. Terus dia bertanya tentang tindakan Anne itu. Sakit hati pula bila fikir. Manalah dia tak marah. Bila Anne buat begitu, dia yang dicari para wartawan dan blogger.

Lagi Sara rasa nak marah bila lihat Anne boleh mengelamun jauh pula bila ditanya.

“Hoi... aku tanya ni! Siapa lelaki tu?” Sara menggoncang paha si gadis yang hanya berseluar pendek.

“Dia tu pemandu Grablah. Kan kau juga yang suruh aku naik Grab.” Anne balas selamba. Kemudian dia meloncat bangkit dari katil. Tangan pengurusnya digenggam ceria.

Thanks sangat tau. Sekarang, si Rosa dan Andy tak boleh ganggu aku lagi. Sebab aku dah tepis semua gosip tu. Aku dan Helmi memang tak ada apa-apa. Dan kau nak tau apa yang best?” Anne sudah mengulum senyum.

“Sekejap! Sekejap! Apa maksud kau lelaki tu driver Grab?” Sara tahan bicara Anne. Dia sedang mencerna kata-kata si gadis. Langsung tak faham apa yang Anne katakan.

“Okey, macam ni. Hari aku nak fly ke sini tu, Helmi datang. Konon nak hantar aku. Tapi kau tahu kan Rosa punya meroyan macam mana? So, aku tolaklah pelawaan dia tu. Masa tu jugaklah Andy datang. Habis dia tumbuk Helmi kau tau! Bodoh betullah Andy tu. Sama aje dengan Rosa. Cemburu buta. Aku nak tolong Helmi tapi masa tu juga Grab yang aku oder sampai. Dari aku susahkan diri hadap mamat dua ekor tu baik aku lari.” Anne ceritakan semula apa yang berlaku tempoh hari.

“Lepas tu?”

“Lepas tu, aku larilah masuk dalam kereta Grab tu. Untung nasib aku hari tu dapat pemandu handsome habaq hang! Sasa pulak tu.” Anne ketawa kuat. Terbayang wajah kacak Wabil di matanya. Haih... kalaulah Sara tengok, Sara yang tomboi itu pun boleh cair agaknya.

So, sebab dia kacak, kau pun ambil gambar dia dan up di Instagram?” Sara mengecilkan mata memandang gadis ini.

Anne sengih lagi. “Aku terfikir mungkin itu cara nak tamatkan gosip antara aku dengan Helmi. Aku penatlah nak hadap kecaman orang. Aku boleh terima orang kecam cara pakaian aku. Tapi ganggu suami orang? Oh, aku memang tak boleh terima.” Anne menggelengkan kepala. Itu yang paling dia tak dapat terima apatah lagi dia dituduh merosak hubungan orang. Lagi-lagi Rosa mengaibkannya sebegitu teruk.

“Tapi kau sekarang dah cipta masalah baharu. Orang nak tahu siapa kekasih misteri kau tu. Lagi satu, lelaki tu tak kisah pulak kau up gambar dia. Mentang-mentanglah artis terkenal yang ambil gambar dia. Rela ajelah digunakan kau!” Sara buat telahan sendiri.

Bijak Anne mengambil peluang. Guna saja kelebihannya, semua lelaki pun boleh tunduk kepadanya.

Anne menggigit bibir bawah. “Err... dia tak tahu. Aku curi-curi ambil gambar dia.”

“What???Melenting suara Sara. Dia lantas bangkit berdiri. Mundar-mandir di hadapan gadis ini.

“Kau mana boleh buat macam tu Anne. Kalau dia saman kau macam mana? Okey. Itu tak apa lagi. Kita boleh pujuk dia. Tapi kalau dia ada isteri? Kau ingat isteri dia tak kenal ke susuk suami dia macam mana?”

Berderau darah Anne. Langsung tidak terfikir tentang itu. Tapi Wabil tak nampak macam suami orang pun. Harapnyalah.

'Aduh... Anne! Apa kau buat ni?' bisiknya dalam hati.

“Tak. Aku yakin dia tak ada isteri.” Anne jawab dengan yakin.

“Mana kau tahu?” Sara memandang si gadis tajam.

“Sebab bila aku peluk dia, dia kaku. Kalau dia suami orang dah lama dia menggatal.”

Terbeliak terus mata bulat Sara. Biar betul si Anne ni. “What? Kau peluk dia? Dah kenapa kau nak peluk dia? Anne!” Sara rasa nak hentak kepalanya ke dinding. Geram  betullah dengan masalah pelakon diva sorang ni.

“Okey, tenang dulu. Tarik nafas. Nanti aku cerita. Sekarang kau beritahu aku. Bapak kau dah okey?” Cepat-cepat Anne menukar topik perbualan. Kalau dia terus bercerita, mahu si Sara kena strok akibat terlalu geram. Baik dia buka cerita lain.

Sara menarik nafas dalam. Sabar Sara. 'Bukan sekejap kau jadi PA dia. Lama dah kut. Lebih daripada ni kau pernah hadap kan?' desis Sara sambil tenangkan hatinya.

“Bapak aku tu jatuh pokok petai belakang rumah. Tu lagi seorang, nak makan petai pun beritahulah. Mampu aje aku bagi duit beli kat pasar pagi. Mengada-ada betullah bapak aku tu.” Sara mula membebel tentang bapanya yang jatuh pokok hingga ditahan di hospital.

“Teruk ke?” cemas Anne menyoal. Sara tak beritahu pun tentang hal itu. Tinggi kut pokok petai belakang rumah gadis itu. Dia pernah pergi ke rumah keluarga Sara di kampung suatu ketika dulu.

“Tak teruk mana pun. Terseliuh aje. Bukan tinggi mana dia sempat panjat. Adik aku kata bapak aku terkejut kena sergah dengan mak aku. Tu pasal jatuh. Macam nangka busuk kau tahu. Boleh pulak dia rakam aksi bapak aku jatuh.”

Sara tergelak besar apabila membayangkan aksi bapanya jatuh pokok. Agaknya bapanya ingat diri tu muda belia lagi ke? Apabila ditanya kenapa beria-ia nak panjat, katanya petai itu gemuk. Menggoda sangat minta dipetik. Macam-macamlah.

“Kau ni tak baik gelakkan bapak sendiri tau,” tegur Anne. Tapi dia tumpang gembira jika bapa Sara itu tak apa-apa. Terbayang wajah lelaki separuh abad yang bermisai seperti A Galak itu. Maklumlah bekas polis pencen.

Sara terhenti tawa. “Okey. Dah. Sekarang beritahu aku lepas ni kau nak buat apa?” Sara duduk semula.

“Buat apa? Sambung shootinglah. Sara...” Anne merengek sambil paut lengan pengurusnya.

“Apa pulak lagi?” Sara jongket kening.

“Aku menyampah dengan Aluna. Aku ni tahan sabar aje nak cepuk mulut dia.” Anne mendengus geram. Eee... ikutkan hati yang geram ni memang dia cili-cili mulut Aluna itu.

“Dia buli kau ke?”

“Buli? Tolong sikit. Dia ingat senang nak buli aku?” Anne angkat kening. Memang dia sakit hati dengan Aluna. Tapi setakat ini gadis itu tak berani berlebih-lebih. Bukankah Zamri, pengarah mereka itu sayangkan Anne? Berani Aluna nak buat perangai.

“Dah tu?”

“Dia kata aku sengaja buat cerita pasal Wabil sebab nak tutup hubungan aku dan Helmi. Bengong betul!”

“Wabil?” Siapa pula Wabil? Pening kepala Sara.

“Wabil, boyfriend baharu aku tulah.”

Aduh, makin pening Sara fikir. Bila masa pula Anne ada kekasih baharu? Kenapa dia tak tahu?