DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 29 June 2022

Bodyguard Hati Anne Dalisa - Bab 9


ANNE menghirup udara segar di balkoni hotel tempat mereka menginap di bumi Istanbul itu. Sejak bergelar artis ternama, serata tempat sudah dia jejaki. Kadang-kadang rasa bertuah walaupun banyak pengorbanan yang terpaksa dia lalui untuk berada di tahap ini.

Fikiran Anne melayang saat dia bersama pemuda Grab yang kacak itu. Bibir mengukir senyum sendiri.

Entah mengapa dia terasa satu perasaan aneh yang menapak di hatinya ketika mata mereka bertentang. Dia masih terbayang pula pelukan Wabil kepadanya. Eh, silap. Pelukan dia kepada Wabil. Sasa betul!

“Hellooo... I’m here!”

Jeritan dari muka pintu buat Anne terkejut. Pantas pandangan dipalingkan ke arah pintu.

“Hoi... dah 2 hari baru sampai! Kau tau tak aku terkial-kial urus diri sendiri.” Anne hentak kaki ke arah gadis yang baru muncul itu. Siapa lagi jika bukan pengurusnya, Sara. Gadis ini baru saja menyusulnya ke bumi Istanbul.

“Alah... sorrylah babe. Kau pun tahu kan bapak aku masuk hospital.” Sara tayang muka sedih. Bagasi ditarik masuk ke dalam bilik hotel lalu disandar di tepi katil. Langsung dia berbaring keletihan kerana perjalanan yang panjang.

Anne ikut melangkah ke arah katil. Turut ikut berbaring.

“Jadi, sekarang beritahu aku apa yang berlaku. Siapa lelaki misteri yang kau post dekat IG tu?” Sara pusing badan menghadap Anne. Terus dia bertanya tentang tindakan Anne itu. Sakit hati pula bila fikir. Manalah dia tak marah. Bila Anne buat begitu, dia yang dicari para wartawan dan blogger.

Lagi Sara rasa nak marah bila lihat Anne boleh mengelamun jauh pula bila ditanya.

“Hoi... aku tanya ni! Siapa lelaki tu?” Sara menggoncang paha si gadis yang hanya berseluar pendek.

“Dia tu pemandu Grablah. Kan kau juga yang suruh aku naik Grab.” Anne balas selamba. Kemudian dia meloncat bangkit dari katil. Tangan pengurusnya digenggam ceria.

Thanks sangat tau. Sekarang, si Rosa dan Andy tak boleh ganggu aku lagi. Sebab aku dah tepis semua gosip tu. Aku dan Helmi memang tak ada apa-apa. Dan kau nak tau apa yang best?” Anne sudah mengulum senyum.

“Sekejap! Sekejap! Apa maksud kau lelaki tu driver Grab?” Sara tahan bicara Anne. Dia sedang mencerna kata-kata si gadis. Langsung tak faham apa yang Anne katakan.

“Okey, macam ni. Hari aku nak fly ke sini tu, Helmi datang. Konon nak hantar aku. Tapi kau tahu kan Rosa punya meroyan macam mana? So, aku tolaklah pelawaan dia tu. Masa tu jugaklah Andy datang. Habis dia tumbuk Helmi kau tau! Bodoh betullah Andy tu. Sama aje dengan Rosa. Cemburu buta. Aku nak tolong Helmi tapi masa tu juga Grab yang aku oder sampai. Dari aku susahkan diri hadap mamat dua ekor tu baik aku lari.” Anne ceritakan semula apa yang berlaku tempoh hari.

“Lepas tu?”

“Lepas tu, aku larilah masuk dalam kereta Grab tu. Untung nasib aku hari tu dapat pemandu handsome habaq hang! Sasa pulak tu.” Anne ketawa kuat. Terbayang wajah kacak Wabil di matanya. Haih... kalaulah Sara tengok, Sara yang tomboi itu pun boleh cair agaknya.

So, sebab dia kacak, kau pun ambil gambar dia dan up di Instagram?” Sara mengecilkan mata memandang gadis ini.

Anne sengih lagi. “Aku terfikir mungkin itu cara nak tamatkan gosip antara aku dengan Helmi. Aku penatlah nak hadap kecaman orang. Aku boleh terima orang kecam cara pakaian aku. Tapi ganggu suami orang? Oh, aku memang tak boleh terima.” Anne menggelengkan kepala. Itu yang paling dia tak dapat terima apatah lagi dia dituduh merosak hubungan orang. Lagi-lagi Rosa mengaibkannya sebegitu teruk.

“Tapi kau sekarang dah cipta masalah baharu. Orang nak tahu siapa kekasih misteri kau tu. Lagi satu, lelaki tu tak kisah pulak kau up gambar dia. Mentang-mentanglah artis terkenal yang ambil gambar dia. Rela ajelah digunakan kau!” Sara buat telahan sendiri.

Bijak Anne mengambil peluang. Guna saja kelebihannya, semua lelaki pun boleh tunduk kepadanya.

Anne menggigit bibir bawah. “Err... dia tak tahu. Aku curi-curi ambil gambar dia.”

“What???Melenting suara Sara. Dia lantas bangkit berdiri. Mundar-mandir di hadapan gadis ini.

“Kau mana boleh buat macam tu Anne. Kalau dia saman kau macam mana? Okey. Itu tak apa lagi. Kita boleh pujuk dia. Tapi kalau dia ada isteri? Kau ingat isteri dia tak kenal ke susuk suami dia macam mana?”

Berderau darah Anne. Langsung tidak terfikir tentang itu. Tapi Wabil tak nampak macam suami orang pun. Harapnyalah.

'Aduh... Anne! Apa kau buat ni?' bisiknya dalam hati.

“Tak. Aku yakin dia tak ada isteri.” Anne jawab dengan yakin.

“Mana kau tahu?” Sara memandang si gadis tajam.

“Sebab bila aku peluk dia, dia kaku. Kalau dia suami orang dah lama dia menggatal.”

Terbeliak terus mata bulat Sara. Biar betul si Anne ni. “What? Kau peluk dia? Dah kenapa kau nak peluk dia? Anne!” Sara rasa nak hentak kepalanya ke dinding. Geram  betullah dengan masalah pelakon diva sorang ni.

“Okey, tenang dulu. Tarik nafas. Nanti aku cerita. Sekarang kau beritahu aku. Bapak kau dah okey?” Cepat-cepat Anne menukar topik perbualan. Kalau dia terus bercerita, mahu si Sara kena strok akibat terlalu geram. Baik dia buka cerita lain.

Sara menarik nafas dalam. Sabar Sara. 'Bukan sekejap kau jadi PA dia. Lama dah kut. Lebih daripada ni kau pernah hadap kan?' desis Sara sambil tenangkan hatinya.

“Bapak aku tu jatuh pokok petai belakang rumah. Tu lagi seorang, nak makan petai pun beritahulah. Mampu aje aku bagi duit beli kat pasar pagi. Mengada-ada betullah bapak aku tu.” Sara mula membebel tentang bapanya yang jatuh pokok hingga ditahan di hospital.

“Teruk ke?” cemas Anne menyoal. Sara tak beritahu pun tentang hal itu. Tinggi kut pokok petai belakang rumah gadis itu. Dia pernah pergi ke rumah keluarga Sara di kampung suatu ketika dulu.

“Tak teruk mana pun. Terseliuh aje. Bukan tinggi mana dia sempat panjat. Adik aku kata bapak aku terkejut kena sergah dengan mak aku. Tu pasal jatuh. Macam nangka busuk kau tahu. Boleh pulak dia rakam aksi bapak aku jatuh.”

Sara tergelak besar apabila membayangkan aksi bapanya jatuh pokok. Agaknya bapanya ingat diri tu muda belia lagi ke? Apabila ditanya kenapa beria-ia nak panjat, katanya petai itu gemuk. Menggoda sangat minta dipetik. Macam-macamlah.

“Kau ni tak baik gelakkan bapak sendiri tau,” tegur Anne. Tapi dia tumpang gembira jika bapa Sara itu tak apa-apa. Terbayang wajah lelaki separuh abad yang bermisai seperti A Galak itu. Maklumlah bekas polis pencen.

Sara terhenti tawa. “Okey. Dah. Sekarang beritahu aku lepas ni kau nak buat apa?” Sara duduk semula.

“Buat apa? Sambung shootinglah. Sara...” Anne merengek sambil paut lengan pengurusnya.

“Apa pulak lagi?” Sara jongket kening.

“Aku menyampah dengan Aluna. Aku ni tahan sabar aje nak cepuk mulut dia.” Anne mendengus geram. Eee... ikutkan hati yang geram ni memang dia cili-cili mulut Aluna itu.

“Dia buli kau ke?”

“Buli? Tolong sikit. Dia ingat senang nak buli aku?” Anne angkat kening. Memang dia sakit hati dengan Aluna. Tapi setakat ini gadis itu tak berani berlebih-lebih. Bukankah Zamri, pengarah mereka itu sayangkan Anne? Berani Aluna nak buat perangai.

“Dah tu?”

“Dia kata aku sengaja buat cerita pasal Wabil sebab nak tutup hubungan aku dan Helmi. Bengong betul!”

“Wabil?” Siapa pula Wabil? Pening kepala Sara.

“Wabil, boyfriend baharu aku tulah.”

Aduh, makin pening Sara fikir. Bila masa pula Anne ada kekasih baharu? Kenapa dia tak tahu?

No comments:

Post a Comment