DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 28 June 2022

Gelisah Asmara - Bab 3


MIKAYLA memberanikan diri untuk menghubungi Saef melalui mesej di WhatsApp.

We need to talk. I need to see you.

Who is this? Mikayla. 

Tidak lama kemudian, mesej itu dijawab oleh Saef. Dia memberikan lokasi dan masa untuk mereka berjumpa. Mikayla mula menghela nafas panjang setelah membaca itu. Berharap setelah pertemuan ini, akan ada sinar baharu menyinarinya setelah dua hari dia kusut oleh masalah dirinya yang telah ditunangkan dengan Saef tanpa persetujuannya.

Jam 10 pagi itu, Mikayla muncul di restoran yang dijanjikan. Dari jauh dia sudah melihat kelibat lelaki itu minum sendirian. Saat itu dadanya seperti sudah mahu meletup oleh rasa gemuruh dan debaran. Sungguh dia tidak mengenali lelaki itu. Tidak tahu karakter bekas tunang adiknya itu.

Mulalah Mikayla serba tidak kena. Sibuk menilik dirinya, adakah dia sudah cukup kemas dan cantik saat ini.

“Eh, yang kau nak cantik-cantik depan dia nak buat apa, Kay? Bukan kau datang nak pikat dia pun,” ucap Mikayla seorang diri.

Lelaki itu hanya tenang saat Mikayla muncul di depan mejanya. Senyum tidak, apa pun tidak. Lagaknya macam orang kaya sombong.

Sit,” ucap Saef sepatah.

Mikayla akur dalam rasa canggung dengan pengenalan yang agak kaku ini. Saef memandangnya seketika sebelum dia kembali meneguk airnya. Saef melambai pelayan, meminta mengambil pesanan. Namun Mikayla menolak untuk memesan apa-apa. Tidak tahu berapa lama dia akan berada di meja ini. 

Saef hanya membiarkan saja pelayan berlalu tanpa membawa apa-apa pesanan daripada Mikayla. Dan keadaan di meja itu hening seterusnya.

Serba tidak kena si Mikayla apabila Saef diam sediam-diamnya. Dia jadi mati kutu di depan lelaki itu. Kononnya hendak memujuk Saef agar menangguhkan majlis nikah itu agar mereka boleh memujuk Mariani. Sudahnya dia pula terlopong di depan Saef.

‘Bodoh betul kau pergi tinggal tunang sekacak ini, Mar...’ bisik hati Mikayla. Baru pertama kali dia lihat lelaki ini dekat-dekat.

Ketika Mariani bertunang dan dipinang, lelaki ini tidak hadir pun. Dia bertemu Saef pertama kali ketika di rumah ayahnya baru-baru ini. Itu pun sekadar bercakap dari jendela.

“Nak bincang apa?” tanya Saef saat si Mikayla asyik merenung mukanya.

Mikayla tersentak. Baru sedar yang dia ralit merenung muka si Saef. Lelaki itu mengerling Mikayla sebelum mengambil cawan teh hijaunya. Air itu diteguk cermat tanda dia bukan seorang lelaki yang gopoh. Setelah itu dia mula merenung wanita di depan matanya itu. Cantik persis yang digambarkan ibunya. Itulah yang dibisikkan oleh hatinya.

Emm... aaa...” Mikayla termangu seketika. Nak bahasakan diri Kay ke... I ke... saya ke... dia tidak tahu. Canggung.

Emm...”

“Dah dua kali emmm... emmm apa?” celah Saef tanpa memandang Mikayla di hadapannya.

“Boleh I tahu siapa punya idea supaya I kahwin dengan you gantikan Mar? Nampak? Muka tak sama ni,” ucap Mikayla lantas memegang dagunya.

“Siapa cakap I nak kahwin dengan you sebab muka you sama macam Mariani?” balas Saef.

“Ini idea yang teruk, Saef. Cara you pandang I, I tahu you tak suka I pun.”

“Selain sebagai peguam hartanah, you ahli nujum juga ke? You boleh tahu I suka you ataupun tidak?” Nada lelaki itu kedengaran selamba.

“Okey. Tak payah berbasa-basi boleh tak? I tak nak kahwin dengan bekas bakal adik ipar. I nak pujuk Mariani supaya dia kahwin dengan you,” ucap Mikayla.

Saef memandang Mikayla dan diam. Sedetik... dua detik... dia memandang Mikayla dengan pandangan bersahaja.

“Okey. Mana dia?” tanya Saef setelah mereka berdiam buat seketika. Dia memandang sekeliling seolah-olah mencari kelibat Mariani. Kata Mikayla mahu memujuk adiknya. Tetapi dia percaya Mikayla juga tidak tahu di mana Mariani sekarang.

Mikayla terdiam. Ya, mereka masih belum tahu Mariani di mana. Malah, dia sendiri tidak tahu di mana rumah sewa Mariani.

“Saef, I nak minta tempoh. I akan bayar semula segala kerugian yang dia buat pada you,” ucap Mikayla akhirnya.

Saef tiba-tiba tersenyum sendiri mendengar bicara Mikayla.

“Ada perkara lebih penting berbanding duit. Janji... itu salah satu contohnya. Kita tak boleh sesuka hati mungkir janji. Maruah... kita tak boleh sesuka hati mempermainkan maruah orang,” luah Saef.

“You pilih dia... dia semenjak dulu tak pernah lekat dengan seorang lelaki, Saef. Ramai orang dah jangka keadaan ini akan berlaku juga,” balas Mikayla rendah. Malu juga dia kepada Saef dengan perangai adiknya itu. 

“Dia akan berterusan begitu jika tiada sesiapa di sisi dia yang boleh menjinakkan hatinya. Mak dan ayah you tak mampu kawal Mariani.”

“You pun tak mampu.”

“I surrender. Kalau you mampu pujuk dia pun, I dah tak inginkan dia. Dia mempermainkan maruah keluarga I,” balas Saef sinis.

“Jadi, tak ada point kita berbincang sekarang. You nak apa sebenarnya?” keluh Mikayla.

“I dah kata, I nak you...” ucap Saef lantas tersenyum sinis.

Riak wajah Mikayla berubah. Terkejut mendengar pengakuan itu.

“Tapi untuk apa? You nak balas dendam?”

“I bagi you masa untuk you pujuk I sehingga I rasa kita tak perlu teruskan idea yang you kata gila ni,” ucap Saef.

“Okey. Berapa lama? Sebulan? Dua bulan?”

“Dua hari.”

“Hah?” Reaksi Mikayla terlepas spontan.

“Dua hari. Kalau you berjaya, I akan ubah pendirian I. Kita hanya ada masa sebulan lebih saja lagi, Mikayla. I sepatutnya nikah dengan Mariani pada awal bulan depan. Jadi you ada dua hari saja,” ucap Saef.

Mikayla melopong. Apa yang dia mampu buat dengan 2 hari?

“Dan jangan cuba buat-buat perangai yang jelik kononnya supaya I tak suka pada you. Pada tahap ini... cinta duduk nombor 100 untuk I kahwin dengan you,” pesan Saef.

Mikayla terdiam memandang lelaki itu. Tidak tahu apa yang hendak dikatakan kepada Saef.

“Okey. I minta maaf bagi pihak Mariani...”

“I tak nak dengar tentang maaf. Maaf tak akan ubah keadaan. Kita ada majlis perkahwinan yang akan berlangsung tidak lama lagi,” ucap Saef pantas.

“Dengarlah dulu. Ni baru mukadimah.”

Saef angkat kening tanda dia sedia menanti penjelasan yang seterusnya.

“Boleh tak you bagi I masa... I akan bayar semula duit tu. So, kita bolehlah batalkan saja majlis tu,” ucap Mikayla.

“Tak boleh.” Saef jawab macam orang tidak berperasaan.

“Susahnya berbincang dengan you ni!” ucap Mikayla mula nak naik angin. Sombong betul lelaki seorang ini.

“2 hari, Mikayla...” ucap Saef seperti mahu mengingatkan.

“Apa yang I nak buat dengan 2 hari tu? Nak duduk depan you ni pujuk you tak henti-henti? Biarlah logik sikit!” tekan Mikayla.

Saef sekadar mengangkat kening dan senyum pada wanita itu. Dia bangun untuk balik namun Mikayla tiba-tiba menahan.

“Okey. Okey. Please... I cuba ya?” ucap Mikayla.

Come with me,” suruh Saef.

“Hah? Nak pergi mana?”

“Jangan risau. I bukannya nak makan you,” balas Saef. Dia meletakkan not RM50 di atas meja itu dan menanti Mikayla bangun.

Let’s go,” ajak Saef lembut.

Mahu tidak mahu, Mikayla akur juga. Mereka meninggalkan restoran, Saef mendekati keretanya dan membuka pintu.

“I akan hantar you ke sini semula.”

Punyalah takut si Mikayla. Namun tidak tahu kenapa dia masuk juga ke dalam kereta Saef. Buatnya dia dibawa entah ke mana-mana... jenuh dia nanti. Dalam keadaan fikirannya tidak tenteram, dia tidak mampu memikirkan apa tindakan yang tepat untuk dia ambil.

Lelaki itu memandu tanpa sepatah kata, membuatkan Mikayla kian resah di sebelah Saef.

“Kita nak ke mana ni?” tanya Mikayla akhirnya.

My house,” ucap Saef.

Mikayla menarik nafas dan tahan. Mulalah otaknya membayangkan yang tidak-tidak. Andaian paling dekat, lelaki ini mahu memperkosanya. Saat dia memandang  Saef, lelaki itu senyum pun tidak. Itu menambahkan lagi ketakutannya.

“Buat apa kat rumah you?”

“Apa-apa yang patut,” jawab Saef selamba. Malas nak layan bicara perempuan seorang ini.

Mulalah rasa nak terberak, nak terkencing semuanya ada.

“Boleh tak you berhenti di petrol station tu? I... I rasa nak pergi tandaslah,” ucap Mikayla.

Saef menoleh kepada Mikayla. “Dah tak tahan?”

“Apa? Aaa... dah tak tahan. Rasa nak melepas sangat ni,” ucap Mikayla sambil akalnya ligat mencari jalan untuk melarikan diri.

Lelaki itu terus membelok masuk ke sebuah stesen minyak.

“Okey.”

Si Mikayla terus keluar sebaik saja kereta berhenti di tepi stesen minyak. Dia berjalan cukup laju ke arah belakang bangunan kedai serbaneka Petronas. Bukannya dia ke tandas. Sebaliknya dia pergi ke arah sana untuk melarikan diri daripada Saef. Elok saja dia sampai semula ke depan, si Saef dah tunggu dia di situ.

“Dah habis?” tanya Saef.

Mikayla terkejut sampai menjerit saat diterpa suara Saef. Dia menoleh ke belakang. Elok saja lelaki itu bersandar dan berpeluk tubuh di dinding.

“You jangan layan I macam orang bodohlah, Kay... I tahu you nak lari. Tadi kenapa tak cakap tak mahu?” ucap Saef lantas mendekati Mikayla.

Mikayla terpaku memandang lelaki itu. Sekarang dia rasa bertambah takut dengan lelaki ini.

Come. I tak makan orang. Muka I ni nampak macam perogol ke?” ucap Saef dengan kerutan di kening. Riak wajahnya macam orang nak marah.

“Okey. Tapi jangan apa-apakan I,” ucap Mikayla.

“Apa yang ada dalam otak you sekarang ni?” tekan Saef lantas mencekup pergelangan tangan Mikayla. Wanita itu dibawa kembali ke kereta.

Mikayla senyap sunyi saat Saef kembali memandu. Konon nak pujuk Saef. Sekarang ini otaknya jem kerana takutkan lelaki ini. Riak wajah ketat Saef memburukkan lagi ketakutannya.

Setiba di rumah lelaki itu, ketakutan Mikayla serta-merta mengendur apabila ternampak seorang wanita membuka pintu, menyambut kehadiran mereka.

“Siapa tu?” tanya Mikayla lantas memandang Saef.

“Pembantu rumah. Come,” ajak Saef lantas menanggalkan kasut.

Kurang sikit rasa takutnya apabila terlihat ada wanita lain di rumah itu. Di ruang tamu, Mikayla memandang sekeliling. Dan dia ternampak satu bingkai gambar di atas meja yang sudah diterbalikkan. Mikayla memberanikan diri pergi melihatnya saat Saef naik ke tingkat atas. Dia terpaku memandang gambar Mariani bersama Saef.

Lelaki itu turun semula tidak lama kemudian bersama satu beg pakaian.

“Ni semua barang yang dia minta sebelum ini. Hantaran perkahwinan. Ambil,” ucap Saef setelah beg pakaian itu diletakkan di atas salah satu sofa.

Mikayla lambat-lambat membuka beg itu. Di dalamnya ada beberapa kotak dengan label dari jenama-jenama terkenal.

“Ada yang kosong sebab isinya dia dah ambil. Bakinya ni. Tak sempat nak hantar untuk dihias. I rasa dah tak perlu,” ucap Saef saat Mikayla masih ralit memerhatikan isi beg itu.

“Kenapa bagi pada I?” balas Mikayla pula.

“You nak I buat apa dengan heels dan barang perempuan ni semua?” balas Saef pula.

Mikayla diam. Dia tidak tergamak hendak mengambilnya. Kemudian dia menuding ke arah gambar itu.

“You dengan dia di Itali?”

Yes.” Saef senyum kelat. Dia pergi mengambil gambar itu lalu ditatapnya seketika.

She’s cute. A little bit childish,” komen Saef tentang Mariani. Namun lelaki itu meletakkan semula gambar itu dengan riak wajah keruh.

“I minta maaf tentang Mariani, Saef.”

“I dah cakap. I tak nak dengar tentang maaf,” ucap Saef lantas berlalu ke dapur.

Mikayla memandang semula beg itu. Adiknya itu memang minta dicaci saja! Lelaki ini sanggup buat apa sajauntuk Mariani. Sudahnya ditinggal begitu saja. Kejam.

Lelaki itu kembali ke depan sambil membawa dua gelas air. Kemudian dia duduk di sofa sambil memandang Mikayla yang buat-buat membelek isi kandungan beg itu.

“Banyak lagi barang dia di atas tu. Tapi I bagi yang tu dululah,” ucap Saef.

Mikayla duduk di sofa sambil memandang lelaki itu. Fikir apa yang hendak diucapkan kepada Saef.

“You nak kahwin dengan I hanya untuk tutup malu, kan?” ucap Mikayla.

You could say that,” ucap Saef sambil termenung sendiri. Dalam fikirannya masih ada bayangan Mariani. Kepedihan hatinya kerana dipermainkan masih terasa pekat biarpun dia sudah mengajar dirinya agar reda. Namun dia ingin memandang terus ke hadapan. Apa yang bermain dalam fikirannya saat ini tidak sama seperti tekaan yang ada dalam fikiran Mikayla.

“Tapi...” Mikayla diam dan tunduk seketika. “I tak ada duit sebanyak 300 ribu untuk bayar segala apa yang you dah berikan kepada Mar.”

I don’t care about money,” balas Saef lantas memandang Mikayla.

“Jadi, kenapa you buat macam ni?” tekan Mikayla, benar-benar tidak mengerti apa yang bersarang dalam kepala Saef saat ini.

Saef mula memandang gadis itu.

“Dia malukan keluarga I. You rasa I akan biarkan keluarga I malu begitu saja?” balas Saef sedikit tajam.

“You cuma nak balas dendam kepada I?”

“Dari mana you dapat idea tu?” bidas Saef cukup cepat.

“I teka aje,” ucap Mikayla perlahan.

So, macam mana? I belum nampak sebarang effort daripada you untuk pujuk I supaya membatalkan idea gila  tu,” ucap Saef lantas menyorong gelas air putih itu ke arah Mikayla.

“I tak tahu apa nak cakap. You tak bagi I banyak pilihan.”

“Hutang kena bayar. Janji mesti ditepati. Siapa yang menepatinya, tak penting. Yang penting ia ditepati,” balas Saef lantas dia meneguk air kosong itu sedikit demi sedikit.

Mikayla diam memandang Saef. Namun renungannya tergugat apabila ternampak pembantu rumah mendekati mereka.

“Encik Saef, kerja dah siap. Boleh saya balik ya?”

“Okey,” balas Saef lantas memandang jam di pergelangan tangannya.

“Minum air tu. I hantar you balik ke restoran tadi,” ucap Saef sebelum dia bergerak untuk bangun untuk membawa gelasnya ke dapur.

“Tak apa. Biar saya bawa ke dapur,” ujar pembantu rumah itu.

Saef sekadar bangun meninggalkan gelas di atas meja itu. Rasa tidak percaya kepada Saef mula mengendur dengan tindak-tanduk lelaki itu. Lelaki itu tidak pun mengapa-apakannya.

Di dalam kereta, Mikayla bertanyakan tentang permulaan Saef dengan Mariani.

“Macam mana you kenal dia?” tanya Mikayla.

Saef tidak terus menjawab. Mikayla lihat lelaki itu macam sedang memikirkan tentang hal lain. Matanya hanya fokus ke depan tapi fikirannya sudah jauh meninggalkannya.

“Saef?”

“Hah?” Lelaki itu spontan menoleh ke sebelah.

“You cakap apa?” balas Saef sedikit kabur reaksinya.

“Tak ada apa-apalah,” ucap Mikayla.

“You tanya apa tadi? Sorry,” ucap Saef lantas meraup sebelah wajahnya.

“You masih ingat Mariani. Kemudian you nak kahwin dengan kakak dia. Ni hal... memang tak boleh jadi, Saef,” tekan Mikayla mula hendak marah.

“You dah tak menggelabah,” ucap Saef. Tiba-tiba bicaranya melencong ke arah lain.

“Apa?”

“Tadi you menggelabah sampai perangai pun entah apa-apa.”

Mikayla menarik nafas panjang. Lain yang dia cakap, lain yang dibalas Saef. Tadi memang dia sangsi dan bersangka buruk kepada Saef. Tetapi tiada apa yang berlaku pun. Dia hanya salah sangka.

“Dalam keadaan begini, I sebenarnya tak suka bercakap dan I tak mendengar,” ujar Saef.

“Okey. Sorry,” ucap Mikayla perlahan.

Lelaki itu memberhentikan keretanya di belakang kereta Mikayla. Namun Mikayla tidak terus keluar dari kereta. Ada sesuatu yang hendak dibicarakan dengan lelaki itu. Masih berharap Saef akan membatalkan hasratnya itu.

“Kalau ada caranya dah tentu I akan usahakan supaya maruah keluarga kita tidak tercalar teruk, Saef.”

“Ada caranya. Cuma you tak suka cara tu. Kita belum pun mencuba. You dah bayangkan yang tak elok,” ucap Saef tanpa memandang wanita itu.

Mikayla menghela nafas perlahan. Dia keluar dari kereta diikuti lelaki itu. Saef memindahkan beg pakaian tadi ke kereta Mikayla.

“You boleh minta apa saja daripada I. I akan berikan,” ucap Saef setelah beg itu dimasukkan ke dalam kereta.

“I belum setuju nak kahwin dengan you,” balas Mikayla.

“I rasa kita tak banyak pilihan sekarang. Ayah you dah terima cincin risik dan tunang daripada keluarga I,” balas Saef selamba.

Mikayla diam. Dalam sekelip mata, tunang Mariani menjadi tunangnya. Sekarang dia rasa dia mahu jadi orang kedua selepas Mariani. Lari!

No comments:

Post a Comment