DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 29 June 2022

Bodyguard Hati Anne Dalisa - Bab 8


BERHATI-hati Wabil masuk ke dalam rumah. Jam sudah menunjukkan pukul 11 malam. Emaknya sudah tidur agaknya.

Dia menggeleng kepala bila melihat emaknya sedang terlena di hadapan televisyen. Ini Mak Peah yang tengok TV atau TV yang tengok Mak Peah? Dia menarik cermin mata si emak perlahan-lahan lalu diletakkan di atas meja.

"Mak ni kalau nak tidur, masuklah bilik. Ini tidur atas sofa. Nak kejut kasihan pula. Nantilah kejutkan." Wabil membebel sendiri.

Pandangannya menghala ke arah kaca televisyen. Serentak itu wajah Anne Dalisa muncul di skrin TV, sedang mengiklankan produk syampu terbaharu. Tanpa sedar bibirnya mengoyak senyum nipis. Cantik tapi sayang, lepas laku.

“Haaa... betullah kan abang ada skandal dengan Anne tu kan?”

Wabil sentuh dadanya. “Isy, Lin ni! Terkejut abang. Syhhh... mak tidur. Perlahanlah sikit suara tu.” Wabil buat isyarat diam.

Alin menghampiri abangnya. Dia tahu jejaka yang berada di sisi Anne Dalisa dalam gambar di Instagram adalah Wabil. Jaket dan bentuk tubuh jejaka itu, dia kenal sangat. Sekarang pun abangnya masih pakai jaket yang sama. Nak tipu apa lagi?

“Macam mana abang boleh jadi boyfriend dia? Bila abang kenal dia? Ini kalau mak tahu...” Alin kecilkan mata memandang Wabil. Tak kira, abangnya kena beritahu dia semuanya. Mana boleh Wabil rahsiakan hal sebesar ini daripada pengetahuannya.

“Abang mana ada apa-apa hubungan dengan dia. Abang hantar dia ke KLIA tadi. Itu aje.” Wabil beritahu hal sebenar. Anne Dalisa itu saja pandai-pandai muat naik gambar dia.

“Habis tu, macam mana dia boleh berani upload gambar abang?” Alin masih tak puas hati.

“Mana abang tahu. Tanyalah dia. Dia yang pandai-pandai upload gambar abang. Tahulah abang ni handsome. Payah betul jadi orang kacak ni.”

Eh, perasan pula dia. Baru Alin mahu bertanya lagi, Mak Peah sudah tersedar daripada lena.

“Apa yang kamu berdua bising-bising ni?” Kecil pandangan Mak Peah kepada anak-anaknya. Mana pula cermin matanya?

“Tak ada apa mak. Wabil ada bawa balik makanan. Kuetiau sup untuk mak. Untuk budak debab ni mi bandung kesukaan dia.” Wabil buka jaketnya dan dilemparkan ke arah Alin. Sengaja dia buat begitu. Siapa suruh banyak tanya.

Alin membulatkan mata. Jaket yang dilempar lantas disambut olehnya lalu dibawa ke pelukan. Tapi kejap, kenapa bau lain macam saja jaket ni? Alin hidu lagi jaket itu. Sah! Ini bau perempuan. Dia memandang abangnya dari belakang. Takkanlah kut. Wabil tipu dia ke? Tapi kalau difikirkan semula... Wabil dan Anne Dalisa bercinta? Macam tak boleh percaya saja. Tapi gambar dan bau jaket Wabil ni nak kira macam mana?

“Lewat kamu balik hari ni. Baru tutup kedai ke?” Mak Peah bangkit berdiri sambil dipimpin Wabil ke meja makan.

“Wabil hantar penumpang ke KLIA. Balik tadi Wabil saja masak bagi budak-budak makan. Lama tak masak untuk diaorang.” Wabil beritahu jujur. Mak Peah mengangguk-angguk saja sebelum melabuhkan duduk di kerusi.

“Mak, abang kan tadi dia hantar...” Alin mula bersuara.

Membulat mata Wabil. Cepat-cepat dia menekup mulut si adik. Janganlah beritahu Mak Peah. Nanti tak pasalpasal Mak Peah suruh dia bawa balik Anne Dalisa. Sudahlah emaknya itu peminat fanatik gadis itu.

“Apa hal kamu berdua ni?” Berkerut dahi Mak Peah melihat gelagat anak-anaknya itu.

“Tak... tadi Wabil beli gula-gula. Sedap. Wabil teringat kat Lin. Sebab tu Wabil suap dia. Sedap kan Lin?”

“Jangan nak beritahu mak apa-apa. Nanti abang beritahu Lin semuanya.” Wabil  berbisik di telinga si adik.

“Janji?” Alin ikut berbisik.

“Ya.” Wabil kemam bibir. Nasiblah dapat adik minah kepochi. Semua pun sibuk nak tahu.

“Haah mak. Sedapnya gula-gula ni. Bau wangi.” Alin turut berpura-pura. Nanti ya bang. Gula-gulalah sangat. Bau bawang adalah tangan tu!

“Apa-apa ajelah korang. Dah, duduk makan Lin. Kamu tu kalau lapar mengigau pulak malam-malam.”

Lega Wabil bila Mak Peah tak bertanya lebih.

“Amboi... gurau kasar mak ni. Mana ada Lin mengigau kalau lapar,” nafi Alin. Pandai-pandai saja emak ni.

“Eh, tak mengaku pulak. Siapa ya Wabil yang ketuk pintu bilik kamu malam-malam ajak makan Maggi? Ingat mak tak tahu. Kata aje nak diet. Sampai ke sudah hangat-hangat tahi ayam.”

Wabil sudah menahan tawa melihat riak cemberut adiknya itu.

“Yalah. Yalah. Ini last Lin makan lewat malam. Ini semua abang punya salah. Siapa suruh dia masak sedap-sedap. Mana Alin tak gemuk.” Alin buka plastik berisi mi bandung lalu diletakkan dalam mangkuk yang dihulur oleh Wabil.

“Abang pulak. Dia yang tak tahan nafsu. Kita jugak yang kena.” Wabil ketawa kecil. Melihat wajah dua orang perempuan kesayangannya ini sudah buat Wabil rasa bahagia.

 

“LOVE, I have a new hobby.” Anak mata si jejaka redup merenung mata hazel milik si gadis.

“Jadi?” Si gadis menyahut dengan mata bersinar.

“I have a new hobby, to create a love story between you and me.”

“Oh, sweetnya awak Wabil...”

“Cut!jerit Zamri, pengarah untuk drama terbitan M&M Pictures.

“Mana datang Wabil pulak ni Anne oii... Hafal dialog ke tak ni?” Zamri lantang bersuara dari bangku pengarah.

Anne terpinga-pinga. Aku sebut Wabil ke tadi?

Anne menggaru kepala. Wajah Raimy Sahak yang menjadi pasangannya dalam drama itu dipandang bingung. Anne menggigit bibir bawah. Memang tadi bayang Wabil yang menjelma di matanya. Kenapa dengan dia ni? Takkan jatuh cinta pandang pertama? Angau. Gila!

“You kenapa Anne? Tiba-tiba tukar nama watak I,” tanya Raimy. Dia perasan dari tadi gadis ini seperti tidak fokus pada babak lakonan mereka. Anne ada masalah ke?

“Tak ada apalah. I pening sikit,” dalih Anne dengan senyum segan.

“Sudah-sudah. Kita stop dulu sini. Anne! Sini kejap kat Abang Zam,” panggil Zamri. Entah apa nak jadilah dengan gadis ini.

Dia menapak perlahan-lahan ke arah Zamri. Sempat dia menangkap senyum sinis Aluna. Sukalah tu Anne buat silap.

Anne menggigit bibir bawah. Wajahnya cuba dimaniskan kepada lelaki itu. Harap-harap Zamri cairlah dengan senyuman dia.

“Ya Abang Zam. Maaflah bang. I terlupa nama watak tadi. Tak sengaja. Sorry eh.” mAnne tayang sengih. Hujung baju Zamri ditarik-tarik manja. Dia tahu lelaki ini tak akan marahkan dia kerana hal sekecil itu.

“Eh... you ingat you gedik-gedik dengan Abang Zam tu Abang Zam buat tak nampaklah ya? Rugi shoot pasal you tau,” sampuk Aluna. Menyampah betul dia dengan Anne. Sepatutnya dia yang memegang watak heroin. Bukan perempuan gedik ini.

“Diamlah kau kayu!” tempelak Anne bersama jelingan menyampah kepada Aluna. Menyibuk saja kerjanya.

Aluna buat memek muka mengejek. 'Kau tunggu. Sekarang memang kau di atas. Nanti kau akan jatuh rebah ke bumi. Masa itu aku gelak puas-puas,' desisnya dalam hati. Sakit di hati Aluna bertukar menjadi dendam.

“Dah. Diam korang berdua. Luna, kau diam. Pergi sana hafal dialog.” Zamri arah Aluna supaya gadis itu menjauh daripada mereka.

Anne jelir lidah kepada Alunayang menghentak kaki seraya berlalu pergi dari situ.

“Anne!” tegur Zamri. Silap dia pilih Aluna dan Anne berlakon dalam satu drama yang sama. Sedangkan mereka berdua itu bagai Palestin dan Israel. Asyik berperang saja.

Anne tayang sengih. “Orang sajalah nak usik dia. Suka sangat menyibuk.”

“Abang Zam tak peduli hal korang. Abang tahu kau profesional. Bila tang berlakon kau selalu fokus. Tapi akhir-akhir ini fokus kau memang berterabur. Bukan hari ini saja, hari-hari sebelum ini pun. Kau ada masalah ke?”

Sengihan Anne terus terpadam bila Zamri bertanya begitu.

“Anne, Abang Zam yang didik kau, Anne. Dari mula-mula berlakon sampai kau gah sebegini. Abang kenal mana wajah sebenar kau. Kau dah macam adik abang, Anne.”

Anne senyum tawar. Kerusi diambil lalu duduk dilabuhkan di sebelah Zamri yang sudah dianggap sebagai penjaganya dalam industri seni ini. Tanpa Zamri, Anne tak mungkin berada di tahap ini.

“Abang Zam jangan risau ya. Just, ada masalah sikit dengan Andy. Abang Zam kan tahu dia tu cemburu betul dengan Helmi. Dan Abang Zam tahu kan siapa Andy tu.” Hanya kepada Sara dan juga Zamri saja Anne ceritakan masalahnya. Hanya mereka berdua yang dia percaya. Bidang yang dia ceburi ini terlalu menakutkan. Banyak drama dan talam dua muka. Dia memang berhati-hati dalam berkawan.

“Itulah, Abang Zam dah syak dah dia tu lelaki tak guna. Mafia. Tapi kau degil. Kau kawan juga dengan dia. Anne, abang tahu kau inginkan kasih sayang. Tapi lelaki macam Andy tu bukan pilihan yang sepatutnya.” Zamri memberi nasihat lembut.

Anne melepas keluhan. “Ya. Anne dah sedar. Cuma, Anne tak sangka Andra sanggup bersekongkol dengan Andy. Dia tahu pantang Anne apa. Abang pun tahu kan sebab apa Anne masuk industri ni. Tapi diaorang tipu Anne. Sakit hati Anne ni. Kecewa sangat.” Anne rasa mahu menangis bila mengingatkan tentang itu. Lagi-lagi rasa kecewanya kepada Andra.

“Dahlah, jangan fikir lagi. Mungkin Andra ada sebab bila kenalkan Anne kepada Andy. Mungkin dia mahu Anne bahagia sebab dia nampak Andy terlalu sukakan Anne.” Zamri masih lagi cuba berfikiran positif.

“Semua orang pun sukakan Anne. Tapi Andy melampau sangat. Kalau dia tak dapat terima kekasih dia ni seorang artis, buat apa dia approach Anne? Kemudian cemburu buta sampai nak naik tangan kepada kita. Anne takkan benarkan dia sentuh Anne. I’m not his punching bag!” meluap rasa marah Anne kepada Andy.

Baru saja 6 bulan hubungan mereka, Andy sanggup mahu menamparnya. Dia takkan biarkan hidupnya dibuat sesuka hati oleh orang!

“Dan sekarang dia dah macam gila pulak kan? Abang rasa kau patut upah bodyguard. Tak pun kau suruh aje boyfriend baharu kau tu jadi bodyguard. Itu pun kalau dia betul-betul sayang kat kau.” Zamri memberi cadangan.

Bodyguard? Wabil jadi bodyguard dia? Not bad. Tapi mahu ke Wabil?

No comments:

Post a Comment