DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 29 June 2022

Bodyguard Hati Anne Dalisa - Bab 3


LEGA Wabil rasa apabila urusan pendaftaran sebagai pemandu Grab berjalan lancar. Sekarang dengan rasmi dia sudah menjadi pemandu Grab. Harap-harap semuanya dipermudahkan.

Wabil dan Ayoi singgah di kedai mamak berdekatan kawasan perumahan mereka.

Anak mata Wabil mengitari kawasan tempat dia dan Ayoi dibesarkan. Kawasan itu dulunya hanya dipenuhi hutan getah namun sekarang sudah dibangunkan menjadi kawasan pesat sebegini. Wabil dan Ayoi menyaksikan segalanya sebelum Wabil melarikan diri dari situ ketika berusia 15 tahun.

“Bil, kau dengar cerita tak ada syarikat hartanah nak beli tapak rumah kita.” Ayoi buka cerita.

Terjongket kening Wabil. “Aku tak dengar pulak cerita. Kau dengar dari mana?” Wabil hirup teh tarik yang dipesannya tadi.

“Pak Hasyim yang beritahu masa aku lepak kedai Ahpak hari itu. Syarikat tu upah orang datang buat survey. Juta-juta dia nak bagi. Tapi Pak Hasyim kata rata-ratanya tak mahu jual. Inilah harta yang kita ada kan.” Ayoi ikut menghirup teh tarik kesukaan mereka. Inilah kedai mamak yang paling lama bertahan di kawasan itu.

Wabil mengangguk kecil. Mereka hanya rakyat berstatus sederhana. Rumah yang diduduki mereka itu pun dibeli dengan harga mampu milik suatu ketika dulu. Melihat pertumbuhan ekonomi di kawasan itu, maka banyak syarikat hartanah mula mencari peluang membina tapak di situ.

Perbualan Wabil dan Ayoi terhenti bila ada pesanan WhatsApp yang masuk ke telefon bimbitnya. Wabil membaca pesanan itu.

Assalamualaikum awak.

Saya nak tanya. Mak Peah

ada kat rumah tak?

Wabil menggaru kening. Pesanan itu dibalas.

Ada. Nak buat apa

cari mak saya?

Maliya, anak Mak Cik Kalsom. Jiran setaman dengannya. Gadis itu memang agak rapat dengan emaknya.

Liya nak bagi kari ikan

sembilang kat Mak Peah.

Semalam dia minta Liya buat.

Wabil tersenyum nipis. Ini mesti Mak Peah punya hal. Mengadu kepada Maliya mahu makan itu ini. Kalau dengan Wabil memang tak dapatlah makan seumpama itu. Masalahnya emaknya itu menghidap pelbagai penyakit. Dia tak mahulah sakit si emak bertambah teruk. Sebab itu Wabil mengawal pemakanan emaknya. 

Mak saya suruh

masakkan ke?

Errr... taklah. Saya yang nak

masak. Untuk awak dan Lin

sekali saya buatkan ni.

Wabil mengeluh perlahan. Nak menolak tak sampai hati pula. 

Mak ada di rumah. Lin pun

ada. Dia ada kelas petang.

Baik awak. Nanti awak

makan tau. Saya tahu

awak suka ikan sembilang.

Wabil menggaru kening lagi. Tak tahu nak balas apa. Sudahnya dia hanya berterima kasih.

“Ooo... mesej daripada buah hati. Dah ada calon tu kahwin ajelah Bil. Apa lagi kau nak tunggu. Tengok aku ni, anak nak masuk 2 dah.” Ayoi angkat kening. Bangga pula dia sebab berkahwin muda.

“Bila masa pulak aku ada calon? Itu Maliyalah. Dia mesej tanya mak aku ada di rumah ke tak.” Wabil menafi telahan Ayoi. Bila masa pula dia ada buah hati?

“Oh... Maliya bukan buah hati kau eh? Aku tengok rapat semacam aje dengan Mak Peah. Lepas tu asyik bertandang ke rumah kau. Jelas bro, dia nak kat kau. Takkan kau tak nak kat dia. Lawa juga apa.” Ayoi sangkut lengan pada bahu Wabil. Tersenyum-senyum dengan kening dijongket.

Wabil menggeleng kecil. Pandai-pandai saja Ayoi ni.

“Dia tolong teman mak aku aje tu. Kan aku selalu sibuk. Lin pulak sibuk belajar. Dia temanlah mak aku.” Lagi sekali Wabil buat penafian. Terbayang wajah gadis itu. Dia anggap Maliya macam adik. Memang taklah dia mahu jadikan gadis itu sebagai isteri.

“Bil... Bil... Kau ni buta ke sengaja buat-buat buta? Perempuan kalau tak sayang kat si anak, tak ada maknanya dia nak rajin melayan si emak. Dia tu ada hati dengan kau. Memandangkan kau tak ada calon, kahwin aje dengan budak Maliya tu. Kau tahu tak kahwin tu syok? Boleh bunuh syaitan hari-hari tau.” Ayoi menepuk bahu Wabil. Entah kenapa Wabil selalu mengelak bila melibatkan isu kahwin. Dah ada yang berkenan dengan dia pun masih tak mahu.

Dahi Wabil berkerut. “Apa kena-mengena pulak kahwin dengan bunuh syaitan?”

Ayoi sudah ketawa kecil. “Buat-buat tak faham pulak kau. Kau ni lelaki ke gay?” Kali ini kuat Ayoi menepuk bahu lelaki ini.

Baru otak Wabil mampu mencerna. Cis, bunuh syaitanlah sangat!

“Ke kau memang tak tahu nikmatnya macam mana?” Ayoi bisik pula di telinga rakan baiknya.

Choi! Wabil menolak lelaki ini menjauh. Ayoi ingat dia baik sangat ke? Ayoi tak tahu waktu Wabil jauh daripada keluarga, pelbagai nikmat dunia itu dia dah rasa. Cepat-cepat Wabil beristighfar. Diraup mukanya. Cuba dibuang jauh-jauh dosa silamnya. Andai waktu dapat diputar, dia pilih takkan pergi jauh daripada keluarganya sebelum ini. Jadi, hidupnya takkan dipenuhi rasa sesalan seperti sekarang.

“Kau kira bunuh syaitan aje. Yang betapa beratnya tanggungjawab seorang suami tu kau tak kira. Aku tak mahu kahwin kerana nafsu semata. Aku belum yakin mampu jadi suami yang baik. Ni, hidup aku pun terumbang-ambing. Lagi nak tanggung anak dara orang.” Wabil mencebik.

“Lagi satu, jangan nak buat gosip aku dengan Maliya tu. Aku anggap dia adik aje.” Wabil memberi amaran. Bukannya apa, kadang-kadang si Ayoi ini boleh bertukar jadi pak cik bawang. Memang kena seligilah Ayoi dengan dia kalau gosip itu tular. Dia tak mahu Maliya salah faham nanti.

“Baiklah. Kanda Wabil ini ada-ada saja. Membebel macam mak dinda saja.” Ayoi mengepit suara seperti perempuan. Melentok manja di bahu lelaki ini. Sengaja menyakat sahabatnya itu .

“Hoii!” Wabil menolak kepala Ayoi. Hantu betul Ayoi! Malu Wabil bila beberapa pasang mata melihat gelagat mereka. Ayoi ketawa besar.

 

“HAA... MACAM mana? Boleh ke?” Selesai saja memberi salam terus dia diserbu soalan

daripada emaknya. Memang Wabil ada beritahu tentang dia yang mahu buat Grab. Jadi,

tidaklah si emak tertanya nanti bila dia selalu hilang.

“Tengah tunggu passenger pertamalah tu Mak Peah,” jawab Ayoi bagi pihak Wabil. Dia yang berada di belakang Wabil ikut menyusup masuk ke dalam rumah dengan kaki berkepit.

“Mak Peah, tumpang bilik air.” Laju Ayoi berlari ke bilik air rumah Wabil itu. Ayoi memang sudah biasa dengan emaknya. Mak Peah juga sudah menganggap sahabat-sahabat anaknya seperti anak sendiri.

“Alhamdulillah mak. Mak doakan ya semoga urusan Wabil dipermudahkan ya mak.” Wabil melabuhkan duduk di sofa untuk melepaskan penat.

Saat Ayoi melintasi ruang dapur ketika hendak ke bilik air, pandangannya menangkap susuk seorang gadis sedang membancuh air.

“Eh, Liya pun ada,” tegur Ayoi meleret.

Maliya tersenyum kecil kepada Ayoi. Tersengih-sengih saja Ayoi kepada Maliya. Nak kata tak lawa, bolehlah tahan Maliya ini. Kenapalah Wabil tak berkenan. Kalaulah dia tak sayang isteri, nak juga dia ambil buat isteri nombor 2. Itu pun kalau tak kena parang dengan isterinyalah.

“Hai... Ayoi.” Maliya senyum manis menegur lelaki itu sebelum meneruskan kerjanya.

“Nak buang hajat sekejap.” Ayoi sengih lagi sebelum menapak ke tandas untuk melunaskan hajatnya.

Wabil membelek telefon pintarnya kalau-kalau ada pelanggan yang mahu menggunakan khidmat Grabnya. Mungkin dia patut keluar untuk menunggu pelanggan. Wabil berkira-kira untuk keluar.

Ayoi yang baru tiba dari tandas tersengih-sengih kepada Wabil. Matanya membuat isyarat supaya Wabil memandang ke arah belakangnya.

Wabil sengetkan badan menjengah ke belakang Ayoi. Gadis yang dikenalinya melenggok ayu membawa dulang air.

Dia menggaru kening. Sedikit sebanyak apa yang dikatakan Ayoi sebelum ini terfikir juga di benaknya. Betul ke gadis ini ada hati kepadanya? Wabil menjeling emaknya yang sedang ralit menonton drama Melayu. Tak habis-habis dengan drama.

Wabil kerling sekilas ke kaca TV. Cantik juga heroinnya. Patutlah Mak Peah berkenan sangat.

“Mak tengok cerita apa tu sampai meleleh air mata tu?” soal Wabil bila melihat Mak Peah sudah tercebik-cebik menahan tangis. Terbawa-bawa emosi dek drama itu.

“Ini sedih ceritanya. Kesian heroinnya. Asyik menderita aje. Dahlah kena makan dengan bapak sendiri. Dapat pulak laki kaki pukul. Ni laki dia nak jual dia pulak. Kesian sungguh!” Mak Peah mengelap hingus dengan kain tuala yang disangkut pada bahunya. Sudah macam Wan Maimunah pula Wabil tengok. Padahal emaknya itu boleh dikira muda lagi. Baru awal 50-an.

“Ohh... ingat drama kahwin paksa dengan CEO.” Wabil ketawa dengan telahannya. Setahunya itu drama yang selalu menjadi pilihan penerbit TV.

“Jemput minum Abang Wabil, Ayoi, Mak Peah.” Maliya tuang air dengan berhati-hati. Selesai menghidang air, Maliya duduk bersimpuh di tepi kaki Mak Peah yang sedang duduk di atas sofa itu. Matanya melirik ke arah Wabil.

“Abang Wabil...” Ayoi berbisik perlahan dengan suara yang dilenggokkan. Dia menyenggol bahu Wabil. Suka benar dia mengusik sahabatnya itu.

Wabil menjegilkan mata kepada Ayoi. Tak habis-habis nak menyakat.

“Anne Dalisa ni cantik kan Mak Peah? Untunglah siapa jadi suami dia. Tapi itulah seksi sangat. Lepas tu, gosip dengan macam-macam lelaki pula. Siapalah nak buat menantu kalau dah macam tu,” komen Maliya sambil mata masih menumpukan perhatian pada kaca televisyen. Melihat lakonan pelakon kesayangan Mak Peah itu.

“Isy, Mak Peah nak aje kalau jadi menantu Mak Peah. Kita ni jangan cepat menilai orang Liya. Siapa tahu orang yang kita kata buruk itu sebenarnya lebih mulia daripada kita. Bila-bila masa saja Allah boleh beri hidayah kepada dia. Kita yang rasa diri kita ni baik pun belum tentu baik selamanya.” Serta-merta Maliya tergamam apabila Mak Peah menasihatinya begitu.

Wabil dan Ayoi tersengih. Janganlah mengata artis kesayangan Mak Peah itu. Wabil lihat wajah Maliya sudah bertukar rona. Malu agaknya ditegur begitu.

“Masalahnya mak, artis mak tu nak ke jadi menantu mak?” usik Wabil bagi menceriakan kembali suasana.

Ayoi ikut ketawa. “Tak sangka tinggi angan-angan Mak Peah. Nak menantu retis.” Ayoi turut menyakat.

“Isy, mestilah. Dapat menantu artis. Siapa aje yang tak mahu. Bertuahlah Mak Peah kalau Anne tu nakkan si Wabil ni.” Mak Peah mencebik. Makin galak Ayoi ketawa. Beranganlah Wabil berjodoh dengan artis.

Manakala Maliya hanya tersenyum nipis. Rasa hati disayat-sayat pula. Mak Peah tak nampak ke yang dia sukakan Wabil?

No comments:

Post a Comment