ANNE melangkah laju menuju ke arah kumpulan kru dan pelakon yang akan berangkat bersamanya ke Istanbul. Mereka akan menjalankan penggambaran di sana.
“Seperti yang kita maklum, lambat seperti selalu. Diva!”
Anne baru saja mendekati kumpulan itu. Awal-awal lagi telinganya mendengar perlian Aluna, salah seorang pelakon wanita yang membawa watak antagonis dalam drama itu.
“I ada masalah sikit tadi. Sorry ya Abang Zam.” Anne segera meminta maaf kepada Zamri, pengarah drama yang rapat dengannya itu. Wajah kasihan ditayang kepada lelaki ini.
“Masalah apa pula kali ni?” Zamri jongket kening sebelah.
Anne mendekati Zamri. Kakinya dijengket mahu berbisik kepada pengarah yang sudah dianggap sebagai abang sendiri itu.
“Andy buat hal lagi,” bisik Anne.
Zamri kerut kening sambil memandang ke arah wajah Anne yang bersungguh-sungguh menyatakan hal itu.
“Padan muka!” Zamri ejek selamba sebelum melangkah dan beratur bersama yang lain.
“Abang Zam!” bentak Anne manja. Boleh pula lelaki ini perli dia.
“Abang Zam...” Aluna yang melintasi Anne mengejek gaya gadis itu. Menyampah! Entah apa yang semua orang nampak pada Anne Dalisa itu. Nak kata cantik, dia lagi cantik!
Anne menjeling saja kepada Aluna. Malas mahu melayan. Terus saja dia mengekori langkah Zamri.
“You ingat orang percaya ke drama you? Ada pakwe baharu konon. Tak sangka kan dalam drama you berlakon, luar drama pun sama.”
Kata-kata Aluna membuatkan langkah Anne terhenti. Tajam Anne menoleh ke arah gadis ini. Terjongket hujung bibir Aluna.
“Kenapa? Nak serang I? Yalah. You kan suka serang menyerang ni,” sindir Aluna lagi.
Anne kepal tangannya. 'Sabar Anne. Jangan termakan provokasi perempuan ni,' detiknya dalam hati.
“Whatever,” balas Anne bersama jelingan maut. Lantak kaulah perempuan, nak perli-perli aku ke apa!
“Anne! Luna! Tercongok apa lagi. Cepat!” jerit Zamri kepada mereka.
Anne terus melangkah. Aluna yang di belakangnya ikut mengekori.
“Kau tunggu Anne. Suatu hari nanti kau akan jatuh juga. Dan aku yang bakal bersinar nanti.” Aluna senyum sinis.
WABIL MELANGKAH keluar dari surau. Tadi, dia singgah solat di surau KLIA itu. Mujur juga dia sempat menunaikan solat maghrib tadi. Semuanya gara-gara si gadis penggoda
itu. Aci tak dia gelarkan Anne Dalisa itu penggoda? Sebab memang tadi dia hampir tergoda dek gadis seksi itu.
Cepat-cepat Wabilmenggeleng.
‘Wabil... Wabil... kau kata kau dah insaf. Takkan ujian sekecil itu kau dah goyah? Harga hijrah itu mahal tau Wabil. Istiqamah!’ desisnya dalam hati.
Wabil menyarungkan kasut sport jenama Adidas yang dibeli pada raya tahun lepas itu ke kakinya. Ikutkan dulu dia mampu sahaja beli lebih daripada itu tapi dengan wang yang...
Dia menghela nafas. Entah kenapa semakin kerap pula dia teringat kisah lama.
Wabil mendongak ke langit apabila tiba di petak parkir. Kelihatan kapal terbang mula berlepas. Wajah merah padma Anne Dalisa terbayang dalam mindanya.
Fuh! Wabil menggeleng kepala lagi. "Kau dah kenapa Wabil?" gumamnya perlahan.
Dia melabuhkan duduk di dalam kereta. Menunggu kalau-kalau ada yang melanggan perkhidmatan GrabCar yang menjadi pekerjaan sampingannya sekarang.
Sementara menunggu, Wabil membuka aplikasi WhatsApp messenger. Menderu masuk mesej di grup yang ditubuhkan untuk geng pemuda Taman Teratai. Group Jejaka Terhangat.
Ayoi
Awal-awal lagi Wabil dapat pi KLIA
tu. Masyuk kut.
Ejal
Wahh... laju. Huntunglah. Bawa
awek ke abam negro tu?
Din Jambu
Masyuk... Kau tak buat Grab ke Ayoi?
Kata nak buat jugak.
Ayoi
Nak buat bang. Tapi bini tak bagi
pulak. Nanti masa tak ada katanya.
Ejal
Kahkah. Cakap ajelah takut bini.
Din Jambu
Ejal. Tak baik kata macam tu. Bukan
dia takut bini. Bini yang tak takut
dia.
Joe
Mana bos? Senyap aje. Bolehlah
belanja.
Rancak nampak. Aku ada ni.
Malam ni aku lepak restoran.
Kejap lagi aku balik.
Ayoi, minta izin bini keluar
malam ni. Kalau tak dapat
keluar, nasiblah kau.
Ejal
Orait...
Din Jambu
Set!
Joe
Baik bos!
Ayoi
Oraittt. Sat nak dodoi bini.
Wabil ketawa saat membacanya. Mereka-mereka inilah sahabatnya kala ini. Yang tidak pernah menilai kisah silamnya.
Trett tet tet...
Tanda ada pelanggan yang melanggan GrabCar. Wabil menekan skrin telefon pintarnya untuk menyatakan setuju mengambil penumpang tersebut.
Enjin kereta kemudian dihidupkan.
‘Alhamdulillah atas rezeki hari ini,’ desisnya dalam hati. Dipanjatkan rasa syukur kepada Ilahi.
WABIL MENGHELA nafas apabila melihat restorannya yang sepi. Kemudian pandangan dihalakan pada restoran berselang dua kedai dari kedainya. Restoran hipster yang semakin mendapat perhatian. Dengar kata restoran itu milik anak seorang Dato’ ternama.
Kaki dilangkah masuk ke dalam restoran. Bibirnya mengoyak senyum bila melihat sahabat-sahabatnya sedang menanti.
“Haaa... Abang Wabil kita dah balik. So, macam mana rasanya jadi pemandu Grab?”
Sampai saja, terus dia diserbu soalan daripada Din Jambu. Dah macam wartawan pula lagaknya. Dia bawa Grab saja kut, bukan bawa kapal terbang.
“Okeylah.” Wabil jawab acuh tak acuh saja.
“Bos nak minum apa? Aku buat.” Joe menghampiri Wabil.
“Tak apa. Sekejap lagi. Mak usu mana?” Wabil menjengah kepala ke dapur.
“Ada tu. Duk menung aje dari tadi.” Joe muncungkan bibir ke arah dapur.
“Aku jumpa mak usu sekejap. Korang oderlah apa nak makan. Nanti aku masak,” beritahu Wabil kepada kawan-kawannya. Dia bangkit berdiri.
“Serius kau nak masak Bil? Lama kut tak makan air tangan kau. Walamak... aku nak Nasi Goreng USA.” Ejal menepuk meja dengan rasa teruja. Bukan senang nak rasa hasil masakan Wabil.
“Abang Din nak char kuetiau.” Din Jambu ikut buat pesanan.
“Ya. Suruh Joe tulis. Aku nak tengok mak usu kejap.” Wabil melangkah menuju ke dapur. Mak usunya sedang termenung sambil membasuh pinggan.
“Mak usu.” Wabil menegur ibu saudaranya merangkap tukang masak yang diupahnya. Masih tiada sahutan. Benar-benar punya mengelamun ni.
“Mak usu!” Wabil kuatkan lagi suara.
“Hah! Kau buat hutang. Aku yang kena bayar. Anak tak guna!” Mak usunya terus termelatah.
Kus semangat. Wabil juga ikut terkejut.
“Allah... terkejut mak usu! Isy, kau ni Wabil! Mujur mak usu tak ada sakit jantung tau.” Mak usu menepuk bahu anak saudaranya. Hilang terus lamunannya tadi.
Wabil ketawa kecil. “Itulah berangan lagi. Orang panggil pun tak sedar.” Dia tersengih lebar.
Mak usu sambung kerjanya yang tertangguh sebelum mengelap tangannya yang basah.
“Lewat kamu hari ni. Kamu ke mana?” Selalu lepas maghrib saja, Wabil sudah muncul di restoran. Ini dah dekat lepas isyak baru muncul.
“Wabil buat Grab tadi. Ramai tak pelanggan hari ni mak usu?” Wabil bergerak menuju ke peti ais yang menyimpan barang basah.
“Macam kamu nampak itulah. Sunyi sepi. Sebab itu mak usu tolong Joe basuh pinggan.”
Wabil melepas keluhan. Entah apa yang harus dia lakukan supaya restorannya kembali maju seperti dulu.
“Tak apalah. Mak usu pergilah rehat. Biar Wabil yang masak.” Wabil kembali meneruskan kerjanya. Kemudian baru dia teringat sesuatu.
“Mak usu, siapa yang berhutang?”
Langkah mak usu terhenti apabila mendengar soalan Wabil. Tertelan air liurnya.
“Tak... Tak ada siapa yang berhutang pun. Kenapa kamu tanya?” Wajahnya sudah bertukar riak.
“Wabil dengar tadi mak usu melatah. Mak usu, kalau ada apa-apa beritahu saja Wabil. Jangan segan-segan.”
Wabil memandang mak usunya. Dia tahu wanita ini sedang menyembunyikan sesuatu.
Mak usu tersenyum kelat. Lengan anak saudaranya disentuh. “Kamu memang anak yang baik, Wabil. Mak usu bersyukur sangat kamu berubah seperti ini. Bukan macam Tiara...” Mak usu memalingkan wajahnya. Cuba menyembunyikan rasa sebaknya.
“Mak usu, Tiara buat apa lagi kali ni?”
No comments:
Post a Comment