DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 28 June 2022

Gelisah Asmara - Prolog



LANGKAH bendul.

Istilah itu kerap bermain di pendengaran Mikayla semenjak kebelakangan ini.

Lagi 2 bulan Mariani nak nikah, bukan lagi 2 hari. Lagi 2 bulan! Lagi hebohlah mak cik bawang seantero kampung bercakap tentang dia. Puncanya kerana langkah bendul. Dia kakak, Mariani adik. Kakak belum ada jodohnya, adiknya sudah siap pun kad undangan pernikahan.

Mikayla buat pekak saja dengan cakap-cakap orang. Menjawab apa yang perlu. Dia belum kahwin pun, bukannya dia ada minta beras daripada orang lain. Sibuk saja mak cik-mak cik kampung nak atur hidupnya. Susah hati kerana dia belum ada suami.

“Kay, kau tu dah 29 tahun dah. Adik kau lagi laju daripada kau bab cari jodoh. Apa kata kau nikah saja dengan abangnya tu? Aku dengar tunang adik kau tu, ada adik-beradik lelaki belum kahwin. Aku tengok kau ni dari dulu cukup punya ramai jantan satu sekolah nakkan kau. Satu pun tak lekat. Kena mandi bunga ni, Kay! Dulu aku cakap dengan mak kau waktu kau kecik-kecik dulu... aku jangka kau yang paling cepat kahwin bila dah besar. Rupanya kau yang paling lambat,” ucap Mak Cik Senah sebelah rumah.

Mikayla buat-buat gelak.

“Kay tunggu Acik Senah rekomen pada Kay cucu sulung Acik Senah tu. Tak pun anak bongsu Acik Senah tu ke? Handsome pun handsome. Kay nak yang handsome aje, Acik Senah. Yang sedang-sedang ni tak naklah,” balas Mikayla selamba.

Berubah muka orang tua itu.

“Cucu aku tu mengaji pun tak habis lagi, Kay.”

“Asalkan dah akil baligh, boleh aje Acik Senah. Kalau Acik Senah nak masuk meminang... sekarang jugak Kay bagi jawapan. Saya sudi!” petah Mikayla menjawab.

Lain macam muka Mak Cik Senah dengan bicara Mikayla.

‘Dia tak tahu anak bujang dia sama naik dengan cucu dia yang konon belum habis mengaji tu asyik mengurat sampai sanggup curi baju dalam aku,’ bisik hati Mikayla geram.

“Malas aku bercakap dengan kau ni! Cucu aku tu baru tingkatan 6!” ucap perempuan tua itu geram. Terus tukar topik lain.

“Alah, apa salahnya? Muda 11 tahun aje daripada Kay. Kesian Kay... tak kahwin-kahwin,” balas Mikayla. Meluat pula dia dengan orang tua ini. Anak bujangnya yang bongsu itu pun belum kahwin. Cucunya si Aidid itu nama saja baru tingkatan 6, gatal ya ampun!

Mak Cik Mariam menggeleng dengan perangai anak daranya itu. Ada saja menjawab bila orang tua bercakap tentang calon suami.

“Ni, Yam... jadi ke hal si Maleq ni?” tanya Mak Cik Senah dengan senyum simpul.

“Tak tahulah Yam ni, Senah oi. Dah aku cakap dengan  dia... dia diam aje.”

“Dia serik ke dengan hal dulu tu? Alah, perempuan tu pun bukannya senonoh sangat, Yam. Cakap dengan dia macam tu. Ni anak Cikgu Juriah tu... lawa pun lawa. Lembut aje budaknya. Kerja pun elok. Dia pun lebih kurang Maleq juga umurnya. Berapa umur Juliana anak Cikgu Juriah tu, Kay?”

“Rasanya dia muda setahun daripada Abang Maleq,” ucap Mikayla.

“Hah... sesuai tu, Yam. Juliana tu baik budaknya. Maknya tu dah risau... anak dah 30 lebih, tak kahwin lagi. Nak kata tak lawa, lawa anaknya.”

Mak Cik Mariam menghela nafas perlahan.

“Nantilah aku tanya dia dulu. Lepas hal yang hari tu, tak berani dah Yam nak cakap lebih-lebih dengan dia, Senah. Kesian. Takut dia berharap. Buatnya yang perempuan menolak lagi... kesian dia,” ucap Mak Cik Mariam tentang anak lelaki keduanya yang masih bujang itu. Umur sudah 33 tahun pun. 

“Alah, si perempuan hari tu... konon tak nak si Maleq. Kerja elok... Maleq tu pun handsome jugak apa. Sudahnya kahwin dengan tokan dadah. Dahlah kerja jual dadah, kawan dengan gengster Cina. Muka pun dah macam itik serati aku tu. Sudahnya dia melangut kat luar ni tak ada laki. Laki masuk penjara. Dah cerai aku dengar budak tu, Yam.”

Mak Cik Mariam gelak besar mendengar bicara Mak Cik Senah.

Mikayla malas hendak bercampur dengan orang tua itu setelah itu. Bosan nak dengar cerita tentang hal perjodohan. Habis semua adik-beradiknya yang belum ada jodoh dicarikan jodoh oleh jiran sebelah rumah ibunya itu. Itu sajalah modal bersembang mak-mak di kampung ini bila petang hari.

Ketika Mikayla berdiri di jendela rumah yang terbuka luas, dia terpandangkan sebuah kereta berhenti di hadapan rumah. Lama matanya memandang kereta itu. Tidak kelihatan si pemandunya. Tidak lama kemudian, kereta itu berlalu. Mikayla cuba melihatnya.

“Tu bukan kereta Kak Ju ke?” ucap Mikayla sambil terus memandang, cuba memastikan siapakah pemilik kereta itu. Seingatnya Juliana yang dimaksudkan oleh Mak Cik Senah tadi memandu Honda City berwarna putih. Sayangnya, ramai juga orang kampung ini memiliki Honda City berwarna putih.

Ketika Mikayla masih berdiri di jendela itu, si Aidid muncul dengan motosikalnya. Gayanya macam baru habis bermain bola. Aidid turut ternampak Mikayla. Dia turun daripada motosikal dan menyengih kepada gadis itu.

“Hai, Kay. Lama tak nampak? Baru balik ke? Makin lawalah,” tegur Aidid dengan sengih lebar.

“Taklah... baru mendarat dari angkasa lepas,” balas Mikayla lantas menjulingkan mata ke atas. Dia berpaling meninggalkan jendela itu. Meluat nak melayan anak muda itu.

Aidid tersengih lagi. Tidak sedar umur baru setahun jagung, dia memikat wanita yang selayaknya dipanggil kakak.

“Sombong ah dia. Ajak sembang pun tak mahu,” ucap Aidid agak kuat ke arah rumah orang tua Mikayla. 

Mikayla turun dari rumah. Mencari pencakar. Dia mahu mengait daun kering di depan rumah. Tidak dihiraukan orang lalu-lalang di jalan raya di depan rumah. Namun ketika dia sedang menyalakan api untuk membakar timbunan daun kering itu, ada sebuah motosikal tiba-tiba masuk ke halaman rumahnya.

Mikayla menoleh. Terpandangkan anak muda sebayanya. Bekas rakan sekelasnya.

“Hai sayang,” sapa Latiff siap dengan rokok terkepit di bibir. 

“Kau nak apa ni, Latiff?” balas Mikayla, malas hendak layan lelaki itu.

“Alah, aku nak kaulah. Nak ajak sembang. Makin lawalah kau sekarang. Aku suruh mak aku masuk meminang boleh?” ucap Latiff dengan sengih gatal.

Mikayla menoleh kepada Latiff.

“Aku sudi terima pinangan kau kalau kau sanggup masuk dalam api ni,” ucap Mikayla selamba.

“Alah, kau ni... dari dulu tak pernah nak bagi chance. Macam teruk sangat aku ni,” ucap Latiff kecewa. Dia kembali menghidupkan motosikalnya semula. Dia sudah cuba mengurat Mikayla semenjak mereka di tingkatan 4 dulu. Yang dia dapat hanyalah penolakan.

“Kerja malas. Ada hati nak meminang aku. Aku nak minta hantaran 50 ribu. Mas kahwin 30 ribu,” gerutu Mikayla sebal.

“Alah, kalau tak sudi tu cakap ajelah. Jangan nak guna alasan tu untuk reject aku. Tahulah aku ni tak kaya.”

“Dahlah. Malas aku nak layan kau. Siapa suruh kau tak kerja? Kau kacau aku lagi Latip... aku panggil Abang Maleq aku tu,” cebir Mikayla bosan hendak memandang muka kutu rayau itu. Hanya duduk di kampung mengacau anak dara saja kerja si Latiff. Bukannya dia tidak tahu lelaki ini juga kaki dadah. Memang tidaklah dia nak buat suami lelaki seperti ini.

“Yalah. Yalah. Aku bukannya takut dengan abang kau tu... aku cuma tak suka bertembung dengan dia,” ujar Latiff sebelum menggerakkan motosikalnya.

“Tak takut dengan abang aku konon,” ucap Mikayla kembali menyudahkan kerja setelah Latiff berlalu. Tak habis-habis anak muda itu mahu mengacaunya. Ketika dia berada di depan rumah, ada saja kaum lelaki lalu.

Pheewitt! Cikaro! Main jom!” jerit seseorang sambil lalu dari atas motosikalnya.

Mikayla sempat mendengar usikan itu. Sakit hati dan bencinya meluap-luap. Sudahnya dia masuk semula ke dalam rumah. Bosan dengan perangai kaum lelaki di sekelilingnya. Tak boleh tengok dia senang sikit!

Di dalam bilik, Mikayla merenung ke luar jendela. Teringat dia ketika dia berusia belasan tahun dulu.

 

MIKAYLA DAN Madaniya rasa tidak selesa apabila melihat sekumpulan anak muda di tepi jalan. Mereka mahu pulang ke rumah setelah habis aktiviti di sekolah. Namun belum

sempat Mikayla dan Madaniya berpatah balik, sekumpulan anak muda itu mula menghidupkan motosikal mereka dan mendekati dua perempuan itu.

“Apa ni? Janganlah kacau kami, Daus!” jerit Madaniya apabila mereka dikelilingi anak muda itu.

“Aku cuma nak ajak jalan-jalan aje, Nia. Relakslah. Jom naik motor aku? Kau ni lawalah, Nia. Aku dah lama geram dengan kau ni,” ucap Daus nakal.

“Aku nak baliklah. Tepilah. Jangan kacau aku!”

“Nantilah kejap. Sombonglah kau ni. Aku cuma nak ajak round-round naik motor. Kita pergi tengok motor racing,” ajak lelaki itu lagi. Sudah lama benar mereka berhajat hendak mengangkut dua anak dara itu. Boleh ‘dikendurikan’ nanti oleh kawan-kawannya setelah habis melihat motor berlumba. Pertamanya dialah yang harus merasa dulu anak dara ini.

Saat itu betapa takutnya Madaniya dan Mikayla. Lelaki itu hampir 10 orang ramainya sedangkan mereka hanya berdua. Orang lalu-lalang hanya tengok saja. Malah Pak Cik Osman, suami Mak Cik Milah juga hanya pandang saja saat melintasi kumpulan bohjan itu mengganggu dua anak dara sahabatnya.

Namun sampai di rumah, lelaki itu mengadu kepada ayah Mikayla dan Madaniya tentang apa yang dilihatnya tadi. Kebetulan, ketika itu Maleq ada di rumah. Anak muda itu terus mengambil belantan dan menghidupkan motosikalnya. Terus dia pergi menjejaki adik-adiknya.

Ketika dia sampai, dia lihat Daus sedang memegang Mikayla. Mikayla terjerit-jerit memanggil kakaknya.

“Hei!!!” pekik Maleq setelah melihat adiknya diganggu oleh si bohjan itu.

Daus segera melepaskan Mikayla. Maleq berlari cukup laju saat Daus cuba menaiki motosikal. Sempat diterajangnya Daus sehingga anak muda itu rebah ke tar bersama motosikalnya. Tangannya cukup cepat melibas kayu ke arah lelaki-lelaki itu.

Paling teruk dikerjakan ialah Daus. Lelaki itu cuba melarikan diri daripada Maleq sehingga masuk ke dalam tali air. Maleq naik hantu... sehingga dia menyelamkan kepala Daus ke dalam air di tali air itu sehingga anak muda itu terkapai-kapai tidak dapat bernafas.

“Kau sentuh adik aku lagi!!!” ucap Maleq geram.

“Abang Maleq!!!” jerit satu suara menyebabkan Maleq menghentikan perbuatannya. Terlihat dia Juliana sedang berdiri di tepi parit itu sambil memandang  perbuatannya dengan pandangan terkejut.

Maleq tiba-tiba kaku sebelum dia melepaskan Daus. Anak muda itu ditolaknya sebelum dia mendekati tebing untuk naik semula.

“Siapa kacau adik aku? Cakap!!!” jerit Maleq kepada semua pemuda itu. Entah kenapa, dia tidak mampu memandang Juliana yang berada di situ.

Semua pemuda itu bertempiaran lari dengan motosikal masing-masing. Daus yang paling akhir melarikan diri.

Juliana memandang dua beradik itu mendekati Maleq. Kasihan dia melihat Madaniya dan Mikayla yang ketakutan.

“Jom balik,” ajak Maleq lantas bertenggek di atas motosikalnya.

“Balik dulu, Kak Ju,” ucap Madaniya.

“Nak akak hantarkan?” tanya Juliana. Dia memandu kereta ayahnya. Jadi, dia boleh menumpangkan dua beradik itu.

“Naik sini,” ucap Maleq tanpa memandang Juliana.

Bye, Kak Ju...” ucap Mikayla sebelum duduk di belakang Maleq.

Tidak terkata Juliana saat melihat Maleq dan dua adiknya di atas motor itu. Madaniya sudah 19 tahun. Mikayla baru 15 tahun. Agak kurang sesuai 3 orang bersama di atas motor itu dalam keadaan Maleq basah kuyup. Motor itu meluncur pergi begitu saja. Juliana mendapatkan keretanya semula sebelum dia juga pulang ke rumah.

No comments:

Post a Comment