DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 12 December 2017

Mazrik's Signorina - Bab 10

“JANGAN sentuh dia boleh tak?” Tia jegil mata.
Geramnyalah dia dengan Bobby ni. Selalu bukan
main sombong dengan orang asing. Pantang dekat sikit,
mulalah nak mencakar. Tapi, mahu pula kali ini kucing
itu lepak bermanja-manja dengan lelaki di hadapannya ini.
Beberapa kali dia memanggil, Bobby boleh buat derk aje.
Jatuh kredibilitinya sebagai tuan milik kucing!
“Meow...”
Mazrik tayang muka selamba. Si gebu dalam
pangkuan dibelai manja dengan sebelah tangan. Ini
rupa-rupanya kucing yang pernah hilang suatu ketika dulu.
Patutlah gadis kesayangan menangis. Adorable sungguh
Bobbynya!
“Helo, Bobby yang comel. Sekejap lagi kita pergi
jalan-jalan ya...”
“No!”
Wana yang berada di antara kedua-duanya pening
kepala. Melurut batang hidung yang mula terasa tegang, dia
membuka mulut.
“Teringin pula nak minum air sirap limau ais time
panas-panas macam ni. Aku pergi dapurlah kejap, nak buat
air.”
Bingkas dia bangun dan berlalu. Sesak kepalanya.
Kenapalah malam ini Haji Alis dan Hajah Ruhani tiada sekali
di meja makan. Dia risau kalau-kalau meja makan hitam itu
terbalik aje sekejap lagi.
“Why are you here?” Tia menyoal lelaki di
hadapannya.
“Makan.”
“Serius, abang. Kenapa abang datang sini?”
Mazrik memilih untuk tidak menjawab. Dia ada
jawapan pada soalan yang diutarakan tetapi dia tahu si gadis
tidak akan menyukai jawapan tersebut.
“Balik.”
Dipandang tepat raut Tia yang baru melafazkan kata.
Sedingin suara, begitulah juga riak yang dipamerkan.
“Balik. Tempat abang bukan di sini.”
Mazrik tarik nafas. Rasa pedih dalam hati diketepikan.
“Halau abang?” Dia menyoal lembut.
“Balik, Kak Suria tunggu abang tu.”
“Kalau Kak Suria tak tunggu?”
Tia mendengus. Lelaki di hadapannya ini seolah-olah
sengaja menguji kesabarannya.
“Abang kalau boleh tak nak jarak memisahkan kita.”
“Gila!”
“Abang nak kita sentiasa dekat supaya abang boleh
jaga adik.”
“You’re not my brother. Saya bukan tanggungjawab
abang. Saya tanggungjawab ayah dan Am.” Ditekan perkataan
‘Am’, biar lelaki itu sedar statusnya kini.
“Tapi tak salah kan kalau abang sama-sama jaga adik.
Am sibuk dengan tugasannya sebagai doktor, ayah adik pula
bukan 24 jam boleh berada di sisi adik. Jadi apa salahnya
abang tampung mana yang boleh?”
Tawa Tia kedengaran. Sinis.
“Huh, nak jaga saya? Kalau abang boleh tinggalkan
Kak Suria sekarang ni, apa buktinya yang abang takkan
tinggalkan saya?”
“Because you’re my special one.”
“Stop saying that.”
“Kenapa? Takut dengan abang?”
“Never!” Anak mata Tia semakin bulat. “And you
should bear in mind, kita ni bukan mahram, tak elok duduk
serumah walaupun masih ada orang lain.”
Mazrik jongket bahu.
“Abang akan keluar dari sini hujung bulan ni.”
Tia tidak menyahut.
“Dan sepatutnya adik tak perlu rasa tak selesa. Kat
U pun adik sentiasa dalam jagaan abang, kan? So, sama aje
macam kat U tu... melainkan sekarang ni wujud perasaan lain
dalam hati adik tu.”
Kali ini Tia hantar satu jelingan tajam.
“Jangan nak merepek!” tukasnya menahan marah.
Wana yang masih tidak muncul-muncul dari dapur juga
menambah hangat dalam hati. Buat air sirap ke mandi air
sirap?
“Bila masa abang merepek? Adik yang tak nak terima
kenyataan.”
“Kenyataan, huh?” sahut Tia sinis. “Abang yang
seharusnya terima kenyataan yang abang tu suami Kak Suria
dan adik ni tunangan Am.”
Tanpa sedar Tia mula membahasakan dirinya adik,
yang mengundang senyuman di bibir Mazrik.
“Balik-balik adik sebut nama Kak Suria. You're quite
jealous aren't you?” balas Mazrik tenang.
“Tak ada sebab nak cemburulah!”
“Baguslah macam tu. Jadi abang rasa tak ada
masalahlah kalau kita sekadar makan malam semeja kat
rumah ni, kan?”
“Uffftttt! Abang memang gila!” Tia hentak kaki lalu
separuh berlari naik ke tingkat atas.
Wana yang sejak tadi memerhati dari balik dapur
mula memunculkan diri. Sengihan turut terbias di wajahnya.
“Mana air sirapnya? Haus dah abang lepas berlawan
cakap dengan kawan Wana tu tadi.”
Sengihan Wana melebar.
“Abang ni nekad betul, kan?”
Mazrik angguk.
“Abang akan...”
“Wanaaaaaa! Naik!!! Bawa sekali Bobby tu!”
Tersedak Wana mendengar jeritan yang tiba-tiba
melengking tinggi. Dipandang wajah Mazrik, dan lelaki itu
hanya mampu tersenyum.
“Pergilah naik. She needs you right now untuk
luahkan perasaan dia.”
“Abang betul-betul faham dia, kan?”
Mazrik kedip mata.
“Apa-apa beritahu abang, okey? Nah, ambil Bobby
ni.”
Akur, Wana memanjat satu per satu anak tangga
yang ada sambil mengelek Bobby. Sampai sahaja di tingkat
atas, tubuhnya ditarik Tia masuk ke dalam bilik. Gadis itu
merenungnya tanpa sebarang senyuman.
“Mazrik. Betul kau tak tahu apa-apa ni?”
“Betullah.”
“Macam susah aje nak percaya!”
Wana melepaskan Bobby dari dukungan sebelum
menghempaskan badan sendiri ke atas tilam.
“Aku gini punya serius, kau cakap aku tipu? Virus
Trojan mana dah bertenggek dalam fikiran kau ni?” Sedaya
upaya ditahan tawa yang ingin pecah. ‘Abang Rik, you owe
me!’
Melihat raut Wana yang serius, Tia mengeluh
panjang. Kaki dilunjurkan di atas lantai manakala belakang
badan disandarkan pada birai katil. Bobby yang lalu-lalang
dibiarkan.
“Aku serabutlah.”
“Kau nak serabut apa?”
“Mazrik itulah. Entah apalah rancangan dia, buat
macam ni.”
Wana angkat tubuh dan letak punggung di sebelah
si teman. Mendengar suara Tia yang sayu, hatinya sedikit
terusik.
“Rissa, think positive, will you? Mungkin dia nak
mengenali keluarga kau dengan lebih mendalam. Who
knows?”
“Kalau terus terang yang kami ni dulu satu universiti,
tak boleh berkenalan? Ayah dengan mak aku tu kau pun kenal
macam mana, diaorang bukannya makan orang.”
“Betul, aku setuju.” Wana angguk. “Tapi mungkin
Mazrik fikir, kalau dia berterus terang yang korang berdua
dah kenal, nanti parents kau syak kau dengan dia ada
hubungan. Yalah, tiba-tiba dia ada kat sini, mestilah diaorang
akan tertanya-tanya, kan?”

HAJI ALIS memandang wajah si dara yang memuncung.
Sejak sejam yang lepas, begitulah Tia Clarissa. Mulut yang
selalunya riuh berkata itu ini menjadi bisu sebisu-bisunya.
Mungkin tanda protes si dara dengan keputusannya tadi.
“Mazrik...” Dia menahan pemuda yang kini
menumpang di rumahnya sejak beberapa hari yang lalu.
Tidak dihiraukan jelingan halus yang dihantar Tia.
“Ya, pak cik...”
“Duduk sekejap.”
Mazrik akur. Kerusi makan di sebelah Haji Alis
ditarik, menjadikan dia duduk bertentangan dengan si gadis.
“Wana masuk wad petang tadi. Esok kita pergi lawat
Wana di hospital ya? Kami tumpang kereta kamu, boleh?”
Tia angkat kepala. Dah kenapa ayahnya ini?
“Boleh, pak cik. Tak ada masalah. Lagipun esok saya
memang tak kerja.”
Ini lagi sorang. Boleh semedang kalau di depan
ayahnya.
“Rissa tak setuju, ayah. Yang sakit tu Wana, tak ada
kena-mengena dengan dia. Lagipun mesti Wana rasa tak
selesa kalau dia ada sekali.” Laju Tia meluah rasa hati.
“Kenapa ni, Rissa? Wana kan kenal dengan Mazrik
ni? Lagi satu, kenapa panggil Mazrik ni macam tu? Mazrik ni
jauh lagi tua daripada Rissa, panggil dia abang sebagai tanda
hormat, macam yang Wana buat.”
“Tapi, ayah...”
“Ayah tak pernah ajar anak-anak ayah supaya tak
menghormati orang, Rissa.” Suara Haji Alis tegas.
“Rissa...” serunya lagi sekali apabila Tia tidak
menyahut.
“Yalah...”
“Minta maaf dengan Mazrik sekarang.”
“Hah?” Sungguh Tia rasa ingin pitam dengan arahan
si ayah.
“Err... tak apalah, pak cik. Hal kecil aje ni, saya tak
ambil hati pun.”
“Rissa?” Haji Alis tidak mempedulikan kata-kata
Mazrik.
Dengan rasa tidak puas hati, dipandang muka Mazrik
dengan perasaan sebal.
“Minta maaf, abang...” Laju dia membawa tubuh
menaiki tangga meninggalkan ruang tamu. Tidak ingin terus
berada di situ dengan kehadiran lelaki yang membuatkannya
sesak dada.

TIA BERCEKAK pinggang.
“Kenapa abang ikut adik?”
“Bila masa pula abang ikut adik?”
“So, what are you doing right now?’
Mazrik jongket bahu.
“Abang sedang jalan masuk ke bangunan hospital,
nak melawat Wana yang sakit. Abang kenal Wana, anggap
Wana kawan abang, jadi sebagai kawan apa salahnya kalau
abang datang tengok dia?”
Tia mati bicara.
“Dahlah, tak payah nak peningkan kepala. Jom!”
“Abang boleh datang sini sendiri, kan? Kita boleh
pergi asing-asing.” Ketidakpuasan hati kembali dilontar.
“Ayah adik semalam yang cadangkan kita semua
pergi sekali, lupa? Cuma kebetulan pagi ni ayah adik ada hal
tiba-tiba. Bukan idea abang.”
“Tapi boleh tolak, kan?”
“Apa salahnya car pool? Boleh jimat petrol, jimat
duit tol, dapat kurangkan kesesakan lalu lintas. Banyak apa
kebaikannya?”
Tia diam dan terus berjalan. Tiba di depan bilik wad
yang menempatkan Wana, dia berpaling ke arah Mazrik dan
bersuara perlahan.
“Jangan nak macam-macam, abang.”
Wana yang melihat kehadiran Tia bersama Mazrik
menguntum senyum. Bukan dia tidak tahu yang BBFnya
ini sentiasa berusaha melarikan diri daripada bertembung
dengan lelaki itu di rumah. Ada sahaja alasan gadis itu untuk
mengelak daripada bertemu muka. Tetapi hari ini boleh pula
datang berdua melawatnya. Dunia dah terbalik ke apa?
“Hari bertuah aku ke ni?” usiknya.
“Shut up, Wana.” Sebiji epal merah Tia sumbat ke
dalam mulut si teman. “Elok-elok kau dah boleh keluar wad
lagi dua tiga hari, ada yang bertambah lagi 2 minggu.”
Mazrik tahan senyum dalam hati. Aksi gadis
kesayangan yang membentak dalam diam kelihatan comel di
matanya.
Wana mengusap rahang yang terasa kejang.
“Macam mana abang boleh selamat naik satu kereta
dengan singa betina ni? Salutelah kat Abang Rik.”
“Babe!”
“Serius ni, Wana salute kat Abang Rik!” Wana tidak
menghiraukan jeritan Tia. Mata tidak berkalih daripada
memaku pandangan ke wajah lelaki di depannya.
Satu... dua... tiga...
“Kejap. Sejak bila kau panggil dia Abang Rik ni?”
Gotcha! Nada tu... Wana senyum penuh makna.
“Sejak aku naik taraf jadi adik kesayangan dia.
Kenapa, kau jealous ke Rissa?”
“Tak kuasa!”
Mazrik tidak dapat menahan senyumannya. Wajah
Tia yang cemberut dipandang senang hati.
“Wana naik taraf jadi adik abang lepas adik jadi yang
utama,” jelasnya lembut. Mata kemudian ditoleh pula ke arah
Wana.
“Dengan abang, Rissa tak pernah jadi garang, Wana.
Sentiasa lemah-lembut dan selalu buat abang tersenyum.”
“Wow! Tu macam punchline nak mengurat jadi isteri
aje, Abang Rik!”
Tia menghela nafas kasar.
“Dah ada Kak Suria, takkan tak cukup-cukup
lagi?” Kemudian dipandangnya muka Wana yang sedang
tersengih-sengih. “Kau! Nanti dah sihat pandai-pandailah
balik sendiri. Ni first and last aku datang jenguk kau kat sini!”
Mazrik tersenyum melihat Tia yang berlalu.
“Tak ada Suria antara kita, sayang...” ucapnya
perlahan.
“Abang ni betul-betul dah angau, kan?” Wana
menegur. “Kena tempik pun masih boleh senyum.”
“Rissa tu terlalu comel di mata abang ni, Wana.”
“Ha yalah, yalah... dah, pergilah balik. Jangan
dibiarkan si comel abang tu jalan sorang-sorang, kena kidnap
nanti.”
“Wana...”
Wana hanya tergelak.
“Jaga diri, okey. Abang balik dulu. Kalau nak abang
jemput masa discharge nanti telefon abang.”
Laju kakinya dibawa mengejar langkah gadis
kesayangan yang telah jauh melangkah.
“Adik balik sendiri.” Tia bersuara apabila menyedari
ada tubuh di belakangnya. Walaupun tanpa berpaling,
daripada cara sepasang kaki itu melangkah telah diketahui
siapa gerangannya.
“Berani ke?”
“Kenapa tak berani pula? Adik dah cukup dewasa
untuk jaga diri sendiri. Bas ada, tren ada, teksi pun banyak.”
“Tapi...”
“Bye, abang! Abang tak perlu jadi bayang-bayang
adik. I have my very own shadow and don’t need another
one!” Tia melangkah dan melambai selamba.
Mazrik hanya mampu memerhati. Hendak ditegah,
dia tiada kuasa. Hendak diheret supaya balik dengannya,
dia tiada hak. Kalaulah Tia tahu betapa dia merisaukan
keselamatan gadis itu...
“Aarghhhhhh!”
Mazrik terpempan melihat insiden di depan mata.
Pantas dia meluru.
“Adik!”
Disambar tubuh Tia yang telah terjelepok di tepi
jalan. Gadis itu tampak bingung, terkejut dan ketakutan.
“Adik, pandang abang!” Ditepuk perlahan pipi Tia
berulang kali.
“Abang... Bb... beg...” Nampak terlalu payah untuk
Tia melontar kata.
“Shhh... tak apa, tak apa, relaks. Kita buat police
report.”
“Beg adik. Barang penting... handphone...”
“Tak apa, biarkan. Telefon tu boleh beli lain. Yang
penting adik tak cedera.”
Mendengar perkataan cedera, Tia baru sedar dia rasa
sakit.
“Pedih,” adunya seraya membelek tubuh sendiri.
Pantas Mazrik meneliti tubuh gadis kesayangannya.
“Luka besar kat siku ni. Kita masuk balik dalam
hospital, check apa yang patut. Boleh jalan tak?”
Perlahan Tia cuba bangun tetapi kakinya dirasakan
terlalu ngilu.
“Sakit?” soal Mazrik tatkala melihat muka si gadis
berkerut.
Melihat anggukan Tia, pantas dia mencempung
tubuh genit itu.
“Abang!” Tia membantah. Laju dia melihat kiri
kanan. Beberapa orang yang mahu menghampiri memberikan
pertolongan, ditolak Mazrik dengan gelengan kepala. “It’s
okay, I can handle it. Thanks!”
Kemudian dipandang muka Tia yang sedang
mencerun tak puas hati.
“Darurat. Lagipun berlapik.” Segera dia memberi
alasan.
“Banyaklah darurat. Ada orang perempuan nak
tolong adik, dia tak bagi,” tukas Tia geram.
“Perempuan yang nak tolong adik tu saiznya dua kali
lima dengan adik. Ingat dia terdaya ke nak dukung?”
“Tak semestinya dukung. Dia boleh tolong papah...”
“Tak apa, ni dah sampai pun depan pintu ni. Nak
abang terus dukung sampai katil rawatan ke nak naik
wheelchair?”
“Abang!”
“Gurau aje. Adik tunggu sini dulu.” Mazrik turunkan
Tia ke atas kerusi di depan ruang pendaftaran. “Jangan
gerak-gerak,” pesannya sebelum berlalu ke kaunter.
10 minit kemudian, nama Tia dipanggil jururawat
bertugas.
“Nurse, boleh tolong papah saya?” pintanya sopan.
Jururawat tersebut angguk bersama senyuman.
Bersama jelingan, dikerling akan Mazrik yang hanya mampu
memerhati. Padan muka! Ingat dia ni anak patung yang
sesuka hati nak pegang-pegang?
Namun, sebaik sahaja masuk ke bilik rawatan, dia
yang terkedu.
“Am!”
“Darling?”
Am menerpa ke arah Tia. Gadis itu dipapah ke katil
rawatan.
“Kenapa ni?” Dibelek tubuh gadis itu sekilas sebelum
kembali ke salah satu sudut. Beberapa peralatan untuk
rawatan diambil.
“Tak apa, nurse. Yang ni biar saya buat,” tolaknya
apabila jururawat yang menjadi pembantunya ingin
menolong seperti selalu.
Kembali ke katil yang diduduki Tia, wajah gadis itu
dipandang dengan senyuman manis.
“Macam mana boleh cedera ni?” soalnya lembut.
“Kena langgar dengan...”
Pintu bilik rawatan tersebut terkuak. Tubuh Mazrik
muncul dari balik pintu.
“Yes?” sahut Am.
“I'm with her. I'm so worried about her, is she okay?”
Am mengalih pandang ke arah si gadis.
“Err... Am, ni Mazrik, jiran Rissa.”
Mata Tia beralih pula ke arah Mazrik.
“Abang, ni Dr. Am, tunang... adik...” ujarnya
lambat-lambat. Entah mengapa, dia serasa seperti tidak
sampai hati untuk berterus terang.
Mazrik yang baru dihadapkan dengan kenyataan
berusaha mengawal riak muka. Langkah diatur mara, lalu
tangan dihulur untuk bersalaman.
“Mazrik.” Dia memperkenalkan diri. “Jiran Tia
Clarissa.” Ditekan perkataan jiran itu. Wajah Tia dikerling
sekilas.
“Amir Hamzah, just call me Am. Tak perlu panggil
doktor, formal sangat tu.” Am yang tidak menyedari keadaan
sebenar membalas mesra. “You duduk dulu okey, I nak rawat
luka tunang I ni sekejap.”
Tumpuan diberikan sepenuhnya pada tunang di
depan mata.
“Cerita pada Am, apa yang dah jadi?”
“Kena langgar dengan motor kat tepi jalan besar tu.”
Tia memilih untuk tidak bercerita tentang beg dan barang
peribadinya yang diragut.
“You were here?” Riak Am nampak terkejut.
Tia mengangguk.
“Buat apa kat sini?”
“Am ingat Wana?”
Am angguk.
“Wana warded. Mula-mula dia demam panas dan
doktor tahan wad sebab suspek demam denggi. Tapi lepas
check, dia okey tak kena denggi... tapi still kena tahan sebab
BP dia tinggi. Esok lusa dah boleh balik kut.”
“Nanti ada masa Am pergi jenguk dia sekejap. Now let
me check you.” Diperiksa setiap inci tubuh Tia yang terdedah.
“Sakit?” Am menilik siku yang berdarah.
Tia angguk.
“Pedih.”
“Ni kena operate ni.”
“Hah, operate???”
Tawa Am pecah.
“Am gurau ajelah, darling. Tempat lain ada yang
sakit lagi tak? Luka kat siku ni aje, kan?”
“Kaki sakit.” Tia tunjuk kakinya. “Tadi nak jalan tak
boleh, rasa sakit sangat.”
Tanpa tangguh, Am membongkok. Perlahan-lahan
dia menanggalkan sandal yang tersarung di kaki Tia dan
hati-hati dia memeriksa. Sedikit demi sedikit.
“Err... teruk ke Am?”
“Patah ni. Tulang dalam kaki ni semua dah hancur.”
“Am!” Tanpa sedar tangan Tia memukul bahu Am
manja, mengundang tawa jejaka itu.
“Sikit aje ni. Tak patah, tak terseliuh. Nanti Am bagi
ubat sapu.”
“Nak kena urut tak?”
“Jangan. Cukup dengan sapu ubat tu aje.”
“Sapu sekarang tak boleh? Sakit ni...”
“Boleh. Tapi Am nak cuci luka pada siku ni dulu.
Lama-lama nanti terdedah pada bakteria, tak elok.”
“Sakit tak cuci luka?” Tia tayang riak bimbang.
“Am buat perlahan-lahan, okey darling?” Dahi Tia
pula dicium selamba.
Dan setiap perlakuan mesra tersebut, Mazrik
saksikan dengan berat hati. Ikutkan perasaan yang tercalar,
mahu sahaja dia menarik Tia keluar dari bilik tersebut namun
dia sedar yang dia tiada hak. Langsung tiada hak jika hendak
dibandingkan dengan Dr. Amir Hamzah!
“Err... Am, Rissa nak tanya sikit?”
“Go ahead.”
“Sejak bila Am bertugas kat sini? Klinik Am macam
mana?”
Perbuatan Am terhenti. Wajah Tia dipandang sekilas.
“Klinik ada, Hizam jaga.”
“Habis tu Am dah tak kerja situ lagi?”
“Am part-time aje kat sini. Klinik tu still my priority.”
Tia senyap. Sedikit terasa kerana Am langsung tidak
berkongsi hal tersebut dengannya. Agaknya jika mereka tidak
bertembung hari ini, sampai bila-bila tunangnya itu akan
berahsia.
“Am minta maaf okey? Sibuk sangat sampai lupa nak
beritahu.”
“Dah berapa lama part-time kat sini?”
“Nak masuk 2 bulan.”
“Oh...”
“Okey, dah siap. Nanti Am bagi peralatan, jangan
lupa tukar balutan ni setiap hari, okey? Dalam tiga empat
hari, eloklah ni. Kalau tak elok juga call Am, okey?”
Dalam keterpaksaan Tia mengangguk.
“Thanks. Bil macam mana?”
“Abang bayar.”
“Hey, it’s on me! Takkanlah dengan tunang sendiri
pun I nak caj?”
“Yup, I lupa.” Mazrik angguk bersama senyuman
pahit.
“Tunggu kejap, Am ambil ubat dan peralatan
membalut.” Pipi Tia sekali lagi dicuit mesra.
Mazrik yang setia menjadi pemerhati berasa tidak
senang. Sebaik sahaja bayang Am menghilang di balik pintu,
lama pandangannya menikam ke wajah si gadis.
“Err, abang...”
“Patutlah dia jadi pilihan adik sejak dulu.”
Tia bungkam. Tidak tahu ayat apa yang sesuai
untuk membalas. Rasa keliru yang tiba-tiba menyapa benak
menghilangkan segala prosa kata untuk dia mempertahankan
diri.
Hampir 10 minit membisu melayani perasaan
masing-masing, Am muncul kembali bersama satu
bungkusan.
“Here it is.” Bungkusan tersebut diserahkan kepada
Tia.
“You tolong hantarkan tunang I ni selamat sampai
rumah ya?” pintanya. “I akan kenang jasa you dunia akhirat.”
Mazrik tersenyum dan bangkit dari kerusi.
“You tak minta pun, I tetap akan buat. Jangan risau,
I akan pastikan dia selamat sampai ke rumah.”


*** AKAN BERADA DIPASARAN UNTUK KELUARAN DISEMBER 2017***

Mazrik's Signorina - Bab 9

LOCENG pintu rumah yang berbunyi tanpa henti
memaksa Tia menolak selimut yang nyaman membaluti
tubuh. Hujan-hujan begini, memang sedap bergulung di atas
katil mengulit lena. Apatah lagi solat zohor telah ditunaikan,
maka tiada halangan untuk terus lelap sehingga ke waktu asar
bagi anak dara yang tak berapa nak rajin sepertinya. Sebab
untuk anak-anak dara yang ringan tulang, mesti banyak
aktiviti berfaedah yang boleh dilakukan di hujung minggu
selain daripada tidur.
Melangkah malas ke tingkat bawah, tudung ekspres
yang tersangkut di penyangkut kayu berwarna mahogany
di sebelah tangga dicapai. Buat persediaan andai kata yang
muncul di muka pintu nanti orang luar yang bukan mahram.
“Ayah!”
Tergamam Tia melihat Haji Alis yang selama ini
masih tegap berjalan dan gagah berdiri dipapah oleh...
Mazrik???
Apa lelaki itu buat di sini?
“Rissa, bagi ayah masuk dulu kalau nak tanya
macam-macam soalan pun. Ini yang duduk tengah-tengah
pintu blocking jalan kenapa?”
Dalam keliru, Tia bergerak ke tepi memberi laluan.
Sungguh, kala ini dia tidak tahu jantungnya lebih terkejutkan
keadaan ayah kesayangan ataupun terkejutkan kehadiran
Mazrik yang secara tiba-tiba di rumahnya. Betulkah lelaki
yang sedang memapah ayahnya ke ruang tamu itu Mazrik?
Ataupun hanya pelanduk dua serupa?
“Rissa, tarik pintu grill tu dulu. Jangan dibiarkan
ternganga sebab pintu pagar tak berkunci tu.”
Arahan Haji Alis dipatuhi tanpa sebarang bantahan.
Selesai menarik pintu grill, dalam debar kaki dibawa ke ruang
tamu.
“Apa dah jadi ni, ayah?” disoal Haji Alis yang sedang
duduk di atas sofa. Lelaki yang hampir-hampir membuatkan
jantungnya terkeluar dari soket sebentar tadi pula duduk di
sebelah kiri ayahnya itu.
“Accident sikit tadi. Kena langgar motor.”
“Hah? Kat mana?” Tubuh ayah kesayangan dibelek
rakus. “Ayah okey tak ni? Luka tak? Macam mana boleh
accident?” Bertubi-tubi dia menyoal akibat terlalu cemas.
Mazrik yang sejak tadi menjadi pemerhati
menyimpan senyum.
‘Caring,’ sempat hatinya berbisik.
“Ayah okey, Rissa. Alhamdulillah... ada Mazrik tolong
ayah tadi. Mazrik, ni anak bongsu pak cik, Tia Clarissa.”
Mazrik. Tia telan air liur. Benarlah, memang lelaki
itu.
“Assalamualaikum, Cik Tia Clarissa.” Mazrik sapa
hormat, mengambil langkah pertama.
“Waalaikumussalam. Err... thanks tolong ayah
saya,” gugup Tia menjawab. Dalam hati sangat berharap
yang Haji Alis tidak menyedari keadaan dirinya yang sedang
gelabah giler.
“Tak perlu nak berterima kasih, Cik Tia Clarissa. Dah
depan mata, saya tolong apa yang mampu.”
“Tak usah nak bercik-cik, Mazrik. Panggil Rissa aje.
Rissa ni bukannya akan marah pun kalau kamu tak panggil
dia dengan nama formal. Anak bongsu, manja.”
“Ayah...” Tia jadi tidak senang. Rasanya kalau Haji
Alis tak cakap pun, tetamu mereka ini telah terlebih maklum
akan sifat dirinya. Hanya ayahnya itu sahaja yang tidak tahu
sejarah silam antara mereka.
“Tak apa pak cik, dah terbiasa formal. Nak panggil
nama macam tu aje rasa tak sopan pula sebab ini pertama kali
kami berjumpa.”
Tia bingung untuk beberapa detik. Pertama kali
berjumpa?
“Hah, Rissa... yang kerut dahi macam memikirkan
masalah negara ni kenapa? Pergi buat air. Tetamu ni.”
“Err... tak payah susah-susah, pak cik. Saya pun nak
balik dah ni.” Mazrik bangun.
“Duduk dulu, Mazrik. Sekurang-kurangnya, bagilah
pak cik balas kebaikan kamu tolong pak cik tadi dengan
secawan air. Rissa, yang berdiri lagi kat sini kenapa?”
“Ya, ayah. Err... kejap. Rissa buat air.”
Laju Tia melangkah ke ruang dapur. Cerek stainless
steel yang terletak atas dapur gas dibawa ke singki dan diisi
dengan air. Penuh tiga perempat isipadu, cerek diletakkan
kembali ke atas dapur dan api dinyalakan sederhana besar.
Sementara menanti jerangan air mendidih, dulang
dibawa keluar dari dalam kabinet dan diletak di atas kaunter
pulau. Dua biji cawan yang lengkap berpiring diatur di atas
dulang dan diletak ke tepi. Teko kaca diambil dari atas rak lalu
diisi dengan serbuk Nescafe dan gula mengikut sukatan yang
selalu dia gunakan. Siap! Tinggal tunggu air mendidih sahaja.
Sambil memandang cerek yang mula berasap, otak
Tia kembali melayang pada tindak-tanduk Mazrik sekejap
tadi. Bagaimana lelaki itu boleh muncul di sini? Atas alasan
apa? Kenapa mengatakan yang ini merupakan pertama kali
mereka berjumpa? Apa agenda lelaki itu sebenarnya? Kenapa
mesti menyembunyikan status mereka yang merupakan
rakan sekuliah sewaktu mengambil master di UMP? Di mana
isterinya, Kak Suria?
“Rissa!”
“Ya, ayah. Siap dah ni!”
Pemegang cerek stainless steel yang berkepul-kepul
dengan asap dipegang menggunakan kain buruk. Penuh
hati-hati, air yang panas mendidih dituang ke dalam teko
sebelum dikacau dengan sudu. Setelah gula larut dengan
sempurna, teko tersebut diletakkan ke dalam dulang. Sebiji
piring putih berisi kuih seri muka yang sempat dibuat pagi
tadi turut diletakkan ke dalam dulang tersebut bersama
sepinggan keropok sayur. Bersama lafaz bismillah, dulang
yang penuh berisi hidangan itu dibawa dengan cermat ke
ruang tamu.
Untuk pertama kali dalam hidup, dia jadi menggigil
untuk menghidangkan minuman, namun ditegarkan hatinya
untuk tayang muka kayu. Tanpa sepatah kata, air Nescafe
yang masih berasap dituang ke dalam kedua-dua biji cawan.
Kemudian satu per satu isi di dalam dulang dikeluarkan
sebelum dulang diletakkan di bawah coffee table.
“Jemput minum, Mazrik. Jamahlah apa yang ada ni.”
“Terima kasih, pak cik. Marilah minum sekali. Cik
Ti...”
“Ayah, Rissa naik atas dulu.”
Tanpa memandang muka Mazrik, laju dia meminta
diri. Sebelum Haji Alis mengesyaki yang bukan-bukan, baik
dia berlalu biarpun ruang kosong dalam kepalanya kini
sedang terisi dengan pelbagai soalan.
Mazrik... Bukan dia tidak perasan yang lelaki itu
sedang tunak memandangnya.
‘Cucuk mata tu baru tahu!’ bebelnya dalam hati.

KEPINGAN GAMBAR dalam pegangan disentuh perlahan.
Gambar yang telah diambil secara curi-curi beberapa bulan
lalu ketika masih bergelar penuntut master di UMP. Perlakuan
Tia yang sedang termenung jauh tanpa mengendahkan
keadaan sekeliling tika itu telah menggamit hati lelakinya
untuk merakamkan detik tersebut tanpa pengetahuan si
gadis. Disimpan rapi tanpa alasan yang pasti sehinggalah
sekarang, saat di mana dia mengambil langkah berani untuk
berhijrah ke negeri Selangor demi berada dekat dengan gadis
itu.
Dia tahu, kemunculannya yang secara tiba-tiba telah
menimbulkan seribu pertanyaan dalam benak Tia Clarissa.
Juga mungkin telah mengocak ketenangan si genit itu. Dia
terlalu ingin menerangkan segala-galanya kepada Tia, namun
masih belum berkesempatan. Tingkah dan adabnya perlu
dijaga walaupun jika diikutkan hati lelakinya, mahu sahaja
dia berdiri berdepan dan menjelaskan semua yang perlu agar
gadis itu tidak terus tersalah anggap. Menerangkan kepada
gadis itu akan semua yang telah terjadi lewat sebulan yang
lalu, di saat dia sepatutnya melafazkan ijab sebagai seorang
suami kepada Suria. Saat di mana semuanya berlaku di luar
jangkaannya.
Dia masih ingat lagi, pada hari Jumaat tersebut,
dalam pasrah menerima takdir, dia menggenggam huluran
tangan tok kadi, bersedia untuk melafazkan akad. Namun
tiba-tiba, suara Suria mengubah segala-galanya.
“Maaf, ustaz. Saya tak mahu teruskan pernikahan
ni.”
Pandangan Suria sekilas beralih ke arahnya.
“Boleh kita jumpa di luar sekejap?” pinta gadis itu
sebelum melangkah ke anjung rumah.
Dengan fikiran yang bercampur baur, dia bangun
dan menuruti langkah gadis itu. Tidak dihiraukan pada
mata-mata yang memandang dan mulut-mulut yang mula
berbisik sesama sendiri.
“Maaf, abang. Su tak boleh nak teruskan.” Sekali lagi
ayat tersebut dilafazkan sebaik sahaja dia berdiri di sebelah
gadis itu.
“Abang tak perlu berpura-pura untuk jaga hati Su. 3
tahun kita bertunang, Su sentiasa menghitung detik bahagia.
Namun kita sama-sama tahu yang jodoh kita hanya setakat
ini, kan?”
Suara Suria yang tenang mengungkap baris
demi baris perkataan membuat bibir lelakinya hilang
patah kata. Jujur... hatinya mula dihimpit rasa bersalah
yang bukan sedikit. Suria langsung tidak menunjukkan
sebarang perubahan sepanjang mereka membuat persediaan
perkahwinan, dan dia langsung tidak menyangka yang gadis
itu akan mengambil keputusan drastik seperti ini.
“Boleh pandang Su tak?”
Diturutkan permintaan gadis itu. Penuh rasa
bersalah, pandangan dihalakan pada sepasang anak mata
kelabu yang dikagumi selama ini. Menjadikan mata saling
bertentang mata.
“Tengok, pandangan penuh rasa untuk Su dah tak
ada. Pandangan yang Su dapat sekarang ni, hanya pandangan
kosong, sekosong hati yang memandang Su.”
Hampir dia menangis jika dia tidak mengingatkan
yang dirinya seorang lelaki. Terasa yang dirinya sangat tidak
berguna kerana telah melukakan hati seorang wanita yang
selama ini membina impian untuk hidup bahagia bersamanya.
“Su minta maaf, abang. Su tak sekuat mana
untuk menjadi isteri pada seorang lelaki yang hatinya pada
perempuan lain.”
Sungguh kala itu dia rasa tewas! Tewas dengan
kejujuran Suria. Tewas dengan keberanian gadis itu menerima
hakikat yang telah berubah. Tewas dengan...
“Jauh menung, bro?”
Lamunannya terus melayang. Wajah Hadi sedang
memandangnya bersama gelengan.
“Ke mana kau berangan? Aku tarik gambar ni pun
kau tak sedar.”
Baru dia sedar yang gambar Tia kini sedang berada
dalam tangan sahabatnya itu.
“Dahsyat penangan Rissa ni, kan?” Hadi dah
tersengih. Gambar tersebut dipulangkan kembali.
“Aku bukan berangan pasal dialah.”
“Say that to others. Ni, kau betul ke tak nak tinggal
sini?”
Kepala digeleng.
“Aku dah jumpa rumah sewa kat sana.”
“Tu aku tahu.” Hadi angguk. “Tapi kalau tak silap
aku, bakal housemate kau cakap hujung bulan ni baru kau
boleh masuk, kan? Sekarang baru 15 hari bulan.”
Spontan bibirnya tidak dapat menahan senyum.
Teringat perbualan bersama Haji Alis semalam.
“Kamu duduk mana sekarang?”
“Err... Hotel bajet.”
“Hotel?”
“Untuk 2 minggu ni aje, pak cik. Sementara nak
masuk rumah sewa hujung bulan ni.”
Dilihatnya Haji Alis dah mengerutkan dahi.
“Macam inilah, kamu duduk aje di sini untuk 2
minggu ni.”
Baris ayat yang langsung dia tidak duga. Terlalu lebih
daripada rancangan asalnya. Jujur, dia mahu dekat dengan
Tia, tapi tidaklah sampai duduk serumah dengan gadis itu.
Sebab itu dia berusaha mencari rumah sewa di kawasan
perumahan yang sama dan alhamdulillah, ada rezekinya.
Dan dia rela menginap di salah sebuah hotel murah di Bangi
untuk sementara waktu biarpun Hadi ada mengajaknya
untuk tinggal bersama. Dia segan dengan keluarga besar
Hadi. Cukup-cukuplah dia terhutang budi. Sudahlah kerja
yang dia dapat ini pun atas belas ihsan ayah sahabatnya itu.
Untuk tinggal serumah dengan Tia? Tentulah juga
dia tidak betah. Lalu dengan sopan dia menolak pelawaan
Haji Alis, namun lelaki separuh abad itu tetap berkeras.
“Pak cik teringat diri pak cik dulu-dulu bila tengok
kamu ni, Mazrik. Pertama kali berhijrah ke tempat baru, nak
mulakan hidup memang perit. Pak cik tahu tu, pak cik dah
laluinya. Mujur masa tu ada hamba Allah yang berbuat ihsan
pada pak cik. Jadi sekarang ni pak cik rasa ini adalah peluang
yang Allah bagi pada pak cik untuk berbuat perkara yang
sama. Tolong jangan menolak atau pak cik akan berkecil hati
dengan kamu.”
Pilihan apa yang dia ada? Dia tidak dididik untuk
mengecilkan hati orang tua. Juga demi Tia, dia tidak boleh
merosakkan hubungannya dengan Haji Alis. Lalu dengan hati
yang berbelah bagi dia terpaksa bersetuju.
‘Abang minta maaf, Tia...’

RUANG KELUARGA tingkat atas rumah Haji Alis terasa
panas. Penyaman udara yang terpasang tidak mampu untuk
menyejukkan sekeping hati yang sedang resah dengan
permintaan di luar jangkaan.
“Rissa tak setuju, ayah.”
“Kenapa?”
“Banyak sebab. Rissa tak rasa keputusan ayah kali ni
tepat.”
“Bersangka baik, Rissa.”
“Bersangka baik? Dia tu orang asing, ayah! Latar
belakang entah macam mana, yakin aje ayah nak bagi dia
duduk sini. Penjenayah ke, pembunuh ke, perompak ke...
Mana kita tahu!”
“Tak baik buruk sangka, Rissa.”
“Bukan buruk sangka, cuma berhati-hati.”
Haji Alis mengeluh sedikit. Wajah si bongsu ditatap
lama.
“Sementara aje, Rissa. Hujung bulan ni dia dah
duduk menyewa dengan Fawwaz. Tak sampai 2 minggu pun
kita tumpangkan dia kat sini.”
“Ab... Abang Fawwaz sebelah rumah kita ni?”
Haji Alis mengangguk.
“Yang kamu nampak terkejut sangat ni kenapa?”
“Err... tak ada apalah. Tak tahu pula Abang Fawwaz
nak tambah housemate lagi.”
“Zayn tu kan nak kahwin dah. Tu yang dia nak pindah
keluar. Semalam yang Mazrik tolong ayah lepas accident tu,
dia baru balik daripada tengok rumah itulah.”
“Dah tu kenapa tak terus duduk aje kat situ? Nak
tumpang-tumpang kat sini bagai.”
“Zayn hanya akan pindah keluar hujung bulan ni.
Rumah tu kan sekarang dah ada 4 orang duduk. Mungkin
tuan rumah tak benarkan lebih daripada 4 orang duduk
serentak.”
“Tapi tu bukan masalah kita, kan? Kenapa ayah nak
terlebih concern pasal Mazrik tu? Dia lelaki, pandai-pandailah
dia nak hidup.”
“Rissa...” Haji Alis tarik nafas dalam-dalam. “Mazrik
memang menolak tapi ayah yang berkeras nak tumpangkan
dia di rumah kita ni. Dia dari Pahang ke sini, baru nak mula
kerja. Ini masa susah dia, ayah tak sampai hati nak biarkan
dia duduk di hotel tu. Ayah bayangkan kalau suatu hari nanti
anak-anak ayah juga perlu berhijrah merantau ke tempat
orang, tak ada tempat bergantung... mana tahu kalau-kalau
ihsan yang ayah beri pada anak orang lain hari ni boleh
menjadi penyebab untuk Allah hantar orang yang baik-baik
pada anak-anak ayah pula nanti. Hidup ni seperti roda, ada
hari kita di atas, ada hari kita di bawah. Mungkin suatu hari
nanti anak-anak ayah pula akan berada di tempat Mazrik,
siapa tahu?”
“Ayah ni buat Rissa rasa bersalah ajelah...” Suara Tia
kendur.
“Jadi Rissa faham kan tindakan ayah ni?”
“Tapi Rissa tetap tak setuju, ayah. Tak ada privasi bila
ada orang luar ni.”
“Apa yang tak privasinya? Wana pun duduk sini
juga.”
“Wana tu lain, Wana tu perempuan.”
Tia jeda.
“Yang ayah nak bagi tumpang ni lelaki. Takkan nak
kena pakai tudung 24 jam kat rumah ni? Dah macam Rissa
pula yang duduk menumpang kat rumah orang.”
Haji Alis menanggalkan kaca mata yang dipakainya.
“Apa 24 jam pula? Kamu berselisih pun waktu malam
aje. Siang masing-masing tak ada. Kamu kerja, dia kerja.”
Tia garu kepala yang tidak gatal.
“Tapi malam dia ada, kan? Still kena pakai tudung
juga.”
“Rissa... Rissa...” Haji Alis menggeleng kepala. “Tiara
okey aje dengan usul ayah ni, tak ada timbul isu pun.”
“Tu Kak Ara, bukan Rissa. Rissa tetap tak setuju!”

“MACAM MANA, abang?”
“Negatif.”
“Sangat?”
“Tak adalah sangat. Dia macam lebih pada terkejut.”
“Mahunya tak? Tak ada angin tak ada ribut tiba-tiba
abang boleh muncul depan dia sambil papah pak cik. Kalau
Wana pun Wana dah lompat katak tengok skandal lama
tiba-tiba muncul depan mata.”
Mazrik sengih. Skandallah sangat!
“Semalam Wana kena tadah telinga dengar dia
membebel sampai sejam lebih. Dia tak faham macam mana
abang boleh sampai ke sini. Dia tak faham kenapa dalam
ramai-ramai orang, boleh abang yang muncul masa pak cik
accident tu. Dia tak faham macam mana abang boleh dapat
menyewa dengan Abang Fawwaz. Dia tak faham tu, dia tak
faham ni... Sampai satu saat tu Wana rasa macam nak tampal
aje mulut comel dia tu dengan tape tebal warna hijau askar
tu. Geram! Hah, apa hal abang gelak pula ni? Seronoklah
ya tahu Wana kena bebel sebab abang?” Tangan dicekak ke
pinggang ketika menuturkan dua ayat terakhir.
“Bukanlah. Abang gelak sebab Wana cakap mulut
kawan Wana tu comel. Dalam marah-marah, sempat juga
Wana puji dia ya?”
“Eleh, tapi betul kan?”
Mazrik senyum segaris.
“Mungkin tu salah satu sebab abang jatuh sayang kat
dia.”
Wana dah bulat mata.
“Eeeiiii, gatal juga abang ni. Tilik fizikal anak dara
orang!”
“Abang ni lelaki normal, Wana. Fitrah semula jadi
lelaki, tertarik pada kecantikan milik perempuan.”
“Stop. Stop.” Wana menahan. “Tetiba Wana rasa nak
pitam bila abang mula berfalsafah. Back to the story, bila
abang nak berterus terang dengan dia tentang status sebenar
abang? Dia ingat abang ni dah selamat jadi suami orang tau!”
“Abang rasa sekarang bukan masa yang sesuai.
Abang tak nak dia makin menjarakkan diri.”
“Wana tak faham... bukan ke lebih mudah kalau dia
tahu abang bukan suami sesiapa?”
“Wana, she is Am’s fiancée. Dia akan lebih selesa jika
dalam fikirannya, kami sama-sama dah terikat dengan orang
lain.” Mazrik hela nafas berat.
“Tapi Wana tetap rasa lebih elok kalau abang berterus
terang pada dia tentang status abang.”
“Mungkin, tapi bukan sekarang. Step by step. Biar
dia selesa dengan kehadiran abang dulu.”
“Silap-silap dia lari sebab takut abang mengurat dia.”
Wana ketawa.
“Sebab tu abang perlu bersikap lebih kepada seorang
abang, bukan seorang lelaki yang cuba memenangi hati dia.”
“Jadi abang akan biarkan dia terus dengan Am atau
serahkan semuanya pada takdir semata-mata?”
Mazrik berfikir seketika sebelum menggeleng.
“Dua-dua abang takkan pilih.”
“Maksud abang?”
“I’ll do something. Abang akan fikirkan dan cari
jalan.”
“Kalau jumpa jalan mati?”
“Jalan mati kan peluang untuk kita buka jalan yang
baru?”
Wana jongket kening. Teruja.
“Tapi sebelum tu, boleh abang tahu tempat kerja
Wana dan Rissa kat mana?”
“Abang tak payah berangan nak jadi driver kita orang
pergi balik kerja. Different route okay? Abang kerja kat Bangi.
Kita orang ni kat KL. Pergi kerja naik tren. So, sila pangkah
daripada ‘to do list’ abang.”

Mazrik's Signorina - Bab 8

TIA rasa ingin meraung. Puas dia mencari
sekeliling rumah, namun masih gagal menjejak bayang
Bobby. Padan dengan mukanya, merengek lagi dekat ayah
supaya tinggalkan Bobby di rumah opah walaupun ayah jelas
keberatan. Seboleh mungkin dia memujuk Haji Alis dengan
alasan Bobby jadi peneman apabila sunyi. Sudahnya, kini
Bobby hilang. Hukuman untuknya sebab tak nak dengar
cakap orang tua.
Sibuk mencari Bobby di celah-celah pokok pisang,
telefon dalam genggamannya berbunyi. Lagu Lelaki oleh
Dato’ Siti Nurhaliza; nada dering yang diletakkan untuk ayah
tercinta. Terus dijawab tanpa melihat nama pemanggil.
“Ayah, orang tak jumpa Bobby lagi.” Tia mengadu
sambil tahan air mata yang mahu keluar. Namun dia hairan
apabila Haji Alis masih tidak bersuara.
“Ayah, dengar tak? Bobby tak jumpa lagi. Dah cari kat
semua tempat tapi tak ada,” ulangnya sedikit kuat, kut-kutlah
Haji Alis tak dapat dengar dengan jelas masa pertama kali dia
beritahu tadi.
“Bobby tu siapa, adik?”
Oo mak kau pocot! Tia terperanjat. Suara Mazrik!
Tapi... untuk lelaki itu dia letakkan default ringtone. Bila
masa pula bertukar?
“Abang... ingatkan ayah adik tadi. Sorry.” Tia cuba
buat macam biasa. Suara mahu menangis dilenyapkan.
“Bobby tu siapa?” soal Mazrik lagi.
“Kucing kesayangan kami.”
“Hilang?”
“Haah. Entah semak mana dia masuk. Nanti kita
cakap lagi okey, bye!”
Tia terus menamatkan perbualan. Tangan diletakkan
ke dada. Dapat dirasakan jantungnya berdegup kencang.
Tiba-tiba, telefon berbunyi lagi. Ada WhatsApp
masuk. Apabila dibuka, ternyata daripada Mazrik.
Abang jauh. Kalau abang dekat,
abang nak sangat tolong carikan
kucing adik yang hilang tu supaya
adik tak menangis.
Sungguh Mazrik sangat sweet di mata perempuannya.
Tetapi jejaka itu salah tempat, salah orang dan salah masa.
Lalu diabaikan sahaja mesej tersebut tanpa balasan.
Sedang dia menyambung aktiviti pencarian,
telefonnya berbunyi lagi.
If you had a chance of stealing one
thing from me, what would it be?
Terus Tia mendail nombor si penghantar.
“Yes, Cik Tia Clarissa!” Julia menyapa di hujung
talian.
“Soalan apa tu Ju?” soal Tia terus pada perkara pokok.
“Soalan saja-saja. Kat sini tengah mabuk benda
tu, semua orang duk sibuk forward soalan tu pada kenalan
masing-masing. Kadang-kadang, ada jawapan yang unik dan
tak terjangka. Aku saja forward tu. Try it. Have fun!” Terus
Julia memutuskan talian sebelum sempat Tia menjawab.
Julia, rezekinya sampai dahulu. Tamat sahaja
pengajian, dia terus mendapat tawaran kerja dari tempat
lamanya tanpa perlu bersusah payah mencari.
‘Sabar Rissa, sabar... rezeki kau akan tiba nanti,’
sempat Tia pujuk diri sendiri.
Soalan yang dihantar Julia dibaca beberapa kali.
Sedikit sebanyak, Tia turut terpengaruh dengan kata-kata
gadis itu. Ah, hantar dekat Amlah!
Tapi entah apa yang merasuk fikiran, dia akhirnya
memanjangkan WhatsApp tersebut kepada Am dan juga
Mazrik. Sekadar ingin tahu apa jawapan yang mereka berdua
akan berikan.
“Meow!”
Bobby tiba-tiba muncul dari celah-celah semak.
Melenggang-lenggok dengan membawa tubuhnya yang
gemuk gebu. Telefon diletakkan ke dalam kocek, Bobby diraih
mesra. Dipeluk sayang dan digomol sepuas hati.
“By, pergi mana? Puas akak cari tau.”
“Meow...”
“Jom balik. Sini tak best, banyak nyamuk.”
Masuk sahaja ke dalam rumah, Bobby dibawa
ke dalam bilik. Diletakkan ke atas katil dan dibelai mesra
melepaskan rindu.
Seolah-olah memahami, Bobby turut meliuk
lentokkan badannya pada si tuan, membuatkan Tia semakin
geram. Dicium bertalu-talu sehinggalah mukanya mula
dijilat Bobby.
“Oh, lapar ya? Jom pergi dapur, makan.”
Bobby didukung ke ruang dapur yang sunyi. Hajah
Zainab pergi ke majlis berzanji di kampung sebelah dan Tia
pula malas mahu mengikut.
Selesai memberi Bobby makan, Tia melangkah
ke bilik semula. Perut yang turut kenyang menggamit
rasa kantuk tanpa dipinta. Dengan malas, dia merebahkan
tubuh ke atas katil. Dan ketika itu juga, telefonnya berbunyi
menandakan ada pesanan WhatsApp masuk.
Auramu yang menyebabkan
insan-insan di sekeliling mudah
mesra dan menyayangimu.
WhatsApp daripada Am. Manis bergula, tetapi entah
mengapa dia tidak mampu tersenyum. Sungguh. Dia masih
terbayang kes kecurangan Am dengan Erin.
Sekali lagi telefonnya berbunyi.
Kalau abang dapat peluang curi
sesuatu daripada adik, abang
akan curi hati adik sebab adik
seorang yang setia dan jujur dalam
perhubungan. Bila abang dapat hati
adik, abang akan dapat memiliki
adik.
Darah Tia menderu laju. Bukan, bukan ini jawapan
yang diharapkannya.
‘Ya Tuhan... dugaan apakah ini?’
Serta-merta kata-kata Hajah Zainab baru-baru ini
kembali terngiang-ngiang di telinganya. Tanpa bertangguh,
nombor telefon Wana segera didail.
“Kan dari dulu aku dah cakap, dia suka kat kau tapi
kau tak nak dengar!” omel Wana.
“Kau jangan nak gilalah, babe. Mazrik tu tunang
oranglah. Marah budak-budak kuliah kalau dengar kau cakap
macam ni. Lagipun Am aku nak campak mana?”
“Marah apanya? Budak-budak lain pun nampaklah
Mazrik tu sukakan kau. Puas diaorang bergosip, tapi kau aje
yang tak sedar,” bidas Wana lagi.
“Tak, tak. Yang aku tahu sekarang ni, aku rasa
bersalah sangat kat tunang dia, tahu tak? Aku tak sangka
Mazrik boleh cakap macam ni. Entah apa masalah dia dengan
Kak Suria tu.”
“Dia tak ada masalah langsung dengan tunang dia
tu. Masalah dia cuma... dia sayangkan kau lebih daripada dia
sayang tunang dia.”
Tia senyap. Terkelu. Terkedu. Hilang segala kosa
katanya.
“Kau dengar tak aku cakap ni, Rissa?”
“Tak.”
“Rissa!”
Tia mengeluh lemah.
“Habis tu apa patut aku buat sekarang?” Disoal Wana
yang masih di hujung talian.
Tawa Wana meledak. Lama.
“Kau tanya aku? Bagi aku, Mazrik tu lagi menghargai
kau daripada Am. Kalau kau tanya aku, aku suka Mazrik. Aku
nak kau sambut huluran tangan Mazrik tapi aku kenal kau
macam mana. Kau takkan sesekali terima Mazrik, kan?”
Tia diam. Kata-kata Wana tepat belaka. Menerima
Mazrik bermakna dia melanggar prinsipnya selama ni.
“Apa pun keputusan kau, apa pun kau nak buat
selepas ni, aku akan sokong kau, Rissa. Pilihan kau selalu
yang terbaik. Aku yakin tu,” sambung Wana apabila Tia masih
tidak menjawab pertanyaannya.
“Salah aku ke, Wana? Salah aku ke sebab layan dia
atas nama abang selama ni?”
“Yang terjatuh landasan hubungan dan tak boleh
mengawalnya tu Mazrik, bukan kau. Aku tahu kau setia pada
Am, walaupun Mazrik 100 kali lebih baik daripada Am.”
Tia hanya membisu. ‘Kalaulah kau tahu apa yang
sedang aku rasa, Wana...’

MAZRIK MERENUNG telefon di tangannya. Hati lelakinya
merasakan yang Tia seperti sengaja menjarakkan diri.
Berbelas-belas kali dia membuat panggilan, satu pun tidak
berjawab. Beberapa pesanan WhatsApp yang dihantar, satu
pun tidak dibaca oleh gadis itu. Langsung tidak ada blue tick!
Nun di Johor sana, Tia berperang dengan perasaan
sendiri. Siang bawa ke malam, Mazrik tetap tidak henti-henti
menghubunginya. Sengaja dia tidak menjawab tetapi lelaki
itu berulang kali menelefon sehingga skrinnya mencatat 17
missed call! Sehinggakan Hajah Zainab datang mengetuk
pintu bilik, memintanya supaya tidak membiarkan telefonnya
berdering tidak berjawab. Tak baik, kata Hajah Zainab. Apa
pun masalah, selesaikan secara baik, pesan opahnya itu lagi.
Lalu apabila Mazrik menelefon untuk kali yang ke-18, dia
menjawab dengan berat hati.
“Nak apa?” Dia bertanya datar.
“Kucing dah jumpa?” Soalannya dibalas dengan
soalan juga.
“Dah.”
“Dah makan malam?”
“Dah.”
“Sihat tak?”
“Sihat.”
“Dah lama kita tak borak, kan?”
Tia mencongak-congak sendiri. Baru 44 hari.
“Lama eh? Ya kut..” jawabnya tanpa perasaan.
“Tak nak tanya pasal abang ke?”
Kepala digaru. Lelaki itu yang menelefonnya dan
lepas tu suruh dia yang tanya soalan?
“Nak tanya apa?” Dengan malas dia menyahut.
“Apa-apalah. Tia Clarissa yang abang kenal sentiasa
tak kering idea untuk bercakap.”
“Bila abang nak kahwin dengan Kak Suria?” Hambek!
Nama yang dia tidak pernah sebut lagi di hadapan lelaki itu
sejak tamat pengajian di UMP kini dibangkitkan.
“Entah.” Sepatah Mazrik menjawab.
“Entah? Biar betul, abang. Takkan majlis sendiri pun
tak tahu?” Mata Tia juling sesaat. Hal besar macam ni Mazrik
ambil mudah?
“Boleh tak adik jangan sebut nama Kak Suria antara
kita? Abang tak suka.”
“Kak Suria adalah hakikat, abang.” Tegas Tia
memangkas.
“Hakikat yang boleh berubah. Kalau Dia mahu, tak
ada sesiapa yang boleh menghalang.”
Tia mengeluh. Kenapa semakin hari semakin pelik
dirasakan tingkah Mazrik?
“Tapi kita ni manusia, abang. Apa yang Dia mahu,
bukan dalam pengetahuan kita.” Kali ini dia lembutkan suara.
“Yang adik pula, kenapa beria-ia nak tahu bila abang
kahwin? Penting ke?”
“Mestilah penting! Senang nak sediakan hadiah.
Lagi awal abang beritahu tarikh, lagi banyak duit adik boleh
kumpul untuk beli hadiah abang.”
Terdengar Mazrik mendengus.
“Adik serius ke ni?” soalnya.
“Deadly serious. Memang nak bagi abang hadiah
istimewa, khas untuk abang dan Kak Suria.”
“Adik memang nak sangat abang kahwin dengan Kak
Suria?”
“Siapa yang tak nak tengok abang kesayangan
mendirikan rumah tangga dan hidup bahagia?”
Lancar sekali bibir Tia berkata-kata. Entah dari mana
kekuatan itu datang, dia sendiri tidak tahu.
“Adik bahagia ke bila abang kahwin dengan Kak
Suria?”
“Bahagia. Happy sangat-sangat!” jawab Tia seceria
mungkin walaupun hatinya mula sedikit goyah.
“Adik tak bahagia kalau hidup dengan abang?”
“Abang cakap apa ni?”
“Answer me. Adik tak bahagia kalau hidup dengan
abang?”
Tia diam. Nafas ditarik sedalam-dalamnya.
“Abang, Kak Suria tu... setitik dosa pun tak ada
dengan adik. Jadi tak ada alasan untuk adik menganiaya dia.”

TIA MULA mengubah strategi. Setiap kali Mazrik menelefon,
dia pasti akan menjawab. Setiap kali lelaki itu menghantar
WhatsApp, dia pasti akan membalas. Namun dalam setiap
‘perbualan’, pasti dia akan menyelitkan nama dan perihal Kak
Suria.
‘Kirim salam pada Kak Suria.’
‘Abang bila nak kahwin ni?’
‘Cepatlah sikit, tak sabar nak rasa nasi
minyak abang dan Kak Suria.’
Antara baris kata yang dia lontarkan setiap kali
berbicara. Dan dia hanya tergelak besar setiap kali Mazrik
menyelarnya kejam tanpa lelaki itu tahu pedih hati yang dia
sedang alami seiring dengan ketawanya yang terlontar.
“Adik...”
Panggilan telefon yang pertama daripada Mazrik
untuk hari ini. Selalunya dalam sehari beberapa kali lelaki
itu menghubunginya tetapi hari ini, sudah malam begini
baru lelaki itu muncul.
“Adik, abang akan nikah dengan Kak Suria.”
Air liur ditelan payah. Akhirnya!
“Tahniah, abang!” Tia meriangkan suara.
“Are you happy now?”
Tia gelak lembut. Gembirakah dia?
“Of course I’m happy, abang kesayangan nak kahwin
kut!”
Tawa Mazrik kedengaran hambar di hujung talian.
“Abang lupa, memang ni yang adik nak. Kan? Adik
nak abang kahwin dengan Kak Suria, jadi abang buat. Demi
adik, abang akan buat. Tapi... abang ada syarat yang adik perlu
tunaikan.”
Tia rasa seperti kerongkongnya tersekat. Beberapa
detik dia terdiam, tidak mampu untuk bersuara.
“Syarat apa?” Akhirnya dia menyoal perlahan.
Hatinya mula merusuh tanpa dipinta.
“Mulai saat ini, abang tak nak dengar langsung adik
sebut nama Kak Suria setiap kali adik bercakap dengan abang.
Same goes to WhatsApp, no more mentioning her name.”
“Kalau adik tersebut?”
Suara Mazrik yang berubah serius langsung tidak
membuat Tia takut. Dia kenal Mazrik. Lelaki itu tidak pernah
pandai untuk memarahinya.
“Kalau adik tersebut nama dia...” Mazrik jeda
sambil menarik nafas dalam-dalam. “Pernikahan kami akan
dibatalkan tanpa fikir dua kali dan adik akan bertanggungjawab
untuk semuanya.”
“Abang!”
“Takut?”
Tia bungkam. Hilang segala patah kata. Dia tidak
takut, cuma dia risau dengan mulutnya yang telah terbiasa
menyelitkan nama Kak Suria dalam setiap perbualan mereka.
Perkara yang telah menjadi habit, bukan mudah untuk
ditolak tepi sekelip mata.
“Sebulan, adik. Kami nikah lagi sebulan. No Kak
Suria at all between us selama sebulan ni or else...”

“BABE...”
Mata Tia meliar ke sekeliling ruang restoran Kenny
Rogers. Masih ramai pelanggan yang belum menerima
makanan. Masa ni sesuai kut!
“Aku nak pergi toilet sekejap. Kau tunggu sini eh?”
Cepat-cepat ditinggalkan Wana sebelum gadis itu banyak
tanya.
Tia melangkah masuk ke dalam MPH di tingkat 3.
Waktu tengah hari begini pun ramai pengunjung di dalam
kedai buku ini. Jadi, siapa cakap rakyat Malaysia malas
membaca? Waktu bekerja pun ramai yang berkunjung
mencari bahan bacaan, bukan hanya tunggu masa Pesta
Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di PWTC tu aje.
Tia terus ke bahagian ‘Agama’ yang terletak
bersebelahan dengan rak ‘Motivasi’. Baris demi baris
mata membaca sehinggalah sampai di barisan al-Quran
dan terjemahan. Ada bermacam-macam saiz, warna dan
layout yang berbeza. Tangannya akhirnya menarik sebuah
terjemahan al-Quran bersaiz sederhana besar yang kulitnya
berwarna hitam bertulisan emas.
Terjemahan al-Quran tersebut dibuka dan Tia
membelek ciri-ciri yang ada sebelum mula membaca
terjemahan di tiga muka surat pertama. Berpuas hati kerana
terjemahan bahasa Melayu tulen sepenuhnya, dia membawa
kitab al-Quran yang lengkap dengan terjemahan itu ke
kaunter pembayaran. Sempat dia mencapai beberapa keping
kertas minyak dan pembalut hadiah yang bersusun di tepi
kaunter.
Usai membuat pembayaran, Tia kembali kepada Wana
yang menanti di Kenny Rogers. Bila gadis itu mengangkat
kening menyoal lanjut, dia hanya menggeleng, enggan
bercerita. Barang-barang yang dibeli tadi juga semuanya
telah selamat dia sumbat ke dalam beg galas di belakangnya,
jadi Wana tidak nampak dan tiada modal untuk menyoal.
Sampai di rumah Hajah Zainab, Tia mengeluarkan
terjemahan al-Quran yang dibeli di MPH tadi dan diletakkan
ke atas meja. Pen hitam berdakwat cair dalam bekas pen
dicapai dan dia mula menulis di muka surat depan yang
kosong.
Khas untuk Abang Mazrik & Kak
Suria,
Selamat Pengantin Baru. May Allah
bless both of you.
Selesai menulis, Tia letak perkataan ‘Adik’ dan
tandatangannya. Semoga perkataan ‘Adik’ itu tidak
membuatkan Kak Suria salah faham dan memikirkan yang
bukan-bukan tentang hubungannya dengan Mazrik.
Setelah itu, dengan penuh hati-hati, Tia membalut
naskhah terjemahan al-Quran tersebut dengan kertas
pembalut hadiah sebelum membalutnya dengan kertas
minyak beberapa lapis. Berpuas hati dengan ketebalan
balutan, Tia menulis nama penerima dan alamat di salah satu
bahagian sebelum bungkusan itu dimasukkan kembali ke
dalam beg galasnya.
Siap.
Esok dia akan ke pekan dan singgah di pejabat Pos
Laju untuk mengeposkan bungkusan istimewa tersebut.

TELEFON TIA berbunyi. Dia yang baru sahaja berbaring
di atas katil jadi tersentak. Siapa pula yang menelefon
lewat-lewat malam begini? Dengan malas Tia bangun menuju
ke meja solek. Sempat dia mengeluh sebelum jari menyentuh
ikon hijau.
“Assalamualaikum.” Tia menghulur salam sambil
membawa tubuh kembali berbaring di atas katil.
“Waalaikumussalam. Adik dah tidur ke? Sorry
kacau.” Suara Mazrik perlahan tetapi masih jelas di telinga
Tia.
“Dah tahu adik mungkin dah tidur, kenapa telefon
juga?” bidas Tia dengan suara yang perlahan. Bimbang Hajah
Zainab yang tidur di bilik sebelah terjaga kalau dia kuat
bersuara.
“Sorry...” ucap Mazrik di hujung talian. Kemudian
senyap.
Tia menunggu untuk Mazrik bersuara, tetapi selepas
5 minit, lelaki itu masih senyap.
“Abang, kenapa ni? Kalau tak ada apa nak cakap,
baik letak.” Akhirnya Tia terpaksa mengalah. Takkan hendak
senyap begini sampai ke pagi?
“I miss you.”
“Abang, adik dah cakap kan, adik tak nak dengar
apa-apa berkaitan hati dan perasaan?” tegas Tia membalas.
“Please, adik. Bagi abang peluang, sekali aje... Malam
ni aje masa yang abang ada sebelum abang nikah esok,” rayu
Mazrik.
Tia ketap bibir sekuat hati demi cuba menahan
sebak. ‘Ya Allah, kuatkan hatiku...’
“Abang dah ready nak pegang tangan tok kadi esok?
Jangan lupa berlatih, nanti tak pasal-pasal 10 kali lafaz akad.”
Tia cuba mengubah suasana supaya menjadi ceria.
“Abang akan ready kalau bakal isteri abang tu adik.”
“Abang cakap apa ni!” Tia tidak dapat menahan
marah.
“I really miss you,” ulang Mazrik lagi.
“Adik tahu...”
“Adik tak rindu abang ke?”
“Tak.” Tia menjawab datar.
“Abang tak percaya yang abang hanya bertepuk
sebelah tangan,” balas Mazrik tidak puas hati. Dia yakin, si
gadis yang dirindui mempunyai rasa yang sama sepertinya.
“Abang... abang sedar tak yang esok abang nak
nikah? Abang bakal bergelar suami pada Kak Suria, bukan
adik. Berdosa kalau abang masih fikirkan adik yang memang
takkan jadi milik abang. Abang lelaki, abang kena kuat tentang
hasutan syaitan pada abang sekarang ni. Abang faham tak?”
“Habis kalau abang kahwin nanti, adik macam
mana?”
“Macam mana apa? Hidup macam biasalah.”
“Siapa nak jaga adik?”
Tia gelak.
“Abang ni lawaklah. Adik ada ayah dan ma untuk
jaga adik. Am pun ada.” Sengaja Tia menyelitkan nama Am.
“Sampai bila-bila pun adik memang akan pilih Am,
kan?” tuduh Mazrik.
“Good night, abang. Dah lewat ni. Bakal pengantin
tak boleh tidur lewat, tak elok. Assalamualaikum.” Tia
menamatkan perbualan sebelum Mazrik membawa perbualan
mereka ke tahap yang dia tak suka.
Putus sahaja talian, selimut ditarik ke paras
dada dan Tia menekup muka dengan bantal, menangis
semahu-mahunya. Sungguh, dia juga rindukan Mazrik.
Terlalu rindu. Tetapi dia tidak sanggup untuk merampas
kebahagiaan Kak Suria yang langsung tidak bersalah. Dia
harus menerima takdir yang telah Allah tentukan untuk
mereka bertiga. Dia mungkin kehilangan Mazrik, namun
dia masih ada keluarga untuk menjaga, melindungi dan
menyayanginya.

“NAK KE mana tu, Rissa?” Hajah Zainab menegur Tia yang
sedang menyarung selipar.
“Nak pergi rumah Wana sekejap, opah.”
“Tengah-tengah hari buta ni?”
“Sekejap aje opah. Wana cakap ada barang dia nak
bagi,” balas Tia sopan.
Setelah Hajah Zainab tidak lagi menyoal, Tia berjalan
kaki menuju ke kawasan bawah yang terletaknya rumah
Wana. Namun bukan rumah Wana yang dia tuju, sebaliknya
kakinya melangkah ke arah sungai. Memang ini tujuannya,
membawa diri ke sungai ini. Rumah Wana hanya sebagai
alasan.
How I wish you were here...
WhatsApp yang diterimanya sebaik sahaja usai solat
subuh, yang mengganggu perasaan dan menyebabkannya
membawa diri ke tempat tersorok ini.
Tia mengambil tempat di atas sebiji batu besar yang
terletak di bawah sebuah pokok rendang di tebing sungai.
Waktu matahari tengah mencanak naik begini, dia yakin tidak
akan ada sesiapa yang mahu menjengah sungai ini. Sebab tu
dia berani membawa diri ke sini. Cuba mencari kekuatan
saat hati sedang gundah-gulana. Cuba mengekalkan benteng
iman yang sedang hebat diasak oleh hasutan perasaan.
Jam di skrin telefon pintar menunjukkan pukul
12.20 tengah hari. Entah pukul berapa Mazrik akan melafaz
akad hari ini, dia tidak tahu. Lelaki itu tak pernah cakap, dan
dia pun tak pernah tanya.
Bagaikan diseru-seru, telefonnya yang berwarna
putih itu berbunyi dan nama Mazrik naik di skrin. Walaupun
hati perempuannya teringin untuk mendengar suara lelaki
itu untuk kali terakhir, akalnya tidak mengizinkannya sama
sekali. Tak, tak boleh! Sudah tiba masanya untuk dia menjaga
emosi sendiri.
Seminit kemudian, ada WhatsApp baru masuk.
Daripada Mazrik!
Adik, abang tahu adik sengaja tak
angkat telefon. Abang tahu yang
malam tadi adalah kali terakhir
abang dapat cakap dengan adik.
Lepas zohor nanti, majlis akad nikah
abang. Adik jaga diri baik-baik, take
care.
Buat kesekian kalinya, air mata Tia gugur lagi.
Pesanan itu... mungkin jua pesanan itu adalah kata-kata
terakhir yang dia akan terima daripada Mazrik.
Dengan jari yang terketar-ketar, dia menaip kata-kata
balasan.
Tahniah, abang. I’m happy for you
Hadiah adik dah pos. Mungkin akan
sampai rumah abang dalam 2-3
hari. Adik doakan rumah tangga
abang & Kak Suria kekal bahagia
hingga ke syurga.
Tia tekan butang ‘send’ lalu telefon tersebut ditutup.
Biarlah. Untuk sementara waktu, dia benar-benar tidak mahu
diganggu. Dia mahu melepaskan semua rasa yang terbuku
tika ini.
Sedang lebat dengan air mata, terdengar derapan
kaki dari arah belakang. Laju dia menyeka pipi yang basah,
tidak mahu menimbulkan sebarang pertanyaan kepada insan
tersebut.
“Babe, kat sini pun kau!”
Wana muncul di sebelahnya dengan muka yang
tersengih-sengih.
“Aku pergi rumah opah tadi, tapi opah cakap kau
beritahu dia kau datang rumah aku.”
“Haah, aku memang nak ke rumah kau tapi aku
singgah sini kejap.” Dilayangkan senyuman untuk Wana yang
dia sedar terlalu tawar.
“Kau singgah sini, buat apa tengah-tengah hari buta
ni?”
“Saja, lepak-le...”
“Kejap, kau nangis eh?” Wana cerunkan pandangan.
“Tak adalah.”
“Babe...”
“Tak, mana ada aku nangis! Tak ada sebablah aku nak
nangis! Jom, kita balik rumah kau.”
Punggung diangkat dari batu besar dan kaki mula
mengatur langkah.
“Babe...”
Tia mengeluh.
“Apa lagi Cik Wana oii?”
“Hari ni Mazrik kahwin, kan?”
Langkah terus jadi kaku.
“Kau dah wish dia?”
Tia pandang wajah Wana sambil cuba menahan air
mata yang ingin gugur.
“Dia ada call aku tadi, tanya kau. Pelik aku. Dia tak
call kau ke?”
Mata dipejam rapat. Perit.
“Babe?”
Wana terkedu. Tanpa sepatah kata, dalam keadaan
berdiri, dengan mata yang terpejam, pipi Tia basah dengan
manik-manik mutiara.
“Babe, kau okey tak ni?” Wana panik. Sejak kecil, dia
memang tak pandai nak pujuk orang.
“Eeeiiii, janganlah nangis! Aku tak boleh tengok
orang nangis-nangis ni, langsung kering darah putih dalam
badan aku!”
Esakan Tia menjadi semakin jelas. Nyaris terjelepok
jika tidak disambut oleh Wana.
“Wana, aku... aku...”
“Okey, okey. Aku tahu kau tak okey. Nangislah kalau
kau rasa lega, aku temankan kau kat sini.” Wana tarik Tia
ke dalam pelukannya. Sungguh dia tidak tahu nak buat apa.
Hanya ini yang dia terfikir.
Lama kedua-duanya sunyi tanpa sebarang bicara.
“Babe...” seru Tia dengan suara yang serak. “Tolong
aku boleh?”
Wana angguk.
“Kau nak aku tolong apa?”
“Jangan cerita kat sesiapa pasal aku nangis ni, please.
Not even a single person.”
“Err...”
“Please. Kau dah janji nak tolong aku, kan?”
Perlahan-lahan Wana angguk.
“Thanks, Cik Nur Iwana.”
“Tapi aku ada satu syarat.”
“Apa dia?”
“Jangan nangis lagi. Cukup sekali ni. Aku tak nak
tengok kau nangis lagi.”
“A’ai, madam!” Tia ukir senyum nipis.
“Dah, jom balik. Aku laparlah,” ajak Wana. “Makan
kat rumah kau ya, tadi opah cakap dia buat laksa.”
“Kau ni kalau laksa...”
Wana sengih.
“Aku kan ratu laksa. Lagipun laksa opah is the best,
tak ada orang boleh lawan.”
“Hesy, kecil hati mak kau kalau dia dengar.”
“Masalahnya mak aku pun cakap benda yang sama.”
Tawa kedua-duanya bergabung.
“Jom, jom.”
Kedua-duanya menapak seiringan meninggalkan
kawasan sungai. Matahari yang sedang terik, membakar kulit
mereka tanpa sebarang belas kasihan.
“Kalau perut aku dah kenyang, memang aku terjun
dalam sungai tu tadi. Panas-panas ni berendam dalam sungai,
maksyuk!”
“Mana ada orang terjun sungai tengah-tengah hari
buta?” tempelak Tia.
“Tak sepelik orang bawa diri ke tepi sungai
tengah-tengah hari buta, kan?”
Tia jelir lidah. Langsung tidak berkecil hati dengan
sindiran yang diterima.
Masuk ke simpang rumah Hajah Zainab,
pemandangan depan mata buat Tia tertanya-tanya. Laman
rumah Hajah Zainab yang menghijau tersadai kereta Exora
ayahnya dan Fortuner hitam. Apa Am buat di sini?
Ditoleh Wana di sebelah, gadis itu hanya menjongket
bahu.
“Tak tahu. Tadi masa aku datang diaorang tak ada
lagi.”
Meneruskan langkah, tubuh Hajah Ruhani muncul
di celah pintu yang terbuka. Tanpa diduga, wanita itu
berlari mendapatkannya, membuatkan hati Tia bertambah
tertanya-tanya. Dan belum sempat dia melontar soalan,
tubuhnya ditarik ke dalam pelukan.
“Am datang merisik. Kami sangat happy tapi apa-apa
pun adik yang buat keputusan okey?”
Penjelasan Hajah Ruhani menyebabkannya segera
mencari wajah Wana dan ternyata, gadis itu juga terkejut.
“Jom masuk, Am tunggu adik daripada tadi.” Suara
Hajah Ruhani kedengaran sungguh gembira.
Dan seperti dipukau, kaki Tia hanya mengikut.
“Hai, darling.”
Tubuh Am berdiri segak di hadapannya. Dan
seolah-olah memberi ruang, Hajah Ruhani meninggalkan
Am berdua dengannya di tangga, dengan tubuh Wana diheret
sama supaya masuk ke dalam rumah.
“Tia Clarrisa binti Haji Alis, will you marry me?”
“Kenapa tiba-tiba?” Entah kenapa, itu yang terbit
dari bibir perempuannya.
“Sebagai tanda mohon maaf. Sebagai bukti yang
hanya Tia Clarissa dalam hati Amir Hamzah, bukan gadis
lain.”
“Habis tu, Erin?”
Am senyum.
“My silly mistake, I guess.”

Mazrik's Signorina - Bab 7

HARI yang dinanti-nantikan akhirnya tiba. Tia
bangun daripada tidur dengan pelbagai rasa yang bercampur
baur. Gembira, berdebar, penuh semangat...semuanya
bergabung menjadi satu.
Bersemangat lantaran hari ini merupakan hari
terakhir untuk peperiksaan semester akhirnya. Berdebar,
kerana dia risau jika tidak dapat menjawab soalan-soalan
peperiksaan dengan baik. Manakala gembira, disebabkan
beban sebagai seorang pelajar akan berakhir dalam masa
kurang daripada 24 jam. Dan kebetulan paling istimewa;
kertas terakhirnya ialah Entrepreneurship Business Plan,
subjek yang menemukannya dengan Mazrik.
Peperiksaan kertas terakhirnya bermula tepat pada
pukul 2.30 petang. Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim
dan doa penerang hati, dia membuka kertas soalan yang
diberi. Tenang, satu demi satu soalan yang tertera dijawab.
Mata pen berlari di atas kertas jawapan tanpa henti. Khusyuk,
tanpa sebarang gangguan. Dr. Nazmi lalu di sebelah pun dia
tidak sedar.
2 jam berlalu, masa yang diperuntukkan
untuk menjawab soalan peperiksaan akhirnya tamat.
Pengawas-pengawas peperiksaan yang mengawasi ruang
dewan mula mengutip kertas jawapan di atas meja, sebaris
demi sebaris bermula dari barisan paling hadapan.
Melihatkan aturan tersebut, Tia mengeluh sedikit.
Dirinya dan Wana duduk di barisan paling belakang, jadi
mereka akan keluar paling lewat kerana hanya pelajar
yang kertas jawapannya telah dikutip sahaja dibenarkan
meninggalkan dewan.
Dari tempat dia duduk, Tia menyedari bahawa Mazrik
yang berada di barisan kedua paling hadapan telah bangun
dari kerusi. Melihat jejaka itu mula berjalan melalui baris
lorong yang sama dengannya, Tia telan liur. Sah Mazrik akan
lalu di sebelahnya sekejap lagi! Justeru itu, semakin Mazrik
menghampiri, semakin dia berpura-pura sibuk melihat kertas
jawapan sendiri.
Mazrik yang menyedari tingkah gadis itu menyimpul
senyum. Bereaksi tenang. Sebaik sahaja tiba di tepi meja Tia,
selamba dia menarik kertas jawapan gadis itu, menyebabkan
Tia hampir-hampir terjerit dalam usaha mahu merampas
kembali kertas tersebut daripadanya. Hanya apabila gadis itu
membulatkan mata memandangnya, barulah dia melepaskan
pegangan.
“Acah aje... Kalau tak, adik buat tak tahu aje dengan
abang. Pandang pun tak nak,” bisiknya perlahan dan berlalu.
Sempat dia mengenyitkan mata ke arah Wana di sebelah Tia
yang sedari tadi asyik menjongket kening dan tersenyum
nakal.
Melepasi foyer dewan, telefon dalam saku seluar
dibawa keluar dan dihidupkan. Kemudian laju jari-jemari
Mazrik menaip pesanan WhatsApp untuk adiknya itu.
“Babe, kau tak rasa apa-apa ke?” soal Wana di dalam
dewan. Mereka masih menunggu pengawas peperiksaan
untuk mengutip kertas jawapan.
“Rasa apa pula?” Tia balas soalan dengan soalan.
“Tingkah Mazrik tadilah.”
Tia angguk.
“Rasalah juga.”
“Rasa apa?”
“Rasa geram. Selamba badak dia aje tarik kertas
jawapan aku.”
Wana ketuk kepala sendiri kiri kanan dengan
jari-jarinya yang dikepal menjadi penumbuk. Kenapalah dia
dapat kawan yang blur sebegini?
“Kau dah kenapa cederakan kepala sendiri?” tegur
Tia.
Wana geleng. Wajah Tia dicerun geram.
“Kau memang sengaja buat-buat blur, kan?”
Tia pandang Wana dengan mata yang terkebil-kebil.
“Kenapa kau cakap aku blur?”
Wana rasa ingin menjerit. Sungguh dia stres!
“Dahlah, jom balik!” ujarnya sebaik sahaja kertas
jawapan dikutip. Menonong dia keluar, meninggalkan Tia
yang masih terpinga-pinga.
Keluar dari dewan, Tia dan Wana berjalan seiringan
ke arah bas universiti yang sedia menunggu. Melabuh duduk,
sementara menanti bas tersebut bergerak. Tia menyelongkar
isi beg sandang putih yang dibawanya. Telefon pintar
kepunyaannya yang sama warna dengan beg tersebut dicapai
dan mobile data dibuka.
Ada notifikasi WhatsApp. Tanpa bertangguh dia
membuka aplikasi tersebut dan mula membaca.
Adik nampak comel hari ni.
Spontan Tia menilik diri sendiri. Dia memakai
baju kurung berwarna biru firus berbunga tulip coklat dan
kuning. Tudung pula tudung bawal berwarna biru cair. Apa
yang comelnya?
Comel? Abang salah orang kut ni...
Tidak sampai seminit, satu lagi mesej WhatsApp
masuk.
Adik ni terlalu comel bagi abang.
“Babe, aku tak fahamlah wei, apa yang comelnya
pakai macam ni?” WhatsApp daripada Mazrik tersebut
ditunjukkan kepada Wana.
Wana tengok skrin telefon sebelum memandangnya
dan ketawa suka.
“Pergilah jumpa dia kali terakhir,” saran Wana
selamba.
“Nak jumpa buat apa?”
“Untuk dapatkan jawapan yang kau nak cari tu.
Melainkan kalau kau nak terima jawapan aku.”
Riak Wana kala ini kelihatan sedikit nakal. Senyuman
lebar masih tak lekang dari bibir gadis itu. Siap kedip-kedip
mata lagi.
“Apa jawapan kau?” Dengan perasaan yang tak
berapa yakin Tia melontar tanya.
“He likes you. Really like,” jawab Wana sambil
mengenyitkan mata.

DALAM HATI berbolak-balik antara ‘ya’ dan ‘tidak’, Tia
akhirnya mengambil keputusan untuk mengikut cadangan
Wana. Itu pun setelah cadangan BBFnya itu mendapat
sokongan yang tak berbelah bahagi daripada Julia. Bukan
hanya setakat menyokong, tetapi Julia berterus-terusan
mengacau, memujuknya sehingga dia berkata ‘ya’.
Jauh di sudut hati, terselit perasaan ragu dengan apa
yang bakal dilakukannya. 24 tahun hidup, belum pernah lagi
dia keluar saja-saja dengan lelaki selain daripada Am. Dengan
Am pun, baru 4 kali mereka keluar berdua sejak berkawan 4
tahun yang lepas. Selebihnya keluar beramai-ramai.
Selesai menunaikan solat maghrib, Tia menyarung
sehelai blaus lengan panjang berwarna merah jambu samar
dan seluar slek berwarna krim yang dipadankan dengan
tudung bawal, juga berwarna krim. Ringkas dan selesa,
mudah untuk dirinya bergerak kerana mereka akan berjumpa
di tempat yang jauh sedikit dari kolej kediamannya.
Tiba di tempat makan yang dijanjikan, Mazrik
sudah sedia menunggunya di situ. Berpenampilan ringkas
dengan jean biru dan baju-T berkolar putih kosong. Dan
entah kenapa, malam ini Tia merasakan yang abangnya itu
kelihatan kacak daripada selalu.
“Okey kita duduk sini?”
Tia angguk. Kawasan kedai makan tersebut biarpun
luas, masih kelihatan sesak dengan pengunjung yang meriah.
Dan kebanyakan yang datang adalah pelajar sepertinya juga.
Hanya segelintir sahaja yang datang dari kawasan luar.
Macam mana dia tahu? Sebab berpasang-pasang
mata kini sedang terarah kepadanya dan Mazrik, seolah-olah
mereka ini alien yang baru turun dari planet Zuhal. Namun
apabila Mazrik menyedari dan membalas renungan mereka,
masing-masing berpakat menunduk kepala.
“Salah tak, apa yang kita buat malam ni, adik?”
Sementara menanti makanan yang diorder sampai, Mazrik
memulakan perbualan. Melihat reaksi orang sekeliling
sebentar tadilah yang menyebabkan dia mengaju soalan
tersebut.
Tia pandang mata Mazrik yang tidak pernah lekang
dengan cermin mata itu. Agak-agaknya bagaimanalah rupa
lelaki itu tanpa cermin mata? Nampak sepetkah? Atau tiada
sebarang beza?
“Maksud abang?” soalan Mazrik dibalas dengan
soalan.
“Yalah... adik dengan abang... kita keluar makan
berdua macam ni... Kak Suria... Am lagi...” Mazrik seperti
tercari-cari ayat untuk dilontarkan.
Namun, itu tidak menghalang Tia untuk faham,
malah dia terlebih faham akan apa yang ingin lelaki itu
sampaikan.
“Adik dan Am belum ada apa-apa ikatan. Bukan
suami, bukan tunang. Jadi adik tak terikat untuk beritahu dia.
Abang pula, Kak Suria tunang abang, jadi dia ada hak untuk
tahu,” tegas Tia membalas, memberikan pendapat tulusnya.
“Tapi abang tak beritahu dia pun perjumpaan kita
ni...”
Tia menyandarkan badan ke kerusi.
“Then, abang bersalahlah kut? Tapi disebabkan
kita jumpa di tempat terbuka yang ramai orang ni... dan tak
melakukan apa-apa yang melampaui batas, it should be okay.
Yang penting, kita tahu hati masing-masing. Hati abang
untuk Kak Suria, adik untuk Am.”
Elok-elok sahaja Tia habis bercakap, seorang pelayan
lelaki datang membawa hidangan. Kuetiau goreng dan ABC
untuk dirinya, manakala nasi ayam dan jus belimbing untuk
Mazrik.
“Abang makan guna tangan boleh tak?”
Soalan Mazrik menyebabkan kening Tia bercantum.
“Boleh aje. Kenapa nak minta izin pula? Bukan
abang makan pakai kaki,” balas Tia jujur. ABC disua ke mulut
dengan penuh nikmat. Kuetiau goreng yang turut dipesan
ditolak ke tepi dahulu.
Mazrik bangun dari kerusi dan berjalan ke arah
singki untuk membasuh tangan. Di saat dia kembali duduk,
jelas dia melihat yang Tia masih tekun menikmati ABC.
Langsung tidak memandang ke arahnya yang sudah mula
menyuap makanan.
“Adik malu tak kalau dapat suami macam abang?”
Barulah Tia mengangkat muka. Riak Mazrik yang
serius memberi petanda yang lelaki itu benar-benar ingin
tahu.
“Nak malu kenapa?” Dia menyoal semula.
“Sebab makan guna tangan. Tak pandai guna sudu
garpu...” balas Mazrik tanpa mengalihkan pandangan.
Tia geleng kepala lalu mengukir senyuman.
“Mana ada orang perempuan tetapkan kriteria untuk
jadi suami mesti pandai guna sudu, garpu, pisau semua?
Mengarutlah!”
“Jadi apa kriteria adik untuk pilih suami? Kalau tak
berharta macam abang ni datang masuk meminang, adik
terima tak?”
Tia ketawa.
“Abang ingat adik ni jenis yang materialistik ke?”
“Jadi, adik akan terimalah?”
Nafas dihela perlahan. Wajah Mazrik dipandang
lembut.
“Kita kena jadi realistik. Kalau ada lelaki yang ikhlas
datang meminang adik tapi dia tak berharta, adik akan bagi dia
peluang selama 6 bulan untuk dia buktikan diri dia, adik nak
tengok usaha dia menyimpan duit. Bukannya mengharapkan
jumlah simpanan yang banyak, tapi apa yang adik nak tengok,
pandai tak dia berusaha untuk mencari nafkah hidup. Itu
yang penting. Bagi adik, orang rajin, sikit-sikit lama-lama jadi
bukit. Orang malas, emas setinggi gunung pun boleh habis.”
“Jadi, abang boleh datang masuk meminanglah ni?”
tanya Mazrik lagi.
Tia menggeleng kepala.
“Untuk kes abang, in your dreams. Abang dah ada
tunang yang menanti,” tukasnya selamba sebelum menarik
pinggan yang berisi kuetiau. Dengan lafaz Bismillah, dia
memulakan suapan pertama.
“Kalaulah kita jumpa lebih awal...”
Terlalu perlahan suara Mazrik mengungkap patah
tersebut, namun masih dapat ditangkap oleh telinga Tia.

SEHELAI DEMI sehelai pakaian dipindahkan dari dalam
almari ke dalam luggage. Barang-barang yang ada hampir
90 peratus siap dikemaskan, hanya tinggal sehelai dua
pakaian dan peralatan mandi untuk diuruskan. Segala bahan
pembelajaran seperti buku-buku rujukan dan kertas-kertas
projek telah selamat dimasukkan ke dalam kotak dan diletak
di tepi katil. Esok bila ayah dan ma datang, dah boleh terus
angkut ke dalam kereta. Tak adalah mereka membuang masa
untuk menunggunya berkemas.
“Esok parents kau datang pukul berapa?” Julia masuk
ke bilik dengan membawa dua buah kotak saiz sederhana.
“Pagi, insya-Allah. Ma aku cakap dia gerak dari
rumah lepas subuh. Kau?”
“Ayah aku call tadi, dia cakap diaorang dah ada kat
Bukit Merah. ”
Tanpa bicara lagi, Julia mula berkemas. Sekejap
sahaja, dua kotak yang dibawanya tadi telah penuh.
“Kau ada kotak lebih tak?”
Melihat Tia menggeleng, Julia bangkit dari katil.
“Aku pergi cari kotak kejap.” Dia memberitahu tanpa
dipinta.
Sedang Tia sibuk menarik helaian tudung yang
tergantung di belakang pintu, telefonnya di dalam poket
seluar berbunyi. Pantas dia ambil dan tekap telefon ke telinga
tanpa melihat nama pemanggil.
“Helo.”
“Buat apa, adik?”
Nafas dihela perlahan. Mazrik.
“Tengah kemas barang.” Telefon dikepit antara bahu
dan telinga.
“Mesti banyak, kan? Nak abang tolong?”
“Tak apa, dah nak siap. Kotak terakhir dah pun.”
“Berapa kotak semua?”
“6.”
“Biar abang tolong angkat esok.” Mazrik terus
menawarkan diri.
“Tak payah kut. Sebab kotak kecil-kecil aje, ramai
ada tolong nanti.” Tia menolak dengan sopan. Mahu Hajah
Ruhani memuntahkan seribu soalan kalau tengok ada lelaki
asing tiba-tiba baik hati jadi tukang angkat barang.
Mazrik senyap.
Tangan Tia yang tadinya lincah mengemas langsung
berhenti bergerak. Hati kecilnya mengatakan ada sesuatu
yang tak kena dengan lelaki di hujung sana.
“Abang... are you okay?” soalnya perlahan. Manalah
tahu kalau-kalau Mazrik boleh terlelap tanpa sengaja.
“Adik...”
“Ya?” Tangan Tia kembali bergerak apabila Mazrik
bersuara semula.
“Kalaulah kita jumpa lebih awal...”

UMP DITINGGALKAN tanpa ucapan selamat tinggal kepada
si abang. Entah kenapa, frasa ‘kalaulah kita jumpa lebih awal’
yang terbit dari bibir lelaki itu begitu menakutkan Tia. Tia
tidak tahu sebabnya, tetapi dia tidak suka. Terasa seolah-olah
akan berlaku sesuatu yang tidak diingini dan dia tidak mahu
begitu. Sebab itu, bersungguh-sungguh dia memujuk Haji
Alis untuk bergerak awal. Dengan alasan dia mahu singgah
ke banyak tempat dan tidak mahu terlewat.
Selepas Exora merah milik Haji Alis selamat
melepasi pintu pagar utama UMP, barulah Tia berani untuk
menghantar WhatsApp kepada Mazrik mengucapkan selamat
tinggal. Dan seperti jangkaannya, Mazrik langsung tidak
membalas. Mungkin marah atau bengang di atas kedegilannya
tidak mahu membenarkan lelaki itu menolong buat kali yang
terakhir. Biarkan. Dia tidak peduli.
“Kita balik rumah opah dulu tau, dik. Opah nak buat
kenduri sikit.”
“Berapa lama?”
“Tiga empat hari macam tu.”
“Kak Ara?” Tia bertanyakan perihal satu-satunya
kakak yang dia ada.
“Kak Ara dah gerak balik sana dulu. Tu yang dia tak
ikut ke sini.”
“Oh, okey.”
Tia terbayangkan raut wajah Hajah Zainab yang
dipanggil opah. Satu-satunya nenek yang dia masih ada.
Rumah opah di Ulu Tiram, hanya selang beberapa buah rumah
dari rumah Wana. Dia dan Wana sebenarnya sekampung,
namun tiada seorang pun kawan-kawan mereka di UMP yang
maklum akan hal tersebut. Yang mereka tahu, dia dan Wana
rapat walaupun tinggal di kolej kediaman yang berbeza.
“Alah ma, kalau tahu nak balik Johor tadi, baik ajak
Wana balik sekali. Kesian dia balik naik bas.” Tia menyuarakan
isi hatinya yang baru terlintas dalam fikiran.
“Pak Cik Li jemput dialah hari ni.”
“Serius ma?”
Hajah Ruhani mengangguk.
“Wana tak cakap ke?”
“Wana kata dia naik bas.”
“Saja nak usik kamulah tu. Dari bulan lepas lagi Pak
Cik Li dah cakap nak jemput dia,” sampuk Haji Alis.
Raut Wana yang sentiasa happy go lucky terlintas
dalam fikiran.
‘Siap kau bila jumpa nanti, saja buat aku susah hati,
kan!’ hati Tia berdesis.
“Adik, nak singgah Cameron Highlands dulu tak?”
“Err... tak lambat ke nanti?”
“Singgah sekejap aje. Beli strawberi dan sayur. Sayur
tu boleh masak untuk kenduri nanti.”
Laju Tia mengangguk. Penat memerah otak untuk
peperiksaan akhir, bagus juga kalau dapat berjalan-jalan
walaupun sekejap. Boleh release tension.
Masuk sahaja ke gerai pertama di Kea Farm, hujan
turun selebat-lebatnya. Terperangkap dengan keadaan
tersebut dan tidak boleh hendak ke mana-mana, Tia membeli
satu bekas kecil strawberi untuk dimakan sementara
menanti Hajah Ruhani selesai membeli sayur-sayuran.
Tanpa menghiraukan keadaan sekeliling, selamba sahaja dia
menyuap sebiji demi sebiji strawberi dalam keadaan berdiri,
dengan mata ralit memerhati tingkah ibu kesayangan
memilih sayuran.
Namun vibrate dari dalam beg mengganggu
konsentrasi Tia. Segera zip beg dibuka dan telefon ditarik
keluar.
Adik, hujan tengah lebat ni. Cakap
kat ayah, hati-hati memandu.
Hampir sahaja Tia tersedak apabila membaca
pesanan tersebut. Ingatkan lelaki itu marah dengannya
kerana melarikan diri dari UMP begitu sahaja, rupa-rupanya
tidak. Malah siap menghantar pesanan khas untuk ayahnya,
seperti dah kenal lama.
Okey.
Tidak tahu mahu membalas apa, akhirnya itu sahaja
yang dibalasnya. Lalu telefon disumbat semula ke dalam beg.
Adik kat mana?
TIA YANG baru sahaja selesai mandi spontan mengukir
senyum. Nampaknya Mazrik masih rajin menghubungi. Tanpa
sedar, penat yang sedari tadi membebani rasa menghilang
pergi. Laju jari-jarinya menaip pesanan balas.
Dah sampai rumah opah kat Ulu
Tiram. Why?
Satu lagi mesej WhatsApp masuk.
Abang risau fikirkan keadaan adik
malam-malam ni.
Tia mula dihimpit rasa pelik. ‘Risau?’ Dia taip lagi.
Nak risau apa? Adik dengan ayah
dan ma ni.
Hampir 2 minit baru WhatsAppnya berbalas.
Maaflah... abang memang macam ni
dengan orang yang abang sayang.
Senyuman Tia melebar membaca ayat tersebut.
Seronok rasanya apabila ada abang yang penyayang.
Berbaring di atas tilam kekabu jahitan Hajah
Zainab, fikiran Tia melayang lagi. Secara jujurnya, tingkah
Mazrik benar-benar di luar jangkaannya. Perhatian dan sikap
mengambil berat lelaki itu kadangkala keterlaluan macamlah
dirinya ini adik kandung lelaki itu.
Tetapi jika dia mempunyai abang kandung seperti
Mazrik, dialah adik perempuan yang paling bahagia di dunia.
Sering dimanjakan, rasa sentiasa dilindungi. Beruntung
benar adik-adiknya yang 5 orang itu dan betapa bertuahnya
Kak Suria setelah menjadi isterinya nanti.
Dalam Tia larut melayan fikiran, Hajah Zainab
tiba-tiba datang menyergah si cucu.
“Senyum sorang-sorang! Dapat mesej daripada
Amlah tu...”
“Taklah opah, bukan Am.” Jujur Tia membalas.
Dahi Hajah Zainab berlapis.
“Kalau bukan Am, siapa?”
“Abang.”
“Abang mana?”
Tia menarik nafas dalam-dalam sebelum bercerita
secara ringkas tentang Mazrik. Namun dia hairan apabila
Hajah Zainab menggeleng-gelengkan kepala.
“Kenapa opah?”
“Opah nak tanya ni... apa hubungan Rissa dengan
Mazrik tu sebenarnya?”
“Hubungan abang dan adiklah. Dah beza pun 5
tahun opah,” jelas Tia.
“Ya ke setakat abang dan adik?”
Tia jadi keliru dengan soalan tersebut. Wajah Hajah
Zainab dipandang lama.
“Apa mesej yang dia hantar tadi?” soal Hajah Zainab
lagi.
Tanpa berbolak-balik Tia menunjukkan transkrip
perbualannya dengan Mazrik.
“Rissa, opah tak rasa dia anggap Rissa macam adik.”
“Opah, kan dia panggil Rissa ni adik. Lagipun dia dah
tunang, dah nak kahwin pun.”
Hajah Zainab tersenyum.
“Hati-hati cu, hati manusia ni suka berteka-teki.”
Bahu Tia ditepuk lembut sebelum berlalu.

KENDURI KESYUKURAN berjalan dengan lancar. Orang
kampung yang datang kini beransur-ansur pulang. Wana yang
turut hadir sibuk membantu mengemas dulang makanan dan
pinggan kotor.
“Konon naik bas, kan? Buat muka sedih. Saja nak
buat aku risau.”
Wana sengih dengan selaran Tia. Dia sendiri sudah
terlupa kenapa dia membohongi gadis itu.
“Padan muka kau. Aku tak belikan pun strawberi
yang kau suka sangat tu. Siapa suruh kau tipu aku?”
Menolak dulang ke tepi, tubuh Tia ditarik rapat.
Kejap Wana memeluk tubuh langsing itu, erat dia mengikat.
Sedikit pun tidak dilepaskan.
“Weh babe, apa peluk-peluk ni? Lepaslah!”
Semakin kuat dia memeluk Tia. Sengaja dicium-cium
pipi yang bersih tanpa sebarang noda itu.
“Apa cium-cium pula ni? Gelilah! Lepaslah wei...
Hailah, habis ternoda pipi aku!”
Wana mahu gelak namun ditahan.
“Selagi kau tak cakap ada strawberi untuk aku, selagi
tu aku tak nak lepas.”
“Orang tengoklah wei!”
“Biarlah orang tengok. Aku tengah tunjukkan cara
best friend berkasih sayang...”
“Eeeiiii, yalah, yalah! Ada dalam peti sejuk tu!”
“Mmmuaahhh, sayang kau!” Sempat pipi Tia dicium
untuk kali terakhir sebelum dilepaskan.
“Nasib baik aku fikirkan kau ni anak Pak Cik Rosli.
Kalau tak, memang siap kau aku kerjakan!”
Wana hanya ketawa mengekek. Dia kenal Tia, dia tahu
gadis itu hanya bercakap, tidak benar-benar memaksudkan
kata-katanya.
“Kau balik KL bila?”
“Selangor.” Tia membetulkan.
“Tak kisahlah Selangor ke KL ke, sama aje... lebih
kurang. Bila?”
“Esok.”
“Esok? Tinggallah sini dulu weh. Kita relaks-relaks
dulu.”
Tia menimbang tara.
“Aku nak cari kerja.”
“Kita cari dari sinilah. Sekarang semuanya apply
online. Bila dapat panggilan interviu nanti, kita baliklah
sana,” usul Wana penuh semangat.
“Kau ikut aku?”
“Yalah, kan aku dah janji dengan kau, nak sama-sama
kerja kat KL.”
Tia cari kelibat Hajah Ruhani dengan anak matanya.
Nampak sahaja, segera dia mendekati.
“Ma, nak tinggal sini dengan opah sementara dapat
kerja, boleh? Please...”
“Hari tu kata tak sabar balik sebab rindu kat Bobby?
Siap suruh ayah bawa Bobby dalam kereta.”
Mata Tia melihat Bobby yang sedang bermain di
celah langsir. Bobby, kucing jantan yang sangat disayanginya;
yang comel dan pandai mengambil hati si tuan.
“Biarlah Bobby tinggal kat sini dengan Rissa. Rissa
jaga dia.”
“Bobby tak biasa sangat dengan kawasan sini. Kalau
dia hilang macam mana?”
“Taklah, nanti Rissa perhatikanlah dia betul-betul.
Rissa bawa dia tidur sekali dengan Rissa.”
“Hmm... tanya ayah.”
Tia melonjak suka. Haji Alis mesti bersetuju punya.
Ayahnya itu, jarang sekali membantah keinginannya.

Mazrik's Signorina - Bab 6

BIBIR menceber. Nafas diatur supaya tenang
seritma namun masih jua ia menderu laju. Minda sepenuh
sedar dipujuk supaya kekal di paras alfa namun tetap juga
celaru. Selain menunggu, ini lagi satu kepantangannya.
Sungguhlah benteng kesabarannya lagi nipis daripada papan
plywood. Tengok orang depan yang macam tak ada perasaan,
lagilah otak rasa bagai nak gila.
Hesy! Dengan mood yang ke laut, Tia hantukkan
kepala ke atas meja.
“Kenapa monyok ni?” tegur Mazrik tenang.
“Budak-budak inilah! Boleh pula memonteng
discussion serentak. Setakat kita dua orang nak buat apa?”
“Then, tak payah discusslah. Jom kita borak-borak,”
usul Mazrik.
“Biar betul abang ni?” Tia kecilkan mata. “Hari
ni final discussion tau. Lusa abang dah nak kena present
semuanya depan Dr. Nazmi.”
“Jangan risau pasal tu. Hari ni kita tak payah nak
sesak kepala fikir pasal presentation. Hari ni kita buat sesi
‘free n easy’.” Mazrik ukir senyum.
“Baik adik balik tidur,” balas Tia sambil menutup
mata. Pukul 2.30 petang macam ni, memang banyaklah
syaitan yang bergayut pada bulu mata. Nak-nak perut tengah
kenyang.
“Eh, jangan. Kalau nak tidur, tidur kat sini aje.”
“Habis tu, takkan abang nak ngadap adik tidur?”
“Apa salahnya? Bukan tak pernah pun, kan?” balas
Mazrik sambil tersengih.
Tia diam tidak mahu mengiakan. Namun dalam
hati dia mengaku yang kata-kata jejaka itu benar. Memang
dia pernah tidur atas meja perpustakaan depan Mazrik masa
group discussion. Malah dia pernah menjerit, menangis dan
membebel macam nenek kebayan depan lelaki itu. Paling
best, dia pernah sepak Mazrik juga. Dalam masa yang singkat,
memang dah banyak sangat dia terlepas laku di hadapan
Mazrik. Betul-betul dia jadi diri sendiri. Sedangkan apabila
dengan Am pun dia banyak cover ayu sopan.
“Daripada abang ngadap adik tidur, baik abang balik
kolej kediaman abang, buat benda yang lagi berfaedah,”
sarannya kepada Mazrik.
“Adik tidur. Abang buatlah pelan presentation kat
sini sampai adik bangun,” balas Mazrik mudah.
“Tak naklah.” Tia angkat kepala dari meja. “Jom
borak!”
Senyuman Mazrik melebar.
“Am sihat?” Dia hulur soalan pertama. Saja merisik
khabar berita tanpa niat apa-apa. Kali terakhir yang dia tahu,
kes curang Am-Erin-Tia telah selesai. Selesai macam mana,
dia tidak tahu. Adiknya ini cuma beritahu yang case was
closed.
“Back to his ‘chipsmore ways’. Dah seminggu dia
senyap.”
“Macam mana kalau ditakdirkan jodoh adik bukan
dengan Am?”
“Kenapa tiba-tiba abang tanya soalan tu?”
“Random.”
“Kalau dah tak ada jodoh, terpaksalah reda.”
“Jadi adik akan lupakan Am?”
Tia terdiam. Tidak mungkin dia dapat melupakan
Am setelah bertahun-tahun menyulam rasa.
“Will you?” Sekali lagi Mazrik bertanya.
“Urmm... kalau memang ditakdirkan jodoh adik
bukan dengan dia, nak tak nak, kenalah terima. Usaha jadi
isteri sebaiknya walaupun Am tetap ada dalam hati.”
“Tapi adilkah untuk suami adik nanti?”
“Adik akan berusaha untuk suami merasa adil. Hati
adik ni, biar adik aje yang rasa, orang lain tak perlu nak selam.
Meh, giliran adik tanya abang!”
“Apa dia?”
“Kak Suria sihat?”
“Alhamdulillah, sihat.”
“Bila abang nak kahwin dengan dia? Bertunang dah
lama, kan?”
“Dah 3 tahun.” Tenang Mazrik menjawab.
“Lama tu! Ada gambar dia tak?”
Mazrik mengeluarkan telefon bimbitnya lalu
membuka folder gambar.
“Cantiknya Kak Suria...” Tia puji ikhlas. Hatinya
menjadi suka melihat gambar-gambar yang ada. Suria
yang putih gebu, dan ada lesung pipit di sebelah kiri yang
menambah manis.
“Mana abang jumpa Kak Suria ni? Pandai abang
pilih.”
“Abang kenal dia sejak kami kecil. Dia sekampung
dengan atuk abang.”
“Oh...”
“Bulan depan birthday Kak Suria.”
Kata-kata Mazrik buat Tia teringat sesuatu.
“Hari ni berapa hari bulan? Laju dia menyoal.
“15 Disember. Kenapa?"
“Esok birthday adik. Patutlah rasa macam ada
missed something.” Tia dah tersengih.
Tanpa basa-basi, Mazrik mengetuk dahi Tia dengan
pen di tangannya.
“Adoi, sakitlah abang! Ada cop kat dahi ni ke tulis
‘sila ketuk saya’?” Tia mengusap dahi sambil berlari ke arah
cermin yang tergantung di dinding kafeteria. Setelah pasti
tiada kesan merah atau lebam, dia kembali menghampiri
meja.
“Adik nak naik biliklah. Tak nak kawan abang sebab
ketuk dahi adik,” ucap Tia sambil mengemas fail di atas meja.
Bukan merajuk pun, tapi dia dah sakit perut sebenarnya.
Sebelum kantoi mengeluarkan gas busuk, baik dia cabut
dulu.
Tanpa pamitan, selamba dia meninggalkan Mazrik
terkulat-kulat. Mazrik nak merajuk? Tak ada maknanya. Dan
kalau merajuk pun, ada dia kisah?
Sekembalinya dari tandas, pesanan WhatsApp
daripada Mazrik sedia menanti.
Esok jumpa kat bawah kolej adik
pukul 10 pagi.
Dahi Tia jadi berlapis. Esok Ahad kut? Hari untuk
golek-golek atas katil. Dengan malas, dia menaip kata-kata
balasan.
Nak buat apa?
Dalam beberapa saat, mesej WhatsAppnya berbalas.
Ada benda abang nak bagi.
Terus dia balas ‘Ok’ sebelum menarik bantal
kesayangan.
Tuan puteri ingin beradu untuk seketika sebelum
masuknya waktu solat asar. Untung-untung dapat mimpi
berjumpa putera raja selepas tak ada jodoh dengan Am. Eh?
Ahad, 9.45 pagi...

TUBUH TIA masih pegun bersila di atas katil dengan selimut
yang membungkus tubuh. Tiada mood untuk bergerak ke
mana-mana walaupun hari ini hari lahirnya. Hendak turun
katil untuk duduk di atas lantai pun terasa malas.
Julia yang masih lena di katil sebelah dipandang
penuh rasa cemburu. Selepas solat subuh tadi, mereka
sama-sama berlumba mahu menganyam mimpi namun
matanya tidak mampu lelap. Puas diarah untuk lena tetapi
deria yang satu itu tidak mahu menurut kata. Terkebil-kebil
dia seorang diri, macam-macam gaya yang dia buat dengan
harapan akan tertidur namun sebaliknya, matanya menjadi
semakin terang. Mahu dikejut Julia untuk menemani diri
yang kebosanan, dia tidak sampai hati. Raut Julia tampak
begitu keletihan.
Terasa vibrate di bawah bantal. Dengan malas tangan
dipanjangkan untuk mencapai si gadget putih.
Abang on the way ke kolej adik ni.
Jumpa kat kafe.
Bulat matanya membaca pesanan tersebut. Alamak,
Mazrik! Macam mana dia boleh terlupa?
Keluhan panjang terlepas lagi. Sungguh dia tengah
tak ada mood untuk bergerak. Kalau dia buat bodoh aje dan
pura-pura amnesia pagi ni aci tak?
Tarik nafas, hembus nafas... tarik nafas, hembus
nafas... tarik, hembus... Ligat otaknya memikirkan jalan
keluar.
“Kau dah kenapa macam kucing hilang anak ni?”
Kus semangat! Nyaris dia tergolek ke lantai kerana
terkejut yang teramat sangat. Entah bila Julia bangun,
tiba-tiba aje dah ada betul-betul depan mata dengan rambut
yang tengah megah menggerbang.
“Ju...” Tangan melekap pada dada, tindakan spontan
mahu melindungi jantung daripada gugur.
“Kau kenapa ni Rissa? Duduk dalam gelap, macam
orang tengah menurun nak seru puteri ulik mayang.”
“Sastera sangat tu untuk budak MBA...”
Julia tersengih. Selimut yang masih membaluti
tubuh dikemaskan lilitannya.
“Hujan baru berhenti ke? Sejuk semacam, syok aku
tidur.”
“Dah tu yang tiba-tiba bangun kenapa?”
“Aku ingat nak perlahankan kipas sebab sejuk
sangat. Bangkit-bangkit, tengok kau tengah macam tak betul
atas katil ni. Kau apasal? Tunggu Am call ke?”
Tia geleng.
“Taklah.”
“Dah tu?”
Terasa vibrate sekali lagi. Laju tangan menyentuh
skrin.
Abang dah sampai.
Ditekap muka dengan bantal melepas perasaan.
Malasnya nak bangun... malas, malas, malas!
“Rissa, kau okey tak ni?”
Dialihkan bantal yang menutupi muka. Wajah Julia
dipandang penuh mengharap.
“Ju, kau rajin tak nak wakilkan aku?”
“Wakilkan kau? Untuk?”
“Aku patutnya jumpa Mazrik kat bawah pagi ni,
tapi aku betul-betul tengah tak ada mood. Boleh tak Ju, kau
tolong aku? Kau tolong cakap kat Mazrik yang aku tak dapat
jumpa dia sebab tak sihat.”
“Aku ni mandi pun tak lagi. Dengan rambut yang
tengah kembang macam ni...”
“Aku tahu... dan aku minta maaf. Tak apalah, aku
WhatsApp dia beritahu yang aku tak dapat jumpa dia. Sorry
susahkan kau.”
Tangan mula menyentuh keypad.
“Pukul berapa dia nak jumpa kau?”
“Sekarang.”
“Sekarang???”
“Yalah, dia dah ada kat bawah.”
“Kejap. Kau WhatsApp kat dia suruh tunggu.”
Seperti lipas kudung Julia berlari ke bilik air. Tidak
sampai 5 minit, dia kembali semula ke dalam bilik.
“Dah WhatsApp dah?
“Dah.”
“Dia balas apa.”
“Dia kata take your time.” Tia tunjuk skrin telefon
bimbit. “Dia tak tahu bukan aku yang turun.”
Tergesa-gesa Julia menyalin baju yang lebih sopan.
Rambut diikat ala kadar dan tudung instant disarung
tergesa-gesa sambil melangkah meninggalkan bilik. Kalau
tidak kerana room-mate yang disayangi, tak ingin dia
menyerah diri dalam keadaan semua ciri keayuannya hilang.
Depan lelaki yang jadi eye candynya selama ini pula tu! Jatuh
saham!
Tia yang menanti di dalam bilik, masih kekal di atas
katil mengira detik masa yang berlalu. Mahu lihat selama
mana Mazrik akan berbual dengan Julia di bawah. Kalau lama,
mesti sempat mengumpat pasal dirinya. Kalau sekejap...
Julia kembali muncul di muka pintu bilik. Biar
betul? Tak sampai 5 minit pun!
“Ju?”
“Ni, Mazrik minta aku bagi kat kau.”
Julia menghulurkan sebuah kotak cantik yang tidak
perlu dibalut.
“Mazrik cakap dia dah agak yang kau takkan jumpa
dia.” Kali ini Julia dah senyum-senyum.
“Dia faham betul fiil kau, kan?”
“Tak adalah.” Laju Tia menafikan. “Dia dah boleh
agak sebab aku turun lambat kut...”
“Dia boleh agak, dan dia relaks aje. Sikit pun tak
melenting tadi walhal aku rasa dia memang dah beritahu kau
awal-awal yang dia nak jumpa, kan? Bukan dia terjah datang
sini sesuka hati, tapi kau aje yang buat perangai tak nak
jumpa dia, betul tak?”
“Thanks, Ju. Nanti aku belanja lunch.” Provokasi
Julia tidak dibalas. Sebaliknya, kotak pemberian Mazrik
dibawa ke atas riba dan dibuka penutupnya.
Tanpa sedar, bibir Tia mengukir senyum. Ada sarung
kecil untuk menyimpan telefon bimbit yang diperbuat
daripada kain baldu berwarna biru dan juga sekeping kad
ucapan bersaiz sederhana yang cantik. Perlahan dia membuka
kad tersebut.
Adik,
Selamat Hari Lahir yang ke... (Abang lupa).
Kehadiran adik membawa seribu makna
buat abang. Abang doakan adik berjaya
dunia dan akhirat. Dah berjaya, jangan
lupakan orang tua yang membesarkan
adik.
Kalau sudi, jangan lupakan abang sampai
bila-bila.
-Mazrik Hakimuddin-
Tia rasa sangat terharu. Walaupun bukan pemberian
yang mewah, hati perempuannya tahu yang Mazrik ikhlas
memberi. Nekad, terus dia menelefon lelaki itu.
“Malam ni jumpa pukul 8 kat sini. No excuse.”
Itu sahaja yang diperkatakannya sebelum memutuskan
panggilan. Langsung tidak memberi peluang untuk Mazrik
memberikan jawapan.
“Macam itulah kawan aku. Belajar menghargai
orang yang tahu menghargai kita, okey?” ucap Julia bersama
senyuman sebelum menarik dirinya supaya berdiri.
“Bangun, pergi mandi. Aku dah lapar ni. Tadi kau
kata nak belanja aku lunch, kan?”
“Baru pukul 10.”
“Time lunch aku pukul 11.”
“Esoklah, boleh? Malas nak bangun.”
“No, no, no. Bangun sekarang. Abang Mazrik dah
bagi hadiah pun tak ada semangat lagi?”
“Ju!”
“Dah, dah. Bangun!” Ditolak tubuh Tia ke arah bilik
air. Sebelum itu sempat diselitkan tuala mandi ke leher gadis
itu.
Hilang bayang Tia, Julia simpul senyum.
‘Saya tahu dia tak ada mood tapi tolong
pastikan dia tak skip makan ya.’
Terngiang-ngiang pesanan Mazrik di telinganya.
How sweet! Sayangnya, lelaki itu sudah bertunang.

“ABANG, THANKS a lot. Really appreciate your present to
me.”
Mazrik hanya mengangguk. Mereka kini berada
di hadapan pejabat kolej kediaman Tia. Dia sedang berdiri
manakala Tia duduk di atas kerusi batu. Lampu jalan
menerangi tempat mereka berada.
“Dah sihat dah? Tadi room-mate cakap adik tak
sihat.” Mazrik memandang tubuh Tia sekali lalu. Gadis itu
turun menemuinya dengan sweater yang membalut tubuh.
Nampak comel di mata lelakinya.
Tia yang mendengar, menggaru kepala. Tidak pasti
sama ada Mazrik sedang menyindirnya atau betul-betul mahu
tahu. Tapi memikirkan yang lelaki itu telah masak dengan
perangainya, sudahnya dia melempar senyum.
“Sorry. Tak ada mood tadi.” Dia berterus terang.
“Sekarang mood dah okey dah?”
Soalan Mazrik dibalas dengan anggukan.
“Am bagi adik apa?”
“Am?” Soalan yang menghantar rasa perit ke hati.
Wajah Mazrik dipandang tawar. “Tak ada apa-apa. Dia terlupa
kut.”
“Lupa? Hari lahir buah hati sendiri pun boleh lupa?”
Suara Mazrik naik sedikit.
“Dia call tak?” soalnya lagi.
Tia berasa semakin malu. Perlahan kepala
digelengkan sebelum menunduk.
“Dia busy agaknya.”
Tidak pernah terlintas dalam hati perempuannya
yang Mazrik akan mengamuk. Tahu-tahu sahaja lelaki itu
sudah menumbuk kuat permukaan meja batu di hadapan
mereka.
“Abang!” Tia mengurut dada sendiri yang terperanjat.
Tangan Mazrik yang menumbuk meja diperhatikan, risau jika
berdarah. “Kenapa tiba-tiba abang tumbuk meja batu ni? Tak
sakit ke?” Teragak-agak dia menyoal. Sungguh! Tak pernah
dia melihat Mazrik baran seperti tadi. Hilang sifat tenang
yang jejaka itu pamerkan selama ini.
“Hati abang ni lagi sakit sekarang ni. Kalaulah abang
dapat jumpa Am tu...” Mazrik melurut rambutnya yang dah
sedikit panjang.
“Abang nak buat apa kalau jumpa dia?”
Tia mula rasa tidak sedap hati. Janganlah kedua-dua
lelaki ini bergaduh disebabkan dirinya.
“Abang nak tanya, dia serius ke tak dengan adik?Kalau
dia jawab tak, dia patut lepaskan adik.”
“Tapi abang...” Tia telan liur yang terasa pahit.
“Sepanjang kami berkawan selama 4 tahun, Am memang tak
pernah ingat. Tapi, bila dia nak bagi something, dia akan bagi
juga tak kira masa.”
Tia berharap penjelasan tersebut dapat menyejukkan
hati lelaki di hadapannya ini. Sungguh dia seriau melihat
Mazrik yang selama ini cool tiba-tiba mengamuk.
“Being busy is not an excuse, girl.” Mazrik tenung
wajah Tia dalam-dalam. “It's just a matter of priority.”

MAZRIK HEMPASKAN tubuh ke atas tilam. Tangan yang
sedikit membengkak diusap perlahan. Sesakit tangannya
menumbuk meja batu, sakit lagi hati lelakinya.
Tia Clarissa... Gadis itu terlalu baik untuk
diperlakukan seperti itu. Lelaki yang bernama Am itu
memang nak kena agaknya!
“Aku benganglah dengan si Am tu.”
“Am?”
Mazrik angguk.
“Tia Clarissa's guy?”
Mazrik angguk untuk kali kedua. Sebelum ini
dia memang ada bercerita kepada Hadi tentang Tia yang
in-a-relationship.
“Kenapa dengan dia?”
“Cuba cakap terus terang apa dia nak sebenarnya.”
“Aku tak faham.” Hadi letak pen atas meja.
“Maksud aku, dia dengan Rissa tu... patutnya dia
terus terang akan hala hubungan diaorang tu instead of main
tarik tali macam ni. Terus terang kan senang?”
“Apa yang senang?”
“Yalah, kan elok dia terus terang kalau dia tak serius
dengan adik aku tu. Senang aku nak...” Mazrik tercari-cari
perkataan yang sesuai.
“Senang untuk kau apa?” Hadi jongket kening.
“Urmm... senanglah untuk aku tolong apa yang
patut, adik aku tu bro...”
“Adik? Bukan adik tiri kau pun, apatah lagi adik
kandung. Korang berdua tak ada pertalian darah langsung,
nil, zero!”
“Wohoooo, relaks brother! Yang nada kau tiba-tiba
menaik ni apasal?” Mazrik tarik seruling di atas meja.
Sahabat rapat selama bertahun-tahun merangkap teman
sebilik sepanjang 2 tahun pengajian master dipandang tepat.
“Jangan main api, bro.” Hadi sambung semula
aktiviti menconteng test pad.
“Maksud kau?”
“Kau tu tunang Suria sejak 3 tahun lepas kalau kau
terlupa.”

TIA RENUNG Mazrik yang langsung tidak memandangnya.
Dua minggu, jejaka itu senyap tanpa khabar berita. Dan
bersemuka saat ini pun, sebab dia yang berusaha mencari
jejak.
“Abang pergi mana 2 minggu ni?”
“Ada aje tak ke mana-mana.”
“But I heard no news from you.”
“Should there be?”
Tia mengeluh. Siapa cakap lelaki ni simple dan tak
complicated?
“Ni, nota untuk abang.” Dibuang perasaan sebal yang
bermukim. Beberapa helai kertas ditolak ke depan Mazrik.
“Rumoured questions, skema jawapan dan
topik-topik penting dalam slaid Dr. Nazmi. Explanation
semua dah ada kat situ.”
“Okey.”
Tia bengang. Cakap okey tapi kepala duk pandang
pada jari-jemari sendiri yang sedang rancak melarikan pen.
Sedikit pun tidak peduli dengan apa yang dia cakap.
“Abang!” Dijerit sesopan yang boleh. Kalau tidak
dikawal suaranya, mahu dia dihalau keluar dari perpustakaan.
“Ya...”
“Dengar tak orang cakap ni?”
“Dengar.” Mazrik sahut sambil lewa.
“Eeeiiii, geram betul dia ni tau!” Tia kepal penumbuk
sendiri mencari kesabaran. “Dahlah 2 minggu hilang,
WhatsApp semua tak berbalas! Ni orang share tips untuk final
exam pun buat tak tahu aje, langsung tak ambil peduli. Orang
punya risau kat dia, dia langsung tak kisah!” Turun naik dada
Tia menahan marah.
“Care about me so much?” Mazrik silang tangan ke
dada, menatap wajah Tia untuk kali pertama.
“Of course I do! Abang kan abang adik!”
Mazrik bersandar dan mengangguk.
“Ya, Tia Clarissa adik Mazrik Hakimuddin.” Raut
yang tadinya serius terus berubah wajah. Satu senyuman
diukir untuk si gadis. “Mana tips tu? Yang ni ya? Explain kat
abang satu per satu boleh?”
Tia terlongo sesaat. Dalam sekelip mata lelaki di
hadapannya ini boleh berubah? Daripada sejuk beku serius
tanpa perasaan kepada penuh perhatian seperti sebelumnya.
Her ‘abang’ is back!
“Adik dah habis ulang kaji ke?” soal Mazrik seusai Tia
terangkan semua tips-tips yang dibawanya.
“Adik study sikit aje. Hafal slaid Dr. Nazmi yang
simple tu, baca buku rujukan sekali lalu. Tak ada buat nota
sendiri pun. Lepas tu cari jawapan untuk soalan spot.”
Mazrik senyum dan menggeleng.
“Kenapa abang?”
“Betullah room-mate abang cakap, adik ni top
student, dean's list.”
“Ala... dean's list aje, bukan four flat pun.”