DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 11 December 2017

Mama Ekspres - Bab 8

KHALISH resah. Pertama kali manjanya pengsan
waktu tengah makan. Nasib baik waktu itu tidak kunyah
makanan. Kalau tidak, tak pasal-pasal dia kena buat CPR free.
“Macam mana bang? Felisy tak apa-apa, kan?”
Khalish terus bertanya bila Ryzal keluar dari ruang rawatan.
Ryzal menggeleng. Dalam menggeleng ada senyum.
Perangai adik dia ni bila selalu lambat makan. Bila lambat
makan, itu yang buat perut sakit.
“Tak,” jawab Ryzal sepatah dengan muka selambanya.
“Maksudnya?” Khalish kerut kening.
“Dia okey,” jawab Ryzal ringkas.
Sengaja dia lambat-lambat menyebut perkataan
okey. Dan sengaja dia nak tengok muka teman lelaki adik dia
ni kecut ke tidak.
Perlahan-lahan Khalish melepaskan nafas lega.
Boleh bertukar jadi Trojan dia kalau dapat tahu Felisy sakit
disebabkannya. Memang dia kena banyak belajar jadi sabar
lagi lepas ni.
“Wekk...” Tiba-tiba Felisy muntah.
Berderau jantung Khalish sesaat. Mata dia bulat
memandang bayang-bayang Felisy di sebalik langsir. Apa
kena dengan buah hati dia ni? Takkan dia cakap pasal hal nak
kahwin tadi boleh sampai termuntah begitu? Teruk sangat ke
permintaan dia tadi?
Sorotan mata Ryzal pula beralih pada Khalish. Dia
mula tidak sedap hati tengok muka Khalish. Mana pernah
berlaku kes adik dia muntah lepas balik jumpa lelaki. Ini
pertama kali. Jangan-jangan adik dia dah kena guna-guna
dengan Khalish. Hati Ryzal dah fikir yang bukan-bukan.
“Kau bawa adik aku pergi mana tadi?”
“Hmm... saya bawa dia pergi makan,” beritahu
Khalish perlahan.
“Hotel?” Kening Ryzal terangkat sebelah.
Laju Khalish menggeleng. “Restoran biasa.”
“Lepas makan, pergi mana?”
“Kami makan sikit aje tadi. Tak sempat nak habiskan,
tiba-tiba Felisy pengsan.” Khalish mula gelabah. Mata Ryzal
tiba-tiba membesar macam nak telan dia bulat-bulat.
Ryzal bangun. Mata masih tak lari dari memandang
mata Khalish. Dia tanya lain, budak ni jawab lain. Apa hal?
Dah buat salah ke? Sebelah punggung mendarat di atas meja
sendiri.
“Soalan abang, lepas makan kau orang pergi mana?”
Ryzal pandang muka Khalish depan-depan.
“Ka... kami terus datang sini. Tak pergi mana-mana,”
jawab Khalish.
Dahi dah berpeluh. Mengalahkan nak jawab soalan
tok kadi pula. Tapi... kenapa Ryzal tanya dia macam dia ni
suspek utama pula? Dia bukan tak faham soalan Ryzal tadi.
Tapi kerana Felisy, dia ikutkan sajalah menjawab. Nanti Ryzal
fikir dia ni tak beradab pula.
Ryzal mengangguk. Dia kenalah tunjuk muka poyo
campur garang sikit. Biar budak lelaki depan dia ni kecut
perut nak jawab. Kalau dia bohong, memang ringan kaki dan
tangan dia naik nanti. Jangan nak cuba guna-gunakan adik
dia.
“Wekk... wekk!” Felisy muntah lagi.
Khalish tidak sedap hati. Laju dia bangun dengan
niat nak membantu Felisy.
“Eh... kau duduk sini. Biar abang tengok dia.” Ryzal
angkat tangan memberi arahan.
Khalish terkebil-kebil. Kalau tadi hati dia rasa tak
tenteram, tapi kali ni hati dia rasa nak meletup! Arahan Ryzal
buat dia degil nak tahu. Risau benar dia dengan keadaan
Felisy. Panjang leher dia menjenguk.
“Adik okey tak?”
Felisy mengangguk. Tangan naik memicit-micit
dahi. Pening kepala dia.
“Itulah, biarkan lagi perut tu masuk angin. Kan ke
dah gastrik. Suka sangat buat abang risau,” leter Ryzal.
“Sikit aje. Kejap lagi eloklah ni.” Felisy tersandar ke
dinding.
Rasa nak rebah semula pun ada. Tapi, nasib baik
abang dia pegang. Felisy lentokkan kepalanya di bahu Ryzal.
“Elok apa kalau dah sampai muntah-muntah macam
ni. Tengok ni. Nak berdiri pun tak larat. Ni nak rehat dulu ke
atau nak terus balik?”
“Adik terus baliklah. Kepala pening. Nak baring.”
“Yalah. Kalau jadi lagi macam ni, jangan cakap abang
tak ingatkan adik. Lepas ni tak payah tahan-tahan makan.
Makan aje berapa banyak nak makan. Biar besar macam teddy
bear ni pun abang tak peduli. Janji jangan kena macam ni
lagi.” Ryzal sambung membebel. Ini bukan hal remeh, jadi
memang dia tak bagi peluang langsung si adik menjawab.
Felisy tarik muka.
“Dah, simpan muka jeruk tu. Gastrik ni bahaya
tahu tak? Boleh melarat kalau tak jaga elok-elok. Balik nanti
jangan lupa makan ubat.”
“Adik tahulah. Pagi tadi adik lupa sarapan.”
“Itu alasan. Baik adik cakap adik tak suka makan.
Kan senang nak bagi abang faham,” tukas Ryzal.
Kalau dengan dia, tak payah nak kelentong cap Ping
Pong. Ini bukan kali pertama Felisy kena gastrik. Bulan ni
saja dah tiga kali dia kena gastrik. Takut sangat badan gebu tu
gemuk mendadak.
“Jom abang hantar balik.” Ryzal memaut lengan
Felisy.
“Eh, tak payahlah. Adik boleh balik sendiri.” Felisy
menolak tangan Ryzal.
Mana boleh tunjuk yang dia lemah depan abang
sendiri. Kalau tadi dia dah kena bebel, silap-silap di dalam
kereta pun dia kena bebel lagi. Tak nak! Perit telinga dia nak
dengar.
“Dengan budak tu?” bisik Ryzal. Bukan dia tak
nampak mata Khalish asyik merenung sedari tadi.
“Khalish,” beritahu Felisy.
“Boleh percaya ke?”
“Abang!” marah Felisy.
Memang Ryzal sengaja nak buat dia pening. Bukan
abangnya itu tak pernah jumpa atau tak pernah nampak
Khalish hantar dia balik sebelum ni. Saja nak cari pasal!
“Okey. Terus balik, jangan nak merayap ke
mana-mana. Kalau dia tak hantar adik sampai depan rumah,
abang cari dia.”
“Yalah... abang janganlah risau.”
Langsir diselak. Nampak saja muka Khalish, Felisy
terkemut-kemut beri senyuman. Tak naklah nanti Khalish
syak yang ada pesanan rahsia di antara dia dua beradik.
Ryzal papah Felisy.
“Felisy, awak okey?” tanya Khalish, prihatin dan
risau.
“Felisy okey. Kau tak payah risau. Yang aku risau...
adik aku ni boleh sampai rumah ke tidak bila kau hantar dia
balik?” tanya Ryzal dengan selamba dan muka tak bersalah
dia tu.
“Abang! Kenapa cakap macam tu?” Felisy cubit
lengan Ryzal. Entah apa-apa soalan abang dia ni.
“Insya-Allah, saya hantar adik abang balik sampai
depan pintu rumah. Jangan risau, saya tak akan bawa dia lari
ke mana-mana.” Tenang Khalish bagi jawapan.
Soalan nak buat muka dia merah padam, rasanya itu
belum mengena lagi. Dia tahu maksud sebenar Ryzal. Lelaki
ini memang suka tanya soalan menduga.
“Yang pasti, faham! Ni, satu lagi. Tahu tak bawa anak
dara orang keluar tak minta izin tu salah. Boleh menimbulkan
fitnah.”
“Abang! Felisy yang ajak dia keluarlah, bukan dia
yang ajak Felisy keluar.” Felisy ketap gigi menahan geram.
Hinggap lagi cubitan ke lengan Ryzal. Tapi kali ini lebih kuat.
“Biarlah dia jawab,” balas Ryzal, selamba.
Khalish masih boleh senyum. Kalau orang tak
sabar, memang dah melenting dah. Tapi untuk apa dia nak
melenting? Memang betul soalan itu dia kena jawab. Jadi,
tadah sajalah telinga mendengar soalan begitu.
“Saya minta maaf, bang. Saya tahu itu salah. Berdosa
hukumnya keluar berdua-dua tanpa ada ikatan yang sah.
Tapi insya-Allah, buat masa ni saya masih mampu jaga batas
pergaulan saya dengan Felisy.”
“Baguslah kalau kau dah tahu. Tapi, aku lebih
suka kalau kau ada niat ikhlas untuk jadikan hubungan ini
hubungan yang halal.”
Khalish tersenyum lebar. Wajah Felisy dipandang
penuh semangat. Kalau abang dah bagi lampu hijau mana
boleh dia tangguh-tangguh.
“Ya, saya memang ada niat nak halalkan hubungan
ni secepat mungkin. Dan hujung minggu ni saya akan hantar
rombongan meminang.”
Terlopong mulut Ryzal sekejap. Dia saja acah-acah
Khalish, tengok berani ke tidak menjawab apa yang dia
katakana tadi. Rupanya budak ni tak takut sahut cabaran dia.
“Kau dah fikir masak-masak?”
“Memang dah lama saya fikirkan hal ni. Cuma Felisy
saja yang belum buat keputusan bila pihak keluarga saya
boleh berjumpa dengan keluarga abang.”
Tiba-tiba Ryzal menarik bahu Khalish.
“Kalau dia belum buat keputusan, kau kena bagi dia
masa. Orang perempuan ni tak suka lelaki gelojoh. Jadi...
tolong sabar ya.” Ryzal angkat kening sebelah.
Felisy kerut muka. Laju lengan Ryzal ditarik. Boleh
pula abang dia main bisik-bisik dengan Khalish. Kalau tadi
bukan main lagi tak puas hati tengok Khalish dekat situ. Ini
tiba-tiba boleh ketawa-ketawa. Mesti mengumpat pasal dia.
“Yalah bang. Saya sanggup tunggu.”
“Baguslah kalau begitu. Abang harap ini bukan cuma
cakap kosong saja. Buktikan yang kau betul-betul cintakan
Felisy.”
Membulat mata Felisy mendengar kata-kata Ryzal.
Abang dia setuju kalau dia kahwin dengan Khalish? Kata tak
suka. Macam mana pula tu?
Hilang saja kelibat Khalish dan Felisy, Ryzal memicit
dahi sendiri. Apa hal mulut dia cakap bukan-bukan tadi? Dia
tak suka Khalish, tapi boleh pula cabar budak tu meminang
adik sendiri. Adess!

No comments:

Post a Comment