DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 12 December 2017

Mazrik's Signorina - Bab 4

TIA pandang termos yang dihulur Mazrik.
“Balik bilik sekarang, buat air panas dan masukkan
dalam termos ni. Isi penuh-penuh.”
“Err... nak buat apa?”
“Abang nak minumlah.”
“Air apa?”
“Tak kisahlah apa-apa. Teh O ke, Milo ke, Nescafe
ke... as long as not coffee. Abang tak boleh minum kopi.”
“Sekarang?”
“Ya, sekarang.”
Sedikit terpaksa, Tia menapak semula ke blok
biliknya. Memijak satu demi satu anak tangga dengan
perasaan malas. Entah mimpi apa Mazrik semalam. Tak ada
angin tak ada ribut, tiba-tiba memintanya buatkan air. Hesy,
nasib ‘abang’!
Lebih kurang 15 minit kemudian, dia turun ke
kafeteria semula. Membawa termos yang dah penuh berisi.
“Nah.”
Tanpa duduk, dia terus berlalu kaunter makanan.
Melihat Wana dan Alan yang sedang menyuap hidangan
tengah hari, seleranya turut terbuka.
“Belikan abang nasi sekali.”
Langkahnya mati.
“Ambil duit ni, belikan nasi abang sekali.” Mazrik
tolak dua keping not RM5. Mata tetap melekat pada skrin
komputer riba.
“Mana adik tahu abang nak lauk apa.”
“Abang makan aje apa-apa, tak ada pantang larang.
Ambil kuah, sayur dan sumber protein satu. Cukup. Air
jangan lupa belikan sekali.”
‘Air? Habis yang dia bancuh bagi penuh satu termos
tu nak buat apa?’
Hati Tia mula ingin protes, namun dia tiada mood
untuk berbalah. Lambat-lambat, duit atas meja diambil.
Perasaan sebal yang mula bermukim cuba disingkirkan.
Tak apa, ‘abang’. Anggap sahajalah dia sedang berbuat ihsan
walaupun yang tukang suruh sihat walafiat.
“Dik, nak air apa?”
“Ais kosong satu, Milo ais satu.”
Tia menyenduk nasi untuk pinggan pertama. Kata
Mazrik tadi, nak kuah, sayur dan protein. Dia ambil ayam
berempah seketul, sayur kailan goreng dan curah kuah gulai
kuning. Nampak sambal tauhu campur ikan bilis, dia ambil
sikit. Siap. Dia tak tahu selera lelaki itu, jadi dia ambil lauk
yang digemarinya.
Pinggan kedua untuk dirinya, hanya sepotong ikan
tenggiri masak asam pedas dan kuahnya. Semuanya sebab
seleranya yang tadi terbuka tiba-tiba hilang.
Letak dulang makanan di atas meja, kaki dibawa
ke singki untuk membasuh tangan. Sekembalinya ke meja,
dia terkejut melihat Mazrik sedang menyuap nasi yang
berlaukkan asam pedas. Nasi kepunyaannya!
“Tu adik punyalah. Kan dah cakap tadi...”
“Abang nak makan ikan hari ni, tak nak ayam.”
“Tadi masa suruh belikan kenapa tak cakap
terang-terang?”
Mazrik tidak membalas sebaliknya terus tenang
menyuap.
“Habis tu siapa nak makan yang ni?”
“Siapa lagi kat meja ni yang belum makan? Abang,
Alan dan Wana tengah makan.”
Alan sengih. Wana mengangguk-angguk dengan
mulut sibuk mengunyah makanan.
“Abang, it’s unfair...” tukas Tia menahan geram.
“Adil dah ni. Abang makan sepinggan, adik makan
sepinggan. Bukannya adik kena makan dua-dua pinggan.”
Dalam memberontak, Tia melabuh duduk. Namun
masih tidak menyentuh makanan dalam pinggan.
“Tak baik membazir. Allah dah bagi rezeki depan
mata. Kalau Allah tarik balik macam mana?”
“Tak ada seleralah.”
“Makan perlahan-lahan. Kami tunggu sini, temankan
adik makan sampai habis.”
“Betul tu, Rissa. Makanlah. Saya dan Wana tunggu
sini sampai awak habis makan.”
“Alan, tak nak tolong saya makan separuh ke?”
“No, no. I had enough already. Tak naklah buncit,
nanti amoi-amoi di universiti ni tak suka sama saya.”
Tia tersenyum tawar. Sempat lagi buat lawak apek ni!

“ABANG NAK buat apa ni?” Bulat mata Tia melihat bakul
baju yang dikeluarkan dari dalam kereta. Entah kereta siapa
yang Mazrik pinjam dan bawa ke kolej kediamannya.
“Ni semua baju kotor. Tolong basuh. Mesin basuh kat
kolej abang rosak.”
“Tapi...”
“Kalau yang kemeja dan seluar slek tu tolong gosok
sekali ya. Tapi jangan lama sangat ambil masa. Kalau boleh,
dalam 3 hari dah siap semua. Nanti abang datang ambil.
Thanks.”
Mazrik meloloskan tubuh ke dalam kereta semula.
“Abang, kejap.” Tia tahan pintu kereta daripada
tertutup.
“Abang nak cepat ni, ada miting.”
“No, talk to me first. Or I won’t let you go.”
Mazrik angkat tangan mengalah.
“Okey, cakaplah.”
“Semalam abang suruh adik pulangkan 10 buah
buku ke perpustakaan. Dengan buku kawan-kawan abang
sekali adik kena pulangkan. Bukan nipis-nipis punya buku!
Tahu tak macam mana payahnya nak angkut 10 buah buku
tebal tu? The day before, abang suruh adik belikan lunch tapi
lepas tu abang suka-suka hati tukar pinggan kita. Dan hari ni,
abang suruh adik basuh baju kotor abang satu bakul. Fine! 2
hari sebelum ni adik tak kisah. But not today and my answer
is no! Adik tak nak basuh.”
Mazrik jongket bahu.
“Kalau tak larat, hantar dobi ajelah baju-baju abang
tu,” balasnya tenang.
“No! Ni bukan isu basuh guna tangan atau hantar
dobi. No means adik tak nak buat. Adik bukan hamba abang
and I won’t allow you to this to me.”
“Jadi adik tak nak buatlah?”
“No. No. No! Never!” jerit Tia dengan perasaan
geram. Mazrik ingat dia ni patung cendana ke yang lelaki itu
boleh arah apa sahaja?
“Okay, good.”
Eh? Tia melihat Mazrik keluar semula dari kereta.
Melangkah ke arah bakul baju dan memasukkannya kembali
ke dalam kereta.
“Dah seminggu, kan? You should recover now.”
“Tak faham.”
Mazrik bergerak ke tempat pemandu. Berdiri di sisi
pintu kereta yang terbuka.
“Sejak Am kemalangan, you are not you. Murung,
tak bersemangat. Sebab tu abang sengaja cari pasal dengan
adik dua tiga hari ni, nak bagi adik marah. Sebab bila adik dah
boleh marah, maknanya adik dah fully recovered daripada
kesedihan tu. And now you’ve back to normal, jadi abang dah
tak ada sebab untuk buli adik lagi.”
“Err...”
“Am ada contact tak dalam seminggu ni?”
Melihat gelengan Tia, Mazrik tarik nafas panjang.
“Tak apa, tak payah sedih. Orang putih kata, no news
is good news. Jadi, senyum. Lagi dua tiga hari, dia contactlah
tu. You trust him, right?”
Tia angguk.
“Tu dah lebih daripada cukup. Abang balik dulu.
Jumpa next week masa kelas.”
“GERAMNYA AKU!”
Senyap.
“Babe!!!”
“Ya...”
“Kau dengar tak aku cakap ni?”
“Dengar.”
“Habis tu senyap aje?”
“Dah kau tu kepala batu sangat...”
Wana ketawa dua saat kemudian. Wajah cemberut si
teman kelihatan begitu lucu di matanya.
“Aku tak kira, aku nak balas dendam juga.”
“Okey.”
“Kau jangan beritahu Mazrik.”
“Banyak lagi kerja lain aku nak buat selain mengadu
kat dia.”
Tia tersenyum penuh makna. ‘Siap abang!’
MATA MAZRIK melilau ke sekeliling.
“Mana Rissa?”
“Lepas habis kelas tadi, dia suruh Wana jalan dulu.
Katanya ada hal. Sekejap lagi sampailah kut.”
“Call dia boleh? Tanya kat mana, nak join ke tidak
discussion hari ni.”
Wana tekap permukaan telefon ke telinga.
“Weh, kat mana? Nak join ke tak discussion?”
Senyap.
“Okey, okey...”
Senyap.
“Yalah. Siapa lagi.”
Senyap.
“Okeylah, bye.”
Letak sahaja telefon, wajah Mazrik yang setia
menanti dipandang.
“Rissa kata mula dulu. Dia datang tapi lewat sikit.”
“Okey, kita mula dulu. Boleh tunjuk pada saya
progress presentation masing-masing?”
‘LEWAT SIKIT’ Tia merangkap ke 1 jam. Tenang dia menapak
ke meja yang sedang diduduki oleh Mazrik, Wana, Alan dan
Swee Lin.
“Sorry lambat sikit,” sapanya sebelum tarik kerusi.
“Sampai mana dah korang bincang?”
“Babe, apasal kau lambat sangat? Satu jam kut!”
bisik Wana.
“Aku ada hallah.”
“Hal apa?”
“Adalah.”
“Kita orang baru update progress slaid
masing-masing,” suara Mazrik menyebabkan Wana tidak
sempat untuk membalas. “Can I have yours?”
“Kejap.”
Mazrik memerhati Tia yang menyelongkar beg.
Tidak organized seperti selalu.
“Tadi pergi mana? Jumpa lecturer?” soalnya lembut.
“Taklah, lepak makan aiskrim.”
Mata Wana membulat mendengar jawapan tersebut.
Makan aiskrim? Laju dia menggerakkan rahang mahu
bersuara, namun Mazrik terlebih dahulu memberi isyarat,
memintanya supaya tidak meneruskan niat.
“Ala... tak jumpalah pendrive, tak tahu mana
perginya. Bagi printed version boleh tak?”
“Boleh. Lagi senang abang nak semak.” Mazrik
angguk.
“Kejap.”
Tia buka zip lagi satu. Segulung kertas ditarik keluar
dan diletakkan ke atas meja.
“Nah.”
“Apa tu babe?” Suara Wana terlepas juga. Dah buang
tabiat ke apa budak dekan buat perangai begini?
“Slaid presentation akulah.”
“Ni?”
“Yalah. Aku sempat print semalam.”
“Tapi apa hal sampai bergulung macam ni?”
“Dah masuk dalam beg memanglah macam tu.
Takkan kau expect hasil dia macam baru lepas keluar dari
printer?”
“It’s okay, Wana. Janji saya boleh baca.”
Mazrik capai kertas di atas meja yang bergulung
seperti skrol. Dibuka cermat dan digulung ke arah berlawanan
sebelum dibentang di atas meja. Tidak mempedulikan riak
Wana yang tak puas hati dan raut Swee Lin yang sedikit
tercengang, sebatang pensel diambil dan slaid yang tercetak
di atas kertas diteliti satu per satu.
“Eh, hauslah pula tekak. Nak pergi beli airlah. Abang
nak air?” Tia bertanya sopan.
“Boleh juga.”
“Aku nak juga babe.”
“Kirim salam. Kau nak, pergi beli sendiri. Tak kuasa
aku nak entertain. Swee Lin, Alan, want some drinks?”
“Boleh juga. Nah, duit.” Alan keluarkan dompetnya
dan hulur sekeping not merah.
“Alan, belanja saya?”
“Yalah, amoi.”
Swee Lin sengih.
“Thank you gege! Rissa, saya nak Neslo ya.”
“Eh amoi, demand nampak?”
“Tak boleh ke? Tak apalah kalau tak boleh. Rissa, saya
tak nak air ya.”
Alan sengih. Mata kembali tertancap ke arah Tia.
“Habiskanlah duit tu Rissa, belikan air untuk semua
orang. Kalau tak cukup baru you top up.”
“Alright, thanks.”
Bersama senyuman yang menguntum, Tia
melangkah ke kaunter minuman. Siap minuman yang
dipesan, bibirnya mengukir senyuman lebar. Berhati-hati dia
menatang dulang yang berisi 5 biji gelas itu.
“Nah, Alan. Untuk you dan Swee Lin, air Neslo. Kau
Wana, air sirap bandung kegemaran kau.”
“Thank you babe. Ni yang aku sayang kau!”
“Ni air aku.” Gelas barli ais dikeluarkan dari dulang.
“Dan ni air abang. Kopi O ais.” Dengan muka
selamba, gelas jernih berisi kopi O hitam pekat ditolak ke
depan Mazrik.
“Bukan Mazrik tak minum kopi ke?” Kening Wana
hampir bercantum. Rasanya dia mula memahami apa yang
sedang Tia cuba lakukan.
“Tak apa, saya boleh minum.” Satu senyuman
dihadiahkan kepada Tia. “Tak apa, adik. Abang boleh minum
air ni.”
“Tapi sebelum ni awak ada cakap yang awak tak boleh
minum kopi, kan?”
“Betullah. Saya rasa pun saya ada dengar. Rissa,
tukarlah air ni,” gesa Alan.
“It’s okay guys, air kopi aje. Tak mati pun kalau saya
minum.”
Tia duduk. Tetap tayang wajah selamba tanpa
menghiraukan mata Wana, Alan dan Swee Lin yang sedang
merenung.
“Adik, ni salah eja ni.” Mazrik bulatkan beberapa
perkataan dengan pensel di tangannya. “Abang tanda kat sini,
nanti balik betulkan ya.”
“Malaslah. Apa kata abang aje yang betulkan? Nanti
orang e-mel kat abang soft copy.”
Mazrik letak pensel atas meja. Mata meratah wajah
Tia, menghantar renungan lembut.
“Okey.”
“Hah?”
“Abang cakap, okey. Adik e-mel fail tu kat abang,
nanti abang betulkan.” Sama seperti renungannya, suara
yang terlontar juga lembut.
“Ada apa-apa lagi yang adik nak abang buat?”
Tia pandang Wana, Swee Lin dan Alan yang hanya
memerhati.
“Nak balik!”
“YA ALLAH stresnya aku! Sikit pun dia tak marah!”
Wana ketawa.
“Nak buat dia marah tapi last-last aku yang marah!”
Ketawa Wana bertambah besar.
“Kau gelak kenapa?”
“Babe, niat kau tak baik. Macam mana nak
termakbul? Dah tu, orang yang kau target tu pula memang
setenang-tenang manusia. Bukan yang jenis cepat melatah
atau sentap. Jangan kata nak marah, tergugat sikit pun tak.”
Tia garu kepala yang tak gatal.
“So, macam mana sekarang? Masih nak balas
dendam?”
“Macam mana apa? Macam tu ajelah. Kau sendiri
yang cakap susah nak jentik emosi dia, kan? Tak nak aku
membazir tenaga buat kerja yang sia-sia.”
Tawa Wana meledak.
“Kau gelaklah lagi!”
“Akhirnya kau sedar yang kau buat tu kerja yang
sia-sia, kan?”
“Babe!”
Wana sambung ketawa.
“Kau ni asyik menangkan Mazrik aje...” Tia berjauh
hati.
“Aku bukannya menangkan dialah.”
“Dah tu, apa?”
“Rissa, kata Dr. H. M. Tuah Iskandar dalam salah satu
buku dia, jika nampak air tenang kita patut lebih berhati-hati
sebab dalam air tenang macam-macam boleh terjadi. Tapi
kalau nampak orang tenang kita patut dekati, sebab dalam
diri orang tenang ada emas untuk digali. Dr. Tuah kata, orang
yang tenang ni biasanya penuh berilmu, warak dan lunak,
dan kalau kita dampingi, insya-Allah sesuatu yang berharga
pasti kita akan perolehi. Jadi cuba kau ambil positive side.
Mana tahu, daripada dia kau boleh belajar bagaimana untuk
jadi seorang yang lebih relaks, tenang dan tak cepat melatah
macam sekarang ni?”
“Kau kalau tak perli aku tak sah, kan?”
“Macam tak biasa! Tapi tu yang buat kau sayang kat
aku. Kan? Kan? Kan?”
Tia bulatkan anak mata. Namun tidak lama kemudian
tawanya bersatu dengan tawa Wana.

“HAI, BUAT apa?”
Tia panggung kepala. Mazrik. Spontan senyuman
diukir untuk jejaka itu.
“Tawarlah. Where is the sweet smile?”
Usikan tidak bersambut. Perlahan, Mazrik
mengambil tempat di sebelah si gadis.
Untuk seketika, suasana menjadi hening tanpa
sebarang butir bicara.
“Abang...”
“Ya.”
“Maaf, pagi tadi tak datang group discussion.”
“Kenapa tak datang?”
Soalan Mazrik dibiarkan sepi.
“Cuba cerita pada abang masalah adik tu. Mana tahu
abang boleh tolong?”
Tia kerling sekilas.
“You’re not Superman.”
Mazrik ketawa.
“Yeah, abang bukan Superman. Tapi bukan
Superman aje yang tahu selesaikan masalah, kan? Lagipun
kalau Superman tu betul-betul terror, tak adalah dia pakai
seluar kecik kat luar.”
Tia mahu ketawa, namun cuba ditahan.
“Tak ada masalah yang tak boleh diselesaikan, dik.”
Tia diam. Memikirkan kewajaran untuk berkongsi
cerita.
“Wana kata adik bukan jenis yang suka tuang kuliah
atau group discussion. Jadi apa yang merunsingkan kepala
adik sampai pecah rekod hari ni?”
Tia tarik nafas dalam-dalam.
“Adik join Kelab Teater.”
“Abang tahu. Adik Kelab Teater, Wana Kelab
Fotografi. Satu-satunya program kat U ni yang memisahkan
adik dengan Wana.”
“Kelab Teater ni tengah ada masalah serius.”
“Iaitu?”
Tia buka zip beg di atas ribanya. Mengambil sekeping
sampul putih lalu dihulur kepada Mazrik.
“Untuk abang?”
“Bukalah.”
Mazrik keluarkan isi sampul. Sekeping daun kering
berbentuk empat segi tepat dengan tepinya yang berbakar. Di
atas permukaan daun pula, tertulis beberapa baris perkataan
dengan dakwat warna merah dan biru. Di bahagian bawah,
tertulis frasa... ‘Dalam perang mana ada yang elok-elok...’
Tampak sungguh kreatif.
“Kelab kami buat projek Malam Teater Inflakasta.
Adik AJK bahagian jemputan, so ini kad jemputan yang adik
buat.”
“Cantik dan kreatif,” puji Mazrik ikhlas. “Idea adik
sendiri?”
Tia angguk.
“Pengarah Projek suruh masukkan caption ‘dalam
perang mana ada yang elok-elok...’ dalam kad jemputan dan
tak nak kad jemputan yang biasa. Mula-mula tu tak ada idea
langsung nak buat macam mana. One day, masa jalan kaki
balik kolej, nampak daun-daun tengah rancak gugur dari
pokok dan kat atas rumput tu banyak daun-daun kering.
Terus terfikir yang daun kering tu sesuai dengan caption yang
Pengarah Projek suruh letak. Ambil terus beberapa keping,
bawa balik kolej, try test gunting jadi empat segi, bakar
bahagian tepi dengan ubat nyamuk dan tulis guna marker
pen. Tengok-tengok macam okey, tu yang nekad buat macam
tu.”
“Mesti Pengarah Projek suka.”
“Tak juga. I mean, ya... dia suka. Tapi sekejap
aje sebelum masalah sekarang ni timbul.” Keluhan Tia
kedengaran sarat.
“Sebagai AJK Jemputan, adik ingatkan
tanggungjawab adik cuma sediakan kad jemputan dan uruskan
RSVP untuk para VIP. Adik mati-mati ingat AJK Promosi yang
bertanggungjawab untuk tarik crowd. Tapi malam tadi masa
miting diaorang cakap adik kena handle RSVP untuk semua.
Pementasan malam lusa, tapi yang confirm datang sekarang
ni tak sampai 50 orang pun. It’s a big failure, abang. Sekarang
ni semua AJK tuding jari pada adik.”
“Berapa target audience?”
“400 orang.” Suara Tia semakin perlahan. “Kalau
dapat 300 orang pun dah okey sangat-sangat, tapi ni 50 orang
aje.”
“Kad jemputan ni ada lagi?”
“Tinggal 10 keping aje. Yang lain adik dah bagi pada
dekan-dekan, pensyarah-pensyarah dan staf fakulti.”
Mazrik angguk.
“Bagi abang yang 10 keping tu.”

MENANGIS. ITU yang Tia rasa seperti mahu lakukan
sekarang. Melihat batang tubuh yang tidak henti-henti
masuk ke dalam dewan pementasan, hatinya dilanda perasaan
gembira yang bukan sedikit.
‘Alhamdulillah, terima kasih ya Allah...’ Berkali-kali
dia mengungkap dalam hati.
“Good job, Rissa.”
Tia pandang empunya suara garau yang memuji.
Zarif, Pengarah Projek Malam Teater Inflakasta sedang
tersenyum memandangnya.
“Terima kasih.” Senyuman plastik dihulur.
Senyuman yang manis menawan memang tiada hati langsung
dia nak beri!
“Kalau macam ni punya sambutan, lepas ni bolehlah
kita buat projek teater lagi.”
Senyuman plastik ditayang untuk kali kedua sebelum
berlalu. Baik dia sambut penonton yang berkunjung daripada
menghadap muka Zarif. Good job konon!
‘Time ada masalah, semua campak kat aku! Nama aje
ketua projek, tapi yang tahunya tuding jari aje. Mimpilah aku
nak join projek kau lagi!’
“Mengomel apa sorang-sorang ni?”
“Errk abang!” Muka cemberut Tia spontan bertukar
manis.
“Dah start ke?”
“Belum lagi. Masuklah.”
Mazrik mara melepasi pintu bersama 2 orang
lelaki lain. Tia hanya memandang mereka sekali lalu sambil
mengangguk tanda hormat sebelum kembali memandang
Mazrik.
“Jom, adik tunjuk tempat.”
Tia bergerak mendahului. Sampai di barisan ketiga
dari depan, Mazrik dipersilakan duduk.
“Wow, Rik! Kita dapat tempat duduk depanlah. VIP
tu...”
Tia tersenyum. Sebelum berlalu, sempat dia berbisik
kepada Mazrik.
“Abang... thank you. I owe you.”
Dan bisikannya hanya dibalas dengan anggukan dan
senyuman Mazrik.
“BABE, WANA kusayang!!!”
“Hah, kau dah kenapa? Terjerit malam-malam dalam
telefon. Buat aku seriau aje...”
“Aku rasa aku macam Cinderella hari ni, kau tahu
tak!”
“Sejak bila kau ada mak dan kakak tiri?”
Tia ketawa.
“Bukan itulah!”
“Habis?”
“Mazrik. Dia betul-betul selamatkan aku malam ni!”
“Kejap. Mazrik selamatkan kau? Kenapa dengan
kau? Kena culik dengan orang jahat ke?”
“Taklah! Hesy kau ni, kata-kata tu doa tau. Ada ke
patut kata aku kena culik?”
“Sebab tu aje yang terlintas dalam fikiran aku bila
kau sebut perkataan ‘selamatkan’ tu. Something yang tak
elok macam kena culik, kena kacau dengan orang jahat ke,
kena... apa-apalah! Yang menyebabkan hero perlu datang
untuk selamatkan heroin.”
“Drama sangatlah kau ni.”
“Dah kau pun guna ayat drama. Aku rasa aku macam
Cinderella. Mazrik. Dia betul-betul selamatkan aku malam
ni!”
Tia ketawa.
“Amboi, aku mengajuk pun tak marah. Selalu tu
sakat sikit dah sentap. Ini sah gembira sungguh ni! Baik
cerita kat aku sekarang, apa yang dah jadi?”
“Kau pun tahu malam ni malam pementasan projek
teater aku tu kan?”
“Yup, tahu. Sorry, aku tak dapat datang sebab
bertembung dengan mesyuarat Kelab Fotografi aku.”
“Kan aku ada cakap 2 hari lepas yang diaorang
semua letakkan kesalahan kat bahu aku bila jumlah RSVP
sikit sangat.”
“Yes, aku ingat lagi.”
“Dan tadi, masa pementasan... Aku tak tahu macam
mana Mazrik buat, tapi penonton yang datang cecah 400
orang malam ni. Kau tahu tak, 2 hari lepas baru ada 50 orang
yang confirm nak datang? Miracle giler weh aku rasa!”
“Macam mana kau tahu Mazrik yang buat semua tu?”
“Sebab dia yang minta kat aku baki kad jemputan
yang tinggal. Ada 10 aje babe aku bagi dia. So, aku memang
tak tahu macam mana dia boleh tarik crowd sampai
beratus-ratus.”
“Kau tak tanya dia?”
“Tanya. Tapi dia senyum aje.”
“Patutlah kau sibuk kata dia selamatkan kau.
Memang dia betul-betul selamatkan kau rupa-rupanya. Kalau
aku kat tempat kau pun aku happy, Rissa.”
“Kan? Selamat aku daripada kemarahan Zarif tu.”
“Mangkuk ayun tu tak cakap apa-apa bila penonton
dah capai target?”
“Cakap. Dia kata good job, Rissa. Kalau macam ni
punya sambutan, lepas ni bolehlah kita orang buat projek
teater lagi.”
“Dasar mangkuk ayun betul!”

No comments:

Post a Comment