DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 11 December 2017

Mama Ekspres - Bab 10

DINI lambat lagi. Kali ini bukan lambat, tapi dah
masuk kategori terlajak lambat. Habislah dia! Akibat buat
janji berdesas-desus, kejap lagi terimalah bebelan si anak
mulut petah tu.
“Sorry papa lambat.” Dini angkat tangan sebaik saja
keluar dari dalam kereta.
Dafi diam. Yang ada muncung flamingo panjang
sedepa. Biar papa dia faham sendiri yang dia dah letih
menunggu lama-lama. Telunjuk mengetuk jam tangan di
depan Dini.
“Okey, papa salah sebab papa lambat lagi. Next
time...”
“Jom balik. Dafi lapar,” pintas Dafi, malas nak dengar
celoteh papa sendiri. Lesu langkah Dafi masuk ke dalam
kereta.
Dini mula rasa bersalah. Beg sandang Dafi diambil.
Kesian anak dia. Tak terniat pun dia nak abaikan anak sendiri
sampai kelaparan.
“Macam mana belajar hari ni? Seronok?”
Soalan biasa seperti selalu. Itu ajelah modal yang dia
ada.
“Biasa aje.” Mendatar suara Dafi menjawab.
Ingatkan papa dia tanya begini: Dafi nak mama
baru? Dafi nak mama cantik ke tak cantik? Mestilah dia nak
yang cantik. Mana boleh tak cantik, kan? Tapi bila? Kalau ada
mama, tak payahlah dia nak tunggu lama-lama macam selalu.
Barulah dia ada semangat.
Dini lempar senyum ke sisi tingkap. Kalau
diperhatikan betul-betul, boleh dililit seperti tali kasut pada
muncung comel Dafi. Nak buat macam mana? Memang
salah dia. Lewat. Tak pernah cepat. Bukan satu atau dua kali,
tapi dah berkali-kali. Dini pun terikut sama buat muncung
panjang.
“Kenapa ni? Merajuk dengan papa ya?”
“Taklah. Geram aje. Papa selalu janji datang awal,
tapi selalu lewat.”
“Alolo... papa minta maaf sangat-sangat sayang. Papa
mengaku ini semua salah papa. Papa kalau boleh memang
nak datang cepat, tapi jam ni selalu dengki dengan papa. Papa
keluar awal pun, dia jadi lambat. Lepas ni, papa cuba datang
a... wal lagi dari ni. Papa janji, untuk putera kesayangan papa
seorang ni.” Dini angkat tangan kiri sambil tersenyum.
“Tak apa, Dafi faham. Papa kan sibuk. Nanti kalau
papa tak kerja siapa nak bagi Dafi makan. Papa kan selalu
cakap macam tu.” Giliran Dafi bagi jawapan. Itulah yang dia
ingat setiap kali papa dia pesan.
Nak cakap apa kalau telinga rasa berbirat dengar
ayat anak sendiri. Dini berhenti memandu. Dia memarkirkan
kereta di bahu jalan. Ya Allah, tidak sekali pun dia berniat
untuk mengabaikan anak sendiri. Dia mengaku, dia memang
terlalu sibuk sampai terleka yang dia ada anak bijak dan
comel macam Dafi. Wajah lesu Dafi dipandang penuh sayang.
“Papa sayang Dafi. Papa tahu selama ni papa sibuk
sampai tak ada masa untuk Dafi. Tapi papa tak ada niat nak
abaikan anak papa sendiri. Semua yang papa buat ni untuk
hidup kita. Tapi papa terlupa, papa ada anak baik macam Dafi.
Papa minta maaf sayang.” Penuh kasih sayang Dini memeluk
Dafi. Kepala kecil si anak diusap lembut.
Tiba-tiba Dini rasa sebak. Wajah Dafi dipandang
sayu. Inilah satu-satu peneman yang dia ada. Tapi... kenapa
dia abaikan permata hatinya itu?
“Papa janji, semua ni sementara aje. Lepas ni tak
akan jadi lagi. Dan papa akan carikan kawan baru untuk Dafi,”
pujuk Dini.
Dafi angkat muka memandang Dini sambil
tersenyum lebar.
“Bagus! Kawan tu mesti perempuan, cantik. Lagi
satu... pandai masak. Kalau boleh mandikan Dafi hari-hari
lagi best. Boleh, kan pa?”
“Hah? Kawan apa namanya tu?” Hilang terus sebak
Dini bila mendengar permintaan si anak. Dahi berkerut
seribu. Bukan tak faham, tapi saja buat-buat tak faham.
Dafi tersentak, terus wajah dikalihkan memandang
ke sisi tingkap. Muncung flamingo mula panjang semula.
Merajuk? Memang Dafi merajuk semula. Dan papa kena ada
cara lain kalau nak pujuk dia kali ni.
“Okey, okey. Papa setuju.” Dini tarik nafas panjang.
Tak setuju pun dia tetap kena jawab setuju. Selebihnya fikir
bila balik rumah nanti.
Laju Dafi menoleh. Yes! Nampaknya ada peluanglah
dia nak buat permintaan. Biar rancangan dia dengan Uncle
Ryzal berjalan lancar sekali gus.
“Tapi ada syarat.”
Dafi senyum pendek.
“Syaratnya, asalkan Dafi tak merajuk macam ni
selalu. Kalau tidak... papa botakkan kepala Dafi.”
“Papa!” Dafi cepat-cepat pegang rambutnya. Mana
adil nak botakkan kepala dia. Tak handsomelah dia kalau tak
ada rambut ala-ala Jimmy Neutron ni.
Terlepas juga ketawa Dini. Tahu pula si anak buat
muka cuak bila dengar nak botakkan kepala. Ikutkan hati,
mahu saja dilambung-lambung Dafi macam bayi. Geram dia
tengok Dafi buat muncung panjang tu.

DENGAN BERHATI-HATI, Ryzal menolak pintu bilik. Bilik
dia bersebelahan dengan bilik Dini jadi, senanglah sekejap dia
ke sana sekejap dia ke sini. Mata melihat sekilas jam tangan.
“Hai, tak keluar ke?” Ryzal menegur dari belakang.
Dini mengurut dadanya. Nasib baik mulut dia tak
keluar ayat latah. Si Ryzal ni suka benar buat dia terkejut.
“Kejap lagi. Nak siapkan sikit kerja ni.”
“Kerja tu bila-bila pun boleh buat, anak tu pentingkan
dulu.” Selamba Ryzal mengingatkan Dini.
Cara Ryzal bercakap tak ubah macam umi dia.
Nampak sangat Ryzal prihatin dengan anak dia.
“Aku ingat tadi memang nak balik awal. Tapi...”
“Anak kau demam ke?” celah Ryzal.
Tak sempat Dini nak habiskan ayat dia. Dia bangun
dan bergerak ke rak kad rawatan pesakit. Satu per satu kad
rawatan pesakit dibelek.
“Taklah. Aku dah janji dengan dia nak balik awal hari
ni. Kau faham-faham ajelah sejak dua menjak ni, dia asyik
merengek aje dengan aku,” cerita Dini.
“Biasalah tu. Budak-budak memang gitu. Merengek
nak macam-macam. Nak mainanlah, nak ajak jalan-jalanlah,
nak manja-manjalah. Dia nak kau lebihkan perhatian pada
dialah tu. Maklumlah... orang tak ada mama. Kau tu sorang.
Bukannya ramai mana pun.” Panjang pula celoteh si Ryzal ni.
Dini cuci tangan. Siap cuci, sehelai tisu ditarik pada
dinding lalu menoleh ke arah Ryzal.
“Itulah yang aku fikirkan sekarang ni. Kau ada
cadangan tak macam mana aku nak carikan mama untuk
dia?” Dini berpeluk dada menunggu jawapan Ryzal.
Ryzal tercengang sebelum tersengih lebar. Ayat yang
sudah lama telinga dia nak dengar. Mukanya terus tunjuk riak
teruja.
“Yes! Tepat sekali firasat aku.” Ryzal melekapkan
penumbuknya di atas meja. Bukan marah, tapi terlebih teruja
mengalahkan orang yang bertanya.
Tergamam Dini. Terkebil-kebil mata dia memandang
Ryzal. Dah kenapa? Dia baru cakap nak cari, belum cakap
dapat lagi.
“Bukan setakat cadangan. Kalau nak terus pun boleh
dapat. Tapi syaratnya, kau kena ikut cakap pakarlah.” Ryzal
menepuk dada dengan rasa bangga.
‘Pakarlah sangat! Diri sendiri pun tunggang terbalik,
ada hati nak jadi pakar.’ Dini menggeleng dengan senyuman.
“Perkara pertama, kau kena jadi lelaki gedik-gedik
ulat bulu. Contoh terdekat macam aku.” Ryzal angkat kening
dengan senyuman nakalnya. Itu rancangan yang sudah lama
ada di dalam otak dia.
“Gedik-gedik macam mana? Aku tak fahamlah. Ayat
kau tu berkias sangat.” Dini kerut dahi tanda tidak faham.
“Itu bukan ayat berkias. Itu ayat pepatah nenek aku.
Dan kau janganlah buat-buat slow. Jangan malukan kawan
sendiri boleh tak? Pengalaman mampu mengajar cara-cara
macam mana nak pikat perempuan. Ikut cara aku. Bila
jumpa perempuan, senyum. Tariklah selebar mana pun yang
kau boleh. Jangan sampai mulut kau terkoyak cukup. Lepas
tu buat-buatlah jatuhkan not seratus. Tengok, perempuan tu
ambil atau perempuan tu pulangkan balik.”
“Kalau dia ambil tapi, tak pulangkan balik?” duga
Dini.
“Kau kejarlah. Lepas tu kau cakap, cik dah curi duit
saya.”
Papp! Dini tepuk dahi sendiri bila mendengar kata
Ryzal. Kerja gila apa yang Ryzal suruh dia buat ni? Mengarut
betul cara memikat si Ryzal ni.
“Tapi kalau kau nak cari, cari yang manis-manis
macam gula kapas. Tak payah nak tinggi servis. Ikut aje
resipi aku,” beritahu Ryzal dengan bersungguh-sungguh.
Siap dengan pakej memek muka dia sebelum menarik kerusi
kemudian duduk.
“Tak naklah aku. Malu,” bantah Dini.
“Malu pula. Dengar, ini resipi turun-temurun dari
arwah nenek aku, turun dekat bapak aku dan sekarang
penyambungnya aku. Kalau kau ikut, gerenti lulus. Tambah
pula Dafi tu makin lama makin besar, makin cerdik. Jadi, kau
memang dah patut ada pengganti sekarang ni. Tak payah nak
tunggu-tunggu. Kau kena berani. Dalam erti kata mudah,
pikat sampai lekat.” Ryzal ketawa kecil selepas menuturkan
ayatnya sendiri.
Dini turut ketawa.
“Pikat sampai lekat konon. Tapi nasib baik kucing
kesayangan dia ada. Adalah kawan dia sementara waktu ni.”
“Hah? Kucing?” Ryzal tercengang sesaat.
“Kau tinggalkan Dafi sorang-sorang?” Buntang mata
Ryzal memandang Dini.
Dini mengangguk.
“Dengan kucing?” tanya Ryzal sekali lagi.
Dini mengangguk lagi. Bezanya kali ini dia pandang
Ryzal yang menggeleng perlahan.
“Ini lagi masalah besar. Kau jangan main-main, Dini.
Nanti anak kau lari rumah siapa nak jawab? Jiwa budak-budak
ni mudah memberontak kalau kau buat-buat tak faham. Dia
nak mama, kau carilah cepat. Anak kau tu perlukan kasih
sayang seorang ibu dan kau perlukan belaian seorang isteri
malam-malam,” bebel Ryzal.
“Hah! Malam-malam?” Dini terkedu dengan muka
tercengangnya.
Cepat-cepat Ryzal menekap mulutnya bila dia
perasan mata Dini bulat memandangnya. Tersilap cakap pula.
“Aa... maksud aku belaian seorang wanita bernama
isteri. Itu yang aku nak cakap. Yang tadi tu tersilap.” Ryzal
sengih. Sengih yang sengaja dibuat-buat.
Dini menggeleng.
“Aku tahu. Tapi... aku takutlah.” Lambat-lambat Dini
membalas.
Meledak ketawa Ryzal tiba-tiba. Bermakna inilah
alasan Dini selama ni. Takut. Berputar-putar isi perut Ryzal
menahan gelak. Pengakuan jujur kawan dia sendiri memang
tak boleh blah. Belum pernah dalam sejarah hidup dia dengar
lelaki takut nak berkahwin. Rupanya kawan sendiri.
“Kau dah sunat ke belum?”
Terjegil mata Dini mendengar soalan Ryzal. Nak perli
dia ke apa? Ringan saja tangannya nak sekeh kepala Ryzal.
“Okay, okay. Calm down. Don’t be afraid. Mata tu
cuba kecilkan sikit. Ingat perempuan ni bila dah kahwin
boleh bertukar jadi Power Ranger ke?”
“Isy... kau ni. Maksud aku, takut tak ada calon yang
sesuai. Kau tahulah perempuan zaman sekarang ni ada
kerjaya, ada pangkat. Mestilah dia nak yang bujang, macho,
sado. Setakat duda beranak satu macam aku ni siapa yang
nak? Kahwin-kahwin terus kena jaga anak.”
“Siapa kata? Kau pernah buat research ke? Ke kau
yang memang takut sebenarnya?” Ryzal ketawa lagi.
“Janganlah gelakkan aku. Malulah kalau orang
dengar,” marah Dini.
Ryzal cuba berhenti ketawa. Merah-merah muka
Dini dia tengok. Nasib baik kat dalam klinik. Kalau dekat luar,
mahunya muka Dini macam udang terbakar.
“Tak sangka aku, rupanya sifat kelelakian kau belum
sampai ke tahap panglima lagi. Ingatkan dah boleh lawan
aku.” Selamba Ryzal berkata-kata.
Dini menjeling tajam Ryzal. Dia mencapai air mineral
di atas meja lalu diteguk perlahan. Rasa malu cuba dikawal
sehabis mungkin. Tapi Ryzal masih lagi dilihat tertawa.


*** AKAN BERADA DIPASARAN UNTUK KELUARAN JANUARI 2018** 

No comments:

Post a Comment