DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 10 December 2017

Lakaran Hati - Bab 1



“KENAPA kita berhenti di sini?” Fida tak sedap
hati. Liar matanya melihat keadaan sekeliling. Tiada satu pun
yang menarik perhatiannya. Hanya deretan kedai. Nazri nak
bawa dia pergi membeli-belah ke?
“Abang nak pergi mana sebenarnya ni?”
“Syyy!” Nazri letak jari telunjuk di bibirnya. Dengan
mata yang terpejam dia menarik nafas dalam-dalam sebelum
tersenyum.
“Fida. Nak jadi isteri abang tak?” soal Nazri sambil
buka mata. Suka melihat muka terkejut Fida.
“Fida salah dengar ke ni?”
Spontan Nazri menjentik hidung Fida. Orang
tengah serius Fida boleh main-main pula. Potong terus mood
romantiknya.
“Aduh, sakitlah! Tak ada tempat lain ke nak jentik?”
Pantas tangan Fida melepuk-lepuk bahu Nazri. Sebelah
tangan lagi menekup hidung. Berair matanya menahan pedih.
“Padan muka! Sejak bila pula jadi pekak? Abang
tengah serius ni Fida main-main pulak.”
“Mana ada main-main. Fida terperanjatlah. Kenapa
tiba-tiba aje ni?” Fida menggosok-gosok hidungnya yang
masih perit.
“Lah, nak kahwin ke tak?” Nazri mengulang soalan.
“Mestilah nak...”
“Apa dia?” Nazri senyum. Akhirnya jawapan yang
ingin didengar keluar juga.
“Ya, ya. Fida nak jadi isteri abang. Jomlah kahwin.
Puas hati?” Muka Fida merah padam. Masih belum hilang
rasa terkejutnya, sekarang terpaksa menahan malu pula. Tak
sangka lelaki itu akan melamar dengan cara begini.
“Alhamdulillah. Terima kasih sayang. Yahoo! Aku
nak kahwin!” Nazri bersorak riang. Mujur tingkap kereta
bertutup. Buat malu saja kalau ada orang dengar.
Fida membuang pandang ke luar tingkap. Malu
belum hilang lagi. Suka pun ya juga. Dah lama sangat dia
menanti lamaran Nazri. Sekarang bolehlah dia menarik nafas
lega. Tak perlu lagi menadah telinga mendengar bebelan
kedua orang tuanya. Yalah, ibu bapa mana yang suka anak
daranya dibawa ke hulur ke hilir tanpa ada ikatan yang sah.
“Oh, patutlah abang bawa Fida ke sini. Nak ajak cari
cincin ya?” Mata Fida terarah ke kedai emas yang berada di
seberang jalan.
“Pandai pun. Jom. Lepas tu kita pergi jumpa mak
dan ayah.”
“Eh, nanti.” Pantas Fida memegang lengan Nazri.
Tak jadi Nazri matikan enjin kereta. Apa lagi yang
tak kena ni?
“Fida ada benda nak beritahu abang ni.”
“Ala... kejap-kejap lagi boleh beritahu. Jom kita cari
cincin dulu.” Nazri beri kata putus. Enjin kereta dimatikan
dan dia terus keluar. Banyak masa lain lagi nak berbual.
Nazri memimpin tangan Fida masuk ke dalam kedai
emas. Tak peduli dengan wajah risau gadis itu.
Sebaik sahaja melihat deretan perhiasan diri yang
berkilau-kilauan, wajah Fida berubah ceria. Terus lupa
perkara yang menghantui fikirannya tadi.
“Sayang pilih dulu. Abang nak tengok cincin di
sebelah sana. Kalau ada yang berkenan nanti beritahu abang.”
Fida hanya terangguk-angguk. Kalau ikutkan hati
semuanya dia berkenan. Wanita dan barang kemas mana
boleh dipisahkan.
‘Eh, macam cincin dia’.
Nazri terpaku. Cincin bermata satu di dalam almari
pameran itu sangat sama dengan cincin seseorang. Seseorang
yang sudah lama dia tinggalkan. Seseorang yang pernah
bertakhta di hatinya pada satu ketika dahulu.
“Miss, saya nak beli cincin yang tu,” ujar Nazri kepada
jurujual yang daripada tadi memerhatikannya dari jauh.
“You tak nak cuba dulu ke?”
Soalan jurujual itu buat Nazri tersedar. Barulah dia
teringatkan Fida dan tujuan asalnya ke mari. Melilau matanya
mencari gadis itu.
“Sayang, sini.” Laju tangannya memanggil Fida. Tak
sabar mahu menyuruh Fida mencuba cincin itu.
“Semuanya cantik-cantiklah. Rambang mata Fida.”
Fida mengambil tempat di sebelah Nazri. Mata masih terarah
pada susunan rantai leher yang dilihatnya tadi.
“Cuba pakai cincin ni. Muat tak?” Nazri terus suakan
cincin yang dipilihnya itu ke jari manis Fida.
“Muatlah!” Nazri separuh menjerit. Teruja melihat
cincin pilihannya tersarung kemas di jari manis Fida.
“Miss, saya ambil yang ini. Berapa ya?” Nazri terus
mengeluarkan dompet.
“Eh, Fida belum tengok betul-betul lagi.”
“Tak payah tengok. Fida pakai apa pun memang dah
cantik.”
Fida membelek cincin yang tersarung kemas di
jemarinya. Sebenarnya dia kurang berkenan. Ada lagi cincin
yang lebih cantik dari yang ini. Pandangannya dihalakan pula
ke arah Nazri yang sedang mengira duit. Pelik betul Fida
melihat tingkah Nazri. Langsung tak ada tawar-menawar.
Makin tak puas hati bila lelaki itu terus mengajaknya keluar
sebaik sahaja selesai membuat bayaran. Dia masih belum
puas lagi mencuci mata.

“KENAPA DIAM aje ni? Tak suka ke dengan cincin tu?” soal
Nazri bila perasan yang gadis itu membisu seribu bahasa
sejak mereka keluar dari kedai emas.
“Dah beli baru nak tanya?” Fida mendengus kasar.
Rasa ralat sangat sebab tak dapat memilih cincin kesukaannya.
“Kalau tak suka, nanti masa nikah kita beli cincin
lain,” pujuk Nazri. Silapnya juga tadi. Teruja sungguh hingga
terlupa untuk bertanya pendapat gadis itu.
Fida bungkam. Bukan pasal cincin yang dia fikirkan.
Ada perkara lain yang sedang merunsingkannya. Perkara
penting yang berkaitan dengan dirinya sendiri. Dia menoleh
pada Nazri. Tiba-tiba rasa bimbang menerjah hatinya.
Bagaimana kalau lelaki itu ubah fikiran selepas dia berterus
terang nanti?
“Abang...” panggil Fida perlahan.
Nazri angkat kening tanpa menoleh. Lama dia
menunggu, namun tidak kedengaran sepatah pun perkataan
yang keluar dari mulut Fida.
“Sayang nak cakap apa?”
“Kalau Fida beritahu sesuatu, abang jangan marah
ya,” ujar Fida takut-takut.
“Belum beritahu lagi macam mana nak marah?”
Nazri ketawa perlahan.
Fida tiada hati ingin menyambut tawa itu. Saat ini,
hatinya cukup risau dengan penerimaan lelaki itu nanti.
“Serius sangat nampaknya ni,” ujar Nazri bila
melihat wajah Fida yang serius.
Nazri matikan enjin sebaik sahaja kereta berhenti
di halaman rumah Fida. Sengaja bagi masa untuk gadis itu
bercakap. Namun, Fida tetap diam. Makin hairan jadinya bila
melihat wajah itu mula berlinangan dengan air mata.
“Kenapa ni? Cakaplah.” Nazri cuba melembutkan
suara. Namun, dalam hatinya sudah memikirkan yang
bukan-bukan.
“Sebenarnya, Fida cuma anak angkat.”
Nazri tenung muka Fida. Dia masih boleh terima
kenyataan itu. Siapa pun Fida dia tidak kisah. Asalkan Fida
dibesarkan dalam keluarga yang baik-baik.
“Ayah dan mak kandung Fida ada lagi?”
Fida mengangguk tanpa memandang wajah Nazri.
“Diaorang tak pernah jaga Fida sejak kecil?”
“Bukanlah tak pernah. Dulu keluarga Fida
berjiran dengan ayah dan mak. Mula-mula jadi pengasuh
Fida aje. Lama-lama jadi rapat.” Tersekat-sekat suara Fida
menceritakan semula serba sedikit sejarah hidupnya.
“Itu saja?” tanya Nazri.
Fida mengangguk.
“Okey, jom.” Pantas Nazri buka pintu kereta.
“Abang tak marah ke?” Fida cuba menahan Nazri
daripada keluar. Dia menjangkakan pelbagai soalan daripada
lelaki itu. Tapi ternyata jangkaannya meleset. Senang sangat
Nazri menerima pengakuannya.
“Fida berani berterus-terang. Jadi buat apa abang
nak marah?”
“Macam mana dengan keluarga abang nanti?” Fida
masih waswas.
“Ibu abang tu boleh dibawa berbincang. Dahlah tu.
Tak elok kalau mak dan ayah nampak kita berbual dalam
kereta. Jom keluar.”
Fida menghela nafas lega. Ringan rasa kepala.
Rasa-rasanya sudah tidak ada halangan lain yang akan
membantutkan niat baik mereka. Bolehlah dia menumpukan
perhatian pada persiapan perkahwinan pula nanti.

AYAH MAN dan Mak Yah termenung panjang. Bukannya
mereka tidak tahu yang Fida sedang berkawan dengan Nazri.
Tetapi tak sangka pula begitu cepat Nazri dan Fida mengambil
keputusan untuk berkahwin.
“Kalau pak cik izinkan, saya akan suruh ibu bawa
rombongan meminang.” Nazri memecah kesunyian setelah
agak lama Ayah Man dan Mak Yah terdiam.
Fida langsung tidak berani bersuara. Walaupun
mereka cuma keluarga angkat, Fida amat menghormati
mereka berdua. Malah sayang Fida pada Ayah Man dan Mak
Yah melebihi keluarga kandungnya sendiri.
“Pak cik tak layak terima peminangan kamu ni.”
Ayah Man pandang Fida.
“Saya dah tahu semuanya pak cik,” ujar Nazri seakan
faham apa yang Ayah Man cuba fikirkan.
“Semuanya? Betul ke Fida?” Ayah Man mohon
kepastian.
Dalam keadaan takut-takut Fida mengangguk.
“Pasal abah dan mak dah cerita?”
“Tak sempat nak cerita lagi.” Fida tunduk memandang
lantai. Walaupun ayah angkatnya itu sangat memanjakannya,
namun sekali orang tua itu bertegas, memang tak ada
peluanglah untuk dia berdolak-dalik lagi.
“Dah berapa lama kamu berdua ni berkawan? Takkan
dalam sehari pun Fida tak sempat nak cerita pasal keluarga
kandung sendiri.”
Kedua-dua kaki Fida memijak-mijak antara sendiri.
Memang salah dia. Setahun berkawan dengan Nazri, tidak
pernah sekalipun hatinya tergerak untuk menceritakan asal
usul dirinya. Ada ketika dia sendiri hampir terlupa yang ibu
bapa kandungnya masih wujud di dunia ini. Termasuklah
adik bongsunya, Dina.
“Tak baik kamu buat macam ni Fida. Dulu lagi ayah
dah ingatkan, jangan membelakangkan keluarga sendiri.
Memang kami yang membesarkan kamu. Tapi, dari segi
hukum kami ni bukan siapa-siapa pun. Yang kat kampung
tu lebih berhak ke atas diri kamu. Faham tak?” Suara Ayah
Man sedikit tinggi. Kecewa dengan sikap anak angkatnya itu.
Bimbang juga dipersalahkan oleh keluarga kandung Fida
nanti. Walhal mereka suami isteri tidak pernah sekalipun
menghalang Fida pulang ke kampung untuk melawat
keluarga kandungnya. Fida sendiri yang sengaja menjarakkan
dirinya.
“Okey, macam inilah pak cik. Mungkin salah saya
juga sebab tak pernah tanya pun tentang ni. Sekarang ni
Fida, beritahu abang. Keluarga kandung Fida ada kat mana
sekarang?”
“Negeri Sembilan.” Fida menjawab perlahan. Kolam
matanya sudah penuh. Hanya tunggu masa saja hendak
tumpah.
“Alhamdulillah. Senang kerja saya pak cik. Satu
negeri.” Nazri senyum lebar.
“Fida, ayah nak Fida balik kampung dan kenalkan
Nazri pada mak dan abah kat sana. Bapa kandung Fida tu
masih wali yang sah. Jangan lupa tu,” pesan Ayah Man tidak
berpuas hati dengan sikap Fida yang mementingkan diri
sendiri itu.
Fida mengangguk. Lebih baik dia akur saja dengan
semua perkara yang disarankan oleh Ayah Man. Takut nanti
ada halangan pula dari pihak keluarga angkatnya.
“Fida, pergi masuk buatkan Nazri air. Dari tadi asyik
berbual aje. Kering dah tekak ni.” Sengaja Mak Yah membuka
ruang untuk Fida bernafas seketika. Tak sampai hati melihat
anaknya itu asyik tunduk saja sejak tadi. Bohonglah kalau dia
tidak terkilan dengan sikap sambil lewa anak angkatnya itu.
“Bila kamu nak jumpa mak dan ayah kandung Fida?”
Ayah Man menyoal.
“Kalau pak cik izinkan, saya bercadang nak bawa
Fida balik jumpa ibu kat kampung dulu. Bagi ibu kenal-kenal
dulu dengan Fida.”
“Kampung Nazri kat mana?” Mak Yah menyampuk.
“Batu Kikir.”
“Eh, dah dekat sangat dengan rumah mak dan abah
Fida. Betul tak bang?” Mak Yah menoleh pada suaminya.
“Cuba ambil alamat Abang Rahim tu. Bagi kat Nazri.
Mana tahu kalau-kalau Nazri kenal,” arah Ayah Man.
Mak Yah masuk ke bilik dan keluar semula bersama
buku alamat. Dia serahkan pada Nazri buku alamat itu
memandangkan penglihatannya tidak berapa jelas. “Cuba
kamu tengok nama Rahim bin Ismail. Mak cik ni tak berapa
nampak. Malas betul nak pakai cermin mata.”
“Yang mana satu ni mak cik?” Sambil menyelak
helaian kertas tersebut, otak Nazri memikirkan sesuatu.
Rahim bin Ismail? Dia pernah dengar nama itu.
“Fida, tolong tunjukkan alamat rumah kat kampung.
Mak tak berapa nampak.” Arah Mak Yah sebaik sahaja
melihat Fida masuk ke ruang tamu sambil menatang dulang
minuman.
Selesai menghidangkan minuman, Fida membantu
Nazri mencari alamat rumah keluarganya di kampung. Amat
memalukan apabila dia sendiri tidak ingat alamat rumah ibu
bapa kandungnya.
“Ni.” Fida menyerahkan semula buku alamat kepada
Nazri.
Ketika telunjuk Fida menunjukkan alamat yang
tertulis di dalam buku, Nazri rasa seperti mahu pitam.
“Fida ni anak Cikgu Faridah ke?”
“Ya. Abang kenal ke mak Fida?” Fida teruja. Untuk
pertama kalinya dia rasa bangga dipanggil anak Cikgu
Faridah.
“Errr... abang bekas pelajar dia.”
“Ya ke? Kecilnya dunia ni.” Fida semakin teruja.
Namun, bagi Nazri dirinya umpama tidak berpijak di
bumi nyata. Memang dunia ini terasa terlalu kecil pada saat
ini. Terlalu kecil bagaikan sudah tiada ruang untuk dia terus
bernafas.

No comments:

Post a Comment