DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 24 September 2017

Firdaus Buat Jannah - Bab 10

BAU tengik yang menusuk ke hidung Nur Jannah
menyebabkan tidurnya terganggu. Perlahan-lahan dibukanya
mata. Kepalanya masih lagi pusing ditambah lagi bau tengik
yang menyengat hidung.
Terasa rambutnya dibelai perlahan. Kemudian
belaian itu berpindah pula ke belakang tubuhnya. Dia
meluaskan matanya untuk melihat siapakah yang berani
betul mengambil kesempatan. Terkejut. Bayang-bayang
susuk tubuh itu begitu berani mencium lehernya pula. Dia
cuba bangun. Namun tubuhnya terasa berat.
Serta-merta merinding bulu roma ketakutan. Dia
cuba lagi untuk bangun. Sedaya upaya menolak tubuh sasa
yang menghimpit tubuhnya. Dalam kesuraman lampu tidur
yang sedia terpasang itu, diamatinya wajah lelaki yang begitu
dekat dengan wajahnya.
“Rais Firdausi!” terjerit Nur Jannah menyebut nama
itu. Pantas dia bangun dari katil dan meloloskan diri dari
pelukan lelaki itu.
“Marcela!” Dalam kemabukan, Rais Firdausi
memanggil nama itu. Dia ikut bangun untuk mendakap
semula tubuh gebu Marcela.
“Tolong sedar, Abang Rais. Saya bukan Marcela,”
rayu Nur Jannah cuba menyedarkan lelaki yang sudah hilang
pertimbangan itu. Dia cemas.
“Marcela... I miss you so much. Please... don’t go...”
Rais Firdausi makin mendekat. Rindu yang sarat terhadap
Marcela membuatkan dia ingin segera mendapatkan tubuh
itu. Sudah lama dia ingin membelai dan melampiaskan rindu
dendam yang tertangguh.
Nur Jannah berundur lagi. Ingin melarikan diri
daripada lelaki yang sudah hilang kewarasan diri. Makin
dia berundur, makin galak lelaki itu melangkah. Akhirnya
langkah Nur Jannah mati apabila tubuhnya melekat di
dinding. Sudah tiada ruang untuk bergerak lagi.
Rais Firdausi semakin merapat. Satu sengihan
terpamer di wajahnya.
“Tolonglah, abang. Lepaskan saya,” rayu Nur Jannah
lagi. Kedua-dua tangan sudah menahan dada Rais Firdausi
daripada mendakap tubuhnya. Bau tengik begitu meloyakan.
Rais Firdausi buat tidak endah. Rayuan yang
menghibakan itu kedengaran manja di telinganya pula.
Tangan Nur Jannah yang menahan kuat dadanya ditepis
begitu saja. Tanpa perasaan, dia terus menggomol leher
jinjang milik gadis itu. Seperti terdengar-dengar rengekan
manja Marcela kegelian saat dia melakukannya.
Puas sudah Nur Jannah menahan. Kepala semakin
pening apabila bau tengik itu menusuk rongga hidungnya.
Badan yang sedia penat itu semakin hilang kestabilan apabila
Rais Firdausi makin rakus mencium lehernya. Lembik
lututnya menahan tubuh.
“Tolonglah... kesianlah saya, abang.” Air mata lebat
mengalir. Nur Jannah makin lemah untuk berdiri. Kepala
makin berat. Pandangan mata juga semakin kabur.
Rais Firdausi pula semakin hilang dalam keasyikan
nafsunya sendiri. Tubuh yang tidak mampu untuk berdiri itu
dicempung lalu dibawa ke katil semula. Senyuman menghiasi
bibir. Gaun merah milik Marcela makin membangkitkan
nafsunya. Itu saja kenangan milik Marcela yang dibawa
pulang ke Malaysia. Hati sudah tidak sabar. Ingin saja dia
mengulangi memori indah itu bersama Marcela lagi.
Nur Jannah cuba menolak tubuh sasa itu dengan
sisa tenaga yang masih ada. Jarinya pantas saja mencakar
dada bidang milik Rais Firdausi yang kerasukan syaitan itu.
“I like it, March...” Bukan dia hendak mengaduh,
sebaliknya dia suka dengan tindakan ganas itu.
“Tolong Jannah, Rais...” rayu Nur Jannah lemah.
“Yes... I will...” Tuli sudah telinga Rais Firdausi.
Bukan itu yang Nur Jannah maksudkan!
“Allah...” Hanya itu saja yang mampu Nur Jannah
sebut sebelum pandangannya benar-benar kelam.

ALICE MEMARKIRKAN keretanya di tempat letak kereta
pelawat sahaja. Langkah dihala ke perut lif. Tangannya pula
menjijit bungkusan makanan untuk Nur Jannah. Barangkali
Nur Jannah sudah tidur kerana malam sudah lewat benar.
Kalau dia tidak berdrama swasta tadi, tentu tidaklah dia
membuang masa sangat lama. Pintu lif terbuka di tingkat 10.
Alice melangkah keluar.
Sampai saja kakinya di pintu bernombor 4 itu, Alice
panjangkan tangan menggagau kunci yang diletakkan Nur
Jannah di balik daun pokok hiasan. Setelah pintu dibuka,
matanya menangkap bayang sebotol champagne yang kosong
isinya terletak di atas meja di ruang tamu.
Jantung terasa berdegup pantas. Serta-merta
dirasakan darah menyerbu ke seluruh urat saraf. Pintu
rumah ditutup kasar. Bungkusan makanan untuk Nur Jannah
dicampak ke sofa. Panjang langkahnya dibawa menuju ke bilik
tengah. Ingatannya hanya kepada Nur Jannah. Janganlah apa
yang tidak diinginkan itu berlaku.
Tombol pintu dipulas kasar. Jarinya menekan suis
lampu. Bilik yang kelam itu kembali terang benderang. Alice
tergamam. Mahu luruh jantungnya melihat aksi Rais Firdausi
yang dirasuk syaitan itu.
“Abang!” jerkahnya geram. Sepantas kilat ditolak
tubuh sasa Rais Firdausi. Tubuh Nur Jannah yang terdedah
itu ditutup dengan selimut.
Alice naik gila. Dipukul dada abangnya bertalu-talu.
Pipi si abang ditempeleng kuat.
Terpinga-pinga Rais Firdausi melihat reaksi Alice.
Tidak dibantah perbuatan adiknya walaupun dadanya sakit
menahan pukulan bertalu-talu.
Letih memukul, Alice terjelepok di sisi Nur Jannah
yang tidak sedarkan diri. Dipandang pula wajah Rais Firdausi
dengan perasaan benci yang meluap-luap.
Rais Firdausi masih lagi bingung. Kesan arak belum
lagi hilang.


*Keluaran September 2017, Boleh dapatkan di pasaran.

Firdaus Buat Jannah - Bab 9

RAIS Firdausi tersenyum puas. Kertas kerja yang
dirangka itu sudah siap disimpan di dalam data PC dan disalin
ke dalam pendrive miliknya. Esok dia akan persembahkan
kepada pengarah British Technology mengenai ideanya itu.
Harap semuanya memenuhi piawaian yang diinginkan.
Dia mengurut batang lehernya yang terasa sengal
kerana berlama memandang skrin tadi. Tubuh kembali
melekit dengan peluh. Badan pula terasa letih. Dia mahu
mandi. Lantas boxer ditanggalkan dan tangan mencapai tuala
lalu melangkah ke bilik air.
Kesejukan air yang menujah ke kulitnya membuatkan
dia kembali segar. Tergigil tubuhnya menahan sejuk. Pantas
saja batang tubuhnya dibalut dengan bathrobe. Rambutnya
yang basah dilap ala kadar sahaja. Kemudian tuala itu disidai
ke ampaian kembali. Kaki melangkah semula ke ruang tamu.
CD ‘Best of Celine Deon’ dicapai lalu dipasang pada
pemain cakera padat. Berkumandang lagu Because I Love
You yang mengingatkan dia kepada bekas teman wanitanya.
Bayang Marcela yang tersenyum membuatkan dia jadi tidak
keruan. Ingin saja dia membuang wajah itu daripada menabiri
matanya.
Bilik kecil yang selayaknya dipanggil bilik stor
dipandang. Pantas saja kakinya melangkah ke arah itu.
Kunci yang sengaja disembunyikan di dalam vase tinggi
bersebelahan pintu diseluk. Laju saja dia membuka pintu
bilik stor itu.
Wajahnya ceria dan senyuman jelas terpamer.
Sebuah mini bar yang penuh dengan pelbagai jenis arak itu
menarik perhatiannya. Dicapai botol yang berisi champagne.
Diteguk berkali-kali untuk menghangatkan tubuh. Setiap kali
wajah Marcela terlayar di mata, dia meneguk lagi air kencing
syaitan itu sehingga pandangannya kabur.
“Abang, bilik kecil tu stor ke? Apasal kunci?” Masih
lagi terngiang-ngiang di telinganya pertanyaan Alice.
“Sengaja abang kunci. Semak sangat.” Bohongnya
kepada Alice ketika pertama kali Alice menjejakkan kakinya
ke situ. Kalaulah Alice melihat tingkahnya kala ini, tak
tahulah bagaimana amukkan Alice nanti. Dengan Alice, dia
cukup menjaga tingkah laku. Dia tidak mahu sedikit pun
melukakan hati satu-satunya adik kandung yang dia ada.
Mujur juga pembohongannya itu dipercayai Alice.
Dan bilik yang disangka stor itu kekal rahsia menjadi bilik
tempatnya melepaskan kerunsingan. Baginya, dengan minum
saja dia dapat menyelesaikan kekusutan fikiran. Lagipun ini
satu-satunya tabiat yang susah hendak ditinggalkan kerana
sudah sebati dalam darahnya.
Dia sengih lagi. Jika di London, tentu dia tidak
keseorangan kala ini. Tidurnya tentu dihangatkan oleh
Marcela. Namun di Malaysia, membatasi segalanya. Baru
berangankan hendak bersama Aida malam ini, perempuan
itu tidak lapang pula.
Rais Firdausi merengus sekejap. Diteguk lagi
champagne itu. Serasa tidak puas minum dari gelas, dia
meneguk pula dari botol champagne.
Kemudian dia melangkah keluar dari bilik itu.
Pandangan matanya semakin kabur. Bayang Marcela muncul
lagi di ruangan matanya. Kali ini lebih galak dengan liuk
lentok yang menggoda.
Dia cuba berjalan dengan betul. Namun air syaitan
yang sudah mengawal tubuhnya itu membuatkan langkahnya
tidak teratur. Dia berjalan lagi dengan terhuyung-hayang.
Mulut makin galak menyebut nama Marcela.
Langkah kaki terhenti di bilik tengah tempatnya
beradu. Dia ingin segera tidur dan melupakan wajah Marcela
yang meniti di matanya. Walaupun tubuh semakin panas dan
hormon badannya semakin tidak stabil, Rais Firdausi mahu
segera melupuskan bayang Marcela dari matanya.
Pintu dibuka pantas, matanya terbuka luas.
Dalam kesuraman cahaya lampu bilik tidur yang romantik
itu matanya tertancap pada susuk tubuh yang terbaring
membelakanginya. Gaun tidur merah yang mendedahkan
separuh bahagian belakang tubuh itu menggetarkan
nalurinya. Suara Marcela makin kuat kedengaran di telinga.
“Marcela...” Nama itu diseru-seru. Kaki pula sudah
menapak ke arah katil besar itu.

“DAH PUKUL 11 ni. Aku nak balik.” Alice bersuara lantang.
Azmil masih lagi belum menghabiskan makanan yang bersisa
di pinggan. “Kau ni, makan macam pengantin. Lembab! Aku
nak baliklah. Kesian Jannah, tentu lapar tunggu aku ni.”
Geram betul Alice dengan sikap selamba Azmil.
Sedikit pun tak ada rasa nak sudahkan makanan itu dengan
segera.
“Makan depan pengantin perempuan, kenalah
kontrol macho. Nak abang suapkan sayang?” Azmil masih
bersikap selamba. Sudunya disuakan kepada Alice pula.
Pantas ditepis Alice.
“Dahlah main-main. Aku nak balik. Risau pulak.”
Azmil meneguk teh tarik untuk kali terakhir.
Lantas dia bangun. Alice yang kelat mukanya ikut bangun
lalu menuju ke kaunter bayaran. Setelah membayar apa
yang patut dan mengambil bungkusan makanan untuk Nur
Jannah, Alice dan Azmil beredar dari situ.
Belum sempat menaiki kereta, mata Alice
terpandangkan kelibat Syahir yang sedang menjamu selera
sambil bersuap-suapan dengan seorang gadis. Pantas saja Alice
berpatah balik dan menuju ke arah Syahir yang sedap-sedap
bermain mata itu di salah sebuah gerai yang terdapat di situ.
Sakit matanya, sakit hatinya melihat adegan yang
paling dibenci itu. Patutlah sejak akhir-akhir ini Syahir jarang
hendak bertemunya. Ada saja alasan yang berbangkit. Telinga
juga ada mendengar khabar yang Syahir sedang bermain gila
dengan budak junior Asasi Sains itu, tapi dipekakkan saja
telinga. Sayang punya pasal, rela dia buat sikap tidak mahu
ambil peduli selagi tidak ada bukti.
Nah! Sekarang jelas dan nyata. Bukti sudah ada di
depan mata.
“Woo... wooo, apasal laju sangat ni? Nak pi mana
ni?” Azmil yang terpinga-pinga mengekori saja langkah Alice.
“Diamlah, teddy. Aku tengah sakit hati ni.” Tinggi
suara Alice.
Azmil terus terdiam. Dia ikutkan saja langkah Alice.
“Hai!” tegur Alice memaniskan wajah.
Terkejut Syahir yang baru saja menyuapkan mi
goreng ke mulut budak junior itu. Gelabah dia cuba mengawal
suasana. Budak junior itu pula memandang bingung. Hairan.
“Erm... aa... kenalkan... Julia.” Spontan Syahir
memperkenalkan gadis yang menjadi temannya itu.
“Hai, saya Alice Suraya Zainal. Fakulti
Undang-undang, tahun kedua. Dah lama kenal Syahir ke?”
ramah Alice bertanya.
Azmil hanya terkebil-kebil. Pelik dengan tingkah
Alice. Sepatutnya sekarang ini, perang besar yang harus
meletus. Tapi relaks saja Alice.
“Nak kata lama tu tak jugak. Kira kenal masa
minggu Haluansiswa. Abang Syahir kan pembantu mahasiswa
ASTAR,” jelas Julia sambil tersenyum.
Alice pandang tajam ke arah Syahir. Rupanya dah
lama juga mereka ini berkenalan. Dia saja yang tidak tahu.
Pandai betul Syahir main wayang, sampai dia tak terhidu
walaupun mereka satu kolej kediaman. Disabarkan hati
walaupun hatinya dah cedera teruk dengan perlakuan curang
Syahir.
“Ini mata air kau ke?” soalnya kepada Syahir.
Sekejap lelaki tu menggeleng, sekejap lelaki itu
mengangguk. Masih lagi tergamam. Julia pula tersipu-sipu
malu apabila Syahir pantas mengiakan.
Alice tersenyum kelat. Walaupun sakit, dia cuba
berlagak biasa.
“Okeylah. Kita orang pergi dulu. Tak nak ganggu you
all tengah dating.” Alice mengenyitkan matanya kepada Julia.
Kemudian bergerak meninggalkan mereka.
Azmil yang hanya menjadi pemerhati mengikut saja
dari belakang.

Sakitnya tu di sini
Di dalam hatiku
Sakitnya tu di sini
Melihat kau selingkuh...

“HESY, GERAM pula dengar lagu ni!” Pantas saja jari Alice
memutar siaran radio itu mencari rangkaian lain. Lagu yang
berkumandang tadi terasa memerlinya pula.
Azmil yang diam sepanjang perjalanan mereka
untuk pulang semula ke Kolej Dayasari cuma memandang
wajah Alice. Tidak berani hendak menegur. Tak pasal-pasal
nanti dia pula jadi punch bag Alice. Bukan dia tidak tahu apa
yang bergelojak dalam hati gadis idamannya itu.
“Kau okey tak ni?” tanya Azmil sebelum turun dari
kereta milik Alice.
Masih tiada jawapan. Alice masih kaku. Malah gadis
itu seperti tidak menyedari dia telah keluar dari tempat
pemandu. Cermin kereta diketuk.
“Hah!” Alice mengurut dadanya laju. Terkejut
melihat Azmil yang tiba-tiba saja sudah berada di luar kereta
di sebelahnya. Segera dibuka pintu untuk keluar.
“Kau okey tak ni?” Azmil soal lagi buat kali kedua.
Bimbang juga melihat reaksi Alice yang tiada perasaan itu.
Nak kata sedih, air mukanya selamba saja.
“I’m fine,” balas Alice laju. Badan sudah diloloskan
kembali masuk ke tempat pemandu.
“Kalau kau okey, aku minta diri dulu, ya?”
Alice mengangguk cuma dan Azmil mula melangkah
untuk beredar dari situ.
Sekilas langkah Azmil diperhatikan. Kemudian
Alice meletakkan kepalanya ke stereng. Tersengguk-sengguk
bahunya menangis. Di depan Azmil tadi sengaja dia beriak
selamba. Malu untuk menangis di depan lelaki itu. Bukan
Azmil tidak tahu cinta separuh matinya untuk Syahir. Tapi
ternyata, bagi Syahir cintanya itu tiada harga.
Azmil yang sudah beberapa tapak melangkah
berpaling semula. Kelibat kereta Alice masih di situ. Hatinya
rasa tidak keruan. Kemudian langkah kakinya diarah semula
ke kereta itu.
Pintu kereta itu dibuka dari luar. Serta-merta Alice
memanggungkan kepalanya. Air mata diseka laju.
“Kau menangis ya?” Azmil mencelah tiba-tiba.
“Heh, mana ada? Apasal yang kau patah balik ni?”
Alice buat-buat menyoal.
“Ala, nak controllah tu. Kalau kau nak menangis,
menangis ajelah. Tak payah nak cover,” balas Azmil sambil
duduk bertinggung di depan Alice.
Dengar saja ayat yang keluar dari mulut Azmil,
serta-merta Alice menghamburkan kembali tangisnya.
Terhinggut-hinggut tubuhnya mengeluarkan semua tangisan
yang disimpan tadi.
“Sabarlah, Alice. Kumbang bukan seekor. Aku ni pun
ada untuk kau, kalau Syahir tak nak...” Azmil ucap selamba.
Alice yang separuh nyawa menangis itu segera
menumbuk kuat bahu Azmil.
“Eh, aku pula yang kena tumbuk? Patutnya tadi kau
tumbuk aje muka jantan tak guna tu.”
“Diamlah! Aku nak feel nangis pun dah tak feel.
Dahlah, aku dah okey. Nak balik ni,” getus Alice segera
menolak tubuh Azmil yang bertinggung di sisinya sejak tadi.
“Tulah kau! Bukan nak ucap terima kasih. Marah aku
lagi ada. Apa punya kawanlah...” sungut Azmil tidak puas hati.
Tapi tetap juga dia tersenyum apabila melihat Alice sudah
berhenti menangis.
“Aku nak baliklah. Kesian pula kat Jannah.
Entah-entah dah lapar tertunggu-tunggu aku dari tadi.”
“Yalah. Tapi sebelum kau balik, aku ada soalan nak
tanya.”
“Apa, cepatlah?”
“Kau beria-ia menangis tadi tu, kau dah serah
segala-galanya pada Syahir ke?”
“Maksud kau?”
“Yalah... dah separuh nyawa bercintalah kan?
Manalah tahu?”
“Kau ni kan, memang tak sayang mulut! Aku ni
memanglah bercinta separuh nyawa, tapi tak adalah sampai
nak serah body pulak. Jahanam betullah mulut kau ni!” Alice
keluar dari kereta. Ingin saja dibelasah Azmil yang tak sayang
mulut itu. Sakit betul hatinya kerana dianggap sebegitu oleh
Azmil.
“Opss sorry... aku gurau aje. Tapi kan kalau kau dah
tak ada apa-apa pun, aku sudi terima kau seadanya,” balas
Azmil sambil tersengih.
Alice yang baru saja menyedekahkan sebiji dua
penumbuk ke dada Azmil, terhenti niatnya. Tak terjangka
ayat itu yang akan keluar dari mulut lelaki itu.
“Aku serius, Alice.” Azmil pegang tangan Alice yang
singgah di dadanya tadi. Pantas Alice tarik tangannya dari
pegangan Azmil.
“Aku nak balik.” Segera Alice loloskan dirinya masuk
ke dalam keretanya semula.
Azmil mengeluh hampa. Ternyata niatnya itu
tidak dilayan Alice. Dia lihat saja kereta Vios milik Alice itu
bergerak pergi sehingga hilang dari pandangan mata. Kaki
diatur perlahan menuju ke bangunan kolej kediamannya.
Hampa. Niat ikhlasnya itu tidak langsung mencuit hati Alice.

Firdaus Buat Jannah - Bab 8

KERETA Audi S5 itu laju saja membelah malam.
Jam sudah menunjuk ke angka 10. Lewat sejam dari waktu
yang dijangkakan. Kemalangan yang berlaku di Beringin tadi
telah melambatkan perjalanan. Baru saja kaki melangkah
keluar dari perut kereta, telefon bimbit berbunyi pula.
Berubah air muka Rais Firdausi mendengar suara
di hujung sana. Punah harapan dan angan yang berbunga
sepanjang perjalanan tadi. Aida tidak dapat datang. Rais
Firdausi mengeluh hampa.
“Encik,” panggilan seseorang membuatkan Rais
Firdausi menghentikan langkahnya untuk masuk ke perut lif.
“Ya, ada apa?” soalnya kepada pengawal keselamatan
yang menjalankan rutin tugasan mereka.
“Petang tadi saya ternampak kereta Vios parking di
tempat encik.”
“Vios biru?” soal Rais Firdausi sambil kerut kening.
Matanya menghala pada petak kereta yang sudah diisi dengan
Audi S5 miliknya.
“Ya, encik.”
“Tapi kenapa lot parking saya kosong aje? Elok aje
kereta saya park di situ.”
“Saya cuma nak beritahu aje encik. Mungkin pemilik
Vios tu dah balik bila encik tak ada kat rumah.”
“Hmm, tak apalah. Terima kasih untuk maklumat
awak tu. Pemilik kereta Vios tu saya kenal. Adik saya,” balas
Rais Firdausi tenang. Kemudian kakinya laju saja melangkah
masuk ke perut lif yang sudah terbuka.
Bibir digigit. Terfikir pula kenapa Alice datang
tiba-tiba. Selalunya kalau dia outstation, Alice tak akan
sesekali datang. Tapi rasa curiga itu cepat saja diusir pergi.
Keadaan diri yang stres dan penat, membuatkan dia malas
untuk berfikir lagi.
Longlai kaki melangkah. Penat memikirkan
rumahnya yang berselerakan. Ingatkan Aida datang
membantu. Nampaknya perancangan yang diharapkan itu
gagal sama sekali. Kesibukan kerja membuatkan dia terlupa
untuk menguruskan rumahnya sendiri. Nak pakai orang
gaji, oh tidak sama sekali! Nanti punah rahsia yang disimpan
selama ini.
Sebaik pintu rumah terbuka, bulat mata melihat
keadaan rumah yang teratur dan kemas. Lega dan hilang saja
rasa penat yang menyinggah tadi. Langsung kaki dibawa ke
bilik utama. Sekali lagi lega melihat isi bilik yang kembali
bersih dan berbau harum. Kala itu kalau Alice ada di depan
mata, ingin saja dipeluk dan dicium adik kesayangannya itu.
Fikirnya, tentu ini kerja Alice.
Segera dia melucutkan pakaian. Seluar panjang
diganti dengan boxer. Biar lega sikit tubuhnya yang terpekup
dengan baju seharian. Kemudian kaki dibawa ke ruang
dapur untuk mengisi kerongkong yang kering tiba-tiba.
Setelah dahaga hilang, dia menapak semula ke bilik utama
yang dijadikan bilik kerjanya. Kerusi ditarik dan punggung
dilabuhkan di situ. Butang power di CPU segera ditekan untuk
memulakan agenda yang sudah terakam sejak dari Ipoh tadi.

“LAIN KALI sebelum datang sini, buat kerja tu biar bagi
selesai. Ini tidak, main pesan-pesan.” Mulut Azmil mula
berkicau bebelkan Alice.
Juling mata Alice menjeling tingkah Azmil. Muncung
mulutnya dengan omelan itu.
“Aku lupalah!” Alice cebik bibir. “Sebab kepala aku
asyik ingat presentation inilah sampai kunci rumah pun aku
tinggal. Nasib baiklah Jannah tolong ingatkan,” sambung
Alice bela diri.
Azmil berhenti mengomel. Barangkali sedar
mulutnya yang terlebih menggoreng bertih itu. Segera dia
mengalih topik perbualan.
“Jannah tinggal sorang ke?”
“Haah, apasal?” Alice buat muncung itik. Tiba-tiba
pula tanya pasal Nur Jannah.
“Kau tak risau ke?” Nada suara Azmil sedikit berubah.
“Risau apa bendanya?” Alice kerut dahi. Setahunya
Nur Jannah dah besar panjang. Pandai jaga diri. Nak risaukan
tempat tinggal? Hesy, kondo Hillpark tu lengkap kawalan
keselamatannya.
“Jannah tinggal sorang. Tup-tup, abang kau balik!
Kena tangkap basah nanti, tak ke naya?” Spontan saja Azmil
bercakap.
“Choilah kau ni! Mulut macam buntut ayam!” Alice
cubit lengan Azmil. Geram betul dengan mulut yang tak ada
penapis itu. Main sedap mulut nak bercakap. “Tak sayang
mulut ke? Abang aku balik besoklah. Aku dah call sekretari
dia. Seminar 3 hari kat Ipoh. Hari ke-4 baru dia balik sini,”
tegas Alice.
Azmil hanya angkat bahu.
“Manalah tahu, kan? Benda nak jadi, bukan kita
tahu.’ Sengaja Azmil mengacah.
Alice cebik bibir. Meluat. Tapi dalam hati, sudah rasa
tidak keruan. Kata-kata Azmil itu buat hatinya berdebar-debar.
‘Ah... perasaan aje. Tak ada apa-apalah,’ bisiknya cuba
menyedapkan hati.
Azmil perasan perubahan wajah Alice. Dia sedikit
menyesal dengan kelancangan mulutnya itu. Untuk
menjadikan suasana kembali pulih, Azmil mengajak Alice
menjamu selera di seksyen 14, Petaling Jaya. Kedai mamak
yang menjadi tumpuan pelajar UM makan lewat malam.
“Kau belanja!” Alice tudingkan jarinya kepada Azmil
minta belanja.
“La, aku pulak. Dahlah aku yang siapkan assignment.
Aku juga yang kena keluar duit belanja kau makan. Apa punya
memberlah. Kedekut!” Azmil tarik muka.
“Yalah... yalah... aku belanja. Bukan aku kedekut,
tak ada hati perut. Tadi tu, aku eksyen aje nak minta kau
belanja.” Akhirnya Alice mengalah. Dia sedar susah payah
Azmil bersengkang urat mata menyiapkan assignment TITAS
mereka. Apalah sangat nak keluar duit setakat makan di kedai
mamak. Tak luak pun duitnya.
“Okey, apa kata hari ini kau bagi aku test drive Vios
kau,” pinta Azmil. Sengaja mahu menguji Alice lagi. Setakat
kereta Vios, memang dia tak hairan. Kereta Jaguarnya lagi
hebat mengaum daripada Vios Alice itu. Tapi hari ini dia ingin
sangat bawa Alice keluar makan. Takkan hendak membonceng
kapcai buruknya itu? Alice pun tentu tak ingin.
“Ada lesen ke?” soal Alice tidak percaya. Bukan apa,
Azmil tu pandai ke nak drive Vios? Setakat kapcai buruk tu
aje yang dia ada.
“Awat? Aku ni nampak lekeh sangat ke?” Azmil
berjauh hati.
“Tak adalah... kau bawa kapcai aje. Manalah tahu tak
ada lesen kereta.” Lembut tutur Alice. Takut Azmil terasa hati.
“Aku ni bukan setakat lesen kereta aje aku ada, lesen
kereta api pun aku ada tau!” seloroh Azmil.
Alice senyum melebar. Terhibur dengan sikap
selamba Azmil. Lelaki ini jarang sekali terasa hati. Berbeza
dengan buah hatinya, Syahir. Tersilap cakap, tercabar saja
egonya. Berhari-hari lancar mogok tidak mahu berjumpa.
Susah untuk dipujuk.

Firdaus Buat Jannah - Bab 7

NUR Jannah terasa letih. Badannya melekit
dengan peluh. Alice sudah pun bersiap untuk berjumpa
dengan Azmil.
“Pukul berapa kau nak balik nanti?” soal Nur Jannah.
“Entah. Bergantung pada teddy bear. Kalau cepat
habis, cepatlah aku balik,” jawab Alice seraya membetulkan
tudungnya. Kemudian dia menilik sekali lagi wajahnya di
cermin. Bibir yang sedia merah itu dioles lagi dengan lip
gloss.
“Hai, nak jumpa Azmil pun nak melawa jugak ke?”
usik Nur Jannah. Pada perkiraannya Alice sudah cukup
cantik. Tak bersolek pun, wajah tetap cantik asli.
“Aku ni kan sentiasa melawa. Ini dah kira cukup
selekeh. Setakat jumpa teddy bear, buat apa nak melawa?
Yang kau tu! Dari petang tadi tak mandi-mandi. Bau busyuk
tau!” Alice sengaja memicit hidungnya. Pura-pura tidak tahan
menghidu bau yang tidak menyenangkan.
Nur Jannah tersengih. Bukan sebab dia malas
mandi. Kemas rumah punya pasal, sampai berpeluh-peluh dia
dibuatnya. Nak bagi kering peluh dulu. Nanti dia mandilah.
“Satgi aku mandilah. Bagi kau pergi dulu.”
Alice tidak terkata apa. Tangannya pantas saja
mengambil beg berisi beberapa buah buku rujukan dan alat
tulis. Kemudian kaki diatur untuk segera keluar.
“Ermm, nak tanya sikit ni.” Nur Jannah sepetkan
matanya. Segan pula nak bertanya. Tapi keinginan untuk
mendapatkan benda yang dihajati itu meluap-luap.
Langkah Alice mati tiba-tiba. Kemudian dia
pusingkan tubuh pandang wajah Nur Jannah yang
mengekorinya dari tadi.
“Apa dia?”
“Nak pakai baju tidur tu boleh?” soal Nur Jannah.
“Baju tidur rona merah tu ke?”
Pantas saja Nur Jannah mengangguk.
“Ingatkan apalah tadi. Pakailah. Kalau kau nak buat
harta peribadi pun, ada aku kisah?” balas Alice selamba. Dia
tidak peduli pun perihal baju tidur merah itu. Bukan harta dia
pun. Kalau harta dia sekalipun, dia tak kisah nak berkongsi
dengan teman baiknya ini. Sebab dia tahu Nur Jannah tak
pernah minta sesuatu yang melampaui batas.
“Hmm, lepas habis discussion nanti, aku nak singgah
makan. Ada apa-apa kau nak pesan?” Langkah Alice sudah
pun berada di muka pintu rumah.
“Aku tak kisah. Ikut kau ajelah,” balas Nur Jannah
yang berada di depan muka pintu. Ingin menghantar
sahabatnya itu.
“Aku pergi dulu. Kunci pintu tau. Pintu besi ni pun
kunci juga. Assalamualaikum,” ucap Alice sebelum beredar
dari situ.
“Waalaikumussalam.” Tubuh rakannya itu
diperhatikan sehingga hilang ditelan lif. Kemudian Nur
Jannah mengunci pintu. Baru dia perasaan, kalau kunci itu
sudah berada di tangannya, bermakna Alice tidak ada kunci
untuk masuk nanti.
“La... mak cik ni tak bawa kunci pulak.” Nur Jannah
bercakap sendirian.
Dibiarkan saja persoalan itu tergantung. Dia perlu
uruskan diri dulu. Badan mula terasa letih. Kepala sudah
berdenyut-denyut. Perut pula mula senak. Faham benar
dengan masalah yang selalu dialaminya apabila bulan
mengambang datang melawat. Tanpa banyak soal, Nur Jannah
sauk saja kain tuala yang berada di dalam beg bajunya. Kaki
laju saja melangkah ke bilik air. Badannya sudah tidak sabar
hendak menerima titisan air. Harap lepas mandi, badan akan
terasa segar semula.
Agak lama berkurung di dalam bilik mandi, dia
segera keluar. Bilik utama yang berselerak tadi sudah sedia
kemas. Penat juga dia dan Alice mengemas tadi. Tapi puas
rasa hati, mata pun sedap saja nak memandang bilik yang
kembali cantik dan berbau harum ini.
Badan juga kembali segar. Tapi rasa senak di perut
tidak juga mahu hilang. Kepala pula seakan dicucuk-cucuk.
Tapi kalau mampu, akan ditahan seberapa daya. Dia tidak
mahu terlalu biasakan diri menelan Panadol. Tak baik untuk
perut. Rambutnya yang basah itu dibalut dengan tuala lalu
laju saja tangan mencapai baju tidur merah yang diidamkan
itu.
Nur Jannah tersengih, kemudian menutup mulut.
Malu pula melihat diri yang terbias di cermin solek. Hampir
tidak percaya melihat diri yang cukup seksi. Sedang sibuk
melayan perasaan, telefon di ruang tamu berbunyi nyaring.
Kaki dipanjangkan berlari. Tangan segera mencapai gagang
telefon.
“Kau buat apa?” soal Alice di hujung sana.
“Baru lepas mandi. Eh... kau tertinggal kuncilah.”
“Ya ke?” Alice soal pendek.
“Nak aku tunggu kau balik ke?”
“Hmm, rasa tak payah kut. Takut aku balik lambat.
Kesian kat kau. Tentu penat kerjakan rumah abang aku tadi.
Tidurlah. Tak payah tunggu aku.”
“Habis kunci macam mana?”
“Kau letak aje kat tempat rahsia.”
“Hah, rumah ni ada tempat rahsia ke?” Nur Jannah
soal pelik. Kondo sikit punya mewah pun ada tempat rahsia
ke?
“Bengap sangatlah kau ni. Kalau tak ada tempat
rahsia, agak-agak macam mana kita masuk tadi? Abang aku
bukan tinggal pun kunci kat sekuriti guard. Nasib baik juga
kita lulus masuk kondo tadi. Pak guard tu dah cam muka
aku.”
Nur Jannah garu kepalanya yang tidak gatal.
Bingung.
“Kat mana tempat rahsia tu?”
“Kat luar rumah, kau nampak ada pasu yang
pokoknya daun besar dan lebar. Jangan kata tak nampak
pulak. Kau letak aje kunci kat situ. Nanti pandailah aku
ambil.”
Nur Jannah angguk tanda faham.
“Eh... ha, apasal telefon aku ni?”
“Hah, nasib baik kau ingatkan tujuan aku telefon
ni. Nak minta tolong sidaikan baju tuan rumah. Ada dalam
washing machine kat bilik air sebelah dapur. Ampaian kat
balkoni,” arah Alice lagi.
Nur Jannah tekun mendengar. Sesekali terdengar
suara Azmil sedang membebel di hujung talian.
“Ada apa-apa pesanan lagi, cik kak?”
“Rasanya tak ada kut. Kalau ada apa-apa lagi, aku call
nanti.” Alice bersuara lagi.
“Okeylah. Kirim salam kat orang sebelah yang
kuat membebel tu,” arah Nur Jannah sebelum menamatkan
perbualan mereka.
“Yalah. Bye.” Talian telefon dimatikan.
Nur Jannah mencapai kunci di atas meja. Dibukanya
pintu. Ditoleh kiri dan kanan, melihat jika ada sesiapa yang
lalu di koridor. Dia tidak mahu terserempak dalam keadaan
berpakaian tidak sempurna itu. Setelah pasti tiada sesiapa,
laju saja dia meletakkan segugus kunci di balik daun yang
merimbun itu. Strategik juga letak pasu itu; betul-betul
bersebelah pintu jeriji besi. Tak adalah teruk sangat Alice nak
panjangkan tangan mencari kunci nanti.
Setelah berpuas hati, Nur Jannah masuk semula lalu
mengunci pintu rumah. Kemudian kaki menghala ke arah
bilik air. Ligat saja tangannya mengeluarkan baju yang dibasuh
Alice tadi. Kemudian menapak ke balkoni. Baju kemeja itu
digantung di penyangkut dan disangkut pada ampaian. Nur
Jannah senyum pula. Kesibukan manusia mengejar duniawi
membuatkan manusia terpaksa menyongsang arah. Patutnya
orang sidai baju siang hari, tapi dia sidai baju di malam hari.
Setelah selesai kerjanya, dia mengeliat sekejap.
Betulkan tulang belakang yang membongkok tadi. Mulut pula
sudah menguap kerana mengantuk. Tanpa banyak bunyi, laju
saja kaki mencari tempat tidur. Tilam empuk yang berada di
bilik tengah itu menjadi pilihan untuk dia bermimpi indah.

Firdaus Buat Jannah - Bab 6

AZMIL masih lagi membaca beberapa buah buku
mengenai tamadun Asia. Badannya belum lagi hilang penat.
Maklumlah dari pagi sehingga lewat petang, baru kelasnya
tamat. Kemudian terus berkejar balik ke kolej untuk mandi
dan bersolat. Lepas itu terus menghadap buku.
“Kau ni, rajin betul. Aku tengok, lepas balik kelas tak
rehat langsung. Terus menghadap buku.” Hairan sungguh
Azman melihat teman sebiliknya itu.
“Mestilah kena rajin. Kalau tak, macam mana nak
maintain 4 flat. Lagipun satgi mata ayaq aku nak mai.
Buatlah persediaan sikit-sikit dulu.”
“Alice datang sini? Buat apa?” soal Azman ingin tahu.
“Nak bincang pasal assignmentlah, tu yang aku kalut
sangat ni.”
“Isy, sejak dari tahun pertama... dari ASTAR sampai
Dayasari. Tak habis-habis kau tolong dia. Tak penat ke?”
Azman masih lagi hairan dengan sikap Azmil. Bukan dia tidak
tahu perangai kawannya yang seorang ini. Macam melukut
di tepi gantang, ada tak ada pun bukannya Alice ambil tahu.
“Bila lagi aku boleh berdamping dengan Alice tu?
Dulu kat ASTAR, bolehlah menghadap muka dia hari-hari.
Dah kena pindah Dayasari, kira nasiblah kalau boleh tengok
muka dia lagi. Dia budak law, aku budak engine... celah mana
lagi nak jumpa?” Azmil mengeluh perlahan.
Terbayang wajah Alice di ruang mata. Mula-mula
sekali mendaftarkan diri di ASTAR, Alice gadis pertama yang
dikenalinya. Dia sendiri tidak tahu bila satu perasaan aneh
hadir dalam hidupnya. Jika dipandang wajah Alice, tidak
keruan hatinya berdendang. Alice gadis yang bertakhta dalam
hatinya itu milik Syahir. Dia sedar diri. Tubuh gempalnya
selalu saja jadi bahan lawak Alice. Namun dia gembira.
Walaupun Alice mempergunakan dirinya, dia tidak kisah.
Baginya jika Alice bahagia, dia pun ikut bahagia.
“Cuti ni balik kampung tak?”
“Baliklah. Nanti cuti semester panjang, bukan boleh
balik kampung lagi. Ada latihan ROTU.” Teringat keperitan
latihan ketenteraan itu. Tapi minat punya pasal dan nak
menguruskan badan yang gempal ini, terpaksalah dia
bertahan.
“Kenapa kau nak buat kerja sia-sia ni?”
“Maksud kau?” soal Azmil hairan. Tiba-tiba saja
Azman masuk semula topik berkaitan Alice.
“Bersusah payah untuk Alice. Tapi Alice sikit pun tak
hargai,” luah Azman jengkel.
“Entahlah. Untuk Alice aku sanggup buat apa saja.
Biarlah kau kata aku bodoh sekalipun. Yang penting, aku
ikhlas.” Pandangan mata dibuang ke luar tingkap melihat
kawan-kawan sekolejnya bermain sepak takraw.
“Aku bukannya apa, Mil. Aku tak nak kau berputih
mata. Sekarang ni pun Syahir yang mendapat tempat di hati
Alice. Kau siapa?” selar Azman. Dia tahu benar percintaan
antara Syahir dengan Alice kerana selalu benar dia
bertembung merpati dua sejoli itu di Fakulti Undang-undang.
“Aku tahu. Tapi sedangkan suami isteri pun boleh
berpisah, inikan lagi kekasih. Lagipun jodoh itu Allah yang
tentukan. Kalau sudah tertulis jodoh Alice itu ialah Syahir,
aku terima dengan reda. Tapi kita kena percaya kepada qadak
dan qadar. Allah tak akan mengubah nasib seseorang itu jika
kita sendiri tak mahu mengubahnya.” Bersemangat betul
Azmil mempertahankan hujahnya.
Azman mengerutkan dahi tanda tidak faham.
“Maksud kau?”
“Best man wins. Aku akan berusaha selagi Alice itu
belum hak mutlak Syahir,” tekad Azmil.
Azman hanya menggaru kepala yang tidak gatal.
Pelik memikirkan pendirian Azmil. Fikirnya, zaman alaf
baru ini sudah tidak ada lagi lelaki yang terkejar-kejarkan
perempuan. Lebih-lebih lagi lelaki kaya seperti Azmil.
Maklumlah bapanya tauke balak di Sabah. Azmil pula anak
lelaki tunggal. Sengaja berlagak seperti budak miskin kerana
sejak kecil dia sudah menetap di Kedah dengan tok dan tok
wannya, seorang pesawah. Tiada sesiapa pun tahu mengenai
latar belakang Azmil kecuali dia.
“Kau tak pernah beritahu pada Alice?” soal Azman.
“Beritahu apa?” soal Azmil pula sambil keningnya
dikerutkan. Entah perihal apa yang penting sangat untuk
diceritakan kepada Alice.
“Kau anak tauke balak di Sabah. Kau lebih kaya
daripada Syahir.”
“Hesy, mengarut!” Azmil senyum.
“Kenapa pula?”
“Alice tu bukan gila harta. Biarlah dia kenal aku
sebagai anak kampung. Biarlah dia terima aku seadanya.
Lagipun yang kaya itu bapa aku. Bukannya aku.”
Azman hanya mengangkat kening. Mungkin
menyetujui pendapat Azmil.
Azan maghrib yang berkumandang menghentikan
sebentar perbualan mereka. Azman pula sudah bersiap
menyalin seluar pendek yang dipakai dengan kain pelekat.
Baju-t yang tersarung di badan ditukar dengan baju Melayu.
Ketayap putih yang tersedia di atas meja studi disauk lalu
diletakkan ke atas kepala.
“Aku nak pi surau ni. Mailah kita sekali,” pelawa
Azman.
“Hari ni aku solat kat bilik aje. Nanti nak sambung
studi assignment ni sat. Kirim salam aje kat kawan-kawan
eh.” Azmil terpaksa menolak pelawaan Azman.
Selalunya memang dia kerap ikut solat berjemaah
di surau Dayasari pada waktu maghrib dan isyak. Kemudian
sama-sama ikut usrah dengan rakan-rakan yang lain. Cuma
hari ini disebabkan jadual yang padat, dia terpaksa membuat
pilihan.
“Insya-Allah. Aku pergi dulu. Assalamualaikum,”
ucap Azman sebelum kakinya melangkah keluar dari pintu
bilik.

Firdaus Buat Jannah - Bab 5

RAIS Firdausi menarik nafas lega. Seminar pada
hari ke-3 yang sepatutnya berakhir lewat, tamat lebih awal.
Sepatutnya, esok saja dia akan berangkat pulang. Tapi dia
mengambil keputusan untuk pulang petang ini saja kerana
tidak mahu membazir masa dan tenaga. Lebih cepat dia balik,
maka lebih cepat dia dapat menyusun agenda berkaitan usaha
sama yang baru terjalin semasa seminar itu berlangsung.
Penat usah cakaplah. Tapi dia amat berpuas hati
kerana dapat memperkenalkan ciptaan terbaharu British
Technology dalam bidang telekomunikasi. Yang lebih
menggembirakan, dia berjaya menjalin usaha sama dengan
syarikat telekomunikasi yang terulung di Malaysia. Sebab itu
dia tak mahu membuang masa. Semangat berkobar-kobar
untuk menyiapkan beberapa agenda perihal usaha sama ini
telah membuatkan dia ingin segera balik ke Kuala Lumpur
semula.
“Huh, bosan!” Tiba-tiba Rais Firdausi melepaskan
keluhan. Kalaulah dia mempunyai teman untuk diajak
berbual, tidaklah dia kebosanan memandu sendirian.
Ingatan kepada Aida, tiba-tiba menerjah ruang
fikiran. Gadis Serani setiausahanya itu jelas di pandangan
mata. Dengan liuk lentok tubuh yang menggoda, dengan
lirikan mata yang mengharap, benar-benar menggetarkan
naluri kelelakiannya.
Rais Firdausi tersenyum lebar. Memang cita rasanya
terhadap perempuan agak tinggi. Hampir semua wanita yang
menjadi teman tidurnya adalah wanita asing. Bukan dia tidak
berkeinginan dengan wanita Melayu, cuma dia tidak mahu
terlibat dengan skandal. Wanita Melayu agak sensitif dan
tertutup pemikirannya.
Semenjak balik ke Malaysia, banyak aktiviti sosialnya
dihadkan. Dia bimbang jika ditangkap basah. Lebih-lebih lagi
kalau Alice dapat menghidu kehidupan sosialnya. Entahlah,
dengan Alice dia cukup menjaga tatasusila. Seboleh-bolehnya
dia tidak mahu melukakan hati Alice, satu-satunya adik
kandung daripada ibu yang disayanginya.
Tapi hari ini, keinginan itu datang semula. Ingin
sekali dia menjamah batang tubuh wanita. Dan ingatan pada
Aida muncul tiba-tiba. Dia tahu, Aida juga berkeinginan
sepertinya. Dari lirik mata, dia sudah dapat membaca
segalanya. Mungkin juga sudah terlalu lama dia tidur seorang,
perasaan ingin menakluki datang semula.
Lantas nombor telefon Aida dicari dan didail.
Earphone disumbat ke telinga. Di hujung talian dia
mendengar suara manja Aida.
“Helo, Aida...” Rais membetulkan earphone di
telinga.
“Mr. Rais ke?” soal Aida hairan. Mimpi apa?
“Are you free tonight?”
“Hmm... I think so. Why?”
“Datang rumah I malam ni. Tapi I masih lagi dalam
perjalanan. Maybe sebelum pukul 9, I sampai.”
“Tapi, sekarang ni baru pukul 7.”
“I memang nak you datang awal. Be prepared.
Lagipun I nak minta tolonglah.” Lembut tutur Rais Firdausi
mula memancing.
“Tolong? Hmm...” Manja sekali suara Aida.
“Mula-mula tolong kemaskan rumah I, lepas tu...”
Sengaja Rais Firdausi mula menggoda. Di hujung talian dia
mendengar tawa manja Aida.
“I tak ada kuncilah. Nanti orang ingat I pencuri
pulak.”
“Ala... you ni, macam tak biasa datang rumah I.
Kunci kat tempat biasa. Bolehlah ya?” pujuk Rais Firdausi.
“Baiklah. Bye. Jumpa malam ni.”
Aida sudah biasa datang ke rumah. Cuma tidak
pernah bermalam. Datangnya pun atas urusan memantau
home service mengemaskan rumah majikannya itu. Aida
bukan setakat setiausaha di pejabat, tapi melarat sampai ke
luar pejabat. Rumah Rais Firdausi sudah menjadi rumah
kedua bagi Aida. Bezanya hubungan mereka tidak sampai lagi
ke tempat tidur. Setakat ringan-ringan, itu biasalah.
Rais Firdausi selalu memasang angan-angan untuk
bersama Aida, tetapi waktu tidak mengizinkan. Bimbang
jika Alice datang menerjah. Tadi, otaknya ligat berfikir. Alice
tidak akan datang jika dia ke luar daerah. Tambahan pula,
cuti pertengahan semester semakin hampir. Tentu Alice
sibuk menyiapkan segala assignment. Paling tidak pun sibuk
berdating dengan Syahir. Maklumlah orang sibuk bercinta.
Berpisah sehari pun macam seribu tahun. Dia arif benar.
Dan paling yakin, Alice tidak punya kunci untuk masuk ke
rumahnya.
Rais Firdausi terus memandu dengan harapan yang
berbunga-bunga. Mulutnya ikut menyanyi lagu Rahasia
Wanita nyanyian Arilasso yang diputar oleh Deejay ERA itu.

Firdaus Buat Jannah - Bab 4

PERTAMA kali menjejakkan kaki ke
Kondominium Pantai Hillpark, terlopong mulutnya.
Terpegun melihat ketinggian bangunan tersebut. Setelah
Alice meletakkan Vios rona biru itu di tempat parkir yang
disediakan, mereka menaiki lif untuk ke tingkat 10.
Nur Jannah hanya mengekori langkah Alice yang
agak laju itu. Matanya meliar memerhati keadaan sekeliling
kondo tersebut. Di bawah, Nur Jannah melihat kolam renang
yang membiru airnya disimbah lampu neon. Seronok jika
dapat berenang di situ. Teringat sungai di kampungnya.
Airnya sejuk sehingga terasa ke tulang hitam.
“Oiit... nak ke mana tu?”
Teguran Alice mematikan langkah Nur Jannah. Alice
sudah tercegat di hadapan rumah bernombor 4, sedangkan
dia sudah terlajak ke hadapan. Ditampar belakang lehernya.
Itulah, asyik mengelamun saja.
Alice tergelak melihat gelagat rakannya itu.
Sekali lagi Nur Jannah terpegun saat kaki melangkah
masuk ke dalam rumah milik abang Alice. Hiasan dalaman
rumah itu memang cantik dan mewah. Sesuai benar dengan
kemewahan pemiliknya. Namun rumah tersebut juga agak
berselerak. Ruang tamunya lintang-pukang dengan surat
khabar dan majalah yang tidak tersusun. Cakera-cakera padat
juga tidak tersusun pada raknya. Pinggan kotor dan mug yang
tidak dibasuh sudah berkulat di atas meja menghadap TV.
Tergeleng kepala Alice melihat suasana rumah yang
tunggang-langgang laksana dilanggar dinosaur itu.
“Itulah, aku dah cakap. Mesti macam tongkang
pecah,” bebel Alice mula menyingsing lengan bajunya.
Tudung yang menutupi kepala segera ditanggalkan. Sekilas
dia melihat jam di pergelangan tangan. Sudah menginjak ke
angka 6 petang. Mereka belum lagi solat asar.
“Hmm, aku ni dah lambat nak solat. Solat dululah.”
Alice bercakap sendiri. Sekilas dia melihat Nur Jannah yang
tercengang melihat suasana rumah yang tidak berkemas ini.
“Jomlah sekali,” ajak Alice.
Spontan Nur Jannah menggeleng.
“Aku cutilah, babe.”
“Ha... aaa... lupa pulak aku. Hmm, apa kata kau
tolong kemas ruang tamu ni sementara aku solat? Tolong
eh...” Alice kecilkan matanya. Malu pula mengarah teman
baiknya buat itu ini sedangkan rumah ini milik abangnya,
bukan abang Nur Jannah.
“Kacang aje, babe. Macamlah aku tak biasa. Apalah
sangat buat kerja-kerja cleaner ni. Sekali hembus aje.” Nur
Jannah kenyit mata.
Alice tersengih.
“Tak apa ke? Kau tu tetamu aku,” soal Alice terasa
bersalah.
“Pergilah. Tak baik melewatkan solat. Biar aku aje
kemas. Rumah kau rumah aku juga,” seloroh Nur Jannah.
Tudung yang dipakai sudah ditanggalkan. Ikatan rambut yang
longgar itu dibuka. Rambut yang lebat dan hitam itu berjurai
jatuh melepasi bahu. Kemudian diikat kembali dengan lebih
kemas lalu disanggul tinggi.
Alice pantas menuju ke bilik yang pertama sekali.
Jeritan kecil Alice mengejutkan Nur Jannah yang baru
hendak menyusun majalah dan surat khabar. Segera Nur
Jannah berlari ke arah rakannya itu.
Alice mengurut dada dan beristighfar berkali-kali.
“Kenapa?” soal Nur Jannah cemas.
“Kau tengoklah bilik ni. Hesy, macam dilanggar
dinosaur,” marah Alice. Muncung mulut ditarik panjang. Air
muka berubah merah.
“Sabar,” ucap Nur Jannah pendek.
Memang betul. Bilik utama itu seperti dilanggar
dinosaur. Baju kemeja yang sudah dipakai dibiarkan bersepah
di atas lantai. Stoking, tali leher disidai sesuka hati di kepala
katil. Hatta, seluar kecil diletakkan saja di depan muka pintu
bilik air. Di atas meja kerja, ada mug dan mangkuk berisi
Maggi yang entah berapa hari terletak di situ. Almari pakaian
terbuka lebar.
‘Memang pemalas betul abang Alice ni,’ getus Nur
Jannah dalam hati. Dalam pada mengutuk itu, matanya
tertancap pada sehelai gaun tidur berona merah hati yang
tergantung di dalam almari. ‘Cantik!’ desisnya pula.
“Eh, mana katilnya?” tanya Nur Jannah pelik. Alice
sudah pun membongkokkan badan mengutip pakaian yang
bertaburan di atas lantai.
“Kalau kemas ni, sahih satu hari pun tak siap,” bebel
Alice lagi.
“Dahlah tu. Pergi solat cepat. Biar aku aje yang buat.
Semua ni tinggal kat aku. Biar malam ni aku kemaskan. Kau
tu kena ingat, malam ni kau kena jumpa Azmil. Dahulukan
yang mana penting dulu,” arah Nur Jannah.
Alice cuma menurut. Kelibatnya hilang di balik bilik
air. Nur Jannah menyambung kerja Alice yang tergendala
tadi. Dikutip segala pakaian kotor itu lalu diletakkan ke dalam
bakul kosong yang terdapat di penjuru katil. Entah apalah
fungsi bakul kosong itu sebenarnya kalau pemiliknya sesuka
hati meletakkan pakaian kotor merata-rata.
Kemudian Nur Jannah segera ke pintu almari. Daun
pintu itu dipegang untuk menutup semula almari yang
terpelahang itu. Tapi niatnya mati apabila sepasang mata
asyik tertumpu pada gaun tidur yang menarik minatnya tadi.
“Seksi...” bisiknya perlahan. Baju tidur bertali
halus itu memang cukup seksi. Sudahlah pendek. Leher
berpotongan rendah. Belakangnya pula cuma bersilangkan
tali. Kalau dipakai, mesti hampir separuh belakang badan
terdedah.
“Hoi, buat apa tu!”
Sergahan Alice membuatkan gaun tidur yang
dipegangnya terlepas dari pegangan.
“Wow, seksinya! Tapi cantik,” getus Alice pula.
Nur Jannah tersenyum lalu diraih gaun tidur itu dari
tangan Alice. Gaun itu dikenakan ke tubuhnya.
“Padan tak?”
Laju saja Alice mengangguk.
“Kalau dah berkenan, pakai saja buat tidur.”
“Seksilah. Siapa punya gaun ni?” soal Nur Jannah
hairan.
“Ni mesti baju teman one night stand abang aku.
Hesy, geram betul! Bilalah nak berubah? Ingatkan dah balik
Malaysia, semua perangai buruk tak dibawa sekali.” Herot
mulut Alice membebel.
“Dah, dahlah membebel. Solat dulu. Nanti hilang
marahnya kalau dah menghadap Allah.”
Alice cuma menurut. Dia melangkah keluar dari
bilik utama tersebut. Nur Jannah mengekori dari belakang.
“Eh, nak ke mana tu?” soal Nur Jannah hairan
melihat Alice masuk ke bilik tengah.
“Solatlah,” luahnya.
Nur Jannah mengikut langkah Alice. Bulat matanya
melihat bilik tengah yang kemas dan tersedia sebuah katil
besar dan berbau harum itu. Di sisi katil terdapat sebuah
meja kecil. Di atas meja itu terletak lampu tidur dan beberapa
bingkai gambar. Lantas Nur Jannah membaringkan tubuhnya
di atas katil itu dan tangannya segera mencapai bingkai
gambar tersebut.
“Oh, inilah abang kau si Rais Firdausi tu?” soal Nur
Jannah.
Alice hanya mengangguk. Dia sudah lengkap
bertelekung. Sejadah sudah dihamparkan untuk mula
bersolat.
“Aku solat dulu. Nanti kita sambung sembang.”
Nur Jannah hanya menurut. Matanya kembali
menatap semula wajah yang tertera di bingkai gambar yang
diambil tadi.
‘Handsome. Mata coklat,’ getusnya tersenyum.
Kemudian dia tertawa kecil. Mulutnya ditekup supaya ketawa
itu tidak mengganggu solat Alice. Tiba-tiba dia teringatkan
pada hajat Alice untuk menyatukannya dengan lelaki itu.
‘Huh, amatlah tidak sesuai sekali. Dia enggang, aku
pipit. Mana boleh terbang bersama?’ Perlahan bingkai gambar
itu diletakkan kembali ke atas meja.
Nur Jannah bingkas bangun. Perlahan dia berjalan
keluar dari bilik itu. Pintu ditutup lalu langkahnya diteruskan
ke ruang tamu. Tangan mula ligat mengemas di ruangan itu
pula.

Firdaus Buat Jannah - Bab 3

KAFE yang terdapat dalam Bangunan
Perdanasiswa penuh sesak dengan pelajar-pelajar yang
singgah makan di situ. Nur Jannah dan Alice tercari-cari
tempat kosong. Di suatu sudut terlihat tangan Azmil Idris
melambai-lambai ke arah mereka.
Nur Jannah tersenyum. Alice pula menarik muka.
Sebenarnya dia malas untuk bertemu Azmil yang digelarnya
‘teddy bear’ itu. Memang fizikal Azmil agak besar, tapi
wajahnya cute dan keanak-anakan membuatkan Azmil
nampak comel seperti teddy bear.
Nur Jannah menarik lengan Alice menuju ke arah
Azmil. Kebetulan ada 2 tempat kosong di situ. Beg yang
disandang diletakkan ke atas meja. Kemudian mereka beratur
untuk membeli nasi campur. Setelah selesai membayar di
kaunter, mereka menapak semula ke arah Azmil.
“Amboi, korang ni! Macam selebriti. Nak cari pun
susah. Tambah-tambah si Alice ni, asyik berdating 24jam,”
bebel Azmil.
Nur Jannah senyum, Alice pula menarik muncung.
“Kau ni pun, kalau nak berletiaq, tunggu sat lagilah.
Bagilah kami makan dulu,” ujar Nur Jannah dalam loghat
Kedah. Kebetulan Nur Jannah dan Azmil senegeri.
Selesai makan dan membasuh tangan, Nur Jannah
membetulkan tudungnya yang melorot hampir menutup
separuh dahinya. Manakala Alice pula mengelap sisa-sisa
makanan yang terlekat di tudungnya yang berwarna biru.
“Kau ni, makan macam budak-budak. Mulut bocor
ke?” usik Azmil.
Alice menjeling tajam. Geram.
“Malam ni, kau jangan merayap. Asyik nak berdating
dengan Syahir aje. Hari-hari jumpa kat fakulti, tak jemu ke?”
bebel Azmil lagi.
Alice hanya memekakkan telinga. Dia faham benar
dengan sikap Azmil. Kalau membebel, kalah nenek tua. Kalah
bertih yang digoreng.
Nur Jannah cuma jadi pemerhati yang tidak
bertauliah. Faham benar dengan gelagat 2 orang makhluk
di depannya ini. Nampak macam benar-benar bergaduh. Tapi
sebenarnya gaduh-gaduh sayang. Bukan dia tidak tahu sikap
Azmil. Memang sengaja suka sakitkan hati Alice, tapi kerana
Alice jugalah dia rela bersusah payah menyiapkan assignment
kalau Alice buka mulut minta tolong.
“Apa hal nak jumpa malam ni? Siang hari tak boleh
ke?”
“Ooo... kalau aku nak jumpa, malam tak boleh. Kalau
Syahir... pagi, petang, siang, malam, tak apa?” sungut Azmil
tidak puas hati.
“Syahir tu pakwe aku. Kau tu siapa?” soal Alice
geram.
“Aku ni hamba abdi kau,” balas Azmil tinggi.
“Hei, sudah-sudahlah bertekak tu. Malulah orang
tengok. Macam budak-budak.” Nur Jannah ikut campur
apabila melihat reaksi 2 orang sahabatnya itu sudah lain
macam.
“Kau kena ingat Alice. Esok dah nak kena bentang
assignment. Silap buat nanti, kantoi. Paper wajib lulus ni.
Nanti tak pasal-pasal sangkut degree pulak.”
“La... kan kata dah settle?” soal Alice lagi.
“Memanglah assignment dah settle. Itu pun aku
yang buat. Kau kena ingat, ini kerja kumpulan. Markahnya
dikongsi 2. Tahu tak?” Azmil meninggikan suara. Kiri kanan
orang memerhatikan mereka, namun Azmil tetap bersikap
selamba.
“Aku tahu assignment dah settle. Apa lagi yang tak
kena?” Giliran Alice pula meninggikan suara. Dia tidak mahu
kalah bertekak dengan Azmil.
“Tapi kena juga buat persediaan. Kena soal nanti,
kau nak jawab apa? Mentang-mentang budak law. Kau ingat
paper TITAS ni, kacang?” Azmil membeliakkan matanya
tanda marah.
“Yalah, yalah. Tapi kenapa malam? Petang ni tak
boleh ke?” Kali ini suara Alice sudah sedikit mengendur. Cuba
menyejukkan perasaan Azmil yang panas tadi.
“Masalahnya, petang nanti aku ada kelas sampai
pukul 6. Aku nak mandi, nak solat. Nak makan dan nak rehat.
Jadi pukul 8.30 malam tu kira oraitlah.”
Alice menggaru kepalanya yang tidak gatal lalu
memandang wajah Nur Jannah yang leka membaca buku di
sebelah.
“Habis tu macam mana Jannah, pelan kita malam
ni?” soal Alice.
Nur Jannah mengangkat bahu tanda tidak tahu. Dia
ikut saja apa keputusan Alice.
“Pelan apa?” soal Azmil ingin tahu.
“Malam ni kita orang nak pergi rumah abang aku kat
Hillpark.”
“Nak ikut!” Selamba saja Azmil menawarkan diri
untuk ikut serta.
“Hesy, tak malu nak ikut kita orang. Kau tu lelaki,
bukan perempuan. Lelaki haram okey...” marah Alice sambil
jegil biji mata.
“Batal ajelah,” saran Nur Jannah. Tunak matanya
menghala ke wajah Alice. Masih menanti kata putus
sahabatnya itu.
“Tak boleh. Abang aku outstation. Masa inilah sesuai
nak buat spot check,” bantah Alice.
Azmil hanya melihat dengan mata terkebil-kebil.
Tidak faham dengan pelan yang dibincangkan 2 gadis di
depannya ini.
“Okeylah. Malam ni pukul 8.30 aku tunggu kau kat
dewan,” cadang Alice.
“Dewan Tun Perak ke Dayasari? Kita bukan satu
kolej,” tanya Azmil inginkan kepastian.
Dahulu, Azmil memang satu kolej kediaman dengan
mereka. Tetapi setelah Azmil menyertai ROTU, dia telah
dipindahkan ke Kolej Kediaman Dayasari.
“Dayasarilah. Aku tahulah kau tu sibuk. Lagipun,
cepat sikit habis perbincangan kita kalau aku ke sana. Nak
harap kau datang ASTAR, mampu ke kapcai buruk kau tu?”
perli Alice, apabila teringatkan kapcai Honda 70 milik Azmil
yang sudah uzur benar itu.
“Kau jangan hina kapcai aku. ASTAR dengan Dayasari
bukannya jauh. Aku kentut pun dengar.”
Nur Jannah hanya menggeleng kepala. Nampaknya
pertengkaran antara Alice dan Azmil tak akan berakhir selagi
mereka tidak beredar dari situ.

Firdaus Buat Jannah - Bab 2

“CINTA? Aku hanya akan bercinta selepas
kahwin,” luah Nur Jannah. Namun matanya masih tertumpu
pada skrin laptop milik Alice Suraya Zainal itu.
“Kalau macam tu, boringlah hidup kau. Kalau kau
kahwin umur 30 tahun, so... ada lagi 8 tahun barulah nak
merasa cinta. Isy, tak naklah aku. Buang masa. Kita baru
22 tahun. So, masa inilah sesuai nak bercinta.” Alice masih
lagi baring-baring di tilam empuk sambil memintal-mintal
hujung rambutnya yang kerinting itu.
“Yang kau ni, duk bersedap-sedap atas katil, kau dah
siap ke assignment tu?”
Alice bangun, mundar-mandir di sekeliling Nur
Jannah. Kemudian duduk di sebelah rakannya itu.
“Teddy bear dah siapkan,” jawab Alice malas.
“Bagus benarlah tu. Ada assignment, cari teddy
bear. Kalau nak berseronok, cari Syahir. Tak kesian ke kau
buat Azmil macam kuli?” Nur Jannah berhenti menaip, lantas
merenung wajah Alice di sisinya.
“Azmil, teddy bear tu? Kesian apa bendanya? Dia
yang sukarela. Aku tadah tangan ajelah.”
Nur Jannah menggeleng sambil memerhati Alice
yang sudah bangun menuju ke pantri.
‘Hmm, anak orang kaya. Cantik pulak tu. Ramailah
yang nak. Kesian si Azmil. Banyak sangat tolong Alice.
Syahir bukan baik pun, harap handsome aje. Perangai ya
Rabbi. Alice pun, tak fahamlah! Macam mana boleh berkenan
pada si Syahir tu?’ Panjang omelan Nur Jannah dalam hati.
Berkerut-kerut mukanya. Tangannya masih ligat menaip
assignment berkaitan Undang-undang Tanah itu. Sesekali dia
tersenyum apabila teringatkan gelagat Azmil dan Alice yang
serupa kucing dengan anjing setiap kali bertemu.
“Hah, senyum-senyum tu ingat mata air mana
pulak?” Sengih Alice muncul dari arah pantri membawa 2
mug berisi air teh.
“Bukan teringat mata airlah. Tapi, ingatkan gelagat
kau dengan Azmil.”
“Ah, lagi-lagi teddy bear tu. Kalau berkenan,
kau ambil ajelah. Bagi free pun aku tak nak,” luah Alice
memuncungkan mulutnya.
Nur Jannah senyum lagi.
“Masalahnya, Azmil tu berkenan kat kau. Bukan
aku. Lagipun aku hanya akan bercinta lepas kahwin. Dengan
suami sendiri, baru best.”
Bulat mata Alice mendengar pengakuan Nur Jannah.
Selama ini sahabatnya yang seorang ini amat pemalu.
Jarang sekali mahu meluahkan keinginan dalam hati.
Tambah-tambah soal itu melibatkan lelaki.
“Kau suka kat Azmil? Huh, tak percaya aku!”
Melopong mulut Alice.
Nur Jannah ketawa.
“Aku auta ajelah. Aku tak ada pun perasaan pada
Azmil tu. Aku yakin, satu UM ni pun tak ada yang berkenan
pada aku.” Nur Jannah mencuit hidung Alice yang mancung
itu.
Alice mendengus halus. Barangkali tidak suka
Nur Jannah mencuit hidungnya ataupun sikap Nur Jannah
yang suka merendah diri itu. Acap kali benar Nur Jannah
memberikan alasan kekurangan diri jika sang jejaka cuba
mencuri hatinya. Dan acap kali juga Alice akan memarahi
sikap rendah diri Nur Jannah yang tidak kena tempat itu.
“Mari sini!” Alice menarik tangan Nur Jannah yang
masih berteleku di depan skrin laptop.
Nur Jannah hanya menurut.
“Tengok sini!”
“Tengok apa?” soal Nur Jannah. Di hadapan mereka
cuma ada cermin besar yang menampakkan separuh dirinya
dan juga Alice.
“Kau tengok betul-betul muka kau pada cermin ni.”
Tuding Alice pada cermin besar di hadapan mereka.
Nur Jannah melihat ke arah cermin. Tiada apa-apa
yang menarik.
“Wahai cermin ajaib, siapakah yang paling cantik
sekali di UM ini?” ucap Alice sambil kedua-dua tangannya
digerakkan lagak seperti ibu tiri Snow White memuja mirror
on the wall.
Nur Jannah tergelak besar. Dicubitnya lengan Alice.
Terjerit Alice menahan sakit tapi tetap juga berlagak seperti
tadi.
“Hah, tengok tu! Wajah kau kat cermin ni. Cermin
ajaib aku ni tak pernah menipu. Kaulah yang paling cantik!”
terang Alice bersungguh-sungguh.
“Temberang! Cermin ajaib konon!” Nur Jannah
ingin segera beredar. Tak mahu terlibat lagi dalam permainan
olok-olok ini. Tapi ditahan Alice.
“Cuba kau lihat betul-betul,” arah Alice lagi.
Nur Jannah menurut saja. Dilihat wajahnya
di cermin. Biasa saja. Tiada apa-apa yang menarik pun.
Warna kulit pun ala-ala hangit saja. Akhirnya Nur Jannah
menjelirkan lidah. Alice tertawa besar melihat tingkah Nur
Jannah. Tangannya segera merangkul bahu rakannya itu.
“Kau tahu tak?”
Nur Jannah angkat bahu tanda tidak tahu.
“Aku paling suka tenung wajah kau. Tatap lama-lama.
Kau kata wajah kau biasa-biasa saja. Tapi aku suka wajah
tu. Terutama sekali pada mata kau. Mata kau sayu sangat.
Wajah polos. Sesiapa yang tengok kau, pasti sejuk hati.
Kadang-kadang kalau aku nak marah, mood aku tak stabil...
wajah kaulah penawarnya.”
“Really?” Nur Jannah senyum mendengar pujian
melangit Alice. “Nak bodek ke? Tak ada duit nak kasilah.”
“Isy, aku cakap betullah. Wajah kau tenang sangat.
Part yang paling aku suka sekali, bila kau senyum. Manisnya
macam gula. Minum kopi pahit pun tak terasa,” luah Alice
ikhlas.
Nur Jannah ketawa besar sambil menekan-nekan
perutnya. Geli hati mendengar pujian Alice. Barangkali Alice
buta gamaknya menilai kecantikan seseorang. Jika hendak
dibandingkan kecantikan antara mereka berdua, bagai langit
dengan bumi jaraknya. Sudahlah Alice cantik, berdarah
kacukan Irish-Melayu lagi. Hidup pula dalam kemewahan.
Sedangkan dirinya serba kekurangan. Sudahlah miskin, ayah
pula sudah lama tiada. Ibu dan adik sajalah tempat bermanja.
Tiba-tiba wajah ibu dan Sofian muncul di ruang
mata. Nur Jannah melepaskan keluhan. Rindu pula dia untuk
menatap wajah-wajah orang tersayang dalam hidupnya.
“Hei, dengar tak apa aku cakap?”
Nur Jannah tersentak daripada lamunan yang
panjang. Dia merenung semula wajahnya di cermin. Alice
sudah menarik muncung.
“Sorry eh, teringat kampung sekejap. Kau cakap apa
tadi?” soal Nur Jannah.
Wajah yang muncung tadi kembali ceria. Alice cepat
saja terpujuk dengan ucapan maaf itu.
“Aku kata, Syahir pernah puji kau. Katanya kau
ala-ala wanita Melayu terakhir.”
Nur Jannah terkejut. Terangkat keningnya. Tidak
sangka Syahir jejaka idaman Fakulti Undang-undang itu
memujinya. Tetapi rasa terkejut itu tidak lama kerana dia
tidak percaya pada kata-kata Syahir jejaka romeo itu.
“Kau tahu tak? Aku nak sangat kau jadi saudara
aku. Jadi kak ipar aku. Baik hati dan sekepala dengan aku.
Tapi, wanita yang baik untuk lelaki yang baik, kan?” Alice
mencemik putus asa.
Nur Jannah terkejut lagi. Dadanya diurut perlahan.
Tidak percaya mendengar kata-kata gurauan Alice. Sampai
begitu besar sekali hajatnya. Sesungguhnya dia bersyukur
kerana mempunyai sahabat seperti Alice. Sudahlah tidak
berkira dengannya. Keluarganya juga baik-baik.
Bukan dia tidak kenal Tuan Zainal dan Puan
Mariam, juga si cilik Faiz dan Faizi. Memang dia sudah lama
mengenali mereka. Faiz dan Faizi pun sudah dianggap seperti
adik sendiri. Keluarga Alice banyak membantu meringankan
beban kewangannya.
Dia sedar, belajar di universiti tertua di kota besar ini
tentu memakan belanja yang bukan sedikit. Pendapatan yang
diterima hasil mengajar tuisyen kepada Faiz dan Faizi tak
terbanding dengan tenaganya yang tidak seberapa. Sungguh
benar dia terhutang budi terhadap Alice sekeluarga. Tak
terbayar rasanya.
Sekarang Alice memasang hajat untuk menjadikan
dirinya sebagai bakal kakak ipar pula. Budi yang ditabur tak
tertanggung dek badan rasanya.
“Kau ni Alice, cakap macam pak lawak.” Nur Jannah
beredar dari cermin besar itu lalu merebahkan badan di katil
bujang miliknya.
Alice mengekori langkah Nur Jannah dan ikut baring
di sebelah rakannya itu. Suka tidur berhimpit begitu.
“Aku seriuslah. Kalau abang aku tu baik, memang
aku suruh abah aku hantar aje pinangan.”
“Abang kau bukan kat London ke?” soal Nur Jannah
ingin tahu. Seingatnya dulu, Alice ada bercerita yang abang
kandungnya itu menetap di London.
“Lupa pulak aku nak cakap. Dah 2 bulan dia balik
sini. Naik pangkat dan dipindahkan di Kuala Lumpur ni.”
“Alhamdulillah. Makbul juga doa kau selama ini,
Alice. Abah dan Chek Mariam tahu?”
“Tahu. Mereka yang sambut kepulangan abang masa
kat airport hari tu. Tapi kau faham ajelah, abang aku buat abah
dan mak uda aku tu macam orang asing. Entahlah. Apalah
lagi yang tak kena?” Alice mengeluh mengenangkan sikap
abangnya. “Mak uda aku tu baik orangnya. Aku bersyukur
kerana abah bertemu jodoh dengan mak uda. Kalau tidak,
tentu hidup kami masih lagi tunggang-langgang,” luah Alice
sayu. Puan Mariam yang dipanggil mak uda itu ialah isteri
muda yang dikahwini Tuan Zainal selepas kematian isteri
pertamanya.
Nur Jannah khusyuk mendengar luahan hati
Alice. Kasihan! Bukan sekali dua Alice bercerita mengenai
abangnya, Rais Firdausi itu. Acap kali jika ada masalah, dialah
tempat Alice meluah rasa.
Rais Firdausi, namanya saja yang didengar Nur
Jannah. Orangnya tidak pernah dikenali walau dalam gambar
sekalipun. Tentu kacak orangnya. Maklumlah anak kacukan.
“Kalau abang kau baik sekalipun, aku tak nak
terimalah. Macam langit dengan bumi. Tak sekufu. Abang kau
tentunya kacak, aku pulak hodoh. Lagipun tak terlaratlah aku
nak balas budi.”
“Aku tak minta pun kau balas. Aku ikhlaslah. Kau ni,
tak ada alasan lain ke? Balik-balik isu hodoh juga yang kau
bangkitkan.” Alice mendengus geram.
“Betullah. Aku hodoh. Kulit gelap.”
“Ciptaan Allah ni mana yang tak cantik Jannah? Soal
cantik, hodoh ini universal Jannah. Bagi kau tak cantik...
bagi aku, kau cantik. Kufu ke tak sekufu ke, bukan diukur
dengan harta benda dan luaran sahaja. Tapi diukur dengan
keimanan.”
Nur Jannah terdiam mendengar apa yang
diungkapkan oleh Alice itu. Cakapnya tadi sekadar bergurau
sahaja. Tak sangka Alice menganggapnya serius.
“Aku minta maaf, Ustazah Alice. Janji tak buat lagi.”
Nur Jannah pandang wajah Alice dengan mata terkelip-kelip
mohon ampun.
Alice menarik senyum. Wajah Nur Jannah yang
manis itu cepat saja membuatkannya sejuk hati.
“Kalau kau ulang lagi pasal isu hodoh ni, aku piat
telinga kau.”
Nur Jannah menjerit kecil apabila jari Alice sudah
mendarat di cuping telinganya. Mereka tenggelam dalam
ketawa yang terlahir ikhlas dari hati masing-masing.

Firdaus Buat Jannah - Bab 1

SHAIK melangkah masuk ke perut bangunan
yang tertera perkataan British Technology itu. Buat pertama
kali, dia akan bertemu dengan COO syarikat itu untuk
berdiskusi mengenai usaha sama yang bakal berlangsung
tidak lama lagi.
Punat lif ditekan untuk naik ke tingkat 7. Setelah
keluar dari perut lif, segera Shaik menapak mendapatkan
setiausaha COO yang berada di bilik khas itu. Itu pun terpaksa
melalui saringan di meja penyambut tetamu sebelum dia
dapat berjumpa dengan orang penting dalam syarikat ini.
“Encik Shaik?” Aida setiausaha COO menyambut
ramah.
Shaik sekadar mengangguk memperakui namanya
itu. Mujur juga Aida tidak jadi menghulurkan salam apabila
melihat janggut sejemput yang tumbuh tersusun di dagu
Shaik. Mungkin roman wajah Shaik seperti pak-pak ustaz
itu membuatkan Aida menghormati batas pergaulan antara
mereka.
“COO dah tunggu Encik Shaik di biliknya. Sila ikut
saya.” Aida mempelawa Shaik.
Shaik tanpa banyak soal terus mengikuti langkah
Aida. Selang beberapa langkah, mereka sudah berdiri di
depan pintu bilik yang agak besar dan lut sinar itu. Mujur
bidai yang menutupi dinding bilik melindungi isi dalam bilik
itu daripada pandangan luar.
Setelah mengetuk pintu, terdengar suara garau
di dalam mempelawa masuk. Aida membuka pintu lalu
menjemput Shaik masuk. Kemudian mengekori dari
belakang.
“Mr. Rais, ini Encik Shaik dari Cyber Technology.”
Aida memperkenalkan lelaki yang berada di sisinya itu.
Rais Firdausi bangun dan menghulurkan salam pada
lelaki itu. Kemudian menjemput tetamunya duduk di sofa
kulit berwarna coklat gelap itu.
“Aida, nanti bawa masuk 2 cawan kopi, okey?” Rais
Firdausi mengarahkan Aida.
Tanpa banyak bicara, Aida melangkah keluar untuk
menuruti arahan yang diberikan itu.
“Jika tak salah saya... ini Rais Firdausi Zainal, kan?
Kita sama-sama pernah belajar satu kolej masa di London,
kan?” Shaik yang lama memerhati raut wajah di depannya
ini sudah mengemukakan soalan. Dari tadi lagi diamati wajah
COO di depannya ini. Terasa seakan dikenali lama dulu.
“Yup, kita kenal ke?” Rais Firdausi mengerut kening.
Cuba menganalisis wajah lelaki di depannya itu pula. Dari
suara seolah-olah pernah dia bertemu muka dengan lelaki ini.
“Shaik, kan? Shaik, coursemate aku masa kat
London tu?”
Masing-masing sudah ketawa kelucuan. Sudah lama
tak bersua, wajah masing-masing sudah beza benar.
“Anak dah berapa?” Shaik terus menyoal tanpa
sempat mereka duduk di sofa yang disediakan.
Rais Firdausi terusan ketawa tanpa selindung
lagi. Punggung dilabuhkan di sofa kulit itu dengan badan
terhinggut-hinggut kerana ketawa lepas. Lucu pula
mendengar pertanyaan Shaik. Kahwin pun belum lagi, macam
mana nak ada anak pula? Perkataan kahwin itu sendiri sudah
buat dia rasa fobia.
Perkahwinan yang bagaimana? Bagaimana untuk
mendidik Marcela jika dirinya sekadar tahu mengucap dua
kalimah syahadah sahaja? Rais Firdausi khayal sendiri.
Teringat kepada Marcela bekas buah hatinya di London dulu.
Lamunannya terganggu apabila Shaik mengetuk sofa dengan
hujung jarinya.
“Hei, sampai mana dah kau berangan ni?”
Rais Firdausi tersenyum.
“Kau tahu tak, senyuman kau ni berbisa benar tau.
Aku cam kau tadi pun sebab senyuman ni. Marcela tak marah
kau balik Malaysia?” soal Shaik semula.
“We all dah split up. Marcela dah kahwin dengan
orang lain.”
Terkerut kening Shaik. Kali ini dia agak terkejut
mendengar jawapan mendatar Rais Firdausi.
“Kau tinggalkan dia atau dia yang tinggalkan kau?”
Belum pun soalan Shaik itu dijawab, ketukan di
muka pintu membuatkan sepasang sahabat ini menghentikan
perbualan mereka. Masuk Aida menatang dulang berisi
2 cawan kopi. Setelah meletakkan dulang di atas meja
berdekatan sofa yang diduduki mereka, Aida meminta diri
untuk keluar semula.
“Aku!” balasnya pendek memulakan perbualan yang
terhenti tadi. “Alasannya, kahwin. Marcela ajak aku kahwin.
Tapi kau tahu aku, kan?” Rais Firdausi mengambil sesudu
kecil gula lalu dimasukkan ke dalam cawan kopi miliknya
dan milik Shaik.
“Kau dah 30 tahun. Apa yang menakutkan sangat
tentang kahwin? Aku dah ada 2 orang anak pun. Kahwinlah
Rais. Perkahwinan akan membuatkan hidup kau sempurna.
Perkahwinan akan membetulkan apa yang telah kita
kucar-kacirkan selama ini.” Shaik mengeluh mengingatkan
kehidupan zaman bujangnya dulu.
“Rais, aku syukur sangat kerana berkahwin.
Perkahwinan yang membawa aku ke pangkal jalan. Kahwinlah
dengan perempuan yang baik-baik. Sebaik-baik perempuan
adalah yang beragama,” sambung Shaik lagi.
Rais Firdausi mengacau air kopinya. Minum
seteguk dua. Kemudian dia bangun lalu melangkah menuju
ke dinding biliknya yang menampakkan panorama Kuala
Lumpur dari tingkat atas ini. Banyak bangunan pencakar
langit, tidak seperti 12 tahun yang lalu.
“Please, tutup pasal topik ni. Kita kembali ke topik
utama. Ada apa-apa yang aku boleh tolong untuk Cyber
Technology?”
Akur dengan permintaan sahabatnya itu, Shaik
membuka fail yang dibawanya bersama-sama tadi.

Firdaus Buat Jannah - Prolog



MUNDAR-MANDIR Raiz Firdaus macam kucing
nak beranak. Duduk salah berdiri terasa payah. Kepala tangga
sudah beberapa kali dihentak-hentak dengan kakinya. Muka
pintu sudah beberapa kali dijengahnya. Namun bayangan
rombongan meminang tidak juga kunjung balik.
Sekejap-sekejap kepala terteleng ke jam dinding
yang tergantung di tiang seri rumahnya. Dari pagi sampai
menginjak ke petang, bayang rombongan tidak juga pulang.
“Hesy... pi meminang ka, pi makan kenduri?”
Mulutnya tak henti-henti mengomel. Panjang muncungnya
seperti cencorot kerana tidak puas hati. Bukannya pergi
meminang Puteri Gunung Ledang, sampaikan berakar sudah
punggungnya menunggu di kepala tangga ini.
“Hai Jannah... nak pinang Jannah pun payah. Kalah
pinang Puteri Gunung Ledang. Jangan minta hantaran
mengarut sudahlah. Abang ni doktor manusia. Tak mampu
abang sediakan kalau Jannah minta 7 dulang hati nyamuk.”
Terkekek-kekek Raiz Firdaus ketawa. Gila apa cakap seorang
diri? Nur Jannah punya pasal, hati Raiz Firdaus tidak tenang.
Macam ombak tsunami gelora membadai dalam hati.
Gambar Nur Jannah sedang mengayuh basikal itu
ditenung lagi. Gambar curi yang sempat dirakam semasa Nur
Jannah berbasikal pulang dari sekolah. Gambar gadis sunti
belasan tahun. Ayu dan manisnya terpahat dalam memori.
Kemudian beralih pula pada gambar Nur Jannah sedang
memancing ikan di tali air. Itu gambar terbaru yang sempat
dia curi-curi ambil semasa Nur Jannah tidak perasan.
Lebar koyakkan senyum Raiz Firdaus saat melihat
kereta Proton Saga merangkak perlahan berhenti di depan
rumahnya. Belum pun sempat Hajah Fatimah memijak kaki
ke tanah, Raiz Firdaus sudah meluru bertanya.
“Macam mana mak? Jannah terima?” soalnya tidak
sabar.
“Mak dah pergi meminang Arlisa, anak kawan baik
mak. Hujung tahun ni kamu nikah.”
Raiz Firdaus terkesima. Mana munculnya nama
Arlisa ini? Yang disuruh pinang itu namanya Nur Jannah,
bukan Arlisa. Dia pandang Haji Sulaiman meminta
pengertian. Bapanya itu hanya mampu menggeleng.
“Sabarlah.” Tenang saja Haji Sulaiman memujuk.
Raiz Firdaus terbata-bata. Tidak hadam dengan kata
nasihat ayahnya itu.
“Mak kamu merajuk. Mak Jarah tolak pinangan
kamu. Lepas tu mak kamu pergi meminang Arlisa terus.”
Akhirnya Haji Sulaiman memberitahu perkara sebenar.
Lemah lutut jadinya. Yang dipuja siang malam itu
Nur Jannah. Dari mana pula munculnya Arlisa dalam kisah
cintanya?
“Mak tak kira, kau kena nikah juga dengan Arlisa.
Dia tu bukan calang-calang orang. Bakal menantu mak tu
pensyarah undang-undang kalau nak dibandingkan dengan
Jannah yang belum lagi habis belajar tu. Entah berjaya entah
tidak nak jadi peguam, yang Mak Jarah tolak pinangan kau tu.
Katanya Jannah belajar tak habis lagi. Dia tak mahu Jannah
kahwin selagi tak dapat genggam ijazah.”
“La... Firdaus sanggup tunggu dia, mak.” Raiz
Firdaus bela diri.
“Nak tunggu Jannah habis belajar???” Naik tinggi
nada suara Hajah Fatimah. Mata mencerlung memandang
Raiz Firdaus. “Masa tu kau pun dah beruban. Mak tak sabar
nak timang cucu. Kau tu bukan muda lagi Firdaus.”
“Tapi, mak...” rintih Raiz Firdaus. Belum lagi habis
akalnya merayu, Hajah Fatimah sudah memotong cakapnya.
“Kalau kau tak nak jadi anak derhaka, kau kena
nikah juga dengan Arlisa.”
Raiz Firdaus duduk terjelepok. Apakah dayanya
lagi apabila Hajah Fatimah sudah menjatuhkan hukuman
mandatori!