DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 30 November 2021

My Sweet Jodoh - Bab 3

 

SEPERTI mengulang cerita pada awal tadi, sebuah kereta berhenti di sebelah Suri. Kerana tahu gerangan lelaki itu, maka Suri sengaja berbuat tidak tahu. Dia cuba keraskan hati, menyombongkan diri. Langkahnya terus diatur. Kereta yang dipandu Putra turut bergerak perlahan, cuba bergerak seiring dengan langkahnya.

“Sajalah tu. Tunjuk baik nak pujuk.” Dalam membebel sendiri, kakinya terpelecok lalu dia terus jatuh terduduk. Mungkin juga kerana kakinya sudah terlalu penat. Namun disebabkan dia tahu lelaki itu sedang mengekori, serta-merta dia bangun. Maka, malulah dia untuk kesekian kalinya. Entah mengapa lelaki itu juga yang ditakdirkan menjadi saksi tika dia terjatuh. Apalah nasib...

Putra kini memberhentikan keretanya sedikit ke hadapan. Dia terus keluar dari perut kereta dan berjalan laju mendapatkan si gadis.

“Okey tak ni awak?” soal Putra dengan riak wajah risau.

Suri buat sombong lagi. Sengaja tidak menjawab pertanyaan itu.

“Jomlah, naik dengan saya. Lupakan hal tadi, okey. Saya minta maaf. Saya tahu salah saya.” Putra tidak mahu hal tadi menjadi masalah yang berpanjangan.

“Pergilah sana. Saya tak harapkan bantuan awak pun. Yang awak patah balik ni dah kenapa?”

“Awak merajuk, eh?” Putra tersengih sinis. Rasanya memang gadis itu tengah merajuk dengannya. Nada itu dia boleh kenal. Okey, comel! Itu aje yang dia nak kata.

“Merajuk? Sorrylah. Tak kuasalah nak merajuk, lagi-lagi dengan orang yang saya tak kenal macam awak ni.”

“Kalau awak kata awak tak merajuk, saya nak tengok awak senyum and then ikut saya naik kereta. Tu kalau betul-betul awak tak merajuklah.” Putra mula bermain helah kata.

Hakikatnya dia mesti membawa gadis itu bersamanya. Tak mungkin ditinggalkan sendirian di tempat sebegini. Terlalu berbahaya. Kalau diculik, siapa yang ingin bertanggungjawab? Lagilah dia orang yang terakhir bersama gadis itu. Silap hari bulan, dia pula yang dipersalahkan.

“Tak ingin pun. Ingat saya tak boleh sampai ke kalau jalan kaki ni?” Nampaknya Suri masih terus mempertahankan egonya. Dia tidak mahu lelaki itu memandang rendah kepadanya.

“Saya rasa memang takkan sampai pun. Tak payahlah nak buat sombong kalau kaki tu dah sakit. Kejap lagi terus kram kaki tu macam mana? Tak boleh jalan terus. Nak macam tu? Dah, jom. Saya kira sampai 3. Kalau tak, saya dukung awak.” Putra mula pandai nak mengugut. Itu sebenarnya satu trick untuk buatkan gadis itu menyerah kalah.

Zapp! Tajam anak mata Suri menikam pandangan mata lelaki itu. Lelaki itu pula selamba membalas renungannya berteman pakej senyuman.

“Kalaupun nak tikam mata saya, janganlah tikam sampai ke hati saya juga Cik Suri. Sakit tahu tak. Dahlah tak sudi nak jadi kekasih saya.” Putra melepaskan tawa.

Terus Suri kalih pandang ke arah lain sambil menggigit bibir menahan geram. Lelaki itu memang boleh tahan juga dalam bab-bab menjawab.

“Dah, jom.” Ajak lelaki itu untuk kesekian kalinya.

Suri masih tidak mahu kalah dengan lelaki itu. Dia tetap melangkah pergi.

“Betul awak nak jalan kaki ni? Tak nak naik dengan saya?”

“Ya. Saya nak jalan kaki.”

Putra hanya menggeleng kepala. Ego betul gadis ini.

“Rasanya kaki awak tu dah tak larat dah pun. Saya ni tengah tunggu masa aje awak jatuh terduduk kat situ. Waktu tu, free of charge saya dukung awak masuk dalam kereta. Barulah sweet macam scene drama Korea kan?”

“Hei! Awak perli saya ke apa ni?”

“Eh, taklah. Awak terasa ke? Saya cakap yang betul aje. Kaki awak dah penat sangat tu. So, sebelum saya berhati mulia nak dukung awak, dipersilakanlah masuk ke kereta tu. Saya kira sampai 3, kalau awak tak nak masuk sendiri, saya dukung awak secara paksa!” Kali ni Putra tunjuk ketegasannya.

“Eee... sakit jiwalah cakap dengan awak ni.” Suri mendengus geram. Rasa menyampah pula rasa hatinya dengan sikap lelaki ini.

“Laaa... marah kita pula. Dahlah, Suri. Jom. Membazir masa aje kita gaduh-gaduh ni. Tak dapat apa pun. Baik kita berkenalan secara baik. Tak mahulah gaduh-gaduh macam ni. Orang yang lalu-lalang tengok aje kut. Mesti diaorang fikir yang bukan-bukan.”

“Awak yang mula dulu.”

“Saya ke?”

“Yalah, awak.” Suara Suri sudah mula kendur. Mungkin sebenarnya dia terpaksa mengaku kalah dengan lelaki itu. Sebenarnya dia dah touching juga sebab lelaki itu datang memujuk.

“Okey. Saya minta maaf. Rasa dah banyak kali juga saya minta maaf kat awak.” Putra ucapkan kata maaf andai itu yang boleh memujuk hati si gadis.

“Itu pun nak berkira.”

Putra hanya mampu ketawa. Kelakarlah Suri ni. “Dah. Jom naik kereta. Takkanlah saya sampai hati nak tinggalkan jodoh hati saya dekat sini.”

“Awak ni kan...” Suri sudah tidak tahu membalas apa. Biarlah lelaki itu terus bermain dengan kata-katanya. Dia pun malas nak terus bergaduh. Dia dah letih.

Masuk ke dalam kereta, terus lelaki itu menghulurkan sebotol air mineral.

“Nah, minum. Saya tahu awak dah kehausan. Jangan cakap tak nak pula. Karang pengsan saya tak tahu. Memang saya jugalah yang kena angkat awak nanti. Cumanya air tu ada bekas mulut saya. Sorrylah sebab tu aje yang ada.”

Air mineral itu diambil lalu terus diteguk sehingga habis. Alhamdulillah. Segar rasanya.

Kini Putra kembali menyambung pemanduannya yang terhenti tadi. Dilihat gadis di sebelahnya itu pun sudah kembali tenang.

“Awak nak tahu tak Suri... cara awak gaduh, merajuk manja dengan saya tadi kan, macam gaya awak ni dah couple lama aje dengan saya. Comel sangat.”

Terus Suri terbatuk-batuk. Mujur air dah habis diminum. Jika tidak pasti tersembur keluar. Hai, mamat sorang ni. Sajalah tu nak malukan dia lagi.

“Awak memang saja nak malukan saya kan?”

“Taklah. Saya cakap apa yang saya rasa. Nampak sebenarnya kita ni mesra. Tak gitu?”

“Mesra ke?”

“Ya. Mesra macam couple-couple. Yalah. Awak merajuk, saya pujuk. Mesralah tu.”

“Ikut awaklah. Mesra ke, tak mesra ke. Saya, no comment.” Suri malas nak ambil peduli. Menjeling sekilas, dia perasan bibir lelaki itu terhias segaris senyum.

“Kenapa awak senyum?”

“Sedekah untuk awaklah, jodoh hati saya.”

Suri tayang muka bengang. Tak habis-habis lagi lelaki itu bercakap fasal jodoh. Hurmm...

Cakap fasal jodoh, adakah pertemuan mereka ini terkait juga dengan mimpinya sebelum ini?  Memang diakah orangnya? Detik hati seakan mengiakan, namun akal tetap menentang kenyataan yang cuba diyakini itu. Menghela nafas, Suri cuba tenangkan perasaannya kembali.

“Suri, awak masih sudi tolong saya, kan?”

“Tolong apa?”

“Berlakon jadi kekasih saya.”

“Yalah, yalah. Saya tolong.” Suri malas nak cakap banyak. Rasanya kalau dia menolak pun tetap kena paksa juga. Tak apalah. Hari ini kasilah peluang lelaki itu jadi kekasih hatinya. Nak sangat kan.

Thanks. Okey. Sekarang ni saya nak minta awak tolong bukakan kacang tu untuk

saya, boleh?”

Tanpa banyak soal, Suri turutkan saja. Bukan jadi masalah pun nak buka bungkusan kacang itu. Dilihat lelaki itu sudah menadah tangan. Lalu dia tuangkan beberapa butir kacang gajus madu di atas telapak tangan lelaki itu.

“Awak makanlah. Tadi awak dah kehabisan tenaga. Makan ni, okey. Ada madu, manis. Support untuk tenaga awak. Kalau awak nak tahu, kacang ni favourite saya tau.”

“Tak tanya pun.”

“Dah agak dah. Mesti awak nak cakap macam tu.” Putra senyum. Dia perasan gadis itu mengukir senyum. Mungkin mood dah kembali okey. Mulalah dia nak menyakat.

“Tapi manis madunya tak boleh nak lawan manisnya senyuman awak tu. Manis meleting.”

Mendengar kata-kata itu, terus Suri matikan senyum.

“Awak ni memang sengaja kan.” Lelaki itu dijeling. Sambil itu kacang yang berada di tangannya disumbat ke dalam mulut dan dikunyah penuh rakus. Dia dah tak kisah siapa lelaki itu.

‘Suri... Suri... kenapalah comel sangat ni?’ Putra yang melihat senang memuji. Namun pujiannya hanya di hati. Saat ini dirasakan hatinya berbunga-bunga penuh gembira. Seakan ada getar dalam hati lelakinya. Kebetulan irama Hindustan kembali berlagu di radio. Terus dikuatkan sedikit volumenya agar suasana lebih ceria.

“Nah. Your favourite song.” Sememangnya lagu Janam Janam itulah lagu yang menjadi ringtone telefon bimbit Suri yang didengar tadi. Gadis itu dilihat kembali tersenyum. Mungkin gembira melayan lagu itu.

Muzik terus berlagu indah. Namun Putra sibuk juga nak menyanyi. Ala-ala hero Korea nak cuba nyanyi lagu Hindustanlah gamaknya. Aduh, bukan Janam Janam lagi dah! Jahanam terus lagu jadinya.

 

**BERMINAT? Boleh hubungi/WhatsApp no ini : 011-40049752 (Admin Nina) /

: 019-3729676 (Admin Shida)

 

My Sweet Jodoh - Bab 2

 

“PUTRA. Kamu kat mana? Kamu jadi tak pergi family day kompeni mama ni?” Suara seorang wanita kedengaran jelas di sebalik talian kerana Putra sengaja membuka loud speaker untuk menjawab panggilan itu.

On the way, ma.”

“Pergi dengan siapa? Sorang?”

“Berdua.”

“Dengan siapa?” Suara di sebalik talian itu kedengaran teruja.

“Kekasih hatilah. Kenapa? Mama tak percaya?”

“Biar betul kamu ni?”

“Ya, ma. Nanti kat sana Putra kenalkan dengan mama.”

“Okey. Mama nak tengok.”

Suri yang mendengar perbualan itu sudah berkerut dahi. Lain macam pula rasanya. Kekasih hati? Adakah dia ‘kekasih hati’ yang dimaksudkan itu? Sebabnya, hanya dia yang sedang bersama lelaki itu sekarang ini.

‘Oh, tidak! Macam ada bayang-bayang kena jadi pelakon tambahan aje ni.’

Panggilan telefon lelaki itu bersama mamanya sudah dimatikan.

 “Awak... kat sana nanti awak berlakon jadi kekasih saya, boleh?” Selamba lelaki itu membuat permintaan.

Hah, kan betul! Seperti yang diduga Suri.

“Tak naklah. Apasal tiba-tiba libatkan saya pula? Kita ni dahlah baru aje kenal beberapa minit. Tak sampai satu jam pun lagi.” Hati Suri mula dilanda resah gelisah. Permintaan lelaki itu agak berlebihan berbanding dengan tempoh perkenalan mereka. Tak payahlah nak ikut babak dalam drama Korea sangat Encik Putra oii... Senang-senang aje suruh heroin berlakon jadi pasangan.

“Awak single, kan?” Tiba-tiba soalan status pula yang ditanya.

“Mana awak tahu saya single?”

“Saya rasa, saya dengar aje apa yang awak bualkan dengan mak su awak tadi. Awak suruh mak su awak reject pinangan orang, kan? Siap suruh kasi alasan awak dah ada calon. Tu bukan bermakna awak single ke?”

Suri ketap bibir bawah. “Kalau saya single pun, apa kena-mengena dengan awak?”

“Adalah kena-mengena. Singlelah senang. Tak terikat dengan sesiapa. So, bolehlah awak berlakon jadi kekasih saya.” Senang betul lelaki itu menjawab.

“Eh, kenapa saya pula yang jadi mangsa ni? Agaknya awak tumpangkan saya sebab ni ke?” Kini Suri mula merasakan itulah niat sebenar lelaki itu berbaik hati menumpangkannya. Punya agenda tersirat yang akan memaksa dirinya menjadi mangsa.

“Eh, taklah. Saya tumpangkan awak takada kena-mengena pun dengan apa yang saya minta sekarang ni. Awak janganlah anggap saya jadikan awak mangsa keadaan. Saya cuma minta pertolongan kecil aje. Awak jangan risau, saya pun single and available lagi. So, tak ada masalah. Cuma sekarang ni saya nak minta tolong awak jadi kekasih saya untuk saya kenalkan kepada mama. Itu aje. Please...”

“Eh, tak naklah. Awak pandai-pandai cakap tadi siapa suruh?”

“Alah, awak. Acah-acah aje. Bukan serius pun. Mama saya confirmlah nak tengok saya datang berdua dengan seorang perempuan. Sebab saya dah janji tadi. Boleh ya?”

Suri menggaru kepala yang tidak gatal. Tak pasal-pasal pula nak kena berlakon jadi kekasih orang. Memanglah dia single, tapi...

“Boleh tak?”

“Awak turunkan ajelah saya dekat sini. Tak nak saya berlakon jadi kekasih awak. Dahlah baru kenal. Tak pasal-pasal nanti berjangkit kes suruh jadi bini pula. Ingat saya ni nak ke kat awak ni walaupun kategori have have.” Suri sudah kecutkan diri sambil peluk begnya.

Meletus tawa lelaki itu melihat gaya dan luahan rasa si gadis.

“Awak ni kelakarlah. Jauh sangat fikir tu.” Sekilas, wajah itu kembali dipandang. “Awak. Tolonglah saya. Sekali ni aje.” Putra sudah menunjukkan isyarat jari telunjuknya yang mewakili sebagai simbol satu kali.

“Tak naklah.”

“Bolehlah...” Putra terus memujuk.

“Tak nak.”

“Bolehlah. Sekali ni aje. Please... please... Saya ni dah biasa bergurau dengan mama saya. Biasanya dia tahu saya ni main-main aje. Tapi kali ni saya saja nak beri surprise kat dia. Awak tolong eh?”

Suri menggeleng kepala. Dia tak mahu terjebak dengan permainan lelaki itu.

“Sekali ni aje. Tolonglah Suri. Awaklah perempuan pertama yang saya merayu tau.”

“Eh, ayat... ingat hati saya ni boleh cair ke?”

“Anggap pertolongan awak ni sebagai ucapan terima kasih awak kat saya.”

Suri melepas keluhan nipis. Pandai betul lelaki ni nak perangkap hati dia. Tahulah yang dia menumpang kereta lelaki itu. Berfikir sejenak, dia akhirnya memberi kata putus.

Hmm. Okey, saya tolong. Tapi setakat tu ajelah ya. Jangan sampai mama awak ingat saya serius dengan awak.” Mahu tak mahu, Suri bersetuju juga.

Okay, thanks. Saya akan cakap kat mama yang kita ni kawan biasa aje. Don’t worry. Saya janji.”

Suri menerima jaminan lelaki itu. Jika lelaki itu melanggar janjinya, siaplah dia kerjakan nanti. Perjalanan diteruskan. Masing-masing mengunci bicara. Cuma sesekali mereka saling mencuri pandang. Tatkala terkantoi sesama sendiri, yang seorang muka jadi memerah, yang seorang lagi tenang menyimpul senyum sendiri.

“Awak nak tahu tak, semalam saya ada bermimpi tau. Awak nak tahu saya mimpi apa?” Putra kembali bersuara setelah untuk beberapa waktu tadi mereka berdua berdiam, Nak terus senyap hingga tiba ke destinasi, rasa tak seronok pula. Sudahlah perjalanan masih jauh lagi.

‘Hai, orang sebelah ni. Mimpi pun nak cerita kat aku ke?’ Kata-kata itu bermain dalam hati Suri. Namun dia cuba maniskan mulut melayankan bicara orang di sebelahnya itu.

“Mimpi apa? Mimpi bagi cincin kat kekasih hati ke?” Suri saja meneka. Niatnya sekadar untuk berseloroh. Mungkin orang yang sedang memandu itu sudah mula mengantuk, jadinya saja buka topik yang boleh menyegarkan mata.

Putra serta-merta berkalih wajah memandang gadis di sebelahnya.

“Eh, macam mana awak tahu?”

Err... betul ke? Eh, saya teka ajelah.” Suri sendiri terkejut kerana tekaannya itu benar. “So, apa yang awak nak cerita fasal mimpi awak tu?”

“Sebenarnya sejak kebelakangan ni saya dapat mimpi yang sama, hampir 3 kali berturut-turut. Awak tahu tak apa maksud mimpi tu?”

“Eh, manalah saya tahu. Tapi mungkin juga tak lama lagi awak bertemu jodoh kut.” Suri sekadar menyatakan pendapatnya. Mimpi-mimpi ni pun bukan boleh percaya sangat. Kadang tu mainan tidur atau gangguan syaitan aje. Dia pun selalu aje bermimpi. Terkadang tu perjalanan mimpinya tak logik langsung, mengarut, sampai dia pun tergelak sendiri. Sesekali mimpi seram, berpeluh juga. Yalah, kena kejar hantu.

“Kalau awak kata berkaitan jodoh, rasanya sekarang ni saya dah pun bertemu jodoh hati saya.” Putra tenang memberitahu sambil bibirnya mengukir senyuman manis.

Wait! Kenapa saya rasa ayat awak tu macam ada kena-mengena dengan saya? Awak nak cakap saya nilah jodoh hati awak, kan? Awak jangan macam-macam, eh.”

“Eh, kenapa awak perasan ni? Awak rasa saya nak kahwin dengan awak ke?”

Putra menjongketkan kening. Sejurus itu dia melepaskan tawa.

Terus Suri rasakan darah panas menyerbu ke segenap muka. Merah mukanya macam udang kena bakar. Demi menenangkan hati dan mukanya yang dah terlajak malu itu, maka terus dibawa pandangannya ke luar tingkap. Rasa tak bertabah nak hadap muka lelaki itu. ‘Kenapalah kau malukan diri sendiri, Suri? Mulut ni pun... Hesy, buat angkara betullah.’

Putra hanya tersenyum, menyimpan baki tawanya. Kesian pula kepada si gadis itu dek tawa lepasnya. Bila dicuri-curi pandang, comel pula rasanya gadis di sebelahnya ini. ‘Muka merah dia tu, haih... rasa macam nak cubit-cubit aje...’

“Awak...” Putra memanggil lembut.

Suri sengaja tidak menyahut apatah lagi menoleh kepada lelaki itu. Dia rasa malunya masih menebal. Dia perlu tempoh bertenang untuk kembali menghadap lelaki itu.

Sorry,” ucap Putra. Rasanya dia memang bersalah sebab mentertawakan gadis ini.

Suri buat tidak tahu walaupun dia rasa comel saja ton suara lelaki itu meminta maaf. Rasanya lelaki ni mesti jenis yang pandai memujuk. Jika tidak, mengapa dia seakan-akan terpujuk hanya dengan sebaris kata itu?

Suasana jadi hening. Putra terus memandu tenang ditemani lagu-lagu yang dipilih oleh DJ yang bertugas. Gadis di sebelahnya itu dibiarkan tenang sendiri.

Suri menghela nafas. Kini dia cuba selesakan diri. Rasa malunya tadi terpaksa dicampak jauh-jauh. Dalam banyak-banyak malu, malu ni paling memalukan.

“Awak, sebenarnya tak salah pun apa yang awak cakap tadi tu. Sejujurnya, apa yang saya nak cakap memang ada kena-mengena dengan diri awak. Saya dapat rasakan, awaklah jodoh yang ditakdirkan untuk hati saya. Umpama inilah jawapan mimpi saya tu. Kita bertemu hari ini dalam pertemuan yang sangat unik. Jumpa kat stesen minyak. Kes salah naik kereta. Lepas tu kebetulan, kita nak ke destinasi yang sama. Pada saya, aturan tu sangat cantik dan manis. Awak tak rasa macam drama Korea ke kisah kita ni?”

Sorry. Saya tak layan K-Drama.” Suri sebenarnya malas nak layan bicara lelaki itu. Daripada mimpi, siap terlajak ke kisah jodoh hati. Lepas tu nak pula kaitkan kisah mereka dengan drama Korea yang sweet-sweet tu. Haru betullah mamat ni!

“Ya ke tak layan?”

Suri tidak menjawab. Sebenarnya, debar di hatinya sangat mengganggu tika ini. Sejujurnya, dia pun macam percaya juga apa yang berlaku sekarang ni adalah takdir jodoh mereka. Tapi, rasa macam tak mungkinlah kut. Dirasakan dirinya tak padan dengan lelaki itu. Maka sebaiknya spekulasi soal takdir dan jodoh ini perlu dibuang jauh.

“Agaknya, saya ni ada ciri-ciri pilihan awak tak?”

Suri menggeleng. Padanya tak harus dilayan soalan lelaki itu.

“Oh, man! Tak sangka pula saya ni langsung tak ada ciri-ciri yang awak idamkan. So, kriteria lelaki pilihan awak macam mana?”

“Dahlah awak. Cerita hal lain boleh tak?” Suri mengharap lelaki ini mengubah topik bicaranya.

“Kenapa? Awak tak suka ke cerita bab-bab jodoh ni? Pada saya okey aje. Lagi-lagi kita yang memang single dan tengah mencari jodoh ni.”

Suri menelan liur. Makin tak senang perasaannya mendengar bicara lelaki itu.

“Relakslah Suri. Kita kenal-kenal. Tak salah pun kan. Hmmm... Apa kata mulai saat ni kita berkawan? Manalah tahu lepas ni hubungan kita jadi lebih serius. Sekarang ni awak jadi kekasih olok-olok saya. Manalah tahu lepas ni awak boleh jadi kekasih betul-betul saya pula. Lebih indah kalau saya dapat iktiraf awak jadi ‘kekasih halal’ saya. Tak mustahil pun semua tu boleh berlaku. Sebabnya, I feel something bila bersama awak sekarang ni.”

Erkk... terkesima Suri jadinya. Apa maksud lelaki tu? Lelaki tu ‘rasa’ apa bila bersama dia?

“Saya rasa lebih yakin yang awak ni takdir jodoh saya. Rasa macam nak ajak awak bercintalah. Jom!”

“Maaf. Saya tak boleh nak hadam kata-kata awak. Kenapa awak nak kaitkan hidup awak dengan saya, hanya kerana mimpi awak tu? Nonsense tau tak!” Suri agak bengang. Tahu tak perasaan hatinya semakin tak keruan apabila lelaki itu menyebut mahu mengiktirafnya sebagai kekasih halal. Lelaki tu memang tak kisah ke nak kahwin dengan dia? Siap nak ajak bercinta bagai. Kenal pun tak sampai sehari kut.

“Awak marah eh? Janganlah marah. Sorry, okay. Saya janji tak cakap fasal ni lagi. Sekarang ni, awak nak saya buat apa agar awak maafkan saya? Nak saya belanja KFC ke?” Putra segera memujuk ‘kekasihnya’ itu.

“Amboi, nak beli jiwa saya dengan KFC! Sorrylah ya. Sekarang ni, saya rasa saya terpaksa cancel jadi ‘kekasih’ awak. So, berhentikan saya dekat sini, sekarang!” Nampaknya Suri sudah nekad. Dia tidak harus terjebak dengan lelaki itu. Itu yang terbaik.

“Takkan nak berhenti dekat sini?”

“Peduli apa saya.”

Sejurus itu... Sreeettt...

Terus Putra tekan brek keretanya. Terdorong juga tubuh mereka ke hadapan kerana berhenti secara mengejut sebegitu. Mujur tiada kenderaan di belakang. Jika tidak, pasti kenderaan di belakang sudah mencium buntut kereta itu. Jika tak cium pun entah-entah dengan mereka sekali sudah disodok jauh ke depan.

“Betul awak nak turun kat sini? Okay, fine. Turunlah.” Putra ikutkan sahaja kehendak si gadis. Saja nak tengok sejauh mana gadis itu nekad dengan kata-katanya.

Suri terus buka pintu dan turun dari perut kereta itu. Padanya itulah tindakan paling bijak. Sejurus itu dia melihat kereta yang dipandu lelaki itu meluncur pergi.

Bersendiri, Suri tergamam sendiri. Kanan dan kiri jalan hanya ada belukar yang tebal. Keadaan jalanraya juga lengang. Hanya ada beberapa buah kereta yang lalu-lalang. Ah, sudah! Rasa menyesal juga meminta lelaki itu berhenti di situ. Jika di perhentian bas, lainlah. Atau lebih dekat dengan kawasan perkampungan, mungkin lebih selamat.

‘Kalau ada ‘orang kuat’ keluar ni, mahunya aku mati kena pijak. Uit, Suri... mulut kau... celopar!’ desis hatinya.

Dalam takut-takut, dia terus berjalan dan berjalan. Lelah rasanya apabila tiada bekalan air dibawa bersama. Tiba-tiba rasa nak menangis. Sudahlah awal tadi ditinggalkan Kak Hanis. Kini ditinggalkan pula oleh ‘kekasih’ tak relanya itu. Tapi, dia tak boleh nak salahkan lelaki yang bernama Putra itu. Sebabnya, dia sendiri yang minta diberhentikan di situ. Nak menyesal pun tak berguna dah. Lelaki tu dah jauh meninggalkan dirinya.

Suri mengambil telefon bimbit di dalam begnya. Namun saat ini dia sendiri tidak tahu mahu menghubungi siapa. Lagilah apabila dilihatpada isyarat telconya yang hanya menunjuk garis satu bar. Itu pun kejap ada, kejap tak ada. Dah macam biskut LebihChips.

Langkahnya terus diatur. Dia tidak tahu sejauh mana lagi langkahnya mampu pergi. Destinasi yang seharusnya dituju memang dia tahu masih agak jauh ke hadapan. Sebabnya tak ada bayang-bayang nak nampak laut pun lagi. Alah... ni yang rasa nak nangis ni. Mamat tu memang dah tinggalkan dia ke? Tak nak patah balik semula ke? Huwaaaa... rasanya dah menitik juga air matanya tika ini.