KERANA desakan dan rayuan Nisya, akhirnya Qisya berada di sini; di majlis resepsi adik perempuan Encik Darish. Pasangan pengantin yang berada di atas singgahsana kelihatan sama cantik dan sepadan. Bagai pinang dibelah dua. Senyum pula tak lekang daripada bibir kedua-dua mempelai.
Lehernya dipanjangkan. Mencari kelibat Nisya yang sudah hilang entah ke mana. Semalam bukan main beria-ia Nisya mengajaknya. Memujuk rayu dengan muka sendunya itu. Hari ini, kelibat Nisya sudah hilang tanpa dapat dijejaki. Membiarkan dia seorang diri tanpa teman. Tetamu yang hadir semua tak dikenali, membuatkan dia kekok mahu beramah mesra.
‘Kalau tahu minah tu buat aku macam ni, pengsan sedar balik pun aku tak sudi temankan dia. Hesy... dahlah tak kenal siapa-siapa kat sini. Tak tahu nak buat apa.’
“Qisya.”
Suara yang biasa didengari itu membuatkan Qisya menoleh.
“Tuan Syed?” Matanya jatuh pada sekujur tubuh sasa yang berdiri di hadapannya.
Syed Aiman tersenyum. Tanpa dipelawa dia melabuhkan punggung di kerusi kosong bersebelahan dengan Qisya.
“Tuan Syed buat apa kat sini?”
Syed Aiman tidak terus menjawab. Matanya menjeling ke atas pentas.
“Pengantin lelaki tu ex-schoolmate saya. Famili kita orang memang dah lama kenal. Sebab tu saya datang ke sini. Awak pulak famili pengantin perempuan ke?”
Qisya menyengih. Dengan rasa malu dia menggeleng. Dia bukan siapa-siapa. Bukan sanak saudara atau kenalan pengantin perempuan. Dia hanyalah tetamu yang datang menemani seorang teman yang entah ke mana sudah menghilang. Hendak buat laporan polis, takut memalukan tuan empunya badan pula.
“Errr... tak. Saya cuma temankan housemate aje. Housemate saya kawan abang pengantin perempuan.”
“Ohhh...” Terangguk-angguk kepala Syed Aiman. “So, tak kenal sesiapalah kat sini?” tambahnya lagi.
Qisya mengangguk. Memang dia tidak kenal sesiapa di majlis itu. Disebabkan itu, dia berlagak bagaikan perempuan Melayu terakhir. Sopan santun gitu!
“Takpe... kalau macam tu biar saya temankan awak,” putus Syed Aiman.
Bulat mata Qisya. Terkejut. Laju kepalanya digelengkan.
“Eh, takpelah Tuan Syed. Saya okey aje duduk sendiri. Takde hal. Lagipun takkan Tuan Syed nak duduk kat sini pulak. Tak eloklah kan.”
Segan pula apabila Syed Aiman mahu duduk semeja dengannya. Boleh keras kejung dia jadinya. Dia dengan Syed Aiman bukannya rapat sangat. Di pejabat, lelaki itu selalu saja berlagak serius, membuatkan lelaki itu cukup ditakuti pekerja-pekerjanya. Nampak saja kelibat Syed Aiman, semua mencicit seperti tikus takutkan kucing. Mulalah masing-masing sibuk dengan kerja. Sedangkan sebelum itu bukan main rancak lagi mereka bergosip sakan.
“Apa pulak tak elok? Duduk kat mana pun sama. Lagipun kalau saya ada, bolehlah temankan awak
bersembang.”
Qisya tersengih lagi. Tak tahu nak kata apa. Takut Syed Aiman menyangka dia menghalaunya pula apabila terus-menerus menolak. Lalu dibiarkan saja Syed Aiman menemaninya. Dibuang sekejap rasa kekok dan segan yang menebal. Cuba diramahkan mulut untuk terus bersembang dengan lelaki itu.
“Qisya, saya nak tegur sesuatu boleh tak?”
Kepala diangguk. Dalam hati sudah berdebar-debar. Takut tersalah kata sehingga lelaki itu mahu menegurnya.
“Boleh tak kalau awak jangan panggil saya Tuan Syed? Panggil Aiman aje. Tuan Syed tu nampak macam saya ni dah tua sangat.”
Pula dah! Ingatkan apalah yang mahu ditegur. Buat suspens saja.
“Semua staf panggil Tuan Syed, takkan saya nak panggil Aiman pulak. Tak manislah. Hmmm... apa kata saya panggil bos. Okey tak?”
Syed Aiman tersenyum. Ada saja jawapan gadis itu. Dia tak kisah. Asalkan bukan Tuan Syed. Dia kurang gemar panggilan itu.
“Bos, boleh saya cakap sesuatu tak?”
Syed Aiman mengangguk dalam senyuman.
“Rajin-rajinlah senyum. Bos nampak handsome bila senyum macam ni.”
Serta-merta senyuman Syed Aiman bertukar menjadi gelak kecil. Terusik hatinya.
“Oh... you look so sweet apabila ketawa macam tu,” puji Qisya ikhlas.
“Awak ni Qisya... ada aje. Tapi sorry, saya tak dapat nak bagi awak bonus hujung bulan ni,” balas Syed Aiman. Tawanya masih kedengaran.
“Bos... saya ikhlaslah. Bukannya nak minta bonus.”
Syed Aiman ketawa lucu. Gadis itu lain daripada yang lain. Jujur, dia senang dengan Qisya. Pertama kali mengenalinya, dia beranggapan gadis itu sama seperti gadis-gadis lain. Ternyata dia silap. Qisya ada keistimewaan yang menarik minatnya untuk mengenali gadis itu. Tanpa disedari, ada mata sedang memandang. Penuh rasa cemburu dan iri hati.
Intan Natasha menghampiri Syed Aiman yang sedang bergelak tawa bersama seorang gadis. Cemburunya meluap-luap. Geram melihat kemesraan itu. Namun dia tidak boleh cepat melatah. Dia perlu berlagak tenang walaupun hatinya diasak cemburu yang menggila. Di hadapan Syed Aiman, dia perlu menjaga reputasi.
“Ehem!” Intan Natasha berdeham sebagai isyarat.
Pantas saja Syed Aiman dan Qisya berpaling.
“Oh, Intan.”
Intan Natasha menebar senyum. Berpura-pura baik di hadapan Syed Aiman. Sedangkan hati, bagai digigit semut api. Benci gila kepada perempuan yang bisa membuatkan lelaki itu bergelak tawa dengan riangnya. Selama bersamanya, Syed Aiman tidak pernah seceria itu.
Dahi Qisya berkerut. Bukankah itu Intan Natasha? Model terkenal tanah air. Cantiknya! Persis anak patung.
“Dari tadi I cari you. Rupanya you dekat sini.” Intan Natasha cuba mengawal rasa cemburu. Sempat dijeling gadis di sebelah Syed Aiman itu. Boleh tahan orangnya. Tiba-tiba dia merasakan gadis itu bagaikan pesaingnya. Dan dia tidak sukakan persaingan.
“Yup! Kebetulan jumpa staf I dekat sini. So, I pun temankanlah dia bersembang.”
“I see. Staf you ke rupanya. Ingatkan famili pengantin perempuan. Macam mana boleh tersesat di majlis ni?” sinis pertanyaan Intan Natasha, membuatkan Syed Aiman menjegilkan biji mata. Kurang sopan Intan Natasha bertanya begitu.
“Oh... sorrylah. I gurau aje.” Menyedari jelingan Syed Aiman itu, pantas saja Intan Natasha berubah laku. Berlagak mesra sedangkan hati cukup meluat kepada gadis itu.
Qisya cuba tersenyum. Daripada lagak Intan Natasha, dia tahu wanita itu cemburu melihat dia bersama Syed Aiman. Sebagai seorang perempuan, dia dapat meneka hati perempuan lain. Apabila melibatkan seseorang yang diminati, tentu saja ada cemburu yang menyapa. Dia yakin itu.
“Errr... sorry bos. Saya nak ke ladies kejap.” Qisya bangun daripada duduk. Malas mahu berlama-lama di situ. Melihat tingkah Intan Natasha yang hipokrit, dia tahu perempuan itu tidak menyukainya.
“Beb, psttt!”
Qisya berpaling. Biji mata dijulingkan ke atas. Baru nampak batang hidung Nisya. Tersengih-sengih
seperti kerang busuk.
“Kau nak ke mana?” tanya Nisya kepada Qisya yang nampak tergesa-gesa.
“Aku nak balik!”
Bulat mata Nisya. Laju dia memaut pergelangan tangan sahabatnya itu.
“Beb... janganlah. Kau tak kesiankan aku ke? Please... janganlah balik,” Nisya merayu.
Qisya mencebik. Pandai pula Nisya minta dikasihani. Sedangkan sejak tadi dia duduk seorang diri. Nisya langsung tidak kelihatan. Ghaib di dalam dewan.
“Eiii... lepaslah! Aku nak ke tandas. Dari tadi aku tahan nak terkentut, tahu tak?”
Laju Nisya melepaskan pegangannya. Tak senonoh betul temannya itu. Dalam majlis seperti ini boleh pula kata begitu. Nasib baik tiada yang mendengar. Buat malu saja.
“Darish ajak aku jumpa mak ayah dia. Pasal tu aku hilang kejap. Sorry eh.”
“Hmmm... kejaplah sangat. Nasib tak berjanggut aku tunggu kau. Dahlah, aku nak ke toilet. Makan angin.”
Nisya melepaskan Qisya ke tandas. Rasa bersalah pula meninggalkan Qisya sendirian tadi. Nak buat macam mana, kan? Bakal mak dan ayah mentua nak berkenalan.
Sambil membebel, Qisya meneruskan perjalanan. Tanpa sengaja dia terlanggarkan seseorang. Tubuhnya yang kurus terpelanting sedikit ke belakang. Nasib tak jatuh terduduk. Mata terarah pada susuk yang dilanggar. Melayang semangatnya. Terkejut beruk melihat baju Melayu berwarna putih itu bertompok oren.
Alamak! Apa dia dah buat ni? Mampuslah dia.
“Errr... sorry. Saya tak sengaja.” Terkocoh-kocoh Qisya menghampiri lelaki yang belum sempat dipandang wajahnya itu. Laju dia mengeluarkan tisu daripada tas tangan. Kemudian mengelap baju Melayu yang kotor terkena tumpahan jus oren itu.
‘Hesy... kenapa bertambah kotor ni?’ Qisya menggumam. Semakin laju dia mengesat kotoran dengan
harapan kotoran itu akan hilang.
“Hei... apa awak buat ni?” Lelaki itu cuba menolak. Namun semakin laju pula gadis di hadapannya bertindak.Semakin mengotorkan baju Melayu yang dipakainya.
“Hey... you! I said stop it!” Tengku Danish naik berang. Kedua belah tangan menggenggam kuat pergelangan tangan gadis itu daripada terus bertindak.
Qisya mendongak. Dia tersentak.
“Awak!!!” teriaknya. Tak sangka dia berjumpa dengan si bapak jin itu lagi.
Tengku Danish mengecilkan anak mata. Dengusannya dilepaskan. Setiap kali bertembung dengan si perempuan gila ini, pasti ada saja bala yang menimpa.
“Hah, kau lagi!” Dengan kasar Tengku Danish melepaskan tangan Qisya. Sakit hatinya kepada gadis itu masih bersisa. Gadis itu memang menyusahkan. “Buta!” cemuhnya pula.
Mata Qisya mengecil. Bukannya dia tidak mendengar ejekan lelaki itu.
“Siapa yang buta? Saya tak sengajalah. Sorry!” Mencuka wajahnya. Benci dan sakit hati melihat wajah
bapak jin itu. Menyampah tahap petala ketujuh.
“Kau ingat dengan minta maaf aje baju aku ni boleh bersih?” Tengku Danish masih tidak mahu mengalah. Kotor bajunya disebabkan kecuaian perempuan itu.
“Habis tu nak buat macam mana? Saya bukannya sengaja nak kotorkan baju awak. Dah awak salah jugak. Siapa suruh bawa jus oren tu ke sana sini. Letak ajelah elok-elok atas meja. Tak payahlah nak orang putih sangat.”
Mata Tengku Danish semakin mengecil. Amboi... bukan main jawapan perempuan itu. Sudah salah, lagi nak tegakkan benang yang basah. Lagipun suka hati dialah nak bawa gelas berisi jus oren itu ke mana saja. Bukan masalah perempuan gila itu!
“Lagipun... baju tu boleh aje basuh bagi bersih,” sambung Qisya lagi.
Tengku Danish mendengus. Okey! Tanpa berlengah, dia membuka baju Melayu yang dipakainya.
Mata Qisya membuntang. ‘Eh eh... apa kena dengan bapak jin ni? Tiba-tiba aje nak buka baju depan aku. Gila ke apa?’
“Hei... yang awak buka baju kat sini apa pasal?” Melilau Qisya memandang ke serata tempat. Takut jikalau ada manusia yang melihat tindakan gila lelaki itu. Tiba-tiba saja buat perangai tak senonoh. Nasib baiklah tiada orang di situ. Hanya mereka berdua saja. Tentu semua orang sedang sibuk menyaksikan persandingan pasangan pengantin yang sama padan di atas pelamin.
“Hei, awak dengar ke tak ni? Awak buat apa ni hah?” Qisya bertanya kasar. Geram dengan sikap membisu lelaki itu. Jantungnya sudah berdegup kencang. Lelaki itu memang sudah hilang akal. Selamba saja membuka baju di hadapannya tanpa rasa malu.
“Nah!” Tengku Danish melemparkan baju Melayu yang dibuka kepada Qisya. Mujur baju singlet masih dipakai. Jika dibuka sama, mahu haru-biru hidup si Qisya.
“Apa ni?” Qisya melemparkan baju itu semula ke tubuhnya tuannya. Dah buang tabiat ke?
“Aku nak awak cuci baju tu sampai bersih!”
“Apa? Hei... awak dah gila ke? Tak naklah saya.” Terjegil biji mata Qisya. Gila agaknya nak suruh dia basuhkan baju. Apa lelaki itu fikir dia ini orang gaji diakah? Huh! Tak rela dia memenatkan diri membasuh baju lelaki asing yang tidak dikenali. Walaupun sudah bertembung sebanyak tiga kali, tapi hakikatnya sampai ke hari ini dia tidak tahu nama lelaki itu. Pertemuan mereka juga Cuma satu kebetulan.
“Apa tak nak? Kau yang kotorkan, kaulah kena bersihkan.”
“Banyak cantik muka awak! Ingat saya ni orang gaji awak ke? Hantar ajelah ke dobi. Takkan itu pun tak boleh nak fikir?”
Tengku Danish mendecit. Gadis itu betul-betul keras kepala. Langsung tidak mahu mengakui kesalahannya. Jangan fikir dia akan berlembut. Sudah dikatakan dari awal, andai sekali lagi mereka bertembung, dia takkan lepaskan gadis itu. Akan diajar cukup-cukup!
“Kain baju aku ni mahal tau. Aku tak nak basuh dekat dobi. Aku nak kau basuh tangan sampai bersih.”
Terbuntang mata Qisya. Bukan main lagi lelaki itu mengarahkannya. Lagak dia ini orang suruhan. Tak guna betul!
“Maaflah ya... saya rasa otak awak ni tak betul kut. Nak paksa saya basuhkan baju awak pulak. Sorry... saya takde masa. Excuse me... saya nak lalu,” pinta Qisya inginkan laluan. Namun Tengku Danish langsung tidak berganjak.
“Okey, kalau macam tu aku buka singlet ni sekali. Lepas tu aku nak jerit. Aku nak beritahu semua orang dalam dewan ni yang kau nak rogol aku. Kau mahu ke aku buat macam tu?” ugut Tengku Danish. Sampaikan terjegil biji mata Qisya dibuatnya.
Qisya semakin geram. Jahat betul otak lelaki itu. Saja nak tabur fitnah. Sepanjang hayatnya, belum pernah dia mendengar perempuan yang memperkosa lelaki. Tapi kalau lelaki perkosa perempuan, itu memang biasa dia dengar.
“Helo! Awak ingat orang percaya ke cakap awak tu? Takdenya orang nak percaya saya rogol awak. Gila!” Qisya memeluk tubuh. Meluat pula dia dengan lelaki kerek itu. Mencuka wajahnya. Semuanya gara-gara lelaki itu.
“Okey... fine! Kalau kau dah kata macam tu, kita lihat macam mana.”
Qisya menjeling lelaki di depannya. Hati mula berbolak-balik. Bagaimanakah jika ada yang percaya cerita dongeng lelaki itu? Di mana dia nak letak muka?
“Aku bilang sampai tiga. Kalau kau tak setuju basuh baju aku, aku jerit sekarang jugak. Lepas tu tahulah nasib kau macam mana. Satu... dua... tiga...”
Ah, sudah! Naya Qisya kalau bapak jin itu menjerit. Sebelum lelaki itu menabur fitnah yang bisa membuatkan dia malu seumur hidup, mulut lelaki itu ditekup dengan telapak tangan. Takkan dibiarkan lelaki itu menjerit dan mencemar maruahnya.
“Okey, okey! Saya basuh baju awak.” Qisya mengalah. Baju di tangan bapak jin itu dirampas kasar. Sakit hati kerana tewas dengan ugutan bapak jin itu.
Tengku Danish melepaskan tangan yang menekup mulutnya. Boleh tahan juga penangan perempuan itu. Hampir sesak saluran pernafasannya. Senyumannya melebar. Tanda kemenangan berpihak kepadanya.
“So now... give me your phone number,” mintaTengku Danish.
“Buat apa nak minta nombor telefon saya pulak?” tanya Qisya kasar. Banyak songeh betul bapak jin itu.
“Supaya senang aku nak call kau. Takkanlah kau nak simpan baju aku tu pulak buat kenang-kenangan? Helo... kain baju tu mahal tau. Kau tak akan mampu bayar. Sebab itulah aku nak nombor telefon kau supaya senang aku ambil baju tu nanti.”
Qisya julingkan mata ke atas. Berlagak tak boleh bawa bincang. Menyampah betul dia dengan lagak lelaki itu. Tak kisahlah mahal ataupun tidak. Mati nanti pakai kain kapas saja kut. Tak adanya pakai kain mahal-mahal pun. Lagi nak eksyen!
“Cepatlah!”
Qisya mendecit. Mahu tak mahu nombor telefonnya diberikan kepada lelaki itu. Laju saja lelaki itu menekan nombor pada telefon pintar miliknya itu. Tidak lama kemudian, telefon pintarnya berbunyi. Terkial-kial dia mencari telefon pintar di dalam tas tangan. Nombor asing tertera pada skrin.
“Yang tu nombor aku. Saja nak testing nombor yang kau bagi. Manalah tahu kan kalau kau bohong aku. So sekarang... legalah sikit bila tahu yang tu memang nombor kau.”
Ah... sabar sajalah. Sakit betul hati Qisya kepada lelaki itu.
‘Apa dia ingat muka aku yang cun ni muka pembohong ke? Kurang asam betul!’ Dengan hati yang sebal, Qisya menolak tubuh Tengku Danish daripada terus menghalang laluannya. Tak kuasa mahu menghadap muka itu lama-lama. Menyakitkan hati saja.
**BERMINAT? Boleh hubungi/WhatsApp no ini : 011-40049752 (Admin Nina) /
: 019-3729676 (Admin Shida)
No comments:
Post a Comment