DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 22 November 2021

Syurgaku... Di Wajahmu - Bab 4

 

SUASANA selepas hujan kembali menggamit Idayu untuk bersendiri lagi di tepi jeram, tempat kegemarannya. Dia mundar-mandir sambil mengutip ranting kayu dan daun-daun yang gugur akibat hujan lebat sebentar tadi. Langit yang sedikit gelap, memungkinkan hujan akan turun lagi nanti. Entah mengapa sejak tengah hari tadi hatinya meronta-ronta untuk datang ke mari.

Lamunan Idayu tiba-tiba dikejutkan oleh kocakan air jeram. Dia berpaling ke arah bunyi itu. Terkaku seketika apabila menyedari yang dia tidak bersendirian di situ. Di satu sudut berhampiran batu besar yang selalu didudukinya, kelihatan seorang pemuda tercegat sambil memandang ke arahnya. Hatinya tak semena-mena berdebar-debar apabila melihat pemuda itu.

‘Doktor muda yang datang ke rumah pagi tadi? Eh... apa dia buat kat sini? Macam mana dia jumpa tempat aku ni?’ Hati Idayu tertanya-tanya sendiri. Tiba-tiba dia merasa takut kerana sedar hanya mereka berdua sahaja yang berada di situ.

Pemuda itu melangkah perlahan menghampirinya dan berhenti kira-kira lima kaki darinya. Idayu berfikir-fikir untuk pergi dari situ, tapi kakinya terasa kaku di tempat dia berdiri.

“Assalamualaikum.”

Sunyi.

“Tak baik salam tak dijawab.” Lembut sekali  kedengaran suara itu.

Sepi lagi.

“Salam wajib dijawab.”

Waalaikumussalam.” Akhirnya Idayu menjawab antara dengar dengan tidak. Suasana sunyi semula. Idayu lantas berpaling untuk pergi.

“Tunggu dulu!”

Suara pemuda itu menyebabkan langkah Idayu terhenti. Dia tahu, dia tidak sepatutnya berdua-duaan dengan lelaki itu di tempat sunyi begini. Bagaimanakah lelaki itu menjumpai tempat kegemarannya ini? Sedikit marah kerana sekarang tempat ini bukan rahsianya lagi.

“Tak apa kalau saya duduk di sini? Saya sukakan keindahannya,” tanya Hairi menduga.

Sebal hatinya sebentar tadi apabila melihat Idayu berpaling untuk pergi. Dia ingin berbual-bual dengan gadis itu, memang itulah tujuannya datang ke sini selepas hujan reda tadi. Dia menunggu penuh sabar kedatangan gadis ini. Mana mungkin dia akan melepaskan peluang untuk menegurnya kali ini.

“Tak apa, tempat ni memang termasuk dalam tanah ayah tapi... keindahannya bukan milik peribadi sesiapa.” Lembut Idayu menutur kata tanpa memandang ke arah lelaki itu.

Terasa sejuk hati Hairi, bagaikan disiram dengan salju tatkala mendengarkan tutur bicara perlahan, antara dengar dengan tidak yang keluar dari bibir gadis ini.

“Idayu selalu ke datang ke sini?” tanya Hairi bersahaja. Sengaja mencari-cari idea untuk terus berbicara.

Tersentak Idayu mendengar namanya disebut lancar oleh pemuda itu. ‘Hai, dari mana dia tahu namaku? Ah, mungkin dari Pak Soh dan Mak Dah kut,’ detik hati kecilnya.

Ermmm... doktor tahu nama saya?” Teragak-agak Idayu memberanikan diri bertanya untuk menjawab persoalan di hatinya. Matanya masih lagi tidak dapat memandang wajah kacak pemuda itu.

Hairi tersenyum. Ah, jerat dah mengena. Sengaja dia menyebut nama Idayu supaya timbul tanda tanya di hati gadis itu. Sekurang-kurangnya ada topik yang dapat menjadi sebab untuk dia meneruskan bicara dengan gadis itu.

“Ramai yang sebut nama Idayu... Abang Sahak, Pak Soh, Mak Dah... sampaikan saya tertanya-tanya siapakah gerangan empunya nama yang semanis ni?” ucap Hairi sambil matanya melirik, memandang wajah Idayu yang separuh berpaling ke arah lain.

Gelisah Idayu jelas nampak di pandangan mata lelakinya. Hairi bagaikan dapat merasa debaran hati gadis itu dari riak wajahnya yang kelihatan malu-malu.

Idayu terdiam mendengarkan kata-kata Hairi. Debar di hati semakin kencang.

“Idayu, boleh kita berbual-bual sekejap?” tanya Hairi dengan penuh harapan. Matanya terus merenung wajah gadis itu yang masih lagi menunduk.

Idayu terus diam. Serba salah dengan permintaan pemuda itu. Hatinya bagaikan terpanggil untuk bersetuju tetapi akalnya bagaikan menyanggah. Bagaimana nanti kalau ayah dan emak tahu, tentu mereka marah kerana tidak manis untuk dua orang yang bukan mahram duduk berdua-duaan di tempat sunyi begini. Perlakuan sebegini boleh mendatangkan fitnah.

“Boleh kan, Idayu?” rayu Hairi lagi.

“Aaa... tak baik doktor... berdua-dua macam ni.” Idayu bersuara setelah agak lama dia mendiamkan diri.

“Saya tak nak Idayu panggil saya dengan gelaran tu. Belum layak lagi. Nama saya Hairi. Panggil Hairi aje atau Abang Hairi,” kata Hairi tegas.

Sunyi menyulami suasana yang agak damai ketika itu. Kedengaran kicauan burung layang-layang yang sedang terbang pulang ke sarang menandakan waktu maghrib hampir tiba. Idayu teragak-agak, dia tahu, dia perlu pulang segera kalau tidak mahu dimarahi oleh emaknya.

Hairi pula masih terdiam mencari idea untuk meneruskan bicara. Dia sedar akan keresahan Idayu dan dia pasti gadis ini sudah mahu pulang. Tetapi hatinya bagaikan tidak sanggup melepaskan gadis ini pergi. Masih belum puas untuk dia berbicara dengan Idayu. Agak terkilan kerana Idayu datang agak lewat ke tempat itu.

“Idayu balik dulu ya doktor.”

“Hairi,” potong Hairi mengingatkan gadis itu dengan permintaannya sebentar tadi. Kedengaran begitu tegas di pendengaran Idayu.

“Tunggu dulu, saya nak tanya Idayu satu soalan,” sambungnya. Dia perlu tahu. Dia tidak peduli apa kata Idayu. Yang pastinya dia perlu tahu dari mulut gadis itu sendiri.

Idayu hanya mengangkat mukanya memandang wajah Hairi. Dia tertanya-tanya, apakah soalan yang akan keluar dari mulut pemuda itu nanti?

Debaran hati dua insan yang berpandangan ini mengandungi makna yang berbeza. Tidak lama mata bertentangan, Idayu tunduk semula tanpa kata.

Hairi terus merenung wajah ayu di hadapannya. Mulutnya bagaikan berat untuk meneruskan kata tetapi... persoalan di hatinya perlu dirungkaikan segera. Dia tahu, masih terlalu awal untuk dia mendapatkan kepastian tetapi dia tidak peduli. Perasaan yang timbul sejak pertama kali melihat gadis ini 3 hari yang lalu perlu ditenangkan supaya damai waktu tidurnya dan aman waktu jaganya.

“Idayu dah ada yang punya?” Terpacul soalan itu di bibir Hairi.

Berkerut kening Idayu cuba memahami maksud soalan itu. Matanya terus menatap wajah Hairi dengan penuh kehairanan. Dia tidak mengerti apa yang dimaksudkan oleh pemuda itu. Apabila terpandang wajah Hairi yang terpancar dengan harapan, Idayu jadi kaku.

Sedikit demi sedikit dia dapat menangkap makna yang tersirat daripada pertanyaan Hairi tadi. Sedikit pun tidak menyangka lelaki ini akan begitu telus bertanya. Kali kedua bertentang mata, persoalan itu sudah berani ditanya. Tidak perlu dengan seribu kata-kata. Hanya dengan pandangan mata yang tersirat penuh makna, dia bagaikan dapat menelah hati dan perasaan lelaki ini. Lantas dia melarikan matanya dari terus memandang wajah pemuda itu.

“Idayu, saya perlukan kepastian.”

Idayu sekadar diam.

“Idayu...”

‘Ah, malunya... apa perlu aku katakan?’ bisik hati Idayu.

“Idayu...”

“Kenapa?” Akhirnya Idayu bersuara, separuh berbisik. Suara yang bagaikan tidak mampu untuk keluar dari bibirnya.

“Saya... perlu tahu.”

“Tapi kenapa?” Kedengaran suara Idayu agak gugup, setelah lama membisu.

Hairi menunggu penuh debar. “Saya tak pasti kenapa... tapi saya perlu tahu.”

Mata Hairi tidak lepas daripada memandang Idayu. Dia sendiri agak terkejut dengan persoalan yang dibangkitkan itu. Lain yang ingin ditanya lain pula yang keluar dari mulutnya. Mungkin persoalan ini sebenarnya yang mengocakkan tangkai hatinya. Jadi, dalam kekalutan untuk menghalang Idayu dari pergi meninggalkannya, persoalan itu terpacul tanpa sedar.

“Idayu.” Dia masih menunggu. Resah hatinya kerana gadis manis itu bagaikan tidak mahu bersuara.

“Ada,” jawab Idayu akhirnya. Dia menjeling sekilas ke arah wajah pemuda itu.

Wajah yang penuh harapan itu berubah serta-merta. Terpancar kini rasa kecewa di wajah ala artis Bollywood itu. “Mak dan ayah.” Sambung Idayu sambil bibirnya tersenyum sekilas. Malu dengan kata-kata yang keluar dari mulutnya.

Idayu lantas melangkah pergi dengan pantas. Dia dapat merasakan panahan mata Hairi menikam jantungnya sebelum dia melangkah pergi. Dalam hati, berbunga sekuntum harapan.

No comments:

Post a Comment