DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 17 November 2021

CINTA MASAM MANIS - BAB 2


DERINGAN jam loceng yang terletak di tepi katil mengejutkan Qisya yang sedang lena dibuai mimpi.

Pantas tangannya dipanjangkan. Jam loceng segera dimatikan.

Qisya bangun sambil menguap besar. Kemudian mengeliat ke kiri dan ke kanan. Mood baru bangun tidur ini biasanya malas tahap ular sawa. Kalau dilayan, makin menjadi-jadilah tahap mengantuknya.

“Aduh... kenapalah cepat betul masa ni berlalu? Rasa macam baru aje aku tidur. Tup-tup dah subuh.”

Qisya mengomel sendirian sambil menggaru kepala. Inilah padahnya apabila sebulan dia menjadi penganggur terhormat. Apabila bekerja semula, mulalah rasa malas. Sebelum itu bukan main bosan lagi dia duduk melangut di rumah.

Seperti biasa, selimut dilipat. Kemudian cadar katil bercorak ladybird ditarik dan dikemaskan. Anak patung Pooh yang sudah hampir sama baya dengan usianya itu diletakkan elok di atas kepala bantal. Sayang sungguh dia pada anak patung itu. Ke mana saja pasti dibawa bersama. Anak patung yang diberi nama Mr. Pooh itu merupakan hadiah pemberian babah dan uminya sebaik saja usianya genap setahun.

Dengan langkah yang longlai, Qisya menghampiri meja solek. Wajahnya yang serabai dengan rambut

menggerbang seperti puntianak ditenung lama. Jelas kelihatan kesan bedak sejuk yang sudah bertompok-tompok memenuhi segenap wajahnya. Dari zaman sekolah sehingga sekarang, dia dan bedak sejuk berpisah tiada.

Tuala di atas penyidai kayu dicapai. Masa kian berjalan. Dia tidak mahu terus berangan. Hari pertama

bekerja di tempat baharu, kenalah tunjuk perangai elok sedikit. Datang tepat pada masa. Disiplin kena jaga. Barulah bos baharu pandang hormat. Teringat kata-kata majikan baharunya ketika dia diterima kerja.

“Kerja kena datang tepat pada waktunya. Jangan mula-mula aje tunjuk baik. Dah lama-lama nanti, mulalah buat hal. Datang kerja lewat. Buat kerja tak siap. Saya tak suka pekerja macam tu. Pada saya, kerja ni satu amanah. Kita kena pegang amanah tu baik-baik.”

Nafasnya dihela. Lelaki itu, Syed Aiman Syed Adnan, nampak dingin dan kurang mesra. Namun, Qisya akan buktikan kepada lelaki itu bahawasanya dia seorang pekerja yang bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam. Dia pekerja berwawasan dan boleh diharap.

Selesai mandi, Qisya menunaikan tanggungjawab sebagai hamba Allah. Senakal mana pun dia, kewajipan sebagai seorang Islam tetap ditunaikan. Kecuali apabila Allah bagi cuti. Yang itu bolehlah ponteng dan bangun lambat sikit.

Sejak dari kecil, babah dan umi sudah terapkan pada anak-anak untuk tidak lalai mendirikan solat. Kata babah, solat itu tiang agama. Sebagai umat Islam, kita tidak boleh meninggalkan solat tanpa alasan yang kukuh. Sedangkan masa sakit pun kita masih boleh mengerjakan solat jika kita masih mampu dan terdaya.

Habis saja menunaikan kewajipan sebagai umat Islam, Qisya terus bersiap. Baju kurung Pahang berwarna hijau dihiasi bunga-bunga merah jambu kecil menjadi pilihannya. Cukup cantik melekat di tubuhnya yang langsing dengan ketinggian 5 kaki 3 inci itu. Wajahnya yang putih bersih hanya disolek nipis. Cukup sekadar bedak muka, maskara, pemerah pipi dan lip gloss berwarna pink.

Tok! Tok! Tok!

“Amboi... mak cik! Sedapnya berangan. Kau tak nak kerja ke hari ni? Buat apa lagi tercegat kat situ? Tak puas lagi ke belek muka sendiri? Cukup-cukuplah tu. Kau dah cantik. Tak payah nak belek lebih-lebih. Dah jam berapa ni? Takkan nak masuk ofis tunggu bos kau masuk dulu pulak. Itu kes naya namanya,” tegur Nisya sebaik melihat sahabatnya itu masih tercegat di depan meja solek.

“Yalah mak cik oi... aku dah siap ni. Tak payah nak membebel. Hari ni aku tumpang kau eh. Aku malas nak drive,” Qisya merengek manja. Beg tangan dicapai, beg kecil berisi telekung dan novel terbaharu yang dibeli juga dicapai sama. Itu sudah menjadi kewajipannya sejak dulu. 

 

WELCOME TO Smart Home Holdings Cik Qisya Nur Alifa. Saya harap awak gembira bekerja di sini. Jika ada sesuatu yang awak tak faham, awak boleh tanya kepada Fadli. Tak pun, awak boleh tanya direct kepada saya,” Syed Aiman mengalu-alukan kedatangan gadis itu ke syarikat miliknya. Senyumannya ditebarkan. Tidak seperti pada hari pertama pertemuan mereka.

Qisya turut menebarkan senyum. Dalam hati terdetik, betapa kacaknya Syed Aiman apabila tersenyum begitu. Baris giginya yang putih bersih membuatkan senyumannya itu cukup menawan. Silap hari bulan, boleh tergoda dia melihat lelaki itu. Tapi tujuannya ke sini untuk bekerja. Bukan mencari calon suami atau menggatal. Pesan umi, niat kena betul kalau mahu rezeki yang masuk nanti halal.

“Terima kasih, Tuan Syed. Insya-Allah, saya takkan persiakan amanat yang Tuan Syed berikan kepada saya.”

Setelah beberapa minit berada di dalam bilik Syed Aiman, Qisya pun keluar. Barulah dia dapat menarik nafas lega. Berdepan dengan Syed Aiman, dia kena sopan dan santun. Cakap pun kena lembut dan ayu. Rimas pula terpaksa berlakon begitu. Hakikatnya, dia bukanlah perempuan ayu seperti itu.

“Tuan Syed cakap apa?” Tiba-tiba seorang wanita bertubuh gempal dengan bungkusan keropok udang Double Decker di tangan menerpa ke arahnya, membuatkan Qisya terpinga-pinga.

Err... takde apa-apa. Cuma... Tuan Syed suruh kerja dengan baik.”

“Itu aje?”

Qisya mengangguk. Renungan wanita itu amat mencurigakan. Kemudian, tak semena-mena wanita itu ketawa pula. Mengilai-ilai seperti langsuir. Qisya jadi pelik.

“Tuan Syed tu handsome, kan? Tak terpikat ke?” soal wanita itu lagi. Matanya merenung tepat ke wajah Qisya.

Qisya semakin pelik. Soalan jenis apa pula ni? Hesy... pening dia!

“Dah... dah... jangan dilayan sangat Kak Mila ni, Qisya. Kak Mila ni memang macam tu. Mulut tak pernah nak diam. Ada saja yang dibebelkannya. Mari Qisya, saya tunjukkan tempat duduk awak,” Yaya mencelah. Kasihan pula melihat Qisya menjadi mangsa buli Kak Mila. Belum apa-apa, Kak Mila dah tunjuk taring.

“Nama akak, Jamilah. Tapi budak-budak kat sini semua panggil akak dengan nama Kak Mila,” wanita

bertubuh gempal itu memperkenalkan diri. Bukan niatnya nak membuli, tapi sengaja mahu mewujudkan bibit-bibit kemesraan.

“Ada sambungannya tau... Kak Mila Murai,” sampuk Fadli pula. Nama Kak Mila Murai itu dialah yang

beri kepada Kak Mila. Baru nampak glamor!

“Pandailah kamu.” Kak Mila mencebik bibir. Dia memang terkenal dengan nama Kak Mila Murai dalam kalangan pekerja-pekerja Smart Home Holdings. Semua kerana si Fadli inilah.

“Betullah apa yang si Fad cakapkan tu, Kak Mila. Kan ke Kak Mila terkenal dengan nama Kak Mila Murai. Mana taknya, hari-hari  online, baca gosip pasal artis kat Murai.my. Dah tu, bila ada cerita-cerita panas aje, Kak Mila pulak jadi tukang sampai. Pot pet pot pet macam mulut burung Murai,” Yaya menyokong. Bersetuju dengan gelaran yang diberikan oleh Fadli kepada Kak Mila.

“Yalah tu. Korang berdua ni memang suka menyakat akak, kan. Nanti akak kahwinkan korang berdua

baru tau.”

Fadli dan Yaya terdiam. Pandangan mata bersatu. Kemudian kedua-duanya menunduk malu. Seperti ada sesuatu yang mereka sembunyikan.

“Nama kamu siapa?” Perhatian Kak Mila kembali kepada gadis manis di depannya.

“Qisya Nur Alifa Binti Zahiddin.” Senafas Qisya menyebut nama yang menjadi kebanggaannya sejak kecil. Nama yang diberi oleh babah dan uminya.

“Qisya Nur Alifa? Hmmm... pelik nama kamu ni. Tapi sedap pulak akak dengar. Akak nak panggil kamu apa? Qisya ke, Nur ke atau Alifa?” Patutlah Kak Mila diberi gelaran Kak Mila Murai, mulut tak pernah diam. Ada sahaja modalnya nak bercakap. Tentu jabatan ini meriah dengan mulut Kak Mila.

“Panggil Qisya aje kak,” beritahu Qisya mula senang dengan Kak Mila Murai. Terangguk-angguk wanita itu memahami.

Keropok udang disuap lagi ke dalam mulut. Sambil mengunyah, sambil bertanya.

“Qisya dah kenal semua staf kat sini?”

Qisya angguk. Yaya sudah membawanya berkenalan dengan semua pekerja di sini. Cuma dia tak nampak bayang Kak Mila saja tadi.

“Kak Mila... ada panggilan telefon ni!” teriak Aton.

Kak Mila mendecit. Baru nak berkenalan dengan Qisya, ada pula yang kacau daun. Tak boleh tengok dia senang sikit.

“Akak, cepatlah! Husband akak call ni,” ujar Aton lagi.

“Hesy, kamu ni! Tak sabar sungguh. Akak datanglah ni. Tak boleh tengok akak relaks sikit. Ada aje yang kamu nak kacau,” bebel Kak Mila. Dia sudah mula bergerak mendapatkan Aton Avon yang bibirnya merah menyala dek lipstik Avon kegemarannya itu.

Qisya tersenyum. Seronok melihat telatah Kak Mila yang mencuit hati. Sikit hari lagi, tentu dia dengan Kak Mila boleh jadi geng.

“Kak Mila tu memang macam tu. Mulut jahat sikit, tapi hati baik. Saya harap awak tak ambil hatilah dengan cakap dia tadi,” ujar Yaya kepada Qisya. Risau juga kalau Qisya berkecil hati dengan omongan Kak Mila yang terlebih becok itu.

Qisya menggeleng. Langsung tak kecil hati dengan kata-kata Kak Mila itu. Malah dia berasa seronok dapat berkenalan dengan mereka yang ramah-tamah. Dapat dibayangkan betapa ceria hari-harinya dengan telatah mereka ini nanti.

No comments:

Post a Comment