DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 17 November 2021

CINTA MASAM MANIS - BAB 1

 

DIA, Qisya Nur Alifa Binti Zahiddin. Anak kepada pasangan paling romantik di abad ini, Haji Zahiddin dan Hajah Azyan. Berusia 24 tahun. Berstatus single and available. Jantina mestilah perempuan. Anak sulung daripada tiga beradik.

Biarpun menjawat jawatan anak sulung merangkap ketua kontinjen kepada dua adiknya, namun dia merupakan anak terlajak manja, anak yang paling disayangi... dan anak bertuah. Maklumlah, sebelum Qayyum dan Qhifa lahir, dialah satu-satunya penyeri hidup babah dan umi. Kepadanya yang cute lagi comellah ditumpahkan segala kasih dan sayang. Dia dimanjai dan segala keinginannya dituruti. Tapi itu bukan ruang untuk dia menjadi anak seperti Sazali. Dia tetap anak yang mendengar kata; anak yang solehah.

Untuk kali yang ke-99, Qisya membelek wajahnya di hadapan cermin. Senyumannya melebar. Bangga dengan penampilan terbaharunya. Tampak anggun dan manis. Ala-ala wanita Muslimah Melayu terakhir gitu. Apatah lagi apabila terkenangkan pujian atuk dan nenek sewaktu dia pulang ke kampung halaman minggu lepas. Semakin lebar lagi senyumannya.

“Macam inilah yang dikatakan gadis Melayu. Cantik dan manis.”

Itu kata atuknya. Waduh... sampai ke tidur dia tersenyum hanya disebabkan pujian Haji Sulaiman itu.

Kembang weh!

“Sejuk hati nenek tengok kakak dah pakai tudung. Cantik sangat. Sikit hari lagi, mesti ada putera raja masuk meminang.”

Itu kata neneknya pula. Huh, semakin terbuka luas kembang lubang hidung Qisya. Mengalahkan hidung seladang betina sahaja. Pantang betul dipuji cantik. Mulalah senyumannya koyak sampai ke telinga. Nasib tak koyak betul-betul. Kalau tak, mahu sebiji seperti muka Joker. Hilang ayu dan rasa cantiknya itu.

Qisya tersenyum lagi. Lesung pipit di kedua belah pipinya terserlah. Kata Afiq, lesung pipit Qisya persis Preity Zinta. Cantik dan menawan. Hmmm... macamlah dia tak tahu yang Afiq nak mengurat. Sebab tu puji pun melambung tinggi.

Alahai Afiq Bin Alif... kalau pun awak nak mengurat, cubalah guna taktik canggih sikit. Ini tak, taktik zaman purba itu juga jadi pilihannya. Tak kuasa Qisya melayan. Alamatnya, Afiq ditolak mentah-mentah. Tapi itu cerita 2 tahun lepas, sewaktu Qisya dan Afiq sama-sama menuntut di universiti. Tamat saja pengajian, dia dan Afiq pun terputus hubungan. Ke mana Afiq menghilang? Entahlah. Qisya tak tahu dan tak ingin ambil tahu.

Untuk sekali lagi wajahnya dibelek. Kut ada jerawat batu yang menempel. Musnahlah harapannya nak berlagak di depan Nisya dan Casabelle. Seminggu bercuti di kampung halaman, dia langsung tidak menghubungi mereka. Kerinduan yang membuak-buak kepada keluarga membuatkan dia terlupa. Apatah lagi keseronokan menikmati buah-buahan di dusun buah milik Haji Sulaiman. 

Shawl yang dililit atas kepala dikemaskan. Balik ke Kuala Lumpur setelah seminggu bercuti di kampung halaman kenalah nampak cantik. Barulah berkeyakinan. Tahun baru, azam baharu, orangnya juga kenalah nampak baharu. Teringat bebelan uminya sewaktu dia belum bersedia mengenakan tudung dulu.

“Awak ingat dah cukup cantik ke tayang rambut macam tu? Dengan warna perangnya lagi. Tak ubah

macam Puntianak Harum Sundal Malam. Kan elok pakai tudung. Manis dan sopan. Takdelah rambut menggerbang macam tak bersikat.”

Aduh! Hajah Azyan kalau bercakap memang makan dalam. Sakitnya menusuk ke kalbu yang paling dalam. Bebelannya boleh mencairkan segala isi dalam telinga. Mula membebel pukul 6 pagi dan pukul 10 malam baru bebelan itu tak kedengaran lagi. Itu pun kerana Hajah Azyan dah masuk tidur. Kalau tak, mahu berkicau mulutnya yang mungil itu meleteri anak-anak dan suami.

Qisya pelik betul macam manalah babah boleh bertahan dengan bebelan uminya. Kuasa cinta kut? Kerana cinta membuatkan babah menerima segala kekurangan  umi. Jika tidak kerana cinta, masakan babah boleh bertahan dengan umi yang hobinya suka berleter itu. Sungguh, dia kagum melihat cinta babah dan uminya. Semoga suatu hari nanti dia juga akan berjumpa dengan cinta sejati seperti itu. Amin...

 

STREETTT...

Sepantas kilat Qisya menekan brek. Sampai terdorong ke depan badannya. Hampir melayang semangatnya. Mujur dia cepat bertindak. Jika tidak, mahu inalillahiwainnailaihirojiun dia hari ini.

Kus semangat! Qisya mengusap dada. Terkejut kambing apabila tiba-tiba sahaja sebuah kereta BMW 6 series berwarna hitam berkilat meluncur dengan laju masuk ke simpang jalan. Nyaris melanggar keretanya yang baru hendak keluar dari simpang.

Dengan debaran yang masih lagi menggila, dia keluar daripada perut kereta. Dah serupa muka orang baru menamatkan larian pecut 100 meter sahaja. Wajahnya kelihatan pucat. Jika ditoreh dengan pisau, tentu tiada setitis darah merah yang mengalir keluar. Putih seperti darah Mahsuri.

Bahagian depan kereta Perodua Vivanya dibelek-belek. Manalah tahu kalau ada kecederaan parah yang dialami Viva La Diva kesayangannya itu. Senang nak minta ganti rugi. Perodua Viva itu baru 3 bulan dibelinya. Tup-tup ada pula makhluk Allah yang berhati mulia hampir melanggar kereta kesayangannya ini. Mujur tiada kemalangan serius yang berlaku.

“Hoi, kau tak tahu memandu ke hah?” sergah seseorang.

180 darjah Qisya berpusing. Terkejut blue hypoo mendengar ‘kelembutan’ bahasa yang digunakan oleh seorang hamba Allah. Tanpa memberi salam terlebih dahulu, lelaki itu terus sahaja menyergahnya dengan panggilan ‘hoi’. Tak beradab betul!

Atas bawah lelaki di depannya itu direnung. Penampilan persis orang kaya-raya. Tapi bahasa... Subhanallah, hancur lebur macam timah yang dilebur atas api. Bukankah budi bahasa itu budaya kita? Mana perginya budi bahasa lelaki ini?

“Hoi! Kau dengar ke tak ni? Yang pergi tenung muka aku tu kenapa? Aku cakap dengan kaulah! Bukannya nak suruh kau tenung muka aku macam tu. Kau tak tahu memandu ke sampai kereta aku kau nak langgar?” Sekali lagi lelaki berwajah kacukan Melayu-Inggeris-Korea itu bersuara. Wajahnya masam mencuka. Tak ubah seperti tomyam basi.

‘Aku sekeh karang! Sedap betul bahasa dia guna. Berhoi-hoi! Ini sudah tahap terlajak kurang ajar. Dia yang hampir langgar kereta aku, dia pulak yang over meroyan. Siap tuduh aku nak langgar kereta dia lagi. Tiga suku agaknya mamat ni. Entah-entah kat otak dia tu ada banyak wayar yang dah tercabut. Sebab tu tak betul!’ rungut Qisya dalam hati. Mata masih tak lepas memandang wajah di depannya itu.

“Hoi!!! Kau ni bisu ke?” Semakin menjadi-jadi pula olah lelaki berwajah kacukan itu.

Qisya tarik nafas dalam. Kemudian dihembus. Bersedia membuat serangan balas.

Excuse me, apa awak cakap? Saya tak tahu memandu? Helo encik... jangan nak tuduh sembarangan

boleh tak? Saya yang tak tahu memandu atau awak yang tak pandu dengan cermat? Kalau dah rasa diri tu bersalah, janganlah tuding jari kat orang. Mentang-mentang awak pakai kereta besar, jangan ingat awak tu hebat sangat.” 

Qisya mencebik. Meluat tahap loya melihat muka lelaki yang sedang berdiri sambil berpeluk tubuh di hadapannya itu. Nampak saja seperti lelaki budiman, tapi sebenarnya hampeh. Kalaulah dia guru sekolah, bab tatabahasa memang lelaki ini diberi markah kosong. Gagal!

“Kau tak tahu undang-undang ke? Sepatutnya... bila kau berada di simpang nak keluar, kau kenalah berhentikan kereta buruk kau tu. Pandang kiri kanan sebelum nak keluar. Bukan main rempuh macam lembu melintas jalan. Lesen apa kau pakai? Sampaikan undang-undang yang simple macam ni pun kau tak tahu. Kau guna lesen terbang ke apa?”

Mata Qisya membulat. Rasa nak ditampar mulut celopar lelaki itu. Sedap bahasa saja kata dia pakai lesen terbang. Sedangkan lelaki itu pun salah juga. Memandu melebihi had kelajuan yang telah ditetapkan. Pandu kereta macam samseng!

“Hei... encik! Cakap tu baik-baik sikit tau. Saya yang guna lesen terbang atau awak yang memandu tanpa lesen? Dah tahu nak masuk simpang, perlahankanlah sikit kelajuan tu. Tak payah nak laju-laju sangat. Ingat jalan raya ni awak yang punya ke? Huh! Memandu macam samseng jalanan!” Sakit betul hati Qisya.

“Kalau awak dah teringin sangat nak gantikan Michael Schumacher, pergilah kat litar lumba. Di sana

awak nak memandu macam nak bunuh diri pun okey aje. Takde sesiapa nak larang. Ada faham?” Lancar dan berani Qisya menyambung kata-katanya. Kalau lelaki itu tidak faham juga, entahlah. Nak kata bodoh, mustahil. Masakan lelaki bergaya dengan kereta mewah seperti ini tidak bersekolah tinggi. Paling kurang pun lelaki ini mesti ada ijazah dari luar negara.

Kecil mata lelaki itu merenung Qisya. Geram dengan kelancangan mulut gadis di depannya ini. Tak padan kecil. Mulut pedas macam cili api! Belum pun sempat dia membalas kembali kelancangan ayat super power gadis di depannya itu, telefon pintarnya berbunyi. Pantas saja panggilan itu dijawab.

Yes, Bad... okey, okey. Kejap lagi aku sampai. Ada emergency sikit. Kereta aku nyaris kena langgar dengan perempuan gila. Takpe... aku masih boleh handle perempuan gila ni. Kau tak perlu datang. Nanti aku cerita. Jumpa kau kat sana.”

Kurang ajar! Sedap mulut saja dia digelar perempuan gila. Qisya semakin geram. ‘Dia tu yang sewel, tak sedar pulak. Hesy, dia ni kan... mencabar kesabaran sungguh. Ya Allah ya Tuhanku, kuatkanlah iman dan kesabaranku. Amin...’

Lelaki itu mengerling Qisya dengan ekor matanya. Satu jelingan diberikan.

“Kalau layan perempuan gila macam kau ni, lama-lama aku pulak yang jadi tak betul. Menyakitkan hati!” kutuk lelaki sombong itu sebelum berlalu ke keretanya. Dengan rasa sebal, dia menekan minyak sekuat hati meninggalkan tempat itu dengan muka masam mencuka. Hati pula tidak henti-henti melepaskan rasa marah kepada gadis yang telah membuatkan anginnya tiba-tiba saja berubah.

“Hah, pandulah laju-laju! Kali ni aku doakan kau bertembung dengan pokok getah. Baru padan muka kau!” teriak Qisya. Geram bukan kepalang! Kalau diikutkan hati mahu didebiknya kepala mamat sewel tadi. Sudahlah sombong, berlagak pula tu. Apalah bertuah nasibnya hari ini? Bertembung dengan lelaki perangai buruk seperti itu. Rosakkan mood saja!

Batu di tepi jalan disepak. Bayangkan saja batu itu lelaki sombong tadi. Perangai buruk tak ubah seperti bapak jin. Bapak jin?

Qisya menggaru dagu. ‘Hmmm... sedap jugak nama tu. Sesuai sangat dengan lelaki tadi. Bapak jin!!!’

 

PERODUA VIVA perlahan-lahan membelok masuk ke halaman rumah teres dua tingkat yang terletak di Taman Teluk Villa. Elok saja kereta diparkirkan di belakang Naza Sutera milik teman serumahnya, Nisya. Kejadian yang berlaku tadi masih segar dalam ingatan, membuatkan mulutnya tidak berhenti-henti melemparkan kemarahan kepada lelaki tadi.

‘Buat spoil mood aku aje! Kalau aku jumpa dia lagi, aku sekeh-sekeh kepala dia sampai lumat. Lepas tu bagi makan dengan buaya kat Sungai Batang Lupar. Itu pun kalau buaya nak makan kepala orang tak betul macam dia. Menyakitkan hati!’

Qisya cuba bertenang. Nafas ditarik dalam sebelum dihembus perlahan-lahan. Itu petua yang babah ajar kepada dia adik-beradik ketika emosi menguasai diri. Kata babah, apabila marah kena tarik nafas panjang-panjang. Lepas tu hembus perlahan-lahan. Istighfar banyak-banyak. Kalau masih tak tenang juga, pergi ambil wuduk dan solat. Insya-Allah, rasa marah akan reda.

Setelah emosinya kembali stabil, dia pun keluar daripada perut kereta. Buah-buahan yang dibekalkan oleh uminya dari kampung segera diambil. Ketika hendak melangkah masuk ke dalam rumah, kelibat Encik Darish yang sedang mencuci kereta Honda City miliknya kelihatan di rumah sebelah. Qisya yang

memang terkenal dengan sifat mesra rakyat dan alamnya itu terus saja menegur. Hidup berjiran, kenalah bertegur sapa.

“Assalamualaikum, Encik Darish. Tengah buat apa tu?” sapa Qisya dengan mesra. Senyumnya meleret sehingga menampakkan baris giginya yang putih bak mutiara.

Encik Darish yang sedar ada suara seorang perempuan menegurnya, pantas berpaling. Wajahnya mencuka. Langsung tidak menunjukkan sifat ramahnya selama ini. Salam Qisya juga langsung tidak dijawab. Laju saja lelaki itu masuk ke dalam rumah. Keretanya yang masih dipenuhi sabun tidak dihiraukan.

Serta-merta Qisya mengerutkan dahi. Hairan dengan sikap lelaki itu hari ini. Tidak seperti selalu, Encik Darish cukup ramah dengan tutur bahasanya yang sopan. Senyum pula sentiasa menghiasi bibir nipisnya itu.

‘Datang bulan agaknya dia. Muka kecut mengalahkan asam kelubi,’ Qisya menggumam dalam hati. Hajat mahu menyedekahkan sedikit buah-buahan yang dibawa daripada kampung kepada Encik Darish terbantut. Anggap saja lelaki itu tidak ada rezeki hari ini. Malas mahu memeningkan kepala memikirkan angin monsun barat daya lelaki itu. Pantas langkah dibawa masuk ke dalam rumah.

“Assalamualaikum.” Salam diberi.

Waalaikumussalam...” Nisya menyambut salam. Dia dan Casabelle yang sedang menonton drama di kaca televisyen segera berpaling.

“Huh, penatnya!” Qisya meletakkan plastik berisi buah-buahan di atas lantai.

“Wah, banyaknya buah! Macam-macam ada. Rambutan, langsat, manggis... eh, durian pun ada. Sebulan makan pun belum tentu habis. Kalau hari-hari macam ni kan best.” Casabelle yang sudah bangun daripada perbaringan segera menerpa beg plastik di atas lantai. Bersinar-sinar matanya melihat buah-buahan yang dibawa sahabat baiknya itu. Segar-segar belaka.

Hmmm... umi aku yang bekalkan untuk korang. Kalau akulah... tak kuasa! Buat penat aje.” Dengan selamba Qisya merebahkan badannya di atas sofa. Siap goyang kaki persis orang kaya.

“Hesy... kejamnya kau. Langsung tak ingat kami eh,” balas Nisya. Geram dengan sikap Qisya yang mudah lupa kawan.

“Bukan tak ingatlah. Cuma lupa ingatan kejap.”

Nisya mencebik. Malas mahu memanjangkan cerita. Daripada berbalas bahas dengan Qisya, lebih baik dia menikmati buah-buahan segar kiriman Hajah Azyan. Lagipun, melihat Casabelle yang sudah menikmati buah rambutan, membuatkan air liurnya mula terasa kecur.

“Kau tak nak ke?” tanya Casabelle kepada Qisya setelah membuka buah durian pula.

Laju saja Qisya menggelengkan kepalanya.

Korang makanlah. Aku dah puas makan kat dusun atuk aku. Dah tak larat nak makan lagi.”

“Untung atuk kau ada dusun buah. Dapat makan puas-puas,” ujar Casabelle. Buah durian disuap ke dalam mulut. Sedapnya tak terhingga. Sampai terpejam mata dibuatnya.

Hmmm... bolehlah. Daripada beli kat luar, harga pun mahal. Kat dusun atuk aku tu, boleh makan banyak-banyak. Percuma tanpa bayaran.”

Casabelle dan Nisya terus menikmati buah-buahan tanpa menghiraukan Qisya yang sedang menonton rancangan Running Man di kaca televisyen. Teman seorang itu memang penggemar rancangan itu.

Sewaktu iklan ke udara, Qisya teringatkan sesuatu. Pantas pandangan dihalakan ke arah Nisya dan Casabelle.

“Weh korang! Aku nak tanya ni...”

Nisya dan Casabelle tidak menjawab, masih menikmati buah-buahan tersebut.

“Tadi waktu aku sampai, aku terserempaklah dengan Encik Darish kat depan tu. Macam biasalah, tengah cuci kereta kesayangan dia. Aku pun tegurlah. Korang nak tahu... dia boleh buat tak layan aje aku. Muka pulak masam mengalahkan cuka yang dah expired. Aku pelik betul dengan perangai Encik Darish hari ni. Selalunya dia tak macam tu. Macam orang perempuan datang bulan pulak. Korang tahu tak kenapa dengan Encik Darish tu?” Qisya bercakap dengan nada perlahan. Takut jikalau jiran sebelah rumah mereka itu terdengar apa yang dikatakannya. Tak pasal-pasal mengamuk pula Encik Darish satu taman.

“Kalau pasal tu, aku serahkan kepada Cik Danisya Izzati Binti Darsani yang jawab. Aku takde jawapan untuk soalan kau tu.” Dengan mulut yang berisikan durian, Casabelle memuncungkan bibir ke arah Nisya. Mahu tertelan biji durian teman seorang itu dibuatnya.

Qisya mengecilkan mata. Renungannya tajam menatap wajah Nisya yang masih beriak selamba. Nak

kontrol ayulah kononnya. Ini mesti ada apa-apa. Kena korek sampai ke lubang cacing. Tak acilah dia seorang saja yang tidak tahu.

Hatinya kuat mengatakan perubahan lelaki itu ada kena-mengena dengan Nisya. Bukannya dia tidak nampak cara Encik Darish pandang Nisya selama ini. Seperti ada sesuatu yang terpendam dalam hati. Apabila bercakap dengan dia dan Casabelle pun, jelingan Encik Darish tetap terarah kepada Nisya. Cuma Nisya saja buat-buat tidak tahu. Kalau betul dalam hati sudah ada cinta, apa salahnya diluahkan. Lagipun Encik Darish itu tidak kurang kacaknya. Sepadanlah dengan Nisya yang berwajah ala-ala gadis Korea.

“Nisya... kau ada sorok apa-apa ke daripada aku?” Qisya cuba menebak dengan pandangan yang amat menggerunkan.

Nisya menggeleng. Cuba berlagak selamba sedangkan hati mula berkocak deras. Tahu sangat dengan

renungan Qisya itu. Pasti mahukan penjelasan lanjut.

“Ala beb... Encik Darish tu sebenarnya stres sebab tak berjaya nak ajak Nisya keluar dating. Pasal tu jiwa dia kacau. Otak berserabut. Muka serabai. Sampaikan semua orang dia nak bagi jelingan maut. Bukan kau sorang yang kena, aku pun terkena jugak. Semua gara-gara perempuan keras kepala inilah. Dah orang ajak tu, pergi ajelah. Ini nak jual mahal pulak. Kan tak pasal-pasal Encik Darish dah merajuk,” Casabelle tolong jawabkan apabila Nisya terus mendiamkan diri. Tak kisahlah kalau Nisya marah kepadanya. Dia pun marah juga kepada Nisya. Kerana Nisya, dia pula menjadi mangsa amarah Encik Darish.

“Ohhh... macam tu ceritanya. Patutlah muka Encik Darish tu dah serupa tapai basi. Merajuk dengan

Nisya rupanya...” Di hujung kata, Qisya mengekek tawa. Geli hati melihat cemberut pada wajah Nisya. Merah padam kulitnya yang putih melepak itu menahan malu.

Casabelle juga sudah ikut sama tertawa. Bergabung tenaga dengan Qisya sehingga melengking-lengking tawa mereka berdua.

“Hah, korang ketawalah puas-puas! Ketawa sampai terkeluar isi perut tu. Dah puas ketawa nanti, jangan lupa kemas kulit buah durian yang bersepah ni. Aku nak mandi. Tak kuasa nak melayan korang ketawa macam langsuir. Menyakitkan hati aje!” Dengan kaki dihentak kuat, Nisya memanjat anak-anak tangga naik ke tingkat atas. Malunya tak terkata. Tak pasal-pasal jadi bahan gelak teman-teman serumah.

Ini semua Casabelle punya pasal. Mulut tak boleh nak simpan rahsia. Encik Darish pun satu hal juga. Boleh tak kalau jangan nak merajuk sangat? Kan dah jadi bahan lawak. Huh! Menyampah!

Tawa Qisya dan Casabelle terhenti. Mereka saling berpandangan. Namun tak lama kemudian, tawa mereka pecah lagi. Geli hati dengan Nisya dan Encik Darish. Cinta dah berputik, tapi masing-masing masih ego tak nak luahkan isi hati. Alamatnya... merajuklah Encik Darish dengan muka paling buruk di zaman ini.


No comments:

Post a Comment