DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 17 November 2021

CINTA MASAM MANIS - BAB 4


JAKET kulit hitam dibuka lantas dibuang ke atas katil. Satu dengusan kasar keluar daripada mulutnya. Hari ini macam-macam hal terjadi. Semua membangkitkan amarahnya. Mujur kemarahan itu masih bisa dikawal. Jika tidak, entah apa akan terjadi.

Belum reda api cemburunya melihat kemesraan Intan Natasha bersama Syed Aiman, muncul pula perempuan gila itu menambahkan lagi bahang dalam hatinya. Seperti mahu ditonyoh-tonyoh mulut laser gadis itu. Lancangnya menyakitkan hati. Nasib baiklah dia masih boleh bersabar. Jika tidak, sudah lama perempuan gila itu makan penumbuk sulungnya. Tapi... dayuslah pula lelaki pukul perempuan. Belum ada dalam keturunannya lelaki bertindak dayus begitu.

Tengku Danish mendengus lagi. Hatinya bertambah sakit apabila terkenangkan ejekan gadis itu tadi. Sengaja menjatuhkan air mukanya. Tawa perempuan itu pula cukup menyakitkan hati. Mengilai-ilai seperti langsuir.

Cis... tak guna! Perempuan gila itu betul-betul menyebalkan! Percuma saja dia dikenakan.

Tapi silapnya juga kerana memakai kaca mata hitam malam-malam. Tak pasal-pasal, termalu sendiri. Mujur tidak ramai orang lalu-lalang ketika itu. Jika tidak, jatuh menjunam maruahnya. Dalam hati, Tengku Danish menyemai dendam. Kalau ditakdirkan bertemu semula dengan perempuan gila itu, dia takkan melepaskannya. Akan diajar cukup-cukup. 

Wajahnya diraup. Cuba menghalau bayangan gadis yang menyakitkan hatinya itu. Semakin dilayan, semakin parah jadinya. Lebih baik dilupakan saja.

Tuala yang tersangkut atas penyidai kayu dicapai. Kemudian dia masuk ke dalam bilik air. Badannya sudah melekit dan kurang selesa. Dia perlukan air untuk menyejukkan badan dan hatinya yang hangat.

20 minit berlalu, Tengku Danish keluar daripada bilik air. Hanya bertuala separas lutut. Baju-T tanpa

lengan dan seluar pendek paras lutut menjadi pilihannya. Badannya dihempas ke atas katil. Terlentang sambil merenung siling. Telefon pintar dicapai. Peti simpanan gambar dibuka. Wajah cantik Intan Natasha terlayar di depan mata, membuatkan jantungnya berdegup dengan pantas. Perlahan-lahan dia mengusap wajah di skrin. Alangkah bahagianya dia jika tuan empunya diri muncul

kala hatinya sedang sakit merindu.

Tengku Danish mengeluh. Kenapa susah sangat untuknya meluahkan rasa cinta kepada gadis itu? Dan kenapa terlalu sukar untuk Intan Natasha memahami isi hatinya ini? Sungguh, dia terpaksa berpura-pura apabila berdepan dengan gadis itu. Menganggap hubungan mereka hanya teman biasa. Bagaikan tiada perasaan istimewa. Sedangkan hatinya meronta-ronta. Merintih setiap kali melihat layanan Intan Natasha kepada Syed Aiman. Dia cemburu, amat cemburu.

Hubungan mereka bertiga sudah lama terjalin. Begitu juga hubungan kekeluargaan. Keluarganya dengan keluarga Syed Aiman dan Intan Natasha sudah lama berkawan baik. Selama itu jugalah dia menyimpan perasaan cinta kepada Intan Natasha. Cuma gadis itu saja tidak menyedarinya. Langsung tidak mahu memahami perasaannya. Setiap kali keluar bertiga, Intan Natasha selalu memberi perhatian kepada Syed Aiman. Kata wanita cantik itu, Syed Aiman seorang yang istimewa. Sejak itu dia mula cemburukan Syed Aiman. Dia tahu Intan Natasha cintakan Syed Aiman. Dia tidak dapat menerimanya. Dia tidak mahu kalah di tangan lelaki itu. Dia cintakan Intan Natasha.

Sedang asyik melayan perasaan, tiba-tiba telefon pintarnya berbunyi. Nama Erin terpampang pada skrin. Dengusannya dilepaskan. Panggilan daripada Erin dibiarkan sepi tanpa jawapan. Namun selang sesaat, nama itu tertera lagi. Pasti ada sesuatu yang gadis itu mahukan. Dia sudah cukup masak dengan perangai Erin. Mahu tak mahu, panggilan yang menjerit-jerit minta diangkat itu dijawab.

Dear... kenapa lambat pick-up call?” Di hujung sana, suara Erin merengek manja kedengaran.

Tengku Danish mengeluh. Dia dengan Erin cuma teman biasa saja. Tidak lebih daripada itu. Cuma Erin, si model seksi itu saja yang melebih-lebih dengan memperkenalkannya sebagai kekasih kepada media. Disebabkan cerita itu, Ku Ana mengamuk sakan. Membebel 24 jam di talian. Mujur tidak berdarah telinganya mendengar omelan bondanya itu.

“Bonda tak suka Danish rapat dengan perempuantu. Kalau cari isteri, carilah perempuan yang boleh jadi isteri dengan baik dan didik bakal anak-anak Danish sebaiknya. Bukan perempuan macam tu. Pakai baju pun dah serupa bikini. Bonda tak kisah kalau bakal menantu bonda nanti tak secantik supermodel. Yang penting... perangai kena baik. Bonda pantang betul dengan perempuan merokok dan kaki arak. Nauzubillah! Minta dijauhkan daripada keluarga kita. Faham?”

Keras amaran Ku Ana masih terngiang-ngiang.

Dear... kenapa senyap ni? Soalan I tak jawab pun...” Erin merengek manja.

“I baru lepas mandi.” Pendek jawapan Tengku Danish. Sekadar mahu menjaga hati Erin saja. Dalam

mood yang tak berapa baik, dia malas mahu melayan Erin. Bukannya dia tidak faham dengan perangai Erin yang mengada-ada itu. Menyesal pula berkenalan dengan model terkenal itu.

Kalaulah dia tahu begini jadinya, sedari awal lagi dia sudah menolak untuk berkenalan dengan Erin. Perempuan itu terlalu sosial. Bukan setakat merokok, malah Erin sudah biasa minum arak. Mungkin lebih daripada itu. Bukannya dia tidak pernah terlihat Erin keluar dari sebuah hotel bertaraf lima bintang bersama seorang lelaki yang boleh dikatakan sudah berumur sambil berpeluk-pelukan. Erin saja tidak perasan. Sejak itu dia sudah malas mahu berhubung dengan Erin lagi. Cuma Erin saja yang sering terkejar-kejarkannya.

Senakal-nakal dia pun, masih tahu batas pergaulan. Sekadar kawan-kawan saja. Itu pun kerana mahu melupakan perasaannya terhadap Intan Natasha. Disebabkan itu, dia berpura-pura berkelakuan seperti seorang playboy.

“Jom keluar? I bosanlah duduk kat rumah sorang-sorang. Zila dah keluar dengan boyfriend dia. I takde teman. Lagipun... I rindu sangat dekat you. Dah lama kita tak keluar sama,” ajak Erin dengan suara yang direngek-rengekkan.

Tengku Danish mengerling jam di meja. Pukul 9.30 malam. Masih awal, tapi dia tidak terfikir mahu keluar. Lebih-lebih lagi dengan Erin.

“I penatlah Erin,” tolak Tengku Danish.

“Jomlah sayang. Malam muda lagi kut. Dah lama kita tak jumpa. Rindulah. Setiap kali I call ajak keluar, you mesti bagi alasan sibuk. Jomlah keluar. I promise to make you happy tonight.  You takkan menyesal. You tak pernah lagi rasa layanan I. So... apa kata malam ni biar I layan you? First class...” Erin menggoda. Sengaja mahu membuatkan Tengku Danish tersungkur dengan godaannya itu.

Namun, usahanya itu hanya sia-sia. Tengku Danish langsung tidak tergoda. Erin salah orang. Tengku Danish bukan lelaki yang mudah masuk ke dalam perangkap. Sebuaya-buaya dia, belum pernah lagi dia ‘ngap’ anak dara orang.

Sekejap! Erin itu masih dara lagi ke? Tengku Danish berfikir sejenak. Lalu kepalanya digelengkan. Ahhh... lantaklah dara ataupun tak. Yang pasti dia memang tidak berminat untuk itu. Playboynya ada had. Masih tahu menjaga nama baik keluarga. Masakan mahu menconteng arang ke muka bonda dan walidnya yang telah banyak memberi kebebasan kepadanya selama ini. Dia masih anak yang tahu menjaga maruah keluarga. Lagipun, Allah Maha Melihat.

Sorry... I can’t. Letih sangat. You ajak orang lain okey. Good night Erin.” Tanpa menunggu lama, butang merah ditekan, menamatkan perbualan dengan Erin serta-merta.

Sekali lagi telefon pintarnya berbunyi, membuatkan Tengku Danish mendengus kasar.

‘Hesy... perempuan sorang ni! Tak reti bahasa ke?’ Pantas panggilan dibiarkan. Lama-lama nanti Erin pasti akan bosan.

Beberapa minit kemudian, telefon pintarnya berbunyi lagi. Dia mengeluh. Nampaknya perempuan itu

memang tak faham bahasa.

‘Dia nak dengar aku marah agaknya!’ Namun, saat melihat nama yang tertera, pantas saja rasa marah itu reda. Senyumannya melebar. Butang hijau ditekan.

“Assalamualaikum, bonda.” Dengan riang Tengku Danish menyapa. Hilang sudah kemarahannya. Semua kerana wanita yang amat disayanginya itu.

Waalaikumusalam. Danish buat apa?” sambut Ku Ana. Ceria saja nadanya.

“Tak buat apa pun bonda. Duk lepak dalam bilik aje. Bonda apa khabar?” Sudah lama dia tidak pulang ke rumah keluarganya yang terletak di Bukit Antarabangsa.

“Alhamdulillah, sihat. Cuma bonda rindu sangat kepada Danish. Dah lama Danish tak pulang ke rumah. Rindu tau. Tapi Danish langsung tak ingat bonda.” Suara Ku Ana kedengaran seperti berjauh hati. Memang dia jauh hati dengan sikap anak sulungnya yang selalu sibuk dengan kerja itu. Sampaikan langsung tidak menjenguknya.

Sejak Tengku Danish berpindah ke kondominiumnya di Indah Permai, anak itu sudah jarang pulang ke Istana Kristal. Jika pulang pun, susah sangat mahu bermalam di situ. Hanya melalui Tengku Norman

dan Tengku Rayyan sahaja dia mendapat tahu keadaan diri Tengku Danish.

“Bonda janganlah merajuk. Danish bukannya tak ingat bonda. Cuma sejak kebelakangan ni Danish sibuk dengan kerja. Sampaikan tak sempat nak pulang ke rumah.”

“Sibuk sampai dah lupa bonda? Takpe... nanti bonda pesan dekat walid, tak payah bagi Danish kerja

banyak sangat. Adalah masa terluang sikit bersama bonda.”

Tengku Danish ketawa lucu. Ada-ada saja bondanya ini. Takkan nak suruh dia goyang kaki pula. Apa kata staf di Istana Kristal Holdings? Mentang-mentang anak big boss, suka hati saja tak buat kerja. Sebagai majikan, dia kenalah bagi contoh yang baik kepada staf-staf bawahan. Barulah dihormati dan disegani.

“Yang Danish nak gelak sakan tu kenapa pulak? Bonda tak buat lawak tau. I mean it!” Keras nada Ku Ana. Geram mendengar tawa anak lelakinya itu.

Cepat-cepat Tengku Danish mematikan tawanya.

“Bonda... Danish bukannya tak balik satu tahun. Baru seminggu kut. Dulu masa Danish study kat London, takde pulak bonda cepat terasa hati macam sekarang. Ini mesti bonda dengan walid ada krisis sejuk panas. Pasal tu mood ke laut,” Tengku Danish mengusik. Tawanya pecah lagi. Sesekali menyakat, apa salahnya.

“Amboi... bukan main Danish ya. Kalau Danish ada depan bonda sekarang ni, siaplah bonda cubit. Bonda dengan walid okeylah. Takde krisis pun. Danish tu aje suka sangka yang bukan-bukan.”

Itulah kenyataannya. Memang bonda dan walid pasangan bahagia. Tengku Danish sendiri jarang mendengar atau melihat bonda dan walidnya bertengkar. Jika ada pun, mungkin bonda dan walidnya hanya bertegang urat di dalam bilik. Bila berdepan dengan anak-anak, bonda dan walid tidak pernah bermasam muka. Malah, bonda dan walidnya sering bergurau-senda.

“Hujung minggu ni jangan lupa pulak,” pesan Ku Ana.

“Kenapa dengan hujung minggu ni? Ada yang istimewa ke? Anniversary bonda dengan walid eh?”

“Hesy, kamu ni! Ke situ pulak. Belum tua dah nyanyuk. Apa nak jadi dengan Danish ni? Takkanlah Danish dah lupa yang si Badrul tu nak nikah hujung minggu ni? Nama teman sepermainan, tapi tarikh nikah kawan sendiri pun tak ingat. Hesy, tak baik tau!” Ku Ana mula mengomel. Geram dengan sikap sambil lewa Tengku Danish. Hal penting seperti itu pun tak ingat.

Tengku Danish menepuk dahi. Mujur bondanya ingatkan. Jika tidak, pasti dia terlepas majlis nikah

Badrul. Mahu setahun Badrul akan tarik muka dengannya nanti. Masih teringat ugutan Badrul kepadanya sewaktu menghantar kad jemputan kahwinnya minggu lepas.

“Kalau kau tak datang, kita putus kawan!”

Dah serupa budak tadika pula nak putus kawan. Macam-macam hal!

“Insya-Allah bonda, Danish takkan lupa. Thanks ingatkan Danish majlis tu.”

Hmmm... yalah. Jangan lepas ni lupa balik sudah. Kesian Bad, dia harap sangat Danish datang majlis nikah dia nanti.”

“Insya-Allah takkan lupa lagi lepas ni. Kalau lupa jugak... bonda tolong ingatkan balik eh.”

Ku Ana mendecit.

“Okeylah... bonda nak masuk tidur. Jangan lupa balik. Assalamualaikum.”

“Okey bonda. Good night. Sweet dreams. Waalaikumusalam.

Dan talian pun dimatikan. Lebar senyuman Tengku Danish. Terubat rindu kepada bondanya.

No comments:

Post a Comment