DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 22 November 2021

Syurgaku... Di Wajahmu - Bab 5


WAJAH mulus yang manis menawan itu ditatapnya penuh rasa rindu. Renungan menggoda sepasang mata bundar itu bagaikan sebilah keris, menikam ke kalbu. Senyuman lembut bibir mungil yang sedikit terbuka itu bagaikan merayu-rayu, menggoda hati lelakinya. Sesekali lirikan manja itu menyapanya dalam diam. Perlakuan manja gadis di depannya itu bagaikan meruntun-runtun tangkai hatinya. Terasa sejuk hatinya bak dedaunan kering yang disirami embun pagi. Ah... rindu yang ditanggungnya sejak 2 hari lalu terasa terubat jua akhirnya.

“Hei, Hairi... apa senyum-senyum sorang ni? Berangan ke?”

Lamunan Hairi dikejutkan oleh tepukan kuat yang singgah di bahunya. Tersentak, bagaikan hampir luruh jantungnya. Hairi berpaling kepada Razlan yang duduk tercongok di tepi tilam sambil memandangnya dengan wajah yang penuh tanda tanya.

“Aku tanya ni, berangan ke?” ulang Razlan apabila Hairi tidak memberi sebarang respons. Cuma matanya sahaja yang terkebil-kebil memandang wajah Razlan yang mula tersenyum mengusik. Mindanya bagaikan belum dapat menangkap apa yang berlaku. ‘Ah... aku berangan rupa-rupanya,’ getus hatinya.

“Mana ada!” Dia cuba menyangkal kenyataan rakannya.

“Habis tu... yang tersenyum sorang-sorang tu, apa halnya?” sakat Razlan sambil tergelak. Dia tidak pernah melihat temannya ini dalam keadaan sebegini. Satu pembaharuan.

“Tak adalah.” Hairi masih lagi cuba berdalih.

Razlan tersenyum lucu melihat perlakuan Hairi yang terus-terusan menidakkan apa yang telah dilihatnya sebentar tadi. ‘Hei, nak tipu aku ya. Nanti, siap kau!’ getus hati Razlan.

“Aku kan... pelik betul sekarang ni.” Razlan cuba menukar topik.

“Pelik apa?” soal Hairi dengan dahi berkerut.

“Aku perasan dah dua tiga petang ni, kau asyik hilang aje. Kau ke mana?”

“Ada, tak ke mana. Saja jalan-jalan.”

“Ya ke? Atau jumpa awek? Selalunya nak ke mana-mana kau mesti ajak aku. Tapi kali ini, pergi sorang-sorang aje. Kau ke mana sebenarnya?” Razlan masih lagi belum berpuas hati dengan jawapan Hairi yang seolah-olah cuba menyembunyikan sesuatu.

“Adalah...” Jawapan Hairi yang ringkas itu menyebabkan Razlan naik geram.

“Engkau jangan nak sembunyikan sesuatu daripada aku. Nanti kang aku pergi intai kang... haru!”

Hairi tergelak. Hai, apa yang nak diintaikan. Dah 2 hari dia ke sana, tempat pertemuan pertama di tepi jeram itu, tetapi bayang Idayu tak muncul tiba. Terkulat-kulat dia menunggu bagaikan orang bodoh. ‘Ah... bodoh pun bodohlah... janji suatu hari nanti pasti dapat jumpa,’ getus hatinya.

“Hei... berangan lagi ke? Kau ni dah angau ke apa ni? Nampak macam nak tembus siling atap rumah ni kau tenung. Wajah siapa yang kau bayang tu?”

Hairi yang kelihatan diam tidak bersuara, kembali merenung jauh tanpa arah tujuan. Matanya bagaikan terbayang wajah mulus Idayu, gadis yang dalam diam-diam, mengusik hati lelakinya yang selama ini degil sekali kalau melibatkan bab perempuan.

“Aku dah jatuh cintalah, Lan,” luah Hairi dengan satu keluhan akhirnya.

“Masya-Allah... dengan siapa ni? Kau biar betul? Mentang-mentanglah berjauhan, baru kau sedar yang kau dah jatuh cinta. Selama ni kau buat tak kisah aje pada dia.”

Tercengang Hairi menatap wajah Razlan yang becok  berkata-kata. Siapa yang dimaksudkan?

“Siapa maksud kau?”

“Laa... Intanlah. Siapa lagi?”

Terlintas wajah manis Intan, teman sekuliahnya yang sama-sama belajar di USM. Intan? Mengarut betullah Razlan ni. Mata Hairi kembali menatap atap bata rumah Pak Soh. Wajah Idayu kembali datang menerpa.

“Bukan Intanlah,” sangkalnya selamba.

Hairan Razlan mendengarkan kata-kata Hairi itu.

“Habis, siapa?”

“Idayu.”

“Hah? Idayu? Idayu tu siapa?”

“Anak Pak Dollah.” Terdiam Razlan seketika. Cuba menangkap makna kata-kata Hairi. Bila menyedari maksud Hairi, terbeliak matanya memandang temannya itu.

“Maksud kau, anak ketua kampung ni. Idayu?”

Senyuman Hairi telah mengiakan kata-kata temannya itu.

“Hei... gila kau! Kau pernah jumpa dia ke?”

“3 kali.”

“Bila?”

“Pertama, masa hari pertama kita kat sini, kali kedua, sehari selepas kita makan tengah hari di rumahnya. Dan kali ketiga, petangnya,” ucap Hairi sambil matanya terus menatap bayangan wajah Idayu di atap rumah tanpa siling itu. Satu-satu kenangan dia bertemu Idayu bermain di matanya.

“Kau ni biar betul, Ri. Takkan 3 kali berjumpa dah jatuh cinta kut. Love at the first sightlah ni ya?”

“Itulah, aku pun tak sangka aku boleh jatuh cinta pandang pertama. Selama ni aku mana percaya benda-benda macam ni,” jawab Hairi perlahan. Sekali lagi dia mengeluh.

“Dia dah tau ke?”

“Siapa?”

“Apa namanya tu... Idayu. Wah, siap ingat lagi nama tu! Dulu rasanya Abang Sahak yang beritahu kita nama tu kan?”

“Satu per satu.”

“Tak sangka ya, akhirnya jatuh cinta jugak kau. Selama ni aku ingat kau ni imun dengan perempuan. Rupa-rupanya ni taste kau, ya. Pendiam, pemalu,” ulas Razlan perlahan-lahan.

“Satu per satu...”

“Hoi, dahlah berangan tu! Ni ha... aku nak tanya ni. Kau dah edar ke semua soal selidik kita tu? Feedbacknya dah dapat ke? Kalau dah, cepatlah kita boleh analisis. Jangan duk berangan aje brader... karang kerja tak siap, tak pasal-pasal kita kena extend masa kita kat sini.”

Extend pun tak apa, dapat tengok dia lama sikit,” ucap Hairi perlahan.

“Hai, baru aje minggu lepas aku dengar kau kata tak suka duk kat sini. Tak sabar-sabar nak balik ke Kota Bharu. Hmmm... senangnya hati berubah bila dah terpikat,” usik Razlan sambil tersenyum.

Hairi hanya memandang temannya tanpa sebarang bicara. Ya, hatinya sudah terpikat pada kampung ini. Sebenarnya, pada seseorang yang istimewa dari kampung ini. Ah... mudah sekali persepsi manusia berubah. Jika ada yang disukainya, perkara yang pernah dibenci pun mampu berubah menjadi rindu. Hairi senyum lagi.

“Hoi, Hairi... dahlah berangan tu. Aku tanya ni, macam mana dengan soal selidik kita tu?”

Lamunan Hairi tersentak lagi dan dia kini kembali ke alam nyata. Terasa berat untuk melontarkan angan-angannya ke tepi seketika. Ada perkara lain yang sama pentingnya yang perlu dilaksanakan.

“Masalah jugaklah yang tu, Lan.”

“Hei, ingatkan aku aje yang bermasalah... kau pun sama?”

Hairi mengangguk pantas. “Ini... orang kampung ini, ramai yang tak tahu membaca. Kalau ada yang tahu pun, dia orang tak faham bahasa Melayu yang kita gunakan dalam soal selidik tu. Sudahnya kenalah aku bacakan dan explain pulak soalan-soalan tu pada mereka. Kena buat macam interviu pulak. So, ambil masa jugalah untuk dapatkan feedback yang aku nakkan tu,” keluh Hairi.

“Aku pun rasa macam tulah, Ri. Mencabar betullah buat kajian kat kampung ni. Dahlah macam tu, ada setengah tu, malu nak diinterviu. Tak mahu orang tahu pendapat dia agaknya.”

“Kita cuma ada tempoh seminggu aje lagi. So, kita kenalah pastikan kita dapat cukup data-data yang kita nak tu.”

Razlan mengangguk mengiakan kata-kata Hairi.

“Apa-apa pun, pastikan kerja kita beres. Jangan asyik duk berangan, sampaikan semua kerja tak jalan. Ingat, kita ada masa satu minggu aje lagi kat sini.” Kata Razlan sambil mengangkat jari telunjuknya menunjukkan tanda satu.

‘Ya... aku cuma ada masa seminggu saja lagi, aku perlu lakukan sesuatu,’ getus hati Hairi.

 

“KAK AYU!!!” Tersentak Idayu disergah oleh Aiman, anak sulung Abang Sahak ketika dia sedang asyik menjirus pokok bunga di halaman rumah. Dia menggosok dadanya sambil menjeling, pura-pura marah pada Aiman. Kanak-kanak berusia 9 tahun itu tersengih-sengih memandangnya.

“Aiman ni, terkejut akak!”

“Alah... akak ni, buat macam tu pun terkejut.”

“Yalah, dah Aiman sergah akak tu kenapa? Tak baik tau, kejutkan orang macam tu.”

Aiman tidak menjawab soalannya, tetapi bergerak pantas mendekatinya. Matanya melilau, mencari seseorang.

“Ada apa ni?”

“Ni, ada surat cinta,” balas Aiman. Masih lagi  tersengih-sengih. Dia menghulurkan satu sampul surat kecil kepada Idayu.

Terkejut Idayu memandang sampul surat yang dihulurkan itu. ‘Hai... siapa pula yang pandai tulis-tulis surat untuk aku ni?’ detik hatinya. Dia mencapai surat tersebut lantas menatap nama di luar sampul. Tertera ringkas dengan tulisan yang agak kucar-kacir.

Aida Idayu binti Abdullah.

Teruknya tulisan pengutus surat ini. Siapa gerangan pemiliknya? Idayu tertanya sendiri.

“Siapa bagi ni?”

“Abang tu tak bagi beritahu. Dia suruh Kak Ayu baca.”

Laaa... dah diberi surat, mestilah untuk dibaca. Takkanlah untuk dibuat bungkusan nasi lemak pula. Lepas baca, mungkinlah... Idayu tersenyum sendiri.

“Dia kata, satu surat sampai dengan selamat pada Kak Ayu, dia akan bagi Aiman 50 sen. Aiman suruh dia tulis banyak-banyak. Nanti Aiman dapat banyak duit,” kata Aiman. Masih lagi tersenyum-senyum.

“Aiman ni...”

“Okey, kak... bye!” kata Aiman sambil berlari pergi. Tidak sempat Idayu bertanyakan lebih lanjut lagi  tentang si penulis surat ini. Dia memandang kanan dan kiri, bimbang kalau-kalau dilihat emaknya.

Idayu terus menyimpan surat tersebut ke dalam poket seluar tracknya. Nantilah baca, dia berkira-kira sendiri.

Cepat-cepat Idayu menyiapkan kerja-kerja menyiram pokok bunga. Setelah selesai, Idayu berlari-lari ke jeram kecil di belakang rumahnya. Dia ingin membaca surat yang baru diterimanya itu di tempat yang penuh privasi. Dengan hati yang berdebar menahan rasa, dia membuka sampul surat tersebut. Terlalu asyik dia menatap surat yang dititipkan untuknya. Tanpa sedar, dia sebenarnya diperhatikan oleh sepasang mata yang sekian lama merindukan wajah ayunya.

Tiada apa yang ditulis. Yang ada cuma bait-bait seni kata lagu, Milik Siapakah Gadis Ini, nyanyian Allahyarham Sudirman tertera di dada lembaran. Dibacanya satu per satu patah-patah perkataan itu. Dilagukan perlahan-lahan setiap bait kata-kata itu. Debar di dadanya masih belum terjawab.

‘Alamak! Jiwangnya... siapa yang hantar ni?’ getus hatinya.

Matanya meneroka isi kandungan surat itu. Mencari-cari siapa gerangan si penulisnya. Tiada. Ah... siapa yang malu nak tunjukkan diri? Tersentuh naluri halus gadisnya menatap isi kandungan surat yang begitu ringkas.

Dari tempat persembunyiannya, Hairi hanya memandang wajah Idayu dengan penuh rasa bahagia. Ya... dia yakin akan perasaannya pada Idayu. Kalaulah boleh diluahkan, pastinya ketika ini dia sudah berada di hadapan gadis itu.

Namun, masih ada rasa kurang yakin dengan kata-kata yang mungkin akan keluar dari bibirnya. Dia tidak pandai berkata-kata, terutamanya tentang hati dan perasaan. Biarlah, untuk permulaan ini dititipkan surat-surat yang menyatakan rasa hati melalui bait-bait lagu cinta. Bila terbit rasa ingin tahu di hati Idayu, barulah dia akan bertindak dengan langkah yang seterusnya. Dia yakin dengan strategi ini, lebih mudah untuk dia menghampiri gadis manis bernama Idayu.

 

**BERMINAT? Boleh hubungi/WhatsApp no ini : 011-40049752 (Admin Nina) /

: 019-3729676 (Admin Shida)

 

No comments:

Post a Comment