“TIARA, kenapa ni?” soal Farhana, terkejut melihat rupa kawannya saat ini. Jam di dinding dikerling. Sudah masuk 12 tengah malam. Dia fikir Tiara akan menginap di rumah keluarganya dan tidak pulang ke rumah sewa mereka.
“Jom masuk.” Tubuh Tiara yang lemah dipimpinnya. “Kenapa ni, Tiara?”
Tiara memeluk tubuh sahabatnya erat. Dia menghamburkan segalanya di bahu Farhana. Satu per satu diceritakan kepada Farhana tentang apa yang berlaku kepadanya hari ini.
“Aku tak percaya Kak Arwa sanggup buat kau macam ni,” ujar Farhana.
Selama ini dia juga mengenali rapat Arwa. Dia juga amat suka dengan cara Arwa yang lemah lembut dan jauh lebih sopan daripadanya dan Tiara. Namun cerita yang keluar daripada mulut Tiara benar-benar membuatkan dia geram dan kecewa dengan gadis itu. Rupanya dalam diam Arwa sanggup merampas tunang Tiara.
“Habis tu, papa kau tahu pasal perkara ni?”
Tiara menggeleng kepala perlahan.
“Tiara... kau tak boleh lemah macam ni. Mungkin betul papa kau perlukan seseorang untuk jadi peneman dia. Lagipun dah lama mama kau meninggal.” Berhati-hati Farhana berkata, risau andai tersalah bicara dengan Tiara.
“Aku ni apa, Hana? Aku boleh jaga dia dan aku tak perlukan kasih sayang seorang ibu selain mama aku!”
Farhana mengeluh lemah. Dari dulu memang sahabatnya itu tidak suka apabila soal ibu tiri dibangkitkan.
“Tiara... anak dan isteri tu lain, Tiara. Kau tak boleh marahkan papa kau. Itu hak dia. Dia berhak untuk cari bahagia dia sendiri.”
“Bahagia dia? Habis, bahagia aku macam mana? Hati dan perasaan aku macam mana? Lelaki tak akan pernah cukup dengan satu!” ujar Tiara dengan geram.
“Jangan samakan Firash dengan papa kau, Tiara.”
Tiara terdiam. Mata dipejamkan rapat.
“5 tahun aku berkorban untuk dia, Hana. Aku ada saat susah dan senang dia. Aku sentiasa mengalah setiap kali kami bergaduh sebab aku tak sanggup kehilangan dia. Apa aje yang aku tak buat untuk dia, Hana. Semua aku buat. Aku jauhkan diri daripada orang sebab tak nak dia cemburu. Aku cuma ada dia dan papa dalam dunia ni, Hana. Aku dah beritahu, habis aje final exam untuk last semester ni aku akan minta papa untuk kahwinkan kami. Tapi apa yang aku dapat, Hana? Apa?”
“Mata ni jadi saksi betapa bahagianya mereka di belakang aku. Telinga ni jadi saksi betapa mesranya panggilan mereka. Hati ni, sakit Hana! Sakit sangat!”
Farhana merasakan tubir matanya panas. Tidak sanggup mendengar rintihan sahabatnya itu. Kalau dulu, Tiara Medina seorang gadis yang paling susah untuk mengalirkan air mata. Tiara Medina yang dia kenal merupakan seorang manusia yang happy go lucky, manusia yang tak pernah lekang dengan senyuman. Tapi sekarang semuanya hilang kerana seorang lelaki. Lelaki yang sanggup melukai hati dan perasaan seorang perempuan yang langsung tidak bersalah.
“Tiara, jangan macam ni. Aku tahu kau kuat. Aku tahu kau boleh hadapi semua yang berlaku ni.”
“Aku tak kuat, Hana. Aku dah hilang dua orang lelaki yang paling bermakna dalam hidup aku. Aku hilang Firash, aku hilang papa...”
“Tiara... kau cuma hilang lelaki tak guna tu, kau tak akan pernah kehilangan papa kau.”
“Aku dah hilang papa aku, Hana. Aku dah hilang separuh nyawa aku. Untuk apa aku teruskan hidup ni lagi?” rintih Tiara dalam esakan.
“Tiara, kau kena kuat. Kau tak boleh lemah macam ni. Ini bukan pengakhiran hidup kau.” Hana tidak senang mendengar keluhan Tiara.
“Macam mana aku nak kuat, aku sendiri tak sanggup nak hadap semua benda ni sekarang. Aku perlukan masa untuk hadap semua benda ni.”
“Ambillah sebanyak mana masa yang kau perlu, Tiara. Aku tahu sukar untuk kau lalui segala ujian ni. Pergilah rehat, dah banyak benda yang kau lalui hari ni.” Bahu Tiara ditepuk perlahan. Dari dahulu, Tiara benci apabila mendengar perkataan ibu tiri. Baginya ‘ibu tiri’ hanyalah orang yang merampas kebahagiaan sesebuah keluarga. Dan dia selalu berpesan kepada papanya yang dia tidak perlukan mama lain selain arwah mamanya. Cukuplah kasih sayang seorang ibu yang pernah dia rasai dahulu.
Tapi siapa sangka, keputusan yang dibuat oleh papanya memusnahkan hati dan perasaannya saat ini.
“PAPA KAU nak jumpa.”
Tiara yang sedang berselubung di dalam selimut memandang ke arah Farhana.
“Aku tak nak jumpa dia. Suruh ajelah dia balik.”
Farhana mengeluh perlahan. Dia pula yang serba salah dengan papa Tiara.
“Tiara, papa kau dah nak kahwin. Dia nak kau pergi ke majlis dia.”
“Majlis akan tetap berlangsung tanpa aku, Hana. Aku dah tak penting dalam hidup papa.” Hati Tiara bertambah sakit mendengar semua itu.
“Tiara...” Hana sendiri tidak tahu apa yang harus dia katakan kepada Tiara.
“Keluar, Hana. Aku tak nak jumpa sesiapa lagi dah.”
Farhana mengeluh lemah, dia hanya turutkan sahaja permintaan Tiara. Air mata yang cuba ditahan dari tadi akhirnya mengalir keluar. ‘Mama, Tiara dah tak penting dalam hidup papa lagi...’
“Tiara...”
Mendengar panggilan daripada papanya membuatkan Tiara berpaling ke belakang. Dia tidak sanggup berdepan dengan papanya saat ini.
“Tiara, papa minta maaf, sayang.”
“Un... untuk apa papa datang sini? Majlis akan tetap berjalan tanpa Tiara,” sindir Tiara.
“Papa perlukan Tiara.”
“Papa tahu tak apa yang jadi kepada anak papa ni?” ujar Tiara. Air mata disapu kasar.
“Firash dah call beritahu papa semalam.” Encik Amirul sendiri tidak menyangka. Patutlah sewaktu Tiara pulang, dia dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan anaknya itu. Dia terlalu kecewa dengan apa yang telah Firash lakukan kepada anak tunggalnya itu. Dia terlalu percayakan Firash, tetapi tidak sangka yang Firash sanggup memusnahkan kepercayaan yang telah dia berikan.
“Oooo...” Tiara mengangguk perlahan.
“Papa minta maaf.”
“Dahlah papa, pergilah. Pergi cari bahagia yang papa dambakan tu. Tinggalkan Tiara.”
“Kenapa Tiara cakap macam ni? Tiara tetap anak papa.” Serba salah pula dia mahu meneruskan semua ini. Rupanya keputusan yang dia buat telah menghancurkan hati anak tunggalnya itu.
“Pergilah papa. Nanti Tiara balik rumah. Tiara perlukan masa untuk hadam semua ni.”
Encik Amirul mengeluh lemah, berat hati untuk meninggalkan anaknya di situ.
“Janji dengan papa yang Tiara akan pulang ke rumah.”
“Tiara janji,” ujar Tiara.
Tiara melangkah masuk ke dalam bilik air meninggalkan papanya sendirian. Dada disentuh perlahan. Tanpa sedar, air mata kembali membasahi pipinya.
“Jaga Tiara untuk uncle.”
Farhana mengangguk perlahan. Sedih pula dia melihat wajah sayu Encik Amirul. Mungkin terkesan kerana Tiara tidak mahu hadir ke majlis perkahwinannya.
“Tahniah uncle,” ujar Farhana. Dia tersenyum nipis.
“Terima kasih.”
Farhana memandang bilik Tiara yang tertutup kemas.
‘Kau kuat, Tiara...’ desisnya.
**BERMINAT? Boleh hubungi / WhatsApp no ini : 011-40049752 (Admin Nina) / 019-3729676 (Admin Shida)
No comments:
Post a Comment