DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 21 November 2021

Syurgaku... Di Wajahmu - Bab 1

 

IDAYU mencecahkan hujung jari kakinya ke dalam air jeram yang mengalir perlahan. Segera riak-riak ombak kecil terbentuk. Damai hatinya, sedamai riak-riak ombak kecil itu. Ya, dia ke sini lagi seperti selalu. Menyendiri di kawasan jeram kecil di belakang rumahnya. Kawasan yang sering mendamaikan setiap keresahan yang singgah di dalam hati.

Deruan air jeram itu seperti selalu, bagaikan memberikan seribu ketenangan di di jiwa.

Mana mungkin dia melupakan tempat ini. Terlalu banyak kenangan indah yang mendamaikan tasik hatinya berlaku di sini. Di sinilah waktu kecilnya dihabiskan bermain-main bersama kucing kesayangan, Montok. Di sini jugalah dulu, petangnya dihabiskan dengan menangkap anak-anak ikan sempilai, puyu dan haruan. Dia masih ingat lagi, bagaimana dia menyusun batu-batu kecil untuk dijadikan empangan bagi mengepung anak-anak ikan tersebut.

Di sini jugalah tempat dia mengadu segala keluh-kesah. Ada ketikanya dia ke mari hanya untuk mengelamun, memasang angan-angan yang tidak pernah ada kesudahan. Sikap suka menyendiri menyebabkan dia terlalu asyik melayan perasaan. Walaupun berbakul leteran emak dengan sikapnya itu, Idayu tidak mengendahkannya. Ah... bukannya dia mengganggu sesiapa pun. Dia ke mari pun bukannya untuk bertemu sesiapa.

Dia masih ingat lagi bagaimana dulu dia bertemu dengan tempat ini. Waktu itu emak mengajaknya mengutip pucuk paku di pinggir sungai untuk dibuat lauk tengah hari. Dia tidak menyangka langkahnya pagi itu, akan membawa dia ke sini. Semenjak itu, kawasan yang mendamaikan ini sering menjadi tempat kunjungannya.

Ada waktunya dia datang untuk menghabiskan kerja sekolah di sini, menelaah buku-buku ketika peperiksaan menjelang, membaca novel yang dipinjam dari perpustakaan sekolah atau hanya berkunjung untuk menikmati kesegaran udaranya. Waktu yang paling digemarinya adalah waktu selepas hujan turun. Sungguh damai dan nyaman udaranya.

Tetapi, entah mengapa suasana petang ini dirasakan agak berbeza. Ketenangan yang dirasakan petang ini tidak seperti biasa. Bagaikan terasa yang tempat ini bukan lagi milik peribadinya. Terdetik juga dalam hatinya, ‘mungkinkah ada seseorang yang sedang bersembunyi, memerhatikannya di sebalik rimbunan pohon-pohon kecil di sekelilingnya?’

Cepat-cepat dia mematikan detik hatinya itu. Ah... siapalah gerangan yang akan ke mari? Bukankah selama ini hanya dia saja yang selalu ke sini? Selama ini dia tidak pernah berkongsi tempat ini dengan sesiapa pun, kecuali Montok. Dan jika boleh, dia tidak ingin berkongsi kedamaian ini dengan sesiapa pun.

Redup petang itu memberi isyarat supaya dia pulang. Sudah hampir 2 jam dia di situ melayan perasaan. Dia tahu, kalau lewat lagi pulangnya, dia akan dileteri emak seperti hari-hari lalu. Suara emak yang damai itu ada ketikanya mampu menyentuh hati gadisnya. Dia sedar, leteran emak itu hanya untuk melahirkan rasa tidak puas hati dengan sikapnya yang suka menyendiri.

‘Mak... Ayu senang begini,’ getus hatinya.

 

“AYU... KE mana aje kau ni, senja-senja begini baru balik?” sapa Mak Su Jah. Dia merenung wajah anak gadis itu. Risau hatinya melihat sikap anak dara suntinya yang suka menyendiri.

“Tak ke mana mak,” jawab Idayu lembut. ‘Jangan risau mak, Ayu bukannya buat benda tak elok,’ getus hatinya.

Idayu memandang sekilas pada emak dan ayahnya yang sedang duduk di beranda rumah pusaka itu. Pak Dollah telah siap mandi dan berpakaian lengkap untuk ke masjid. Sebagai ketua kampung, dia memang tidak pernah ketinggalan untuk bersolat jemaah di masjid.

“Ayu masuk dulu ya mak... ayah,” ucapnya sambil berlalu. Langkahnya hanya diikuti oleh sorotan mata tua Mak Su Jah.

“Habis, budak-budak tu nanti nak duduk dekat sini berapa lama?” Kedengaran suara Mak Su Jah bertanyakan kepada Pak Dollah.

“2 minggu.”

“Abang Lah suruh dia tinggal di rumah siapa?”

“Itulah... mereka tu tak boleh tinggal di rumah kita. Kita ada anak dara. Tak manis nanti anak dara dengan anak teruna tinggal serumah. Sementara ni mereka tinggal di rumah Sahak. Tapi tak sesuai pulak sebab anak-anak Sahak tu ramai. Tak selesa pulak budak-budak tu nanti. Masa tanya Sahak hari tu, dia terima aje. Abang pun tak terfikirkan masalah ni dulu. Nantilah, abang tanya Pak Soh. Dia tinggal berdua aje dengan Mak Dah tu. Anak-anak semuanya dah tak tinggal sekali dengan dia. Kalau dia nak, mungkin budak-budak tu boleh tinggal di rumah dia,” terang Pak Dollah panjang lebar. Susah juga hatinya kerana terpaksa menyerahkan tanggungjawab itu kepada orang lain.

“Nak ke Pak Soh dengan Mak Dah tu terima? Mereka kan orang susah. Kesian pulak nanti kena tanggung dua orang anak muda. Menyusahkan pulak nanti,” sahut Mak Su Jah.

“Tak apa, budak-budak tu bukannya datang dengan tangan kosong. Keluarga yang ambil anak angkat ni diberikan RM30 sehari untuk seorang anak angkat. Sekurang-kurangnya bolehlah buat belanja mereka. Kalau Pak Soh nak ambil dua-dua, lagilah mudah,” sahut Pak Dollah.

Dari dalam rumah, Idayu mencuri dengar perbualan emak dan ayahnya. Agaknya tentang program anak angkat dari Hospital Universiti Kubang Kerian yang diceritakan oleh emak semalam, Idayu meneka sendiri.

Menurut emak semalam, dua orang pelajar bidang kedoktoran dari HUSM datang untuk buat kajian tentang tahap kesihatan penduduk di kampung ini. Sepatutnya Pak Dollah yang perlu mengambil tanggungjawab ke atas mereka sepanjang mereka di sini. Tetapi, mana mungkin Pak Dollah akan menerima anak teruna tinggal di rumah ini sedangkan dia mempunyai seorang anak dara.

Pak Dollah seorang yang tegas, terutamanya dalam urusan berkaitan adat Melayu dan adab sopan dalam agama. Setiap perilaku Idayu sentiasa di bawah pemerhatiannya. Apa sahaja perlakuan yang tidak manis, gadis itu akan ditegurnya melalui Mak Su Jah. Idayu tahu, ayahnya sanggup melakukan apa saja demi menjaga maruah agama dan peradaban Melayu. Malah, jika dirasakan dia melakukan sesuatu perkara yang sumbang, ayahnya pasti tidak teragak-agak menjatuhkan hukuman.

Dia terbayangkan pada watak tok penghulu dalam filem P. Ramlee, Sumpah Semerah Padi. Ya, ayah sememangnya mempunyai perwatakan sebegitu. Tegas dengan pendiriannya dalam hal-hal keagamaan.

Dari jauh sudah terdengar sayup-sayup azan maghrib berkumandang. Pak Dollah bangun dan mula melangkah ke arah motosikalnya untuk ke masjid. Cepat-cepat Idayu beredar ke biliknya untuk mandi dan solat maghrib. Tidak mahu tertangkap ketika mencuri dengar perbualan ayah dan emaknya. Saat itu hatinya terdetik,

‘Sanggupkah dua anak muda itu tinggal di kampung yang serba kekurangan ini? Sudahlah jauh dari kota, kemudahan yang ada hanya di tahap minima sahaja. Ah, tak mungkin anak-anak muda yang datang dari bandar itu dapat bertahan lama di kampung ini. Maklumlah, sudah biasa senang.’

Tertanya-tanya dalam hati, ‘Mengapa mereka memilih kampung terpencil ini untuk membuat kajian? Tidak ada kampung lain ke yang boleh mereka pilih?’

Persoalan itu diajukan kepada emaknya malam itu. Mak Su Jah hanya menggelengkan kepalanya sambil tersenyum.

“Alah... ayah kata tempat ini dipilih oleh universiti. Mereka kena buat kajian dekat banyak tempat. Kawasan bandar, kawasan kampung dan kawasan hulu macam kat sini,” terang Mak Su Jah.

Ermmm... seronok ya mak, dapat masuk universiti. Belajar jadi doktor tu mesti susah, kan? Mak rasa Ayu nanti boleh lulus dan masuk universiti tak mak?”

“Ayu rasa macam mana? SPM baru ni boleh lulus tak? Ayu kan dah usaha... kalau ada rezeki, mesti boleh masuk universiti,” kata Mak Su Jah.

“Tapi mak, Ayu rasa tak yakin sangatlah... takut lulus, tapi tak capai tahap yang diterima masuk U. Cikgu Harun kata, nak masuk U kena lulus tinggi.” Keluh Idayu sedikit kesal dengan sikapnya yang kurang bersungguh-sungguh sebelum peperiksaan SPM tempoh hari.

“Itulah... dulu mak selalu cakap, jangan leka sangat. Tapi Ayu buat tak tau aje. Kita ni duduk di kampung, kemudahan belajar kurang. Kalau kita tak usaha sendiri, macam mana nak berjaya? Tengok tu, belum keluar keputusan, diri sendiri dah menyesal,” tempelak Mak Su Jah.

Idayu terdiam seketika, menyesali sikapnya yang agak acuh tak acuh dengan pelajaran. Memang dia akui, dia agak leka sebelum peperiksaan SPM akhir tahun lepas. Cuma 2 bulan sebelum tarikh peperiksaan, barulah dia mula bersungguh-sungguh. Itu pun kerana nasihat daripada Cikgu Maria, guru pelatih yang datang ke sekolah untuk latihan praktikalnya 3 bulan sebelum peperiksaan SPM. Cikgu Marialah yang banyak menasihati dia dan teman-temannya untuk belajar bersungguh-sungguh demi mencapai cita-cita.

Masih ingat lagi kata-kata Cikgu Maria bahawa, tiada siapa yang boleh mengubah nasib diri kita melainkan kita sendiri. Hasil daripada nasihat dan usaha gigih Cikgu Marialah, dia dan teman-teman sekelas mula berusaha. Tetapi, waktu itu tarikh peperiksaan sudah dekat. Terlalu banyak yang perlu diulang kaji. Kalaulah Cikgu Maria datang menjalani latihan praktikalnya lebih awal, tentu dia sudah memulakan usahanya sejak awal lagi. Tetapi apa yang hendak dikesalkan. Lagipun dia telah berusaha setakat yang dia mampu. Kini, dia hanya mampu bertawakal kepada Allah, semoga keputusan peperiksaannya nanti akan dapat menempatkannya di mana-mana IPTA. Itu harapannya.

“Sudahlah Ayu, jangan asyik duk berangan aje. Awak tu anak dara. Kalau tak lulus nanti, kahwin ajelah,” usik Mak Su Jah sambil tersenyum.

“Alah mak... Ayu tak nak kahwinlah. Muda lagi, baru 18 tahun,” rengek gadis itu manja.

“Ah, mak hari tu 16 tahun dah kahwin dengan ayah,” usik Mak Su Jah lagi.

Hmmm... tak naklah! Kalau tak lulus, Ayu nak belajar lagi, ambil periksa semula, sampai lulus dapat masuk U,” luah Idayu bersungguh-sungguh.

“Amboi... senangnya hati! Habis tu, nak belajar lagi, mana nak cari duit? Ingat ayah tu banyak sangat duit nak tanggung Idayu ambik SPM semula?” ungkit Mak Su Jah.

“Biarlah... kalau ayah tak ada duit, Ayu kerja. Pergi Kota Bharu, cari kerja sambilan. Lepas tu Ayu belajarlah.”

Tergelak besar Mak Su Jah mendengar kata-kata anaknya. “Hai, kerja apalah yang Ayu boleh buat, hmmm...”

“Buatlah apa-apa pun, jadi orang gaji pun Ayu sanggup, asalkan dapat belajar semula,” balas Idayu nekad.

Mak Su Jah menghabiskan ketawanya yang bersisa. Geli hati dia melihat kesungguhan Idayu ketika itu. Kalaulah kesungguhan itu ada pada anak gadisnya sejak awal tingkatan 4 dan 5 dahulu, alangkah baiknya. Tetapi, sekarang dia tidak begitu yakin dengan anaknya itu.

“Apa-apa pun, kita tunggu keputusan SPM keluar nanti. Ha, masa tu bolehlah buat keputusan,” kata Mak Su Jah.

Idayu mendengus perlahan. Kekesalan tergambar di wajahnya. Kalaulah dulu lagi dia sedar, tentu sekarang dia lebih yakin dengan kemampuannya itu. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian apalah gunanya.


No comments:

Post a Comment