PAK Dollah dan Mak Su Jah menyambut mesra ketibaan Sahak, Hairi dan Razlan. Keluarga ini memang baik dan bersopan santun pada pandangan mata Hairi. Terasa amat dihormati apabila Mak Su Jah memanggil dia dan Razlan dengan panggilan doktor. Timbul juga rasa malu dalam hati. Dia sebenarnya masih belum layak lagi diberi gelaran itu.
Rumah pusaka milik Pak Dollah kelihatan cantik, bersih dan dihias sederhana. Diperbuat daripada kayu cengal, suasana di dalamnya juga nyaman dan selesa. Keluasannya sederhana namun ia mengundang rasa nyaman kerana beratapkan bata tanah liat. Seperti rumah Abang Sahak, rumah ini juga tidak mempunyai siling. Namun ia masih dapat memberikan suasana sejuk dan nyaman walaupun pada waktu tengah hari begini.
Sambil berbual, dia tidak melepaskan peluang untuk mengamati suasana nyaman di dalam rumah itu. Berlainan sekali dengan rumah Abang Sahak yang panas dan merimaskan. Terdetik dalam hatinya, ‘Mungkin Pak Dollah ini lebih berada orangnya.
Ketika asyik berbual dengan tuan rumah, sekali-sekala dia mencuri pandang ke arah dapur. Kelibat seseorang di dapur mencuri perhatian Hairi. Tiba-tiba dia merasakan debaran membadai di hatinya apabila melihat gadis yang ditemuinya di jeram kecil semalam sedang mundar-mandir di dapur menyediakan hidangan makan tengah hari.
Hatinya tidak semena-mena melonjak riang. ‘Ah... tidak susah rupa-rupanya untuk dia menemukan semula gadis itu. Idayu...’ bisikan di hati mengingatkan dia kembali pada nama yang disebut-sebut oleh Abang Sahak pagi tadi. Lembut nama itu, selembut empunya diri. Dia tidak dapat memberi perhatian kepada topik perbualan bersama dengan tuan rumah tersebut. Tidak sabar rasa hatinya untuk menatap wajah gadis itu dengan lebih jelas. ‘Idayu... keluarlah, aku ingin menatap wajahmu,’ bisik hati Hairi.
Seketika kemudian, Mak Su Jah berlalu ke dapur. Mungkinkah untuk mengajak gadis itu keluar dan memperkenalkannya? Hairi berharap dalam hati. Tetapi, sebentar kemudian Mak Su Jah keluar semula dengan membawa sehelai tikar mengkuang. Hampa merenggut tangkai hati anak muda itu kerana hajatnya tidak kesampaian. ‘Tak apa, mungkin selepas ini Idayu akan keluar menghantar hidangan,’ bisik hati Hairi lagi.
Namun begitu, harapannya hampa lagi. Gadis bernama Idayu itu tidak juga keluar dari dapur. Hanya Mak Su Jah saja yang berulang-alik ke dapur mengangkat bekas air basuh tangan, dulang air minuman dan talam berisi nasi dan lauk-pauk. Dan apabila dijemput makan, hati Hairi masih mengharap supaya Idayu keluar makan bersama, walaupun dia tahu perkara itu mustahil akan berlaku.
Walaupun tidak dapat menatap wajah manis gadis itu, Hairi masih merasakan sedikit kegembiraan. Sekurang-kurangnya dia dapat merasa masakan air tangan gadis itu. Suapannya begitu berselera lagi. Masak lemak pucuk ubi dengan ikan gelama goreng itu cukup membangkitkan selera. Disertakan dengan sambal tumis ikan bilis, telur masin dan ikan kering. Satu per satu... sedap betul!
“Tambah lagi Doktor Hairi, Doktor Razlan... jangan malu-malu,” pelawa Mak Su Jah.
“Mak cik, tak payahlah panggil saya doktor. Saya ni belum jadi doktor lagi,” ujar Hairi merendah diri.
Mak Su Jah hanya tersenyum memandang anak muda yang sopan, berwajah iras-iras artis Bollywood itu.
“Sedap betul masakan mak cik, berselera saya dibuatnya. Bukan tak biasa makan masak lemak pucuk ubi kat bandar tu, tapi masakan mak cik ni lain rasanya,” sahut Razlan pula.
“Alah, lauk kampung aje. Bahan-bahannya segar. Santan diperah sendiri, pucuk ubi pun yang ditanam, dipetik sendiri, itulah yang sedap tu,” ujar Sahak. Dia juga makan dengan begitu berselera.
Hairi hanya mendiamkan diri sambil menikmati juadah tengah hari itu. Tetapi terdetik dalam hatinya,
‘Tentulah sedap, dimasak sendiri oleh gadis pujaan hati.’
“Hai Hairi, senyap aje. Tambahlah lagi,” pelawa Pak Dollah pada Hairi yang dilihat tekun menikmati juadah tengah hari.
“Ya... ya... pak cik, terima kasih. Eh, mak cik tak makan sama?” tanya Hairi. Dalam hati masih mengharapkan Idayu keluar. Ingin ditatapnya wajah itu dari jarak yang lebih dekat.
“Silalah makan dulu.” Mak Su Jah menjawab sambil senyuman meniti di bibir. ‘Berselera betul budak-budak ni makan,’ detik hatinya.
“Sambil makan tu, pak cik nak beritahu ni. Pak Soh dengan Mak Dah yang tinggal kat rumah sebelah tu dah setuju untuk tumpangkan Hairi dengan Razlan di rumahnya. Mereka tu tinggal berdua aje, jadi selesalah sikit kamu berdua nanti. Tak adalah berebut dengan anak-anak Sahak ni nanti,” jelas Pak Dollah sambil menuding jarinya ke arah rumah Pak Soh yang letaknya kira-kira 100 meter dari rumahnya.
“Petang ni bolehlah pindah. Nanti lepas ni bolehlah singgah sekejap di rumah Pak Soh, kenal-kenal dulu,” kata Pak Dollah lagi.
Tak semena-mena hati Hairi berlagu riang. Rumah Pak Soh yang disebut tadi berdekatan dengan rumah Pak Dollah. Sekurang-kurangnya ada peluanglah untuk dia bertembung dengan Idayu nanti! Dia berharap.
IDAYU BERLARI-LARI anak menuju ke arah van Pak Wan Hamat yang menjual pelbagai jenis ikan dan sayur-sayuran. Pagi tadi Pak Dollah telah menyembelih dua ekor ayam dan Idayu disuruhnya menggulai ayam tersebut. Pak Dollah juga berpesan supaya dia menghantarkan sedikit gulai ayam itu ke rumah Mak Dah. Jadi, Idayu perlulah mendapatkan rencah-rencah untuk masakannya. Lagipun, beberapa bahan asas seperti bawang dan lada kering sudah hampir habis.
“Hai, Idayu... nak masak apa hari ni?” tegur Pak Wan Hamat. Hatinya selalu girang apabila terpandangkan gadis ini. Kelembutannya sering mendamaikan hati tua Pak Wan Hamat.
“Ayah sembelih ayam pagi tadi. Nak gulailah ni. Pak Wan bawa sayur apa hari ni?” sahut Idayu mesra.
“Macam-macam ada... pilihlah.”
Selepas membayar barangan yang dibeli, dia membawa bahan-bahan tersebut pulang ke rumah. Setibanya di tangga dapur rumah, sebuah kereta memasuki kawasan rumah dan berhenti berhampiran dengannya. Dia kenal kereta itu, milik salah seorang doktor yang datang bertandang ke rumahnya tengah hari semalam.
Doktor muda itu keluar dari kereta dan merenungnya tajam.
Bibir Idayu menguntum senyum penuh ragu-ragu apabila mata mereka bertemu buat kali yang pertama. Entah mengapa, bagaikan ada getaran dalam hati Idayu apabila senyumannya berbalas. Pemuda berkulit hitam manis, berdarah kacukan India itu menghampirinya perlahan dan untuk seketika dia bagaikan tak dapat berkata-kata. Hanya merenungnya tanpa kata. Idayu jadi tak menentu.
“Assalamualaikum.” Ucapan pertama daripada Hairi.
“Waalaikumussalam,” jawab Idayu. Dia resah diperhatikan begitu.
“Pak Dollah ada?” Lembutnya suara itu bertanya.
“Tak... ermm... ayah ke kebun. Tengah hari ni baliklah. Hmm... doktor nak jumpa dia?” tanya Idayu teragak-agak sambil menundukkan pandangan. Tak tahan hatinya menghadapi renungan tajam itu.
Mata Hairi galak merenung Idayu dari hujung kepala ke hujung kaki. ‘Gadis ini masih tetap bertudung,’ getus hati kecil Hairi.
“Tak apalah, kalau tak ada, nanti saya datang lagi,” ucap Hairi dengan nada yang girang.
“Ermmm... ya.” Idayu mengangguk.
Pemuda itu masuk semula ke dalam kereta dan diam sejenak. Matanya masih lagi merenung Idayu. Tidak mahu rasanya dilepaskan pandangan ini. Hai, tak lena tidur lagilah dia malam ini.
Idayu lantas berpaling untuk meninggalkan pemuda itu. Dalam hatinya tertanya-tanya. ‘Mengapa pemuda itu masih lagi enggan berlalu pergi?’ Hatinya resah gelisah direnung begitu. Setelah Idayu menaiki tangga dan memasuki rumah, barulah kereta itu bergerak pergi.
“Eee... kenapa dia pandang aku macam tu? Ada apa-apa yang tak kena ke?” bisik Idayu sendiri.
Setelah meletakkan bahan-bahan yang dibeli tadi di meja dapur, Idayu ke bilik. Dia merenung wajahnya di cermin, melihat apa-apa yang tidak kena pada dirinya. Manalah tahu kalau-kalau auratnya terbuka atau rambutnya terjuntai.
‘Ah... semuanya kelihatan baik aje, jadi apa yang dipandangnya sampai tak berkelip-kelip matanya?’ getus hati Idayu.
Idayu berasa gembira kerana diberi perhatian begitu. Tambahan lagi daripada pemuda sekacak itu, ala-ala Hrithik Roshan. Idayu tersenyum sendiri.
No comments:
Post a Comment