DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 30 November 2021

Kembalikan Bahagia Itu - Bab 1

 

“KAU nak pergi mana, Tiara?” soal Hana. Seawal jam 7 pagi sahabatnya itu sudah bersiap. Setahunya hari ini mereka tiada apa-apa aktiviti yang perlu dilakukan. Kelas juga tiada hari ini memandangkan hujung minggu. Dia juga pelik melihat Tiara bangun terlebih awal.

“Aku nak keluar kejap, jumpa Firash.” Tudung dibetulkan untuk kali terakhir, setelah puas hati dengan penampilannya, Tiara mencapai tas tangan.

“Biasa Firash yang datang ambil kau, kenapa kau nak pergi jumpa dia pula?” Pelik, biasa tunang sahabatnya itu akan datang menjemput.

“Hari ni birthday dia, jadi aku ingat nak buat surprise. Aku beritahu dia semalam yang hari ni aku ada tugasan yang perlu disiapkan dan tak boleh nak berjumpa dengan dia. Aku sengaja nak buat kejutan untuk dia,” balas Tiara dengan teruja, tidak sabar dia mahu bertemu dengan Firash. Sudah lebih seminggu mereka tidak bersua muka.

“Ingat sweet?” sindir Hana.

Tersengih Tiara mendengarnya.

Sweetlah... tunang aku, kan?”

“Tak sempat nak tunggu habis final exam, dah nak jumpa,” perli Hana. Hanya tinggal lagi seminggu sebelum mereka berdua tamat pengajian.

“Kau apa tahu perasaan rindu tu macam mana.”

“Itu bukan rindu, tu mengada-ada namanya.”

“Malaslah aku layan kau.” Tiara melangkah keluar daripada rumah sewanya, senyuman tidak lekang di bibir. Tidak sabar ingin berjumpa tunang kesayangannya.

Hana menggeleng kepala perlahan. Dia sendiri suka melihat hubungan yang terjalin antara Tiara dengan Firash. Dia nampak yang Firash terlalu sayangkan Tiara.

Setelah sampai di destinasi yang hendak dituju, Tiara berlari kecil melintasi jalan raya. Kedai Secret Recipe menjadi pilihannya. Mujur sahaja kedai itu berdekatan dengan rumah Firash, jadi tidak perlulah dia bersusah payah untuk mencari kedai kek.

Kaki Tiara terpaku melihat apa yang terhidang di depan mata.

‘Tak mungkin!’ Hatinya berdetak kuat, cuba menepis perasaan tidak senang yang mula menyelubungi hatinya.

‘Orang lainlah, Tiara. Buka luas-luas mata kau dan pandang sana semula.’

Nafas dihela dengan teratur. Matanya dibuka perlahan-lahan. Lagi sekali dia dihidangkan dengan pandangan yang sama; dengan situasi yang sama. Dada terasa sesak.

‘Apa semua ni ya Allah?’

Air mata mengalir tanpa dipinta. Badan disandarkan di dinding, cuba menepis perasaan yang membelenggunya saat ini. Tak! Dia harus mendapatkan penjelasan. Ya, penjelasan!

Dengan langkah lemah dia melangkah masuk ke dalam kedai tersebut, sayup-sayup kedengaran perbualan antara dua pelanggan itu. Dia menghentikan langkahnya.

“Sampai bila kita nak teruskan semua ni? Arwa rasa bersalah dengan Tiara, abang.”

Meja dipegang kuat.

‘Abang?’

“Abang pun tak tahu, sayang. Abang buntu. Abang kesiankan dia. Lepas dia final exam nanti abang akan jelaskan semuanya kepada Tiara.”

Lutut terasa lemah.

‘Sayang?’

“Abang tak rasa apa yang kita buat ni salah ke?”

“Entahlah, sayang. Abang tahu semua ni salah. Tapi abang tak mampu nak nafikan yang abang mula sayangkan Arwa.”

Tiara tersenyum sinis. Air mata diseka kasar. Bodohnya dia! Bodoh kerana terlalu cintakan lelaki itu! Lelaki yang dia anggap mampu menjadi lelaki yang akan membimbingnya kelak.  Bodohnya dia kerana terlalu sayangkan perempuan itu! Perempuan yang dia anggap sebagai seorang kakak.

Tiara berlalu ke kaunter, satu kek sederhana besar dibelinya. Sempat dia memberitahu untuk tulis sesuatu di atas kek tersebut. Dengan sedikit kekuatan, dia melangkah perlahan-lahan mendekati pasangan paling bahagia itu.

Happy birthday to you...

Mendengar suara nyanyian seseorang, pasangan itu memandang ke arah Tiara. Wajah kedua-duanya pucat, seakan-akan melakukan kesalahan terbesar. Mereka pantas bangun daripada kerusi itu. Kedua-duanya terdiam kelu.

Happy birthday to you... happy birthday to Firash... happy birthday to you...

Senyuman tidak lekang di bibir Tiara. Dia memandang kedua-duanya silih berganti.

“Nah, happy birthday...”

Selepas meletakkan kek, Tiara berlalu pergi. Satu per satu mutiara jernih menitis di pipinya.

‘Sampai hati kau, Firash!’

Firash memandang kek di hadapannya. Jelas terpapar tulisan di kek itu...

Happy birthday cheater!’

“Tiara...” ujar Arwaa.

Firash memandang Tiara yang semakin menjauh. Langkah diatur mengejar gadis itu. Arwa turut sama berlari mengikuti mereka.

 

No comments:

Post a Comment