DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 30 November 2021

Kembalikan Bahagia Itu - Bab 2

 

“TIARA!”

Langkah Tiara terhenti apabila Firash memanggilnya.

“Tiara, saya boleh jelaskan semuanya.”

Nafas dilepaskan perlahan-lahan. Dari tadi dia cuba menahan sakit hati. Tetapi kini, dia tidak pasti adakah kesabarannya masih ada untuk berdepan lelaki itu.

“Tiara... saya...” Tanpa sempat Firash menghabiskan percakapannya, satu tamparan kuat hinggap di pipi. Arwa yang baru sahaja sampai tergamam melihat tindakan Tiara.

Kalau ikutkan hati Tiara yang sakit, ingin sahaja dia menerkam perempuan di belakang Firash itu. Tetapi dia masih waras.

“Kau memang tak guna! 5 tahun kita bersama, Firash Iman. Macam ni pengakhiran kisah kita?” soal Tiara dengan nada sayu, langsung tidak sangka dengan apa yang dia lihat saat ini. Lelaki yang dia cintai selama ini rupanya ada perempuan lain.

“Saya minta maaf, Tiara. Saya sendiri tak sangka yang...”

“Tak sangka? Tak sangka yang akhirnya kau jatuh cinta dengan perempuan tu?”

“Saya minta maaf, Tiara. Saya sendiri tak mampu nak tipu perasaan ni.”

Tiara mengangguk lemah, dia ingin menghampiri Arwa tetapi ditahan oleh Firash. Mungkin risau Tiara bertindak di luar kawalan. Tiara tergelak sinis.

“Aku bodoh... selama ni aku anggap kau macam kakak aku sendiri, tapi tengok apa yang terjadi. Rupanya dalam diam korang khianati aku. Korang bercinta dalam diam. Habis, selama ni apa? Korang pura-pura depan aku? Korang gelak tengok betapa bodohnya aku, kan?”

Kedua-duanya menggeleng kepala laju, menidakkan apa yang dikatakan oleh Tiara.

“Tiara...”

Tiara memandang tangan Arwa yang memegang lengannya.

“Akak minta maaf.”

“Sampai mati aku tak akan maafkan korang!” Tangan Arwa ditepis kasar. Cincin di jarinya dilemparkan tepat ke muka Firash.

“Tiara... jangan macam ni, kita bincang elok-elok.” Firash tidak senang apabila mereka menjadi perhatian orang sekeliling.

“Bincang elok-elok? Masa kau buat benda bodoh ni ada kau nak bincang elok-elok? Ada kau nak beritahu aku elok-elok? Kau memang tak guna, Firash!” Hati Tiara masih belum puas untuk menghamburkan segala amarah yang berbuku dalam hatinya sekarang.

“Tiara... akak minta maaf.”

“Akak? Kau memang perempuan tak tahu malu, kan! Kau memang perempuan yang tak sedar diri! Perampas!”

Arwa memejamkan mata rapat. Inilah balasan yang harus dia terima atas apa yang telah dia lakukan kepada Tiara.

Melihat Firash yang leka memandangnya, satu tamparan hinggap di pipi Arwa. Air mata menitis tanpa dipinta.

“Tiara!” Melihat Firash mengangkat tangan kepadanya membuatkan Tiara tergelak sinis.

“Kau nak tampar aku? Kau nak marah aku? Kau berdua memang manusia yang tak tahu diri! Kau lupa siapa kau, Firash. Kalau bukan kerana aku yang tolong kau, kau fikir kau mampu untuk miliki apa yang kau ada sekarang?” soal Tiara.

Dari awal memang dia yang selalu membantu Firash, dialah yang memujuk bapa saudaranya untuk mengambil Firash bekerja bersamanya. Tetapi ternyata kebaikannya dibalas dengan perbuatan seperti ini oleh Firash.

“Saya sedar siapa saya, Tiara. Saya tak pernah lupakan jasa awak.”

Tiara tergelak sinis.

“Jangan muncul lagi di depan aku lepas ni. Bagi aku, korang dah mati dalam hidup Tiara Medina!” Tiara melangkah laju meninggalkan mereka berdua membawa hati yang hancur.

Cinta yang terjalin antaranya dengan Firash sejak di bangku sekolah menengah putus angkara orang ketiga. Dia fikir dia mampu menyelamatkan pertunangannya dengan Firash, namun segalanya musnah dengan apa yang dia nampak hari ini. Rupanya selama ini Firash mencintai orang lain, dengan orang yang selama ini dia anggap sebagai ‘kakak’.

Teresak-esak Tiara menangis di dalam kereta.

 

“SA... SAYA salah,” ujar Arwa. Dia sudah menganggap Tiara seperti adiknya sendiri, namun dia tidak menyangka yang perasaannya terhadap Firash sudah melebihi sayang seorang sahabat. Dia mula selesa bersama Firash. Rasa bersalah menyelubungi jiwanya.

“Awak tak salah, Arwa. Saya yang salah sebab tak menghargai dia. Saya yang patut dipersalahkan,” ujar Firash. Dia sendiri tidak mampu untuk menipu perasaannya sendiri. Cintanya kepada Tiara bagaikan hilang apabila dia mula mengenali Arwa.

Masing-masing mendiamkan diri. Sedar akan kesilapan yang telah mereka lakukan.

 

TIARA MELANGKAH lemah masuk ke dalam rumah. Dia penat untuk menghadap segala yang berlaku hari ini. Seharian dia berjalan tanpa arah tuju, akhirnya dia memutuskan untuk kembali ke rumah keluarganya. 

“Tiara dari mana? Kenapa balik tak beritahu papa?” soal papanya. Pelik pula melihat anak gadisnya itu. Setahunya, Tiara sendiri yang cakap tidak akan pulang ke rumah sebelum final exam. Tidak sangka pula dia melihat anak gadisnya itu pulang. 

Tiara menghampiri papanya. Ingin sahaja dia meluahkan apa yang berlaku kepada papanya saat itu. Biar papanya tahu lelaki yang selama ini dia puji, rupa-rupanya telah mengkhianati satu-satunya anak perempuannya.

“Tiara, kenapa ni?”

“Tak ada apa-apa.”

“Papa ada benda nak beritahu Tiara,” dengan nada teruja Encik Amirul berkata.

“Beritahu apa?” soal Tiara.

“Papa nak kahwin.”

Tiara terkaku. Dia memandang papanya tajam, cuba mencari keikhlasan di sebalik apa yang dikatakan oleh papanya dan berharap itu adalah mimpi ngeri.

“Pa... papa tipu, kan?”

“Kenapa nak tipu pula? Papa cakap betullah. Dah lama papa kenal dengan bakal mama kamu tu.”

Berdesing telinga Tiara mendengarnya. Semua ini bagaikan mimpi ngeri untuknya. Dikhianati lelaki yang paling dia sayang dan berita paling dia benci yang dia dengar daripada papanya sendiri.

“Tiara tak setuju!”

“Tiara... papa cuma beritahu Tiara, bukan minta persetujuan daripada Tiara.”

Tiara tergelak sinis. Apa gunanya dia sebagai seorang anak?

“Sampai hati papa menduakan mama.”

Encik Amirul mengeluh lemah. Dia juga manusia biasa yang perlukan pendamping hidup.

“Tiara... papa cuma inginkan peneman, salah ke? Dan papa tak akan pernah lupakan mama Tiara.”

“Habis, Tiara ni apa? Tak cukup ke Tiara ada untuk jaga papa?”

“Tiara janganlah macam ni. Papa dah aturkan semuanya dan 2 hari lagi papa akan kahwin.”

Tiara mengeluh lemah. Terasa apa yang berlaku hari ini benar-benar menyesakkan dadanya.

“Papa buat semua tu tanpa pengetahuan Tiara?”

“Papa tak mahu mengganggu Tiara.” Encik Amirul tidak mahu anaknya itu terganggu kerana Tiara bakal berdepan dengan peperiksaan akhir.

Tiara memejamkan matanya rapat. Sakit! Terlalu sakit untuk dia terima apa yang berlaku.

“Tiara tiada hak untuk membantah, kan?”

“Maafkan papa,” ujar Encik Amirul.

Tiara mengangguk lemah sebelum bangun ingin meninggalkan papanya di ruang tamu itu.

“Tiara cuma ada seorang mama, sampai bila-bila tiada seorang pun yang layak menggantikan tempat mama. Siapa pun pilihan papa, Tiara tak akan terima dia, termasuklah seluruh keturunan dia!” ujar Tiara sebelum meninggalkan papanya yang terkelu di situ.

Encik Amirul meraup kasar mukanya, tidak sangka begitu sekali penerimaan Tiara.

Pintu bilik dihempas kuat, Tiara menyandarkan badannya di pintu bilik. Kecewa, sedih, terkilan... semuanya bercampur menjadi satu rasa yang dia sendiri tidak mampu ungkapkan. Teresak-esak Tiara menangis.

Dari luar bilik, Encik Amirul mendengar esakan anak tunggalnya.

‘Maafkan papa, sayang...’

“Kenapa mama tinggalkan Tiara? Kenapa semua ni berlaku kepada Tiara, ma? Tiara tak sanggup nak hadap apa yang berlaku ni.” Gambar mamanya yang diambil 5 tahun lepas diusap perlahan. Sudah 5 tahun mamanya meninggal dunia.

“Tiara tak kuat ma...” rintih Tiara dengan lemah.

No comments:

Post a Comment