DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 12 December 2017

Mazrik's Signorina - Bab 2

TUDUNG bawal putih yang telah siap bergosok
itu dicapai dengan cermat. Sedang gigih membetulkan lipatan
tudung di kepala, telefon berdering nyaring, mengalunkan
lagu Selamanya Cinta. Terkocoh-kocoh Tia menyelongkar beg
galas di atas katil, tidak mahu si pemanggil ternanti-nanti.
“Helo, assalamualaikum...” Suara ceria dilontar.
Rindu kepada si pemanggil, hanya Allah yang tahu.
“Waalaikumussalam, darling. Buat apa tu?”
“Tengah siap-siap nak ke perpustakaan. Ada group
discussion kejap lagi.” Sempat Tia kerling jam di pergelangan
tangan. Ada 20 minit lagi sebelum waktu yang dijanjikan.
“Suddenly I miss you like crazy. Orang kat sana tu
rindu Am tak?”
Senyuman Tia terus memekar. Sukanya apabila ada
orang rindu!
“Darling, are you there?”
“Kalau rindu pun, bukannya dapat apa-apa, kan?
Bukannya orang kat sana tu akan terbang ke sini kalau kita
cakap rindu.” Sengaja Tia jual mahal, tidak mahu mengaku
akan perasaan rindu yang menggebu.
“Of course I’m willing to. Tapi darling tahu kan kerja
Am ni macam mana?”
Jawapan yang sememangnya telah Tia duga. Dari
mula perhubungan sampailah sekarang, jawapan itu tidak
pernah berubah. Kerja adalah segala-galanya bagi seorang
lelaki yang bernama Amir Hamzah.
“I’m just kidding, Am. No worries, Rissa faham.”
Seperti selalu juga, dia cuba bersikap matang dan tidak
mengada-ada.
“Nanti cuti semester, kita jumpa ya?”
“Okey.” Mudah dia membalas, tidak ingin berbalah.
Walaupun hakikatnya ada rasa terkilan kerana lelaki di
hujung talian sana tidak menyedari yang dia kini dalam
semester akhir pengajian.
“Darling, have I told you...”
Tia ketap bibir melihat jarum jam. Tinggal lebih
kurang 13 minit sahaja lagi sebelum waktu perjumpaan.
Tudung pun masih tak betul sarung. Nak menapak ke
bangunan perpustakaan tu lagi...
“Am, boleh kita sambung nanti? I really need to go.
Tak nak lewat untuk discussion.”
“Oh, okey. Talk to you later, darling. Take care.”
Telefon yang sudah gelap skrinnya itu Tia campakkan
kembali ke dalam beg, tidak dikisahkan termasuk ke bahagian
mana. Hendak pakai nanti, pandailah dia selongkar seperti
selalu. Yang penting sekarang ini, dia perlu bersiap untuk ke
perpustakaan.
Berdiri semula di hadapan cermin, tergesa-gesa dia
bersiap ala kadar. Janji tak sememeh sudah. Yang penting, dia
tidak lewat untuk discussion!

“SEMUA DAH sampai, kan? Boleh kita mula sekarang?”
“Kenapa tiba-tiba nak jumpa?” Wana terus mencelah
dengan soalan.
Alan dan Swee Lin yang masih berdiri segera
mengambil tempat duduk masing-masing.
“Yaa lorr. Too short notice. I didn’t prepare
anything.” Swee Lin mengangguk-angguk.
Mazrik tarik nafas dan layang senyum segaris. ‘Si
cantik yang kalut,’ sempat hatinya berbisik.
“It’s okay, Swee Lin. This meet up is just to recap
what Rissa and I have discussed during our last meeting.”
Wajah Tia di sebelah kiri Wana dipandang sekilas.
“Saya tak nak ada sesiapa yang lost atau hilang arah
tentang assignment tu dan letak hampir kesemua beban pada
Rissa seorang.”
Tia tersentak. Wajah Mazrik dipandang tepat.
“Saya okey. Tak ada rasa terbeban langsung. No
worries, guys.” Senyuman dihulurkan kepada Alan, Wana dan
Swee Lin sebelum kembali terarah kepada Mazrik, dengan
riak yang serius. “I'm fine Mazrik,” ulangnya.
“Are you sure?”
“Ya, saya pasti. Jadi sekarang awak boleh teruskan
agenda awak untuk brief mereka bertiga, dan biarkan saya
kekal dengan job scope yang kita telah persetujui sebelum
ni.”
“If you say so. Alan, you will handle...”
Laju Tia buka Google, membiarkan Mazrik memberi
penerangan kepada Wana, Alan dan Swee Lin tentang tugas
masing-masing. Tugasnya untuk assignment berkumpulan
ini adalah mencari sebanyak mungkin jurnal berkaitan untuk
digunakan sebagai bahan sokongan kepada kertas kerja
mereka. Peringkat master ini, bukan seperti degree yang
assignmentnya semua belasah copy & paste. Lagipun Dr.
Nazmi dah warning awal-awal, beranilah copy & paste kalau
nak paper kena koyak dan extend lagi satu semester untuk
repeat class.
Haruslah dia tak mahu sebab rugi besar kalau perlu
extend satu semester. Elok-elok boleh konvo tahun ini, terus
kena tunggu lagi setahun lebih untuk sarung jubah konvo.
Tak sanggup weh!
“Babe, kau kerut-kerut dahi kenapa?”
“Hah?”
4 pasang mata kini tunak memandangnya.
“Err... tak ada apa. Aku okey.” Air barli di dalam
gelas dicapai dan diteguk laju. Membuang rasa panik akibat
ditembak secara tiba-tiba.
Letak gelas, wajah selamba kembali ditayang.
“See? Aku okey aje! Sambung, sambung discussion
korang, aku pun nak search jurnal ni.”
Mata terus melekat pada skrin komputer riba.
Bayangan menyarung jubah konvo dengan 2 stripe di lengan
terus lenyap. Dari hujung ekor mata, dia tahu yang pandangan
insan berempat di meja tersebut masih terhala padanya
namun dia berpura-pura tidak nampak. Berlakon fokus
supaya tidak lagi dilontar dengan soalan daripada mereka.
Dan untuk memantapkan lakonan, sekali 10 tetingkap enjin
carian Google dibuka. Baru nampak macam fokus giler buat
kerja, kan?
“Weh, berapa banyak dah jurnal dapat? Boleh stop
tak? Kita orang nak buat brainstorming ni.”
Jam di sudut bawah skrin komputer dikerling. Ohh!
Asalnya berlakon fokus, tapi rupa-rupanya dia hanyut
juga. Sebabnya, dah lebih sejam masa berlalu. Sungguh dia
tak sedar.
“Kejap. Saya nak beli airlah, haus.” Alan bangun dari
kerusi.
“Nak ikut!” Laju Swee Lin mengekor.
“Tengok jurnal yang kau dah dapat.”
Ditolak komputer riba ke depan Wana.
“Banyaknya! Laju weh kau cari!”
“Rezeki.”
Bukan merendah diri namun itu hakikatnya. Mencari
jurnal yang spesifik dengan sesuatu tajuk bukanlah mudah.
Adakalanya senang jumpa macam sekarang. Tapi kebanyakan,
berjam-jam bersengkang mata pun belum tentu jumpa satu.
“Boleh saya tengok?”
Kini komputer riba ditarik dan didekatkan kepada
Mazrik. Dibiarkan jejaka itu menyentuh tetikus dan explore
sendiri jurnal-jurnal yang ada.
“Eh, aku lupa nak tanya. Seronok dating hari tu?”
Soalan Wana yang terbit tanpa amaran buat tekak
nyaris tersedak. Laju Tia angkat kepala, menentang paras
mata si teman. Tersengih tu! Langsung disenggol siku gadis
itu memberi amaran. Bibir diketap kuat sambil tayang
isyarat ‘jangan-nak-cari-pasal’ namun Wana dilihatnya makin
melebar sengih.
“Dating?” Dahi Mazrik berkerut sedikit.
“Oh, tak! Tak ada apa-apa. Wana tanya pasal kes saya
dengan ada sorang budak teater.” Tia terus tayang senyum
selebar mungkin, cuba menutup hal sebenar.
“Budak teater mana pula ni?”
Kali ini tanpa basa-basi kaki Wana di bawah meja
yang hanya menyarung selipar Jepun dipijak ikut rasa.
“Adoi! Arghhh! Sakit!” Wana dah menunduk
memegang kaki.
Melihat Wana yang ‘cedera’ dan aksi Tia yang kalut,
Mazrik terus menyimpul senyum. Dengan mudah dia dapat
menangkap.
“Seronok juga, Wana...” ujarnya selamba. Sempat
dikerling Tia di sebelah Wana. Wajah bujur itu sudah mula
bertukar merah.
“Wana jealous ke saya dating dengan Rissa?” soalnya
tenang.
Wana yang mendengar terus terlopong. Tia pula,
terasa ingin pitam di situ juga. Malu untuk kali kedua!
“Saya pergi fotostat bahan sekejap. Nanti bila semua
dah ada baru kita mula brainstorming.”
Hilang sahaja kelibat Mazrik, terdengar...
“Di saat saling mengenali... Ku tahu cintamu
memanggil... Dalam perasaan yang tak kau dengari...”
Terus Tia tukar mode komputer riba kepada ‘sleep’
dan menolaknya ke tepi. Dipandang geram BBF yang duduk
di kerusi sebelah kanannya. Kalau tak fikir anak orang, dah
lama dia luku-luku kepala yang berbalut tudung ungu itu.
Biar reti berhenti tersengih.
“Wana.”
“Yezza!”
“Lagu apa yang kau nyanyi tu? Yang tersengih
non-stop ni kenapa? Rahang tu tak letih ke?”
“Happy wei, happy. Kau dengan Mazrik...”
“He’s taken.” Laju patah Wana dicantas.
“I know.”
“Dah tu?”
“Entah. Mula-mula aku rasa kelakar giler bila Julia
cerita, tapi sekarang ni aku rasa macam sweet pula. Tengok
tadi, dia relaks aje. Kau tak rasa ke dia ni jodoh kau?”
“Mabuk! Tunang orang tu. Lagipun Am aku nak
campak mana?”
“Campaklah mana-mana, perigi buta kat Malaysia ni
banyak.”
“Kau ingat Am...”
“Siapa mahu air? Ada lebih ni.”
Perbualan mereka terganggu. Alan muncul semula
bersama Swee Lin.
“Kenapa muka serius aje? Discuss apa?” soal Alan.
“Urmm... nothing! Bual-bual ringan aje,” dalih
Wana.
“Tapi muka Rissa...”
“Ehem!”
Suara Mazrik menghentikan segala bicara.
“Saya rasa brainstorming kita ni kena buat dalam
perjumpaan seterusnya. Sebab tiba-tiba Penasihat CNREC
nak buat miting lagi setengah jam. Last minute notification.”
“CNREC?” Anak mata Swee Lin membulat.
“Chemical & Natural Resource Engineering Club.”
Tanpa sedar bibir Tia menyebut perlahan.
“Okay, no problem. Let’s go, Swee Lin.” Alan tarik
tangan si fashionista.
“Sorry, guys.”
“It’s okay, Mazrik. See you all later!” Susuk tubuh
Alan dan Swee Lin menghilang dari pandangan.
“Sayang betul lepas ni ada lagi satu kuliah. Kalau
tak, syok balik tidur ni.”
“Tidur aje...”
Wana sengih dengan selaran si teman.
“Okeylah babe, aku chow dulu. Kau tak ada kelas
lepas ni kan?”
Tia angguk.
“Bye. Bye, Mazrik.”
“Okey, jumpa lagi.”
Dalam sekelip mata suasana menjadi kekok. Tia
mengharapkan jejaka di hadapannya cepat-cepat beredar
kerana dia mahu sambung mencari jurnal tetapi tiada
tanda-tanda yang Mazrik akan berlalu. Lalu separuh terpaksa
dia mengangkat punggung dan mula mengemas barang.
“Saya balik dulu.” Dia meminta diri, sekadar untuk
berbudi bahasa. Dalam hati mengeluh sedikit. Balik ke kolej,
bila bantal dan katil dah ada depan mata, memang lajulah
matanya nak katup.
“Duduklah dulu.”
“Discussion dah habis, kan?” Tali beg di bahu
dibetulkan.
“Temankan saya sekejap. Please...”
Bagai dipukau, Tia duduk semula.
“Saya nak taip dulu poin-poin penting assignment ni
supaya tak ada yang tertinggal tapi saya tengah mengantuk.
Boleh tak Rissa tolong berbual dengan saya sampai saya
selesai taip semuanya?”
“Err... nak cakap apa?”
“Anything.”
Tia tenung wajah lelaki di hadapannya untuk
beberapa saat. Tengok gaya macam tak mengantuk pun. Laju
sahaja jari-jemari kasar itu menari di atas keyboard. Kalau
betul mengantuk, mesti jari-jari tu malas nak bergerak. Kan?
“Rissa, I’m waiting.”
“Oh... ha... urmm... tadi kata ada miting?”
Mazrik kerling jam sambil terus menaip.
“Lagi 25 minit. Lagipun miting tu di bangunan
sebelah kafe ni aje.”
“Oh, okey.” Lupa yang Penasihat Kelab selalunya
Dekan Fakulti. Jadi pertemuan mestilah di tempat Dekan,
bukan di sembarangan tempat seperti kafeteria awam, foyer
atau astaka yang selalu menjadi tempat pilihan pelajar-pelajar
untuk berdiskusi.
“Next question, Rissa.”
“Tunang awak student kat sini juga ke?” Tia pejam
mata sebaik sahaja soalan tersebut terlontar. Lidah! Dalam
hati rasa nak ketuk-ketuk kepala sendiri. ‘Kau dah kenapa nak
busy body sangat dengan hal orang ni Rissa???’
Tarik hembus nafas tiga kali, teragak-agak dia buka
kelopak mata.
“Tak, tunang saya bukan student kat sini. Dia nak
sambung belajar, tapi saya tak galakkan. Mak dia tak sihat
sangat, jadi saya lebih senang dia fokus pada jaga mak dia
memandangkan ayah dia dah lama meninggal.”
“Okey.” ‘Quite king control,’ hati perempuannya
berdetik.
“Saya tak kisah dia bergantung pada saya sepenuhnya
nanti. Saya lelaki, tanggungjawab saya untuk menyara dia
dan keluarga dia.”
Tiba-tiba Tia rasa lelaki di hadapannya ini terlalu
matang. Kebanyakan student lelaki yang dia kenal tidak
pernah berfikir sampai ke tahap itu.
“Mazrik...” Dalam rasa tak pasti dia menyeru.
“Ya?”
“Berapa umur awak?”
“Kenapa tiba-tiba tanya?”
“Saja. You look so matured.”
“How young are you?”
“Maksud awak?”
“Umur awak berapa?”
“24 tahun.”
“Then I’m five years older.”
Laju otak Tia mencongak.
“29?”
“Betul.”
“Patutlah...” Terpacul perkataan tersebut tanpa
sempat ditahan.
“Patutlah apa? Nampak tua?” Mazrik relaks menebak.
“Hihi, sorry...” Tia senyum kelat. “Tapi betul, awak
nampak maturedlah.”
“Mungkin sebab saya adalah abang kepada adik-adik,
jadi karakter abang tu terbawa ke mana-mana.”
“Urmm... mungkin juga. Jadi, ada adik berapa
orang?”
“5.”
Tia terkejut.
“5?”
“Ya, 5. Salah seorangnya sebaya awak.”
“Suddenly I feel macam tak beradab pula sebab saya
panggil awak dengan nama dan ber‘awak-saya’. Beza 5 tahun
pula tu...”
Mazrik berhenti menaip. Belakang badan menyentuh
badan kerusi. Mata memanah tepat ke wajah si gadis.
“Kalau macam tu, tukarlah.”
“Tukar apa?”
“Panggilan. You call me, abang.”
“Hah???” Tia tercengang. Wajah Mazrik dipandang
dengan penuh tanda tanya.
“Abang, okey? Dan saya akan panggil awak, adik.”
“Kalau saya tak nak?”
“Ke awak nak jadi tunang saya?”
“Hesyy!”
Mazrik menghambur tawa. Wajah bujur yang
merona merah itu menjentik rasa lucu dalam hatinya.

ALAN PANDANG Wana, Wana pandang Swee Lin, Swee Lin
pandang Alan. Alan tunjuk kiri, Swee Lin jegil mata tunjuk
buku atas meja, Wana tayang sengih. Tahu. Mereka semua
tengah lemau sebenarnya. Tapi masing-masing tak berani
nak bersuara sebab lagi dua batang tubuh tengah larut fokus
pada komputer depan mata.
“Err, I need to go to the ladies.”
“Me too.”
“Alan!” Swee Lin dah terjerit.
“Sorry, I mean gents.”
Keadaan kembali senyap setelah kedua-duanya
berlalu. Wana tenung orang depan, kedua-duanya tetap
begitu. Diam, bisu, tanpa sebarang bicara.
“Mazrik.” Wana akhirnya tidak dapat menahan diri
daripada bersuara.
“Ya, saya.”
“Tak boleh ke kita santai-santai? Streslah asyik serius
aje.”
“Tu kena tanya Rissa.”
“Dah kenapa adik pula?”
“Sebab semua orang terikut mood adik yang serius
tu.”
“Banyaklah abang. Abang ketua kut, diaorang ikut
abanglah.”
“Kalau ikut abang, Wana takkan ajukan soalan tu.”
“Abang ni kan...”
Wana sengih. Pemandangan depan mata
membuatkannya terhibur.
“Cutelah korang berdua ni.” Selamba dia memberi
komen.
“Abang... adik... abang... adik... Aku dengan abang
aku pun main ‘aku-kau’ aje. Mazrik, nak jadi adik awak juga
boleh tak?”
“Tak boleh.”
“No!”
“Tengok, jawapan pun serentak. Sehati sejiwa betul!”
Wana menghambur tawa. “Apasal eh babe permohonan aku
untuk jadi adik ditolak? Mazrik, any reason for that?”
“Sebab kau dah ada abang.”
Tawa Wana pecah lagi. Belum sempat Mazrik
memberikan jawapan, Tia dah terlebih dahulu memangkas.
Envious much?
“Mazrik, kenapa tak boleh?” Sengaja ditagih jawapan
daripada lelaki itu. Jegilan mata Tia tidak dipeduli.
“Adik kandung saya 5 orang, Wana. Campur mak
saya, 6. Plus tunang saya, jadi 7. Dan sekarang tambah Rissa,
8. Dah ada 8 orang yang jadi tanggungjawab saya sekarang
ni dan saya tak pasti kalau saya mampu tambah lagi sorang.
Wana nak ke jadi adik saya tapi saya tak dapat nak jaga Wana.
Nak?”
“Err... takkan sampai macam tu sekali kut?”
Tia diam tidak menyampuk. Jawapan yang baru
keluar dari mulut Mazrik benar-benar membuatkannya
terkedu.
“Habis kalau tak macam tu, nak macam mana?”
“Err, maksud saya... why so serious? I mean... Rissa
dan saya bukan adik betul pun. Takkan awak nak jaga macam
mana awak jaga famili awak?”
Mazrik senyum. Dilirik Tia yang masih membisu.
“Saya ni Wana, seka...”
“Nak aiskrim?”
Bicara Mazrik terputus. Alan dan Swee Lin
muncul dengan dua batang aiskrim Cornetto di tangan
masing-masing.
“Bukan korang pergi toilet ke?” Kening Wana
bercantum. Ini basuh tangan ke tidak dua-dua orang ni?
“Pergi toiletlah. Lepas tu lalu kat depan mart,
nampak ada budak makan aiskrim. Tu yang kami pun masuk
dan beli. Nak tak?” Alan hulur tangan.
“No, thanks.” Laju Wana geleng.
“Rissa?”
“Tak, terima kasih. Saya tak boleh makan aiskrim
lewat-lewat malam, nanti saya batuk.”
Masing-masing tengok jam. 10.30 malam!
“Mazrik, can we go back now?” Teragak-agak Swee
Lin menyoal dengan wajah yang tersengih. Sengaja mencuba
nasib. Kut-kutlah Mazrik simpati dengan keadaannya yang
perlu menghabiskan dua batang aiskrim.
“Sure.”
“Serious? Thank you! Alan, jom teman I balik kolej!”
“Balik sendiri tak boleh ke amoi? I kena habiskan
aiskrim ni.”
“I pun samalah! Jomlah, teman I balik! Sambil jalan
kaki, kita sama-sama makan aiskrim lorr, okey?”
Wana tahan tawa yang ingin meletus. Pelat Swee
Lin yang bersungguh-sungguh memujuk Alan kedengaran
kelakar.
“Alannn...”
“Okey, okey! Let’s go.” Mata Alan beralih ke arah
Mazrik. “Balik dulu, team leader. I nak kena hantar nyonya
ni balik.”
“Alan!!! What did you call me?”
“Amoi.”
“No! I heard perkataan nyonya!”
“Telinga you tengah pekak, efek makan aiskrim
malam-malam.”
Kali ini Wana tidak dapat menahan ketawa. Pecah
tawanya, lepas dan bebas.
“Good night, ladies,” ucap Alan bersama sengihan.
Sempat dia mengenyit mata sebelum memusingkan tubuh.
“Jom balik amoi.” Diseru Swee Lin yang masih
tayang muka tak puas hati.
“Selamat malam, Swee Lin! Jumpa nanti...”
“Bye Wana. Bye Rissa.”
“Good night,” sahut Tia ringkas.
“Kelakarlah Swee Lin dan Alan tu,” komen Wana
setelah bayang kedua-duanya hilang.
“Hmm...”
“Tu aje respons kau boleh bagi?”
“Dah tu kau nak aku cakap apa?”
Mazrik senyum. Dihantar renungan lembut kepada
kedua-duanya.
“Nak sambung ke nak bersurai ni?”
“Bersurai.”
“Suka hati.”
Senyuman bertukar sengihan. ‘Jawab ‘suka hati’ tapi
kepala dah lentok atas meja. Adik... adik...’ desis Mazrik.
“Kolej Wana dekat sini, kan?”
“Haah, blok sebelah ni aje. Kenapa?”
“Rissa ni macam dah mengantuk.” Mata beralih ke
arah Tia. “Tumpanglah bilik Wana malam ni, tidur sini.”
“Eh, tak boleh, tak boleh...” Tia dah angkat kepala
dari meja.
“Kenapa, tak ada baju? Rasanya saiz baju Wana besar
sikit aje daripada adik, kan?”
“Laaa... awak tak tahu ke Mazrik?”
“Apa?”
“Adik awak yang sorang ni bukannya boleh tidur
malam kalau tak ada bantal busuk dia tu.”
“Babe!”
Wana sengih. Mata dilarikan ke wajah Mazrik.
“Adik awak ni, pasal baju semua tu tak ada masalah,
dia tak kisah. Yang dia kisahkan satu aje, bantal busuk dia tu.
Awak tahu kan bantal busuk tu apa?”
Mazrik teragak-agak antara mahu mengangguk
ataupun menggeleng.
“Bantal peluk dia yang dah kepam dan dah
berkurun-kurun tak berbasuh tu. Sebab tu dipanggil bantal
busuk. Bau nauzubillah...”
“Babe, overlah kau ni! Mana ada busuk!”
“Kau sorang aje yang cakap wangi. Orang keliling
semua pitam kalau tercium.”
“Babe!!!”
Mazrik mahu gelak tapi ditahankan. Melihat raut
Tia yang merona merah, dia tahu gadis itu sedang menahan
malu. Comel!
“Habis tu nak balik kolej jugalah ni?” Dia mencelah.
Bertindak secara halus bagi menghentikan Wana daripada
terus-terusan mengusik.
“Haah.” Tia angguk.
“Dah lewat ni, dekat nak pukul 11 dah.”
“Tak apa, dah biasa. Kalau jalan laju-laju, 10 minit
dah sampai.”
“Tak apalah, jom abang temankan.”
“Tak payah kut.”
“Tak apa, jom. Bahaya jalan sorang malam-malam
ni.”
“Tapi...”
“Ha... dah, gi, gi... gi balik. Mata aku pun dah tak
boleh nak buka ni, tak sabar nak naik bilik dan landing atas
katil.”
Dalam termangu-mangu, Tia bangkit. Wajah Wana
dan Mazrik dipandang silih berganti.
“Err, aku balik sendirilah babe. Abang, adik balik
sendiri. Tak apa, bukannya first time. Masa latihan teater pun
balik lambat juga, biasa dah macam ni.”
“Tu sebelum abang ada, kan?”
“Err...”
“Sekarang abang dah ada, so let me take care of you.”

No comments:

Post a Comment