DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 29 June 2022

Bodyguard Hati Anne Dalisa - Bab 5


SO, Nabil. Dah lama you bawa Grab?” Anne senyum kepada pemandu Grab di sebelahnya. Nak juga tahu tentang lelaki ini.

“Wabil, cik. Nama saya Wabil.” Wabil menjeling sekilas ke arah gadis ini. Nabil? Ingat dia Nabil pengacara itu ke? Tolong sikit. Dia 10 kali ganda lebih kacak kut!

Opss... sorry.” Anne tayang sengih.

Wabil senyum senget. “Tak apalah. Memang selalu orang tersalah sebut. Sebenarnya kan cik, cik penumpang pertama saya. Saya baru mula hari ini,” jujur Wabil beritahu. Dan memanglah dia tersangat beruntung bila penumpang pertamanya seorang pelakon ternama. Walaupun dia taklah berapa kenal sangat pun. Lainlah emaknya. Artis mana saja yang dia tak kenal.

“Really?” Anne tanya teruja. Macam berjodoh pula kan?

Wabil mengangguk.

Baru saja Anne mahu bertanya lagi, iPhonenya berbunyi minta diangkat.

“Anne! Kau buat apa ni?” Bingit suara Sara menjerit di sana. Dijarakkan iPhone itu dari telinga. Dah tengok Iglah tu.

“Aku tak buat apa pun.” Anne jawab selamba.

Sara sudah berasap telinga mendengarnya. “Lelaki mana yang hantar kau ke airport hah? Kan aku kata naik Grab aje. Tolonglah jangan buat kontroversi lagi. Kau tahu tak, sekarang Markonah tengah tunggu kau di KLIA. Pandai-pandailah kau nak jawab. Aku malas nak ambil tahu!” Sara letak panggilan telefonnya. Marah benar nampaknya.

Anne memandang Wabil dengan bibir bawahnya digigit perlahan. Agak-agak lelaki ini mengamuk tak nanti?

Aduh! Dia bukan sengaja. Dia cuma mahu orang berhenti buat spekulasi tentang hubungannya dengan Helmi mahupun Andy. Lagipun gambar Wabil dia sudah blurkan. So, tak akan ada siapa tahu siapa Wabil.

Err... Wabil. You berhenti di parkir kereta nanti boleh?”

Wabil mengalih pandang kepada si gadis bila mendengar permintaan itu.

“Kenapa? Kan senang saya hantar terus kat tempat turun tu.” Hairan pula Wabil melihat riak Anne yang serba salah itu. Ada apa-apa masalahkah? Ke lelaki tadi itu kejar gadis ini lagi? Tapi tak pula dia nampak mana-mana kereta mengekori mereka.

Err... ada wartawan tunggu I di sana. You tahulah. So, I tak mahulah bertembung dengan mereka. Lagipun I dah lambat ni.” Anne memberi alasan. Kalaulah Wabil tahu yang wartawan sebenarnya mahu mengorek siapa lelaki misteri bersamanya, pasti lelaki ini akan marah.

Wabil mengangguk. Bersetuju dengan permintaan gadis ini.

Kenderaan Wabil membelok ke tempat letak kereta. Anne menghela nafas lega. Harap-harap Markonah Kepoh a.k.a. wartawan hiburan itu tidak nampaklah mereka.

 

“THANKS.” ANNE ucap terima kasih kepada Wabil. Rambut ikal mayangnya diselit ke telinga.

Wabil yang melihat tindakan itu rasa lain macam. Memang Anne Dalisa ini cantik orangnya. Patutlah dia menjadi seorang artis.

Tapi sayang...

Pandangan Wabil jatuh pada tempat yang tidak sepatutnya. Terlalu seksi. Sendat berbentuk. Nampak segala lurah dendam. Belum lagi dengan skirt beralun separas lutut itu. Terserlah betis gebu gadis ini.

Entah apa nak jadilah dengan gadis zaman sekarang. Cepat Wabil mengalih pandangan ke sisi. Risau bertambah dosa matanya.

“Hei, Wabil. I cakap terima kasih ni.” Anne melambai-lambai tangan depan lelaki ini.

Wabil mengalih semula pandangannya tepat pada wajah si gadis. Bibir mengukir senyum senget.

“Sama-sama. So, boleh saya balik?” Wabil segera minta diri. Lama-lama di situ dia takut matanya menderhaka lagi. Macam magnet saja mahu melihat ke situ.

Baru Anne mahu membalas, pandangannya menangkap kelibat Markonah Kepoh. Mampus!

Anne menarik lengan Wabil. Dia menyandar di pintu kereta. Badan Wabil ditarik merapat kepadanya.

Bagai nak luruh jantung Wabil dibuatnya dengan tindakan tiba-tiba Anne Dalisa itu. “Eh, cik! Nak buat apa ni?” Melengking suaranya.

Syhhh... diam. Please... tolong I.” Anne merayu dengan nada berbisik.

Terpinga-pinga Wabil melihat anak mata gadis ini. Macam kucing minta lauk pula rupanya.

“Cik, apa semua ni? Tak elok kita rapat-rapat macam ni.” Wabil ikut berbisik. Tangannya yang melekap di pintu kereta diangkat mahu menjarakkan kedudukan mereka.

Anne buat tak peduli. Matanya masih meliar ke sekeliling. Berjaga-jaga dengan kehadiran Markonah Kepoh.

Melihat Markonah Kepoh yang makin mendekat, Anne mengambil langkah drastik. Dada bidang Wabil dipeluk erat oleh Anne. Wajahnya disembamkan ke dada sasa itu. Dia tak peduli. Yang penting Markonah tak nampak dia.

Astaghfirullahalazim... cik!” Wabil beristighfar panjang. Mahu menolak tubuh si gadis, kejap pula Anne memeluknya. Sudahnya dia berzikir untuk membuang debaran hatinya. Gila apa kena peluk dengan gadis seksi! Kena peluk dek Anne Dalisa pula tu!

Perlahan Anne meleraikan pelukannya bila bayang Markonah Kepoh makin menjauh.

Thanks.” Anne menggigit bibir bawahnya. Malu tidak terkata. Tapi dia buat riak selamba sahaja.

“Awak boleh pergi.” Anne mencapai bagasinya.

Wabil terpinga-pinga bila melihat riak selamba itu.

“Nanti-nanti. Boleh jelaskan apa yang berlaku tadi?” Wabil menahan langkah gadis ini. 'Boleh nak blah macam tu saja lepas peluk aku? Hei, aku ni dinoda tau! Kurang-kurang jelaskanlah apa yang terjadi,' desisnya dalam hati.

Anne tak jadi melangkah.

“Okay. I’m sorry for that. I terpaksa. Anggap aje tak ada apa-apa yang berlaku okey?” Anne tayang senyum. Harap-harap selepas ini mereka tidak bertemu lagi. Matilah kalau lelaki ini sedar apa yang dilakukan. Curi-curi mengambil gambar Wabil dan dimasukkan dalam IGnya.

“Tak ada apa-apa yang berlaku awak kata? Awak peluk saya tau. Awak ni perempuan jenis apa hah? Dengan pakaian yang...” Anak mata Wabil turun naik membelek tubuh wanita ini. Gila punya seksi.

“Pendek kata, kalaulah saya ni lelaki jahat, dah lama cik ni kena culik. Teruk kena tau. Mujurlah saya ni lelaki yang baik. Cik, jagalah maruah sebagai perempuan. Apa yang cik buat tadi tu...”

Belum habis Wabil berleter dan memberi ceramah kepada si gadis, telefon bimbitnya bergetar tanda ada panggilan masuk.

“Terima kasih untuk nasihat you. Tapi I betul-betul nak cepat ni. I’m sorry. I janji kalau kita jumpa lagi I tak akan peluk you, I cium terus.” Anne ketawa halus sebelum cepat-cepat melangkah laju apabila Wabil menjawab Panggilan telefon. Tapi dalam hati, tersentak juga dia rasa. Tidak pernah ada lelaki berleter begitu kepadanya sebelum ini.

Wabil ketap bibir. Tak jadi dia mahu mengejar gadis itu apabila melihat adiknya yang menghubungi. Bimbang juga jika ada hal penting.

“Abang! Abang dekat mana?” Alin bersuara cemas.

“Abang di KLIA. Kenapa Lin? Ada apa-apa yang jadi kepada emak ke?” Wabil laju bertanya.

“Mak okey aje. Abang tulah. Abang buat apa? Diam-diam ya abang ada skandal dengan Anne Dalisa!”

Hah? Wabil memandang skrin telefon bimbitnya. Biar betul. Takkan Alin nampak Anne Dalisa peluk dia tadi? Pantas dia mencari kelibat adiknya.

“Lin ada sini?” Wabil menelan liur.

“Abang tak tengok IG Anne Dalisa tu ke? Walaupun dia kaburkan muka abang, Lin kenallah susuk abang Lin. Jaket abang tu, Lin yang hadiahkan tau!”

Makin pelik Wabil mendengar kata-kata si adik.

“Sekejap! Abang betul-betul tak faham ni. IG apa ni? Abang mana ada IG.” Berkerut dahinya kerana tidak dapat mencerna bebelan Alin.

“Abang install sekarang. Cari nama Anne Dalisa. Lepas tu jelaskan kepada Lin. Jangan nak buat-buat tak tahu. Bye!” Alin letak panggilan.

Wabil menggaru kepala. Instagram? Dia mana pernah ada akaun media sosial itu. Tapi mengenangkan apa yang diberitahu oleh Alin, dia install juga aplikasi itu. Nama Anne Dalisa dicari.

Terbeliak matanya bila melihat gambar swafoto gadis itu bersama dengannya. Entah bila Anne mengambilnya. Mujur saja gadis itu bertindak bijak blurkan wajahnya. Tapi kalau Alin pun boleh kenal, tidak mustahil semua pun boleh kenal.

Wabil memandang ke arah pintu masuk lapangan terbang itu. Mahu kejar Anne? Memang tidaklah.

'Perempuan ni memang nak kena! Suka-suka kau saja gunakan aku ya,' bisiknya dalam hati. Wabil memandang lagi gambar yang dimuat naik oleh artis wanita popular itu.


So, this is my guy now. Please jangan kaitkan

I dengan mana-mana lelaki lagi. I tak mahu

dia terasa hati. I rasa dialah lelaki terbaik

untuk I.

Thanks, sayang hantarkan I ke airport. Nanti

kita jumpa lagi ok sayang?

 

Wabil menggenggam telefon pintarnya itu. Bukan main lagi kapsyen yang ditulis gadis itu.

‘Okey sayang. Kita jumpa lagi nanti. Siap kau Anne Dalisa!’ bebelnya dalam hati.

No comments:

Post a Comment