DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 29 June 2022

Bodyguard Hati Anne Dalisa - Bab 1


WABIL membelek penampilannya sambil menggaru dagu dan merapi jambang yang menghiasi wajahnya.

‘Boleh tahan juga kut rupa aku ni,’ desis hatinya. Dia tersengih sendiri. Tapi itulah, masih membujang lagi. Kasihan Mak Peah tak dapat-dapat menantu lagi. Patutlah orang tua itu asyik bising saja. Asyik sibuk bertanya bila dia nak ada calonisteri.

Ah! Malas dia nak fikir tentang jodoh. Wabil mengambil kunci dari atas meja. Langkah dibawa menuruni tangga. Kelibat emaknya dicari. Terukir senyumannya apabila melihat si emak sedang tercongok di hadapan televisyen.

“Amboi Mak Peah oii... nak masuk dalam telebisen tu terus ke?” Wabil menegur Mak Peah. Macam nak masuk dalam TV. Tahulah rabun. Wabil sengih lagi. Dia berjalan selamba kemudian berhenti di hadapan TV apabila tegurannya tidak dipedulikan oleh Mak Peah.

“Isy, budak ni. Tepilah! Mak nak tengok Anne Dalisa ni. Tu wartawan duk temu ramah dia. Dengar kata dah putus dengan pakwe bertatu dia tu sebab ada skandal dengan suami orang.”

Wah, Mak Peah ni kalau bab artis nombor 1! Sengaja Wabil keraskan badan apabila wanita ini menolak tubuh sasanya. Dia ketawa kuat melihat emaknya itu sudah bercekak pinggang. Marahlah tu tak dapat tengok gosip terkini.

“Mak ni, suka sangat tengok rancangan gosip-gosip ni. Mengalahkan orang muda.” Wabil ketawa lagi sebelum berganjak ke tepi.

“Mak bukan tengok gosip. Mak tengok Anne Dalisa tu. Kamu apa tahu? Anne ni artis berbakat tahu tak. Dia punya lakonan hidup tau. Lagi-lagi watak air mata. Sampai dengan mak pun menangis sekali bila tengok.” Mak Peah menjeling kepada anak lelakinya ini. Bukan Wabil tak tahu yang dia memang suka tengok drama. Lagi-lagi drama lakonan pelakon kesayangannya, Anne Dalisa.

“Apa-apa sajalah mak. Mak pun tahu kan Wabil tak suka tengok drama Melayu. Ceritanya sama saja. Hero kayaraya semuanya. Cuba buat hero macam Wabil ni haa. Hero rakyat marhaen. Hero yang jenuh berfikir nak cari rezeki.” Wabil mengambil gelas dari atas rak. Dia bukannya minat drama macam emaknya itu. Dah lama dia tak tengok TV. Tak ada masa.

Air putih dituang ke dalam gelas. Diteguk perlahan air putih itu.

“Mak, Wabil dah masak. Nanti mak makan ya. Lepas tu, jangan lupa makan ubat. Nanti Lin balik suruh dia cucuk insulin mak tu okey.” Wabil hampiri emaknya. Dahi Mak Peah dikucup lembut.

“Wabil pergi dulu.” Wabil bergerak ke muka pintu.

“Wabil...” panggil Mak Peah.

“Ya mak?” Wabil yang sedang menyarung kasut berpaling memandang ibunya itu.

“Restoran kamu macam mana? Dah okey?”

“Alhamdulillah. Bolehlah mak. Mak jangan risau ya.” Wabil senyum tawar. Tak sampai hati nak adukan masalah sebenar dia.

 

“LUPAKAN I. You pulanglah semula kepada dia. You sendiri tahu kita tak akan boleh bersama.” Air jernih mengalir perlahan di pipi. Wajah lelaki di hadapannya dipandang pilu.

“Tapi... I cintakan you...”

“Cinta itu tak semestinya memiliki. I doakan you bahagia dengan dia. Selamat tinggal.” Badan dipalingkan membelakangi lelaki itu.

“Cut!

Fuh! Anne menarik nafas lega. Air mata palsu yang mengalir di pipi cepat-cepat diseka.

“Good job Anne.”

Anne berpaling ke arah lelaki yang menegurnya. Lelaki yang sama menjadi pasangannya dalam drama yang dilakonkannya tadi.

“You too, Helmi.” Anne tersenyum manis. Kaki melangkah ke arah van. Dia mahu menukar pakaian. Tadi, babak terakhirnya untuk hari ini.

“Anne, nak pergi minum tak?”

Ajakan Helmi buat Anne berhenti melangkah. “Tak bolehlah. Thanks ajak I tapi I ada urusan lain,” balas Anne.

Helmi senyum saja. Memahami bila Anne menolak ajakannya.

“Anne! Jadi ke pergi sana lepas ni?” Sara yang juga pembantu Anne lekas menghampiri gadis itu.

“Eh, tentulah! Lama kut kita tak pergi sana.” Berkerut dahi Anne. Tentulah dia mahu teruskan agenda macam yang dirancang mereka sebelum ini.

Sara mengangguk dengan sengihan. “Aku dah siapkan semuanya.”

Anne senyum dengan tangan naik mencubit pipi Sara. “Ini yang buat aku sayang kat kau.”

“Hei! You berdua nak ke mana sebenarnya ni? Tadi I ajak you minum, tak mahu.” Helmi tiba-tiba mencelah.

Anne dan Sara berpandangan sesama sendiri.

Err... tak ke manalah. Jom Sara.” Anne atur langkah semula. Tetapi baru saja dia melangkah, kakinya tersadung kaki lampu yang terdapat di set penggambaran itu. Mujur saja Helmi sempat menahan. Kalau tidak, memang Anne sudah jatuh macam nangka busuk ke lantai.

Thanks.” Anne lantas berdiri tegak.

Pang! Tak semena-mena pipi Anne dilempang oleh seseorang. Entah datang dari mana manusia itu. Terus suasana menjadi hingar bingar.

“Dasar pelakon murahan! Suami orang pun kau nak rampas!” pekik seorang wanita.

Mata Anne terbeliak. Di hadapannya seorang wanita berwajah bengis seperti singa yang bakal menerkam mangsanya. Anne sentuh pipinya. Pedih siot!

“Hei! You ni dah kenapa?” Anne mencerun memandang wanita itu dengan pandangan garang. Terkejut bukan kepalang bila tak semena-mena ditampar sebegitu. Tak ada angin. Tak ada ribut. Tahu-tahu pipinya dah pedih.

“Entah! Kau ni siapa? Tiba-tiba nak lempang orang!” Sara maju ke hadapan Anne untuk melindungi si gadis.

“Kau tanya aku siapa? Aku isteri Helmi. Jantan yang kau goda ni. Kau jangan nak pura-pura tak tahu pulak!” tempelak wanita itu. Jarinya dituding kepada si suami.

Helmi sudah menelan liur. Cepat-cepat dia menyentuh bahu isterinya. “Yang, you salah...”

“Oh, isteri Helmi! Yang cemburu buta tu.” Anne senyum sinis. Tangan disilangkan ke dada. Sekarang barulah dia tahu siapa isteri Helmi. Memang seperti yang lelaki ini katakan. Cemburu buta.

“Kau!” Sekali lagi wanita itu mahu menyerang tetapi ditahan oleh Helmi.

“Stop it Rosa! Jangan nak buat malu I!” Helmi menarik lengan Rosa menjauh sedikit daripada Anne.

Look, I dengan husband you tak ada apa-apa hubungan. It’s just a gossip. Takkan you tak percaya suami you sendiri?” Ikutkan hati, Anne malas melayan perempuan seperti ini. Sanggup menyerang wanita lain tanpa usul periksa. Tapi, dia perlu juga jelaskan hal sebenar. Dia bukan perempuan sebegitu.

“I percayakan suami I. Tapi I tak percayakan you! Perempuan gatal!” Menyala-nyala mata Rosa. Sikit pun dia tidak percaya kepada wanita ini. Bahunya cuba dilepaskan daripada genggaman Helmi.

Anne juling mata ke atas.

“Whatever! Itu masalah you. Bukan masalah I kalau you tak percaya I. I dah beritahu hal sebenar. Kalau you tak percaya, terpulang kepada you.” Tak mahu berbahas lagi, Anne angkat kaki. Banyak lagi urusan yang boleh dia lakukan daripada melayan perempuan yang insecure macam Rosa.

Belum pun Anne melangkah, bahunya ditarik kasar oleh Rosa. Rambutnya ditarik kuat. Entah bila wanita ini terlepas daripada pegangan Helmi.

“Hei! Aku belum habis cakap lagilah perempuan!” jerit Rosa sekuat hati. Sakit betul hatinya melihat reaksi selamba Anne. Langsung tak ada rasa bersalah mengganggu suami orang!

Anne mengetap bibir. Ini sudah lebih! Anne memusingkan badannya. Sekarang rambut Rosa pula ditarik olehnya. Lengan wanita itu dikilas. Silap besarlah siapa yang cari fasal dengan dia!

“Stop it! I tak mahu berkasar dengan you. Tapi bila you dah melebihi batas, ini makannya.” Anne tonyoh muka Rosa ke meja plastik yang menjadi tempat letak barang di set penggambaran itu.

“Jangan ganggu I! Kalau you tak mahu suami you kena kacau, simpan dia dalam rumah! Jangan bagi dia jadi artis. Idiot!” pekik Anne.

“Anne! Sudah Anne! Biarkan dia. Dia ingat kau kebulur sangat laki dia. Helo! Kalau macam nilah perangai kau, memang patut Helmi cari lain. Jangan berani-berani nak usik Anne lagi. Aku bagi amaran kat kau ni. Ini baru Anne tonyoh muka kau. Dapat kat aku, bukan takat muka. Satu badan kau melekat kat tar.” Sara menarik tangan Anne sebelum memberi amaran kepada Rosa. Kalau dibiarkan mahu ke ICU juga isteri Helmi ini dikerjakan Anne dan dia.

Anne menghembus nafas keras. Pegangannya pada kepala isteri Helmi itu dilepaskan. Langkah diayun laju menuju ke kereta. Esok saja dia pulangkan baju yang dipakainya itu.

No comments:

Post a Comment