DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 28 June 2022

Gelisah Asmara - Bab 4


“AYAH tentu berbesar hati kalau kau sudi menyelamatkan keadaan ini,” ucap sang ayah petang itu.

Mikayla diam mendengar bicara sang ayah. Hatinya berbelah bagi saat itu. Terkenang pertemuannya dengan Saef semalam. Lelaki itu tidak berganjak dengan keputusannya.

“Ayah percaya Saef lelaki yang baik, Kay...”

“Ya ke? Kalau dia baik, dia takkan buat macam ni. Kay tak ada pilihan lain. Ayah yang buat keputusan untuk Kay,” balas Mikayla sinis.

“Kita tak ada di tempatnya. Ayah faham hati dia. Dia dah banyak berkorban. Lelaki macam dia kalau sudi menerima perempuan macam Mariani... itu sungguh ajaib. Tetapi sayangnya adik kau masih tak sedar diri,” jawab Pak Cik Mohamad perlahan. Dia tunduk seketika memandang ke tanah.

“Kay rasa Kay tak ada banyak pilihan. Ayah dah terima pinangan dia pun,” balas Mikayla pula.

Pak Cik Mohamad membisu seketika. Dia tahu Mikayla sukar untuk reda dengan keadaan ini. Siapa yang mampu reda menerima semua ini begitu saja, kan?

“Kay tak tahu sejauh mana Kay boleh terima keadaan ni, ayah. Tapi Kay akan cuba demi mak dan ayah. Kay tak mampu janjikan apa-apa dalam keadaan hati Kay macam ni,” ucap Mikayla.

Pak Cik Mohamad menoleh kepada anaknya. Dia mengangguk setuju.

“Ayah harap ini jalan yang benar, Kay. Kerana ayah sendiri juga keliru. Ayah tak tahu apa yang patut ayah buat. Maafkan ayah atas kelemahan ayah sehingga Kay jadi korbannya.”

Mikayla tiba-tiba merasa sedih mendengar bicara sang ayah. Dia tahu ayahnya menyalahkan dirinya sendiri kerana perangai Mariani begitu.

“Kay tak pernah salahkan mak dan ayah. Kay tahu mak dan ayah dah cuba yang terbaik untuk kami,” balas Mikayla rendah.

“Ayah percaya Saef lebih layak bersama Kay. Kay anak ayah yang baik,” balas Pak Cik Mohamad.

Mikayla hanya tersenyum pahit. Dalam fikirannya, dia hanya akan membiarkan dirinya dinikahi Saef. Setelah itu, dia akan minta cerai!

 

MIKAYLA MERASAKAN sehari dua ini hidupnya berubah. Fikirannya runsing. Dia rasa seperti sudah berada di alam yang lain. Kerana dalam masa seminggu lagi, dia akan dinikahkan dengan Saef sedangkan dia benar-benar tidak ada hati nak berkahwin. Saef enggan berganjak dengan keputusannya malah enggan menangguhkan pernikahan waima sehari pun!

Dia tidak fikir bagaimana untuk menjadi isteri dan dia tidak mampu membayangkan menjadi isteri kepada lelaki yang pernah bercinta dengan adik kandungnya sendiri.

Tiba-tiba saja dia menjadi takut dengan hari depan. Tiba-tiba saja dia teringin untuk melarikan diri. Namun tidak tahu bagaimana untuk berhadapan dengan ibu bapanya suatu hari nanti, jika dia juga ikut jejak langkah Mariani yang masih menyembunyikan diri daripada mereka sehingga ke hari ini. Dia agak, Mariani  akan muncul semula setelah semua beban itu digalas oleh orang lain.

“Kay?” tegur Jamaliah saat terpandangkan gadis itu termenung pula.

“Hah?” Mikayla memandang ke arah Jamaliah yang berdiri di depan biliknya.

“Termenung?” tegur Jamaliah.

Mikayla diam dan kembali memandang komputernya. Jamaliah menghela nafas perlahan.

Mikayla cuba kembali menumpukan perhatian pada kerjanya. Namun... dia gagal fokus. Makin dekat hari nak nikah, dia semakin hilang tumpuan kerana otaknya terlalu serabut.

“Kalaulah aku ada 300 ribu tu,” bisik Mikayla sendirian.

Gadis itu bangun dan menutup pintu. Kemudian dia pergi berbaring di sofa. Nak tidur seketika untuk melupakan beban fikirannya ini. Namun saat mata dipejamkan pun, dia masih terbayangkan saat-saat mengerikan yang akan sampai itu nanti. Dia akan bernikah dengan Saef! Itulah saat yang dia takutkan itu. Mulut kata setuju, namun hatinya menjerit sendirian. Dia bersetuju demi menyelamatkan maruah ibu bapanya.

Mata Mikayla kembali celik apabila terdengar bunyi telefon di atas meja. Baru sedar, ini waktu kerja. Bukan waktu tidur. Dia kembali bangun dan kembali ke meja.

“Ya?” sapa Mikayla setelah talian disambungkan. Terdengar suara seseorang memperkenalkan diri sebagai Sabaruddin, Mikayla menghela nafas panjang. 

“Encik Sabaruddin, cubalah bawa bersabar. Saya kata sebelum ni hujung bulan Oktober, kan? Ni baru bulan September,” ucap Mikayla dalam nada tertekan.

Setelah beberapa ketika mendengar bicara lelaki di sana, dia mematikan talian.

“Peninglah aku dengan dia ni! Aku tengah stres, dia mendesak pula!” getusnya.

Mikayla kembali berbaring di sofa. Malas nak kerja! Telefon di atas meja berbunyi lagi namun tidak dilayannya. Biarkan! Namun kemudian dia terdengar ketukan di cermin biliknya. Jamaliah membuka pintu dan menjengah ke dalam.

“Kay, tunang kau call.” Suara Jamaliah mengganggu ketenangan Mikayla.

“Hah?” Geli telinganya mendengar Jamaliah menyebut si Saef itu tunangnya. Dia terus bangun untuk mendapatkan telefonnya.

“Matikan panggilan tu. Aku call dia,” ucap Mikayla agak kuat.

“Nak apa lagilah mamat ni. Nak menyusahkan hidup akulah tu!” gerutu Mikayla lantas menghubungi Saef melalui telefon bimbitnya.

“Ada apa? Ni waktu kerja!” sergah Mikayla setelah terdengar suara Saef.

“I ada kat bawah. Turun sekarang. I ada sesuatu nak beritahu you,” suruh Saef.

“Okey,” jawab Mikayla macam orang malas. Dia mematikan talian dan keluar. Jamaliah memandang peguam muda itu berlalu ke arah pintu.

Mikayla ternampak kereta lelaki itu di celah kereta lain di ruangan parkir di depan pejabatnya. Saef tidak menoleh setelah Mikayla masuk ke dalam kereta.

“Ada apa?” tanya Mikayla.

“Ada apa-apa berita tentang Mariani?”

“Tak ada,” jawab Mikayla.

Saef memberikan telefonnya kepada Mikayla. Mikayla memandang lelaki itu seketika sebelum dia membaca apa yang tertulis di WhatsApp lelaki itu.

Maaf, abang. Fikiran Mar tak tenteram.

Mar cuma perlukan masa. Mar dah

bersedia untuk jadi isteri abang.

Spontan Mikayla memandang Saef. “Dia nak kembali semula kepada you?”

Saef hanya mengangkat bahu.

“Okey. Lega hati I. Selesailah masalah I ni. You dah boleh kahwin dengan dia.”

Spontan Saef menoleh. “Ni dua beradik memang jenis suka main-mainkan orang ke? Sekejap adik, kemudian kakak. Kemudian pass balik kat adik. You ingat I ni baton ke?” Suara Saef kedengaran macam marah.

“Apa? Itu pun nak marah. Dah dia memang asalnya kekasih you. You kahwinlah dengan dia. Kita boleh teruskan hidup masing-masing. Eh, you punya idea yang nak kahwin dengan I ya! Bukan I punya idea. I memang tak nak. Geli,” ucap Mikayla macam tak bersalah saja lagaknya.

“Geli apa geli?” balas Saef.

“Gelilah. Sebelum ni entah apa-apa you buat kat adik I. Lepas tu I pulak,” ucap Mikayla tanpa memandang Saef.

“Apa yang I buat pada adik you?”

“Apa-apalah.”

“Spesifikkan apa-apalah yang you cakap tadi,” balas Saef.

Mikayla diam pula. Manalah dia tahu. Dia cuma teka aje.

“Takkan tak ada kissing-kissing waktu kat Itali dulu kut?” cebir Mikayla rendah.

Saef menggeleng sambil memandang gadis itu. Sampai ke situ perginya otak si Mikayla. Muka cantik, mulut perempuan seorang itu boleh tahan juga celoparnya.

“Kalau boleh dapat free, buat apa kahwin, kan? Kena malu macam ni lagi. Ada fikir?” tanya Saef agak tajam nadanya.

Mikayla diam. Sedar yang tuduhannya mungkin berlebihan.

So, macam mana? Dia dah balik semula. Takkan kita masih nak teruskan rancangan tu?” ujar Mikayla seketika kemudian.

“I kena tanya pilihan ibu bapa I. This is not the end for you. Tentang Mariani... ia bukan keputusan I seorang,” balas Saef.

Mikayla memandang Saef. Rasa tidak puas hati. Mengapa mesti tanya ibu bapa sedangkan yang berkahwin itu Saef? Sudah tentu Saef berkuasa ke atas dirinya sendiri. Lainlah dia.

“Tak boleh ke kalau you pilih dia saja? Tak payah libatkan orang tua you. You yang nak kahwin, kan?” jawab Mikayla.

“Bukan semudah itu, Kay. Sementelah hal ni melibatkan maruah orang tua kita juga.”

“Okey. Kalau teruskan saja rancangan asal, itu lebih mudah sebenarnya, kan? Kalau kita yang nikah... nanti orang bertanya. Sekampung dah tahu, adik I Mariani yang nak kahwin, bukan I.” Mikayla menjawab lagi.

Saef diam seketika. Apa hendak dijawabnya kepada Mikayla? Dia harus berhati-hati dalam meluahkan hal yang sebenarnya.

“Kenapa you diam?”

Saef mengalihkan pandangan ke arah gadis di sebelahnya itu.

“Ia tak seperti yang you bayangkan,” balas Saef.

Explain supaya I faham,” balas Mikayla dengan kerutan di kening.

“Mama dan papa I yang akan buat keputusan untuk I selepas apa yang Mariani dah buat. I kena dengar cakap mereka. Kerana semenjak awal lagi, mereka tak setuju dengan keputusan I untuk meminang Mariani.”

Mikayla terdiam. Secebis jawapan itu sudah menerangkan banyak benda. Namun jawapan itu mengusutkan fikirannya.

“Masakan you sedia membiarkan orang lain menentukan apa yang penting untuk diri you sendiri?” gumam Mikayla sambil memandang ke tepi.

Saef membisu. Namun dia memandang Mikayla yang termenung sendiri. Dia simpati kepada gadis itu. Kalau dia tidak melayani kehendak Mariani selama ini,  mungkin keadaan berbeza. Tetapi dia juga silap kerana terlalu memewahkan Mariani sehingga ibu bapanya mula masuk campur dalam urusannya.

I’m sorry. I tahu keadaan ini sukar untuk you. Tapi I akan cuba layan you sebaik-baiknya,” ucap Saef perlahan.

Mikayla menoleh.

“Maaf you tak ada ertinya sekarang. I tak nak you janjikan apa-apa kepada I. I cuma tak nak kahwin dengan you. That’s it!” ucap Mikayla lantas keluar dari kereta. Tiada apa yang hendak dibincangkan lagi. Sekarang dia hanya perlu berdoa banyak-banyak agar ibu bapa Saef bersedia untuk menerima Mariani semula.

“Kay...” panggil Saef setelah keluar dari kereta.

Mikayla menoleh semula setelah berada agak jauh dari kereta Saef. Lelaki itu menutup pintu dan mendekati Mikayla.

“I nak ajak you lunch dengan I.”

Nope. I dah tak kuasa nak pandang muka you. Sekarang I memang tak ada selera nak makan. Tengok muka you... lagilah I tak nak makan,” jawab Mikayla tajam dan terus berlalu.

Saef terkebil-kebil sendirian di situ setelah ditinggalkan oleh Mikayla. Sekarang dia teringat semula bicara Pak Cik Mohamad.

Ia tak semudah yang kau bayangkan.’

Sekarang dia rasa apa yang diucapkan oleh lelaki tua itu benar belaka! Mikayla seorang yang keras dan degil!

No comments:

Post a Comment