DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 22 December 2015

MAAF, SAYA TAK SENGAJA - BAB 8

KEESOKAN harinya Faiz Iqbal masuk awal ke pejabat. Kali ini penuh bersemangat, berharap Aina Cempaka akan bersetuju dengan perancangan yang bakal dibuatnya. Dia duduk di atas kerusi sambil menyilangkan kaki kanannya. Beberapa minit nanti, pasti Aina Cempaka akan masuk menyerahkan laporan yang dimintanya semalam.
Faiz Iqbal tersenyum sendiri. Entah apalah reaksi Aina Cempaka sebentar lagi. Seronok juga mengenakan gadis naif itu. Terhibur dengan reaksi wajah itu apabila kena marah semalam. Macam ayam berak kapur. Bahagian yang paling Faiz Iqbal tidak boleh lupakan ialah semasa Aina Cempaka melawan cakapnya. Bagai hendak terkeluar kedua-dua biji mata gadis itu. Renungan tajam itu benar-benar buat dia tergelak sendiri.
Sambil berfikir-fikir, jari-jemari Faiz Iqbal bermain-main dengan cincin yang dipakainya. Cincin suasa bertatahkan batu berwarna hijau zamrud itu dikeluarkan dari jari telunjuknya. Cincin yang pernah dipakai oleh arwah bapa kandungnya dahulu. Bersinar cantik apabila dihalakan pada cahaya terang. Inilah satu-satunya harta berharga yang ditinggalkan untuknya.
Tok! Tok! Tok! Pintu diketuk. Hampir terkejut beruk Faiz Iqbal dibuatnya. Cincin yang dipegang itu melompat jatuh ke bawah meja. Kelam-kabut Faiz Iqbal terjun ke bawah mencari cincinnya.
“Mana?” rengus Faiz Iqbal. Dia sudah tidak peduli siapa yang mengetuk pintu tadi. Barang berharga itu mesti ditemukan.
“Maaf, Encik Iqbal. Saya nak…” Muka Burn terpacul di muka pintu. Dia terdiam sekejap. Aneh melihat Faiz Iqbal terbongkok-bongkok di bawah meja. Macam mencari sesuatu. Beberapa saat bergelar penonton membuatkan Burn  menelan air liur.
“Aduhai! Nasib baiklah iman I ni kuat…” bisik Burn perlahan. Mengurut dada sambil cuba mendekati Faiz Iqbal.
“Encik Iqbal cari apa ni?” soal Burn sambil melembutkan tangannya.
“Ni kau punya pasallah. Habis jatuh cincin aku. Cari cepat!” herdik Faiz Iqbal. Bergema suaranya dari bawah meja.
Burn segera masuk ke bawah meja bersama Faiz Iqbal. Tidak berani melawan. Nanti entah apa lagi dihamunnya dia. Jangan buat aniaya. Kalau kena sumpah dengan Faiz Iqbal tujuh keturunan, alamat membujang sampai tualah dia.
Tiba-tiba mata Burn tertangkap pada satu cahaya di sebalik celahan karpet hijau. Sah! Itu dia. Automatik Burn menayangkan cincin yang berjaya ditemuinya dengan penuh bangga.
“Yeah, I dah jumpa!”
“Oh, thanks God!” Pantas saja Faiz Iqbal cuba merampas cincin dari tangan lelaki itu. Tubuh lelaki itu dikilasnya. Malangnya, cincin tidak dapat dirampas tetapi Burn pula yang hilang keseimbangannya. Tubuh yang agak berisi itu hampir sahaja terjatuh ke atas lantai. Nasib baik dia sempat menarik tali leher Faiz Iqbal.
“Erk!” Burn menelan air liur sekali lagi. Pahit. Sekarang wajahnya dengan wajah Faiz Iqbal sangat rapat. Sampai terbau nafas ubat gigi berperisa pudina Faiz Iqbal. Mahu luruh jantung dibuatnya.
Pintu dikuak. Aina Cempaka menekup mulut. Terkejut beruk dia dibuatnya. Ternganga mulutnya 360 darjah melihat sepasang mambang tanah yang sedang bermadu asmara.
“Ya, Allah! Apa ni?” Panik Aina Cempaka dibuatnya dengan aksi dua orang lelaki itu.
“Eh! Tak. Ini…” Faiz Iqbal segera bangun berdiri, membiarkan Burn terlentang seorang diri di atas lantai. Macam kucing Garfield yang kekenyangan. Pantas Faiz Iqbal membersihkan pakaiannya. Pura-pura buat muka selamba sambil melihat semula ke arah Burn yang masih terlentang di atas lantai.
“Apa yang awak buat ni, Burn? Agak-agaklah… ini ofis. Tempat cari rezeki,” bisik Aina Cempaka perlahan lalu menarik lengan lelaki itu, membantu Burn bangun.
“Errr… you jangan salah faham Aina. I cuma tolong Encik Iqbal cari benda ni aje.” Burn membuka genggaman tangannya.
“Bak sini!” Faiz Iqbal pantas merampas.
“I’m sorry.” Burn mengerutkan wajahnya. Terkulat-kulat dia melangkah meninggalkan bilik pejabat itu. Niat dalam hati hanya mahu membantu. Tidak sangka pula boleh jadi keterlaluan sampai macam ini.
“Ada apa ni?” herdik Faiz Iqbal. Mukanya merah padam. Marah bercampur malu.
Aina Cempaka mengurut dada. Mungkin sekarang giliran dia pula yang kena marah.
“Errr... Encik Iqbal, report semalam saya dah siapkan. Ni dia.” Aina Cempaka menghulurkan fail nipis dengan ragu-ragu.
“Letak aje kat situ.” Balas Faiz Iqbal, tiada masa hendak melayan. Moodnya kini benar-benar terganggu dengan insiden tadi.
“Kalau tak ada apa-apa lagi, saya minta diri dululah.”
“Ada aku suruh kau blah?” Faiz Iqbal mendongak memandang Aina Cempaka yang hanya berdiri macam tunggul kayu.
“Ada apa lagi, Encik Iqbal?”
“Duduk dulu.”
Aina Cempaka kekok mengambil tempat di hadapan Faiz Iqbal.
“Aku nak kau jumpa klien ni. Tolong handle projek mega tu.” Faiz Iqbal menghulurkan sebuah fail.
“Tapi... ini bukan bidang tugas saya. Saya tak...” kata-kata Aina Cempaka terhenti sebaik sahaja Faiz Iqbal membuat isyarat supaya diam.
“Aku cuma nak kau jumpa dengan Datuk Mazlan dan bincang tentang projek ni. Itu pun susah ke?” tegas Faiz Iqbal.
“Saya tak yakin boleh buat semua ni.”
“Kalau kau tak cuba, mana kau tahu? Jangan risau, nanti aku tambah elaun kau,” kata Faiz Iqbal selamba.
Aina Cempaka berfikir sejenak. Mungkin inilah masanya untuk membuktikan kredibilitinya sebagai seorang setiausaha yang baik. Elaun bukannya penting sangat. Tapi kalau dah diberi, bolehlah dia hulurkan lebih sikit kepada ibunya bulan ini. Lagipun, kerjanya bukannya susah sangat.
“Yalah, saya setuju. Tapi bila?”
“Someday.”
“Someday?”
“Hei! Kalau aku cakap someday, somedaylah. Kau ni banyak hallah. Nak kerja ke tak nak ni?” tegas Faiz Iqbal.
“Errr… nak. Saya nak.”
“Bagus. Nanti aku beritahu bila kau boleh jumpa dia. Pakai elok-elok sikit. Jangan pakai macam orang tua. Buat malu company aje.” Faiz Iqbal memandang Aina Cempaka dari atas sampai ke bawah. “Dah. Kau boleh pergi sekarang,” arah Faiz Iqbal.
Aina Cempaka mencebik bibir. Benci dengan nada suara lelaki itu. Dia bingkas bangun dan segera meninggalkan bilik pejabat Faiz Iqbal. Apa boleh buat? Ini sebahagian daripada tugasnya. Mahu atau tidak, dia terpaksa melakukannya juga. Nasib baik esok hari Ahad. Sekurang-kurangnya, ada juga masa buat dia untuk berehat. Tidaklah menghadap muka lelaki bongkak itu setiap hari.



MOHSIN hanya mampu merenung tingkap bilik tidur Aina Cempaka dari luar rumah. Cahaya lampu yang kelihatan terang menandakan bahawa Aina Cempaka masih berjaga. Suasana sejuk dan berangin pada waktu malam seperti ini membuatkan tubuh Mohsin kesejukan. Tubuhnya disandarkan pada badan kereta dan kedua-dua belah tangannya dimasukkan ke dalam poket sweater.
“Mmmm... tak dapat tengok orangnya, tengok bumbung rumah pun jadilah Sin…” Senyuman diukirkan. Macam orang angau. Rindu betul dia kepada Aina Cempaka. Sebelum ini gadis itu ada menelefonnya beberapa kali. Sengaja dia malas jawab. Dia malu. Takut tidak terkata apa-apa nanti. Manalah tahu kut-kut Aina Cempaka mahu berjumpa. Yalah, sejak peristiwa itu dia tidak tahu mahu campakkan mukanya ke mana.
Bukannya Mohsin tidak rindu. Kalau boleh, mahu sahaja dia merempuh pintu pagar rumah itu. Menyelinap masuk ke dalam rumah, memeluk erat tubuh Aina Cempaka dan tidak mahu dilepaskannya. Masalahnya semua itu di luar kemampuannya. Aina Cempaka bukanlah perempuan yang mudah diperlakukan macam itu. Dia berbeza. Sangat menjaga batas perhubungan antara lelaki dan perempuan. Mampu beraksi ganas apabila diancam bahaya.
Pernah suatu ketika dulu celah kelengkang Mohsin mendapat hadiah tendangan kupu-kupu gadis itu. Yalah! Salah dia juga. Siapa suruh dia memeluk Aina Cempaka dari belakang. Walaupun itu hanyalah tindakan refleks gadis itu, kesannya masih terpahat dalam ingatan. Punyalah sakit! Sampai terguling-guling dia dibuatnya. Kalaulah tidak dirawat, boleh masuk hospital sakit tuan!
Mengenangkan perkara itu membuatkan Mohsin tergelak sendiri. Hebat juga penangan kuasa kuda Aina Cempaka. Kalaulah terkena kepada orang lain, tidak ada zuriatlah jawabnya.
Beberapa minit kemudian, telefon bimbit di dalam kocek seluar Mohsin berbunyi. Menerima satu pesanan ringkas daripada Aina Cempaka. Bibir Mohsin mengukirkan senyuman. Pantas sahaja jarinya mengetik skrin telefon.

Kenapa aku call kau tak angkat? Kau marah lagi kat aku ke? Aku betul-betul minta maaf ni. Aku rindu nak kita macam dulu balik. 

Mohsin membaca sambil tersenyum-senyum kambing.
“Tahu pun rindu. Ingatkan kau dah jemu.” Pantas sahaja Mohsin mendail nombor telefon Aina Cempaka.
“Assalamualaikum. Sin, kau kat mana?” jelas suara Aina Cempaka kedengaran.
“Walaikumussalam. Aku kat rumah kau.”
“Apa?”
“Eh! Tak, tak. Errr… aku ada kat rumah akulah. Kau tengah buat apa?” alih Mohsin.
“Aku ingat kau dah lupa kat aku.” Aina Cempaka tergelak.
“Tak… taklah. Kita kan kawan baik. Tak mungkin aku lupa kat kau.” Suara Mohsin mula mengendur. Kalau boleh dia tidak mahu membangkitkan isu ini lagi. Biarkan Aina Cempaka rasa selesa. Dia tidak suka memaksa.
“Kau tak tidur lagi ke?” soal Mohsin. Sengaja bertanya.
“Belum lagi. Penatlah... banyak sangat kerja nak buat ni.”
“Aik! Esok kan hari Ahad? Takkanlah baru kerja beberapa hari dah penat? Ada harapan nak berhenti kerja lagi ni.” Mohsin mengusik.
“Penatlah dapat bos gila macam tu. Sakit otak aku ni, tahu tak?” rungut Aina Cempaka.
“Tak apa... kau bertahanlah. Bukan senang tau nak dapat kerja sekarang ni. Paling tidak pun, trylah dua tiga bulan lagi. Kalau kau rasa tak ngam… berhenti. Settle!” jawab Mohsin.
“Yalah Encik Mohsin. Saya cuba. Ayat kau ni persis mak aku kat kampung.” Aina Cempaka tergelak.
“Hurmm… aku penatlah. Aku nak tidur. Kau pun tidurlah awal.” Nasihat Mohsin.
“Yalah. Bye. Sweet dream…” Aina Cempaka memutuskan talian.
Mohsin memasukkan semula telefon bimbit ke dalam kocek seluarnya. Dia masih memandang tingkap bilik Aina Cempaka, menunggu lampu bilik itu dipadamkan. Setelah cahaya lampu terpadam, barulah Mohsin melangkah perlahan masuk ke dalam perut keretanya. Memecut laju keretanya meninggalkan kepulan-kepulan asap di hadapan rumah sewa Aina Cempaka.

No comments:

Post a Comment